11 Oktober 2012

ROONEY LEBIH CEMERLANG SEBAGAI PEMAIN TENGAH?


Apakah yang akan berlaku kepada Manchester United tanpa Wayne Rooney? Persoalan ini mungkin sesuatu yang tidak mahu difikirkan langsung oleh Sir Alex Ferguson tetapi Alan Pardew (pengurus Newcastle) mungkin tahu jawapannya. 48 jam sebelum pertembungan antara skuadnya yang tewas 0-3 kepada United, Ahad lalu, Pardew mengatakan bahawa Rooney akan menjadi faktor penting dalam menentukan misi United merangkul kejuaraan Liga Perdana musim ini. "Saya berani mengatakan bahawa Rooney akan menjadi faktor penting dalam usaha United memenangi kejuaraan musim ini. Dia pemain yang cukup berpengaruh", kata Pardew. Posisi baru Rooney dalam format berlian yang digunakan Ferguson terbukti menjadi faktor utama kehancuran The Magpies di hadapan penyokong mereka sendiri Ahad lalu. Peranan baru yang dimainkan Rooney ketika ini dilihat sesuai buat pemain itu yang dikatakan sesetengah pemerhati seperti sudah mula hilang kepantasan. Sejak Ferguson mengubah wajah formasi skuadnya, wawasan Rooney dalam permainan bertambah baik dengan fungsinya berjaya dipelbagaikan seperti apa yang ditunjukkan ketika menentang CFR Cluj dan Newcastle. Rooney juga kelihatan begitu selesa dengan peranan baru yang dimainkannya apabila mengatakan dalam akaun Twitter bahawa dia kini sedang menikmati peranannya sebagai midfielder. "Memang benar, saya kini menikmati peranan baru saya sebagai pemain tengah", kata Rooney. Perkembangan ini sesuatu yang baik buat Rooney selepas prestasi hambarnya pada perlawanan pembukaan menentang Everton di Goodison Park menjadi perhatian ramai, apatah lagi dia kemudiannya diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan kedua menentang Fulham. Sebelum ini, Ferguson sering menggunakan Rooney sebagai penyerang yang lebih banyak bergerak dari sebelah kiri hingga adakalanya dia kelihatan seperti kurang terlibat dalam setiap gerakan serangan United.

Pertembungan menentang Newcastle menjadi contoh terbaik betapa berkesannya peranan yang dimainkan Rooney ketika ini. Bersama-sama Danny Welbeck dan Shinji Kagawa, Rooney bergerak di belakang Robin Van Persie sekaligus memberikan ruang yang lebih luas buatnya mengatur gerakan, sementara di belakang pula Michael Carrick melengkapkan asas formasi berlian Ferguson. Satu contoh paling ketara ialah ketika Rooney berjaya menutup ruang buat Hatem Ben Arfa yang sebelumnya berjaya mengatasi kawalan Patrice Evra. Menyedari bahaya yang bakal hadir dari gerakan pemain Newcastle itu, Rooney melakukan terjahan mengelongsor bagi merampas bola dari kaki Ben Arfa sekaligus berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Aksi seperti ini tentunya mengingatkan peminat ketika zaman remajanya bersama Everton hingga pada ketika itu ada yang mendakwa Rooney boleh bermain dimana-mana posisi termasuk penjaga gol. "Saya suka Rooney, saya suka semangatnya dalam permainan", kata Pardew. Chieck Tiote mungkin berbangga bahawa dia adalah tonggak utama Newcastle di bahagian tengah ketika ini, tetapi pemain antarabangsa Ivory Coast itu mendapati dirinya terpaksa bergelut dalam usaha menangani kekuatan Rooney Ahad lalu. Beberapa musim lalu, Rooney juga sudah membuktikan, tanpa memikirkan kepentingan diri sendiri, dia muncul antara penyumbang utama kepada gol-gol yang dihasilkan Cristiano Ronaldo. Memandangkan Rooney masih belum cergas sepenuhnya dari pembedahan paha akibat terjahan Hugo Rodallega, Ferguson tentunya tidak terlalu bimbang dengan kemarau gol yang melanda Rooney ketika ini. Sebaliknya Ferguson kini lebih teruja dengan keputusan positif hasil eksperimen bermula semasa kemenangan ke atas CFR Cluj dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu. Kejayaan eksperimen ini berjaya mengimbangi kelemahan United di bahagian tengah United, sekaligus memberi nafas baru kepada karier Rooney bersama The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!!

10 Oktober 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: UNITED INTAI PEMAIN PERTAHANAN JANUARI INI


Krisis kecederaan di benteng pertahanan menyebabkan Sir Alex Ferguson bercadang mendapatkan pemain baru pada pasaran perpindahan pemain Januari ini. Pemain pertahanan Borussia Dortmund, Mats Hummels dikatakan menjadi pilihan utama Ferguson dalam usaha memperkuatkan benteng pertahanan pasukannya. Ferguson turut diberitakan sudah menghantar wakil ke Dortmund bagi memantau aksi pemain antarabangsa Jerman itu dalam saingan Bundesliga. Walaupun berminat mendapatkan pemain yang lahir pada 16 Disember 1988 itu, Ferguson dan pihak pengurusan United masih belum mengadakan sebarang perbincangan dengan Dortmund tentang tandaharga yang diletakkan ke atas Hummels. Di peringkat antarabangsa, Hummels menjadi pilihan utama Joachim Loew di benteng pertahanan Jerman ketika pusingan akhir Euro 2012 yang lalu. Hummels juga dikenali sebagai pemain pertahanan serba boleh, kerana selain boleh berfungsi sebagai pemain pertahanan tengah, dia juga adakalanya digunakan sebagai pemain tengah bertahan ketika beraksi di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Sementara itu seorang lagi pemain pertahanan yang dikatakan menjadi sasaran United ialah tonggak di benteng Fulham, Brede Hangeland. Menurut laporan oleh The People, Ferguson akan cuba mendapatkan pemain antarabangsa Norway itu Januari ini. Meskipun sudah berusia 31 tahun, Ferguson tetap menilai Hangeland sebagai pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan beberapa pemain utamanya akibat masalah kecederaan jangka panjang. Glory Glory Manchester United!!!

CLEVERLEY CEMERLANG HASIL FORMASI BARU FERGUSON


Tom Cleverley antara pemain United paling menyerlah sejak kebelakangan ini apatah lagi selepas dia berjaya membolosi gawang Newcastle United dua kali dalam tempoh hampir dua minggu. Selepas menjaringkan gol kedua United ketika menyingkirkan The Magpies di pusingan kedua Piala Capital One, Cleverley sekali lagi menemui sentuhan jaringannya apabila sepakan lambung dari jarak 30 meter mengelirukan Steve Harper untuk memberikan kemenangan selesa 3-0 United di Sports Direct Arena Ahad lalu. Prestasi cemerlang Cleverley sebenarnya hasil dari formasi baru yang diterapkan Sir Alex Ferguson. Formasi berlian (4-2-3-1) yang digunakan Ferguson dalam beberapa perlawanan terakhir United membuahkan hasil yang positif terhadap prestasi terkini pemain berusia 23 tahun itu. Ferguson mula mengubah formasi permainan United ketika berdepan Newcastle dalam saingan Piala Capital One, kemudian diikuti ketika kunjungan United ke Romania menentang CFR Cluj dalam kempen Liga Juara-Juara dan terakhir ketika sekali lagi berdepan Newcastle dalam saingan liga Ahad lalu. Perubahan formasi ini sebenarnya membuka peluang buat Cleverley menjaringkan gol, sesuatu yang jarang diperolehinya sebelum ini ketika Ferguson menggunakan formasi 4-4-2 atau 4-5-1 di awal musim. Sementara itu, Cleverley memberi sokongan padu terhadap rakan sepasukannya, Rio Ferdinand yang sekali lagi diketepikan pengurus England, Roy Hodgson dari tugasan antarabangsa. Kelmarin Hodgson mendedahkan dia mungkin melantik Ashley Cole sebagai kapten baru skuad kebangsaan England menggantikan John Terry yang mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa baru-baru ini. Ferdinand terus diketepikan  Hodgson dari menyertai skuad kebangsaan meskipun prestasi pemain pertahanan United itu pada pandangan Cleverley lebih bagus berbanding beberapa pemain pertahanan yang disenaraikan Hodgson. Menurut Cleverley, dia tidak faham mengapa masih ramai yang terus meragui kemampuan Ferdinand selepas apa yang disumbangkan pemain itu bersama United setakat ini. "Orang ramai meragui Rio tetapi hanya sekali saja dia bermain buruk dalam tempoh enam bulan. Beliau hebat ketika bersama-sama Rafael, Patrice dan Jonny di barisan pertahanan kami.  Kami akui, beberapa kesilapan kecil menyebabkan kami terlepas gelaran musim lalu, tapi kesilapan itu sepatutnya diletakkan ke atas seluruh pasukan, bukan hanya barisan pertahanan", kata Cleverley kepada MUTV. Menurut Cleverley lagi, beberapa laporan negatif yang diterbitkan media sejak kebelakangan ini tentang Rio tidak adil buat pemain pertahanan berpengalaman itu. Glory Glory Manchester United!!!

VAN PERSIE TERLEPAS DARI SEBARANG DAKWAAN


Robin Van Persie terlepas dari sebarang dakwaan oleh pihak FA England atas tuduhan menyiku Yohan Cabaye ketika pertembungan dengan Newcastle United Ahad lalu. Pengadil perlawanan, Howard Webb memberitahu dalam laporannya bahawa beliau tidak melihat insiden itu sebagai sesuatu yang serius hingga memerlukan tindakan disiplin dikenakan ke atas Van Persie. Selepas tamat perlawanan di Sports Direct Arena itu, pengendali Newcastle, Alan Pardew mahukan FA England mengambil tindakan sewajarnya selepas dia mendakwa penyerang United itu sengaja menyiku Cabaye. Jika dikenakan tuduhan dan didapati bersalah, kesalahan yang dilakukan Van Persie itu boleh membawa kepada hukuman penggantungan tiga perlawanan. Bagaimanapun selepas meneliti laporan dari Webb yang memberitahu bahawa insiden yang membabitkan Van Persie dan Cabaye itu bukanlah sesuatu yang serius hingga memerlukan layangan kad merah, FA England membuat keputusan untuk tidak memanggil penyerang United itu bagi dikenakan sebarang tuduhan berkelakuan ganas. Van Persie yang sebelumnya sudahpun menerima layangan kad kuning dari Webb akhirnya dikeluarkan Sir Alex Ferguson tidak lama selepas insiden tersebut. Keputusan FA itu dialu-alukan oleh kem United dan Ferguson sudah boleh berkira-kira untuk menurunkan Van Persie ketika berdepan Arsenal di Old Trafford bulan depan. Selain Van Persie, penyerang Liverpool, Luis Suarez juga terlepas dari sebarang tindakan oleh FA selepas pengendali Stoke, Tony Pulis mendakwa pemain antarabangsa Uruguay itu sengaja merebahkan badan semasa pertemuan kedua-dua pasukan di Anfield Ahad lalu. Glory Glory Manchester United!!!

08 Oktober 2012

CLEVERLEY: SAYA MEMANG MAHU MELAKUKANNYA


Penjaring gol ketiga Manchester United ketika berdepan Newcastle United malam tadi, Tom Cleverley membantah tanggapan umum bahawa gol yang dijaringkannya itu berlaku tanpa disengajakan. Pemain tengah itu selepas tamat perlawanan pantas menegaskan bahawa dia memang mahu melakukan percubaan ke arah gawang lawan. Cleverley berjaya membolosi gawang Newcastle dua kali dalam tempoh hampir dua minggu selepas kali pertama melakukannya ketika United melayan kunjungan The Magpies pada perlawanan pusingan kedua Piala Capital One. Dari ulang tayang menunjukkan Cleverley seolah-olah mahu melakukan hantaran lambung kepada Robin Van Persie namun bola sebaliknya terus menerjah gawang yang dikawal Steve Harper. Pemain berusia 23 tahun itu bagaimanapun pantas merungkaikan persoalan itu melalui akaun Twitter miliknya. "Prestasi bagus, kemenangan yang hebat dan penyokong kami luar biasa. Tentu saja saya memang mahu melakukannya (jaringan tersebut)", tulis Cleverley. Meskipun pada mulanya dijangka sukar menawan Sports Direct Arena selepas tewas kepada Tottenham Hotspurs di Old Trafford minggu lalu, apatah lagi jika diambilkira rekod musim lalu United yang tewas 0-3 di gelanggang sama, anak-anak buah Sir Alex Ferguson akhirnya berjaya juga meraih tiga mata penuh di sini. Gol cantik jaringan Cleverley itu melengkapkan kemenangan United di gelanggang lawan selepas Jonny Evans dan Patrice Evra masing-masing menyumbang satu gol di babak pertama perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!

REVIEW: UNITED TERUS HAMBAT CHELSEA


Manchester United menebus kehampaan tewas 0-3 kepada Newcastle United musim lalu dengan meraih tiga mata penuh di Sports Direct Arena malam tadi. Jonny Evans, Patrice Evra dan Tom Cleverley memastikan United meraih kemenangan besar di gelanggang lawan sekaligus merampas semula kedudukan tangga kedua liga dari Everton. Detik-detik kekalahan The Magpies sebenarnya sudah mula kelihatan sejak minit awal permainan apabila United mencipta beberapa peluang terbaik menjaringkan gol, malah statistik sepanjang 45 minit pertama menunjukkan skuad The Red Devils melepaskan lapan percubaan tepat ke arah pintu gol lawan sedangkan skuad tuan rumah pula sekadar mencipta satu peluang terbaik. Selepas beberapa kali menekan benteng pertahanan tuan rumah, United menghasilkan gol pendahuluan melalui tandukan Jonny Evans diminit ke-8 hasil sepakan sudut Robin Van Persie. Lapan minit kemudian, giliran Patrice Evra pula memanfaatkan kelemahan lawan dalam menangani situasi bola mati apabila menanduk masuk gol kedua United, juga menerusi sepakan sudut. Papiss Cisse yang diletakkan harapan sebagai penggempur utama bersama Demba Ba gagal memberikan ancaman kepada gawang United sepanjang separuh masa pertama dan ketumpulan penyudah dua penyerang itu berpanjangan di separuh masa kedua. Bagaimanapun Cisse memperolehi peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan apabila tandukannya diminit ke-50 berjaya diselamatkan David de Gea. Meskipun ulang tayang menunjukkan bola sudah melepas garisan gol, namun Howard Webb dan pembantu pengadil perlawanan, Michael Mullarkey tidak mengesahkan gol tersebut. Tuan rumah menampilkan persembahan berbeza pada 10 minit pertama di separuh masa kedua dengan mencipta beberapa percubaan bahaya ke arah gawang United namun rentak mereka segera dimatikan  melalui gol ketiga dari Tom Cleverley. Cleverley yang menerima hantaran Wayne Rooney melepaskan rembatan lambung mengelirukan dari jarak 30 meter untuk menewaskan Steve Harper buat kali ketiga. United kini menduduki tangga kedua liga selepas memungut 15 mata dari tujuh perlawanan, empat mata di belakang pendahulu Chelsea. Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan:

Percubaan: 14 - 13
Percubaan Tepat: 2 - 8
Penguasaan Bola: 45% - 55%
Kekasaran: 15 - 12
Sepakan Sudut: 8 - 6
Offside: 0 - 2
Kad Kuning: 4 - 4
Kad Merah: 0 - 0

07 Oktober 2012

7 PEMAIN BERPOTENSI MUNCUL BINTANG MASA DEPAN UNITED

Manchester United pernah memiliki barisan skuad hebat hasil bakat yang mereka keluarkan dari Akademi Bolasepak Manchester United sendiri. Kemuncaknya ialah apabila United menuai hasil dari barisan yang dikenali sebagai Class of 92 apabila mereka muncul juara treble pada tahun 1999 apabila United  muncul juara Piala FA, kejuaraan Liga Perdana dan trofi Liga Juara-Juara (pencapaian ini masih belum mampu diulangi oleh mana-mana kelab di England). Kini pemain-pemain dari era Class of 92 semakin berada di penghujung karier mereka (malah ada yang sudah bersara sepenuhnya dari arena bolasepak) dan Sir Alex Ferguson seperti yang kita tahu mula membina semula pasukan berdasarkan kejayaan barisan Class of 92 diera 90an dan awal 2000. Berikut ada tujuh pemain muda yang dikatakan berpotensi mengulangi kejayaan yang pernah diraih barisan Class of 92 selain muncul bintang masa hadapan United:

Robbie Brady

Ada cerita menarik tentang pemain muda ini. Pada tahun 2008, Brady yang ketika itu baru berusia 16 tahun sedang berbaris di kantin United. Secara tiba-tiba Cristiano Ronaldo muncul dan  memintas barisan Brady semata-mata mahu mendapatkan kuih custard dan apple crumble kegemaran bekas bintang United itu. Sir Alex Ferguson yang kebetulan melihat kejadian itu bertanya kepada Brady mengapa dia membiarkan Ronaldo memintas dan mengambil tempatnya? Brady pantas menjawab singkat, "Kerana dia Ronaldo, bos". Sir Alex kemudiannya membalas, "Kamu berada di sini untuk menggantikan tempatnya (Ronaldo). Jadi selepas ini jangan biarkan tempatmu diambil orang lain lagi". Brady mempamerkan prestasi cemerlang ketika dipinjamkan kepada Hull City musim lalu. Pemain muda ini mungkin tidak secemerlang Ronaldo tetapi ramai pemerhati melihat dia mempunyai masa depan yang cerah dalam karier bolasepaknya. Pada usia 20 tahun, Brady juga sudah berjaya mewakili skuad kebangsaan Ireland di peringkat antarabangsa.

Davide Petrucci

David Petrucci dianggap pemain muda United yang memiliki skill paling memikat. Remaja dari Itali itu masih sabar menunggu kesempatan untuk tampil dalam skuad utama selepas di bawa Sir Alex Ferguson dari AS Roma pada 2008. Jika tidak kerana masalah kecederaan, Petrucci mungkin sudahpun menunjukkan kualiti yang ada pada dirinya ketika ini. Apa yang pasti, ketika ini Petrucci adalah adalah pemain utama skuad simpanan United jika dia cergas sepenuhnya. Petrucci adalah penjaring gol sejati dengan skill kawalan bola menarik disamping mempunyai rembatan yang kencang. Dengan segala potensi yang ada pada dirinya, Petrucci bakal menjadi pemain sandaran utama United di masa hadapan. Ada pihak yang mengatakan Sir Alex lebih sanggup menjual Nani selepas insiden pergaduhan membabitkan pemain Portugal itu dengan Petrucci semasa sesi latihan berbanding mengambil tindakan dan melepaskan pemain muda itu (Petrucci) kepada mana-mana pasukan.

Scott Wootton

Scott Wootton dianggap antara pemain pertahanan muda yang berbakat, lasak dan cukup kental. Wootton sudahpun diberikan peluang tampil pada perlawanan pusingan kedua Piala Capital One menentang Newcastle United. Jika krisis kecederaan di benteng United terus berlarutan, Wootton dijangka berpeluang tampil lebih kerap dalam skuad utama United. Wootton juga mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika tampil dalam perlawanan-perlawanan pra-musim United. Pemain muda ini sebenarnya lahir dari Akademi Liverpool namun menyertai United pada 2007 ketika berusia 16 tahun. Wootton antara contoh pemain pertahanan moden yang juga mampu beraksi sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder).

Jesse Lingard

Selepas berpeluang tampil dalam beberapa perlawanan pra musim United, Jesse Lingard antara pemain muda yang paling cepat diserapkan ke dalam skuad simpanan. Pemain tengah menyerang (attacking midfielder) ini mempunyai peluang yang sukup besar untuk diserapkan dalam skuad utama selepas muncul antara tonggak penting disebalik kejayaan skuad remaja United menjulang trofi Piala Remaja pada 2011. Kini, Lingard adalah watak penting dalam skuad simpanan United di bawah kendalian Warren Joyce. Lingard seorang pemain yang pantas, lincah dan kreatif menjana bahagian tengah. Agak malang buat Lingard kerana ketika ini skuad utama United sudah memiliki nama-nama besar di bahagian tengah terutamanya dengan kehadiran Shinji Kagawa. Lingard dan Kagawa sebenarnya dua pemain yang memiliki corak permainan yang sama. Apa yang perlu dilakukan Lingard sekarang ialah terus mempamerkan prestasi cemerlang bersama skuad simpanan dan cuba memikat perhatian Sir Alex untuk diberikan peluang beraksi dalam skuad utama United.

Ryan Tunnicliffe

Ryan Tunnicliffe dilabelkan sebagai `Roy Keane baru' buat United. Corak permainan yang tak kenal kompromi ketika berada di atas padang serta terjahan-terjahan keras milik Keane semuanya ada dalam diri Tunnicliffe. Jadi tidak hairanlah mengapa dia digelarkan sebagai `Roy Keane baru' di Old Trafford. Pemain muda ini juga dianugerahkan susuk tubuh yang cukup kuat untuk menjadikannya seorang `pemusnah'. Apa yang agak merugikan ialah, sepertimana Keane, Tunnicliffe juga cukup mesra dengan layangan kad-kad amaran hasil dari corak permainan kerasnya. Mungkin kerana jiwa mudanya dan sifat kerja keras ketika beraksi membuatkan Tunnicliffe sering diberikan amaran oleh pengadil perlawanan. Prestasi cemerlang ketika bersama skuad remaja dan skuad simpanan menyebabkan Tunnicliffe kini menjadi perhatian banyak pihak di Old Trafford. 

Michael dan Will Keane

Perenggan ini mungkin tidak sesuai dengan tajuk utama kerana ia diisi oleh dua pemain. Dua saudara kembar United, Michael Keane dan Will Keane bagaimanapun bermain di posisi berbeza, namun kedua-duanya mempamerkan kehebatan di posisi masing-masing. Michael boleh beraksi sebagai pertahanan tengah atau pertahanan kanan. Naluri sebagai pemain pertahanan memang ditagih baik ketika beraksi di peringkat remaja mahupun dalam skuad simpanan. Kerja kerasnya dan kekuatan mental Michael ketika beraksi memang diakui. Sementara Will pula beraksi sebagai penyerang dan ramai pemerhati meletakkan dia sebagai calon `Ruud Van Nistelrooy baru' buat United. Kelebihan Will sebagai penyerang ialah dia memiliki kepantasan dan umpanan-umpanan yang bagus. Selain dari kebolehan menjaringkan gol yang memang menjadi tugas seorang penyerang, Will juga sering menyumbangkan assist untuk rakan-rakan sepasukan yang lain.

Angelo Henriquez

Angelo Henriquez merupakan pembelian baru United musim panas ini selain Shinji Kagawa, Nick Powell dan Robin Van Persie. Henriquez sering disebut-sebut sebagai calon bintang masa hadapan yang semakin berkembang. Dia mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan 20 Primera Division, yang merupakan saingan tertinggi di Chile. Bagaimanapun di England, Henriquez ketika ini lebih banyak bermain untuk skuad U-21 United sebagai pendedahan permulaan buat pemain muda itu merasai saingan bolasepak Inggeris yang tentunya jauh berbeza dengan bolasepak Amerika Latin. Penyerang muda ini mempunyai naluri pemusnah yang bagus ketika berada di kawasan penalti lawan, jadi tidak hairanlah bila ramai pemerhati meramalkan Henriquez mampu merebut tempat Javier Hernandez satu masa nanti.