14 Julai 2013

ADA PETANDA POSITIF DI SEBALIK KEKALAHAN SEMALAM


Keputusan perlawanan jelajah pra musim tidak sepatutnya dijadikan ukuran dalam menilai kemampuan sebenar pasukan dalam mengharungi musim bolasepak kompetitif. Sepak mula Liga Perdana akan hanya berlangsung lebih sebulan lagi dan sepanjang tempoh tersebut bolehlah digunakan David Moyes untuk memperkuat dan melihat apa yang kurang dalam skuadnya. Memang agak malang buat Moyes kerana tewas pada perlawanan pertamanya sebagai pengurus Manchester United, tetapi seperti yang saya katakan tadi ini hanyalah sekadar perlawanan persahabatan pra musim dan United masih belum terlepas apa-apa gelaran. Ujian pertama buat Moyes akan hadir pada 11 Ogos nanti, di mana skuad United di bawah kendaliannya bakal berdepan juara Piala FA, Wigan Athletic bagi merebut trofi Perisai Komuniti. Lupakan dulu perlawanan menentang Wigan dan mari kita lihat apa yang berlaku sepanjang perlawanan menentang Singha All Stars semalam. Kekalahan 0-1 kepada Singha All Stars tetap satu kerugian dan sedikit memalukan tetapi terdapat beberapa pengajaran yang boleh diperolehi sepanjang perlawanan. Ribuan penonton di Stadium Rajamangala dapat menyaksikan kelibat bintang muda United, Adnan Januzaj mempamerkan bakatnya. Ini adalah penampilan pertama Januzaj bersama skuad utama dan pada usia 18 tahun, pemain remaja Belgium itu dikatakan punya potensi besar untuk muncul pemain kelas dunia dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi. Bagaimanapun perlawanan semalam mendedahkan kelemahan ketara Januzaj, iaitu kurangnya pengalaman, tetapi persembahannya semalam sepatutnya membuka mata Moyes bahawa pemain muda itu perlu diberikan peluang tampil dengan lebih kerap bersama skuad utama. Aksinya memperdayakan pemain lawan menerusi kepantasan sepasang kaki miliknya nyata mempesonakan tetapi dia perlu memperbaiki ketajamannya dalam menyempurnakan peluang. Jika bukan disebabkan kurangnya pengalaman, Januzaj sudah pasti mencipta nama sebagai penjaring gol pertama United di bawah era Moyes. Selain Anderson, dua lagi pemain yang agak mengecewakan di atas padang semalam ialah Danny Welbeck dan Tom Cleverley. Dua pemain antarabangsa England itu dilihat agak berkarat, mungkin disebabkan tempoh rehat yang agak panjang.

Masih banyak kerja yang perlu dilakukan Welbeck terutama dalam meningkatkan lagi naluri pembunuhnya ketika berada dalam kawasan penalti lawan. Kegopohan dalam menyempurnakan peluang terhidang masih lagi menjadi musuh utama Welbeck dan dia perlu segera bangkit dari 'mimpinya' jika mahu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama musim depan. Sementara itu Cleverley pula dilihat seperti hilang arah ketika mengemudi bahagian tengah dan sering hilang kawalan bola kepada pemain lawan. Ringkasnya, Cleverley hilang pengaruh sepanjang permainannya. Kedua-dua pemain ini (Welbeck dan Cleverley) sudah tentu akan terus diberikan kesempatan menajamkan aksi mereka tetapi mereka juga perlu melakukan jauh lebih baik dari apa yang mereka lakukan semalam. Petanda paling positif tentunya hadir dari aksi yang dipamerkan Wilfried Zaha. Dimasukkan di babak kedua, Zaha tidak menunggu lama untuk memberikan impak pertamanya. Larian-larian pantas dan mengelirukannya dari sebelah kanan kerap memerangkap benteng pertahanan lawan, tetapi seperti juga Januzaj, pengalaman menjadi musuh utama Zaha. Sepanjang perlawanan, Zaha bolehlah dikatakan memiliki peluang paling besar menjaringkan gol berbanding rakan-rakan sepasukan yang lebih berpengalaman. Tidak hairanlah selepas perlawanan, Moyes memuji penampilan pertama Zaha. “Wilfried melakukan tugasnya dengan baik. Dia memberikan sesuatu yang berbeza kepada kami sebaik dimasukkan. Kami membawanya ke sini untuk memberikannya kesempatan. Ini adalah kali pertama saya bekerja dengannya dan dapat melihatnya dengan lebih dekat”, kata Moyes. Jika diambilkira persembahan yang dipamerkan Zaha semalam, peluangnya disenaraikan dalam skuad utama musim depan cukup cerah selain memberikan Moyes lebih banyak pilihan di sebelah kanan. Seorang lain bintang muda yang menyerlah semalam ialah Ben Amos, penjaga gol yang diturunkan Moyes bagi mengambilalih tempat David de Gea (yang akan bersama-sama pasukan pada perlawanan jelajah di Australia). Di babak pertama Amos melakukan tindakan menyelamat hebat apabila menafikan voli jarak dekat pemain tuan rumah tetapi akhirnya tewas menerusi jaringan Teerathep Winothai. Amos tidak mungkin boleh menggugat posisi penjaga gol nombor satu dari De Gea tetapi kedudukan ketiga di belakang Anders Lindegaard adalah sesuatu yang realistik buat dirinya ketika ini.  Bawa bertenang dan teruskan sokongan anda kepada Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan