21 September 2013

MENJELANG DERBY MANCHESTER: DULU SAHABAT KINI SETERU




Esok akan berlangsung pertembungan derby Manchester yang ke-165, ke-13 dimainkan di Eastlands dan yang pertama buat dua pengendali, David Moyes dan Manuel Pellegrini. Terpulang apa pandangan anda tentang pertemuan City-United kali ini, meskipun Wayne Rooney sudah mengeluarkan kenyataan bahawa derby di Eastlands esok bukanlah perlawanan terbesar untuk Manchester United musim ini. Melihat kepada sejarah perseteruan dua kelab berjiran ini, tidak menghairankan jika kenyataan-kenyataan panas seperti ini akan keluar dari mulut pemain-pemain kedua-dua pasukan terutamanya menjelang derby Manchester. Selagi sepak mula belum dilangsungkan, saya pasti akan ada beberapa lagi kenyataan panas dikeluarkan oleh pemain atau pihak pengurusan kedua-dua kelab dan sudah tentu Rooney bukanlah individu terakhir melakukannya. Secara peribadi, saya tidak pernah menganggap derby Manchester perlawanan yang kecil walaupun ketika itu mereka (City) bukanlah kelab yang mewah seperti sekarang. Hanya selepas Thaksin Shinawatra mengambil alih kelab dan kemudiannya pemilik bertukar tangan pula kepada jutawan dari Timur Tengah, Sheikh Mansour, City tiba-tiba muncul antara kelab besar di England dan pencabar kejuaraan liga sejak 2010. Kuasa wang tidak terbatas yang dibekalkan pemilik kelab membolehkan Mark Hughes, Roberto Mancini dan sekarang Pellegrini membeli pemain-pemain bintang yang mereka inginkan sekaligus menjadikan City kelab yang besar dan digeruni. Akhirnya selepas melakukan pelaburan besar-besaran, City di bawah kendalian Mancini menang trofi Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun pada musim 2011/12. Lupakan dulu tentang sejarah silam City dan kembali semula pada pertembungan derby Manchester yang akan berlangsung malam esok.


Rooney mengatakan bahawa perlawanan esok bukanlah perlawanan besar buat United musim ini jika dibandingkan dengan pertembungan United-Liverpool yang berlangsung tiga minggu lalu. Setuju atau tidak terpulang kepada persepsi anda, tetapi setiap kali berlangsungnya derby Manchester ini, 90 minit permainan sudah pasti sarat dengan emosi, tegang, dramatik, kontroversi dan apa-apa saja perkataan yang anda boleh berikan bagi menggambarkan betapa panas dan pentingnya perlawanan ini kepada pemain dan penyokong kedua-dua kelab. Tidak lengkap kiranya pertembungan  United-City jika tidak dihiasi dengan perang saraf sebelum perlawanan, di mana kenyataan demi kenyataan dikeluarkan kedua-dua pihak dengan tujuan mengalihkan fokus lawan masing-masing dari perlawanan ini. Penyokong-penyokong pula 'berperang' di luar padang dengan menjadikan media sosial di internet sebagai medan buat mereka melepaskan geram, pendapat dan ramalan keputusan perlawanan. Melihat kepada segala kegilaan ini, siapa sangka bahawa kedua-dua kelab Manchester ini dahulunya pernah menjalinkan persefahaman kukuh dan menyokong antara satu sama lain. Di peringkat awal penubuhan dua kelab berjiran ini, tiada konflik tercetus setiap kali berlangsungnya derby Manchester, yang ada hanyalah perlawanan menghiburkan disajikan pemain-pemain untuk tatapan penyokong-penyokong masing-masing. Malah sejarah juga pernah merakamkan bahawa kedua-dua kelab ini pernah mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi mengutip dana untuk tujuan amal. Jadi mengapa suhu tiba-tiba berubah hingga menyebabkan perlawanan-perlawanan United-City menjadi panas? Mungkin apa yang saya paparkan di bawah sedikit sebanyak boleh menjawab persoalan ini.

Zaman Awal Penubuhan:

Kedua-dua kelab bertemu buat pertama kalinya pada 12 November 1881, ketika itu City menggunakan nama West Gordon (St Marks) manakala United pula dengan nama asalnya Newton Heath. Perlawanan berakhir dengan keputusan memihak kepada Heath apabila mereka menang 3-0, manakala perlawanan kedua pula dikatakan cukup menghiburkan dan berlangsung tanpa sebarang kontroversi. Masa berjalan di mana kedua-dua kelab selepas itu menjadi kuasa dominan di bandar Manchester. Mereka menyertai Football League dengan Heath berada di Divisyen 1 manakala Ardwick (sebelum ditukar kepada Manchester City) berada di Divisyen 2. Pada 26 Februari 1889, kedua-dua kelab ini bertemu semula dan Heath sekali lagi unggul apabila menewaskan jiran mereka itu dengan keputusan 3-2. Menariknya perlawanan ini diadakan dengan tujuan mengutip dana bagi mengisi tabung bencana letupan lombong arang batu di Hyde yang mengorbankan 23 nyawa. Ketika ini, kedua-dua kelab masih lagi 'sahabat' yang akrab, jadi tidak hairanlah jika kedua-dua pihak masih menyokong antara satu sama lain. Pada Januari 1907, empat pemain City iaitu Jimmy Bannister, Herbert Burgess, Billy Meredith dan Sandy Turnbull menyertai United dan perpindahan ini masih disambut baik kedua-dua pihak terutamanya City atas alasan demi kebaikan dan membantu sesama kelab Manchester. Sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua, sebahagian besar penyokong-penyokong kedua-dua kelab saling bergilir setiap minggu menyaksikan perlawanan-perlawanan yang membabitkan United dan City. Ketika itu, tiada masalah buat penyokong-penyokong United menyarung jersi City ketika mereka menyaksikan perlawanan membabitkan skuad jiran itu dan begitulah sebaliknya. Selepas perang tamat, kedua-dua kelab semakin berkembang dan persaingan United-City juga semakin sengit di mana kemuncaknya apabila terbahaginya Manchester kepada timur dan barat. United berada di sebelah barat manakala City pula berpangkalan di timur Manchester. Persahabatan dan persaingan sihat sebelum ini akhirnya berubah menjadi perseteruan dan perlawanan-perlawanan membabitkan kedua-dua kelab selepas itu sentiasa tegang dan sarat dengan kontroversi.

Era 70an – 80an:

Era ini dikatakan bermulanya era penuh emosi dan kontroversi bagi derby Manchester. Pada Disember 1970 contohnya, George Best mematahkan kaki Glyn Pardoe hingga diberitakan bahawa pertahanan City itu hampir kehilangan kakinya. Pada derby musim 1973/74 pula, Mike Doyle dan Lou Macari dilayangkan kad merah namun kedua-dua pemain ini enggan meninggalkan padang hingga kemudiannya terpaksa dipujuk rakan-rakan sepasukan.

Era 90an – 2000:

Perseteruan masih berlanjutan walaupun United ketika itu muncul kuasa dominan dalam saingan Liga Perdana berbanding tetangganya itu. Sepanjang  era 90an, United tidak pernah tewas dalam perlawanan derby Manchester di mana ketika itu, City hanya menghabiskan musim di kedudukan pertengahan liga. Momen paling terkenal sepanjang derby Manchester era ini sudah tentunya melibatkan pertembungan antara Roy Keane dan Alf Inge Haaland. Perseteruan antara kedua-dua pemain ini bermula pada pertemuan antara Leeds dan United di Elland Road pada September 1997. Tindakan Haaland (yang ketika itu masih menyarung jersi Leeds) mengherdik dan menuduh Keane berpura-pura tercedera bagi mengelakkan layangan kad kuning dari pengadil akhirnya memakan diri sendiri. Dalam perlawanan itu Keane mengalami kecederaan ligamen yang serius hingga terpaksa diusung keluar dan direhatkan hampir setahun. Perlawanan menentang City pada April 2001 digunakan Keane untuk melunaskan dendamnya selama empat tahun apabila dia melakukan satu terjahan keras  ke atas lutut Haaland hingga mengakibatkan pemain Norway itu terpaksa berehat panjang. Dua tahun kemudian, Haaland mengambil keputusan untuk menamatkan kariernya selepas mendapati proses untuk sembuh dari kecederaan lutut yang dialaminya menemui jalan buntu. Selepas insiden tersebut, perseteruan antara United dan City menjadi semakin panas terutamanya apabila Keane sendiri secara terbuka dalam biografinya mengakui bahawa dia memang sengaja melakukan terjahan keras itu.

2010 Hingga Sekarang:

Sejak diambil alih oleh jutawan UAE, The Citizens bukan lagi kelab kelas pertengahan tetapi mereka sebaliknya mula memberikan cabaran di kelompok atas liga. City berjaya menamatkan dominasi United selaku kelab unggul di kota Manchester apabila Mancini membawa kelab itu menang kejuaraan liga pada musim 2011/12.  Bagaimanapun musim lalu, United kembali bangkit menewaskan jiran mereka itu dalam perebutan kejuaraan apabila meninggalkan City sebelas mata di belakang untuk menjulang trofi liga buat kali ke-20. Kejuaraan liga ke-20 yang diraih United dan persaraan Sir Alex Ferguson tidak akan menamatkan permusuhan dua kelab Manchester ini. Perubahan pesat yang dialami City dalam tempoh tiga atau empat tahun terakhir juga menjadikan pertembungan derby Manchester mula dilabel sebagai pertembungan derby terbesar di Liga Perdana. Disebabkan perubahan waktu, dua tetangga yang dulunya 'bersahabat', kini saling bermusuhan. Saya tertarik dengan komentar dari Henry Winter dalam The Telegraph yang mengatakan bahawa pertembungan United-City bukan sahaja berkisar tentang maruah, tetapi mereka bertarung untuk merebut hak sebagai penguasa kota Manchester sekaligus menjadikan derby ini perlawanan yang ditunggu-tunggu peminat-peminat bolasepak seluruh dunia. Disebabkan segala kontroversi dan ketegangan yang berlaku setiap kali berlangsungnya derby Manchester ini, ada juga pendapat yang mengatakan bahawa perlawanan United-City sudah mengatasi populariti pertembungan el-classico membabitkan Real Madrid dan Barcelona. Sejarah dan detik menarik apa lagi yang bakal tercipta pada pertembungan derby Manchester malam esok? Adakah catatan hitam yang berlaku musim lalu apabila Rio Ferdinand mengalami kecederaan selepas terkena balingan objek penyokong City berulang kembali atau derby ini bakal berlangsung dengan lancar dan menghiburkan? Banyak perubahan yang berlaku musim ini terutamanya membabitkan jawatan pengendali kedua-dua kelab, tetapi saya yakin apapun perubahan yang berlaku, derby Manchester tetap perlawanan besar yang saya nanti-nantikan setiap musim. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

20 September 2013

GUNAKAN KUALITI KAGAWA DENGAN BIJAK



Selepas tidak diturunkan dalam empat perlawanan liga, nama Shinji Kagawa akhirnya disenaraikan dalam kesebelasan utama buat pertama kali musim ini ketika berdepan Bayer Leverkusen dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu. Wayne Rooney menjadi bintang dalam perlawanan menentang Leverkusen, tetapi aksi sulung Kagawa musim ini tetap menjadi perhatian dan bualan penyokong-penyokong United selepas perlawanan. Kagawa mungkin tidak meninggalkan impak yang besar dalam perlawanan ini tetapi sumbangannya di bahagian tengah terutamanya dalam mengatur gerakan ketika menyerang tidak boleh kita nafikan. Dalam aksi di Old Trafford kelmarin, Kagawa diletakkan di sebelah kiri, mungkin disebabkan David Moyes tidak dapat menggunakan khidmat Nani yang digantung kerana layangan kad merah ketika berdepan Real Madrid musim lalu. Peranan ini bukanlah terlalu asing buat Kagawa kerana musim lalu dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Sir Alex Ferguson, beliau sering meletakkan pemain antarabangsa Jepun itu di posisi tersebut. Ketika berdepan Leverkusen, Moyes menggunakan formasi 4-4-2, tetapi bentuk formasi itu boleh berubah menjadi 4-3-3 sehinggakan taktikal yang digunakan Moyes lebih mirip kepada permainan Everton semasa mereka di bawah kendaliannya. Saya bukanlah pakar taktikal tetapi ketika berdepan Leverkusen, Kagawa pada pendapat saya kelihatan selesa memainkan peranannya di sebelah kiri, bergerak ke atas dan ke bawah untuk menerima bola dan melakukan hantaran. Kagawa bijak mengumpan bek kanan lawan, Giulio Donati keluar dari posisinya hingga membolehkan Patrice Evra bergerak agak bebas masuk ke kawasan lawan.

Jika sebelum ini kita banyak bergantung kepada kekuatan di sebelah kanan menerusi gerakan-gerakan dari Antonio Valencia dan Rafael da Silva, persembahan yang ditunjukkan Kagawa pada aksi Liga Juara-Juara kelmarin saya harap mampu memberikan keseimbangan pada permainan United selepas ini. Seperti yang anda tahu, Kagawa bukanlah pemain sayap tulen kerana kepakaran sebenarnya ialah sebagai perancang di bahagian tengah, dan nalurinya sebagai seorang attacking midfielder pada saya banyak membantu gerakan-gerakan ketika menyerang. Jadi tidak hairanlah mengapa Emre Can adakalanya terpaksa bergerak jauh kekanan bagi menutup ruang yang ditinggalkan Donati ketika Kagawa melakukan gerakan sekaligus meninggalkan ruang kosong di bahagian tengah Leverkusen. Mungkin ini jugalah puncanya mengapa Robin Van Persie dan Wayne Rooney bebas bertukar-tukar posisi sesama sendiri, sesuatu yang boleh saya katakan tidak pernah berlaku sebelum ini. Jika anda lihat perlawanan kelmarin, Van Persie ada kalanya kerap menyusup ke sebelah kiri manakala Rooney pula berada jauh ke kanan lebih dari biasa. Situasi ini berlaku kerana dengan adanya Kagawa membolehkan kedua-dua penggempur ini bebas menempatkan diri mereka di posisi yang mana mereka rasa terdapat ruang dan peluang untuk menghasilkan gol. Lupakan kekurangan kualiti Kagawa ketika bertahan kerana di belakangnya kita sudahpun memiliki Marouane Fellaini dan Michael Carrick yang boleh memenangai perebutan bola dalam sebarang situasi. Mungkin ada pihak yang sedikit terkejut dengan kejayaan kombinasi Kagawa-Van Persie-Rooney dalam perlawanan ini terutamanya selepas melihat aksi kurang konsisten yang dipamerkan mereka musim lalu (terutamanya Kagawa dan Rooney).

Bagaimanapun saya lebih suka melihat kegagalan mereka bertiga membentuk gandingan yang mantap musim lalu disebabkan masalah kecederaan yang melanda Kagawa selain belum mampu beradaptasi sepenuhnya dengan taktikal dan formasi 4-2-3-1 yang digunakan Sir Alex. Adakalanya kita tidak boleh menilai sumbangan seseorang pemain menerusi statistik yang dikeluarkan selepas tamat perlawanan, kerana jika diukur pada statistik, Kagawa ternyata gagal dalam perlawanan ini. Dalam hal ini saya lebih suka melihat dari sudut sumbangan dan pengaruh yang diberikan Kagawa kepada permainan United sepanjang 70 minit dia di atas padang. Secara perbadi saya gembira melihat sumbangan Kagawa Rabu lalu dan berharap dia diberi peluang tampil dalam lebih banyak perlawanan selepas ini. Jika sebelum ini ada peminat-peminat mengatakan bahawa kita kekurangan kreativiti di bahagian tengah, saya berharap apa yang dipamerkan Kagawa ketika berdepan Leverkusen mampu menjadi jawapan kepada kekurangan itu. Kini semuanya terpulang kepada Moyes selaku pengendali bagaimana beliau mahu menggunakan segala kualiti dan potensi yang ada pada Kagawa dalam taktikal dan formasi permainannya. Saya percaya, kita tidak perlu memandang terlalu atau berkira-kira midfielder mana yang patut ditandatangani Moyes Januari nanti kerana kualiti yang diperlukan sudah ada di depan mata, jadi gunakan sahaja peranan yang boleh dimainkan Kagawa dengan bijak. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

18 September 2013

REVIEW: PERMULAAN SEMPURNA UNTUK DEBUT MOYES DI EROPAH


Apa lagi yang oleh diperkatakan selain berpuashati dengan kemenangan Manchester United ke atas Bayer Leverkusen dalam perlawanan pertama (Kumpulan A) Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi tadi. Mungkin dua gol yang diperolehi lawan merosakkan sedikit pesta di Old Trafford tetapi itu semua boleh kita lupakan selepas menilai secara keseluruhan persembahan barisan The Red Devils sepanjang 90 minit permainan. Melihat kepada kesebelasan utama yang diturunkan David Moyes sudah cukup untuk membuatkan kita yakin bahawa Sami Hyypia bakal berdepan tugas sukar pada penampilan pertamanya sebagai pengendali dalam saingan Liga Juara-Juara. Kita gembira dengan kemenangan bergaya yang dicapai kelab awal pagi tadi terutamanya selepas melihat lineup 'impian' yang selama ini ditunggu-tunggu penyokong-penyokong akhirnya digunakan Moyes apabila beliau meletakkan nama Shinji Kagawa dan Marouane Fellaini dalam kesebelasan utamanya. Menangani kelab seperti Leverkusen bukanlah tugas yang mudah terutamanya selepas melihat barisan bimbingan Hyypia begitu sukses mengharungi kempen awal liga dengan bergaya apabila menang empat dari lima perlawanan mereka. Jadi kemenangan selesa 4-2 yang dicatatkan ke atas kelab yang kini berada di tangga ketiga Bundesliga itu saya anggap sudah cukup menggambarkan kekuatan kita dalam berdepan cabaran di peringkat Eropah musim ini. Statistik perlawanan jelas menunjukkan penguasaan United tetapi saya agak risau melihat kealpaan benteng pertahanan terutamanya di babak kedua hingga membenarkan lawan menyamakan kedudukan selepas Rooney menjaringkan gol pertama perlawanan.

Pada usia melepasi angka 30 tahun, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic masih lagi tonggak utama di benteng tengah tetapi kita perlu mengakui bahawa persembahan kedua-dua mereka awal pagi tadi sedikit goyah. Rio umpamanya melakukan beberapa kesilapan kecil ketika bertahan manakala Vida pula meskipun sering memenangi perebutan-perebutan bola di udara namun agak gopoh ketika benteng di asak lawan. Bagaimanapun apabila mengingatkan bahawa ini adalah perlawanan ke-14 mereka digandingkan bersama sejak musim lalu kerana masalah kecederaan yang dialami Vida, kita mungkin boleh berkompromi dan berharap gandingan veteran ini segera mencapai keserasian dalam beberapa perlawanan akan datang. Chris Smalling pula bagi saya walaupun menampilkan aksi yang cukup kemas ketika bertahan namun dia tidak memiliki naluri menyerang yang bagus sepertimana Rafael da Silva sehingga membataskan sedikit aktiviti di sebelah kanan manakala Patrice Evra seperti biasa antara pemain United yang konsisten dan dia sekali lagi membuktikannya dalam perlawanan ini. Penguasaan di bahagian tengah sering menjadi penentu kepada mana-mana keputusan perlawanan dan sepanjang 90 minit, saya cukup berpuashati dengan penampilan pertama Marouane Fellaini dalam saingan Liga Juara-Juara. Meskipun masih terdapat penyokong-penyokong United yang kurang gembira dengan keputusan Moyes menandatangani pemain tengah itu kerana mereka mahukan nama lebih besar berbanding Fellaini, saya berpendapat bahawa dia menjalankan tugasnya dengan cukup bagus dalam perlawanan ini. Gandingannya bersama Michael Carrick di bahagian tengah nampak berkesan di mana Fellaini sebenarnya lebih cenderung memainkan peranan sebagai penghubung kepada Shinji Kagawa, Wayne Rooney dan Robin Van Persie.

Fungsi yang dimainkan Fellaini juga sebenarnya berjaya meringankan beban yang dipikul Carrick ketika bertahan, sekaligus memberikan lebih banyak ruang buatnya menyusun kembali gerakan ketika bola kembali dirampas dari penguasaan lawan. Sepanjang perlawanan, Fellaini menggunakan sepenuhnya kelebihan ketinggian fizikal yang dimilikinya untuk melindungi benteng pertahanan dengan memenangi perebutan-perebutan bola diudara terutamanya di sekitar luar kawasan petak penalti. Ringkasnya kehadiran Fellaini berjaya menambah kekuatan dan daya tahan di bahagian tengah yang saya lihat sedikit kurang sejak beberapa musim terakhir. Apa yang boleh saya katakan lagi tentang Carrick? Ketenangan yang dipamerkannya sepanjang perlawanan dengan usaha-usaha yang dilakukannya bagi menghidupkan bahagian tengah tanpa kenal lelah sepertimana yang ditunjukkannya dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini menjadikan dia antara pemain yang tidak boleh 'disentuh' dalam lineup pasukan. Ketika pertempuran di bahagian tengah agak sesak apabila Hyypia menggunakan lima pemain dalam usahanya menguasai posisi tersebut, Shinji Kagawa pada pandangan saya berjaya memainkan peranannya dengan baik selama 70 minit aksinya di atas padang. Ketika bola berada di kakinya, Kagawa bijak menyusun gerakan dan berjaya melancarkan pergerakan bola dari bahagian bawah ketika melakukan serangan. Pergerakan-pergerakan yang dilakukannya dari sebelah kiri berjaya menarik Giulio Donati dan Emre Can keluar dari posisi mereka sekaligus membolehkan Evra dan Fellaini lebih bebas berlegar-legar di kawasan lawan.

Selepas dikritik berikutan prestasi tidak konsisten sepanjang musim lalu, saya menganggap ini adalah penampilan terbaik dari Antonio Valencia setakat ini. Tidak ragu-ragu bahawa sepanjang perlawanan awal pagi tadi, Valencia adalah ancaman utama di sebelah kanan menerusi larian-larian pantas dan hantaran-hantaran silang yang ditujukannya ke dalam petak penalti lawan. Bukan mahu memuji secara keterlaluan tetapi prestasi Valencia setakat ini jauh lebih bagus berbanding apa yang dipamerkannya musim lalu, mungkin juga disebabkan beban berat ketika mengenakan jersi nombor 7 yang dipakainya musim lalu sudah terlerai. Pemain paling menyerlah sepanjang perlawanan pagi tadi sudah tentulah Wayne Rooney yang menyumbangkan dua gol dan mencipta satu assist. Sejak kembali dari kecederaan kepala yang menyaksikan dia terlepas aksi menentang Liverpool, Rooney kelihatan seolah-olah begitu 'lapar' di atas padang. Penampilan hebat Rooney sepanjang 84 minit permainan berbayar apabila dua gol yang dihasilkannya meletakkan dirinya pemain keempat selepas Sir Bobby Charlton, Dennis Law dan Jack Rowley yang berjaya mencecah angka 200 gol dalam sejarah kelab. Selepas digembar-gembur sebelum ini bahawa dia ingin meninggalkan kelab, saya gembira melihat cara Rooney meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan. Jika bukan kerana sedikit kegopohan Rooney dan Van Persie ketika beroleh peluang terbaik di hadapan gawang lawan di penghujung babak kedua, sudah tentu United mampu menang dengan jaringan lebih besar dalam perlawanan ini. Ini adalah kemenangan yang sangat baik buat moral pasukan terutamanya menjelang pertembungan derby Manchester hujung minggu ini. United menang bergaya awal pagi tadi, tetapi ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dan jika segalanya berjalan lancar, The Red Devils akan menjadi pasukan yang lebih berbahaya selepas ini. Apapun kemenangan pagi tadi cukup bagus buat permulaan karier Moyes di pentas Eropah. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United-Leverkusen:

Penguasaan Bola: 60% - 40%
Percubaan: 16 – 12
Percubaan Tepat: 7 – 7
Sepakan Sudut: 6 – 6
Kekasaran: 7 – 8
Kad Kuning: 1 – 2
Kad Merah: -
Gol: 4 – 2

17 September 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD v BAYER LEVERKUSEN



Awal pagi esok, David Moyes akan melakukan debutnya di Liga Juara-Juara selaku pengendali Manchester United apabila menerima kunjungan kelab Jerman, Bayer Leverkusen di Old Trafford. Situasi yang sama turut dialami pengendali Leverkusen, Sami Hyypia kerana ini juga merupakan debutnya dalam Liga Juara-Juara sebagai pengurus/jurulatih walaupun pernah beraksi di saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu sebagai pemain ketika bersama-sama Liverpool dulu. Selepas mencatat kemenangan 2-0 dalam saingan domestik Sabtu lalu, barisan The Red Devils berada dalam mood terbaik untuk sekali lagi melakar kemenangan di hadapan penyokong-penyokong sendiri dengan kemungkinan kombinasi Wayne Rooney-Robin Van Persie terus dikekalkan di bahagian hadapan. Bagaimanapun Moyes mungkin tidak dapat menurunkan Phil Jones, Rafael da Silva dan Danny Welbeck yang diberitakan masih belum cergas manakala Nani pula menjalani penggantungan perlawanan akibat layangan kad merah yang diterimanya ketika menentang Real Madrid musim lalu. Jika United berada dalam mood terbaik untuk terus merakamkan kemenangan, skuad kendalian Hyypia juga apa kurangnya kerana mereka sudah mencatat empat kemenangan dari lima perlawanan liga setakat ini. Sabtu lalu Leverkusen mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Wolfsburg dengan Sidney Sam dan Stefan Kiessling muncul penyumbang utama gol-gol mereka apabila masing-masing sudah menjaringkan empat gol dalam saingan liga.

Jika Moyes kehilangan khidmat Jones, Rafa, Welbeck dan Nani, Hyypia pula mungkin tidak dapat menurunkan pemain tengahnya Gonzalo Castro kerana masalah kecederaan tetapi Lars Bender, Simon Rolfes dan Omer Toprak yang terlepas aksi awal musim sudah sedia kembali beraksi semula. Pada pendapat saya, benteng pertahanan United harus berhati-hati dengan ancaman yang bakal diberikan oleh Sam dan Kiessling terutamanya selepas melihat gandingan mereka meledak tiga gol dalam saingan Bundesliga hujung minggu lalu. Bagaimanapun ketajaman penyudah Van Persie dan Rooney juga sepatutnya menggusarkan Hyypia di mana sebagai bekas pemain pertahanan, beliau sudah pasti cuba memikirkan taktikal terbaik di bahagian belakang dalam mengekang pergerakan dua penggempur United itu. Jika Van Persie mendapat sokongan dan umpanan-umpanan berkualiti dari bahagian tengah, tidak mustahil Bernard Leno bakal berdepan masalah besar di gawang pelawat. Untuk rekod, kedua-dua kelab sudah bertemu empat kali dalam sejarah pertemuan mereka dengan United mencatat dua kemenangan manakala selebihnya berakhir dengan keputusan seri. Meskipun rekod pertemuan memihak kepada United, anda perlu ingat bahawa Leverkusen pernah menyingkirkan mereka di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara edisi 2001-02 menerusi peraturan gol di tempat lawan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Perlawanan awal pagi esok merupakan kali pertama United beraksi di Eropah tanpa kelibat Sir Alex Ferguson sejak 20 Mac 1985 di mana ketika itu United yang dikendalikan Ron Atkinson tewas 0-1 kepada kelab Hungary, Videoton dan kemudiannya tersingkir dari peringkat suku akhir Piala UEFA menerusi penentuan sepakan penalti.

- Sidney Sam dan Stefan Kiessling muncul penjaring kedua terbanyak Bundesliga dengan empat gol.

- Dua pemain United (Rio Ferdinand dan Ryan Giggs) yang pernah berdepan Leverkusen di Old Trafford 11 tahun lalu masih berada dalam pasukan.

- Seperti yang anda tahu, Damir Skomina dipilih sebagai pengadil perlawanan awal pagi esok. Tahukah anda bahawa dalam dua perlawanan terdahulu United yang diadili Skomina, The Red Devils sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Benfica pada 2011 dan tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam pada 2012. Di pihak lawan pula, Leverkusen pernah mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Galatasaray dalam saingan Liga Europa 2008, yang juga merupakan satu-satunya perlawanan mereka di bawah pengadilan Skomina.

- Hyypia menggunakan sembilan pemain yang sama sebagai starter dalam lima perlawanan liga mereka setakat ini.

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Chris Smalling, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Michael Carrick, Antonio Valencia, Ryan Giggs, Marouane Fellaini, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Leverkusen: Bernard Leno, Omer Toprak, Emir Spahic, Sebastien Boesnich, Giulio Donati, Lars Bender, Stefan Rienartz, Simon Rolfes, Sidney Sam, Son Heung Min & Stefan Kiessling

16 September 2013

SEMOGA BAKAT JANUZAJ TIDAK TENGGELAM DALAM TEKANAN


Tarikh 14 Sptember 2013 sudah tentu merupakan antara tarikh paling bersejarah buat wonderkid Belgium, Adnan Januzaj selepas dia diberikan penampilan pertama dalam saingan liga menentang Crystal Palace oleh David Moyes. Dalam debut kompetitifnya bersama skuad utama, Januzaj bermain sekitar 20 minit selepas masuk menggantikan Ashley Young dan dia menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan dengan menampilkan aksi mengagumkan hingga menarik perhatian penyokong-penyokong dan rakan sepasukan. Jadi tidak hairanlah mengapa rakan sepasukan Januzaj, Fabio da Silva meletakkan pemain muda itu sebagai pujaan baru di Old Trafford. Saya sedikit terkejut apabila melihat Januzaj langsung tidak kekok ketika menerima bola, begitu yakin ketika melakukan hantaran dan tidak ragu-ragu melepaskan percubaan ke pintu gol lawan, seolah-olah dia seperti sudah bermain beberapa musim dalam saingan liga. Penampilan pertama Januzaj ini sebenarnya mengingatkan saya kepada persembahan Cristiano Ronaldo ketika melakukan debutnya bersama United kira-kira sepuluh tahun lalu, apatah lagi mereka berdua memiliki satu persamaan, iaitu bermain sebagai sayap kiri. Jadi tidak hairanlah ada di kalangan penyokong-penyokong United meletakkan bekas pemain Anderlecht itu sebagai pengganti Ronaldo di Old Trafford.

Sebenarnya saya bukan mahu meletakkan perbandingan antara Januzaj dan Ronaldo di sini tetapi ingin mengimbas kembali persamaan bintang baru kita itu dengan lagenda sebelumnya, George Best. Tahukah anda pada 14 September 1963, lima puluh tahun yang lalu, George Best diberikan penampilan pertama dalam saingan liga pada usia 17 tahun oleh Sir Matt Busby ketika berdepan West Bromwich Albion. United menang perlawanan itu menerusi jaringan tunggal David Sadler, tetapi Best menjadi tumpuan penyokong-penyokong kerana aksi mempesonakan yang dipamerkan di atas padang pada penampilan pertamanya dan kemudian muncul antara pemain terbaik pernah beraksi bersama kelab. Genap lima puluh tahun selepas Best melakukan penampilan pertamanya, kini tiba giliran Januzaj, bintang muda yang sedang digilap mempamerkan bakat semulajadinya pula. Best dan Januzaj dikatakan memiliki beberapa persamaan bukan sahaja pada bentuk fizikal tetapi juga karekter dan gaya permainan mereka. Kedua-duanya memiliki kebolehan menggelecek, dianugerahkan sepasang kaki yang pantas dan mampu mencipta bahaya kepada lawan dalam situasi yang tidak dijangka. Apa yang menariknya, Best dan Januzaj bukan sahaja berkongsi persamaan pada bakat dan gaya permainan mereka tetapi turut berkongsi tarikh yang sama untuk debut mereka iaitu 14 September.

Seperti yang saya sebutkan tadi, Januzaj masuk menggantikan seniornya Young ketika permainan berbaki kira-kira 20 minit untuk ditamatkan dan dalam tempoh tersebut dia menggunakan sepenuhnya kesempatan itu untuk mencuri perhatian pengurus dan 70 ribu penyokong yang berada di stadium. Sepanjang tempoh 20 minit, Januzaj mempamerkan segala kualiti yang ada pada dirinya hingga menyebabkan ramai pihak teruja menanti penampilan seterusnya selepas ini. Tipu helah (dummy) yang dilakukannya, larian-larian pantasnya, berani melakukan percubaan ke sasaran dan keyakinan yang dipamerkannya ketika cuba melepasi benteng pertahanan lawan tidak menggambarkan langsung bahawa dia sebenarnya sedang beraksi pada perlawanan Liga Perdana pertamanya. Kelincahannya menyebabkan pemain Palace tiada pilihan lain selain mengasarinya hingga United dihadiahkan sepakan percuma yang berjaya disempurnakan Wayne Rooney untuk gol kedua perlawanan. Selepas apa yang dipamerkannya kelmarin, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Januzaj kini pilihan popular mengisi posisi sayap kiri berbanding Young yang jauh lebih berpengalaman darinya. Nama Januzaj sudahpun menjadi sebutan penyokong-penyokong United sebelum ini, tetapi aksi pertamanya dalam saingan liga Sabtu lalu menyebabkan harapan lebih tinggi mula diletakkan di atas bahunya.

Januzaj kini sudah mula dibandingkan dengan lagenda nombor 7 sebelumnya iaitu Best dan Ronaldo, malah sudah ada suara-suara yang mencadangkan agar nombor ikon United itu di serahkan kepadanya. Label atau perbandingan yang sering diletakkan kepada seseorang bakat baru dengan lagenda sebelumnya mampu membunuh karier seseorang pemain muda jika mereka tidak mampu menanganinya dengan bijak. Januzaj adalah antara pemain berbakat dan aset masa depan kelab, jadi kita berharap dia tidak tewas dengan tekanan yang bakal dihadapinya dan kehidupan glamor sebagai bintang bolasepak. Bukan sahaja penyokong-penyokong dan media sudah mula memberikan lebih perhatian kepadanya tetapi pesaing-pesaing lain juga nampaknya meletakan Januzaj sebagai sasaran baru untuk mereka tandatangani. Manchester City muncul antara kelab yang sudah mengorak langkah awal di mana mereka diberitakan menjadikan Januari nanti sebagai waktunya untuk meletakkan tawaran ke atas Januzaj. Kita tidak mahu melihat bakat sebagus Januzaj tenggelam dalam tekanan melampau dan pihak pengurusan juga perlu bijak melindungi pemain berbakat sepertinya dari menjadi sasaran pesaing-pesaing lain yang sudah tentu tidak berkira dalam menabur wang bagi memancing khidmatnya. Januzaj sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa dia bakal menjadi bintang besar suatu hari nanti, namun masih terlalu awal rasanya untuk kita meletakkan dirinya sebagai pengganti Best ataupun Ronaldo. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

15 September 2013

REVIEW: MENANG TAPI MENGECEWAKAN


Saya gembira melihat Manchester United meraih kemenangan sulung mereka di gelanggang sendiri semalam, tetapi dalam masa yang sama agak kecewa melihat kesebelasan utama yang diturunkan David Moyes. Tiada nama Shinji Kagawa dalam kesebelasan utama seperti diramalkan, sekali lagi atas alasan pemain antarabangsa Jepun itu kurang cergas. Ketika David Moyes sendiri mahu merakamkan kemenangan pertama peribadinya di Old Trafford, keputusan beliau meletakkan Ashley Young dan Anderson dalam kesebelasan utamanya memang agak mengejutkan. Saya tidak tahu mengapa dalam situasi kelab memerlukan kemenangan pertama di hadapan penyokong-penyokong sendiri, apatah lagi selepas kita tewas kepada Liverpool dua minggu lalu, Moyes bertindak berani dengan memberikan peluang kepada  dua pemain yang sedang bergelut dengan prestasi sendiri beraksi selama lebih sejam di atas padang. Satu-satunya alasan yang paling logik selepas melihat tindakan pengendali itu meletakkan Ando dan Young sebagai starter mungkin disebabkan beliau ingin memberikan tumpuan dan menurunkan skuad terkuatnya ketika berdepan Bayern Leverkusen dalam saingan Liga Juara-Juara Rabu nanti. Fellaini dalam satu sidang akhbar Jumaat lalu mengatakan tujuannya berpindah ke Old Trafford adalah disebabkan dia percaya United mampu menawarkan peluang kepadanya menjulang trofi kejuaraan. Melihat kepada semangat tinggi yang ditunjukkan Fellaini, saya dan pastinya juga anda tidak sabar-sabar menanti perlawanan semalam bagi menyaksikan penampilan pertamanya bersama skuad The Red Devils. Bagaimanapun agak malang, pemain berharga £27 juta itu sekadar diletakkan dibangku simpanan selama sejam sebelum masuk menggantikan Ando (diminit ke-62). Prestasi yang ditunjukkan Ando semalam jelas mengecewakan, di mana dia saya lihat seperti ketandusan ilham menggerakkan jentera tengah biarpun berdepan lawan yang kekurangan seorang pemain. Mengapa saya katakan bahawa Ando begitu menghampakan dan Fellaini sepatutnya diletakkan dalam kesebelasan utama? Selama sejam dia diberikan peluang bermain, Ando hanya menyentuh bola sebanyak 42 kali dan daripadanya dia menghasilkan 82% hantaran. Berbanding Ando, Fellaini hanya sempat bermain selama 28 minit tetapi sepanjang tempoh tersebut dia menyentuh bola sebanyak 49 kali, dan dari jumlah itu pula dia menghasilkan 89% hantaran kepada rakan sepasukan. Selepas melihat statistik tersebut, agak menyedihkan apabila melihat Fellaini dibiarkan menunggu selama sejam di bangku simpanan dan kita pula terpaksa menyaksikan Ando yang terbukti gagal terus dibiarkan bergelut di bahagian tengah. Fellaini sepatutnya cemburu melihat Mesut Ozil bermain selama 80 minit pada penampilan pertamanya untuk Arsenal manakala Gareth Bale pula bermain selama 62 minit untuk Real Madrid biarpun baru pulih dari kecederaan.

Jadi harapan kita selepas ini, tentulah ingin melihat Fellaini diberikan peluang tampil lebih awal untuk bergandingan bersama Michael Carrick, Tom Cleverley ataupun Ryan Giggs berbanding meletakkannya di bangku simpanan. Agak merugikan apabila melihat Moyes tidak menggunakan sepenuhnya peluang untuk menambah gol ketika lawan kekurangan seorang pemain dan membiarkan kualiti menyerang yang ada pada Fellaini tidak digunakan sepenuhnya. Sepertimana Ando, persembahan Young di sebelah sayap kiri juga menghampakan dan satu-satunya sumbangan pemain itu selama 67 minit aksinya di atas padang ialah peranan yang dimainkannya hingga United dihadiahkan sepakan penalti di penghujung separuh masa pertama. Young kerap kehilangan bola serta kelihatan begitu sukar melepasi kekangan Adrian Mariappa, malah tindakannya sengaja menjatuhkan badan hingga dilayangkan kad kuning mengundang kritikan dari Moyes. Mujurlah Patrice Evra kerap naik ke atas menghulurkan bantuan menerusi larian-larian yang dilakukannya, sekaligus menghidupkan sedikit gerakan-gerakan yang dilakukan dari sebelah kiri. Satu-satunya pengubat kekecewaan saya ialah apabila menyaksikan wonderkid Adnan Januzaj diberikan peluang beraksi menggantikan Young, 23 minit sebelum perlawanan tamat. Pada usia 18 tahun, persembahan Januzaj lebih memikat berbanding seniornya itu menerusi gerakan-gerakan menarik yang dilakukannya hingga terhasilnya gol kedua yang dijaringkan Wayne Rooney. Jika dalam tempoh sejam, Mariappa sedikit rileks tetapi kehadiran Januzaj memberikan masalah besar buat bek kanan pelawat itu dan akibat kekasaran yang dilakukan pertahanan Palace keatasnya, United dihadiahkan sepakan percuma yang berjaya disempurnakan Rooney. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa persembahan selama 23 minit yang dipamerkan Januzaj semalam sudah cukup untuk Moyes mempertimbangkan kemungkinan meletakkan namanya dalam kesebelasan utama pada perlawanan United selepas ini. Walaupun masih mentah, Januzaj tidak ragu-ragu ketika bola berada di kakinya dan pantas membuat keputusan ke mana bola itu hendak ditujukan atau bagaimana untuk dia melakukan gerakkan. Saya lebih berpuashati jika pemain sementah Januzaj melakukan kesilapan kerana menerusi kesilapanlah menjadikan pemain muda sepertinya matang berbanding melihat pemain penuh pengalaman seperti Young kerap terlepas penguasaan bola dan hilang idea bagaimana mahu melepasi benteng pertahanan lawan. Apapun sebagai peminat, saya gembira dengan kemenangan semalam walaupun terselit sedikit rasa kecewa dengan percaturan yang dilakukan pengurus. Siapalah saya yang mahu mengkritik Moyes, tetapi jika beliau menganggap bahawa kesebelasan pertama yang diturunkannya semalam sebagai pilihan terbaik, beliau sepatutnya berfikir sepuluh kali sebelum melakukan hal yang sama di Stadium Etihad Ahad ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United-Palace:

Percubaan: 20 – 4
Percubaan Tepat: 8 – 0
Penguasaan Bola: 60% - 40%
Kekasaran: 10 – 12
Sepakan Sudut: 11 – 1
Offside: 5 – 0
Kad Kuning: 1 – 2
Kad Merah: 0 – 1
Gol: 2 – 0 

14 September 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD v CRYSTAL PALACE


Bukan mahu memperkecilkan keupayaan Crystal Palace, tetapi pertembungan menentang kelab yang baru dinaikkan 'pangkat' ke Liga Perdana itu adalah peluang terbaik untuk David Moyes mengutip tiga mata penuh buat pertama kalinya di Old Trafford. Untuk rekod, sepanjang beliau mengendalikan Everton selama 11 musim, Moyes belum pernah sekalipun berjaya mengutip tiga mata penuh ketika pasukannya bermain di gelanggang keramat Manchester United itu, tetapi malam ini beliau berpeluang menamatkan badi 11 tahun itu. Cuma bezanya, Moyes bukan lagi berada di pihak lawan tetapi kini beliau memikul tanggungjawab besar dalam memikirkan strategi bagi menghadiahkan kemenangan pertama kepada penyokong-penyokong di halaman sendiri musim ini. Jika Moyes meletakkan misi mahu mengutip kemenangan pertama di Old Trafford dalam kerjayanya, rakan sejawatnya di Palace Ian Holloway pula nampaknya sedikit lega apabila berjaya membawa pasukannya mencatat kemenangan pertama musim ini selepas mereka menewaskan Sunderland 3-1 di gelanggang sendiri dua minggu lalu. Tugas besar buat Holloway untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Old Trafford tetapi kemenangan ke atas Sunderland sudah tentu meningkatkan keyakinan mereka bagi mengulangi pencapaian yang pernah di lakar The Eagles pada 2011 (mereka menewaskan United 2-1 di Old Trafford dalam kempen Piala Liga). Penjaring gol pertama pada perlawanan itu, Darren Ambrose sudah meninggalkan kelab tetapi wira kemenangan Palace ke atas United pada 2011, Glenn Murray masih bersama-sama pasukan. Agak memedihkan jika diimbas kembali pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan itu terutamanya selepas melihat Murray menjaringkan gol kemenangan pelawat di masa tambahan (minit ke-98).  Itu cerita dua tahun lepas dan saya berharap episod malang itu tidak akan berulang kerana United tiada pilihan lain selain  mencatat kemenangan dalam perlawanan ini bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga. Tiga mata penuh juga penting buat barisan The Red Devils bagi memulihkan kembali semangat mereka selepas tewas kepada Liverpool 1 September lalu. Saya pernah menyebut sebelum ini bahawa Marouane Fellaini bakal menjadi tumpuan utama pada perlawanan malam nanti dan sudah pasti selepas menjadi nama paling popular di kalangan penyokong-penyokong dalam tempoh dua minggu, kita berharap namanya ada dalam kesebelasan utama Moyes.
  
Selepas lima musim menyarung jersi biru, penampilan pertama Fellaini dengan jersi merah tentunya dinanti penuh teruja penyokong-penyokong United seluruh dunia. Hanya satu perkara yang menjadi kebimbangan saya, mampukah Fellaini menepati jangkaan penyokong-penyokong United yang meletakan harapan tinggi bahawa dia mampu menambah kekuatan di bahagian tengah selepas kita kehilangan Paul Scholes. Selain kelibat Fellaini, pemain yang ditandatangani Januari lalu tetapi terus dibenarkan beraksi bersama pasukan lamanya, Wilfired Zaha juga saya jangkakan bakal menjadi tumpuan (jika dia diturunkan). Bermain menentang pasukan lama sentiasa menjadi satu pengalaman sukar buat mana-mana pemain dan saya pasti Zaha juga tidak terkecuali. Jika diturunkan, Zaha bakal berdepan bekas pasukan yang pernah menggilap namanya selaku antara pemain remaja paling berbakat di England, dan saya fikir jika Moyes mahu menguji kekuatan mental seorang pemain muda seperti Zaha, ini adalah waktu yang tepat untuk beliau melakukannya. Perlawanan malam nanti bukan sahaja penting buat Moyes dalam usahanya meraih kemenangan pertama di Old Trafford, tetapi juga penting buat pemain yang dibahaskan oleh penyokong-penyokong sepanjang minggu ini bahawa dia 'tiada dalam perancangan Moyes'. Pemain yang saya maksudkan sudah tentu Shinji Kagawa. Agak membingungkan apabila mendengar kata-kata Moyes sebelum ini bahawa Kagawa tidak digunakan dalam tiga perlawanan kerana dia belum cergas sepenuhnya. Bagaimanapun Kagawa mengejutkan ramai pihak apabila dia menampilkan aksi terpuji ketika membantu skuad kebangsaan Jepun mencatat dua kemenangan dalam perlawanan antarabangsa menentang Guatemala dan Ghana dalam tempoh seminggu. Moyes menerima kritikan yang meluas dari kalangan penganalisis bolasepak dan penyokong-penyokong United sendiri berikutan tindakannya 'menyimpan' Kagawa dalam tiga perlawanan awal yang lalu. Selepas melihat aksi Kagawa bersama skuad kebangsaan negaranya, saya rasa Moyes tiada pilihan lain selain meletakkan pemain tengah itu dalam kesebelasan utamanya malam nanti.

Moyes mengatakan bahagian tengah pasukannya kekurangan kreativiti selepas tewas kepada Liverpool dua minggu lalu dan saya percaya atas sebab itulah mengapa beliau perlu menurunkan Kagawa dalam perlawanan ini. Di pihak lawan pula, selain Marouane Chamakh kelibat Dwight Gayle sepatutnya diberikan perhatian oleh barisan pertahanan United. Gayle menjaringkan satu gol ketika membantu Palace menewaskan Sunderland 3-1, tetapi itu bukanlah sebab utama mengapa pemain itu perlu diberikan perhatian. Selepas di bawa masuk dari Peterborough, penampilan Gayle dalam tiga perlawanan awal berjaya menimbulkan rasa kagum di kalangan penyokong-penyokong Palace. Hanya dua tahun lalu dia beraksi bersama Dagenham dan Redbridge yang beraksi di League 2, jadi tidak hairanlah jika ada yang mengatakan bahawa Gayle antara pemain Inggeris yang begitu meningkat sejak kebelakangan ini. Gayle yang berperanan sebagai sayap kiri adalah ancaman kepada Sunderland sebelum dia dikeluarkan di minit ke 79, jadi siapapun yang diturunkan Moyes sebagai bek kanan nanti, mereka perlu berhati-hati dengan bahaya yang bakal dijelmakan pemain berusia 23 tahun itu. Akhir sekali tumpuan kita terarah kepada penyerang veteran lawan, Kevin Phillips. Dalam tiga perlawanan lalu, Phillips hanya digunakan sebagai pemain gantian dan saya percaya pada usia 40 tahun, bekas penjaring terbanyak Liga Perdana musim 1999/2000 akan sekali lagi memainkan peranan yang sama. Semasa zaman kemuncaknya, Phillips dikenali sebagai penyerang yang memiliki reputasi menjaringkan gol-gol penting buat pasukan yang diwakilinya. Meskipun sudah menghampiri penghujung karier, itu bukan bermakna barisan pertahanan United perlu bersikap sambil lewa dalam menangani ancaman yang bakal dihadirkan pemain itu. Phillips penyerang yang memiliki pengalaman cukup luas dan kualiti yang ada pada dirinya menyebabkan saya tidak berasa hairan mengapa dia masih mampu beraksi di tahap tertinggi pada usia 40 tahun. Seperti yang saya katakan tadi, Phillips memiliki reputasi sebagai penjaring gol-gol penting, dan tidak mustahil dia mampu melakukannya sekali lagi jika barisan pemain memandang sebelah mata kehadiran veteran itu di atas padang. Ramalan saya, United (3) – Palace (0). Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Patrice Evra, Phil Jones, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Michael Carrick, Marouane Fellaini, Shinji Kagawa, Antonio Valencia, Danny Welbeck & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Palace: Julian Speroni, Joel Ward, Jose Campana, Danny Gabbidon, Dean Moxey, Damien Delaney, Kagisho Dikgacoi, Jason Puncheon, Mile Jedinak, Dwight Gayle & Marouane Chamakh