Persiapan pramusim Manchester United akan
bermula hujung minggu ini di Bangkok apabila mereka dijadualkan berdepan
pilihan Singha All Star XI. Selain Thailand, program pramusim kali ini akan
membawa The Red Devils terbang ke
Australia, Jepun dan Hong Kong sebagai persediaan menghadapi musim baru nanti.
Perhatian peminat-peminat United dan pemerhati sudah pasti akan tertumpu kepada
David Moyes, individu bertuah yang dipilih bagi menggantikan tempat Sir Alex
Ferguson. Peminat dan pemerhati memberikan tumpuan kepada Moyes tetapi di dalam
pasukan sendiri ada beberapa pemain yang sebenarnya perlu berusaha menarik
perhatian Moyes. Dalam tempoh beberapa minggu ini, mereka perlu menggunakan
sepenuhnya kesempatan perlawanan-perlawanan pramusim untuk membuktikan
keupayaan kepada bos baru mereka. Beberapa pemain seperti Nani, Chris Smalling
dan Ashley Young pula agak tidak bernasib baik dan diberitakan terpaksa
melupakan aksi pramusim kerana masalah kecederaan. Pemain pertama yang perlu
berusaha mencuri perhatian Moyes pastinya Wayne Rooney. Selepas pendedahan Sir
Alex Ferguson (Mei lalu) bahawa Rooney mahu dirinya diletakkan dalam pasaran
perpindahan musim panas ini, pemain berusia 27 tahun itu dikecam hebat
penyokong-penyokong United. Bagaimanapun, Jumaat lalu Moyes selaku pengendali
baru United meredakan sedikit spekulasi tentang masa depan Rooney apabila
mengumumkan pemain itu tidak akan dijual. Rooney sepatutnya menggunakan
kesempatan perlawanan-perlawanan pramusim United untuk membuktikan kesetiaannya
kepada kelab dan meraih kembali sokongan para peminat. Selepas Rooney, pemain
kedua yang sepatutnya menggunakan kesempatan perlawanan pramusim ialah Antonio
Valencia. Selepas mempamerkan prestasi terpuji musim sebelumnya (2011/12)
hingga dipilih pemain terbaik kelab, Valencia tiba-tiba muncul antara pemain
paling mengecewakan musim lalu berikutan prestasi turun naiknya. Masalah
kecederaan mungkin menjadi penyebab utama mengapa Valencia gagal memenuhi
harapan tinggi yang diletakkan ke atasnya musim lalu. Musim depan pemain sayap
berusia 27 tahun itu perlu meningkatkan lagi kreativitinya di sebelah kanan,
menghasilkan banyak hantaran-hantaran lintang berkualiti dan menjaringkan lebih
banyak gol berbanding hanya satu yang dihasilkannya musim lalu. Di bawah bimbingan
Moyes, Valencia berpotensi untuk berkembang sekaligus mengembalikan semula
sentuhan pemusnahnya. Jika ada mana-mana pemain yang paling kecewa, pastinya pemain
itu ialah Chris Smalling. Ketika dia sepatutnya menggantikan tempat Jonny Evans
dan Nemanja Vidic yang dibelenggu kecederaan, Smallling turut ditimpa nasib
yang sama, malah bekas pertahanan Fulham itu tidak menyertai pasukan sejak awal
musim lagi berikutan kecederaan yang dialaminya ketika perlawanan pramusim
tahun lalu. Menjelang tahun baru, Smalling mendapati peranannya jauh
berkurangan berbanding musim sebelumnya, terutama apabila Vidic kembali dalam
pasukan selepas pulih dari kecederaan.
Persaingan di bahagian belakang (terutamanaya
di posisi pertahanan tengah) agak sengit dengan Vidic dan Rio Ferdinand masih
mendominasi posisi tersebut musim lalu. Selain Vidic dan Rio, United juga
memiliki Evans, Smalling dan Jones yang mengintai peluang merebut tempat dalam
kesebelasan utama. Persaingan dijangka lebih sengit musim depan selepas United
dikaitkan dengan perpindahan pertahanan tengah Benfica, Ezequiel Garay. Jadi
Evans, Jones dan Smalling perlu meningkatkan kemampuan mereka untuk terus
bersaing merebut tempat dalam skuad utama jika perpindahan Garay menjadi
kenyataan. Jones bagaimanapun dilihat lebih bernasib baik berbanding Evans dan
Smalling kerana dia merupakan pemain yang lebih versatile (kerana selain mampu beraksi sebagai bek tengah, dia juga
boleh diletakkan di bahagian tengah, bek kanan dan kiri). Perlawanan pramusim
akan memberikan kesempatan buat Moyes menilai pilihannya di bahagian belakang. Melihat
di bahagian hadapan pula, jika Rooney memilih meninggalkan Old Trafford,
tanggungjawab lebih besar terpaksa dipikul Danny Welbeck dan dia perlu segera
meningkatkan produktivitinya di depan pintu gol. Dengan Javier Hernandez dan
Robin Van Persie turut bersaing merebut tempat di bahagian hadapan, Welbeck
perlu mempertajamkan kebolehan menjaringkan golnya. Pemain antarabangsa England
itu hanya menjaringkan dua gol dalam semua kejohanan musim lalu, jauh
berbanding 12 gol yang dihasilkannya pada musim 2011/12. Saya boleh katakan
bahawa Welbeck nampak seperti gugup ketika berada dalam petak penalti lawan dan
kurang ketenangan ketika mempunyai peluang terbaik. Dia sebenarnya perlu lebih
banyak belajar dan mengaut sebanyak mungkin tips dari Van Persie tentang
bagaimana caranya mahu menjadi seorang finisher
hebat. Pemain terakhir yang perlu diberikan perhatian dan sepatutnya bersungguh-sunggu
mencuri perhatian Moyes ialah Wilfried Zaha. Kelmarin Evening Standard melaporkan bahawa Crystal Palace, Fulham dan West
Ham sedang berbaris bagi mendapatkan khidmat Zaha secara pinjaman. Jika Moyes
membenarkan pemain muda berbakat itu menyertai mana-mana pasukan sebagai pemain
pinjaman, saya boleh katakan bahawa itu satu keputusan yang pelik. Dengan
segala bakat dan potensi milik Zaha hingga mendorong Sir Alex mendapatkan
pemain itu dari Crystal Palace, Moyes sepatutnya memberikan peluang buat Zaha
beraksi bersama United dalam mana-mana perlawanan kompetitif terlebih dahulu.
Jika beliau merasakan Zaha tidak mampu bersaing dengan senior-seniornya dalam
skuad utama, barulah Moyes boleh menimbang kemungkinan mencari mana-mana
pasukan yang mampu memberikan tempat buat Zaha bermain setiap minggu. Zaha
pemain berbakat besar dan prospek masa depan bolasepak England, jadi dia boleh
menggunakan kesempatan perlawanan-perlawanan pramusim bagi membuktikan sesuatu
kepada Moyes. Sebagai permulaan kariernya di Old Trafford,
perlawanan-perlawanan musim panas menentang lawan yang tahapnya lebih rendah
boleh digunakan Zaha untuk membuktikan mengapa dia layak menyarung jersi merah The Red Devils. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan