04 Mei 2013

RIO...MASIH LAGI ANTARA YANG TERBAIK


Rio Ferdinand merupakan sosok yang cukup berpengaruh bagi Manchester United. Kita tidak boleh menidakkan sumbangan Rio atas kejayaan United menjulang trofi Liga Perdana musim ini. Di awal musim, ketika Sir Alex Ferguson berdepan krisis kecederaan di benteng pertahanan pasukannya, Rio yang sudah menjangkau usia 34 tahun terpaksa memikul beban bermain setiap minggu. Ketika itu, Rio menjadi satu-satunya pemain pertahanan tengah yang dimiliki Sir Alex selepas Jonny Evans, Chris Smalling, Phil Jones dan Nemanja Vidic mengalami kecederaan serentak. Musim lalu, Rio berdepan musim suram selepas kerap dibelenggu kecederaan belakang, United terlepas trofi liga kepada seteru setempat, Manchester City dengan hanya perbezaan jaringan manakala adiknya, Anton pula menjadi mangsa perkauman kapten Chelsea, John Terry. Rio tidak disenaraikan Roy Hodgson untuk aksi Euro 2012 atas alasan bolasepak tetapi ramai percaya tindakan Hodgson (tidak menyenaraikan Rio) disebabkan bimbang insiden membabitkan Anton dan Terry boleh menjejaskan keharmonian pasukan. Tidak kira apapun kontroversi yang menyelubungi pemain pertahanan berpengalaman United itu, Rio sebenarnya masih ada tempat dalam skuad The Three Lions jika diukur prestasi yang dipamerkannya untuk United musim ini. Kemunculan pemain-pemain pelapis seperti Jones, Smalling dan Evans seolah-olah memberikan isyarat bahawa tempoh keemasan buat Rio dan gandingan ampuhnya, Nemanja Vidic semakin berada di penghujung. Memang diakui bahawa pintu gol United mudah dibolosi terutamanya di awal musim hingga menimbulkan rasa bimbang bukan sahaja kepada Sir Alex tetapi penyokong-penyokong United sendiri. Ketika itu ramai pihak menunding jari ke arah barisan pertahanan yang diketuai Rio. Ramai mengatakan bahawa Rio yang semakin hilang kepantasan menjadi penyebab utama rapuhnya benteng hingga mudah dibolosi lawan. Kekalahan United di tangan Tottenham Hotspurs buat pertama kali dalam tempoh 23 tahun di gelanggang sendiri menyebabkan Rio terus dikritik hebat hingga menimbulkan persoalan apakah musim ini bakal menjadi musim terakhirnya di Old Trafford. Masuk saja ke tahun baru 2013, Sir Alex mengubah sedikit gaya permainan United dengan meletakkan benteng pertahanan sebagai fokus utamanya. Meskipun corak permainan United menjadi sedikit tidak menarik apabila mereka lebih defensif tetapi benteng pertahanan menjadi begitu sukar ditembusi penyerang lawan.

Keputusan Sir Alex itu memang jelas satu tindakan yang cukup bijak dimana beliau meletakkan sasaran menang biarpun dengan kelebihan hanya satu gol dalam setiap perlawanan. Kembalinya semula beberapa pemain pertahanan yang sebelumnya mengalami kecederaan turut mengurangkan beban yang digalas Rio dan akhirnya United berjaya mengimbangi ketajaman barisan hadapan dengan kekebalan di bahagian belakang. Keseluruhan kekuatan pasukan akhirnya mula seimbang hingga menyaksikan mereka berjaya merampas trofi Liga Perdana dari tangan Manchester City sekaligus merupakan gelaran ke-20 United. Berbalik kepada hal Rio, kita perlu mengakui bahawa pada usia 34 tahun dia masih lagi tunjang di barisan belakang United meskipun prestasinya kadangkala dikritik penyokong-penyokong United sendiri. Pada perlawanan-perlawanan besar dan penting musim ini, nama Rio sentiasa ada dalam senarai kesebelasan utama United, atau dalam bahasa mudahnya Rio wajib ada dibenteng pertahanan jika United berdepan kelab-kelab besar tidak kiralah sama ada di peringkat domestik atau pun Eropah. Lagenda AC Milan dan Itali, Paolo Maldini pernah mengiktiraf Rio sebagai antara pemain pertahanan tengah terbaik dunia tetapi sukar untuk membayangkan Rio mampu mengikut jejak Maldini yang masih lagi mampu bermain untuk Milan sehingga menjangkau usia 40 tahun. Tempo permainan Liga Perdana jauh berbeza jika dibandingkan dengan Serie A jadi amat sukar untuk melihat pemain-pemain di England mampu bermain di peringkat tertinggi buat jangkamasa yang lama, dan Rio tidak terkecuali. Rio tidak sepantas 7 atau 8 tahun yang lalu tetapi dia masih lagi benteng yang sukar ditembusi dan digeruni penyerang-penyerang handalan di Liga Perdana. Sukar untuk membayangkan musim ini tanpa Rio apatah lagi jika memikirkan siri kecederaan panjang yang dialami pemain-pemain pertahanan United di awal musim. Kita mungkin tidak pernah terfikir Rio masih mampu bertahan sehingga kini kerana 4 tahun lalu ketika dia berusia 30 tahun, Rio berdepan siri kecederaan pangkal paha, betis dan belakang hingga membataskan penampilannya untuk skuad kebangsaan dan kelab. Ketika itu ramai yang meramalkan karier Rio akan berakhir. Musim ini Rio bangkit memberikan segala yang mampu diberikannya kepada kelab, tidak ada pengganti setanding buat pemain sepertinya untuk pengalaman dan daya fikirnya yang begitu tajam ketika di atas padang. Tidak syak lagi Rio bukan sekadar pemain bolasepak, tetapi dia juga adalah pemimpin, idola, ikon dan lagenda Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan