Tarikh 14 Sptember 2013 sudah tentu merupakan
antara tarikh paling bersejarah buat wonderkid
Belgium, Adnan Januzaj selepas dia diberikan penampilan pertama dalam saingan
liga menentang Crystal Palace oleh David Moyes. Dalam debut kompetitifnya bersama
skuad utama, Januzaj bermain sekitar 20 minit selepas masuk menggantikan Ashley
Young dan dia menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan dengan menampilkan
aksi mengagumkan hingga menarik perhatian penyokong-penyokong dan rakan
sepasukan. Jadi tidak hairanlah mengapa rakan sepasukan Januzaj, Fabio da Silva
meletakkan pemain muda itu sebagai pujaan baru di Old Trafford. Saya sedikit
terkejut apabila melihat Januzaj langsung tidak kekok ketika menerima bola,
begitu yakin ketika melakukan hantaran dan tidak ragu-ragu melepaskan percubaan
ke pintu gol lawan, seolah-olah dia seperti sudah bermain beberapa musim dalam
saingan liga. Penampilan pertama Januzaj ini sebenarnya mengingatkan saya
kepada persembahan Cristiano Ronaldo ketika melakukan debutnya bersama United
kira-kira sepuluh tahun lalu, apatah lagi mereka berdua memiliki satu persamaan,
iaitu bermain sebagai sayap kiri. Jadi tidak hairanlah ada di kalangan
penyokong-penyokong United meletakkan bekas pemain Anderlecht itu sebagai
pengganti Ronaldo di Old Trafford.
Sebenarnya saya bukan mahu meletakkan
perbandingan antara Januzaj dan Ronaldo di sini tetapi ingin mengimbas kembali
persamaan bintang baru kita itu dengan lagenda sebelumnya, George Best. Tahukah
anda pada 14 September 1963, lima puluh tahun yang lalu, George Best diberikan
penampilan pertama dalam saingan liga pada usia 17 tahun oleh Sir Matt Busby
ketika berdepan West Bromwich Albion. United menang perlawanan itu menerusi
jaringan tunggal David Sadler, tetapi Best menjadi tumpuan penyokong-penyokong
kerana aksi mempesonakan yang dipamerkan di atas padang pada penampilan
pertamanya dan kemudian muncul antara pemain terbaik pernah beraksi bersama kelab.
Genap lima puluh tahun selepas Best melakukan penampilan pertamanya, kini tiba giliran
Januzaj, bintang muda yang sedang digilap mempamerkan bakat semulajadinya pula.
Best dan Januzaj dikatakan memiliki beberapa persamaan bukan sahaja pada bentuk
fizikal tetapi juga karekter dan gaya permainan mereka. Kedua-duanya memiliki
kebolehan menggelecek, dianugerahkan sepasang kaki yang pantas dan mampu
mencipta bahaya kepada lawan dalam situasi yang tidak dijangka. Apa yang
menariknya, Best dan Januzaj bukan sahaja berkongsi persamaan pada bakat dan
gaya permainan mereka tetapi turut berkongsi tarikh yang sama untuk debut
mereka iaitu 14 September.
Seperti yang saya sebutkan tadi, Januzaj
masuk menggantikan seniornya Young ketika permainan berbaki kira-kira 20 minit
untuk ditamatkan dan dalam tempoh tersebut dia menggunakan sepenuhnya
kesempatan itu untuk mencuri perhatian pengurus dan 70 ribu penyokong yang
berada di stadium. Sepanjang tempoh 20 minit, Januzaj mempamerkan segala
kualiti yang ada pada dirinya hingga menyebabkan ramai pihak teruja menanti
penampilan seterusnya selepas ini. Tipu helah (dummy) yang dilakukannya, larian-larian pantasnya, berani melakukan
percubaan ke sasaran dan keyakinan yang dipamerkannya ketika cuba melepasi
benteng pertahanan lawan tidak menggambarkan langsung bahawa dia sebenarnya
sedang beraksi pada perlawanan Liga Perdana pertamanya. Kelincahannya
menyebabkan pemain Palace tiada pilihan lain selain mengasarinya hingga United
dihadiahkan sepakan percuma yang berjaya disempurnakan Wayne Rooney untuk gol
kedua perlawanan. Selepas apa yang dipamerkannya kelmarin, tidak keterlaluan
jika saya katakan bahawa Januzaj kini pilihan popular mengisi posisi sayap kiri
berbanding Young yang jauh lebih berpengalaman darinya. Nama Januzaj sudahpun
menjadi sebutan penyokong-penyokong United sebelum ini, tetapi aksi pertamanya
dalam saingan liga Sabtu lalu menyebabkan harapan lebih tinggi mula diletakkan
di atas bahunya.
Januzaj kini sudah mula dibandingkan dengan lagenda
nombor 7 sebelumnya iaitu Best dan Ronaldo, malah sudah ada suara-suara yang mencadangkan
agar nombor ikon United itu di serahkan kepadanya. Label atau perbandingan yang
sering diletakkan kepada seseorang bakat baru dengan lagenda sebelumnya mampu
membunuh karier seseorang pemain muda jika mereka tidak mampu menanganinya
dengan bijak. Januzaj adalah antara pemain berbakat dan aset masa depan kelab,
jadi kita berharap dia tidak tewas dengan tekanan yang bakal dihadapinya dan
kehidupan glamor sebagai bintang bolasepak. Bukan sahaja penyokong-penyokong
dan media sudah mula memberikan lebih perhatian kepadanya tetapi pesaing-pesaing
lain juga nampaknya meletakan Januzaj sebagai sasaran baru untuk mereka
tandatangani. Manchester City muncul antara kelab yang sudah mengorak langkah
awal di mana mereka diberitakan menjadikan Januari nanti sebagai waktunya untuk
meletakkan tawaran ke atas Januzaj. Kita tidak mahu melihat bakat sebagus
Januzaj tenggelam dalam tekanan melampau dan pihak pengurusan juga perlu bijak
melindungi pemain berbakat sepertinya dari menjadi sasaran pesaing-pesaing lain
yang sudah tentu tidak berkira dalam menabur wang bagi memancing khidmatnya. Januzaj
sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa dia bakal menjadi bintang besar suatu hari
nanti, namun masih terlalu awal rasanya untuk kita meletakkan dirinya sebagai
pengganti Best ataupun Ronaldo. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan