David Moyes sudah sah akan mengambilalih
kerusi pengurus yang dikosongkan Sir Alex Ferguson musim depan. Bagi
penyokong-penyokong United termasuk saya yang pada mulanya menjangkakan Jose
Mourinho akan menggantikan Sir Alex perlu menerima hakikat Moyes adalah pilihan
lembaga pengarah dan Sir Alex sendiri. Buat permulaan mari kita berkenalan
dengan bakal bos baru United ni. David William Moyes dilahirkan pada 25 April
1963, semasa zamannya sebagai pemain, Moyes pernah mewakili Celtics, Bristol
City, Dunfermline Athletic dan mengakhiri kariernya sebagai pemain (merangkap
pengurus) di Preston North End pada 1999. Sepanjang kerjayanya sebagai pemain professional,
Moyes bermain sebanyak 536 perlawanan di peringkat kelab. Selepas bersara,
Moyes memulakan kerjaya pengurus di Preston North End selama empat tahun (1998
hingga 2002). Empat tahun bersama Preston, Moyes mengendali kelab itu sebanyak
243 perlawanan dengan rekod 113-63-67. Pada Mac 2002, Moyes meninggalkan
Preston dan menyertai Everton untuk menggantikan Walter Smith. Di bawah kendaliannya,
Everton berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara pada 2005 selain mara
keperlawanan akhir Piala FA edisi 2009. Pada sambutan ulangtahun kesepuluhnya
di Goodison Park, Moyes menerima pujian dari rakan-rakan pengurus yang lain
termasuk Sir Alex Ferguson atas pencapaiannya bersama Everton. Pemilihan Moyes bagi
menggantikan tempat Sir Alex mengundang reaksi banyak pihak termasuk bekas
pertahanan United, Henning Berg. Berg yang bermain untuk United pada 1997
hingga 2000 menyokong langkah pihak pengurusan mendapatkan khidmat Moyes selaku
pengendali. Menurut Berg, gaya pengurusan Moyes mirip kepada Sir Alex. "Dia sangat mirip kepada Sir Alex
dan dia membuktikannya di Everton. Dengan peruntukkan yang terbatas dia berjaya
membawa Everton secara konsisten bersaing di kelompok teratas", kata Berg
kepada Talksport. Berg juga yakin
Moyes akan membawa bersama seorang atau dua anak didiknya di Everton ke Old
Trafford. Okey kembali semula kepada latar belakang Moyes sebagai pengurus.
Seperti Sir
Alex, Moyes juga berasal dari Scotland dan berjaya menyamai pencapaian Sir Alex
dengan memenangi anugerah Pengurus Terbaik Tahunan sebanyak tiga kali (2003, 2005
dan 2009) manakala Sir Alex pula memenanginya pada 1999, 2008 dan 2011. Moyes
berusia 50 tahun, 21 tahun lebih muda berbanding Sir Alex. Selama 11 tahun
mengendalikan Everton, Moyes tidak pernah sekalipun berjaya memenangi trofi
kejuaraan, tetapi dalam tempoh yang sama Sir Alex membawa United menang 17
kejuaraan. Kedudukan tertinggi liga yang pernah diraih Everton di bawah kendalian
Moyes ialah tangga keempat pada musim 2004/05. Pencapaian terbaik mereka dalam
saingan Piala FA ialah sebagai naib juara pada 2009 selepas tewas kepada
Chelsea di perlawanan akhir. Dalam saingan Liga Juara-Juara pula, langkah
paling jauh yang pernah dicapai Everton ialah layak ke pusingan kalah mati (16
pasukan) pada musim 2007/08. Satu-satunya trofi yang pernah dimenangi Moyes
sebagai pengurus ialah Kejuaraan Liga Divisyen 2 bersama Preston North End pada
musim 1999/00 lalu. Moyes muncul pengurus ketiga paling lama berkhidmat untuk
sebuah pasukan di belakang Sir Alex dan Arsene Wenger sejak mengambil jawatan
itu pada 2002. Sepanjang tempoh 11 tahun bersama Everton, Moyes berjaya membawa
kelab Merseyside itu menang 172 dari 425 perlawanan. Angka tersebut merupakan
keempat terbanyak di era Liga Perdana. Moyes berada di belakang Sir Alex (527
kemenangan), Arsene Wenger (366 kemenangan) dan Harry Redknapp (231 kemenangan).
Selepas secara rasmi mengambilalih tempat Sir Alex Julai ini, Moyes bakal
muncul pengurus ke-18 (sejak Newton Heath menukar nama mereka kepada Manchester
United). Dari 17 pengurus sebelumnya, hanya Sir Matt Busby (1,141 perlawanan)
dan Sir Alex (1,500 perlawanan) yang berjaya melepasi angka 1,000 perlawanan,
manakala pengurus yang lain pula mencatat purata 297 perlawanan. Bagaimana
nasib Moyes??? Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan