09 Mei 2013

TERIMA KASIH SIR ALEX...ATAS SEGALANYA


Apakah dunia bolasepak sudah bersedia kehilangan seorang lagenda yang mewarnai pentas dunia selama hampir 27 tahun? Selepas mengumumkan persaraannya secara rasmi semalam, kita pasti akan merindui sentuhan magik dan karakternya musim depan. Sudah tentu kita punya pendapat berbeza tentang soalan yang dilontarkan di atas tetapi kita tidak boleh menafikan selama 27 tahun Sir Alex mengendalikan Manchester United, beliau sudah meninggalkan kesan yang bukan sedikit baik kepada penyokong-penyokong United sendiri mahupun lawan mereka. Setiap dari kita akan mengenang Sir Alex dengan cara yang berbeza tetapi ada beberapa ciri khas miliknya yang akan selalu membuatkan kita mengenangnya. Karakter Sir Alex yang pasti dirindui selepas ini ialah tabiatnya di tepi padang yang gemar melihat jam tangan setiap kali United ketinggalan kepada lawan. Gol-gol penghujung permainan memang sudah sinonim dengan United di bawah kendalian Sir Alex hingga ada yang menamakan situasi ini sebagai Fergie Time. Gol-gol pada saat genting seperti itu menunjukkan United memiliki mentaliti kuat untuk menang dan ia sebenarnya disebabkan pengaruh Sir Alex dari tepi padang. Istilah Fergie Time hanya muncul buat pertama kali pada 1998, tetapi kegemaran barisan The Red Devils menjaringkan gol lewat permainan berlaku lama sebelum itu. Pada April 1993, Steve Bruce menjaringkan dua gol ke gawang Sheffield Wednesday sekaligus menghadiahkan kemenangan 2-1 kepada United. Gol kedua Bruce dihasilkan diminit keenam waktu kecederaan yang memberikan United kejuaraan pertama liga dalam tempoh 26 tahun. Bagi penonton neutral (bukan penyokong United mahupun lawan), gol-gol dramatik seperti itu menjadikan perlawanan-perlawanan membabitkan United cukup seronok untuk ditonton. Di sebalik Fergie Time pegawai keempat perlawanan juga sering menjadi sasaran kemarahan beliau jika tambahan masa yang diberikan tidak selaras dengan apa yang beliau jangkakan. Bagi penyokong-penyokong United yang berumur belasan tahun atau awal 20an, Sir Alex adalah Manchester United. Selepas ini mereka mungkin berasa agak janggal apabila menyaksikan perlawanan-perlawanan United tanpa kelibat Sir Alex di tepi padang. Sambil mengunyah gula-gula getah, Sir Alex akan memberikan reaksi-reaksi spontan terhadap apa yang berlaku di tengah padang. Menyaksikan Sir Alex berteriak memberikan arahan atau membantah keputusan pengadil perlawanan dan tindakan yang dilakukan pemain lawan adalah perkara biasa.

Sir Alex bukan saja pengurus bolasepak yang hebat tetapi kata-kata yang dilemparkannya sering menjadi perhatian dan antaranya masih diingati hingga kini. Antara kata-katanya yang masih diingati hingga sekarang ialah "Tugas saya di sini ialah untuk menjatuhkan Liverpool". Kata-kata Sir Alex itu diucapkannya dalam satu sidang akhbar selepas mengambilalih tugas dari Ron Atkinson sebagai pengendali United, tetapi ucapannya yang paling terkenal ialah "Football, bloody hell" yang dilemparkan beliau selepas United menumpaskan Bayern Munich di final Liga Juara-Juara 1999. Sebagaimana sentuhan berbisanya sebagai pengendali, begitu jugalah berbisa dan pedasnya kata-kata yang keluar dari mulutnya hinggakan beliau diberikan gelaran hair dryer treatment oleh pemain-pemainnya. Amukan Sir Alex terhadap pemain-pemainnya di bilik persalinan adalah perkara biasa jika mereka bermain di bawah prestasi sebenar. Tidak hanya pemain-pemain sendiri menjadi mangsa kata-kata pedasnya, malah lawannya turut menerima nasib yang sama. Musim ini Alan Pardew menjadi mangsa terbaru Sir Alex apabila beliau menggelar bos Newcastle United itu sebagai "Pengurus Kelab Kecil". Sebagai pengurus kelab terbesar di dunia, Sir Alex sudah tentu terpaksa berdepan dengan pesaing-pesaingnya terutama di peringkat domestik. Pencabar dan pesaing Sir Alex datang silih berganti sepanjang beliau berada di Old Trafford. Kenny Dalglish, Kevin Keegan, Arsene Wenger, Jose Mourinho, Rafa Benitez dan Alan Pardew adalah antara beberapa nama yang pernah terbabit dalam pertikaian dengan Sir Alex. Bukan saja pesaing dan pencabar dari luar, malah Sir Alex sendiri terpaksa berdepan karenah di kalangan pemain-pemainnya sendiri. Pemain-pemain yang cuba cari pasal dengannya ibarat membuka sendiri pintu keluar dari Old Trafford. Paul Ince, Jaap Stam, David Beckham, Ruud Van Nistelrooy, Gabriel Heinze dan Roy Keane adalah antara nama-nama besar yang pernah disingkirkan Sir Alex kerana tindakan mereka yang cuba menguji kesabaran beliau. Sir Alex tidak pernah tunduk kepada kehendak pemain-pemainnya sekalipun mereka adalah tonggak utama pasukan. Bagi beliau, United tidak dibina dengan hanya bertunjangkan seorang atau dua pemain tetapi kekuatan kelab melibatkan semua pihak di Old Trafford. Jadi jika ada pemain yang cuba menunjukkan ego dan besar kepala mereka, anda dipersilakan pergi.

Kejayaan tidak datang dengan segera dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Jika mahu berjaya anda perlukan pengorbanan dan keberanian kerana jika tidak sanggup melakukannya, anda tidak akan berjaya. Itulah antara prinsip utama yang dipegang Sir Alex selama beliau duduk di kerusi panas Pengurus Manchester United. Ketika melihat pasukannya tewas dalam saingan merebut kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers musim 1994-95, Sir Alex melakukan rombakan besar ke atas skuadnya dengan memperkenalkan beberapa muka baru. Mereka merupakan pemain-pemain remaja dari Akademi United yang diletakkan harapan untuk menggantikan tempat beberapa pemain senior yang gagal memberikan sumbangan berkesan kepada pasukan. Tindakan Sir Alex membawa masuk David Beckham, Paul Scholes, Nicky Butt, Gary dan Phil Neville ke dalam skuad utamanya dikritik lagenda Liverpool, Alan Hansen yang ketika itu bertugas sebagai pengulas di BBC. Hansen secara menyindir mengatakan mana-mana pasukan tidak akan menang trofi kejuaraan jika menurunkan budak-budak. Akhirnya Hansen terpaksa menelan kata-kata yang dilemparkannya sendiri apabila budak-budak inilah yang membawa United kembali memenangi trofi kejuaraan liga musim berikutnya (1995-96). Sir Alex memang diketahui seorang pengurus yang cukup yakin dengan bakat-bakat muda dan bijak menggilap bakat mereka hingga berjaya muncul bintang masa hadapan. Tradisi membimbing bakat muda sama ada dari Akademi ataupun menerusi pembelian masih beliau teruskan hingga kehari ini. Sebagai seorang individu yang tegas, Sir Alex juga cukup terkenal dengan sifat keras hatinya. BBC pernah menjadi mangsa Sir Alex selepas badan penyiaran itu dalam laporan-laporannya melabelkan beliau umpama seorang diktator. Akibatnya, BBC terpaksa membayar harga yang mahal atas tindakan mereka itu apabila diboikot Sir Alex. Badan penyiaran British itu terpaksa mengambil masa bertahun-tahun hanya untuk mendapatkan sedikit perhatian dari beliau. Bagi Sir Alex, kesetiaan dan rasa hormat cukup penting baginya, jadi tidak hairanlah mengapa dua bintang lagenda United, Ryan Giggs dan Paul Scholes menerima layanan istimewa dari beliau. 

Walaupun dikenali sebagai seorang individu yang tegas dan keras, Sir Alex tetap manusia biasa yang memiliki sisi humor dalam dirinya. Pada 1993, Sir Alex mengatakan bahawa pasukannya yang diketuai Eric Cantona ketika itu mampu membuatkan seorang penyokong sebaya beliau melompat seperti anak kecil. Sir Alex melakukannya setiap kali beliau merayakan gol penting United dengan melakukan tarian-tarian yang agak aneh. Sir Alex memang selalu spontan, sering melemparkan senyuman dan melahirkan kegembiraannya tanpa mengira tempat, jadi beliau tidak ambil kisah jika ada pihak mengatakan bahawa tariannya itu melucukan. Sir Alex menamakan tariannya itu sebagai dad dancing. Sir Alex pengurus yang bijak dan membangunkan kekuatan pasukan berteraskan kelebihan yang dimiliki pemain-pemainnya. Permainan United sendiri kadang kala dilihat seperti sudah diprogramkan untuk menang dalam perlawanan-perlawanan mereka. Bagaimanapun adakalanya Sir Alex terpaksa juga bergantung kepada pemain-pemain utamanya. Nama-nama seperti Eric Cantona, Cristiano Ronaldo, Ryan Giggs, Wayne Rooney dan kini Robin Van Persie sering memainkan peranan penting dan kerap menjadi penentu kepada keputusan-keputusan perlawanan United. United mampu mengekalkan tahap konsistensi mereka kerana memiliki pemain-pemain bintang dari tahun ke tahun. Sesiapapun yang menggantikan tempat Sir Alex nanti dijangka tidak berdepan kesukaran kerana beliau sudah membina Manchester United untuk menjadi pasukan yang kuat dan stabil, bukan untuk waktu terdekat sahaja tetapi dalam tempoh yang panjang. Sir Alex dan trofi bolehlah diibaratkan seperti aur dengan tebing. Puluhan kejuaraan yang sudah dimenanginya sejak mengendalikan United 27 tahun lalu adalah bukti paling tepat. Boleh dikatakan hampir setiap tahun barisan pemain-pemain United di bawah bimbingan Sir Alex mengisi almari trofi di Old Trafford dengan kejuaraan. Memenangi kejuaraan secara konsisten jelas menunjukkan Sir Alex berjaya menanamkan naluri juara dalam diri setiap pemainnya. Sudah tentu penyokong-penyokong United mengharapkan siapapun yang menggantikan Sir Alex nanti mampu meneruskan momentum juara yang selama ini diterapkan Sir Alex kepada barisan The Red Devils. Terima kasih Sir Alex atas segalanya…Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan