08 September 2012

ROONEY INGIN TAMATKAN KARIER BERSAMA UNITED


Persoalan tentang masa depan kariernya bersama Manchester United, kecederaan awal musim hingga menyaksikannya terpaksa diketepikan selama hampir dua bulan dan hubungan dengan Sir Alex Ferguson, menjadikan permulaan musim ini sebagai antara yang paling sukar buat Wayne Rooney. Di sebalik semua persoalan dan spekulasi yang ditimbulkan, Rooney sebaliknya berkata dia gembira bersama The Red Devils dan mensasarkan untuk menamatkan kariernya di Old Trafford. "Bolehkah saya berada di sini (Old Trafford) untuk tempoh 10 tahun lagi? Saya harap begitu. Selagi penyokong mahu melihat saya kekal sebagai pemain United, maka itulah yang akan saya lakukan. Mudah-mudahan saya akan terus berada di sini untuk tempoh yang panjang. Ini adalah kelab yang hebat dan secara jujurnya ke mana lagi anda boleh pergi selain kelab ini", kata Rooney. Kini Rooney hanya perlu melihat individu di sekelilingnya dalam bilik persalinan United dan kemudian melihat bagaimana caranya untuk terus melanjutkan kerjayanya bersama United seberapa lama yang boleh. Ryan Giggs dan Paul Scholes adalah individu yang boleh dijadikan contoh terbaik buat Rooney tentang bagaimana mereka boleh terus kekal berbakti bersama kelab bermula dari zaman remaja hinggalah sekarang. Permulaan yang buruk buat Rooney apabila aksi hambarnya ketika menentang Everton pada perlawanan pembukaan menyaksikan dia diletakkan dibangku simpanan ketika menentang Fulham pada perlawanan kedua. Rooney dimasukkan di penghujung babak kedua namun tidak lama selepas itu mengalami kecederaan serius hingga menyaksikan dia terpaksa diusung keluar padang dan tidak akan beraksi selama dua bulan. Rooney menjangkakan dia akan kembali beraksi penghujung bulan ini namun kehadiran Robin Van Persie dan prestasi terkini bekas penyerang Arsenal itu menjadikan Rooney bukan lagi pilihan automatik dalam kesebelasan utama United. Adalah diharapkan selepas Rooney kembali beraksi semula nanti, dia akan lebih bersedia untuk bersaing dengan Van Persie, Javier Hernandez dan Danny Welbeck dalam perebutan slot di bahagian hadapan United. Hubungan dingin sepertimana yang digembar-gemburkan media berlaku antara Rooney dan Ferguson sedikit sebanyak meresahkan penyokong-penyokong United. Sesetengah penyokong mulai bimbang episod Oktober 2010 akan berulang kembali ketika Rooney meminta meninggalkan Old Trafford sebelum ditawarkan kontrak baru yang lebih lumayan. Kemelut ketika itu berlanjutan hingga Rooney digugurkan dari skuad bagi pertembungan dengan Blackburn Rovers pada perlawanan tahun baru selain didenda kerana berparti pada hari `Boxing Day' bersama-sama rakan sepasukan Jonny Evans dan Darron Gibson. Mengulas tentang episod itu, Rooney mengatakan ia merupakan kesilapan besar yang dilakukannya. "Saya sedar selepas melakukan kesilapan itu dan mahu memperbetulkan keadaan. Dalam tempoh 12 jam akhirnya saya menandatangani kontrak baru", jelas Rooney lagi. Kini Rooney berazam membantu United merampas kembali mahkota kejuaraan liga dari seteru setempat mereka, Manchester City sekaligus memadamkan memori buruk pada perlawanan terakhir liga musim lalu. Rooney mengakui bahawa dia masih dihantui jaringan Sergio Aguero di masa kecederaan ke atas QPR di Etihad yang menyaksikan City mengesahkan kejuaraan liga milik mereka hasil perbezaan jaringan gol. United pernah tewas kepada Chelsea dalam perebutan kejuaraan liga dengan hanya perbezaan satu mata, namun tewas kepada City menerusi perbezaan jaringan gol pada perlawanan terakhir liga adalah sesuatu yang cukup dahsyat buat Rooney. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan