Robin Van Persie terlepas dari sebarang dakwaan oleh pihak FA England atas tuduhan menyiku Yohan Cabaye ketika pertembungan dengan Newcastle United Ahad lalu. Pengadil perlawanan, Howard Webb memberitahu dalam laporannya bahawa beliau tidak melihat insiden itu sebagai sesuatu yang serius hingga memerlukan tindakan disiplin dikenakan ke atas Van Persie. Selepas tamat perlawanan di Sports Direct Arena itu, pengendali Newcastle, Alan Pardew mahukan FA England mengambil tindakan sewajarnya selepas dia mendakwa penyerang United itu sengaja menyiku Cabaye. Jika dikenakan tuduhan dan didapati bersalah, kesalahan yang dilakukan Van Persie itu boleh membawa kepada hukuman penggantungan tiga perlawanan. Bagaimanapun selepas meneliti laporan dari Webb yang memberitahu bahawa insiden yang membabitkan Van Persie dan Cabaye itu bukanlah sesuatu yang serius hingga memerlukan layangan kad merah, FA England membuat keputusan untuk tidak memanggil penyerang United itu bagi dikenakan sebarang tuduhan berkelakuan ganas. Van Persie yang sebelumnya sudahpun menerima layangan kad kuning dari Webb akhirnya dikeluarkan Sir Alex Ferguson tidak lama selepas insiden tersebut. Keputusan FA itu dialu-alukan oleh kem United dan Ferguson sudah boleh berkira-kira untuk menurunkan Van Persie ketika berdepan Arsenal di Old Trafford bulan depan. Selain Van Persie, penyerang Liverpool, Luis Suarez juga terlepas dari sebarang tindakan oleh FA selepas pengendali Stoke, Tony Pulis mendakwa pemain antarabangsa Uruguay itu sengaja merebahkan badan semasa pertemuan kedua-dua pasukan di Anfield Ahad lalu. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan