Awal pagi esok, David Moyes akan melakukan
debutnya di Liga Juara-Juara selaku pengendali Manchester United apabila
menerima kunjungan kelab Jerman, Bayer Leverkusen di Old Trafford. Situasi yang
sama turut dialami pengendali Leverkusen, Sami Hyypia kerana ini juga merupakan
debutnya dalam Liga Juara-Juara sebagai pengurus/jurulatih walaupun pernah
beraksi di saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu sebagai pemain ketika
bersama-sama Liverpool dulu. Selepas mencatat kemenangan 2-0 dalam saingan
domestik Sabtu lalu, barisan The Red
Devils berada dalam mood terbaik untuk sekali lagi melakar kemenangan di
hadapan penyokong-penyokong sendiri dengan kemungkinan kombinasi Wayne
Rooney-Robin Van Persie terus dikekalkan di bahagian hadapan. Bagaimanapun
Moyes mungkin tidak dapat menurunkan Phil Jones, Rafael da Silva dan Danny
Welbeck yang diberitakan masih belum cergas manakala Nani pula menjalani
penggantungan perlawanan akibat layangan kad merah yang diterimanya ketika
menentang Real Madrid musim lalu. Jika United berada dalam mood terbaik untuk
terus merakamkan kemenangan, skuad kendalian Hyypia juga apa kurangnya kerana
mereka sudah mencatat empat kemenangan dari lima perlawanan liga setakat ini.
Sabtu lalu Leverkusen mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Wolfsburg dengan
Sidney Sam dan Stefan Kiessling muncul penyumbang utama gol-gol mereka apabila
masing-masing sudah menjaringkan empat gol dalam saingan liga.
Jika Moyes kehilangan khidmat Jones, Rafa,
Welbeck dan Nani, Hyypia pula mungkin tidak dapat menurunkan pemain tengahnya Gonzalo
Castro kerana masalah kecederaan tetapi Lars Bender, Simon Rolfes dan Omer
Toprak yang terlepas aksi awal musim sudah sedia kembali beraksi semula. Pada
pendapat saya, benteng pertahanan United harus berhati-hati dengan ancaman yang
bakal diberikan oleh Sam dan Kiessling terutamanya selepas melihat gandingan
mereka meledak tiga gol dalam saingan Bundesliga hujung minggu lalu.
Bagaimanapun ketajaman penyudah Van Persie dan Rooney juga sepatutnya
menggusarkan Hyypia di mana sebagai bekas pemain pertahanan, beliau sudah pasti
cuba memikirkan taktikal terbaik di bahagian belakang dalam mengekang
pergerakan dua penggempur United itu. Jika Van Persie mendapat sokongan dan
umpanan-umpanan berkualiti dari bahagian tengah, tidak mustahil Bernard Leno
bakal berdepan masalah besar di gawang pelawat. Untuk rekod, kedua-dua kelab
sudah bertemu empat kali dalam sejarah pertemuan mereka dengan United mencatat
dua kemenangan manakala selebihnya berakhir dengan keputusan seri. Meskipun
rekod pertemuan memihak kepada United, anda perlu ingat bahawa Leverkusen
pernah menyingkirkan mereka di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara edisi
2001-02 menerusi peraturan gol di tempat lawan. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Fakta Perlawanan:
- Perlawanan awal pagi esok merupakan kali
pertama United beraksi di Eropah tanpa kelibat Sir Alex Ferguson sejak 20 Mac
1985 di mana ketika itu United yang dikendalikan Ron Atkinson tewas 0-1 kepada
kelab Hungary, Videoton dan kemudiannya tersingkir dari peringkat suku akhir
Piala UEFA menerusi penentuan sepakan penalti.
- Sidney Sam dan Stefan Kiessling muncul
penjaring kedua terbanyak Bundesliga dengan empat gol.
- Dua pemain United (Rio Ferdinand dan Ryan
Giggs) yang pernah berdepan Leverkusen di Old Trafford 11 tahun lalu masih
berada dalam pasukan.
- Seperti yang anda tahu, Damir Skomina
dipilih sebagai pengadil perlawanan awal pagi esok. Tahukah anda bahawa dalam
dua perlawanan terdahulu United yang diadili Skomina, The Red Devils sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang
Benfica pada 2011 dan tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam pada 2012. Di pihak lawan
pula, Leverkusen pernah mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Galatasaray dalam
saingan Liga Europa 2008, yang juga merupakan satu-satunya perlawanan mereka di
bawah pengadilan Skomina.
- Hyypia menggunakan sembilan pemain yang
sama sebagai starter dalam lima
perlawanan liga mereka setakat ini.
Barisan Kemungkinan United: David de Gea,
Chris Smalling, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Michael Carrick, Antonio
Valencia, Ryan Giggs, Marouane Fellaini, Wayne Rooney & Robin Van Persie
Barisan Kemungkinan Leverkusen: Bernard Leno,
Omer Toprak, Emir Spahic, Sebastien Boesnich, Giulio Donati, Lars Bender,
Stefan Rienartz, Simon Rolfes, Sidney Sam, Son Heung Min & Stefan Kiessling
Tiada ulasan:
Catat Ulasan