14 Julai 2013

ADA PETANDA POSITIF DI SEBALIK KEKALAHAN SEMALAM


Keputusan perlawanan jelajah pra musim tidak sepatutnya dijadikan ukuran dalam menilai kemampuan sebenar pasukan dalam mengharungi musim bolasepak kompetitif. Sepak mula Liga Perdana akan hanya berlangsung lebih sebulan lagi dan sepanjang tempoh tersebut bolehlah digunakan David Moyes untuk memperkuat dan melihat apa yang kurang dalam skuadnya. Memang agak malang buat Moyes kerana tewas pada perlawanan pertamanya sebagai pengurus Manchester United, tetapi seperti yang saya katakan tadi ini hanyalah sekadar perlawanan persahabatan pra musim dan United masih belum terlepas apa-apa gelaran. Ujian pertama buat Moyes akan hadir pada 11 Ogos nanti, di mana skuad United di bawah kendaliannya bakal berdepan juara Piala FA, Wigan Athletic bagi merebut trofi Perisai Komuniti. Lupakan dulu perlawanan menentang Wigan dan mari kita lihat apa yang berlaku sepanjang perlawanan menentang Singha All Stars semalam. Kekalahan 0-1 kepada Singha All Stars tetap satu kerugian dan sedikit memalukan tetapi terdapat beberapa pengajaran yang boleh diperolehi sepanjang perlawanan. Ribuan penonton di Stadium Rajamangala dapat menyaksikan kelibat bintang muda United, Adnan Januzaj mempamerkan bakatnya. Ini adalah penampilan pertama Januzaj bersama skuad utama dan pada usia 18 tahun, pemain remaja Belgium itu dikatakan punya potensi besar untuk muncul pemain kelas dunia dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi. Bagaimanapun perlawanan semalam mendedahkan kelemahan ketara Januzaj, iaitu kurangnya pengalaman, tetapi persembahannya semalam sepatutnya membuka mata Moyes bahawa pemain muda itu perlu diberikan peluang tampil dengan lebih kerap bersama skuad utama. Aksinya memperdayakan pemain lawan menerusi kepantasan sepasang kaki miliknya nyata mempesonakan tetapi dia perlu memperbaiki ketajamannya dalam menyempurnakan peluang. Jika bukan disebabkan kurangnya pengalaman, Januzaj sudah pasti mencipta nama sebagai penjaring gol pertama United di bawah era Moyes. Selain Anderson, dua lagi pemain yang agak mengecewakan di atas padang semalam ialah Danny Welbeck dan Tom Cleverley. Dua pemain antarabangsa England itu dilihat agak berkarat, mungkin disebabkan tempoh rehat yang agak panjang.

Masih banyak kerja yang perlu dilakukan Welbeck terutama dalam meningkatkan lagi naluri pembunuhnya ketika berada dalam kawasan penalti lawan. Kegopohan dalam menyempurnakan peluang terhidang masih lagi menjadi musuh utama Welbeck dan dia perlu segera bangkit dari 'mimpinya' jika mahu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama musim depan. Sementara itu Cleverley pula dilihat seperti hilang arah ketika mengemudi bahagian tengah dan sering hilang kawalan bola kepada pemain lawan. Ringkasnya, Cleverley hilang pengaruh sepanjang permainannya. Kedua-dua pemain ini (Welbeck dan Cleverley) sudah tentu akan terus diberikan kesempatan menajamkan aksi mereka tetapi mereka juga perlu melakukan jauh lebih baik dari apa yang mereka lakukan semalam. Petanda paling positif tentunya hadir dari aksi yang dipamerkan Wilfried Zaha. Dimasukkan di babak kedua, Zaha tidak menunggu lama untuk memberikan impak pertamanya. Larian-larian pantas dan mengelirukannya dari sebelah kanan kerap memerangkap benteng pertahanan lawan, tetapi seperti juga Januzaj, pengalaman menjadi musuh utama Zaha. Sepanjang perlawanan, Zaha bolehlah dikatakan memiliki peluang paling besar menjaringkan gol berbanding rakan-rakan sepasukan yang lebih berpengalaman. Tidak hairanlah selepas perlawanan, Moyes memuji penampilan pertama Zaha. “Wilfried melakukan tugasnya dengan baik. Dia memberikan sesuatu yang berbeza kepada kami sebaik dimasukkan. Kami membawanya ke sini untuk memberikannya kesempatan. Ini adalah kali pertama saya bekerja dengannya dan dapat melihatnya dengan lebih dekat”, kata Moyes. Jika diambilkira persembahan yang dipamerkan Zaha semalam, peluangnya disenaraikan dalam skuad utama musim depan cukup cerah selain memberikan Moyes lebih banyak pilihan di sebelah kanan. Seorang lain bintang muda yang menyerlah semalam ialah Ben Amos, penjaga gol yang diturunkan Moyes bagi mengambilalih tempat David de Gea (yang akan bersama-sama pasukan pada perlawanan jelajah di Australia). Di babak pertama Amos melakukan tindakan menyelamat hebat apabila menafikan voli jarak dekat pemain tuan rumah tetapi akhirnya tewas menerusi jaringan Teerathep Winothai. Amos tidak mungkin boleh menggugat posisi penjaga gol nombor satu dari De Gea tetapi kedudukan ketiga di belakang Anders Lindegaard adalah sesuatu yang realistik buat dirinya ketika ini.  Bawa bertenang dan teruskan sokongan anda kepada Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

13 Julai 2013

PREVIEW: SINGHA ALL STARS v MANCHESTER UTD



Manchester United akan bermain perlawanan pertama mereka hari ini menentang pilihan Singha All Stars di bawah kendalian David Moyes selepas tamatnya era 27 tahun Sir Alex Ferguson di Old Trafford. Agak pelik selepas sekian lama menyaksikan United bermain di bawah pengawasan Sir Alex,  kini tugas itu dipikul pula oleh individu lain. Apapun terima kasih kepada Sir Alex atas kerja-kerja cemerlang beliau selama 27 tahun dan mari kita pandang ke hadapan dan berikan sokongan kepada Moyes selaku pengganti beliau. Moyes secara rasmi menjalankan tugasnya sebagai pengurus United selama dua minggu dan setakat tempoh tersebut, beliau dilihat berjaya menjalan tugasnya dengan lancar. Beliau nampaknya seperti berjaya menangani kemelut masa depan Rooney dengan baik apabila mengumumkan pemain itu akan kekal di Old Trafford dan tidak akan dijual kepada mana-mana pasukan. Selesai dengan hal Rooney, kini Moyes bakal berdepan cabaran pertamanya di atas padang pula apabila Singha All Stars menjadi pasukan pertama diberi penghormatan menentang United di bawah kendalian Moyes. Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand itu bukan sekadar perlawanan jelajah pra musim United, tetapi juga bersempena ulang tahun ke 80 penubuhan Singha. Pilihan Singha All Stars juga dijadual bakal bertemu skuad Chelsea bimbingan Jose Mourinho minggu depan. Anak-anak buah Moyes tiba di Bangkok Rabu lalu dan sempat menjalani dua sesi latihan sebelum perlawanan ini. Bagaimanapun perlawanan ini sedikit hilang serinya apabila Wayne Rooney terpaksa dihantar pulang ke Manchester kerana mengalami masalah hamstring. Agak malang juga bagi penyokong-penyokong United di Thailand kerana mereka tidak akan dapat menyaksikan kelibat David de Gea, Javier Hernandez, Robin Van Persie, Shinji Kagawa dan Rooney kali ini tetapi Wilfired Zaha akan melakukan penampilan sulungnya di Bangkok. Berdepan skuad pilihan Singha All Stars, Danny Welbeck dijangka bertindak sebagai penyerang tunggal kerana ketiadaan Rooney manakala Van Persie pula akan hanya menyertai rakan-rakan sepasukan yang lain di Australia nanti (ketika menentang A League All Stars). Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Skuad Manchester United:

Penjaga Gol: Anders Lindegaard & Ben Amos

Pertahanan: Rafael da Silva, Phil Jones, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Alexander Buttner, Fabio da Silva, Michael Keane

Tengah: Michael Carrick, Anderson, Tom Cleverley, Ryan Giggs, Wilfried Zaha, Jesse Lingard, Adnan Januzaj

Penyerang: Danny Welbeck

Skuad Singha All Stars:

Penjaga Gol: Thitiphan Puangjan, Narit Taweekul, Thanongsak Phanpipat, Todsaporn Sri-reung, Nataporn Phanrit

Pertahanan: Kim Yoo Jin, Ri Kwang Chon, Arthit Daosawang, Piyachart Thamaphan, Jose Mena, Praweenawat Boonyong, Chaiwat Nak-iem, Apiwat Ngualumhin

Tengah: Datsakorn Thonglao, Dagno Siaka, Mario Gjurovski, Phichitphong Cheuichiu, Apipoo Sunthornpanavej, Jetsada Puanakunmee, Teerasak Po-on

Penyerang: Teerasil Dangda, Chartree Chimtalay, Teerathep Winothai, Sompong Soleb

12 Julai 2013

USAH PANIK JIKA GAGAL DAPATKAN ALCANTARA


Manchester United memenangi lima kejuaraan Liga Perdana dalam tempoh tujuh tahun terakhir selain menamatkan saingan liga di kedudukan tiga teratas selama 22 musim berturut-turut. Bagaimanapun pencapaian itu tidak bermakna pengendali baru United, David Moyes boleh bersenang lenang kerana banyak kerja yang harus dilakukannya. The Red Devils menikmati tempoh gemilang mereka di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan muncul antara kelab elit Eropah tetapi pencapaian di saingan Liga Juara-Juara agak mengecewakan.  Dalam tempoh tujuh tahun terakhir juga, United berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali tetapi tewas dua daripadanya. Selepas sepuluh hari jendela perpindahan pemain dibuka, Guillermo Varela masih lagi pemain tunggal yang berjaya ditandatangani Moyes. Dalam tempoh tersebut juga kita melihat beberapa prospek pemain bintang yang pada mulanya dikatakan begitu hampir menyertai United kian menjauh dari jangkauan. Moyes bagaimanapun tidak mahu peminat terlalu panik dengan situasi tersebut. Ketika diwawancara talkSPORT, Moyes mengatakan; “Jangan remehkan kami apabila anda melihat kurangnya aktiviti kami dalam pasaran perpindahan. Kami sebenarnya sedang bekerja keras di belakang tabir untuk meningkatkan skuad”. Seminggu yang lalu kita dibuai dan dihiburkan dengan spekulasi kononnya Moyes akan mengumumkan pembelian Thiago Alcantara secara rasmi pada hari pertamanya sebagai pengurus United. Tapi apa yang berlaku sekarang seolah-olah kelibat Alcantara kian menjauh selepas pengumuman pihak pengurusan Barca bahawa pemain muda itu akan menyertai pasukan dalam jelajah pra musim mereka. Jurucakap Barca, Toni Freixa baru-baru ini mengatakan; “Kami memiliki pemain kami dan Thiago adalah salah satunya. Dia akan menyertai kami dalam jelajah pra musim seperti yang sudah dijadualkan”. Apakah kata-kata Freixa itu petanda United bakal berdepan satu lagi kegagalan dalam mendapatkan pemain yang mereka inginkan? Spekulasi terbaru pula mengatakan bahawa Alcantara mahu bergabung dengan bekas mentornya, Pep Guardiola di Allianz Arena. Jika gagal mendapatkan Alcantara, ini bukanlah kali pertama United berdepan situasi seperti ini kerana mereka sudahpun berdepan beberapa siri kegagalan dalam mendapatkan pemain yang dihajati sebelum ini. Jika anda masih ingat pada musim panas 2004, spekulasi cukup hangat mengaitkan bintang Brazil, Ronaldinho dengan perpindahan ke Manchester. Ada pihak ketika itu mengatakan bahawa Ronaldinho hanya selangkah saja menjejakkan kakinya di Old Trafford, tetapi apa kesudahannya? Ronaldinho sebaliknya memilih Nou Camp sebagai pangkalan barunya selepas berhijrah dari Paris St Germain.

Selepas spekulasi saga Ronaldinho tidak menjadi kenyataan, pada 2011 peminat-peminat United digemparkan pula dengan munculnya laporan bahawa United semakin hampir mencapai kesepakatan dengan perancang Inter Milan, Wesley Sneijder. Selepas bermain tarik tali, Sneijder akhirnya memilih kekal di Milan sebelum berpindah ke kelab Turki, Galatasaray Januari lalu. Ronaldinho dan Sneijder adalah dua contoh terbaik kegagalan United mendapatkan bintang ternama meskipun dikatakan begitu hampir menandatangani mereka. Nama-nama seperti Lucas Moura, Eden Hazard dan Alcantara (jika benar dia memilih Bayern) sekadar pelengkap kekecewaan peminat-peminat United melihat bintang handalan yang disasarkan ini terlepas dari genggaman. Agak mengecewakan apabila memikirkan bahawa pemain berbakat seperti Alcantara yang sudah dibentuk untuk menjadi pemain kelas dunia pada usia 22 tahun terlepas ketangan pasukan lain selepas kita dikatakan begitu hampir memilikinya. Kehadiran Alcantara dilihat ramai pihak mampu memberikan kekuatan tambahan kepada bahagian tengah United, terutamanya selepas kita kehilangan Paul Scholes (bersara), masalah kesihatan yang melanda Darren Fletcher dan prestasi turun naik yang dipamerkan Anderson. Bukan sahaja Alcantara, kerana United turut bakal terlepas seorang lagi pemain yang disasarkan mereka kepada Bayern Munich, siapa lagi kalau bukan Robert Lewandowski. Menurut pengurus Dortmund, Jurgen Klopp, meskipun Lewandowski tidak akan meninggalkan Signal Iduna Park musim panas ini tetapi penyerang antarabangsa Poland itu sudah diatur untuk bergabung dengan pesaing Bundesliga mereka (Bayern Munich) musim mendatang. Dalam laporan media Jerman Welt am Sonntag, Klopp mengatakan; “Saya fikir ini adalah kebenaran bahawa  Robert akan bermain untuk Bayern musim  mendatang (2014/15)”. Sama ada Lewandowski akan menyertai Bayern Munich atau tidak, apa yang hampir pasti ialah pemain itu tidak akan menyertai United musim panas ini seperti yang dilaporkan media sejak April lalu. Situasi Lewandowski sebenarnya berbeza dengan Alcantara kerana penyerang itu bukanlah sasaran realistik berbanding bintang muda Sepanyol itu kerana United sudahpun memiliki Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck sebagai strike force mereka. Dengan barisan penyerang yang dimiliki United ketika ini, keperluan untuk mendapatkan penyerang Poland itu tidaklah seberapa tinggi berbanding Alcantara yang memang diperlukan untuk menambah sengat di bahagian tengah. Walaupun United dilihat agak kurang aktif dalam pasaran perpindahan pemain ketika ini, kita tidak perlu panik kerana masih banyak waktu untuk melihat Moyes menyambar pemain-pemain berbakat sebelum jendela perpindahan ditutup. Jika diambilkira kata-kata Moyes bahawa pihak pengurusan sedang bergiat aktif di belakang tabir bagi mendapatkan pemain-pemain yang disasarkan, kita mungkin menerima khabar gembira sebelum sepak mula liga berlangsung Ogos nanti. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

10 Julai 2013

MASA UNTUK MENCURI PERHATIAN MOYES


Persiapan pramusim Manchester United akan bermula hujung minggu ini di Bangkok apabila mereka dijadualkan berdepan pilihan Singha All Star XI. Selain Thailand, program pramusim kali ini akan membawa The Red Devils terbang ke Australia, Jepun dan Hong Kong sebagai persediaan menghadapi musim baru nanti. Perhatian peminat-peminat United dan pemerhati sudah pasti akan tertumpu kepada David Moyes, individu bertuah yang dipilih bagi menggantikan tempat Sir Alex Ferguson. Peminat dan pemerhati memberikan tumpuan kepada Moyes tetapi di dalam pasukan sendiri ada beberapa pemain yang sebenarnya perlu berusaha menarik perhatian Moyes. Dalam tempoh beberapa minggu ini, mereka perlu menggunakan sepenuhnya kesempatan perlawanan-perlawanan pramusim untuk membuktikan keupayaan kepada bos baru mereka. Beberapa pemain seperti Nani, Chris Smalling dan Ashley Young pula agak tidak bernasib baik dan diberitakan terpaksa melupakan aksi pramusim kerana masalah kecederaan. Pemain pertama yang perlu berusaha mencuri perhatian Moyes pastinya Wayne Rooney. Selepas pendedahan Sir Alex Ferguson (Mei lalu) bahawa Rooney mahu dirinya diletakkan dalam pasaran perpindahan musim panas ini, pemain berusia 27 tahun itu dikecam hebat penyokong-penyokong United. Bagaimanapun, Jumaat lalu Moyes selaku pengendali baru United meredakan sedikit spekulasi tentang masa depan Rooney apabila mengumumkan pemain itu tidak akan dijual. Rooney sepatutnya menggunakan kesempatan perlawanan-perlawanan pramusim United untuk membuktikan kesetiaannya kepada kelab dan meraih kembali sokongan para peminat. Selepas Rooney, pemain kedua yang sepatutnya menggunakan kesempatan perlawanan pramusim ialah Antonio Valencia. Selepas mempamerkan prestasi terpuji musim sebelumnya (2011/12) hingga dipilih pemain terbaik kelab, Valencia tiba-tiba muncul antara pemain paling mengecewakan musim lalu berikutan prestasi turun naiknya. Masalah kecederaan mungkin menjadi penyebab utama mengapa Valencia gagal memenuhi harapan tinggi yang diletakkan ke atasnya musim lalu. Musim depan pemain sayap berusia 27 tahun itu perlu meningkatkan lagi kreativitinya di sebelah kanan, menghasilkan banyak hantaran-hantaran lintang berkualiti dan menjaringkan lebih banyak gol berbanding hanya satu yang dihasilkannya musim lalu. Di bawah bimbingan Moyes, Valencia berpotensi untuk berkembang sekaligus mengembalikan semula sentuhan pemusnahnya. Jika ada mana-mana pemain yang paling kecewa, pastinya pemain itu ialah Chris Smalling. Ketika dia sepatutnya menggantikan tempat Jonny Evans dan Nemanja Vidic yang dibelenggu kecederaan, Smallling turut ditimpa nasib yang sama, malah bekas pertahanan Fulham itu tidak menyertai pasukan sejak awal musim lagi berikutan kecederaan yang dialaminya ketika perlawanan pramusim tahun lalu. Menjelang tahun baru, Smalling mendapati peranannya jauh berkurangan berbanding musim sebelumnya, terutama apabila Vidic kembali dalam pasukan selepas pulih dari kecederaan.

Persaingan di bahagian belakang (terutamanaya di posisi pertahanan tengah) agak sengit dengan Vidic dan Rio Ferdinand masih mendominasi posisi tersebut musim lalu. Selain Vidic dan Rio, United juga memiliki Evans, Smalling dan Jones yang mengintai peluang merebut tempat dalam kesebelasan utama. Persaingan dijangka lebih sengit musim depan selepas United dikaitkan dengan perpindahan pertahanan tengah Benfica, Ezequiel Garay. Jadi Evans, Jones dan Smalling perlu meningkatkan kemampuan mereka untuk terus bersaing merebut tempat dalam skuad utama jika perpindahan Garay menjadi kenyataan. Jones bagaimanapun dilihat lebih bernasib baik berbanding Evans dan Smalling kerana dia merupakan pemain yang lebih versatile (kerana selain mampu beraksi sebagai bek tengah, dia juga boleh diletakkan di bahagian tengah, bek kanan dan kiri). Perlawanan pramusim akan memberikan kesempatan buat Moyes menilai pilihannya di bahagian belakang. Melihat di bahagian hadapan pula, jika Rooney memilih meninggalkan Old Trafford, tanggungjawab lebih besar terpaksa dipikul Danny Welbeck dan dia perlu segera meningkatkan produktivitinya di depan pintu gol. Dengan Javier Hernandez dan Robin Van Persie turut bersaing merebut tempat di bahagian hadapan, Welbeck perlu mempertajamkan kebolehan menjaringkan golnya. Pemain antarabangsa England itu hanya menjaringkan dua gol dalam semua kejohanan musim lalu, jauh berbanding 12 gol yang dihasilkannya pada musim 2011/12. Saya boleh katakan bahawa Welbeck nampak seperti gugup ketika berada dalam petak penalti lawan dan kurang ketenangan ketika mempunyai peluang terbaik. Dia sebenarnya perlu lebih banyak belajar dan mengaut sebanyak mungkin tips dari Van Persie tentang bagaimana caranya mahu menjadi seorang finisher hebat. Pemain terakhir yang perlu diberikan perhatian dan sepatutnya bersungguh-sunggu mencuri perhatian Moyes ialah Wilfried Zaha. Kelmarin Evening Standard melaporkan bahawa Crystal Palace, Fulham dan West Ham sedang berbaris bagi mendapatkan khidmat Zaha secara pinjaman. Jika Moyes membenarkan pemain muda berbakat itu menyertai mana-mana pasukan sebagai pemain pinjaman, saya boleh katakan bahawa itu satu keputusan yang pelik. Dengan segala bakat dan potensi milik Zaha hingga mendorong Sir Alex mendapatkan pemain itu dari Crystal Palace, Moyes sepatutnya memberikan peluang buat Zaha beraksi bersama United dalam mana-mana perlawanan kompetitif terlebih dahulu. Jika beliau merasakan Zaha tidak mampu bersaing dengan senior-seniornya dalam skuad utama, barulah Moyes boleh menimbang kemungkinan mencari mana-mana pasukan yang mampu memberikan tempat buat Zaha bermain setiap minggu. Zaha pemain berbakat besar dan prospek masa depan bolasepak England, jadi dia boleh menggunakan kesempatan perlawanan-perlawanan pramusim bagi membuktikan sesuatu kepada Moyes. Sebagai permulaan kariernya di Old Trafford, perlawanan-perlawanan musim panas menentang lawan yang tahapnya lebih rendah boleh digunakan Zaha untuk membuktikan mengapa dia layak menyarung jersi merah The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

08 Julai 2013

APAKAH FORMASI YANG BAKAL DIGUNAKAN MOYES MUSIM DEPAN?


Penampilan pertama David Moyes (sebagai pengurus Manchester United) dalam saingan liga akan hanya dapat kita saksikan pada 17 Ogos ini. Menanti detik sepak mula pada 17 Ogos nanti, pasti ketika ini ramai yang mula tertanya-tanya apakah Moyes akan mengubah keseluruhan taktikal dan membawa gaya baru kepada permainan United atau sebaliknya. Sebelum itu kita mungkin boleh mendapat sedikit gambaran ketika Moyes membawa barisan The Red Devils terbang ke benua Asia dan Australia untuk menghadapi perlawanan-perlawanan pra musim mereka. Gambaran lebih jelas mungkin kita perolehi semasa Moyes membawa barisan pemainnya di Wembley, (seminggu sebelum sepakmula musim baru liga) bagi merebut trofi Perisai Komuniti berdepan juara Piala FA, Wigan Athletic. Pada pandangan saya, Moyes tidak mungkin melakukan rombakan yang terlalu drastik terhadap corak permainan United yang memang sudah sebati di bawah kendalian Sir Alex Ferguson. Bagaimanapun Moyes sudah pasti ingin lari dari bayang-bayang pencapaian gemilang Sir Alex dan memulakan eranya sendiri. Jadi beberapa rombakan kecil sudah tentu akan dilakukan Moyes terutamanya bagi menyesuaikan taktikal permainan dengan pemain-pemain baru yang bakal dibawa masuk nanti. Apakah formasi yang akan digunakan Moyes musim depan? Saya jangkakan formasi yang akan digunakan untuk The Red Devils adalah 4-4-1-1. Mengapa 4-4-1-1? Kerana saya berpendapat Moyes akan terus menggunakan kekuatan United di bahagian sayap dalam formasinya kerana ketika ini kita sudahpun memiliki Antonio Valencia, Nani, Wilfried Zaha dan Ashley Young selain menggunakan penyerang kedua (backup striker) dalam barisan kesebelasan utamanya. Peranan sebagai penyerang kedua pada pendapat saya paling ideal sepatutnya diberikan kepada Shinji Kagawa (kerana masa depan Wayne Rooney masih samar-samar biarpun Moyes baru-baru ini mengumumkan penyerang itu tidak akan dijual). Jika spekulasi perpindahan Thiago Alcantara menjadi kenyataan, peranan Kagawa kemungkinan besar bakal berubah berbanding musim lalu di mana Moyes dijangka meletakkan perancang tengah Jepun itu di posisi kegemarannya iaitu di belakang penyerang utama. Semasa di Goodison Park, Moyes menggunakan kekuatan fizikal milik Tim Cahill dan Marouane Fellaini sebagai teras utama skuadnya tetapi di Old Trafford pendekatannya mungkin berubah (kecualilah beliau menandatangani Fellaini). Semasa di bawah kendalian Sir Alex, Rafael dan Patrice Evra diberikan banyak kesempatan untuk naik jauh ke kawasan lawan ketika menyerang dan situasi ini dijangka tidak banyak berubah di bawah kendalian Moyes.

Musim lalu, United dilihat hilang cengkaman di bahagian sayap berikutan prestasi turun naik Antonio Valencia serta masalah kecederaan yang dialami Nani dan Ashley Young. Salah satu keutamaan yang perlu diberikan Moyes ialah meletakkan kembali Valencia, Nani dan Young ke prestasi terbaik mereka. Formasi 4-4-2 memang diakui memberikan banyak kejayaan kepada United terutamanya apabila mengimbas kembali pencapaian gemilang skuad treble 1999. Dengan bakat serbaguna milik Kagawa dan Michael Carrick dalam pasukan, Moyes sepatutnya tidak lagi menggunakan formasi tradisional ini kerana ia akan hanya menganggu kreativiti Kagawa (terutamanya) dalam mengatur gerakan. Bahagian tengah adalah posisi yang perlu diberikan perhatian serius oleh Moyes. Jika beliau mahukan tenaga baru untuk memberikan lebih perlindungan kepada benteng pertahanannya, Moyes boleh melihat kepada potensi Kevin Strootman untuk bergandingan dengan Michael Carrick. 2013 adalah detik terbaik buat Moyes memulakan era dan dimensi baru di Old Trafford, jadi tidak hairanlah mengapa United dikatakan begitu serius memburu Thiago Alcantara seperti yang dilaporkan oleh Goal.com. Pemain kreatif berusia 22 tahun itu boleh memberikan Moyes lebih banyak pilihan ketika menyerang sekaligus memberikan ruang kepada Carrick menjalankan tugasnya sebagai pemain tengah bertahan dengan lebih berkesan. Jika Moyes menggunakan formasi 4-4-2, sukar untuk melihat Alcantara serta Kagawa bermain dalam line up yang sama berikutan pertindihan fungsi yang dimainkan oleh kedua-dua mereka. Musim 2007/08, Sir Alex menggunakan formasi 4-3-3 kerana beliau memiliki Carlos Tevez, Rooney dan Cristiano Ronaldo dalam pasukan. Sir Alex bijak memanfaatkan kelebihan besar yang dimilikinya apabila beliau menggunakan sepenuhnya bakat menyerang ketiga-tiga pemain ini hingga membolehkan United meraih kejuaraan Eropah buat kali ketiga. Moyes boleh menggunakan formasi ini (4-3-3) dalam taktikal permainannya jika beliau berjaya membawa Ronaldo kembali semula ke Old Trafford atau berjaya membawa keluar Gareth Bale dari White Hart Lane (siapa tahu?). Jika impian melihat Ronaldo atau Bale menyarung jersi United tinggal sekadar impian, kita sebenarnya masih memiliki pilihan lain dalam pasukan dengan adanya Wilfried Zaha dan Nani. Mungkin juga Moyes boleh melakukan sedikit eksperimen dengan meletakkan Zaha atau Nani dalam formasi 4-3-3 jika beliau bosan menggunakan formasi yang sama dalam setiap perlawanan ketika mengharungi musim yang panjang. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

04 Julai 2013

BAGAIMANA SITUASI UNITED TANPA ROONEY?


Nampaknya sudah ramai yang meramalkan masa depan Wayne Rooney di Old Trafford kian menuju detik-detik terakhir. Situasi Rooney sebenarnya membingungkan ramai pihak terutamanya penyokong-penyokong Manchester United selepas Sir Alex Ferguson pada Mei lalu mendedahkan penyerang antarabangsa England itu meminta supaya dia dijual musim panas ini. Walau bagaimanapun selepas itu media melaporkan beberapa siri penafian dari Rooney (bahawa dia mahu meninggalkan United) hingga menimbulkan lebih banyak tanda tanya terhadap masa depan pemain itu. Sky Sports melaporkan bahawa satu pertemuan empat mata antara Rooney dan pengurus baru United, David Moyes sudah berlaku semalam namun hingga kini masih tiada sebarang perkembangan diperolehi. Mungkin juga dalam tempoh terdekat, kita akan mengetahui apakah pemain yang yang ditandatangani Sir Alex pada 2004 itu akan terus bermain untuk United musim depan atau memilih jalan keluar. Selepas berada di Old Trafford selama lapan tahun, Rooney berkemungkinan besar ingin menguji kemampuannya di tempat lain dan jika situasi ini berlaku, United akan berdepan masalah tetapi tidaklah sampai berlakunya krisis dalam pasukan. Reaksi Rooney dan bahasa tubuhnya semasa upacara penyampaian pingat kejuaraan liga seolah-olah menggambarkan bahawa musim lalu adalah musim terakhirnya bersama United. Komentar yang dilemparkan penyokong-penyokong United berikaitan isu masa depan Rooney di media-media sosial agak pedas, tetapi itu merupakan perkara biasa selepas mereka merasa seolah-olah dikhianati oleh pemain yang mereka puja selama ini. Namun sebelum kita terus mengecam Rooney, kita sepatutnya lebih berlembut dan melihat sumbangan yang diberikan pemain itu selama berada di Old Trafford. Dalam tempoh lapan tahun, Rooney memainkan peranan penting disebalik kejayaan United meraih 12 kejuaraan (lima trofi Liga Perdana, dua trofi Piala Liga, tiga trofi Perisai Komuniti, satu trofi Liga Juara-Juara dan satu trofi kejuaraan Kelab Dunia). Neymar yang baru menyertai Barcelona sudah disebut-sebut antara pemain terbaik dalam dunia bolasepak ketika ini, tetapi Rooney sudah membuktikan siapa dirinya yang sebenar di atas padang. Jika Rooney nekad meninggalkan United, ini adalah satu pukulan yang besar bukan sahaja terhadap pasukan tetapi juga penyokong-penyokong. Dalam dekad terakhir, Rooney muncul sebagai pemain terbaik England dan dalam tempoh tersebut juga, United boleh berbangga kerana memiliki pemain terbaik berbangsa Inggeris dalam skuad mereka. Musim lalu bolehlah dianggap sebagai musim paling suram buat Rooney jadi tidak hairanlah jika dia agak kecewa. Walau bagaimanapun peranan baru yang dimainkannya di bahagian tengah sebagai pengumpan buat Robin Van Persie sebenarnya satu tugas yang cukup besar. Peranan baru yang dimainkannya musim lalu bukan sahaja memerlukan Rooney berada bersama-sama Van Persie ketika menyerang tetapi dia juga membantu Michael Carrick di bahagian tengah dalam situasi defensif mahupun ofensif. Peranan ini sebenarnya menyebabkan Rooney lebih banyak terlibat dengan pertempuran di kawasan tengah padang dan sering digunakan bagi merampas bola ketika pasukan dalam situasi bahaya hingga memudahkan Carrick merancang permainan dan kembali membuka ruang untuk menyerang.

Mari kita kembali semula kepada isu jika Rooney mengambil keputusan meninggalkan United. Musim lalu, penampilan Shinji Kagawa terganggu berikutan masalah kecederaan hingga menjejaskan penampilan pertamanya di England. Posisi dan peranan yang cukup digemari Kagawa ialah berada di belakang penyerang tengah, tempat yang mana kebanyakkannya diisi Rooney musim lalu. Di awal musim, Kagawa sering diletakkan sedikit ke belakang hingga menjejaskan kemampuan dan daya kreativitinya ketika menyerang tetapi beralih peranan ke sebelah kiri ketika saingan liga menuju penghujung musim. Rooney tidak gembira memainkan peranan sebagai pembantu dan dia mahu diletakkan semula di posisi asalnya sebagai penyerang utama. Jika Moyes tidak dapat memberikan sebarang jaminan untuk meletakkan Rooney di posisi asalnya semula, kemungkinan untuk Rooney berhijrah ke kelab lain cukup besar. Jika perkara itu berlaku, ia merupakan berita baik buat Kagawa dan dia boleh memainkan semula peranan yang pernah dimainkannya ketika bersama Borussia Dortmund dulu. Jika Kagawa diletakkan kembali di posisi kegemarannya (di belakang penyerang tengah), kita bakal menyaksikan semula bakat kreatif yang ada pada permainannya hingga diiktiraf sebagai pemain terbaik Bundesliga musim 2011/12. Di kejohanan Piala Konfederasi, Kagawa memainkan peranannya dengan cukup berkesan bersama-sama skuad kebangsaan Jepun dan antara pemain terbaik sepanjang saingan peringkat kumpulan. Penampilan Kagawa ketika menentang Itali cukup menarik perhatian di mana dia berjaya menenggelamkan nama-nama besar dalam skuad Azzuri sepanjang 90 minit permainan. Jika tidak kerana kealpaan saat akhir dan kegagalan barisan hadapan menyempurnakan peluang, Blue Samurai hampir sahaja melakar kejutan ke atas gergasi bolasepak dunia itu. Persembahan baik Kagawa sepanjang Piala Konfederasi memberikan petanda cukup bagus buat United. Jika perpindahan Thiago Alcantara ke Old Trafford menjadi kenyataan, posisi di sebelah kiri yang ditinggalkan Kagawa akan diisi oleh pemain yang benar-benar ingin bermain di posisi tersebut. Akhirnya anda akan melihat Moyes memiliki line up menyerang yang mampu menyaingi mana-mana pasukan musim hadapan. Walau dalam keadaan apa sekalipun dan selepas melihat sumbangan yang diberikan Rooney sepanjang lapan tahun berada di Old Trafford, saya tetap berharap agar Moyes mampu mengekalkan bekas anak didiknya itu. Jika Rooney tetap bertegas dan ingin berhijrah, kita masih memiliki pemain lain yang berpotensi menggantikan tempatnya pada bila-bila masa. Kita juga memiliki barisan pemain-pemain berpengalaman seperti Ryan Giggs, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Michael Carrick yang mampu memberikan dorongan kepada pemain-pemain muda United. Rooney adalah pemain hebat dan antara yang terhebat pernah dimiliki United tetapi kehilangannya bukanlah satu bencana besar buat kelab. Kita pernah kehilangan pemain hebat seperti Eric Cantona, David Beckham, Roy Keane dan Cristiano Ronaldo tetapi dominasi United tidak pernah luntur selepas pemergian mereka. Pemain bertaraf bintang atau hero datang dan pergi tetapi lagenda tetap kekal selamanya kerana lagenda itu sendiri adalah MANCHESTER UNITED!!! Glory Glory Manchester United – A.J 

02 Julai 2013

JULAI...BERMULALAH LANGKAH MOYES


Semalam (1 Julai) David Moyes tiba di pejabat barunya buat pertama kali, sekaligus menandakan peralihan kuasa dan era yang baru sejak Sir Alex Ferguson mengambilalih tampuk pengurusan dari Ron Atkinson 27 tahun yang lalu. Tanpa berlengah, Moyes bergegas ke padang latihan United di Carrington untuk memulakan misi penting meneruskan kesinambungan kejayaan Sir Alex di Old Trafford. Dalam tempoh hanya beberapa jam selepas mengambilalih secara rasmi jawatan pengurus Manchester United, Moyes memulakan langkah awal dengan mengumumkan Steve Round sebagai penolongnya, Chris Woods sebagai jurulatih penjaga gol dan Jimmy Lumsden sebagai jurulatih skuad utama. Mengulas tentang pemilihan ketiga-tiga individu tersebut sebagai pembantunya di Old Trafford, Moyes berkata; “Saya telah bekerja dengan Steve, Chris dan Jimmy dalam tempoh beberapa tahun dan saya gembira mereka memutuskan untuk menyertai saya di kelab besar ini”. Meskipun saingan Liga Perdana akan hanya bermula pada bulan Ogos nanti, kerja-kerja Moyes dalam tempoh sebulan pertamanya di Old Trafford pasti akan diperhatikan dengan penuh teliti. Sebelum mengatur taktikal di tengah padang, kredibeliti pengendali itu akan dinilai bermula dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini, kemudian di padang latihan dan akhir sekali perlawanan-perlawanan pra musim. Jadi sudah pasti, Moyes akan berdepan jadual cukup padat sepanjang bulan ini. Menurut Daily Mail, tugas pertama yang akan dilakukan Moyes ialah bagaimana mencari jalan penyelesaian berkaitan masa depan Wayne Rooney. Sky Sports pula melaporkan bahawa kedua-dua pihak (United dan Rooney) akan hanya mencapai kata putus berkaitan spekulasi membabitkan karier pemain itu di Old Trafford selewat-lewatnya esok (3 Julai). Moyes bukan sahaja terpaksa berdepan dengan isu masa depan Rooney, tetapi beliau juga terpaksa menangani situasi yang sama membabitkan Patrice Evra, Nani dan Anderson yang turut dikaitkan akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini. Apakah bulan Julai bakal menyaksikan detik di mana Moyes mengumumkan bahawa Rooney, Evra, Nani dan Anderson akan menyertai pasukan baru? Jika ada pemain yang pergi, tentunya Moyes mahu mendapatkan pemain baru sebagai pengganti. Berita-berita sensasi tentang perpindahan beberapa pemain terkemuka dunia ke Old Trafford sudah hangat dimainkan media sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Ada beberapa pemain yang anda sendiri sudah tentu tahu diberitakan semakin hampir menyertai United. Jadi ada kemungkinan juga, Moyes akan mengumumkan nama baru yang akan menyertai United sebelum beliau membawa skuadnya ke jelajah pra-musim di Asia dan Australia. Esok akan bermulalah tugas Moyes di padang latihan selepas kesemua pemain-pemain dari skuad utama melapor diri bagi menghadapi perlawanan-perlawanan pra-musim.

Moyes akan berdepan perlawanan pertamanya 13 Julai ini selaku pengendali United apabila dijadualkan menentang Singha All Stars XI yang dikelolakan Dr Vichit Yamboonruang, Pengarah Liga Perdana Thailand dan dilatih bekas penyerang handalan mereka, Piyapong Pue-On yang menjaringkan 103 gol untuk negaranya dari tahun 1981 hingga 1997. Selepas aksi di Bangkok, Moyes akan membawa skuadnya terbang pula ke Australia bagi meneruskan jelajah pra-musim mereka, kali ini berdepan dengan skuad A-League All Stars yang turut dibarisi Brett Emerton, Nikoloai Topor-Stanley dan Thomas Brioch. Selesai tugasan di Australia, Moyes dan anak-anak buahnya akan berdepan tiga perlawanan di Asia Timur bermula menentang kelab J-League, Yokohama F-Marinos (23 Julai), Cerezo Osaka (26 Julai) di mana Shinji Kagawa akan beraksi menentang bekas kelabnya dan akhir sekali di Hong Kong menentang Kitchee FC (29 Julai). Sebaik sahaja berakhir jelajah pra-musim di Asia, Moyes sudah pasti memiliki senarai barisan pemain di tangannya yang akan memperkuatkan The Red Devils musim hadapan. Perlawanan menentang kelab Sweden, AIK Fotboll (juara Allsvenskan 2009) di Stockholm pada 6 Ogos akan menjadi perlawanan terakhir pra-musim United sebelum Moyes berdepan perlawanan kompetitif pertamanya. Apakah ketika itu nama-nama yang ketika ini dikaitkan dengan United seperti Thiago Alcantara, Kevin Strootman, Cristiano Ronaldo dan Ezequiel Garay sudah berada dalam skuad Moyes? Perlawanan testimonial Rio Ferdinand pada 9 Ogos menentang Sevilla pula bakal menyaksikan Moyes duduk di bangku pengurus buat pertama kalinya di Old Trafford. Akhir sekali, seminggu sebelum sepak mula Liga Perdana berlangsung, Moyes akan berdepan perlawanan kompetetif pertamanya apabila memimpin barisan pemain-pemain United berdepan juara Piala FA, Wigan Athletic bagi merebut trofi Perisai Komuniti di Wembley. Ini adalah kesempatan terbaik buat Moyes menjulang trofi dalam kariernya sebagai pengurus sejak kali pertama dan terakhir melakukannya bersama Preston North End pada musim 1999/2000 (menang kejuaraan Liga Divisyen 2). Selepas aksi di Wembley, Moyes akan melakukan debut bersama United dalam saingan liga pada 17 Ogos berdepan Swansea City di gelanggang lawan. Moyes boleh menggunakan sepenuhnya kesempatan jelajah pra-musim untuk mula membentuk skuadnya bagi menghadapi saingan musim hadapan. Meskipun jelajah pra-musim tampak seperti acara tahunan buat kelab-kelab besar Eropah seperti United sebelum menghadapi musim baru, perlawanan-perlawanan seperti ini sebenarnya boleh membantu Moyes dan pemain-pemainnya menanamkan rasa percaya antara satu sama lain sebelum berdepan misi mempertahankan kejuaraan liga. Moyes tidak akan membawa United menang apa-apa kejuaraan pada bulan pertamanya, tetapi tempoh sebulan ini amat penting kerana ia merupakan langkah pertama beliau selaku pengendali United. Pepatah Inggeris ada mengatakan, “Langkah pertama mencerminkan langkah seterusnya. Jika langkah pertama sumbang, usah harap anda mampu berlari dengan baik”. Glory Glory Manchester United!!! – A.J.