Manchester United memenangi lima kejuaraan
Liga Perdana dalam tempoh tujuh tahun terakhir selain menamatkan saingan liga
di kedudukan tiga teratas selama 22 musim berturut-turut. Bagaimanapun
pencapaian itu tidak bermakna pengendali baru United, David Moyes boleh
bersenang lenang kerana banyak kerja yang harus dilakukannya. The Red Devils menikmati tempoh gemilang
mereka di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan muncul antara kelab elit Eropah
tetapi pencapaian di saingan Liga Juara-Juara agak mengecewakan. Dalam tempoh tujuh tahun terakhir juga,
United berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebanyak
tiga kali tetapi tewas dua daripadanya. Selepas sepuluh hari jendela
perpindahan pemain dibuka, Guillermo Varela masih lagi pemain tunggal yang
berjaya ditandatangani Moyes. Dalam tempoh tersebut juga kita melihat beberapa
prospek pemain bintang yang pada mulanya dikatakan begitu hampir menyertai
United kian menjauh dari jangkauan. Moyes bagaimanapun tidak mahu peminat
terlalu panik dengan situasi tersebut. Ketika diwawancara talkSPORT, Moyes
mengatakan; “Jangan remehkan kami apabila anda melihat kurangnya aktiviti kami
dalam pasaran perpindahan. Kami sebenarnya sedang bekerja keras di belakang
tabir untuk meningkatkan skuad”. Seminggu yang lalu kita dibuai dan dihiburkan
dengan spekulasi kononnya Moyes akan mengumumkan pembelian Thiago Alcantara
secara rasmi pada hari pertamanya sebagai pengurus United. Tapi apa yang
berlaku sekarang seolah-olah kelibat Alcantara kian menjauh selepas pengumuman
pihak pengurusan Barca bahawa pemain muda itu akan menyertai pasukan dalam
jelajah pra musim mereka. Jurucakap Barca, Toni Freixa baru-baru ini
mengatakan; “Kami memiliki pemain kami dan Thiago adalah salah satunya. Dia
akan menyertai kami dalam jelajah pra musim seperti yang sudah dijadualkan”. Apakah
kata-kata Freixa itu petanda United bakal berdepan satu lagi kegagalan dalam
mendapatkan pemain yang mereka inginkan? Spekulasi terbaru pula mengatakan
bahawa Alcantara mahu bergabung dengan bekas mentornya, Pep Guardiola di
Allianz Arena. Jika gagal mendapatkan Alcantara, ini bukanlah kali pertama
United berdepan situasi seperti ini kerana mereka sudahpun berdepan beberapa
siri kegagalan dalam mendapatkan pemain yang dihajati sebelum ini. Jika anda
masih ingat pada musim panas 2004, spekulasi cukup hangat mengaitkan bintang
Brazil, Ronaldinho dengan perpindahan ke Manchester. Ada pihak ketika itu mengatakan
bahawa Ronaldinho hanya selangkah saja menjejakkan kakinya di Old Trafford,
tetapi apa kesudahannya? Ronaldinho sebaliknya memilih Nou Camp sebagai
pangkalan barunya selepas berhijrah dari Paris St Germain.
Selepas spekulasi saga Ronaldinho tidak
menjadi kenyataan, pada 2011 peminat-peminat United digemparkan pula dengan
munculnya laporan bahawa United semakin hampir mencapai kesepakatan dengan
perancang Inter Milan, Wesley Sneijder. Selepas bermain tarik tali, Sneijder
akhirnya memilih kekal di Milan sebelum berpindah ke kelab Turki, Galatasaray
Januari lalu. Ronaldinho dan Sneijder adalah dua contoh terbaik kegagalan
United mendapatkan bintang ternama meskipun dikatakan begitu hampir
menandatangani mereka. Nama-nama seperti Lucas Moura, Eden Hazard dan Alcantara
(jika benar dia memilih Bayern) sekadar pelengkap kekecewaan peminat-peminat
United melihat bintang handalan yang disasarkan ini terlepas dari genggaman.
Agak mengecewakan apabila memikirkan bahawa pemain berbakat seperti Alcantara
yang sudah dibentuk untuk menjadi pemain kelas dunia pada usia 22 tahun
terlepas ketangan pasukan lain selepas kita dikatakan begitu hampir
memilikinya. Kehadiran Alcantara dilihat ramai pihak mampu memberikan kekuatan
tambahan kepada bahagian tengah United, terutamanya selepas kita kehilangan
Paul Scholes (bersara), masalah kesihatan yang melanda Darren Fletcher dan prestasi
turun naik yang dipamerkan Anderson. Bukan sahaja Alcantara, kerana United
turut bakal terlepas seorang lagi pemain yang disasarkan mereka kepada Bayern
Munich, siapa lagi kalau bukan Robert Lewandowski. Menurut pengurus Dortmund,
Jurgen Klopp, meskipun Lewandowski tidak akan meninggalkan Signal Iduna Park
musim panas ini tetapi penyerang antarabangsa Poland itu sudah diatur untuk
bergabung dengan pesaing Bundesliga mereka (Bayern Munich) musim mendatang. Dalam
laporan media Jerman Welt am Sonntag,
Klopp mengatakan; “Saya fikir ini adalah kebenaran bahawa Robert akan bermain untuk Bayern musim mendatang (2014/15)”. Sama ada Lewandowski akan
menyertai Bayern Munich atau tidak, apa yang hampir pasti ialah pemain itu
tidak akan menyertai United musim panas ini seperti yang dilaporkan media sejak
April lalu. Situasi Lewandowski sebenarnya berbeza dengan Alcantara kerana
penyerang itu bukanlah sasaran realistik berbanding bintang muda Sepanyol itu
kerana United sudahpun memiliki Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier
Hernandez dan Danny Welbeck sebagai strike
force mereka. Dengan barisan penyerang yang dimiliki United ketika ini, keperluan
untuk mendapatkan penyerang Poland itu tidaklah seberapa tinggi berbanding
Alcantara yang memang diperlukan untuk menambah sengat di bahagian tengah.
Walaupun United dilihat agak kurang aktif dalam pasaran perpindahan pemain
ketika ini, kita tidak perlu panik kerana masih banyak waktu untuk melihat
Moyes menyambar pemain-pemain berbakat sebelum jendela perpindahan ditutup.
Jika diambilkira kata-kata Moyes bahawa pihak pengurusan sedang bergiat aktif
di belakang tabir bagi mendapatkan pemain-pemain yang disasarkan, kita mungkin
menerima khabar gembira sebelum sepak mula liga berlangsung Ogos nanti. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan