13 Mac 2014

LIVERPOOL DAN OLYMPIACOS...MENGUJI SEJAUH MANA KEBERANIAN MOYES

Masih ada sinar pada baki saingan musim ini jika persembahan keseluruhan Manchester United di The Hawthorns mahu dijadikan ukuran. Kemenangan menyakinkan yang dilakar ke atas West Bromwich itu mampu meredakan sedikit tekanan di bahu David Moyes selepas beliau dikritik hebat berikutan persembahan tidak bermaya yang di pamerkan barisan pemain-pemainnya dalam saingan Liga Juara-Juara 26 Februari lalu. Seperti yang anda tahu, West Bromwich muncul antara pasukan yang berjaya menewaskan United di Old Trafford musim ini, jadi kemenangan Sabtu lalu bukan hanya berkisar kepada balas dendam tetapi apa yang lebih penting ialah tiga gol yang dihasilkan The Red Devils dalam perlawanan itu. Ini merupakan kali pertama United menjaringkan tiga gol ke gawang lawan sejak kali terakhir mereka melakukannya pada 26 Disember 2013 ketika menewaskan Hull City di gelanggang lawan. Selepas 11 perlawanan (liga), barisan hadapan United yang diketuai Wayne Rooney akhirnya kembali menemui sentuhan gol di hadapan gawang lawan dan sudah tentu juga ini petanda bagus sebelum mereka berdepan Liverpool Ahad ini dan Olympiacos awal pagi Khamis nanti. Ada tanda positif yang ditunjukkan barisan The Red Devils sepanjang 90 minit permainan di The Hawthorns, jadi sudah tentu kita berharap agar trend ini berterusan pada perlawanan-perlawanan seterusnya. Kemenangan sudah tentu sesuatu yang menggembirakan tetapi selain dari itu saya lebih suka melihat keseluruhan kerja yang dilakukan Moyes Sabtu lalu. Di Athens, Moyes terlalu bergantung kepada fungsi dua pemain sayap (Ashley Young dan Antonio Valencia) setiap kali melancarkan serangan hingga menyebabkan beliau dilabelkan sebagai tiada idea merencanakan permainan dan silap memilih kesebelasan utamanya.

Mungkin selepas mengambil ikhtibar atas kesilapan yang beliau lakukan, Moyes menggunakan formasi 4-2-3-1 di The Hawthorns  dengan meletakkan gandingan Wayne Rooney, Juan Mata dan Adnan Januzaj di belakang Robin Van Persie manakala Michael Carrick dan Marouane Fellaini membentuk gandingan dua pemain tengah. Meskipun itu bukanlah persembahan terbaik anak-anak buah Moyes musim ini tetapi sekurang-kurangnya corak permainan mereka tidak lagi dilabelkan sebagai mudah dibaca serta membosankan dengan terlalu bergantung kepada hantaran-hantaran dari sebelah kiri dan kanan. Jangan mudah berpuashati kerana masih banyak kerja perlu dilakukan dan sudah tentunya kita berharap agar rentak kemenangan ini mampu diteruskan ketika berdepan Liverpool dan Olympiacos nanti. Seperti yang saya katakan tadi, ada perubahan kepada taktikal dan senarai pemain yang diturunkan Moyes di The Hawthorns berbanding di Athens tetapi adakah 'formula' ini akan dikekalkan beliau pada perlawanan-perlawanan seterusnya. Semasa menentang Crystal Palace 23 Februari lalu, Moyes buat pertama kalinya menggunakan kombinasi Carrick/Fellaini di bahagian tengah dengan Rooney, Mata dan Januzaj pula bermain di hadapan mereka (dalam formasi 4-2-3-1). Permainan United saya lihat bergerak dengan lancar menerusi formasi ini tetapi agak menghairankan hanya tiga hari selepas itu Moyes kembali kepada kebiasaan menggunakan dua pemain sayap semasa aksi di Athens. Hasilnya permainan United kembali hambar di mana Carrick terpaksa bergelut sepanjang permainan untuk menutup ruang di bahagian tengah ketika Tom Cleverley 'hilang arah' sepanjang 61 minit aksinya di tengah padang.

Young dan Valencia yang diharapkan Moyes boleh membekalkan hantaran-hantaran berkualiti kepada Rooney dan Van Persie gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dan akibatnya gerakan-gerakan serangan United mudah di patahkan lawan. Mungkin menyedari kesilapan beliau semasa di Athens, Moyes kembali menggunakan Carrick, Fellaini, Rooney, Mata dan Januzaj dalam formasi permainannya dalam misi memburu kemenangan di The Hawthorns. Hasilnya anda sendiri dapat saksikan dan permainan United kembali seimbang. Saya tidak nafikan kekuatan United ketika di bawah kendalian Sir Alex Ferguson ialah menerusi gerakan-gerakan dan hantaran-hantaran dari kedua-dua bahagian sayap, tetapi dalam situasi yang dialami United sekarang, mencari kemenangan adalah lebih penting berbanding cuba mempertahankan falsafah permainan. Kekalahan kepada Olympiacos amat memeritkan bukan sahaja kepada pemain tetapi juga penyokong. Kecewa bukan kerana kalah tetapi kecewa dengan prestasi keseluruhan pasukan, barisan pemain yang diturunkan, formasi yang digunakan dan falsafah permainan Moyes sendiri. Mujurlah kekecewaan kita segera terpadam di The Hawthorns apabila United membuktikan bahawa mereka adalah pasukan berbeza berbanding di Athens. Fellaini yang tidak beraksi ketika menentang Olympiacos mula memberikan gambaran bahawa beliau boleh membentuk gandingan ampuh di bahagian tengah bersama Carrick. Walaupun sering dilabelkan sebagai 'pembelian yang gagal', Fellaini terbukti berkesan ketika berdepan West Bromwich menerusi peranan yang dimainkannya di bahagian tengah. Selain bertindak sebagai pelindung kepada back four United, Fellaini juga bijak memecah bahagian tengah lawan hingga membolehkan Carrick  bebas mengatur gerakan tanpa terlalu terikat dengan peranan yang biasa dimainkannya sebagai defensive midfielder.

Ringkasnya kombinasi Fellaini/Carrick turut membolehkan tiga pemain di hadapan mereka (Rooney, Januzaj dan Mata) bergerak lebih bebas ketika menyerang manakala Van Persie pula sepatutnya tidak perlu merungut lagi selepas melihat kerjasama yang diberikan rakan-rakan sepasukan kepadanya sepanjang 63 minit aksinya di The Hawthorns. Keberanian Moyes menggunakan Chris Smalling dan Phil Jones sebagai gandingan di benteng tengah United juga perlu diberikan pujian. Dengan Nemanja Vidic yang sudah sah akan menyertai Inter Milan musim depan, saya kira sudah tibalah masanya untuk Moyes memberikan lebih kepercayaan dan peluang kepada Smalling, Jones atau Jonny Evans mengemudi benteng tengah pada baki saingan musim ini. Persembahan United Sabtu lalu memberikan tanda positif dan sedikit harapan dalam menghadapi baki 10 perlawanan liga selepas ini. Kunjungan Liverpool dan Olympiacos ke Old Trafford bakal memperlihatkan sejauh mana keberanian Moyes untuk terus menggunakan formasi 4-2-3-1 bertunjangkan kepada kekuatan yang ada pada Fellaini, Carrick, Januzaj, Rooney dan Mata. Mata (jika tidak mengalami kecederaan) akan diturunkan ketika berdepan Liverpool tetapi tidak akan beraksi saat Olympiacos berkunjung ke Old Trafford nanti. Jadi pemain manakah yang akan diletakkan Moyes sebaris bersama Januzaj dan Rooney selaku pengganti Mata? Atau adakah beliau akan kembali menggunakan dua pemain sayap sebagai penggerak serangan-serangan United seperti yang berlaku di Athens bulan lalu? Kunjungan Liverpool dan Olympiacos saya nantikan penuh teruja bukan hanya disebabkan dua perlawanan itu perlu dimenangi United, tetapi lebih dari itu saya ingin melihat sejauh mana keberanian Moyes untuk keluar dari 'kebiasaan' dan mengubah formasi serta taktikal permainan pasukannya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

06 Mac 2014

TONI KROOS, MAMPU SELESAIKAN MASALAH MOYES?

Toni Kroos…nama yang memang sedang hangat diperkatakan penyokong-penyokong Manchester United ketika ini. Spekulasi bertiup kencang mengatakan bahawa David Moyes begitu nekad memburu tandatangan pemain antarabangsa Jerman ini pada musim panas nanti terutamanya selepas beliau dikritik hebat akibat prestasi tidak menentu United sejak mengambilalih tugas dari Sir Alex Ferguson Jun lalu. Kelemahan di bahagian tengah sering dijadikan sebab mengapa United tidak segarang dulu biarpun Moyes sudah berbelanja sebanyak £62 juta ketika mendapatkan Marouane Fellaini dan Juan Mata selain turut memiliki Shinji Kagawa, Darren Fletcher, Tom Cleverley dan Michael Carrick. Fellaini dan Mata sebelum itu pernah disebut-sebut sebagai pemain yang mampu menyelesaikan segala masalah di bahagian tengah United, dan kini giliran Toni pula diberikan gambaran yang sama. Fellaini belum memberikan impak diharapkan selain masih bergelut menyesuaikan diri dengan corak permainan rakan-rakan sepasukan barunya manakala masih terlalu awal untuk menilai sumbangan Mata memandangkan bekas pemain tengah Chelsea itu baru menyertai kelab Januari lalu. Toni seolah-olah sudahpun memberikan gambaran tentang masa depannya di Allianz Arena ketika ditemubual majalah Kicker tempohari sekaligus memberikan petanda bagus buat Moyes jika beliau benar-benar serius mahu mendapatkan khidmat pemain itu. “Ini bukan semata-mata disebabkan wang kerana itu bukanlah sikap sebenar saya. Namun saya juga berbohong kepada anda jika mengatakan bahawa saya pergi bukan kerana wang”, kata Toni. Ketika ditanya tentang Real Madrid dan Barcelona yang dikhabarkan turut berminat mendapatkan khidmatnya, Toni menafikan perkara tersebut sekaligus menyaksikan United mungkin tidak perlu berdepan saingan sengit dalam memburu tandatangan pemain itu. Paling menarik apabila adik Toni (Felix) yang bermain untuk Werder Bremen turut menghangatkan lagi spekulasi masa depan abangnya di Allianz Arena. “Saya sudah bercakap dengan Toni tentang perpindahan ke Manchester United. Secara peribadi United adalah kelab impian saya sejak kecil tetapi saya tidak pernah cuba mempengaruhi Toni. Dia sudah pasti akan membuat keputusannya sendiri”, kata Felix kepada Sky Sports.

Dari sudut kewangan, saya yakin United lebih dari mampu membawa Toni keluar dari Allianz Arena terutamanya selepas melihat kelab membelanjakan £62 juta untuk mendapatkan Fellaini dan Mata serta memberikan kontrak lumayan kepada Wayne Rooney. Bagaimanapun saya masih sangsi adakah pengurus (Moyes) mampu memaksimakan segala potensi dan kualiti yang ada pada Toni untuk meningkatkan prestasi pasukannya selepas melihat apa yang berlaku kepada Fellaini dan Kagawa. Toni sejak beberapa bulan lalu sering digambarkan kurang gembira selepas permintaan kenaikan gajinya ditolak pihak pengurusan Bayern sekaligus menyebabkan perbincangan kontrak baru untuk mengekalkannya di Allianz Arena terbantut. Matthias Sammer (Pengarah Sukan Bayern) cuba meredakan keadaan apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Toni tidak akan ke mana-mana, tetapi saya percaya jika ada tawaran 'menggiurkan' dari mana-mana kelab, Bayern sudah tentu tidak mampu mengekalkan pemain itu tambahan pula kontrak Toni akan berakhir pada Jun 2015. Daily Mail dalam laporannya mengatakan bahawa United sanggup menawarkan kepada Bayern hingga £40 juta agar mereka melepaskan Toni selain tawaran gaji sehingga £250 ribu seminggu. Jika benar laporan tersebut mampukah Bayern dan Toni menepis godaan ini? Bukan hanya kerana faktor wang yang menyebabkan Toni kurang gembira, tetapi persaingan sengit di bahagian tengah Bayern juga menjadi punca mengapa pemain itu dikatakan sudah mula mengintai peluang menyertai kelab lain musim depan. Setakat ini hanya United dikhabarkan muncul satu-satunya kelab yang serius memburu khidmat Toni tetapi saya yakin persaingan akan terbuka sebaik sahaja saingan musim ini berakhir. Pemain dengan kualiti seperti Toni sudah tentu akan menjadi aset penting kepada mana-mana pasukan, jadi saya percaya akan ada beberapa lagi kelab besar Eropah menyertai United memburu khidmat pemain ini. Sudah tentu juga jika Toni cemerlang bersama skuad kebangsaan Jerman di pusingan akhir Piala Dunia 2014 nanti, tugas Moyes memburu pemain ini akan menjadi semakin sukar.

Adakah memang benar kehadiran Toni (jika Moyes berjaya menandatanganinya) akan menyelesaikan masalah United di bahagian tengah? Jika soalan ini ditujukan kepada saya sudah tentu jawapan saya ialah “Ya”. Aksinya ketika menentang Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara 20 Februari lalu adalah antara bukti terbaik mengapa Moyes mahu membawanya ke Old Trafford musim depan. Tiada keraguan untuk saya mengatakan bahawa Toni akan memberikan kekuatan tambahan kepada bahagian tengah United kerana kemampuannya dan beliau sudah membuktikan kualitinya bersama Bayern ketika ini. Atas sebab itu, maka tidak hairanlah jika dua orang kuat Bayern, (Matthias Sammer dan Franz Beckenbauer) senada dalam usaha cuba mengekalkan Toni dan dilihat agak bimbang kelab berdepan prospek kehilangan pemain itu musim depan. Ramai yang mengatakan bahawa kelemahan ketara United ialah tiadanya pemain yang mampu menggantikan tempat Paul Scholes selaku pemimpin di bahagian tengah sambil bijak mengawal tempo permainan. Kehadiran Fellaini gagal menyelesaikan masalah ini walaupun pada awalnya ramai pihak yakin bahawa bekas pemain Everton itu boleh menampung kekosongan yang ditinggalkan Scholes. Toni pula adalah jenis pemain yang memiliki mobiliti bagus di atas padang, berkemampuan melakukan hantaran-hantaran berkualiti kepada barisan hadapan, boleh membantu benteng pertahanan ketika bertahan selain kebolehan menghasikan gol menerusi percubaan jarak jauh. Pemain yang memiliki kemahiran seperti Toni akan bertindak sebagai box to box midfielder dalam sesebuah pasukan dan buat masa sekarang United tidak memiliki pemain seperti itu. Statistik permainannya sepanjang 90 minit ketika berdepan Schalke 04 dalam saingan Bundesliga Ahad lalu membuktikan mengapa Moyes begitu berminat memburu khidmatnya. Sepanjang 90 minit, Toni melakukan 162 sentuhan (bola) manakala ketepatan hantarannya pula mencapai 93%. 162 merupakan antara catatan tertinggi di Bundesliga kerana selain Toni hanya ada dua pemain yang berjaya melepasi angka 150, siapa lagi kalau bukan dua rakan sepasukannya iaitu Thiago Alcantara dan Bastian Schweinsteiger.

Bukan hanya ketika berdepan Schalke kerana Toni sering melakukan purata 100 sentuhan dalam setiap perlawanan dan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya antara yang tertinggi dalam semua kejohanan. Persembahan terbaik Toni musim ini pada pandangan saya ialah ketika beliau membantu Bayern menewaskan Manchester City 3-1 dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Stadium Etihad (3 Oktober) dan ketika berdepan Arsenal di Stadium Emirates, 20 Februari lalu. Mungkin anda akan mengatakan bahawa corak permainan Bayern di bawah kendalian Pep Guardiola (yang terkenal dengan tiki-takanya) membolehkan Toni mencipta statistik seperti itu, dan saya bersetuju dengan anda. Bagaimana pula dengan kemampuan Toni melakukan 21 penampilan dari 23 perlawanan liga setakat ini (17 daripadanya bermula sebagai starter) ketika skuad Die Roten dilimpahi dengan bakat-bakat hebat di bahagian tengah? Tidakkah itu cukup untuk membuktikan kualiti yang ada pada Toni? Persembahan United ketika di Athens minggu lalu membuktikan mengapa pemain seperti Toni diperlukan Moyes dalam senarai kesebelasan utamanya. Bagaimanapun seperti yang pernah saya sebutkan tadi, selepas melihat apa yang berlaku ke atas Fellaini dan Kagawa, jangan salahkan saya jika saya sangsi bahawa kehadiran Toni mampu menyelesaikan masalah di bahagian tengah United. Moyes lebih berminat meletakkan Kagawa di bangku simpanan, pembelian Fellaini sudah mula disebut ramai pihak sedang menuju kegagalan manakala masih terlalu awal untuk menilai sumbangan Mata, jadi ada jaminankah bahawa Moyes mampu menggunakan sepenuhnya bakat Toni untuk meningkatkan kekuatan bahagian tengah pasukannya? Selain itu akan timbul juga beberapa persoalan seperti adakah sistem permainan United akan berubah dengan kehadiran Toni, siapa yang akan diletakkan sebagai rakan gandingannya, formasi apa yang bakal digunakan nanti atau sanggupkah Moyes menghentikan kebiasaan menggunakan dua pemain sayap dalam taktikal permainannya? Persoalan ini akan hanya terjawab jika Moyes berjaya mendapatkan Toni dan beliau pula masih kekal sebagai pengendali United musim depan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

03 Mac 2014

MOYES...SETEGUH MANAKAH KITA MAMPU BERDIRI DI BELAKANGNYA?

Sudah lima hari berlalu sejak kekalahan kepada Olympiacos dalam saingan kalah mati (pusingan 16 pasukan) Liga Juara-Juara, namun kekecewaan itu masih saya rasai hingga ke hari ini.  Saya tidak tahu apa perasaan anda tetapi kecewa dan marah adalah dua perkataan paling sesuai untuk menggambarkan apa yang saya rasakan selepas melihat barisan The Red Devils kecundang di bumi Greece Rabu lalu. Bukannya saya tidak boleh menerima hakikat kekalahan, tetapi cara United dikalahkan, permainan yang ditunjukkan, prestasi keseluruhan serta pemilihan pemain untuk kesebelasan utama menyebabkan saya berasa cukup kecewa. Ini bukanlah United yang sebenarnya malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa pusingan kalah mati (16 pasukan) seolah-olah 'terlalu besar' buat anak-anak buah David Moyes. Suka atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa ini adalah persembahan terburuk United di pentas Eropah.

Jika seorang atau dua pemain bermain di bawah prestasi sebenar itu adalah perkara lumrah dalam bolasepak tetapi jika keseluruhan pasukan bermain dengan buruk, siapakah yang perlu tampil ke hadapan dan memikul tanggungjawab ini? Kelompok yang mengakui bahawa mereka adalah penyokong 'sejati' United masih lantang mengatakan Moyes perlu diberikan peluang dan masa untuk membuktikan kredibilitinya di samping menjadikan tempoh 'peralihan' sebagai penyebab kelab berada di kedudukan sekarang. Bagaimanapun saya yakin kelompok itu semakin mengecil ketika Moyes sendiri terpaksa berdepan tekanan demi tekanan akibat prestasi buruk yang dipamerkan United musim ini sejak beliau mengambilalih tugas dari Sir Alex Ferguson Jun lalu. Ada juga khabar angin mengatakan bahawa kelab sedang mempertimbangkan pemecatan Moyes dengan kemungkinan Ryan Giggs dan Phil Neville dilantik sebagai pengganti sementara. Adakah bakat serta keupayaan Moyes selaku pengurus cuma terbatas untuk kelab kelas pertengahan seperti Everton dan bukannya untuk kelab besar seperti United?

Saya tidak nafikan pencapaian cemerlang Moyes sepanjang 11 tahun mengemudi Everton walaupun dibekalkan dengan bajet kewangan terhad tetapi Roberto Martinez selaku pengganti beliau juga apa kurangnya. Pada musim pertamanya di Goodison Park, Martinez setakat ini boleh diberikan pujian kerana berjaya mengekalkan prestasi Everton dalam saingan liga malah pada satu ketika berjaya meletakkan kelab Merseyside itu di kelompok empat teratas. Jika mahu diambilkira faktor peralihan era, Everton di bawah kendalian Martinez sepatutnya berada di kedudukan kelompok terbawah bukan seperti sekarang (tangga keenam liga). Tambahan pula di awal musim mereka kehilangan beberapa tonggak utama pasukan seperti Marouane Fellaini dan Nikica Jelavic. Ringkasnya prestasi Everton 'tidak jatuh' biarpun kelab itu ditinggalkan Moyes dan ditangani oleh pengendali baru yang sudahpun membuktikan kebolehannya apabila mengemudi Wigan Athletic menjulang Piala FA musim lalu.

Okey tinggalkan dulu cerita Martinez dan Everton kerana saya ingin melihat sejauh mana penyokong-penyokong mampu bersabar dengan mutu kerja yang dilakukan Moyes setakat ini. Saya percaya kelompok penyokong-penyokong yang tidak berpuashati dengan Moyes semakin membesar dari hari ke hari jika pasukannya terus dengan prestasi hambar seperti yang mereka pamerkan di Stadio Georgios Karaiskaki Rabu lalu.  Saya tidak meminta anda bersetuju dengan saya tetapi Moyes hingga setakat ini boleh dianggap gagal menguruskan kelab besar seperti United. Tidak perlu menunggu sehingga musim depan untuk mengukur key performance index (KPI) Moyes kerana penilaian terhadap beliau sepatutnya sudah bermula sejak hari pertama beliau memulakan tugasnya sebagai pengurus United. Di atas padang, taktikal dan pemilihan pemain yang dilakukan Moyes sering dipertikaikan ramai pihak, manakala di luar padang pula beliau dikatakan gagal meningkatkan moral pemain-pemainnya yang memang bukan rahsia lagi sedang menjunam saat ini.

Pemain-pemain berpengalaman United seperti Rio Ferdinand pernah secara terbuka mempertikaikan cara Moyes memilih pemain dalam satu-satu perlawanan manakala yang terbaru giliran Robin Van Persie pula mengkritik rakan-rakan sepasukannya bermain sebagai penyebab mengapa beliau sukar menjaringkan gol. Saya percaya situasi seperti ini tidak akan berlaku di era Sir Alex, dan jika berlaku sekalipun pemain terbabit sudah tentu tahu apa yang bakal menanti mereka. Saingan musim ini kian menuju penamatnya dan dengan baki 11 perlawanan yang ada serta ketinggalan pula 12 mata di belakang kelab tangga keempat (Manchester City), kelibat skuad The Red Devils hampir pasti tidak akan dapat kita saksikan di Liga Juara-Juara musim hadapan. United sudah terkeluar dari sebarang perebutan trofi di peringkat domestik tetapi masih bersaing di Liga Juara-Juara sekaligus menjadikan misi di Eropah sebagai satu-satunya peluang buat Moyes menutup mulut pengkritik-pengkritiknya.

Bagaimanapun selepas menyaksikan persembahan barisan pemain-pemainnya di Athens minggu lalu, apa yang boleh saya katakan adalah kita tidak sepatutnya memasang angan-angan terlalu tinggi dan hanya keajaiban besar sahaja mampu membawa United beraksi di Estadio da Luz, 24 Mei nanti. Melihat prestasi yang dipamerkan Real Madrid, Bayern Munich, Barcelona dan Paris St Germain menyebabkan United kelihatan begitu 'kerdil' dan sukar digambarkan bagaimana agaknya nasib anak-anak buah Moyes jika berdepan empat pasukan ini. Saya berharap apa yang saya sebutkan ini silap dan kata-kata Moyes bahawa keajaiban yang dilakukan Liverpool pada 2005 turut mampu diulangi pasukannya bukan sekadar cakap kosong. Kelab sudahpun mengeluarkan kenyataan bahawa tidak mungkin Sir Alex akan keluar dari persaraan untuk menyelamatkan United tetapi itu juga tidak bermakna Moyes akan terselamat. Moyes pada pandangan saya cukup beruntung kerana berada di Old Trafford, bukannya di Stamford Bridge atau Santiago Bernabeu.

Jika Moyes berada di dua tempat yang saya sebutkan tadi, saya yakin Chelsea atau Real Madrid tidak akan menunggu hingga liga sudah berlangsung lebih separuh musim untuk memecat beliau. Prestasi buruk yang dipamerkan United turut menarik perhatian mantan presiden Real Madrid, Ramon Calderon. Menurut Calderon yang pernah memegang jawatan presiden kelab dari penggal 2006 hingga 2009, memecat Moyes akan menjadi perkara utama dilakukannya jika pengendali itu berada di Madrid. “Saya akan memecat jurulatih jika Real Madrid menamatkan musim di posisi keenam dan gagal ke Liga Juara-Juara musim depan. Satu bencana jika kelab tidak layak beraksi di Liga Juara-Juara. Bukan hanya membabitkan wang yang anda perolehi di sana (Liga Juara-Juara) tetapi juga membabitkan penaja kelab”, kata Calderon. Nada sama juga turut disampaikan bekas pemain dan pengurus Chelsea, Gianluca Vialli.

Menurut Vialli beliau hairan melihat Moyes masih bertahan di kerusi pengurus biarpun United di bawah kendaliannya mempamerkan prestasi buruk. Bagaimanapun Vialli turut memuji kesabaran pemilik kelab ketika berdepan situasi seperti ini berbanding apa yang sering berlaku di Serie A. “David Moyes jika di Itali sudah tentu akan dipecat sebanyak tiga kali. Di Liga Perdana anda akan mendapati pemilik kelab memberikan tempoh yang lebih panjang untuk anda menyelesaikan masalah. Apa yang lebih penting pemilik kelab tidak berfikiran bahawa mereka lebih tahu tentang bolasepak berbanding pengurus”, kata Vialli. Seperti yang pernah saya sebutkan dalam artikel-artikel sebelum ini, membawa United layak ke Liga Juara-Juara musim depan adalah misi yang wajib disempurnakan oleh Moyes pada tahun pertamanya di Old Trafford manakala memenangi sebarang trofi adalah bonus tambahan kepada penyokong-penyokong United.

Agak memedihkan selepas melihat Sir Alex berjaya memadam dominasi Liverpool dan bertahun-tahun membina semula kelab hingga muncul kuasa dominan bolasepak Inggeris selama lebih dua dekad, segala usaha itu musnah dalam tempoh tidak sampai 9 bulan. Sepanjang tempoh 9 bulan Moyes mengendalikan pasukan, hingga sekarang saya masih tidak faham pemain jenis mana yang diinginkan beliau untuk membarisi kesebelasan utamanya. Ketika graf prestasi pemain-pemain seperti Ashley Young dan Tom Cleverley umpamanya semakin jatuh menjunam, beliau sebaliknya masih terus mahu memberikan kepercayaan dan meletakkan dua pemain ini dalam kesebelasan utamanya. Di Stadio Georgios Karaiskaki situasi ini berlaku sekali lagi, di mana Cleverley berjaya bertahan hingga minit ke-61 sebelum digantikan Shinji Kagawa manakala Young pula lebih bernasib baik apabila diberi peluang bermain selama 90 minit. Tiada idea untuk menyerang dari tengah dengan menjadikan bahagian sayap sebagai pembekal utama hantaran-hantaran ke arah pintu gol lawan.

Cleverley sebelum ini antara pemain yang saya harapkan akan menjadi aset masa depan kelab namun prestasi yang dipamerkannya dalam tempoh dua musim terakhir cukup membimbangkan saya. Kemuncaknya apabila peminat-peminat bolasepak England melancarkan petisyen agar Cleverley tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 berikutan prestasi buruknya bersama United. Bukan hanya Cleverley, malah sebahagian besar pemain-pemain utama United sebenarnya tidak bermain sebagaimana mereka patut bermain, manakala pelaburan musim panas sebanyak £27 juta ke atas Marouane Fellaini pula dilabelkan ramai pihak sedang menuju kegagalan. Saya tidak pernah bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa prestasi menjunam United musim ini disebabkan sebahagian besar tonggak utama pasukan sudah berada di titik akhir karier mereka atau lebih tepatnya Moyes mewarisi skuad pincang dari Sir Alex. Alasan seperti itu saya anggap digunakan sebagai jalan pintas untuk menutup kelemahan Moyes.

Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra dan Michael Carrick pada pandangan saya masih boleh memberikan sumbangan besar buat pasukan untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi tetapi pengurus perlu bijak melakukan penggiliran pemain supaya kecergasan veteran seperti mereka sentiasa berada pada tahap terbaik. Sir Alex sudah membuktikannya ke atas Ryan Giggs dan Paul Scholes hinggakan kedua-dua lagenda ini masih mampu memberikan aksi terbaik mereka setiap kali diturunkan pada usia mencecah angka hampir 40 tahun. Jadi dimanakah silapnya? Benarkah prestasi veteran seperti Vidic, Carrick, Evra dan Ferdinand menjadi penyebab kepada 'kejatuhan' United, manakala pelapis-pelapis yang lain seperti Phil Jones, Chris Smalling, Jonny Evans, Tom Cleverley atau Alexander Buttner masih belum mampu memikul tanggungjawab dalam kesebelasan utama United? Fellaini pula masih belum menunjukkan potensi sebenarnya walau sudah lapan bulan berada di Old Trafford dan dalam masa yang sama kita juga tidak boleh mengharapkan apa-apa keajaiban dari Juan Mata memandangkan pemain Sepanyol itu baru enam minggu menyertai kelab.

Bagaimana pula dengan pengurus? Adakah apa yang dilakukan Moyes baik ketika di dalam mahupun luar padang sejak Jun lalu menggambarkan bahawa beliau sedang menguruskan sebuah kelab terbesar di dunia? Persembahan di Athens adalah satu dari beberapa siri permainan buruk yang dipamerkan United musim ini. Anda mahu meletakkan kesalahan ini di bahu pemain? Ya, pemain perlu dipertanggungjawabkan tetapi pengurus/jurulatih adalah individu yang turut memainkan peranan penting di sebalik jatuh bangunnya sesebuah pasukan. Mana mungkin 11 pemain boleh beraksi di tengah padang tanpa arahan, panduan dan taktikal permainan yang di rancang oleh seorang individu bernama pengurus/jurulatih. Anda boleh katakan supaya kita terus bersabar dan memberikan peluang kepada Moyes sepertimana layanan yang diterima Sir Alex 28 tahun lalu. Bagaimanapun kita juga perlu mengakui bahawa dunia bolasepak sudah jauh berubah berbanding 20 atau 30 tahun silam. Maaf jika saya katakan bahawa pemikiran seperti itu sudah tidak lagi sesuai digunakan ketika Chelsea, Manchester City, Arsenal, Tottenham Hotspurs dan Liverpool semakin jauh meninggalkan kita.

Adakah kita perlu menunggu selama tiga atau empat musim sebelum Moyes boleh dihakimi? Saya yakin kita tidak sesabar itu malah pemilik kelab juga tidak mungkin akan menunggu hingga tiga musim untuk memecat pengurus jika mereka terbukti gagal melaksanakan tugasnya. Sir Alex pada perlawanan terakhirnya di Old Trafford berpesan kepada penyokong-penyokong supaya berdiri teguh menyokong Moyes dari belakang, dan sudah tentu saya tidak akan pernah melupakan detik tersebut kerana saya juga antara yang menyokong pemilihan Moyes sebagai pengurus United seterusnya. Bagaimanapun selepas melihat hasil kerja beliau dari Jun hingga sekarang, saya tertanya-tanya berapa ramai lagikah yang masih ada di belakang beliau untuk terus memberikan sokongan? Saya menyokong dan meminati Manchester United, tetapi jika ada individu yang menyebabkan United 'rosak', beliau harus pergi. Dari skuad juara yang cukup digeruni The Red Devils kini semakin rosak dan saya berharap masih belum terlambat untuk kerosakkan ini segera diperbaiki.

Saya pernah katakan sebelum ini bahawa slot Liga Juara-Juara musim depan adalah misi paling ideal untuk dilaksanakan Moyes pada musim pertamanya di Old Trafford dan sepertimana kata Ramon Calderon, kegagalan beraksi di sana adalah bencana buat kelab. Adakah anda berpuas hati melihat kelab besar seperti United menamatkan saingan liga musim ini di tangga kelima, keenam atau ketujuh dan beraksi di Liga Europa musim depan? Ron Atkinson pernah diberikan tanggungjawab selaku pengendali United selama lima musim (1981-1986) dan dalam tempoh tersebut beliau hanya mampu menghadiahkan dua trofi utama (Piala FA 1983, 1985) kepada kelab sebelum digantikan Sir Alex. Adakah tempoh dan peluang yang sama juga patut diberikan kepada Moyes sebelum penilaian sebenar boleh dilakukan terhadap beliau? Jika Moyes masih kekal sebagai pengurus United musim depan, saya berharap beliau membuktikan kepada pengkritik-pengkritiknya bahawa beliau adalah pengganti paling tepat kepada kekosongan yang ditinggalkan Sir Alex, bukan Juergen Klopp, Pep Guardiola ataupun Jose Mourinho. Berharaplah agar kita tidak perlu menerima nasib yang sama sepertimana yang menimpa penyokong-penyokong Liverpool selama ini dan berharap jugalah bahawa Sir Alex sudah memilih pengganti yang tepat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan beliau. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

25 Februari 2014

£300 RIBU...BERBALOIKAH UNTUK SEORANG PEMAIN BERNAMA ROONEY?

Tiada berita paling besar musim ini selain kejayaan kelab mengekalkan Wayne Rooney hingga 2019 sekaligus menamatkan segala teka-teki berhubung masa depan pemain itu di Old Trafford. Saya akui kejayaan memancing Juan Mata Januari lalu satu berita yang cukup menggembirakan tetapi tiada detik yang lebih hebat selain menyaksikan Rooney meletakkan tandatangannya di atas dokumen kontrak baru. Tiada pertikaian bahawa Rooney adalah tonggak utama pasukan sejak dia tiba di Old Trafford hampir sepuluh tahun lalu, jadi tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan sanggup melakukan apa saja bagi memastikan dia terus kekal bersama kelab. Ketika kelab berdepan prestasi kurang menyakinkan musim ini, tugas mengekalkan pemain terbaik seperti Rooney bukanlah sesuatu yang mudah dan untuk itu pujian harus diberikan kepada David Moyes atas kejayaan beliau 'memaksa' Rooney menandatangani perjanjian kontrak baru. Prestasi kelab musim ini juga menyebabkan saya pada awalnya kurang yakin Rooney mampu dikekalkan terutamanya selepas membaca banyak laporan tentang minat kelab-kelab gergasi Eropah seperti Real Madrid, Chelsea dan Paris St Germain yang sanggup 'pecah tabung' demi mendapatkan khidmat Rooney. Pemain kelas dunia seperti Rooney akan menjadi aset berharga buat mana-mana kelab terbaik Eropah jadi tidak hairanlah mengapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini namanya sering dijadikan tajuk utama akhbar setiap kali pasaran perpindahan pemain dibuka. Rooney adalah nama besar yang bermain untuk kelab besar, maka atas sebab itulah mengapa spekulasi yang membabitkan masa depannya bersama kelab sering dijadikan tajuk paling hangat untuk dibahaskan oleh penganalisa bolasepak, peminat-peminat dan media. Tiada siapa boleh melupakan berita gempar empat tahun lalu tentang ancaman Rooney yang mahu meninggalkan United kerana kurang yakin dengan keupayaan kelab memberikan saingan kepada pesaing-pesaing lain. Tindakan Rooney dikecam penyokong-penyokong United dan tawaran gaji £250 ribu seminggu akhirnya menyebabkan dia melakukan pusingan 'U' dalam tempoh 24 jam.

Situasi hampir sama berlaku lagi tahun lalu ketika kelab sedang sibuk melakukan persiapan pra musim. Sejak musim lalu lagi Rooney sudah digambarkan kurang gembira kerana sering diketepikan Sir Alex Ferguson dari kesebelasan utama dan kemuncak kekecewaannya tercetus apabila Moyes secara terbuka mengatakan bahawa Robin Van Persie akan memainkan peranan utama selaku penggempur United musim ini. Rooney tidak ikut serta dalam jelajah pra musim United di benua Asia dan Australia atas alasan kecederaan sekaligus menguatkan lagi desas desus bahawa dia akan meninggalkan Old Trafford. Jose Mourinho ketika itu berada di barisan paling hadapan dan tanpa berselindung mengumumkan bahawa beliau serius mahu membawa Rooney ke Stamford Bridge. Arsene Wenger juga nampaknya tidak mahu ketinggalan apabila beliau mula memasang impian mahu melihat gandingan Rooney dan Oliver Giroud mengetuai barisan serangan The Gunners. Biarpun terpaksa berdepan kemelut masa depan Rooney ditambah pula dengan kegagalan beliau sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas lalu, Moyes akhirnya berjaya mengekalkan Rooney terutamanya dari godaan Mourinho sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi. Walaupun berjaya mengekalkan Rooney, Moyes sebenarnya masih belum boleh menarik nafas lega selagi beliau tidak berjaya mengikat pemain itu dengan kontrak baru. Selagi Rooney tidak diikat untuk jangkamasa panjang, selagi itulah minat dari pesaing-pesaing lain terhadapnya akan terus datang ditambah pula dengan prestasi yang ditunjukkan kelab ketika ini memungkinkan Rooney memilih haluan baru. Kejayaan menandatangani Mata saya anggap satu isyarat kepada Rooney bahawa di sebalik prestasi tidak konsisten The Red Devils, kelab masih memiliki keupayaan dan mampu berbelanja besar untuk menguatkan pasukan.

Pada usia 28 tahun dan dengan status yang dimilikinya, sudah tentu Rooney mahu memenangi seberapa banyak medal kejuaraan sebelum bersara. Bagaimanapun dengan situasi kelab yang sedang melalui 'tempoh peralihan' di bawah pengendali baru, mengekalkan aset terbaik kelab bukanlah satu tugas yang mudah. Tidak syak lagi bahawa Rooney adalah tenaga penting dalam kesebelasan utama United melalui kerja keras yang dipamerkannya setiap kali dia diturunkan. Maka atas sebab itulah mengapa Sir Alex dan kini Moyes pula sedaya upaya cuba memastikan Rooney terus menyarung jersi United. Selepas dihidangkan dengan 'drama' yang panjang, kita akhirnya menerima khabar gembira bahawa Rooney setuju kekal bersama kelab hingga 2019 dan sudahpun menandatangani kontrak baru Jumaat lalu. Kita memang mengharapkan Rooney kekal tetapi dalam masa yang sama berita ini juga agak mengejutkan saya kerana saya sendiri tidak meletakkan harapan terlalu tinggi mahu melihat dia terus menyarung jersi United musim depan. Rooney sedang berada di puncak kariernya manakala reputasi, bakat serta kebolehannya membolehkan dia pada bila-bila masa menyertai kelab hebat seperti Real Madrid atau Barcelona dengan menjadikan Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi sebagai rakan sepasukannya. Memilih untuk meninggalkan United adalah satu keputusan yang besar dan memilih kekal juga adalah keputusan besar terpaksa dilakukan Rooney. Rooney berpeluang menikmati cabaran baru ketika kariernya sedang berada di puncak tetapi  dia melepaskan peluang terbaik itu dengan memilih untuk terus menjadikan Tom Cleverley, Nani atau Antonio Valencia sebagai rakan sepasukannya. Kelab berdepan detik sukar ketika ini, mungkin yang paling sukar dalam tempoh lebih sedekad ketika Moyes sendiri masih tercari-cari ramuan terbaik untuk kembali menjadikan United pasukan digeruni. Tiada jaminan bahawa Moyes akan menjadikan United lebih sukses musim depan, yang ada mungkin cuma janji-janji bahawa kelab akan lebih kompetitif berbanding sekarang bagi memastikan Rooney terus setia menyarung jersi kelab.

Ketika United berpeluang mengaut keuntungan berlipat kali ganda jika bersetuju menjual Rooney kepada Real Madrid, Chelsea atau Paris St Germain, mereka sebaliknya memilih untuk mengeluarkan pelaburan besar dengan membayar gaji tinggi setiap minggu kepada pemain itu. Melihat kepada segala sumbangan yang diberikannya sepanjang bersama pasukan, tidak sukar untuk memahami mengapa pihak pengurusan sanggup memenuhi segala tuntutan Rooney demi memastikan dia terus kekal bersama kelab. Walaupun sering dilabel tidak setia, mata duitan dan tidak menghormati kelab, kita juga tidak boleh menafikan segala sumbangan Rooney selama hampir sepuluh musim dia menyarung jersi United. Jangan lupakan bahawa dalam tempoh itu Rooney sudah membantu United memenangi (5) kejuaraan Liga Perdana, (2) kejuaraan Piala Liga, (3) kejuaraan Perisai Komuniti, (1) kejuaraan Liga Juara-Juara dan (1) kejuaraan Kelab Dunia FIFA. Saya tidak mahu meletakkan Rooney sebaris dengan Bryan Robson, Ryan Giggs, Paul Scholes, David Beckham, Gary Neville atau Ole Gunnar Solskjaer kerana jika mahu diukur tahap kesetiaan, Rooney bukanlah contoh terbaik. Maaf jika saya katakan bahawa Rooney bukanlah jenis pemain yang setia malah saya lebih menyanjungi sikap Steven Gerrard terhadap Liverpool berbanding apa yang ditunjukkan Rooney terhadap United. Ketepikan sebentar tahap kesetiaan Rooney kerana mungkin dalam kamus bolasepak moden perkataan 'setia' tidak lagi sesuai digunakan, tetapi dengan segala sumbangan dan peranan yang dimainkannya selama ini, Rooney memang berhak menikmati apa yang sedang dinikmatinya sekarang. Tiada keraguan bahawa Rooney adalah idola di Old Trafford dan antara pemain yang saya harap akan menamatkan kariernya bersama kelab. Mungkin jawatan ketua pasukan yang bakal dikosongkan Nemanja Vidic akhir musim nanti akan menjadikan Rooney pemain lebih 'bertanggungjawab'. Misi kelab mengekalkan Rooney sudah tercapai, kini terpulang kepada pemain itu untuk membuktikan gaji sebanyak £300 ribu seminggu yang diterimanya berbaloi dengan sumbangannya di atas padang. Selepas segala kontroversi yang melanda kariernya bersama kelab, anda boleh katakan apa sahaja tentang Rooney, tetapi saya lebih gemar menyebutnya sebagai pejuang. Glory Glory Manchester United!!! – A.J