21 September 2013

MENJELANG DERBY MANCHESTER: DULU SAHABAT KINI SETERU




Esok akan berlangsung pertembungan derby Manchester yang ke-165, ke-13 dimainkan di Eastlands dan yang pertama buat dua pengendali, David Moyes dan Manuel Pellegrini. Terpulang apa pandangan anda tentang pertemuan City-United kali ini, meskipun Wayne Rooney sudah mengeluarkan kenyataan bahawa derby di Eastlands esok bukanlah perlawanan terbesar untuk Manchester United musim ini. Melihat kepada sejarah perseteruan dua kelab berjiran ini, tidak menghairankan jika kenyataan-kenyataan panas seperti ini akan keluar dari mulut pemain-pemain kedua-dua pasukan terutamanya menjelang derby Manchester. Selagi sepak mula belum dilangsungkan, saya pasti akan ada beberapa lagi kenyataan panas dikeluarkan oleh pemain atau pihak pengurusan kedua-dua kelab dan sudah tentu Rooney bukanlah individu terakhir melakukannya. Secara peribadi, saya tidak pernah menganggap derby Manchester perlawanan yang kecil walaupun ketika itu mereka (City) bukanlah kelab yang mewah seperti sekarang. Hanya selepas Thaksin Shinawatra mengambil alih kelab dan kemudiannya pemilik bertukar tangan pula kepada jutawan dari Timur Tengah, Sheikh Mansour, City tiba-tiba muncul antara kelab besar di England dan pencabar kejuaraan liga sejak 2010. Kuasa wang tidak terbatas yang dibekalkan pemilik kelab membolehkan Mark Hughes, Roberto Mancini dan sekarang Pellegrini membeli pemain-pemain bintang yang mereka inginkan sekaligus menjadikan City kelab yang besar dan digeruni. Akhirnya selepas melakukan pelaburan besar-besaran, City di bawah kendalian Mancini menang trofi Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun pada musim 2011/12. Lupakan dulu tentang sejarah silam City dan kembali semula pada pertembungan derby Manchester yang akan berlangsung malam esok.


Rooney mengatakan bahawa perlawanan esok bukanlah perlawanan besar buat United musim ini jika dibandingkan dengan pertembungan United-Liverpool yang berlangsung tiga minggu lalu. Setuju atau tidak terpulang kepada persepsi anda, tetapi setiap kali berlangsungnya derby Manchester ini, 90 minit permainan sudah pasti sarat dengan emosi, tegang, dramatik, kontroversi dan apa-apa saja perkataan yang anda boleh berikan bagi menggambarkan betapa panas dan pentingnya perlawanan ini kepada pemain dan penyokong kedua-dua kelab. Tidak lengkap kiranya pertembungan  United-City jika tidak dihiasi dengan perang saraf sebelum perlawanan, di mana kenyataan demi kenyataan dikeluarkan kedua-dua pihak dengan tujuan mengalihkan fokus lawan masing-masing dari perlawanan ini. Penyokong-penyokong pula 'berperang' di luar padang dengan menjadikan media sosial di internet sebagai medan buat mereka melepaskan geram, pendapat dan ramalan keputusan perlawanan. Melihat kepada segala kegilaan ini, siapa sangka bahawa kedua-dua kelab Manchester ini dahulunya pernah menjalinkan persefahaman kukuh dan menyokong antara satu sama lain. Di peringkat awal penubuhan dua kelab berjiran ini, tiada konflik tercetus setiap kali berlangsungnya derby Manchester, yang ada hanyalah perlawanan menghiburkan disajikan pemain-pemain untuk tatapan penyokong-penyokong masing-masing. Malah sejarah juga pernah merakamkan bahawa kedua-dua kelab ini pernah mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi mengutip dana untuk tujuan amal. Jadi mengapa suhu tiba-tiba berubah hingga menyebabkan perlawanan-perlawanan United-City menjadi panas? Mungkin apa yang saya paparkan di bawah sedikit sebanyak boleh menjawab persoalan ini.

Zaman Awal Penubuhan:

Kedua-dua kelab bertemu buat pertama kalinya pada 12 November 1881, ketika itu City menggunakan nama West Gordon (St Marks) manakala United pula dengan nama asalnya Newton Heath. Perlawanan berakhir dengan keputusan memihak kepada Heath apabila mereka menang 3-0, manakala perlawanan kedua pula dikatakan cukup menghiburkan dan berlangsung tanpa sebarang kontroversi. Masa berjalan di mana kedua-dua kelab selepas itu menjadi kuasa dominan di bandar Manchester. Mereka menyertai Football League dengan Heath berada di Divisyen 1 manakala Ardwick (sebelum ditukar kepada Manchester City) berada di Divisyen 2. Pada 26 Februari 1889, kedua-dua kelab ini bertemu semula dan Heath sekali lagi unggul apabila menewaskan jiran mereka itu dengan keputusan 3-2. Menariknya perlawanan ini diadakan dengan tujuan mengutip dana bagi mengisi tabung bencana letupan lombong arang batu di Hyde yang mengorbankan 23 nyawa. Ketika ini, kedua-dua kelab masih lagi 'sahabat' yang akrab, jadi tidak hairanlah jika kedua-dua pihak masih menyokong antara satu sama lain. Pada Januari 1907, empat pemain City iaitu Jimmy Bannister, Herbert Burgess, Billy Meredith dan Sandy Turnbull menyertai United dan perpindahan ini masih disambut baik kedua-dua pihak terutamanya City atas alasan demi kebaikan dan membantu sesama kelab Manchester. Sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua, sebahagian besar penyokong-penyokong kedua-dua kelab saling bergilir setiap minggu menyaksikan perlawanan-perlawanan yang membabitkan United dan City. Ketika itu, tiada masalah buat penyokong-penyokong United menyarung jersi City ketika mereka menyaksikan perlawanan membabitkan skuad jiran itu dan begitulah sebaliknya. Selepas perang tamat, kedua-dua kelab semakin berkembang dan persaingan United-City juga semakin sengit di mana kemuncaknya apabila terbahaginya Manchester kepada timur dan barat. United berada di sebelah barat manakala City pula berpangkalan di timur Manchester. Persahabatan dan persaingan sihat sebelum ini akhirnya berubah menjadi perseteruan dan perlawanan-perlawanan membabitkan kedua-dua kelab selepas itu sentiasa tegang dan sarat dengan kontroversi.

Era 70an – 80an:

Era ini dikatakan bermulanya era penuh emosi dan kontroversi bagi derby Manchester. Pada Disember 1970 contohnya, George Best mematahkan kaki Glyn Pardoe hingga diberitakan bahawa pertahanan City itu hampir kehilangan kakinya. Pada derby musim 1973/74 pula, Mike Doyle dan Lou Macari dilayangkan kad merah namun kedua-dua pemain ini enggan meninggalkan padang hingga kemudiannya terpaksa dipujuk rakan-rakan sepasukan.

Era 90an – 2000:

Perseteruan masih berlanjutan walaupun United ketika itu muncul kuasa dominan dalam saingan Liga Perdana berbanding tetangganya itu. Sepanjang  era 90an, United tidak pernah tewas dalam perlawanan derby Manchester di mana ketika itu, City hanya menghabiskan musim di kedudukan pertengahan liga. Momen paling terkenal sepanjang derby Manchester era ini sudah tentunya melibatkan pertembungan antara Roy Keane dan Alf Inge Haaland. Perseteruan antara kedua-dua pemain ini bermula pada pertemuan antara Leeds dan United di Elland Road pada September 1997. Tindakan Haaland (yang ketika itu masih menyarung jersi Leeds) mengherdik dan menuduh Keane berpura-pura tercedera bagi mengelakkan layangan kad kuning dari pengadil akhirnya memakan diri sendiri. Dalam perlawanan itu Keane mengalami kecederaan ligamen yang serius hingga terpaksa diusung keluar dan direhatkan hampir setahun. Perlawanan menentang City pada April 2001 digunakan Keane untuk melunaskan dendamnya selama empat tahun apabila dia melakukan satu terjahan keras  ke atas lutut Haaland hingga mengakibatkan pemain Norway itu terpaksa berehat panjang. Dua tahun kemudian, Haaland mengambil keputusan untuk menamatkan kariernya selepas mendapati proses untuk sembuh dari kecederaan lutut yang dialaminya menemui jalan buntu. Selepas insiden tersebut, perseteruan antara United dan City menjadi semakin panas terutamanya apabila Keane sendiri secara terbuka dalam biografinya mengakui bahawa dia memang sengaja melakukan terjahan keras itu.

2010 Hingga Sekarang:

Sejak diambil alih oleh jutawan UAE, The Citizens bukan lagi kelab kelas pertengahan tetapi mereka sebaliknya mula memberikan cabaran di kelompok atas liga. City berjaya menamatkan dominasi United selaku kelab unggul di kota Manchester apabila Mancini membawa kelab itu menang kejuaraan liga pada musim 2011/12.  Bagaimanapun musim lalu, United kembali bangkit menewaskan jiran mereka itu dalam perebutan kejuaraan apabila meninggalkan City sebelas mata di belakang untuk menjulang trofi liga buat kali ke-20. Kejuaraan liga ke-20 yang diraih United dan persaraan Sir Alex Ferguson tidak akan menamatkan permusuhan dua kelab Manchester ini. Perubahan pesat yang dialami City dalam tempoh tiga atau empat tahun terakhir juga menjadikan pertembungan derby Manchester mula dilabel sebagai pertembungan derby terbesar di Liga Perdana. Disebabkan perubahan waktu, dua tetangga yang dulunya 'bersahabat', kini saling bermusuhan. Saya tertarik dengan komentar dari Henry Winter dalam The Telegraph yang mengatakan bahawa pertembungan United-City bukan sahaja berkisar tentang maruah, tetapi mereka bertarung untuk merebut hak sebagai penguasa kota Manchester sekaligus menjadikan derby ini perlawanan yang ditunggu-tunggu peminat-peminat bolasepak seluruh dunia. Disebabkan segala kontroversi dan ketegangan yang berlaku setiap kali berlangsungnya derby Manchester ini, ada juga pendapat yang mengatakan bahawa perlawanan United-City sudah mengatasi populariti pertembungan el-classico membabitkan Real Madrid dan Barcelona. Sejarah dan detik menarik apa lagi yang bakal tercipta pada pertembungan derby Manchester malam esok? Adakah catatan hitam yang berlaku musim lalu apabila Rio Ferdinand mengalami kecederaan selepas terkena balingan objek penyokong City berulang kembali atau derby ini bakal berlangsung dengan lancar dan menghiburkan? Banyak perubahan yang berlaku musim ini terutamanya membabitkan jawatan pengendali kedua-dua kelab, tetapi saya yakin apapun perubahan yang berlaku, derby Manchester tetap perlawanan besar yang saya nanti-nantikan setiap musim. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan