Situasi terkini kecederaan Jonny Evans tentunya mengundang resah buat Sir Alex Ferguson selepas pemain pertahanan itu mengakui dia bermain dalam kesakitan ketika turun mewakili skuad kebangsaan Ireland menentang Russia hujung minggu lalu. Pertahanan tengah itu yang bergelut dengan kecederaan buku lali mendakwa dia terpaksa bergantung kepada suntikan penahan sakit dalam perlawanan itu yang berkesudahan Ireland tewas dengan jaringan 0-2. Perkembangan ini tentunya bakal mencetus kemarahan Ferguson yang berdepan krisis kecederaan pemain di barisan belakang selepas kehilangan khidmat Phil Jones dan Chris Smalling untuk jangkamasa panjang. Biarpun sudah memperolehi semula khidmat Rio Ferdinand yang diturunkan ketika United menang 3-2 ke atas Southampton, kehilangan Evans tetap sesuatu yang cuba dielakkan Ferguson. Berbeza dengan sikap Ferguson yang cukup berhati-hati dalam menangani masalah kecederaan Evans, Ireland pula sebaliknya dijangka terus menggunakan khidmat pemain pertahanan itu untuk perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 mereka menentang Luxembourg di Windsor Park malam ini. Evans masih belum merasai aksi liga setakat ini kerana Ferguson mahu memberi ruang buat pemain itu pulih dari kecederaan, namun kudratnya terus ditagih skuad kebangsaan Ireland biarpun berdepan risiko kecederaan yang lebih serius. Evans memang diketahui masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan dan jika sesuatu yang buruk berlaku kepadanya dalam perlawanan menentang Luxembourg nanti, United bakal berdepan satu lagi prospek kecederaan jangka masa panjang di benteng mereka selepas apa yang melanda Jones dan Smalling. Semoga situasi di mana Michael Carrick terpaksa dikerah mengisi posisi pertahanan tengah sepertimana pada dua perlawanan awal liga tidak berulang dan Evans pula pulang ke Old Trafford dengan keadaan cergas sepenuhnya. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan