10 Oktober 2012

CLEVERLEY CEMERLANG HASIL FORMASI BARU FERGUSON


Tom Cleverley antara pemain United paling menyerlah sejak kebelakangan ini apatah lagi selepas dia berjaya membolosi gawang Newcastle United dua kali dalam tempoh hampir dua minggu. Selepas menjaringkan gol kedua United ketika menyingkirkan The Magpies di pusingan kedua Piala Capital One, Cleverley sekali lagi menemui sentuhan jaringannya apabila sepakan lambung dari jarak 30 meter mengelirukan Steve Harper untuk memberikan kemenangan selesa 3-0 United di Sports Direct Arena Ahad lalu. Prestasi cemerlang Cleverley sebenarnya hasil dari formasi baru yang diterapkan Sir Alex Ferguson. Formasi berlian (4-2-3-1) yang digunakan Ferguson dalam beberapa perlawanan terakhir United membuahkan hasil yang positif terhadap prestasi terkini pemain berusia 23 tahun itu. Ferguson mula mengubah formasi permainan United ketika berdepan Newcastle dalam saingan Piala Capital One, kemudian diikuti ketika kunjungan United ke Romania menentang CFR Cluj dalam kempen Liga Juara-Juara dan terakhir ketika sekali lagi berdepan Newcastle dalam saingan liga Ahad lalu. Perubahan formasi ini sebenarnya membuka peluang buat Cleverley menjaringkan gol, sesuatu yang jarang diperolehinya sebelum ini ketika Ferguson menggunakan formasi 4-4-2 atau 4-5-1 di awal musim. Sementara itu, Cleverley memberi sokongan padu terhadap rakan sepasukannya, Rio Ferdinand yang sekali lagi diketepikan pengurus England, Roy Hodgson dari tugasan antarabangsa. Kelmarin Hodgson mendedahkan dia mungkin melantik Ashley Cole sebagai kapten baru skuad kebangsaan England menggantikan John Terry yang mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa baru-baru ini. Ferdinand terus diketepikan  Hodgson dari menyertai skuad kebangsaan meskipun prestasi pemain pertahanan United itu pada pandangan Cleverley lebih bagus berbanding beberapa pemain pertahanan yang disenaraikan Hodgson. Menurut Cleverley, dia tidak faham mengapa masih ramai yang terus meragui kemampuan Ferdinand selepas apa yang disumbangkan pemain itu bersama United setakat ini. "Orang ramai meragui Rio tetapi hanya sekali saja dia bermain buruk dalam tempoh enam bulan. Beliau hebat ketika bersama-sama Rafael, Patrice dan Jonny di barisan pertahanan kami.  Kami akui, beberapa kesilapan kecil menyebabkan kami terlepas gelaran musim lalu, tapi kesilapan itu sepatutnya diletakkan ke atas seluruh pasukan, bukan hanya barisan pertahanan", kata Cleverley kepada MUTV. Menurut Cleverley lagi, beberapa laporan negatif yang diterbitkan media sejak kebelakangan ini tentang Rio tidak adil buat pemain pertahanan berpengalaman itu. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan