Toni Kroos…nama yang memang sedang hangat
diperkatakan penyokong-penyokong Manchester United ketika ini. Spekulasi
bertiup kencang mengatakan bahawa David Moyes begitu nekad memburu tandatangan
pemain antarabangsa Jerman ini pada musim panas nanti terutamanya selepas
beliau dikritik hebat akibat prestasi tidak menentu United sejak mengambilalih
tugas dari Sir Alex Ferguson Jun lalu. Kelemahan di bahagian tengah sering
dijadikan sebab mengapa United tidak segarang dulu biarpun Moyes sudah
berbelanja sebanyak £62 juta ketika mendapatkan Marouane Fellaini dan Juan Mata
selain turut memiliki Shinji Kagawa, Darren Fletcher, Tom Cleverley dan Michael
Carrick. Fellaini dan Mata sebelum itu pernah disebut-sebut sebagai pemain yang
mampu menyelesaikan segala masalah di bahagian tengah United, dan kini giliran Toni
pula diberikan gambaran yang sama. Fellaini belum memberikan impak diharapkan
selain masih bergelut menyesuaikan diri dengan corak permainan rakan-rakan
sepasukan barunya manakala masih terlalu awal untuk menilai sumbangan Mata
memandangkan bekas pemain tengah Chelsea itu baru menyertai kelab Januari lalu.
Toni seolah-olah sudahpun memberikan gambaran tentang masa depannya di Allianz
Arena ketika ditemubual majalah Kicker
tempohari sekaligus memberikan petanda bagus buat Moyes jika beliau benar-benar
serius mahu mendapatkan khidmat pemain itu. “Ini bukan semata-mata disebabkan
wang kerana itu bukanlah sikap sebenar saya. Namun saya juga berbohong kepada
anda jika mengatakan bahawa saya pergi bukan kerana wang”, kata Toni. Ketika
ditanya tentang Real Madrid dan Barcelona yang dikhabarkan turut berminat
mendapatkan khidmatnya, Toni menafikan perkara tersebut sekaligus menyaksikan
United mungkin tidak perlu berdepan saingan sengit dalam memburu tandatangan
pemain itu. Paling menarik apabila adik Toni (Felix) yang bermain untuk Werder
Bremen turut menghangatkan lagi spekulasi masa depan abangnya di Allianz Arena.
“Saya sudah bercakap dengan Toni tentang perpindahan ke Manchester United.
Secara peribadi United adalah kelab impian saya sejak kecil tetapi saya tidak
pernah cuba mempengaruhi Toni. Dia sudah pasti akan membuat keputusannya
sendiri”, kata Felix kepada Sky Sports.
Dari sudut kewangan, saya yakin United lebih
dari mampu membawa Toni keluar dari Allianz Arena terutamanya selepas melihat
kelab membelanjakan £62 juta untuk mendapatkan Fellaini dan Mata serta
memberikan kontrak lumayan kepada Wayne Rooney. Bagaimanapun saya masih sangsi
adakah pengurus (Moyes) mampu memaksimakan segala potensi dan kualiti yang ada
pada Toni untuk meningkatkan prestasi pasukannya selepas melihat apa yang
berlaku kepada Fellaini dan Kagawa. Toni sejak beberapa bulan lalu sering
digambarkan kurang gembira selepas permintaan kenaikan gajinya ditolak pihak
pengurusan Bayern sekaligus menyebabkan perbincangan kontrak baru untuk
mengekalkannya di Allianz Arena terbantut. Matthias Sammer (Pengarah Sukan
Bayern) cuba meredakan keadaan apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Toni tidak
akan ke mana-mana, tetapi saya percaya jika ada tawaran 'menggiurkan' dari
mana-mana kelab, Bayern sudah tentu tidak mampu mengekalkan pemain itu tambahan
pula kontrak Toni akan berakhir pada Jun 2015. Daily Mail dalam laporannya mengatakan bahawa United sanggup
menawarkan kepada Bayern hingga £40 juta agar mereka melepaskan Toni selain
tawaran gaji sehingga £250 ribu seminggu. Jika benar laporan tersebut mampukah
Bayern dan Toni menepis godaan ini? Bukan hanya kerana faktor wang yang
menyebabkan Toni kurang gembira, tetapi persaingan sengit di bahagian tengah
Bayern juga menjadi punca mengapa pemain itu dikatakan sudah mula mengintai
peluang menyertai kelab lain musim depan. Setakat ini hanya United dikhabarkan
muncul satu-satunya kelab yang serius memburu khidmat Toni tetapi saya yakin
persaingan akan terbuka sebaik sahaja saingan musim ini berakhir. Pemain dengan
kualiti seperti Toni sudah tentu akan menjadi aset penting kepada mana-mana pasukan,
jadi saya percaya akan ada beberapa lagi kelab besar Eropah menyertai United
memburu khidmat pemain ini. Sudah tentu juga jika Toni cemerlang bersama skuad
kebangsaan Jerman di pusingan akhir Piala Dunia 2014 nanti, tugas Moyes memburu
pemain ini akan menjadi semakin sukar.
Adakah memang benar kehadiran Toni (jika
Moyes berjaya menandatanganinya) akan menyelesaikan masalah United di bahagian
tengah? Jika soalan ini ditujukan kepada saya sudah tentu jawapan saya ialah
“Ya”. Aksinya ketika menentang Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara 20
Februari lalu adalah antara bukti terbaik mengapa Moyes mahu membawanya ke Old
Trafford musim depan. Tiada keraguan untuk saya mengatakan bahawa Toni akan
memberikan kekuatan tambahan kepada bahagian tengah United kerana kemampuannya
dan beliau sudah membuktikan kualitinya bersama Bayern ketika ini. Atas sebab
itu, maka tidak hairanlah jika dua orang kuat Bayern, (Matthias Sammer dan
Franz Beckenbauer) senada dalam usaha cuba mengekalkan Toni dan dilihat agak
bimbang kelab berdepan prospek kehilangan pemain itu musim depan. Ramai yang
mengatakan bahawa kelemahan ketara United ialah tiadanya pemain yang mampu
menggantikan tempat Paul Scholes selaku pemimpin di bahagian tengah sambil
bijak mengawal tempo permainan. Kehadiran Fellaini gagal menyelesaikan masalah
ini walaupun pada awalnya ramai pihak yakin bahawa bekas pemain Everton itu
boleh menampung kekosongan yang ditinggalkan Scholes. Toni pula adalah jenis
pemain yang memiliki mobiliti bagus di atas padang, berkemampuan melakukan
hantaran-hantaran berkualiti kepada barisan hadapan, boleh membantu benteng
pertahanan ketika bertahan selain kebolehan menghasikan gol menerusi percubaan
jarak jauh. Pemain yang memiliki kemahiran seperti Toni akan bertindak sebagai box to box midfielder dalam sesebuah
pasukan dan buat masa sekarang United tidak memiliki pemain seperti itu.
Statistik permainannya sepanjang 90 minit ketika berdepan Schalke 04 dalam
saingan Bundesliga Ahad lalu membuktikan mengapa Moyes begitu berminat memburu khidmatnya.
Sepanjang 90 minit, Toni melakukan 162 sentuhan (bola) manakala ketepatan
hantarannya pula mencapai 93%. 162 merupakan antara catatan tertinggi di
Bundesliga kerana selain Toni hanya ada dua pemain yang berjaya melepasi angka
150, siapa lagi kalau bukan dua rakan sepasukannya iaitu Thiago Alcantara dan
Bastian Schweinsteiger.
Bukan hanya ketika berdepan Schalke kerana Toni
sering melakukan purata 100 sentuhan dalam setiap perlawanan dan peratus
ketepatan hantaran yang dilakukannya antara yang tertinggi dalam semua
kejohanan. Persembahan terbaik Toni musim ini pada pandangan saya ialah ketika beliau
membantu Bayern menewaskan Manchester City 3-1 dalam saingan peringkat kumpulan
Liga Juara-Juara di Stadium Etihad (3 Oktober) dan ketika berdepan Arsenal di
Stadium Emirates, 20 Februari lalu. Mungkin anda akan mengatakan bahawa corak
permainan Bayern di bawah kendalian Pep Guardiola (yang terkenal dengan tiki-takanya)
membolehkan Toni mencipta statistik seperti itu, dan saya bersetuju dengan
anda. Bagaimana pula dengan kemampuan Toni melakukan 21 penampilan dari 23
perlawanan liga setakat ini (17 daripadanya bermula sebagai starter) ketika skuad Die Roten dilimpahi dengan bakat-bakat
hebat di bahagian tengah? Tidakkah itu cukup untuk membuktikan kualiti yang ada
pada Toni? Persembahan United ketika di Athens minggu lalu membuktikan mengapa
pemain seperti Toni diperlukan Moyes dalam senarai kesebelasan utamanya. Bagaimanapun
seperti yang pernah saya sebutkan tadi, selepas melihat apa yang berlaku ke
atas Fellaini dan Kagawa, jangan salahkan saya jika saya sangsi bahawa
kehadiran Toni mampu menyelesaikan masalah di bahagian tengah United. Moyes
lebih berminat meletakkan Kagawa di bangku simpanan, pembelian Fellaini sudah
mula disebut ramai pihak sedang menuju kegagalan manakala masih terlalu awal
untuk menilai sumbangan Mata, jadi ada jaminankah bahawa Moyes mampu menggunakan
sepenuhnya bakat Toni untuk meningkatkan kekuatan bahagian tengah pasukannya? Selain
itu akan timbul juga beberapa persoalan seperti adakah sistem permainan United
akan berubah dengan kehadiran Toni, siapa yang akan diletakkan sebagai rakan
gandingannya, formasi apa yang bakal digunakan nanti atau sanggupkah Moyes menghentikan
kebiasaan menggunakan dua pemain sayap dalam taktikal permainannya? Persoalan
ini akan hanya terjawab jika Moyes berjaya mendapatkan Toni dan beliau pula
masih kekal sebagai pengendali United musim depan. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan