Manchester United pernah memiliki barisan skuad hebat hasil bakat yang mereka keluarkan dari Akademi Bolasepak Manchester United sendiri. Kemuncaknya ialah apabila United menuai hasil dari barisan yang dikenali sebagai Class of 92 apabila mereka muncul juara treble pada tahun 1999 apabila United muncul juara Piala FA, kejuaraan Liga Perdana dan trofi Liga Juara-Juara (pencapaian ini masih belum mampu diulangi oleh mana-mana kelab di England). Kini pemain-pemain dari era Class of 92 semakin berada di penghujung karier mereka (malah ada yang sudah bersara sepenuhnya dari arena bolasepak) dan Sir Alex Ferguson seperti yang kita tahu mula membina semula pasukan berdasarkan kejayaan barisan Class of 92 diera 90an dan awal 2000. Berikut ada tujuh pemain muda yang dikatakan berpotensi mengulangi kejayaan yang pernah diraih barisan Class of 92 selain muncul bintang masa hadapan United:
Robbie Brady
Ada cerita menarik tentang pemain muda ini. Pada tahun 2008, Brady yang ketika itu baru berusia 16 tahun sedang berbaris di kantin United. Secara tiba-tiba Cristiano Ronaldo muncul dan memintas barisan Brady semata-mata mahu mendapatkan kuih custard dan apple crumble kegemaran bekas bintang United itu. Sir Alex Ferguson yang kebetulan melihat kejadian itu bertanya kepada Brady mengapa dia membiarkan Ronaldo memintas dan mengambil tempatnya? Brady pantas menjawab singkat, "Kerana dia Ronaldo, bos". Sir Alex kemudiannya membalas, "Kamu berada di sini untuk menggantikan tempatnya (Ronaldo). Jadi selepas ini jangan biarkan tempatmu diambil orang lain lagi". Brady mempamerkan prestasi cemerlang ketika dipinjamkan kepada Hull City musim lalu. Pemain muda ini mungkin tidak secemerlang Ronaldo tetapi ramai pemerhati melihat dia mempunyai masa depan yang cerah dalam karier bolasepaknya. Pada usia 20 tahun, Brady juga sudah berjaya mewakili skuad kebangsaan Ireland di peringkat antarabangsa.
Davide Petrucci
David Petrucci dianggap pemain muda United yang memiliki skill paling memikat. Remaja dari Itali itu masih sabar menunggu kesempatan untuk tampil dalam skuad utama selepas di bawa Sir Alex Ferguson dari AS Roma pada 2008. Jika tidak kerana masalah kecederaan, Petrucci mungkin sudahpun menunjukkan kualiti yang ada pada dirinya ketika ini. Apa yang pasti, ketika ini Petrucci adalah adalah pemain utama skuad simpanan United jika dia cergas sepenuhnya. Petrucci adalah penjaring gol sejati dengan skill kawalan bola menarik disamping mempunyai rembatan yang kencang. Dengan segala potensi yang ada pada dirinya, Petrucci bakal menjadi pemain sandaran utama United di masa hadapan. Ada pihak yang mengatakan Sir Alex lebih sanggup menjual Nani selepas insiden pergaduhan membabitkan pemain Portugal itu dengan Petrucci semasa sesi latihan berbanding mengambil tindakan dan melepaskan pemain muda itu (Petrucci) kepada mana-mana pasukan.
Scott Wootton
Scott Wootton dianggap antara pemain pertahanan muda yang berbakat, lasak dan cukup kental. Wootton sudahpun diberikan peluang tampil pada perlawanan pusingan kedua Piala Capital One menentang Newcastle United. Jika krisis kecederaan di benteng United terus berlarutan, Wootton dijangka berpeluang tampil lebih kerap dalam skuad utama United. Wootton juga mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika tampil dalam perlawanan-perlawanan pra-musim United. Pemain muda ini sebenarnya lahir dari Akademi Liverpool namun menyertai United pada 2007 ketika berusia 16 tahun. Wootton antara contoh pemain pertahanan moden yang juga mampu beraksi sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder).
Jesse Lingard
Selepas berpeluang tampil dalam beberapa perlawanan pra musim United, Jesse Lingard antara pemain muda yang paling cepat diserapkan ke dalam skuad simpanan. Pemain tengah menyerang (attacking midfielder) ini mempunyai peluang yang sukup besar untuk diserapkan dalam skuad utama selepas muncul antara tonggak penting disebalik kejayaan skuad remaja United menjulang trofi Piala Remaja pada 2011. Kini, Lingard adalah watak penting dalam skuad simpanan United di bawah kendalian Warren Joyce. Lingard seorang pemain yang pantas, lincah dan kreatif menjana bahagian tengah. Agak malang buat Lingard kerana ketika ini skuad utama United sudah memiliki nama-nama besar di bahagian tengah terutamanya dengan kehadiran Shinji Kagawa. Lingard dan Kagawa sebenarnya dua pemain yang memiliki corak permainan yang sama. Apa yang perlu dilakukan Lingard sekarang ialah terus mempamerkan prestasi cemerlang bersama skuad simpanan dan cuba memikat perhatian Sir Alex untuk diberikan peluang beraksi dalam skuad utama United.
Ryan Tunnicliffe
Ryan Tunnicliffe dilabelkan sebagai `Roy Keane baru' buat United. Corak permainan yang tak kenal kompromi ketika berada di atas padang serta terjahan-terjahan keras milik Keane semuanya ada dalam diri Tunnicliffe. Jadi tidak hairanlah mengapa dia digelarkan sebagai `Roy Keane baru' di Old Trafford. Pemain muda ini juga dianugerahkan susuk tubuh yang cukup kuat untuk menjadikannya seorang `pemusnah'. Apa yang agak merugikan ialah, sepertimana Keane, Tunnicliffe juga cukup mesra dengan layangan kad-kad amaran hasil dari corak permainan kerasnya. Mungkin kerana jiwa mudanya dan sifat kerja keras ketika beraksi membuatkan Tunnicliffe sering diberikan amaran oleh pengadil perlawanan. Prestasi cemerlang ketika bersama skuad remaja dan skuad simpanan menyebabkan Tunnicliffe kini menjadi perhatian banyak pihak di Old Trafford.
Michael dan Will Keane
Perenggan ini mungkin tidak sesuai dengan tajuk utama kerana ia diisi oleh dua pemain. Dua saudara kembar United, Michael Keane dan Will Keane bagaimanapun bermain di posisi berbeza, namun kedua-duanya mempamerkan kehebatan di posisi masing-masing. Michael boleh beraksi sebagai pertahanan tengah atau pertahanan kanan. Naluri sebagai pemain pertahanan memang ditagih baik ketika beraksi di peringkat remaja mahupun dalam skuad simpanan. Kerja kerasnya dan kekuatan mental Michael ketika beraksi memang diakui. Sementara Will pula beraksi sebagai penyerang dan ramai pemerhati meletakkan dia sebagai calon `Ruud Van Nistelrooy baru' buat United. Kelebihan Will sebagai penyerang ialah dia memiliki kepantasan dan umpanan-umpanan yang bagus. Selain dari kebolehan menjaringkan gol yang memang menjadi tugas seorang penyerang, Will juga sering menyumbangkan assist untuk rakan-rakan sepasukan yang lain.
Angelo Henriquez
Angelo Henriquez merupakan pembelian baru United musim panas ini selain Shinji Kagawa, Nick Powell dan Robin Van Persie. Henriquez sering disebut-sebut sebagai calon bintang masa hadapan yang semakin berkembang. Dia mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan 20 Primera Division, yang merupakan saingan tertinggi di Chile. Bagaimanapun di England, Henriquez ketika ini lebih banyak bermain untuk skuad U-21 United sebagai pendedahan permulaan buat pemain muda itu merasai saingan bolasepak Inggeris yang tentunya jauh berbeza dengan bolasepak Amerika Latin. Penyerang muda ini mempunyai naluri pemusnah yang bagus ketika berada di kawasan penalti lawan, jadi tidak hairanlah bila ramai pemerhati meramalkan Henriquez mampu merebut tempat Javier Hernandez satu masa nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan