Penampilan pertama David Moyes (sebagai
pengurus Manchester United) dalam saingan liga akan hanya dapat kita saksikan
pada 17 Ogos ini. Menanti detik sepak mula pada 17 Ogos nanti, pasti ketika ini
ramai yang mula tertanya-tanya apakah Moyes akan mengubah keseluruhan taktikal dan
membawa gaya baru kepada permainan United atau sebaliknya. Sebelum itu kita
mungkin boleh mendapat sedikit gambaran ketika Moyes membawa barisan The Red Devils terbang ke benua Asia dan
Australia untuk menghadapi perlawanan-perlawanan pra musim mereka. Gambaran
lebih jelas mungkin kita perolehi semasa Moyes membawa barisan pemainnya di
Wembley, (seminggu sebelum sepakmula musim baru liga) bagi merebut trofi
Perisai Komuniti berdepan juara Piala FA, Wigan Athletic. Pada pandangan saya,
Moyes tidak mungkin melakukan rombakan yang terlalu drastik terhadap corak
permainan United yang memang sudah sebati di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.
Bagaimanapun Moyes sudah pasti ingin lari dari bayang-bayang pencapaian
gemilang Sir Alex dan memulakan eranya sendiri. Jadi beberapa rombakan kecil
sudah tentu akan dilakukan Moyes terutamanya bagi menyesuaikan taktikal
permainan dengan pemain-pemain baru yang bakal dibawa masuk nanti. Apakah
formasi yang akan digunakan Moyes musim depan? Saya jangkakan formasi yang akan
digunakan untuk The Red Devils adalah
4-4-1-1. Mengapa 4-4-1-1? Kerana saya berpendapat Moyes akan terus menggunakan kekuatan
United di bahagian sayap dalam formasinya kerana ketika ini kita sudahpun
memiliki Antonio Valencia, Nani, Wilfried Zaha dan Ashley Young selain menggunakan
penyerang kedua (backup striker) dalam
barisan kesebelasan utamanya. Peranan sebagai penyerang kedua pada pendapat
saya paling ideal sepatutnya diberikan kepada Shinji Kagawa (kerana masa depan Wayne
Rooney masih samar-samar biarpun Moyes baru-baru ini mengumumkan penyerang itu
tidak akan dijual). Jika spekulasi perpindahan Thiago Alcantara menjadi
kenyataan, peranan Kagawa kemungkinan besar bakal berubah berbanding musim lalu
di mana Moyes dijangka meletakkan perancang tengah Jepun itu di posisi
kegemarannya iaitu di belakang penyerang utama. Semasa di Goodison Park, Moyes
menggunakan kekuatan fizikal milik Tim Cahill dan Marouane Fellaini sebagai
teras utama skuadnya tetapi di Old Trafford pendekatannya mungkin berubah
(kecualilah beliau menandatangani Fellaini). Semasa di bawah kendalian Sir
Alex, Rafael dan Patrice Evra diberikan banyak kesempatan untuk naik jauh ke
kawasan lawan ketika menyerang dan situasi ini dijangka tidak banyak berubah di
bawah kendalian Moyes.
Musim lalu, United dilihat hilang cengkaman
di bahagian sayap berikutan prestasi turun naik Antonio Valencia serta masalah kecederaan
yang dialami Nani dan Ashley Young. Salah satu keutamaan yang perlu diberikan
Moyes ialah meletakkan kembali Valencia, Nani dan Young ke prestasi terbaik
mereka. Formasi 4-4-2 memang diakui memberikan banyak kejayaan kepada United
terutamanya apabila mengimbas kembali pencapaian gemilang skuad treble 1999. Dengan bakat serbaguna
milik Kagawa dan Michael Carrick dalam pasukan, Moyes sepatutnya tidak lagi
menggunakan formasi tradisional ini kerana ia akan hanya menganggu kreativiti
Kagawa (terutamanya) dalam mengatur gerakan. Bahagian tengah adalah posisi yang
perlu diberikan perhatian serius oleh Moyes. Jika beliau mahukan tenaga baru
untuk memberikan lebih perlindungan kepada benteng pertahanannya, Moyes boleh
melihat kepada potensi Kevin Strootman untuk bergandingan dengan Michael
Carrick. 2013 adalah detik terbaik buat Moyes memulakan era dan dimensi baru di
Old Trafford, jadi tidak hairanlah mengapa United dikatakan begitu serius
memburu Thiago Alcantara seperti yang dilaporkan oleh Goal.com. Pemain kreatif
berusia 22 tahun itu boleh memberikan Moyes lebih banyak pilihan ketika
menyerang sekaligus memberikan ruang kepada Carrick menjalankan tugasnya
sebagai pemain tengah bertahan dengan lebih berkesan. Jika Moyes menggunakan
formasi 4-4-2, sukar untuk melihat Alcantara serta Kagawa bermain dalam line up yang sama berikutan pertindihan
fungsi yang dimainkan oleh kedua-dua mereka. Musim 2007/08, Sir Alex
menggunakan formasi 4-3-3 kerana beliau memiliki Carlos Tevez, Rooney dan Cristiano
Ronaldo dalam pasukan. Sir Alex bijak memanfaatkan kelebihan besar yang
dimilikinya apabila beliau menggunakan sepenuhnya bakat menyerang ketiga-tiga
pemain ini hingga membolehkan United meraih kejuaraan Eropah buat kali ketiga.
Moyes boleh menggunakan formasi ini (4-3-3) dalam taktikal permainannya jika
beliau berjaya membawa Ronaldo kembali semula ke Old Trafford atau berjaya
membawa keluar Gareth Bale dari White Hart Lane (siapa tahu?). Jika impian
melihat Ronaldo atau Bale menyarung jersi United tinggal sekadar impian, kita
sebenarnya masih memiliki pilihan lain dalam pasukan dengan adanya Wilfried
Zaha dan Nani. Mungkin juga Moyes boleh melakukan sedikit eksperimen dengan meletakkan
Zaha atau Nani dalam formasi 4-3-3 jika beliau bosan menggunakan formasi yang
sama dalam setiap perlawanan ketika mengharungi musim yang panjang. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan