Manchester United bakal melepaskan dua pemain tengah mereka Anderson dan Nani Januari ini. Sir Alex Ferguson dikatakan sudah mula hilang sabar dengan prestasi Anderson selain rekod kecederaan pemain Brazil itu yang buruk, manakala Nani pula dikatakan kecewa gagal merebut tempat dalam kesebelasan utama berikutan kehadiran Shinji Kagawa. Anderson menyertai United dari FC Porto pada 2007 dengan memikul reptuasi tinggi yang diletakkan ke atasnya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Roy Keane. Walau bagaimanapun sepanjang lima tahun di Old Trafford, pemain Brazil itu dilihat lebih banyak bergelut dengan masalah kecederaan dari membuktikan reputasinya di atas padang. Musim lalu, Anderson hanya bermain sebanyak 10 perlawanan liga untuk United dan selebihnya hanya menghabiskan masa dengan keluar masuk di bilik rawatan. Benfica dan Tottenham Hotspurs antara kelab yang dikatakan berminat mendapatkan pemain tengah itu jika United benar-benar ingin melepaskannya. Walau bagaimanapun United mahu mendapatkan sekurang-kurang 18 juta Pound hasil dari penjualan Anderson, jumlah yang mereka keluarkan ketika mendapatkan pemain itu dari FC Porto. Nasib Anderson kini bergantung pada prestasi semasanya kerana Ferguson tidak mahu terburu-buru melepaskan pemain berusia 24 tahun itu dan masih menaruh harapan agar dia kembali semula pada prestasi terbaiknya.
Selain itu faktor umur dan kontrak Anderson yang masih berbaki 3 tahun menyebabkan United tidak akan menjual pemain itu dengan harga yang murah. Sebelum itu, United sudahpun melihat Moussa Dembele sebagai pengganti terbaik buat Anderson sebelum pemain antarabangsa Belgium itu menyertai Tottenham Hotspurs. Sementara itu Nani pula kini menjadi sasaran gergasi Itali yang berminat membawa pemain sayap antarabangsa Portugal itu beraksi di Serie A. Selepas berjaya mendapatkan Nicklass Bendtner secara pinjaman dari Arsenal, Juventus berharap Nani bakal menjadi pembelian terbesar mereka Januari ini. Prestasi tidak konsisten Nani menyebabkan dia sering diletakkan di bangku simpanan, dan menjadi pilihan kedua Ferguson di belakangan Antonio Valencia. Tambah memburukan lagi keadaan, kedatangan Kagawa menyebabkan Nani semakin tersisih dari kesebelasan utama United. Perbincangan kontrak baru yang menemui jalan buntu menyaksikan masa depan pemain itu di Old Trafford kian kelam. Ferguson kini sedang memantau beberapa pemain tengah baru untuk dijadikan pengganti kepada Paul Scholes dan dana hasil penjualan Anderson dan Nani akan digunakan bos United itu untuk membeli pemain tengah baru Januari ini. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan