10 Mei 2013

MARI BERKENALAN DENGAN BAKAL BOS MANCHESTER UNITED



David Moyes sudah sah akan mengambilalih kerusi pengurus yang dikosongkan Sir Alex Ferguson musim depan. Bagi penyokong-penyokong United termasuk saya yang pada mulanya menjangkakan Jose Mourinho akan menggantikan Sir Alex perlu menerima hakikat Moyes adalah pilihan lembaga pengarah dan Sir Alex sendiri. Buat permulaan mari kita berkenalan dengan bakal bos baru United ni. David William Moyes dilahirkan pada 25 April 1963, semasa zamannya sebagai pemain, Moyes pernah mewakili Celtics, Bristol City, Dunfermline Athletic dan mengakhiri kariernya sebagai pemain (merangkap pengurus) di Preston North End pada 1999. Sepanjang kerjayanya sebagai pemain professional, Moyes bermain sebanyak 536 perlawanan di peringkat kelab. Selepas bersara, Moyes memulakan kerjaya pengurus di Preston North End selama empat tahun (1998 hingga 2002). Empat tahun bersama Preston, Moyes mengendali kelab itu sebanyak 243 perlawanan dengan rekod 113-63-67. Pada Mac 2002, Moyes meninggalkan Preston dan menyertai Everton untuk menggantikan Walter Smith. Di bawah kendaliannya, Everton berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara pada 2005 selain mara keperlawanan akhir Piala FA edisi 2009. Pada sambutan ulangtahun kesepuluhnya di Goodison Park, Moyes menerima pujian dari rakan-rakan pengurus yang lain termasuk Sir Alex Ferguson atas pencapaiannya bersama Everton. Pemilihan Moyes bagi menggantikan tempat Sir Alex mengundang reaksi banyak pihak termasuk bekas pertahanan United, Henning Berg. Berg yang bermain untuk United pada 1997 hingga 2000 menyokong langkah pihak pengurusan mendapatkan khidmat Moyes selaku pengendali. Menurut Berg, gaya pengurusan Moyes mirip kepada Sir Alex. "Dia sangat mirip kepada Sir Alex dan dia membuktikannya di Everton. Dengan peruntukkan yang terbatas dia berjaya membawa Everton secara konsisten bersaing di kelompok teratas", kata Berg kepada Talksport. Berg juga yakin Moyes akan membawa bersama seorang atau dua anak didiknya di Everton ke Old Trafford. Okey kembali semula kepada latar belakang Moyes sebagai pengurus.

Seperti Sir Alex, Moyes juga berasal dari Scotland dan berjaya menyamai pencapaian Sir Alex dengan memenangi anugerah Pengurus Terbaik Tahunan sebanyak tiga kali (2003, 2005 dan 2009) manakala Sir Alex pula memenanginya pada 1999, 2008 dan 2011. Moyes berusia 50 tahun, 21 tahun lebih muda berbanding Sir Alex. Selama 11 tahun mengendalikan Everton, Moyes tidak pernah sekalipun berjaya memenangi trofi kejuaraan, tetapi dalam tempoh yang sama Sir Alex membawa United menang 17 kejuaraan. Kedudukan tertinggi liga yang pernah diraih Everton di bawah kendalian Moyes ialah tangga keempat pada musim 2004/05. Pencapaian terbaik mereka dalam saingan Piala FA ialah sebagai naib juara pada 2009 selepas tewas kepada Chelsea di perlawanan akhir. Dalam saingan Liga Juara-Juara pula, langkah paling jauh yang pernah dicapai Everton ialah layak ke pusingan kalah mati (16 pasukan) pada musim 2007/08. Satu-satunya trofi yang pernah dimenangi Moyes sebagai pengurus ialah Kejuaraan Liga Divisyen 2 bersama Preston North End pada musim 1999/00 lalu. Moyes muncul pengurus ketiga paling lama berkhidmat untuk sebuah pasukan di belakang Sir Alex dan Arsene Wenger sejak mengambil jawatan itu pada 2002. Sepanjang tempoh 11 tahun bersama Everton, Moyes berjaya membawa kelab Merseyside itu menang 172 dari 425 perlawanan. Angka tersebut merupakan keempat terbanyak di era Liga Perdana. Moyes berada di belakang Sir Alex (527 kemenangan), Arsene Wenger (366 kemenangan) dan Harry Redknapp (231 kemenangan). Selepas secara rasmi mengambilalih tempat Sir Alex Julai ini, Moyes bakal muncul pengurus ke-18 (sejak Newton Heath menukar nama mereka kepada Manchester United). Dari 17 pengurus sebelumnya, hanya Sir Matt Busby (1,141 perlawanan) dan Sir Alex (1,500 perlawanan) yang berjaya melepasi angka 1,000 perlawanan, manakala pengurus yang lain pula mencatat purata 297 perlawanan. Bagaimana nasib Moyes??? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

KOMEN INDIVIDU PENTING TENTANG PEMILIHAN MOYES



Terjawab sudah persoalan siapakah individu yang akan mengisi kekosongan kerusi pengurus Manchester United selepas Sir Alex Ferguson mengumumkan persaraannya kelmarin (Rabu). Pengurus Everton, David Moyes akhir dipilih sebagai pengendali United musim depan dan akan melapor diri di Old Trafford, Julai ini dengan ikatan kontrak selama 6 tahun. Pemilihan Moyes akhirnya turut memadamkan spekulasi tentang calon pengurus United yang bertiup kencang sebaik Sir Alex mengumumkan persaraannya. Sebelum itu beberapa nama dikaitkan akan mengambilalih tempat Sir Alex, antara calon yang paling hangat ialah Jose Mourinho, Jurgen Klopp dan bekas bintang United yang sukses bersama Molde FK, Ole Gunnar Solskjaer. Moyes sudah pun dipilih menggantikan Sir Alex tetapi persoalan di sini ialah apakah faktor yang menyebabkan pihak pengurusan memilih Moyes untuk mengendalikan United musim depan? Berikut adalah antara-antara alasan-alasan dan komen yang diberikan oleh individu-individu berpengaruh di Old Trafford mengapa Moyes dipilih sebagai bos baru Manchester United:

SIR ALEX. Sir Slex adalah orang pertama yang mengumumkan calon penggantinya dan beliau mendedahkan bahawa semasa perbincangan memilih pengurus baru United, pihak pengurusan sebulat suara memilih pengurus Everton itu. Menurut Sir Alex, Moyes sudah membuktikan kredibilitinya sebagai pengurus berwibawa dengan membawa Everton secara konsisten bersaing di Liga Perdana. Meskipun diberikan peruntukkan terhad setiap musim untuk membeli pemain, Moyes berjaya meletakkan The Toffees dalam kelompok atas selain berjaya melahirkan beberapa pemain bertaraf bintang. Sir Alex jelas mengagumi kerja keras Moyes di Goodison Park dan pernah menawarkan tempat untuknya sebagai pembantu di Old Trafford pada 1998. Ketika itu Moyes masih di peringkat awal kariernya sebagai pengurus untuk Preston North End. Tiada persoalan lagi tentang kualiti Moyes jadi atas sebab itu jugalah mengapa Sir Alex begitu yakin pengendali berusia 50 tahun itu mampu mewarisi kecemerlangannya di Old Trafford.

SIR BOBBY CHARLTON. Lagenda United, Sir Bobby Charlton juga sangat senang dengan pemilihan Moyes. Sir Bobby berpendapat sesiapapun yang bakal menggantikan tempat Sir Alex mestilah memiliki mental juara, dan tidak perlu diragui bahawa Moyes memilikinya. Moyes adalah individu paling tepat kerana United adalah kelab yang istimewa dan perlukan seorang yang istimewa untuk mengendalikannya. Meskipun pada mulanya ramai yang menjangkakan bahawa Jose Mourinho adalah calon utama menggantikan tempat Sir Alex tetapi United sudah mendapatkan calon yang tepat dan sesuai. Moyes memiliki karakter yang cukup kuat dan dia juga faham tentang betapa pentingnya mengembangkan bakat muda bersama pemain kelas dunia dalam pasukan. Di United, Moyes akan menjadi dirinya sendiri dan Sir Bobby gembira pengendali itu akhirnya menerima tawaran sebagai pengurus di Old Trafford.

ED WOODWARD: Woodward melihat Moyes memiliki sikap yang hampir sama seperti Sir Alex. Moyes menurut pandangan Woodward adalah seorang pengurus yang memiliki semua kemampuan untuk membangunkan pasukan. Tidak perlu diragui bahawa kekuatan dan komitmen yang ada dalam diri Moyes bakal menjadikan United terus cemerlang di bawah kendaliannya. Woodward cukup tertarik dengan gaya kepimpinan yang ditunjukkan Moyes di Goodison Park dan yakin warga Scotland itu mampu meneruskannya bersama United. ”Saya yakin dia akan menjadi sebahagian dari tradisi United”, komen Woodward ringkas.

JOEL GLAZER: Timbalan Pengerusi, Joel Glazer juga gembira dengan pemilihan Moyes. Menurut Joel, beliau gembira kerana Moyes setuju memimpin United dan pengendali itu memiliki sifat kerja keras dalam diri, kriteria yang cukup dihargai di United. ”Dia sudah menunjukkan dirinya sebagai seorang pengurus yang impresif selama bertahun-tahun. Kami sangat yakin David mampu meneruskan apa yang sudah dilakukan Sir Alex selama ini. Dia akan meneruskan tradisi kelab dengan memainkan bolasepak menarik”, kata Joel.

AVIE GLAZER: Seorang lagi Timbalan Pengerusi, Avie Glazer mendedahkan Moyes adalah pilihan Sir Alex. Avie mengatakan perbincangan mencari pengurus baru berlangsung dalam waktu yang singkat kerana Sir Alex sudahpun mempunyai pilihannya sendiri. ”Sir Alex jelas sudah mempunyai calonnya sendiri ketika beliau menamakan David selaku calon penggantinya. Kami sangat gembira kerana David menerima tawaran kami. Dia datang ke Old Trafford dengan rekod mengagumkan dan dia sudah sedia memulakan tugasnya. Dia dan Woodward akan duduk semeja pada akhir musim untuk berbincang tentang rancangan masa depan kelab”, kata Avie.

DAVID GILL: Ketua Eksekutif Manchester United ini tidak banyak memberikan komen tentang kehadiran Moyes namun percaya pengendali itu mampu meneruskan kecemerlang United. ”Saya gembira kerana David setuju menyertai kami. Dia melakukan tugasnya dengan hebat di Everton. Dia memiliki kualiti yang kami cari sebagai pengganti Sir Alex”, komen Gill.

DAVID MOYES: Akhir sekali David Moyes sendiri memberikan komen tentang keputusannya menyertai Manchester United. Menurut Moyes tawaran yang diberikan untuk mengendalikan United merupakan satu penghormatan besar sepanjang kariernya. ”Saya gembira kerana ditawarkan menggantikan tempat Sir Alex dan ia satu penghormatan besar buat saya. Saya lebih gembira kerana Sir Alex yakin dengan kemampuan dan mencadangkan nama saya kepada lembaga pengarah. Sir Alex adalah figura yang saya cukup hormati. Saya sedar sangat sukar untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan beliau, tetapi peluang menjadi pengurus United tidak datang setiap saat. Saya sudah bersedia menjalankan tugas itu musim depan”, kata Moyes. Selepas 11 tahun mengendalikan Everton, Moyes merakamkan penghargaannya buat semua pihak di Goodison Park atas kerjasama dan sokongan yang diterimanya selama ini. ”Mulai saat ini saya akan bekerja keras untuk membawa Everton menamatkan saingan musim ini di tempat terbaik. Penyokong Everton yang fantastik memainkan peranan besar sepanjang karier saya di Goodison Park. Everton akan sentiasa berada di hati saya”, kata Moyes lagi.

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

09 Mei 2013

TERIMA KASIH SIR ALEX...ATAS SEGALANYA


Apakah dunia bolasepak sudah bersedia kehilangan seorang lagenda yang mewarnai pentas dunia selama hampir 27 tahun? Selepas mengumumkan persaraannya secara rasmi semalam, kita pasti akan merindui sentuhan magik dan karakternya musim depan. Sudah tentu kita punya pendapat berbeza tentang soalan yang dilontarkan di atas tetapi kita tidak boleh menafikan selama 27 tahun Sir Alex mengendalikan Manchester United, beliau sudah meninggalkan kesan yang bukan sedikit baik kepada penyokong-penyokong United sendiri mahupun lawan mereka. Setiap dari kita akan mengenang Sir Alex dengan cara yang berbeza tetapi ada beberapa ciri khas miliknya yang akan selalu membuatkan kita mengenangnya. Karakter Sir Alex yang pasti dirindui selepas ini ialah tabiatnya di tepi padang yang gemar melihat jam tangan setiap kali United ketinggalan kepada lawan. Gol-gol penghujung permainan memang sudah sinonim dengan United di bawah kendalian Sir Alex hingga ada yang menamakan situasi ini sebagai Fergie Time. Gol-gol pada saat genting seperti itu menunjukkan United memiliki mentaliti kuat untuk menang dan ia sebenarnya disebabkan pengaruh Sir Alex dari tepi padang. Istilah Fergie Time hanya muncul buat pertama kali pada 1998, tetapi kegemaran barisan The Red Devils menjaringkan gol lewat permainan berlaku lama sebelum itu. Pada April 1993, Steve Bruce menjaringkan dua gol ke gawang Sheffield Wednesday sekaligus menghadiahkan kemenangan 2-1 kepada United. Gol kedua Bruce dihasilkan diminit keenam waktu kecederaan yang memberikan United kejuaraan pertama liga dalam tempoh 26 tahun. Bagi penonton neutral (bukan penyokong United mahupun lawan), gol-gol dramatik seperti itu menjadikan perlawanan-perlawanan membabitkan United cukup seronok untuk ditonton. Di sebalik Fergie Time pegawai keempat perlawanan juga sering menjadi sasaran kemarahan beliau jika tambahan masa yang diberikan tidak selaras dengan apa yang beliau jangkakan. Bagi penyokong-penyokong United yang berumur belasan tahun atau awal 20an, Sir Alex adalah Manchester United. Selepas ini mereka mungkin berasa agak janggal apabila menyaksikan perlawanan-perlawanan United tanpa kelibat Sir Alex di tepi padang. Sambil mengunyah gula-gula getah, Sir Alex akan memberikan reaksi-reaksi spontan terhadap apa yang berlaku di tengah padang. Menyaksikan Sir Alex berteriak memberikan arahan atau membantah keputusan pengadil perlawanan dan tindakan yang dilakukan pemain lawan adalah perkara biasa.

Sir Alex bukan saja pengurus bolasepak yang hebat tetapi kata-kata yang dilemparkannya sering menjadi perhatian dan antaranya masih diingati hingga kini. Antara kata-katanya yang masih diingati hingga sekarang ialah "Tugas saya di sini ialah untuk menjatuhkan Liverpool". Kata-kata Sir Alex itu diucapkannya dalam satu sidang akhbar selepas mengambilalih tugas dari Ron Atkinson sebagai pengendali United, tetapi ucapannya yang paling terkenal ialah "Football, bloody hell" yang dilemparkan beliau selepas United menumpaskan Bayern Munich di final Liga Juara-Juara 1999. Sebagaimana sentuhan berbisanya sebagai pengendali, begitu jugalah berbisa dan pedasnya kata-kata yang keluar dari mulutnya hinggakan beliau diberikan gelaran hair dryer treatment oleh pemain-pemainnya. Amukan Sir Alex terhadap pemain-pemainnya di bilik persalinan adalah perkara biasa jika mereka bermain di bawah prestasi sebenar. Tidak hanya pemain-pemain sendiri menjadi mangsa kata-kata pedasnya, malah lawannya turut menerima nasib yang sama. Musim ini Alan Pardew menjadi mangsa terbaru Sir Alex apabila beliau menggelar bos Newcastle United itu sebagai "Pengurus Kelab Kecil". Sebagai pengurus kelab terbesar di dunia, Sir Alex sudah tentu terpaksa berdepan dengan pesaing-pesaingnya terutama di peringkat domestik. Pencabar dan pesaing Sir Alex datang silih berganti sepanjang beliau berada di Old Trafford. Kenny Dalglish, Kevin Keegan, Arsene Wenger, Jose Mourinho, Rafa Benitez dan Alan Pardew adalah antara beberapa nama yang pernah terbabit dalam pertikaian dengan Sir Alex. Bukan saja pesaing dan pencabar dari luar, malah Sir Alex sendiri terpaksa berdepan karenah di kalangan pemain-pemainnya sendiri. Pemain-pemain yang cuba cari pasal dengannya ibarat membuka sendiri pintu keluar dari Old Trafford. Paul Ince, Jaap Stam, David Beckham, Ruud Van Nistelrooy, Gabriel Heinze dan Roy Keane adalah antara nama-nama besar yang pernah disingkirkan Sir Alex kerana tindakan mereka yang cuba menguji kesabaran beliau. Sir Alex tidak pernah tunduk kepada kehendak pemain-pemainnya sekalipun mereka adalah tonggak utama pasukan. Bagi beliau, United tidak dibina dengan hanya bertunjangkan seorang atau dua pemain tetapi kekuatan kelab melibatkan semua pihak di Old Trafford. Jadi jika ada pemain yang cuba menunjukkan ego dan besar kepala mereka, anda dipersilakan pergi.

Kejayaan tidak datang dengan segera dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Jika mahu berjaya anda perlukan pengorbanan dan keberanian kerana jika tidak sanggup melakukannya, anda tidak akan berjaya. Itulah antara prinsip utama yang dipegang Sir Alex selama beliau duduk di kerusi panas Pengurus Manchester United. Ketika melihat pasukannya tewas dalam saingan merebut kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers musim 1994-95, Sir Alex melakukan rombakan besar ke atas skuadnya dengan memperkenalkan beberapa muka baru. Mereka merupakan pemain-pemain remaja dari Akademi United yang diletakkan harapan untuk menggantikan tempat beberapa pemain senior yang gagal memberikan sumbangan berkesan kepada pasukan. Tindakan Sir Alex membawa masuk David Beckham, Paul Scholes, Nicky Butt, Gary dan Phil Neville ke dalam skuad utamanya dikritik lagenda Liverpool, Alan Hansen yang ketika itu bertugas sebagai pengulas di BBC. Hansen secara menyindir mengatakan mana-mana pasukan tidak akan menang trofi kejuaraan jika menurunkan budak-budak. Akhirnya Hansen terpaksa menelan kata-kata yang dilemparkannya sendiri apabila budak-budak inilah yang membawa United kembali memenangi trofi kejuaraan liga musim berikutnya (1995-96). Sir Alex memang diketahui seorang pengurus yang cukup yakin dengan bakat-bakat muda dan bijak menggilap bakat mereka hingga berjaya muncul bintang masa hadapan. Tradisi membimbing bakat muda sama ada dari Akademi ataupun menerusi pembelian masih beliau teruskan hingga kehari ini. Sebagai seorang individu yang tegas, Sir Alex juga cukup terkenal dengan sifat keras hatinya. BBC pernah menjadi mangsa Sir Alex selepas badan penyiaran itu dalam laporan-laporannya melabelkan beliau umpama seorang diktator. Akibatnya, BBC terpaksa membayar harga yang mahal atas tindakan mereka itu apabila diboikot Sir Alex. Badan penyiaran British itu terpaksa mengambil masa bertahun-tahun hanya untuk mendapatkan sedikit perhatian dari beliau. Bagi Sir Alex, kesetiaan dan rasa hormat cukup penting baginya, jadi tidak hairanlah mengapa dua bintang lagenda United, Ryan Giggs dan Paul Scholes menerima layanan istimewa dari beliau. 

Walaupun dikenali sebagai seorang individu yang tegas dan keras, Sir Alex tetap manusia biasa yang memiliki sisi humor dalam dirinya. Pada 1993, Sir Alex mengatakan bahawa pasukannya yang diketuai Eric Cantona ketika itu mampu membuatkan seorang penyokong sebaya beliau melompat seperti anak kecil. Sir Alex melakukannya setiap kali beliau merayakan gol penting United dengan melakukan tarian-tarian yang agak aneh. Sir Alex memang selalu spontan, sering melemparkan senyuman dan melahirkan kegembiraannya tanpa mengira tempat, jadi beliau tidak ambil kisah jika ada pihak mengatakan bahawa tariannya itu melucukan. Sir Alex menamakan tariannya itu sebagai dad dancing. Sir Alex pengurus yang bijak dan membangunkan kekuatan pasukan berteraskan kelebihan yang dimiliki pemain-pemainnya. Permainan United sendiri kadang kala dilihat seperti sudah diprogramkan untuk menang dalam perlawanan-perlawanan mereka. Bagaimanapun adakalanya Sir Alex terpaksa juga bergantung kepada pemain-pemain utamanya. Nama-nama seperti Eric Cantona, Cristiano Ronaldo, Ryan Giggs, Wayne Rooney dan kini Robin Van Persie sering memainkan peranan penting dan kerap menjadi penentu kepada keputusan-keputusan perlawanan United. United mampu mengekalkan tahap konsistensi mereka kerana memiliki pemain-pemain bintang dari tahun ke tahun. Sesiapapun yang menggantikan tempat Sir Alex nanti dijangka tidak berdepan kesukaran kerana beliau sudah membina Manchester United untuk menjadi pasukan yang kuat dan stabil, bukan untuk waktu terdekat sahaja tetapi dalam tempoh yang panjang. Sir Alex dan trofi bolehlah diibaratkan seperti aur dengan tebing. Puluhan kejuaraan yang sudah dimenanginya sejak mengendalikan United 27 tahun lalu adalah bukti paling tepat. Boleh dikatakan hampir setiap tahun barisan pemain-pemain United di bawah bimbingan Sir Alex mengisi almari trofi di Old Trafford dengan kejuaraan. Memenangi kejuaraan secara konsisten jelas menunjukkan Sir Alex berjaya menanamkan naluri juara dalam diri setiap pemainnya. Sudah tentu penyokong-penyokong United mengharapkan siapapun yang menggantikan Sir Alex nanti mampu meneruskan momentum juara yang selama ini diterapkan Sir Alex kepada barisan The Red Devils. Terima kasih Sir Alex atas segalanya…Glory Glory Manchester United!!! – A.J

08 Mei 2013

BERITA TERGEMPAR: SIR ALEX AKHIRNYA UMUMKAN PERSARAAN


Sir Alex Ferguson akhirnya mengumumkan persaraannya secara rasmi hujung musim ini selepas 27 tahun mengendalikan Manchester United. Berita ini diumumkan oleh laman sesawang rasmi United manutd.com hari ini. Pengurus paling berjaya dalam sejarah bolasepak England ini akan mengendalikan United buat kali terakhir ketika berdepan West Brom 19 Mei ini. Selepas bersara sebagai pengurus nanti, Sir Alex diberitakan akan menyertai pula Lembaga Pengarah Kelab. Mengumumkan persaraannya akhir musim ini, Sir Alex mengatakan, "Sebelum mengumumkan keputusan ini saya sudah memikirkan secara mendalam dan ia bukanlah satu keputusan yang mudah. Ini adalah saat yang tepat untuk melakukannya dan sangat penting untuk saya meninggalkan organisasi ini ketika mereka dalam keadaan kuat dan stabil. Kualiti skuad juara ini dan keseimbangan usia pemain merupakan petanda baik untuk tempoh jangka panjang. Struktur pasukan remaja pula akan memastikan masa depan yang cerah buat kelab. Mengenai rancangan ke hadapan, saya gembira memainkan peranan selaku pengarah dan juga duta kelab. Dengan aktiviti baru ini, disertai minat yang lain, saya tidak sabar untuk menikmati. Saya harus memberikan penghormatan buat keluarga saya kerana sokongan mereka kepada saya selama ini amat penting. Isteri saya, Cathy adalah individu penting sepanjang karier saya", kata Sir Alex. Berita mengejut persaraan Sir Alex ini kemudiannya pantas menghadirkan spekulasi tentang siapa yang bakal menggantikan tempatnya.  Berbagai spekulasi mula bertiup kencang dan munculah senarai panjang calon-calon yang dikira cukup layak mengambilalih peranan Sir Alex di Old Trafford. Antara paling hangat diperkatakan ialah tindakan mengejut yang diambil Sir Alex ini bertujuan memberi laluan buat Jose Mourinho dilantik sebagai bos baru United. Dari desas desus di England, Sir Alex dikatakan tidak sanggup melihat Mourinho menyertai semula Chelsea, kerana jika perkara itu berlaku, Mourinho pasti akan kekal lama di Stamford Bridge dengan ikatan kontrak yang panjang. Sebelum ini pun sudah terdapat laporan-laporan yang mengatakan bahawa Sir Alex memang mahukan warga Portugal itu mengambilalih jawatannya. Selamat Bersara Sir Alex!. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

06 Mei 2013

DEMI KARIER, ANDO MESTI TINGGALKAN OLD TRAFFORD


Sukar untuk mempercayai apabila menyaksikan prestasi Anderson (Ando) terus merosot sekaligus memberikan isyarat dia bakal menuju pintu keluar musim panas ini. Tidak boleh dinafikan bahawa Ando adalah favourite penyokong-penyokong United di mana dia sering diberikan sambutan dan sorakan hebat setiap kali masuk ke padang. Sekalipun dibelenggu prestasi tidak menentu dan kecederaan demi kecederaan yang dialaminya, masih ramai yang mengharapkan agar Ando mampu memberikan sesuatu kepada pasukan. Ando di beli Sir Alex Ferguson dari FC Porto pada 2007 kerana beliau begitu tertarik dengan gaya permainan menyerangnya dan memiliki kualiti ketika bertahan sekaligus diletakkan harapan sebagai pengganti sesuai buat Keane. Bagaimanapun harapan awal penyokong-penyokong United yang mahu menyaksikan warga Brazil dengan skill hebat mengemudi bahagian tengah United hingga kini tidak kesampaian apabila Ando sendiri gagal memenuhi jangkaan awal yang diletakkan ke atasnya. Statistik tidak pernah berbohong apabila dalam tempoh enam musim, Ando hanya bermain penuh selama 90 minit sebanyak 18 perlawanan sahaja. Kegagalan Ando berlanjutan hingga aksi menentang Arsenal minggu lalu apabila dia sekadar diletakkan selaku pemain simpanan dan hanya dimasukkan ketika masa sebenar permainan berbaki 17 minit untuk ditamatkan. Peluang yang diberikan gagal digunakan sepenuhnya oleh Ando di mana dalam tempoh 17 minit dia hanya mampu memberikan aksi berkarat selain gagal memberikan sokongan kepada Wayne Rooney. Ketika beraksi bersama Gremio dan Porto, Ando adalah pemain berbeza di mana ketika itu, dia diiktiraf antara bakat muda yang memiliki gaya permainan menarik dengan peranan selaku pemain tengah menyerang. Pada tahun 2005, bakat Ando diiktiraf apabila dia dipilih FIFA sebagai pemenang Bola Emas (Pemain Terbaik Bawah 17 Tahun), selain membantu Brazil menang Kejohanan Bawah 17 Tahun Amerika Selatan. Bakat dan kebolehan yang dipamerkan Ando mula membuka mata ramai pihak hingga dia dilabel sebagai pengganti Kaka, manakala kelab-kelab Eropah pula mula menghantar pencari-pencari bakat mereka meninjau aksinya bersama Gremio di Brazil.

Ketika dia tiba di Old Trafford, ramai pihak terutamanya peminat-peminat bolasepak Brazil terkejut apabila Sir Alex lebih banyak menggunakan Ando sebagai pemain tengah bertahan. Ketika di atas padang, Ando adalah pemain yang gemar memberikan tekanan kepada lawan menerusi bentesen-bentesan kerasnya dan selaku pemain tengah, kualiti hantaran adalah aset utamanya. Bagaimanapun kecederaan demi kecederaan yang menghantuinya sejak tiba di Old Trafford membataskan kemampuan Ando, dan sekarang dia terjebak pula dengan dua peranan berbeza yang terpaksa dimainkannya. Walaupun masih ada pihak di Old Trafford sama ada pihak pengurusan mahupun penyokong-penyokong meletakkan harapan agar Ando menemui sentuhan lama yang pernah menjulang namanya ketika diusia remaja, impian itu sebenarnya sukar untuk diterjemahkannya di atas padang. Setiap musim penyokong-penyokong United sering mengharapkan agar musim tersebut bakal menjadi musim Ando tetapi harapan tetap tinggal harapan. Kini Ando hanya ada satu cara untuk menyelamatkan kariernya, iaitu dengan meninggalkan Old Trafford. Khabar terbaru bakal memberikan Ando jalan yang lebih mudah untuk keluar selepas pihak pengurusan dilaporkan meletakkan namanya dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Sir Alex sudah hampir pasti mendapatkan tenaga baru di bahagian tengah pasukannya memandangkan Paul Scholes mungkin mengumumkan persaraan buat kali kedua manakala Darren Fletcher pula berdepan masalah kesihatan yang berpanjangan. Kevin Strootman dan Victor Wanyama adalah antara nama yang dikaitkan bakal dipancing Sir Alex untuk menguatkan bahagian tengah United dan anda sudah pasti dapat menjangkakan masa depan Ando. Jika Ando dibenarkan pergi, dia perlu mencari pasukan yang boleh meletakkan dirinya di posisi kegemarannya iaitu selaku pemain tengah menyerang, bukannya berada jauh di kawasan sendiri dengan peranan lebih defensif. Hanya pasukan yang boleh menawarkan tempat untuknya dalam kesebelasan utama dengan peranan seperti itu boleh menyelamatkan karier Ando…selebihnya terpulang kepada diri Ando sendiri. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

04 Mei 2013

RIO...MASIH LAGI ANTARA YANG TERBAIK


Rio Ferdinand merupakan sosok yang cukup berpengaruh bagi Manchester United. Kita tidak boleh menidakkan sumbangan Rio atas kejayaan United menjulang trofi Liga Perdana musim ini. Di awal musim, ketika Sir Alex Ferguson berdepan krisis kecederaan di benteng pertahanan pasukannya, Rio yang sudah menjangkau usia 34 tahun terpaksa memikul beban bermain setiap minggu. Ketika itu, Rio menjadi satu-satunya pemain pertahanan tengah yang dimiliki Sir Alex selepas Jonny Evans, Chris Smalling, Phil Jones dan Nemanja Vidic mengalami kecederaan serentak. Musim lalu, Rio berdepan musim suram selepas kerap dibelenggu kecederaan belakang, United terlepas trofi liga kepada seteru setempat, Manchester City dengan hanya perbezaan jaringan manakala adiknya, Anton pula menjadi mangsa perkauman kapten Chelsea, John Terry. Rio tidak disenaraikan Roy Hodgson untuk aksi Euro 2012 atas alasan bolasepak tetapi ramai percaya tindakan Hodgson (tidak menyenaraikan Rio) disebabkan bimbang insiden membabitkan Anton dan Terry boleh menjejaskan keharmonian pasukan. Tidak kira apapun kontroversi yang menyelubungi pemain pertahanan berpengalaman United itu, Rio sebenarnya masih ada tempat dalam skuad The Three Lions jika diukur prestasi yang dipamerkannya untuk United musim ini. Kemunculan pemain-pemain pelapis seperti Jones, Smalling dan Evans seolah-olah memberikan isyarat bahawa tempoh keemasan buat Rio dan gandingan ampuhnya, Nemanja Vidic semakin berada di penghujung. Memang diakui bahawa pintu gol United mudah dibolosi terutamanya di awal musim hingga menimbulkan rasa bimbang bukan sahaja kepada Sir Alex tetapi penyokong-penyokong United sendiri. Ketika itu ramai pihak menunding jari ke arah barisan pertahanan yang diketuai Rio. Ramai mengatakan bahawa Rio yang semakin hilang kepantasan menjadi penyebab utama rapuhnya benteng hingga mudah dibolosi lawan. Kekalahan United di tangan Tottenham Hotspurs buat pertama kali dalam tempoh 23 tahun di gelanggang sendiri menyebabkan Rio terus dikritik hebat hingga menimbulkan persoalan apakah musim ini bakal menjadi musim terakhirnya di Old Trafford. Masuk saja ke tahun baru 2013, Sir Alex mengubah sedikit gaya permainan United dengan meletakkan benteng pertahanan sebagai fokus utamanya. Meskipun corak permainan United menjadi sedikit tidak menarik apabila mereka lebih defensif tetapi benteng pertahanan menjadi begitu sukar ditembusi penyerang lawan.

Keputusan Sir Alex itu memang jelas satu tindakan yang cukup bijak dimana beliau meletakkan sasaran menang biarpun dengan kelebihan hanya satu gol dalam setiap perlawanan. Kembalinya semula beberapa pemain pertahanan yang sebelumnya mengalami kecederaan turut mengurangkan beban yang digalas Rio dan akhirnya United berjaya mengimbangi ketajaman barisan hadapan dengan kekebalan di bahagian belakang. Keseluruhan kekuatan pasukan akhirnya mula seimbang hingga menyaksikan mereka berjaya merampas trofi Liga Perdana dari tangan Manchester City sekaligus merupakan gelaran ke-20 United. Berbalik kepada hal Rio, kita perlu mengakui bahawa pada usia 34 tahun dia masih lagi tunjang di barisan belakang United meskipun prestasinya kadangkala dikritik penyokong-penyokong United sendiri. Pada perlawanan-perlawanan besar dan penting musim ini, nama Rio sentiasa ada dalam senarai kesebelasan utama United, atau dalam bahasa mudahnya Rio wajib ada dibenteng pertahanan jika United berdepan kelab-kelab besar tidak kiralah sama ada di peringkat domestik atau pun Eropah. Lagenda AC Milan dan Itali, Paolo Maldini pernah mengiktiraf Rio sebagai antara pemain pertahanan tengah terbaik dunia tetapi sukar untuk membayangkan Rio mampu mengikut jejak Maldini yang masih lagi mampu bermain untuk Milan sehingga menjangkau usia 40 tahun. Tempo permainan Liga Perdana jauh berbeza jika dibandingkan dengan Serie A jadi amat sukar untuk melihat pemain-pemain di England mampu bermain di peringkat tertinggi buat jangkamasa yang lama, dan Rio tidak terkecuali. Rio tidak sepantas 7 atau 8 tahun yang lalu tetapi dia masih lagi benteng yang sukar ditembusi dan digeruni penyerang-penyerang handalan di Liga Perdana. Sukar untuk membayangkan musim ini tanpa Rio apatah lagi jika memikirkan siri kecederaan panjang yang dialami pemain-pemain pertahanan United di awal musim. Kita mungkin tidak pernah terfikir Rio masih mampu bertahan sehingga kini kerana 4 tahun lalu ketika dia berusia 30 tahun, Rio berdepan siri kecederaan pangkal paha, betis dan belakang hingga membataskan penampilannya untuk skuad kebangsaan dan kelab. Ketika itu ramai yang meramalkan karier Rio akan berakhir. Musim ini Rio bangkit memberikan segala yang mampu diberikannya kepada kelab, tidak ada pengganti setanding buat pemain sepertinya untuk pengalaman dan daya fikirnya yang begitu tajam ketika di atas padang. Tidak syak lagi Rio bukan sekadar pemain bolasepak, tetapi dia juga adalah pemimpin, idola, ikon dan lagenda Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

01 Mei 2013

FALCAO MENDARAT DI OLD TRAFFORD? BERITA YANG CUKUP SENSASI TETAPI...


Cuba bayangkan walau sesaat, barisan serangan Manchester United musim depan dibarisi Radamel Falcao. Tentu menakutkan bukan? Meskipun Sir Alex menafikan sebarang spekulasi yang mengaitkan kelibat penyerang Atletico Madrid itu dengan pasukannya, kolumnis dari Daily Mail, Graeme Yorke sebaliknya berpendapat United memiliki sebab yang kuat untuk menandatangani pemain itu. Minggu lalu menerusi halaman sukannya, Sportsmail melaporkan bahawa Sir Alex sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan dana hingga 47 juta Pound yang turut melibatkan Javier Hernandez sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran. Yorke dalam laporannya turut menyebut nilai Hernandez yang dianggarkan sekitar 20 juta Pound bermakna Sir Alex hanya perlu menambah 27 juta Pound sahaja lagi kepada Atletico bagi menyelesaikan kesepakatan. Falcao memang diketahui menjadi sasaran beberapa kelab besar Eropah musim panas ini antaranya Manchester City, Chelsea, Juventus dan Real Madrid, tetapi Yorke yakin terdapat beberapa kelab lagi yang memiliki potensi tinggi mendapatkan tandatangan Falcao. Kelab yang dimaksudkan Yorke itu salah satunya ialah Manchester United. Falcao sudah membuktikan betapa dia adalah penyerang berbisa dan antara yang terbaik di dunia ketika ini terutama selepas menyaksi penampilannya bersama Atletico sejak dua tahun terakhir. Musim ini Falcao sudah meledak 30 gol dari 34 penampilan buat Atletico, jadi tidak hairanlah mengapa nama bekas penyerang FC Porto itu cukup sensasi ketika jendela perpindahan pemain dibuka musim panas nanti. Nani antara pemain United yang disebut-sebut hampir pasti meninggalkan Old Trafford sebaik musim ini berakhir manakala masa depan Wayne Rooney pula masih menjadi tandatanya di kalangan pemerhati mahupun penyokong-penyokong United sendiri. Jika kelab mewah Perancis, Paris St Germain meletakkan tawaran lumaayan ke atas Rooney dan menjanjikan gaji yang berlipat kali ganda berbanding apa yang diterimanya ketika ini, tidak mustahil Wazza akan angkat kaki meskipun kebenaran itu cukup pahit untuk ditelan kebanyakkan penyokong-penyokong United.

Sekiranya Hernandez dilibatkan dalam perjanjian pertukaran untuk mendapatkan Falcao, Rooney pula berhijrah ke Perancis, maka akan lebih mudah untuk kita menyaksikan di mana fungsi Falcao dalam pasukan. Walau bagaimanapun persoalan besar pastinya akan timbul apakah Falcao dan Robin Van Persie mampu membentuk kombinasi yang cukup sesuai menggalas tugas sebagai penggempur musim depan. Mampukah kedua-dua penyerang ini bekerja sama dengan baik? Jika ditanya pendapat saya, saya lebih gemar melihat Rooney terus kekal di Old Trafford. Musim ini, kita tidak boleh menafikan bahawa Rooney sudah memainkan peranan dengan cukup berkesan di barisan hadapan meskipun dia sekadar menjaringkan 12 gol dari 22 penampilan liga setakat ini. Van Persie memang menakjubkan dengan gol demi gol yang dihasilkannya tetapi Rooney merupakan pemain yang lebih versatil di mana dia mampu melaksanakan tanggungajwabnya dengan berkesan selaku penyerang mahupun pengumpan buat Van Persie. Bagi Hernandez pula, dia adalah penyerang yang fantastis biarpun sering saja bermula di bangku simpanan. Meletakkannya sebagai pertukaran, ditambah dengan 27 juta Pound wang tunai lagi untuk seorang pemain adalah harga yang terlalu tinggi untuk dibayar. Sekiranya ditakdirkan Falcao benar-benar menyertai Manchester United dan kemudiannya membenarkan pemain hebat seperti Rooney dan Hernandez meninggalkan Old Trafford, itu adalah satu perjudian besar yang dilakukan Sir Alex. Secara jujurnya saya berpendapat, Sir Alex sepatutnya lebih fokus memperkuatkan bahagian tengah dan sayap pasukannya, bukan memburu penyerang baru musim panas ini melainkan Rooney tidak dapat menahan godaan tawaran lumayan yang dberikan Paris St Germain. Jika perkara ini berlaku (Rooney mengambil keputusan berhijrah), barulah Sir Alex mempunyai sebab kukuh menandatangani Falcao atau mana-mana penyerang baru yang dirasakan beliau sesuai dengan corak dan taktikal permainan United. Jika ditanya pendapat saya, saya tidak yakin Falcao akan mendarat di Old Trafford…GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! – A.J