Krisis kecederaan di benteng pertahanan menyebabkan Sir Alex Ferguson bercadang mendapatkan pemain baru pada pasaran perpindahan pemain Januari ini. Pemain pertahanan Borussia Dortmund, Mats Hummels dikatakan menjadi pilihan utama Ferguson dalam usaha memperkuatkan benteng pertahanan pasukannya. Ferguson turut diberitakan sudah menghantar wakil ke Dortmund bagi memantau aksi pemain antarabangsa Jerman itu dalam saingan Bundesliga. Walaupun berminat mendapatkan pemain yang lahir pada 16 Disember 1988 itu, Ferguson dan pihak pengurusan United masih belum mengadakan sebarang perbincangan dengan Dortmund tentang tandaharga yang diletakkan ke atas Hummels. Di peringkat antarabangsa, Hummels menjadi pilihan utama Joachim Loew di benteng pertahanan Jerman ketika pusingan akhir Euro 2012 yang lalu. Hummels juga dikenali sebagai pemain pertahanan serba boleh, kerana selain boleh berfungsi sebagai pemain pertahanan tengah, dia juga adakalanya digunakan sebagai pemain tengah bertahan ketika beraksi di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Sementara itu seorang lagi pemain pertahanan yang dikatakan menjadi sasaran United ialah tonggak di benteng Fulham, Brede Hangeland. Menurut laporan oleh The People, Ferguson akan cuba mendapatkan pemain antarabangsa Norway itu Januari ini. Meskipun sudah berusia 31 tahun, Ferguson tetap menilai Hangeland sebagai pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan beberapa pemain utamanya akibat masalah kecederaan jangka panjang. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan