30 Disember 2013

WELBECK 'MUNCUL' PADA WAKTU YANG TEPAT


Tanpa kelibat Robin Van Persie dan Wayne Rooney, kunjungan Manchester United ke Norfolk pada awalnya agak menggusarkan saya kerana sudah terbayang betapa tumpulnya jentera serangan pasukan tanpa kehadiran dua penggempur berbisa itu. Ketiadaan Van Persie sudah cukup meresahkan manakala khabar terbaru bahawa Rooney pula mengalami kecederaan pangkal paha bagaikan satu bencana buat pasukan. Sebelum sepak mula di Carrow Road, tidak sukar untuk membayangkan bagaimana barisan The Red Devils akan bergelut untuk meneruskan rentetan lima kemenangan (dalam semua kejohanan) sekaligus memperbaiki kedudukan mereka di carta liga tanpa khidmat Van Persie dan Rooney dalam memburu jaringan. Pada mulanya saya berharap satu mata ketika menentang The Canaries sudah memadai tetapi selepas 57 minit aksi berlangsung, jaringan tunggal perlawanan hasil sentuhan pemusnah Danny Welbeck akhirnya memberikan United mata ke-34 dari 19 perlawanan liga setakat ini. Kemenangan yang dicatatkan kelmarin satu petanda bagus buat skuad kendalian David Moyes menjelang permulaan tahun baharu terutama dalam mengejar misi berada di kelompok empat teratas. Chris Hughton (pengurus Norwich) selepas perlawanan mengatakan jaringan Welbeck itu tidak lebih sekadar nasib tetapi saya lebih suka melihat bahawa gol tersebut sebenarnya berpunca dari sikap optimis penyerang itu sendiri dalam menyempurnakan peluang. Welbeck menggunakan sepenuhnya kegagalan Ryan Bennet mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan kemudiannya tenang memperdayakan John Ruddy untuk mudah menolak bola masuk ke gawang terbuka.

Sudah tentu selepas 45 minit pertama melihat barisan pemainnya buntu dalam mencari jaringan, kehadiran Welbeck yang masuk menggantikan Ryan Giggs di separuh masa kedua diharap mampu memberikan suntikan tambahan kepada barisan hadapan tetapi dia sebenarnya melakukan lebih dari itu. Selepas perlawanan Moyes tanpa ragu mengatakan bahawa kehadiran Welbeck mengubah arus permainan hinggalah terhasilnya gol kemenangan itu. Jaringan minit ke-57 di Carrow Road itu merupakan gol ke-6 Welbeck dalam saingan liga setakat ini dan sudah tentulah prestasi bagus yang dipamerkan pemain antarabangsa England itu melegakan sedikit kebimbangan kita selepas kelab gagal menggunakan khidmat Van Persie sejak 7 Disember, manakala Rooney pula muncul nama terbaharu yang terpaksa berada di bilik rawatan. Sekadar menjaringkan satu gol dari 27 perlawanan liga musim lalu, Welbeck bukanlah nama popular di kalangan penyokong-penyokong United tetapi prestasi terkini yang dipamerkannya menyebabkan tumpuan tiba-tiba beralih ke arahnya. Sudah tentu juga ketiadaan Van Persie dan Rooney menyebabkan Welbeck kini terpaksa memikul watak penting dalam memburu jaringan, sesuatu yang pasti kita tidak pernah bayangkan akan berlaku musim lalu. Prestasi bagus Welbeck hadir tepat pada masanya ketika kelab memang memerlukan pemain yang mampu memacu jentera serangan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Van Persie dan Rooney. Jadi tidak hairanlah jika  Moyes sendiri meletakkan sasaran 20 gol yang perlu dijaringkan Welbeck musim ini.

Tanpa ragu, ketika kelab sedang berjuang menempatkan diri ke kedudukan lebih baik dalam carta liga, Welbeck tiba-tiba muncul antara watak penting dalam membantu kebangkitan semula United sejak tewas kepada Everton dan Newcastle. Kelab besar seperti United sepatutnya tidak terlalu bergantung kepada hanya dua penyerang dalam memburu jaringan dan prestasi terkini yang dipamerkan Welbeck menambahkan lagi pilihan di barisan serangan, selain Moyes sendiri turut memiliki Javier Hernandez yang punya kualiti untuk menggegar gawang lawan. Empat gol dari lima penampilan terakhir saya anggap satu statistik yang cukup bagus buat Welbeck yang sering digunakan sebagai pengganti kepada Van Persie dan Rooney. Paling penting dua aksi terakhir di gelanggang lawan berkesudahan dengan enam mata yang berjaya dibawa pulang sekaligus meletakkan United kembali dalam persaingan. Perjalanan liga masih panjang dan saya berharap barisan The Red Devils di bawah kendalian Moyes sudah menemui kembali rentak mereka untuk memberikan cabaran lebih serius kepada pencabar-pencabar kejuaraan yang lain. Pemain-pemain sudah mula menunjukkan karakter sebenar mereka ketika bangkit di KC Stadium dan kemenangan di Carrow Road pula bukanlah sesuatu yang mudah kerana The Canaries sentiasa memberikan tentangan hebat setiapkali United berkunjung ke sini. Apa yang dipamerkan pemain-pemain di penghujung fasa pertama saingan (liga) penting sebelum saingan memasuki fasa kedua tetapi banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Moyes jika beliau mahu meletakkan semula United dalam jalur persaingan merebut kejuaraan liga. Dalam situasi sekarang prestasi cemerlang Welbeck hadir tepat pada waktunya dan saya berharap dia tidak akan berhenti dari menjaringkan gol selepas ini. Saya pasti kegembiraan Moyes selepas melihat prestasi cemerlang Welbeck turut dikongsi sama pengurus England, Roy Hodgson. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

27 Disember 2013

BENARKAH GERGASI SUDAH KEMBALI BANGKIT?

Ron Atkinson
Beberapa minggu lalu Ron Atkinson memberi amaran kepada David Moyes supaya tidak menggunakan alasan peralihan era di sebalik kemerosotan ketara yang dialami kelab dalam saingan liga musim ini. Individu yang pernah mengendalikan United dari tahun 1981 hingga 1986 itu menjadikan Bayern Munich, Real Madrid dan Barcelona sebagai contoh terbaik apabila pertukaran pengurus tidak langsung menjejaskan prestasi mereka di pentas domestik mahupun Eropah. Munich yang kini di bawah kendalian Pep Guardiola unggul di carta Bundesliga dengan kelebihan tujuh mata mengatasi Bayer Leverkusen manakala Barca pula di bawah kendalian Gerardo Martino menguasai carta La Liga selepas mengumpul 46 mata dengan Real pula berada di tangga ketiga (lima mata di belakang Barca). Di England lain pula ceritanya apabila United selaku juara bertahan Liga Perdana sedang berjuang menempatkan diri mereka di kelompok empat teratas. Kemenangan yang diraih ke atas Hull City semalam merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan liga selepas The Red Devils dikejutkan dengan dua kekalahan di gelanggang sendiri (bertemu Everton dan Newcastle Utd). Lima kemenangan (dalam semua kejohanan) selepas tewas dua perlawanan berturut-turut (di gelanggang sendiri) adalah satu petanda yang bagus, tetapi saya masih tidak berani untuk mengatakan bahawa barisan The Red Devils sudah bangkit dari 'mimpi indah' mereka selepas bergelar juara liga buat kali ke-20 musim lalu. Tiga mata yang diraih di KC Stadium semalam melonjakkan United di tangga ke-7 carta liga (lapan mata di belakang pendahulu Arsenal), sekaligus menghidupkan kembali api perjuangan untuk sekurang-kurangnya memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Bagi penyokong-penyokong yang meletakkan harapan lebih tinggi, inilah masanya untuk mereka mula memasang kembali impian mahu melihat barisan bimbingan Moyes mempertahankan mahkota Liga Perdana selepas dikecewakan dengan dua kekalahan di gelanggang sendiri kepada Everton dan Newcastle.

Selepas Sir Alex Ferguson mengumumkan persaraannya Mei lalu, maka berakhirlah era penuh gemilang pengendali itu di Old Trafford dan bermula pula era baru kelab di bawah teraju Moyes. Saya tertarik dengan kata-kata Atkinson itu, sekaligus timbul persoalan sama ada masih relevankah alasan 'peralihan era' digunakan dalam kamus bolasepak moden? Moyes diberikan kontrak selama enam tahun tetapi selepas menyaksikan aksi tidak konsisten yang dipamerkan anak-anak buahnya setakat ini, kita sudah tentu tertanya-tanya apakah jangka hayat bekas pengendali Everton itu di Old Trafford bakal berakhir dalam tempoh yang singkat? Mungkin satu-satunya penawar buat kita ialah apabila menyaksikan prestasi baik yang dipamerkan The Red Devils di pentas Liga Juara-Juara selepas mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah sekaligus muncul juara Kumpulan A. Sebaik menyaksikan anak-anak buahnya tewas buat kali kedua berturut-turut di gelanggang sendiri (kepada Newcastle) dalam saingan liga 7 Disember lalu, Moyes merayu kepada penyokong-penyokong agar bersabar dengan memberikan alasan bahawa kelab sedang dalam proses peralihan. Tewas lima kali dari 18 perlawanan (termasuk tiga di gelanggang sendiri), adakah tempoh peralihan wajar dijadikan alasan untuk kelab sekelas United? Saya bukan mahu menghentam Moyes kerana sebagai peminat saya menyokong sesiapa sahaja yang dilantik mengendalikan kelab, apatah lagi beliau dipilih sendiri oleh Sir Alex untuk mengisi kerusi yang ditinggalkannya. Dalam artikel-artikel sebelum inipun saya kekal konsisten dengan mengatakan bahawa Moyes perlu diberikan peluang dan masa kerana bukan mudah buat beliau menguruskan kelab besar seperti United, tambahan pula tekanan di Old Trafford sudah tentu jauh lebih tinggi berbanding ketika di Goodison Park. Bagaimanapun kesabaran penyokong-penyokong ada hadnya biarpun saya akui masih ramai yang berdiri teguh di belakang Moyes.

Saya tidak nafikan bahawa statistik permulaan yang dilakar Moyes ketika ini lebih baik berbanding apa yang pernah dilakukan Sir Alex kira-kira 27 tahun lalu. Namun dalam masa yang sama tidak adil rasanya untuk kita membandingkan pencapaian kedua-dua individu ini kerana Sir Alex membina semula United bermula dari bawah hinggalah trofi liga hadir buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun pada 1993. Moyes sebaliknya hanya perlu meneruskan kecemerlangan yang pernah dilakar Sir Alex kerana United adalah juara bertahan Liga Perdana di samping beliau sendiri mewarisi pemain-pemain berkualiti untuk dimanfaatkan. Apa yang perlu dilakukan Moyes hanyalah menambahbaik beberapa kepincangan dalam skuad yang diwarisinya terutama di bahagian tengah. Bermula pada hari pertama beliau memulakan tugasnya secara rasmi sebagai pengurus United, Moyes sepertimana yang kita lihat jauh ketinggalan di belakang Manuel Pellegrini, Andre Villas-Boas (kini sudah dipecat) dan Jose Mourinho dalam hal menguatkan pasukan (memburu pemain baharu). Anda tentu masih ingat kata-kata Moyes ketika itu bahawa beliau tidak perlu terburu-buru bagi mendapatkan pemain baharu kerana yakin dengan kualiti barisan pemain sedia ada yang dimilikinya. Selepas dihidangkan dengan pelbagai drama sepanjang jendela perpindahan musim panas dibuka, Moyes akhirnya hanya mampu mendapatkan bekas anak didiknya di Everton (Marouane Fellaini) untuk menguatkan jentera tengah. Akibatnya belum pun separuh musim diharungi, Moyes sudah mula merungut bahawa skuadnya kekurangan kreativiti sebaik tewas dua perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri (kepada Everton dan Newcastle). Persaraan Paul Scholes meninggalkan ruang besar di bahagian tengah yang perlu diisi, manakala kecederaan Michael Carrick pula menambah lagi masalah di posisi tersebut. Ketika berdepan Everton dan Newcastle, kelemahan bahagian tengah United dieksploitasi oleh lawan dengan begitu mudah dan hal yang sama juga sebenarnya berlaku ketika kita tewas kepada Liverpool, Manchester City dan West Bromwich Albion.

Moyes bukan hanya berdepan masalah kurangnya kreativiti di bahagian tengah tetapi kekebalan benteng pertahanan pasukannya juga kini mula diperkatakan ramai pihak. Gandingan Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand sudah tidak sekebal ketika kelab menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2008 akibat peningkatan usia. Kini sudah tibalah masanya untuk Moyes memberikan lebih banyak penampilan kepada pemain-pemain pertahanan lebih muda seperti Jonny Evans, Chis Smalling dan Phil Jones. Maaf jika saya katakan bahawa United di bawah kendalian Moyes seperti sudah hilang mental juara, faktor yang selama ini menjadi antara kekuatan utama kelab sepanjang era Sir Alex sebagai pengurus. Bagaimanapun di KC Stadium semalam, pemain-pemain seolah-olah kembali mempamerkan karakter yang pernah menyebabkan mereka digeruni lawan sedikit masa lalu apabila bangkit meraih kemenangan selepas ketinggalan dua gol kepada Hull City yang dibimbing bekas lagenda United sendiri iaitu Steve Bruce. Bagaimanapun saya tidak mahu terlalu dibuai dengan keyakinan atas kejayaan semalam kerana masih ada baki 20 perlawanan lagi yang perlu diharungi musim ini. United sebelum ini pernah mengharungi tempoh yang agak menyakinkan apabila mereka tidak tewas sepuluh perlawanan dalam semua kejohanan, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan dua kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri (pada saingan liga). Moyes mahukan supaya penyokong-penyokong bersabar atas alasan kelab dalam proses peralihan, tetapi mampukah kebanyakkan dari kita bersabar sekiranya beliau gagal membawa kelab ke kedudukan empat teratas liga, atau lebih buruk lagi jika kelab tidak layak beraksi di Liga Europa? Dalam hal ini, sudah tentu akan wujud satu lagi perbandingan kerana anda mungkin akan mengatakan bahawa Sir Alex gagal memberikan sebarang trofi sepanjang tiga musim pertama beliau mengendalikan kelab. Selain itu, beliau (Sir Alex) juga gagal membawa kelab ke kedudukan sepuluh terbaik selama tiga musim dari lima musim pertamanya sejak menggantikan tempat (Ron) Atkinson pada 1986.

Mungkin juga anda akan berkata, jika kelab boleh bersabar dengan memberikan tempoh kepada Sir Alex sehingga empat musim sebelum trofi pertama (Piala FA) hadir pada 1990 dan tiga tahun kemudiannya kejuaraan liga pula, mengapa Moyes tidak boleh diberikan peluang yang sama jika beliau gagal membawa kelab ke kedudukan empat teratas musim ini? Sudah tentu jawapan paling tepat kepada semua persoalan ini ialah betapa besarnya jurang era bolasepak moden jika mahu dibandingkan dengan tempoh 20 atau 30 tahun yang lalu. Sekarang bukan lagi zaman di mana pengurus boleh memberi berbagai alasan jika kelab gagal mencapai misi yang ditetapkan oleh pihak pengurusan. Roberto Mancini dipecat selepas Manchester City sekadar menamatkan saingan liga musim lalu di tangga kedua selain gagal di pentas final Piala FA biarpun musim sebelumya beliau berjaya mengemudi The Citizens menang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun. Nasib lebih buruk menimpa Roberto Di Matteo walaupun beliau berjaya membawa Chelsea menang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab pada musim 2011-12 selain menang kejuaraan Piala FA musim tersebut. Selepas mengharungi tempoh lapan bulan dan berjaya mengemudi Chelsea meraih dua trofi major, karier pengurusan Di Matteo di Stamford Bridge akhirnya menemui titik noktah pada November tahun lalu sebaik The Blues tewas 0-3 kepada Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara. Paling mutakhir sudah tentu anda sendiri dapat melihat bagaimana Andre Villas-Boas akhirnya dipaksa meninggalkan White Hart Lane walaupun saingan liga belum memasuki separuh musim. Saya berharap nasib Moyes tidak seburuk rakan-rakan sejawatnya yang saya sebutkan di atas, tetapi mampukah keluarga Glazer bersabar jika The Red Devils hanya mampu menamatkan saingan liga di tangga ke-9, sekaligus pencapaian terburuk kelab sejak 1990? Beberapa kali pernah saya sebutkan sebelum ini bahawa penyokong-penyokong muda United sering 'dimanjakan' dengan kejuaraan demi kejuaraan yang dimenangi kelab sepanjang era Sir Alex hingga mereka terlupa bagaimana sakitnya ketika berdepan detik sukar seperti sekarang.

Kelab besar yang memiliki sejarah gemilang seperti Manchester United sudah tentu ada sasaran tinggi yang diletakkan pihak pengurusan pada setiap musim. Jadi tidak keterlaluan kalau saya katakan jika anak-anak buah Moyes menamatkan musim ini di luar zon empat teratas, ia adalah satu bencana buat kelab dan penyokong-penyokong mereka. Manchester United bukan sekadar kelab bolasepak tetapi jenama perniagaan yang menguntungkan, maka sudah tentulah sebarang keputusan buruk yang dicapai kelab di penghujung musim bakal menjejaskan nilai komersial jenama United itu sendiri. Kita tidak tahu di manakah silapnya hingga menyebabkan United kini ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal dan berada di kedudukan ke-7 ketika saingan liga bakal memasuki fasa kedua. Moyes mengatakan pasukannya kurang kreativiti, bekas pemain pula mengatakan bahawa barisan pemain yang ada sudah hilang semangat juang dalam diri mereka, dan paling popular sudah tentu pendapat yang mengatakan bahawa pengunduran Sir Alex memberikan kesan psikologi besar terhadap bekas anak-anak buahnya hingga menjejaskan prestasi mereka. Walau apapun alasannya, Moyes perlu mengemudi pasukannya mencapai kemenangan demi kemenangan selepas ini bagi memulihkan kembali keyakinan penyokong-penyokong, atau jika tidak United akan terperosok di kedudukan yang lebih bawah. Jendela perpindahan pemain yang akan dibuka Januari ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh beliau untuk mendapatkan tenaga-tenaga baharu bagi menguatkan pasukan. United ketika ini saya ibaratkan seperti sedang sakit dan penawar untuk penyakit itu adalah kemenangan. Lima kemenangan berturut-turut (dalam semua kejohanan) yang dicapai selepas tewas kepada Everton dan Newcastle adalah penawar paling mujarab ketika kebanyakkan penyokong-penyokong United sudah mula hilang kepercayaan terhadap kredibiliti Moyes selaku pengendali. Kemenangan cukup penting buat survival Moyes sebagai pengurus United, dan itulah yang perlu diilhamkan beliau sekarang. Saya gembira melihat aksi di KC Stadium semalam bukan kerana United berjaya meraih tiga mata penuh, tetapi kerana pemain-pemain mula menunjukkan karakter sebenar mereka. Bukan mudah untuk bangkit selepas ketinggalan dua gol, tambahan pula selepas menyaksikan rekod baik Hull City ketika beraksi di gelanggang sendiri. Selepas lulus ujian pertama Boxing Day dengan cemerlang, kini saya menanti dua lagi aksi selepas ini (menentang Norwich City dan Tottenham) untuk melihat apa benarkah The Red Devils sudah kembali bangkit? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

14 Disember 2013

CHICHARITO BERADA DI KELAB YANG SALAH?


Tiga tahun lalu Javier Hernandez Balcazar (Chicharito) muncul pemain Mexico pertama menyertai Manchester United selepas Sir Alex Ferguson menandatangani bintang muda itu dari Chivas Guadalajara dengan nilai £6 juta. Pembelian Chicharito pada awalnya dipandang sinis sesetengah pihak kerana United ketika itu memerlukan penyerang kelas dunia untuk digandingkan bersama Rooney dan bukannya 'budak mentah' berusia 22 tahun. Chicharito tiba di Old Trafford pada musim panas 2010 bersama-sama pembelian baharu seperti Chris Smalling, Marnick Vermijl, Anders Lindegaard dan Bebe. Kehadiran Chicharito kurang diperkatakan penyokong-penyokong United walaupun dia menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya di pentas Piala Dunia 2010 (Afrika Selatan), mungkin disebabkan nama dan reputasinya jarang didengar sebelum itu. Minat Sir Alex terhadap Chicharito sebenarnya sudah bermula sejak 2009 lagi di mana beliau kerap menghantar pencari bakat United untuk memantau aksi pemain itu secara dekat semasa dia beraksi di Primera Division. Chicharito tidak menunggu lama untuk membuktikan nilai £6 juta yang dilaburkan United ke atasnya lebih dari berbaloi apabila menjaringkan 13 gol dari 27 aksi liga untuk kelab pada musim pertamanya di England. Hingga setakat ini Chicharito sudah menyumbangkan 54 gol dari 129 penampilan buat United dalam semua kejohanan, satu statistik yang cukup mengagumkan buat seorang pemain yang sering bermula dari bangku simpanan. Tidak salah rasanya jika saya katakan bahawa Chicharito antara penyerang paling berbahaya di dunia terutamanya ketika berada dalam petak penalti lawan.

Selepas melihat segala sumbangan dan jaringan-jaringannya sepanjang tiga musim di Old Trafford, tiba-tiba timbul perkhabaran bahawa masa depan penyerang itu bersama kelab bakal berakhir berikutan peluangnya tampil dalam kesebelasan utama semakin terhad. Kenyataan Carlos Vela yang juga rakan senegaranya kepada Sky Sports menghangatkan lagi spekulasi masa depan Chicharito di Old Trafford. “Jika dia bermain dengan kerap, dia akan menjaringkan gol. Jadi saya tidak faham mengapa pemain dengan kualiti sepertinya kurang diberikan peluang bermain. Jika dia tidak bermain dengan kerap, dia perlu memikirkan tentang kemungkinan meninggalkan kelab. Anda sentiasa mahu berjaya di kelab besar, tetapi jika anda tidak diberikan peluang ada pasukan lain di England atau Eropah yang mahukannya”, kata Vela merujuk kepada situasi Chicharito ketika ini. Tidak dinafikan bahawa Chicharito antara penyerang paling berbahaya di Liga Perdana terutama ketajamannya menyempurnakan peluang dari jarak dekat dan tiada keraguan juga bahawa permainannya semakin bertambah baik. Sepanjang tiga musim bersama United, Chicharito tidak dapat mengelak dari dibandingkan dengan Ole Gunnar Solskjaer kerana persamaan yang dimilikinya dengan lagenda kelab itu. Sepertimana Solskjaer, Chicharito juga sering menjaringkan gol-gol penting buat kelab ketika masuk sebagai pemain gantian, tetapi persoalan tetap timbul sama ada dia cukup bagus untuk dibandingkan dengan Solskjaer, atau adakah kualiti yang dimilikinya membolehkan dia kekal lama di Old Trafford?

Siapa boleh menafikan bahawa Chicharito adalah seorang finisher hebat tetapi dia bukanlah penyerang yang lengkap sepertimana Wayne Rooney atau Robin Van Persie. Nisbah jaringannya (2.3 gol untuk satu perlawanan) mengatasi Thierry Henry, Alan Shearer dan Didier Drogba tetapi itu bukanlah jaminan untuk namanya menjadi pilihan utama dalam kesebelasan United. Dalam dunia bolasepak moden, sesebuah pasukan memerlukan penyerang yang bukan sahaja tajam di hadapan gawang lawan tetapi juga mampu membuka peluang jaringan buat rakan sepasukan. Dalam hal ini, kelab memiliki Rooney dan Van Persie yang memenuhi kriteria itu sekaligus menyebabkan Chicharito sekadar menjadi pilihan ketiga atau keempat pengurus untuk diturunkan dalam satu-satu perlawanan. Musim lalu biarpun dia menjaringkan 10 gol (dalam saingan liga), Sir Alex sebaliknya lebih gemar memilih Danny Welbeck kerana kemampuan penyerang England itu 'menyimpan bola' selain boleh berfungsi di sebelah kanan dalam formasi 4-2-3-1. Jika situasi ini kekal, suka atau tidak Chicharito akan mendapati dirinya terus diberikan peranan sebagai supersub sepertimana yang pernah dimainkan Solskjaer dahulu. Solskjaer kekal bersama United selama 11 tahun (1996-2007), dan selama tempoh itu jugalah beliau mampu bersabar biarpun sekadar menjadi pilihan ketiga di belakang gandingan penyerang-penyerang United yang lain seperti Dwight Yorke/Andy Cole, Ruud Van Nistelrooy/Louis Saha dan Louis Saha/Wayne Rooney. Walaupun sering memanaskan bangku simpanan, ketajaman Solskjaer tidak pernah pudar dan sudah tentu gol jaringannya yang paling diingati ialah ketika final Liga Juara-Juara 1999 menentang Bayern Munich.

Persoalan paling besar sekarang adakah Chicharito memiliki kesabaran setinggi Solskjaer hinggakan beliau diangkat sebagai antara lagenda United biarpun sekadar memainkan peranan selaku supersub? Saya rasa tidak. Pada usia 25 tahun, Chicharito bukan lagi dalam kategori pemain muda yang boleh mendengar alasan pengurus bahawa dia perlu bersabar dan menimba lebih banyak pengalaman sebelum bersedia diletakkan dalam lineup awal pasukan. Sudah tentu Chicharito juga sedar akan hal itu. Apa yang diperlukannya sekarang ialah bermain setiap minggu, kerana jika itu tidak berlaku peluangnya membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan turut terjejas. Saya sentiasa berharap penyerang sebagus Chicharito akan kekal lama bersama kelab, tetapi dalam masa yang sama saya juga perlu mengakui bahawa tiada jaminan dia akan menandatangani lanjutan kontrak baru dan terus menyarung jersi merah The Red Devils. Jika Chicharito mahukan tempat sebagai penyerang utama, saya yakin dia tidak akan menikmati status itu jika terus kekal di Old Trafford. Sejarah kelab yang panjang sudah menyaksikan ramai lagenda pernah beraksi di sini (Old Trafford) dan sejarah kelab yang panjang juga pernah menyaksikan bukan sedikit pemain-pemain yang gagal memenuhi jangkaan dan terpaksa meninggalkan kelab. Seperti yang saya katakan tadi, saya mahu melihat Chicharito mengikut jejak langkah Solskjaer dengan kekal lama bersama kelab, tetapi jika dia merasakan bahawa Old Trafford bakal menjadi tanah kubur buat kariernya, menyertai pasukan lain adalah jalan terbaik. Adakah Chicharito berada di kelab yang salah? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

08 Disember 2013

APA NAK DIKATA


“Tidak bernasib baik”, itulah alasan yang diberikan David Moyes ketika Manchester United tumbang di gelanggang sendiri kepada Everton Khamis lalu, dan semalam  giliran Yohan Cabaye pula membuktikan bahawa Old Trafford kini bukan lagi kubu kebal buat The Red Devils. Kita (penyokong-penyokong United) bukan tidak pernah menyaksikan kelab tewas ketika beraksi di gelanggang sendiri musim-musim sebelumnya, tetapi tewas dua perlawanan berturut-turut di Theatre of Dreams bukanlah satu perkara yang bagus dan sudah tentu menimbulkan persoalan besar tentang nasib kelab dalam saingan liga musim ini. Moyes tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mencipta 'sejarah' tersendiri selaku pengendali United apabila kekalahan kepada The Magpies semalam menyaksikan kelab tewas dua perlawanan berturut-turut (di gelanggang sendiri) buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun. Usai kekalahan semalam, kredibiliti Moyes selaku pengendali semakin hebat dibahaskan malah laman Twitter rasmi milik kelab dihujani dengan luahan-luahan dari penyokong yang meminta agar bekas pengendali Everton itu segera dipecat. Selepas menyaksikan Newcastle meraih tiga mata penuh di Old Trafford buat pertama kali dalam tempoh 41 tahun dan memberikan kekalahan ketiga kepada United di gelanggang sendiri musim ini, apa lagi yang mampu kita harapkan pada baki 23 perlawanan selepas ini selain dari keajaiban. Kekalahan semalam sudah tentu menyebabkan Moyes berada di bawah tekanan apatah lagi selepas melihat kelab kini terperosok di tangga kesembilan liga, ketinggalan 12 mata di belakang Arsenal selaku pendahulu ketika ini. Saya pernah mengatakan sebelum ini bahawa sasaran paling realistik yang perlu Moyes capai di penghujung musim bukannya mengekalkan trofi Liga Perdana di Old Trafford tetapi cukuplah sekadar membawa kelab ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Bagaimanapun selepas menyaksikan siri kekalahan terbaharu semalam, timbul persoalan apakah sasaran itu mampu dicapai beliau (itupun jika jodoh Moyes bersama United panjang hingga ke penghujung musim). Paul Ince (bekas pemain tengah United) mengatakan bahawa Moyes sudah tewas sejak hari pertama beliau menggalas tugasnya selaku pengendali apabila membiarkan individu-individu berpengalaman yang pernah membantu Sir Alex Ferguson seperti Rene Meulensteen dan Mike Phelan meninggalkan kelab. Kata-kata Ince itu pada pandangan saya ada benarnya kerana sebagai 'orang baharu', Moyes sebenarnya amat memerlukan pendapat dan petua dari kakitangan yang sudah lama berbakti bersama kelab seperti Meulensteen dan Phelan, bukannya membiarkan mereka berdua pergi dengan begitu mudah. Sudah tentu melepaskan Meulensteen yang sudah bersama kelab sejak 2001 dan Phelan yang merupakan bekas pemain dan kemudiannya menggalas tugas sebagai pembantu Sir Alex sejak 2008 bukanlah satu keputusan yang bijak jika diambilkira pengalaman yang ada pada kedua-dua individu ini sebagai pembantu Sir Alex. Bagi penyokong-penyokong muda United, mereka mungkin sudah mula hilang sabar dengan prestasi terumbang-ambing yang dipamerkan kelab ketika ini, apatah lagi jika difikirkan bahawa Moyes mewarisi skuad juara yang ditinggalkan Sir Alex. Bagaimanapun selepas empat bulan musim kompetitif bermula, skuad juara ini sudah tewas sebanyak lima kali termasuk tiga kekalahan di gelanggang sendiri. “Krisis” adalah perkataan yang sering digunakan dalam dunia bolasepak bagi menggambarkan situasi yang sedang dialami United ketika ini, tetapi adakah perkataan itu sudah boleh ditujukan kepada kelab selepas mereka tidak menang pada aksi saingan liga dalam tempoh sebulan? Sebagai penyokong yang memerhati dari luar, kita sudah tentu tidak tahu apa masalah sebenar yang melanda kelab sekarang hingga menjejaskan prestasi pemain-pemain di atas padang.

Sebagai pengendali, Moyes sudah tentu terpaksa memikul sepenuhnya tanggungjawab atas kekalahan terbaharu yang dialami anak-anak buahnya. Bagaimanapun saya kira adalah tidak adil untuk kita menyalahkan Moyes 100% atas prestasi lesu yang dipamerkan pemain-pemainnya. Sebagai pengendali, beliau hanya berada di luar padang memberikan arahan sepanjang 90 minit permainan, dan selebihnya terpulang kepada barisan yang beliau turunkan. Ketika pengadil meniup wisel pada detik pertama perlawanan, tidak banyak lagi perkara yang mampu dilakukan Moyes untuk mengubah nasib pasukannya. Untung nasib pasukan dan keputusan perlawanan kini dipikul pemain-pemain di atas padang dan itulah sebenarnya yang berlaku pada dua perlawanan terakhir United. Selepas menyaksikan penguasaan pada perlawanan menentang Everton Khamis lalu, nasib pasukan tiba-tiba berubah hasil kesilapan individu yang dilakukan Antonio Valencia hingga membolehkan Bryan Oveido menyelinap masuk dan menjaringkan gol tunggal perlawanan. Kesilapan individu sekali lagi menghukum United semalam apabila kealpaan Patrice Evra pula membolehkan Moussa Sissoko meloloskan diri dan melakukan hantaran yang berjaya disudahkan Cabaye. Akibat hilang konsentrasi, dua kesilapan ini berlaku dan hasilnya United tewas dua perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri. Selaku individu yang berada di garisan tepi padang, Moyes tidak dapat melakukan apa-apa selain hanya mampu melihat kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya sendiri. Andai kesilapan mudah seperti itu berjaya dielakkan, United jika tidak menang sekalipun akan mencatat keputusan seri sekaligus menyaksikan mereka tidak tewas 14 perlawanan terakhir (dalam semua kejohanan). Kedudukan keseluruhan kelab dalam carta liga tidak banyak berubah andai berjaya meraih dua mata minima pada aksi menentang Everton dan Newcastle, tetapi itu sudah tentu jauh lebih bagus berbanding dua kekalahan berturut-turut yang dialami mereka di gelanggang sendiri.

Kesilapan Valencia dan Evra menjadi penyebab United tewas dua perlawanan terakhir mereka, tetapi dalam masa yang sama kita juga tidak boleh menafikan bahawa terdapat kepincangan di bahagian tengah dan juga serangan. Agak malang ketika kelab berdepan detik sukar, kita hilang khidmat Michael Carrick akibat kecederaan, Wayne Rooney menjalani penggantungan perlawanan manakala semalam pula Robin Van Persie terpaksa bermain dalam keadaan dirinya tidak cergas 100%. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ketika ini kelab terlalu bergantung kepada kelibat Carrick bagi menjana jentera tengah manakala beban dalam memburu jaringan pula terpaksa dipikul hampir sepenuhnya oleh Van Persie dan Rooney. Pada aksi semalam, Chieck Tiote dan Vurnon Anita berjaya mendedahkan kelemahan bahagian tengah United manakala Javier Hernandez pula pada pandangan saya lebih tajam jika diturunkan sebagai pemain gantian, bukannya dalam kesebelasan permulaan. Untuk itu, jika Moyes mahu melihat jangka hayatnya sebagai pengurus United lebih panjang, beliau perlu mencari jalan bagi menambah kekuatan di bahagian tengah sambil berharap Van Persie atau Rooney tidak ditimpa musibah kecederaan jangka panjang. Keputusan dua perlawanan terkini yang diraih United sudah tentu menyukarkan lagi tugas Moyes di Old Trafford. Bagaimanapun selepas apa yang saya sebutkan tadi, kita juga tidak sepatutnya meletakkan segala kesalahan di bahu beliau. Mungkin juga ada benarnya kata-kata beliau selepas tamat perlawanan menentang Everton Khamis lalu bahawa United hanya dipisahkan dengan nasib dari meraih sebarang mata, tetapi saya lebih berminat untuk melihat apa yang bakal dilakukan beliau ketika jendela perpindahan pemain dibuka Januari ini. Moyes pada pandangan saya agak beruntung berada di Old Trafford kerana pemilik kelab dan pihak pengurusan di sini memiliki kesabaran lebih tinggi ketika berdepan situasi getir seperti ini. Cuba anda bayangkan bagaimanakah agaknya nasib Moyes jika beliau berada di Stamford Bridge? Glory Glory Manchester United!!! – A.J