13 Mac 2014

LIVERPOOL DAN OLYMPIACOS...MENGUJI SEJAUH MANA KEBERANIAN MOYES

Masih ada sinar pada baki saingan musim ini jika persembahan keseluruhan Manchester United di The Hawthorns mahu dijadikan ukuran. Kemenangan menyakinkan yang dilakar ke atas West Bromwich itu mampu meredakan sedikit tekanan di bahu David Moyes selepas beliau dikritik hebat berikutan persembahan tidak bermaya yang di pamerkan barisan pemain-pemainnya dalam saingan Liga Juara-Juara 26 Februari lalu. Seperti yang anda tahu, West Bromwich muncul antara pasukan yang berjaya menewaskan United di Old Trafford musim ini, jadi kemenangan Sabtu lalu bukan hanya berkisar kepada balas dendam tetapi apa yang lebih penting ialah tiga gol yang dihasilkan The Red Devils dalam perlawanan itu. Ini merupakan kali pertama United menjaringkan tiga gol ke gawang lawan sejak kali terakhir mereka melakukannya pada 26 Disember 2013 ketika menewaskan Hull City di gelanggang lawan. Selepas 11 perlawanan (liga), barisan hadapan United yang diketuai Wayne Rooney akhirnya kembali menemui sentuhan gol di hadapan gawang lawan dan sudah tentu juga ini petanda bagus sebelum mereka berdepan Liverpool Ahad ini dan Olympiacos awal pagi Khamis nanti. Ada tanda positif yang ditunjukkan barisan The Red Devils sepanjang 90 minit permainan di The Hawthorns, jadi sudah tentu kita berharap agar trend ini berterusan pada perlawanan-perlawanan seterusnya. Kemenangan sudah tentu sesuatu yang menggembirakan tetapi selain dari itu saya lebih suka melihat keseluruhan kerja yang dilakukan Moyes Sabtu lalu. Di Athens, Moyes terlalu bergantung kepada fungsi dua pemain sayap (Ashley Young dan Antonio Valencia) setiap kali melancarkan serangan hingga menyebabkan beliau dilabelkan sebagai tiada idea merencanakan permainan dan silap memilih kesebelasan utamanya.

Mungkin selepas mengambil ikhtibar atas kesilapan yang beliau lakukan, Moyes menggunakan formasi 4-2-3-1 di The Hawthorns  dengan meletakkan gandingan Wayne Rooney, Juan Mata dan Adnan Januzaj di belakang Robin Van Persie manakala Michael Carrick dan Marouane Fellaini membentuk gandingan dua pemain tengah. Meskipun itu bukanlah persembahan terbaik anak-anak buah Moyes musim ini tetapi sekurang-kurangnya corak permainan mereka tidak lagi dilabelkan sebagai mudah dibaca serta membosankan dengan terlalu bergantung kepada hantaran-hantaran dari sebelah kiri dan kanan. Jangan mudah berpuashati kerana masih banyak kerja perlu dilakukan dan sudah tentunya kita berharap agar rentak kemenangan ini mampu diteruskan ketika berdepan Liverpool dan Olympiacos nanti. Seperti yang saya katakan tadi, ada perubahan kepada taktikal dan senarai pemain yang diturunkan Moyes di The Hawthorns berbanding di Athens tetapi adakah 'formula' ini akan dikekalkan beliau pada perlawanan-perlawanan seterusnya. Semasa menentang Crystal Palace 23 Februari lalu, Moyes buat pertama kalinya menggunakan kombinasi Carrick/Fellaini di bahagian tengah dengan Rooney, Mata dan Januzaj pula bermain di hadapan mereka (dalam formasi 4-2-3-1). Permainan United saya lihat bergerak dengan lancar menerusi formasi ini tetapi agak menghairankan hanya tiga hari selepas itu Moyes kembali kepada kebiasaan menggunakan dua pemain sayap semasa aksi di Athens. Hasilnya permainan United kembali hambar di mana Carrick terpaksa bergelut sepanjang permainan untuk menutup ruang di bahagian tengah ketika Tom Cleverley 'hilang arah' sepanjang 61 minit aksinya di tengah padang.

Young dan Valencia yang diharapkan Moyes boleh membekalkan hantaran-hantaran berkualiti kepada Rooney dan Van Persie gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dan akibatnya gerakan-gerakan serangan United mudah di patahkan lawan. Mungkin menyedari kesilapan beliau semasa di Athens, Moyes kembali menggunakan Carrick, Fellaini, Rooney, Mata dan Januzaj dalam formasi permainannya dalam misi memburu kemenangan di The Hawthorns. Hasilnya anda sendiri dapat saksikan dan permainan United kembali seimbang. Saya tidak nafikan kekuatan United ketika di bawah kendalian Sir Alex Ferguson ialah menerusi gerakan-gerakan dan hantaran-hantaran dari kedua-dua bahagian sayap, tetapi dalam situasi yang dialami United sekarang, mencari kemenangan adalah lebih penting berbanding cuba mempertahankan falsafah permainan. Kekalahan kepada Olympiacos amat memeritkan bukan sahaja kepada pemain tetapi juga penyokong. Kecewa bukan kerana kalah tetapi kecewa dengan prestasi keseluruhan pasukan, barisan pemain yang diturunkan, formasi yang digunakan dan falsafah permainan Moyes sendiri. Mujurlah kekecewaan kita segera terpadam di The Hawthorns apabila United membuktikan bahawa mereka adalah pasukan berbeza berbanding di Athens. Fellaini yang tidak beraksi ketika menentang Olympiacos mula memberikan gambaran bahawa beliau boleh membentuk gandingan ampuh di bahagian tengah bersama Carrick. Walaupun sering dilabelkan sebagai 'pembelian yang gagal', Fellaini terbukti berkesan ketika berdepan West Bromwich menerusi peranan yang dimainkannya di bahagian tengah. Selain bertindak sebagai pelindung kepada back four United, Fellaini juga bijak memecah bahagian tengah lawan hingga membolehkan Carrick  bebas mengatur gerakan tanpa terlalu terikat dengan peranan yang biasa dimainkannya sebagai defensive midfielder.

Ringkasnya kombinasi Fellaini/Carrick turut membolehkan tiga pemain di hadapan mereka (Rooney, Januzaj dan Mata) bergerak lebih bebas ketika menyerang manakala Van Persie pula sepatutnya tidak perlu merungut lagi selepas melihat kerjasama yang diberikan rakan-rakan sepasukan kepadanya sepanjang 63 minit aksinya di The Hawthorns. Keberanian Moyes menggunakan Chris Smalling dan Phil Jones sebagai gandingan di benteng tengah United juga perlu diberikan pujian. Dengan Nemanja Vidic yang sudah sah akan menyertai Inter Milan musim depan, saya kira sudah tibalah masanya untuk Moyes memberikan lebih kepercayaan dan peluang kepada Smalling, Jones atau Jonny Evans mengemudi benteng tengah pada baki saingan musim ini. Persembahan United Sabtu lalu memberikan tanda positif dan sedikit harapan dalam menghadapi baki 10 perlawanan liga selepas ini. Kunjungan Liverpool dan Olympiacos ke Old Trafford bakal memperlihatkan sejauh mana keberanian Moyes untuk terus menggunakan formasi 4-2-3-1 bertunjangkan kepada kekuatan yang ada pada Fellaini, Carrick, Januzaj, Rooney dan Mata. Mata (jika tidak mengalami kecederaan) akan diturunkan ketika berdepan Liverpool tetapi tidak akan beraksi saat Olympiacos berkunjung ke Old Trafford nanti. Jadi pemain manakah yang akan diletakkan Moyes sebaris bersama Januzaj dan Rooney selaku pengganti Mata? Atau adakah beliau akan kembali menggunakan dua pemain sayap sebagai penggerak serangan-serangan United seperti yang berlaku di Athens bulan lalu? Kunjungan Liverpool dan Olympiacos saya nantikan penuh teruja bukan hanya disebabkan dua perlawanan itu perlu dimenangi United, tetapi lebih dari itu saya ingin melihat sejauh mana keberanian Moyes untuk keluar dari 'kebiasaan' dan mengubah formasi serta taktikal permainan pasukannya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan