Sukar untuk mempercayai apabila menyaksikan
prestasi Anderson (Ando) terus merosot sekaligus memberikan isyarat dia bakal
menuju pintu keluar musim panas ini. Tidak boleh dinafikan bahawa Ando adalah favourite penyokong-penyokong United di
mana dia sering diberikan sambutan dan sorakan hebat setiap kali masuk ke
padang. Sekalipun dibelenggu prestasi tidak menentu dan kecederaan demi
kecederaan yang dialaminya, masih ramai yang mengharapkan agar Ando mampu
memberikan sesuatu kepada pasukan. Ando di beli Sir Alex Ferguson dari FC Porto
pada 2007 kerana beliau begitu tertarik dengan gaya permainan menyerangnya dan memiliki
kualiti ketika bertahan sekaligus diletakkan harapan sebagai pengganti sesuai
buat Keane. Bagaimanapun harapan awal penyokong-penyokong United yang mahu
menyaksikan warga Brazil dengan skill hebat mengemudi bahagian tengah United
hingga kini tidak kesampaian apabila Ando sendiri gagal memenuhi jangkaan awal
yang diletakkan ke atasnya. Statistik tidak pernah berbohong apabila dalam
tempoh enam musim, Ando hanya bermain penuh selama 90 minit sebanyak 18
perlawanan sahaja. Kegagalan Ando berlanjutan hingga aksi menentang Arsenal
minggu lalu apabila dia sekadar diletakkan selaku pemain simpanan dan hanya
dimasukkan ketika masa sebenar permainan berbaki 17 minit untuk ditamatkan.
Peluang yang diberikan gagal digunakan sepenuhnya oleh Ando di mana dalam
tempoh 17 minit dia hanya mampu memberikan aksi berkarat selain gagal
memberikan sokongan kepada Wayne Rooney. Ketika beraksi bersama Gremio dan
Porto, Ando adalah pemain berbeza di mana ketika itu, dia diiktiraf antara
bakat muda yang memiliki gaya permainan menarik dengan peranan selaku pemain
tengah menyerang. Pada tahun 2005, bakat Ando diiktiraf apabila dia dipilih
FIFA sebagai pemenang Bola Emas (Pemain Terbaik Bawah 17 Tahun), selain membantu
Brazil menang Kejohanan Bawah 17 Tahun Amerika Selatan. Bakat dan kebolehan
yang dipamerkan Ando mula membuka mata ramai pihak hingga dia dilabel sebagai
pengganti Kaka, manakala kelab-kelab Eropah pula mula menghantar
pencari-pencari bakat mereka meninjau aksinya bersama Gremio di Brazil.
Ketika dia tiba di Old Trafford, ramai pihak
terutamanya peminat-peminat bolasepak Brazil terkejut apabila Sir Alex lebih
banyak menggunakan Ando sebagai pemain tengah bertahan. Ketika di atas padang,
Ando adalah pemain yang gemar memberikan tekanan kepada lawan menerusi
bentesen-bentesan kerasnya dan selaku pemain tengah, kualiti hantaran adalah
aset utamanya. Bagaimanapun kecederaan demi kecederaan yang menghantuinya sejak
tiba di Old Trafford membataskan kemampuan Ando, dan sekarang dia terjebak pula
dengan dua peranan berbeza yang terpaksa dimainkannya. Walaupun masih ada pihak
di Old Trafford sama ada pihak pengurusan mahupun penyokong-penyokong meletakkan
harapan agar Ando menemui sentuhan lama yang pernah menjulang namanya ketika
diusia remaja, impian itu sebenarnya sukar untuk diterjemahkannya di atas
padang. Setiap musim penyokong-penyokong United sering mengharapkan agar musim
tersebut bakal menjadi musim Ando tetapi harapan tetap tinggal harapan. Kini
Ando hanya ada satu cara untuk menyelamatkan kariernya, iaitu dengan
meninggalkan Old Trafford. Khabar terbaru bakal memberikan Ando jalan yang
lebih mudah untuk keluar selepas pihak pengurusan dilaporkan meletakkan namanya
dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Sir Alex sudah hampir pasti
mendapatkan tenaga baru di bahagian tengah pasukannya memandangkan Paul Scholes
mungkin mengumumkan persaraan buat kali kedua manakala Darren Fletcher pula berdepan
masalah kesihatan yang berpanjangan. Kevin Strootman dan Victor Wanyama adalah
antara nama yang dikaitkan bakal dipancing Sir Alex untuk menguatkan bahagian
tengah United dan anda sudah pasti dapat menjangkakan masa depan Ando. Jika
Ando dibenarkan pergi, dia perlu mencari pasukan yang boleh meletakkan dirinya
di posisi kegemarannya iaitu selaku pemain tengah menyerang, bukannya berada jauh
di kawasan sendiri dengan peranan lebih defensif. Hanya pasukan yang boleh menawarkan
tempat untuknya dalam kesebelasan utama dengan peranan seperti itu boleh
menyelamatkan karier Ando…selebihnya terpulang kepada diri Ando sendiri. Glory
Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan