13 September 2014

FORMASI, TAKTIK DAN SKUAD GALACTICOS VERSI VAN GAAL

Berita tentang kejayaan Manchester United mendapatkan khidmat Radamel Falcao adalah kejutan terakhir sebelum pintu perpindahan pemain musim panas ditutup. Falcao didatangkan ke Old Trafford dengan status pemain pinjaman, tetapi ramai pihak percaya di akhir musim nanti pemain antarabangsa Colombia itu akan diikat dengan kontrak tetap. Selepas berbelanja besar mendapatkan Ander Herrera, Luke Shaw, Marcos Rojo, Angel di Maria dan Daley Blind, tidak sukar untuk kita meneka mengapa pihak pengurusan United membawa masuk penyerang kelas dunia seperti Falcao sebagai pemain pinjaman dan bukannya dengan status pemain tetap. 152 juta (Pound) yang dibelanjakan United meletakkan mereka di tangga teratas sebagai kelab paling boros sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas ini, situasi yang sebenarnya cukup asing buat kita. Perbelanjaan besar yang dilakukan United kali ini juga menyebabkan pihak UEFA mengalihkan teropong mereka ke Old Trafford dan sudah tentu pihak pengurusan kelab sedar tentang hal ini. Bagi mengelakkan kelab dari melanggar peraturan Financial Fair Play akibat dari kegilaan mereka berbelanja, pihak pengurusan tiada jalan lain selain mendapatkan khidmat Falcao sebagai pemain pinjaman selama semusim membabitkan nilai 6 juta (Pound). Pada mulanya saya percaya tidak akan ada lagi pemain baharu yang dibawa masuk Van Gaal selepas kelab berjaya menandatangani Blind tetapi sangkaan saya sebenarnya meleset.

Rupa-rupanya nafsu berbelanja Van Gaal tidak terhenti setakat pembelian Blind dan tanpa diduga pada hari terakhir sebelum pintu perpindahan pemain ditutup, kita dikejutkan dengan berita ketibaan Falcao di kota Manchester. Van Gaal sudah menambah enam pemain berkualiti bagi meningkatkan kekuatan United musim ini, jadi sudah tentulah penyokong-penyokong juga mengharapkan aksi skuadnya di atas padang selepas ini setanding dengan nilai 152 juta (Pound) yang sudah beliau belanjakan. Dengan tambahan enam pemain dalam skuad utama yang bakal mengisi posisi di benteng pertahanan, tengah dan serangan, Van Gaal kini berpeluang memperbaiki kelemahan di posisi tersebut dan saya juga percaya beliau kini sudah pun memiliki kesebelasan impiannya. Sebelum ini saya pernah mengatakan tentang kemungkinan Van Gaal mengubah sistem permainan United dari 3-5-2 kepada 4-3-1-2 atau sistem lain yang beliau rasakan sesuai dengan aset yang dimilikinya ketika ini. Van Gaal sudah menggunakan sistem 3-5-2 dalam empat perlawanan United setakat ini (termasuk Piala Liga) dan dari tiga perlawanan liga, barisan pemainnya hanya mampu mengutip dua mata. Meskipun jentera United tampak seperti mampu menyesuaikan diri dengan baik menerusi sistem 3-5-2 yang digunakan Van Gaal dalam perlawanan-perlawanan pra musim mereka, rentak cemerlang itu bagaimanapun gagal diteruskan sebaik saingan kompetitif bermula.

Perbelanjaan besar yang dilakukan kelab musim panas ini mengejutkan kita dan lebih mengejutkan apabila tiga dari enam pemain yang di datangkan Van Gaal (Shaw, Rojo dan Blind) bermain di posisi yang sama iaitu pertahanan kiri. Saya tidak nafikan Rojo dan Blind merupakan pemain yang versatile. Selain boleh bertindak sebagai bek kiri, Rojo juga boleh diletakkan di posisi pertahanan tengah manakala tugas sebagai pemain tengah bertahan bukanlah terlalu asing buat Blind jika Van Gaal mahu menggunakan pemain ini di posisi tersebut. Walaupun Rojo seorang pemain dwifungsi (boleh bermain sebagai bek kiri dan pertahanan tengah), faktor ini tidak memadamkan tanda tanya dalam diri saya mengapa Van Gaal tidak menandatangani seorang pun pemain pertahanan tengah tulen bagi menggantikan tempat Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Adakah selepas ini Rojo akan digunakan Van Gaal sebagai pemain pertahanan tengah berbanding peranan yang biasa dimainkan pemain ini sebagai bek kiri ketika bersama skuad kebangsaan ataupun ketika bersama Sporting Lisbon? Lupakan dulu tentang tiadanya pemain pertahanan tengah tulen yang didatangkan Van Gaal bagi menggantikan tempat Ferdinand dan Vidic, kerana apa yang saya ingin bawakan kali ini ialah bagaimana agaknya sistem atau formasi permainan yang bakal digunakan beliau selepas perbelanjaan besar yang dilakukannya sepanjang musim panas ini.

Limpahan pemain berkualiti menerusi perbelanjaan besar yang sudah dikeluarkan kelab selain beberapa pemain yang boleh memegang lebih dari satu peranan membolehkan Van Gaal memiliki lebih banyak pilihan formasi selain dari 3-5-2 yang digunakan beliau sekarang. Amat menarik untuk kita saksikan adakah selepas ini Van Gaal akan merombak sistem permainan United dengan ketibaan Blind dan Falcao (dua pembelian terakhir yang dilakukan beliau) selain khidmat Rojo yang sudah boleh digunakan selepas masalah permit kerja pemain Argentina itu berjaya diselesaikan. Itu belum lagi mengambilkira pemain-pemain yang sedang menerima rawatan seperti Luke Shaw, Marouane Fellaini, Michael Carrick, Rafael da Silva dan Chris Smalling bakal kembali menyertai pasukan nanti. Jika Van Gaal mahu terus menggunakan 3-5-2 sebagai formasi pilihan utamanya, siapakah tiga pemain yang bakal beliau letakkan di benteng pertahanannya? Setakat ini hanya Phil Jones pada pandangan saya yang mampu menyesuaikan diri dengan baik dalam sistem tiga pemain pertahanan yang digunakan Van Gaal. Jones selesa beraksi di sebelah kanan dalam barisan tiga pemain pertahanan dan tanpa ragu-ragu saya meletakkan beliau sebagai pemain paling menonjol untuk United setakat ini. Evans walaupun pemain pertahanan paling kanan dan berpengalaman dalam skuad United nampaknya masih belum mampu keluar dari masalah konsentrasi dan konsistensi ketika perlawanan.

Beliau sering terkeluar dari posisinya ketika bertahan hingga menyebabkan benteng begitu terdedah manakala kesilapan-kesilapan mudah yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemain berpengalaman seperti beliau sering dieksploitasi lawan. Kesilapan terbaharu yang dilakukan Evans ialah ketika menentang MK Dons dalam saingan Piala Liga hingga menyebabkan gol pertama lawan terhasil. Akhirnya seperti yang anda tahu, United disingkir dari saingan Piala Liga dengan cara yang cukup mengaibkan oleh sebuah kelab dari Divisyen 3. Meskipun Van Gaal membawa masuk tiga pertahanan baharu (Shaw, Rojo dan Blind), kelab pada pandangan saya masih kekurangan kualiti di posisi pertahanan tengah selepas pemergian Ferdinand dan Vidic. Sekarang bukanlah masanya untuk meratap pemergian Ferdinand dan Vidic, tetapi jika Van Gaal mahu meletakkan Rojo di posisi pertahanan tengah, saya berharap pemain Argentina itu mampu menyesuaikan diri dengan peranan baharu yang bakal dimainkannya nanti. Lagipun posisi tersebut (centre back) bukanlah terlalu asing buat Rojo. Jika saya diberikan pilihan, saya lebih gemar menyaksikan United bermain dengan empat pemain pertahanan kerana itu lebih 'selamat' berbanding tiga yang digunakan sekarang. Pilihan saya bagi back four United ialah Rojo dan Jones bertindak sebagai centre back manakala Shaw pula memainkan peranan sebagai bek kiri dan Rafael da Silva di sebelah kanan.

Ketika Rojo sudah boleh beraksi selepas masalah permit kerja beliau berjaya diselesaikan, kita pula menerima berita bahawa Jones tidak akan bermain selama sebulan kerana masalah hamstring. Ketiadaan Jones sedikit mendukacitakan tetapi dalam pada itu kita juga menerima khabar gembira apabila Rafa dan Luke Shaw sudah kembali menyertai sesi latihan di Carrington. Walaupun saya lebih gemar melihat Van Gaal meletakkan empat pemain pertahanan di benteng, saya jangkakan perkara itu tidak akan berlaku esok ketika The Red Devils melayani kunjungan Queens Park Rangers. Saya yakin formasi 3-5-2 akan dikekalkan beliau sepertimana perlawanan-perlawanan sebelum ini dan jika itu berlaku, saya sudah dapat membayangkan kesebelasan utama yang bakal beliau turunkan esok. Di benteng pertahanan, saya jangkakan Van Gaal akan meletakkan Shaw, Rojo serta Rafa berikutan masalah kecederaan yang melanda Jones dan Smalling manakala agak sukar untuk meneka lima pemain yang bakal diletakkan Van Gaal di bahagian tengah. Andainya beliau mahu menurunkan Wayne Rooney, Radamel Falcao dan Robin Van Persie serentak, Rooney saya jangkakan bakal memainkan peranan di belakang dua penyerang (Falcao dan Van Persie) sebagai pengumpan. Jika itu berlaku, empat lagi slot di bahagian tengah bakal diisi Angel di Maria, Daley Blind, Antonio Valencia dan Ander Herrera.

Formasi apapun yang bakal digunakan Van Gaal ketika berdepan QPR nanti, tumpuan pastinya akan terarah kepada kelibat Radamel Falcao di barisan hadapan. Semua teruja menanti aksi sulung El Tigre dan saya juga teruja untuk menyaksikan akan adakah perubahan kepada bentuk serangan United dengan adanya penyerang kelas dunia seperti Falcao di barisan hadapan. Menyaksikan begitu banyak limpahan pemain berbakat dan kelas dunia dimiliki kelab ketika ini, saya percaya Van Gaal juga kini memiliki lebih banyak pilihan dalam merangka strategi dan sistem permainan yang ingin beliau gunakan dalam satu-satu perlawanan. Jika formasi 3-5-2 gagal berfungsi sepertimana yang beliau harapkan, Van Gaal boleh sahaja beralih kepada formasi 4-3-3 dengan meletakkan Falcao sebagai penyerang tunggal sementara Rooney dan Adnan Januzaj pula boleh bergerak dengan lebih bebas dari sebelah tepi. Pengurus England (Roy Hodgson) pernah dicadangkan supaya meletakkan Rooney di sebelah kiri sebelum mereka berdepan Switzerland dalam perlawanan kelayakan Euro 2016. Posisi di sebelah kiri sebenarnya bukanlah terlalu asing buat kapten England itu kerana pada musim 2008-09 ketika kelab memiliki kuartet penggempur berbisa (Cristiano Ronaldo, Carlos Tevez, Dimitar Berbatov dan Rooney), Sir Alex sering meletakkan Rooney di sebelah kiri dan beliau berjaya memainkan peranannya dengan baik di posisi tersebut.

Untuk itu tiada salahnya jika Van Gaal mahu melakukan pendekatan sama ke atas Rooney sepertimana yang pernah digunakan Sir Alex dulu. Jika Rooney pemain serba boleh di barisan hadapan, kehadiran Daley Blind menambahkan lagi pemain dalam skuad Van Gaal yang mampu bermain lebih dari satu posisi. Blind hadir di Old Trafford pada waktu yang 'kurang tepat' di mana ketibaan Falcao hanya beberapa jam selepas beliau lulus ujian perubatan menyebabkan kehadirannya tidak begitu dirasai. Penyokong-penyokong ghairah menyambut kedatangan Falcao hinggakan mereka lupa bahawa pemain seperti Blind sebenarnya boleh memberikan perubahan kepada permainan United terutamanya di bahagian tengah. Blind bukan sahaja boleh bermain sebagai bek kiri tetapi beliau juga boleh diletakkan di bahagian tengah dengan memegang peranan sebagai pemain tengah bertahan. Walaupun lebih dikenali sebagai bek kiri, bekas pemain Ajax ini juga memiliki kualiti dan keupayaan teknikal sebagai pemain tengah bertahan. Melihat kepada sumbangannya terutama sepanjang kempen Piala Dunia 2014 yang lalu, Blind saya yakin mampu memikul tanggungjawabnya dengan berkesan jika Van Gaal mahukan beliau beraksi di bahagian tengah. Kualiti bertahan yang dimiliki Blind bukan sahaja berguna bagi melindungi dua pemain pertahanan tengah di belakangnya (jika Van Gaal menggunakan sistem empat pemain pertahanan) tetapi ketepatan hantarannya juga bakal memudahkan tugas Di Maria, Mata atau Herrera dalam situasi menyerang.

Masih ingatkah lagi ketepatan hantaran jauh Blind yang kemudiannya berjaya disudahkan Van Persie untuk gol penyamaan Belanda ketika menentang Sepanyol di Piala Dunia lalu? Buat masa ini sukar untuk kita meneka formasi apa yang bakal digunakan Van Gaal terutamanya selepas beliau berjaya mendapatkan khidmat Blind dan Falcao pada hari terakhir sebelum pintu perpindahan pemain (musim panas) ditutup. Keterujaan menanti perlawanan menentang QPR bukan sekadar berkisar kepada keinginan menyaksikan Falcao beraksi tetapi lebih dari itu saya juga ingin melihat apakah akan ada perubahan kepada strategi dan sistem permainan yang bakal digunakan Van Gaal nanti. Adakah beliau akan terus percaya bahawa 3-5-2 adalah formasi yang sesuai untuk United atau mungkin beliau akan beralih kepada formasi lain selepas berjaya menambah Blind dan Falcao dalam senarai perbelanjaan musim panasnya? Hakikatnya sekarang Van Gaal memiliki tiga penyerang kelas dunia dalam skuadnya dan kini terpulang kepada beliau untuk memutuskan pasangan mana yang bakal beliau turunkan. Atau adakah beliau akan menggunakan ketiga-tiganya (Rooney Falcao dan Van Persie) sekaligus.

Adakah esok Van Gaal akan menggugurkan nama Mata bagi membolehkan beliau menurunkan tiga penyerang ini serentak atau adakah beliau memiliki keberanian untuk meletakkan Rooney di bangku simpanan bagi memberikan laluan kepada Van Persie dan Falcao bergandingan menggempur kubu The Hoops? Kini kita sedang menyaksikan begitu banyak kualiti dan bakat menyerang yang ada dalam skuad Van Gaal berikutan kehadiran pemain-pemain baharu seperti Di Maria, Herrera dan Falcao. Sangat menarik juga untuk kita melihat apa yang bakal dilakukan Van Gaal bagi memaksimakan potensi bakat-bakat yang beliau miliki dalam skuadnya terutama di bahagian tengah dan serangan tanpa mengabaikan kekuatan di benteng pertahanan. Sepanjang tempoh pasaran perpindahan musim panas lalu, Van Gaal sudah membelanjakan 152 juta (Pound) dengan membawa masuk  enam pemain baharu bagi meningkatkan kekuatan skuadnya. Kehadiran enam pemain baharu di samping kualiti yang dimiliki pemain-pemain sedia ada menyebabkan United kian dicemburui biarpun mereka tidak beraksi di Eropah. Tiada siapa menyangka bahawa kelab yang tidak beraksi di Eropah (Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa) ini masih mampu memikat pemain berbakat dan pemain kelas dunia menyertai mereka. Van Gaal sudah membuktikan tanpa aksi di pentas Eropah, Old Trafford masih lagi destinasi yang ingin dituju oleh pemain-pemain kelas dunia dan esok pula beliau bakal menggalas tugas penting untuk mencari kemenangan pertama dan membuktikan bahawa barisan Galacticos versi beliau sudah bersedia memporak-perandakan Liga Perdana. Glory Glory Manchester United!!! - A.J 

06 September 2014

MAGNIFICENT 7: WIRA DAN YANG KECUNDANG

Di AC Milan, jersi nombor 3 yang pernah disarung Paolo Maldini dianggap sebagai ikon dan sehingga kini pihak pengurusan Milan tidak lagi memberikan nombor tersebut kepada mana-mana pemain selepas lagenda itu mengumumkan persaraannya pada 2009. Jersi ikon (nombor 3) milik Maldini akan hanya dikeluarkan semula oleh pihak pengurusan Milan untuk diwarisi anak beliau (Christian) yang kini sedang mengasah bakat bolasepaknya bersama akademi kelab tersebut. Di Argentina dan Brazil pula, nombor 10 sudah sinonim dengan Maradona dan Pele, hinggakan penyokong-penyokong Albiceleste pernah mencadangkan kepada Asociacion del Futbol Argentino (AFA) agar nombor 10 'dibekukan' terus dari skuad kebangsaan bagi mengiktiraf sumbangan besar Maradona terhadap bolasepak Argentina. Malaysia juga tidak terkecuali kerana nombor 10 turut memiliki keistimewaan tersendiri dalam sejarah bolasepak negara kerana jersi nombor 10 pernah digunakan Allahyarham Mokhtar Dahari ketika zaman kegemilangan Harimau Malaya. Nombor 3 dan 10 hanyalah sebahagian dari contoh bagaimana begitu istimewanya nombor tersebut kepada kelab atau skuad kebangsaan, hanya kerana nombor itu pernah digunakan oleh lagenda-lagenda hebat sebelumnya atau mungkin (jika ada) atas sebab-sebab lain. Di Manchester United, nombor 7 adalah paling ikonik dan terkenal berbanding nombor-nombor lain.

Jimmy Delaney
George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo adalah penyarung jersi nombor 7 paling terkenal di kalangan penyokong-penyokong United kerana kesuksesan pencapaian mereka bersama kelab sepanjang menyarung jersi tersebut. Best mungkin dianggap pelopor dan pemain yang menyebabkan nombor 7 begitu terkenal hingga ke hari ini tetapi beliau sebenarnya bukanlah pemain United pertama yang menggunakan jersi nombor 7. 22 tahun sebelum Best menjulang Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) dengan jersi nombor 7, Jimmy Delaney sudah pun menggunakan nombor tersebut selepas Sir Matt Busby menandatangani beliau dari Celtic pada 1946. Dua tahun kemudian Delaney berjaya membantu United menjulang Piala FA buat pertama kali dalam tempoh 40 tahun. Sepanjang empat tahun karier beliau bersama United, Delaney bermain sebanyak 164 perlawanan dan menjaringkan 25 gol sebelum pulang semula ke Scotland menyertai Aberdeen pada 1950. Delaney MUNGKIN pemain United pertama menggunakan jersi nombor 7 kerana sebelum beliau tiada rekod mencatatkan mana-mana pemain pernah menggunakan nombor tersebut pada jersi mereka. Selepas Delaney, Johnny Berry juga pernah menggunakan nombor 7 tetapi kecederaan akibat dari Tragedi Munich menyebabkan beliau terpaksa menamatkan karier bolasepaknya lebih awal pada usia 31 tahun. Bagaimanapun sepanjang lapan tahun beliau bersama kelab, Berry berjaya memenangi tiga kejuaraan liga dan pernah dianggap antara pemain muda terbaik di Britain ketika itu.

George Best
Seperti yang saya sebutkan tadi, Best adalah pemain yang bertanggungjawab menyebabkan nombor 7 begitu terkenal terutamanya selepas beliau bersama-sama Bobby Charlton, Brian Kidd, Pat Crerand, Nobby Stiles, Alex Stepney dan lain-lain membantu kelab menjulang trofi Eropah buat pertama kali pada 1968. Meskipun Best juga pernah menggunakan jersi nombor 8, 10 dan 11 sepanjang kariernya bersama kelab, nombor 7 paling diingati serta sinonim dengan beliau hingga meletakkan beliau antara Magnificent 7 paling berjaya. Best meninggalkan United enam tahun selepas kejayaan menundukkan Benfica (final Piala Eropah) di Wembley dan selepas itu jersi nombor 7 disarung Steve Coppel. Bagaimanapun Coppel gagal meneruskan kegemilangan nombor 7 sepertimana penyandang sebelumnya, seiring dengan kejatuhan United selaku kuasa bolasepak England. Selepas bertahun-tahun, jersi nombor 7 akhirnya kembali disarung oleh pemain yang selayaknya menggunakan nombor tersebut dan pemain yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Bryan Robson. Robson satu-satunya pemain pertahanan United yang menggunakan nombor 7 (di peringkat awal kariernya bersama United, Robbo juga sering digunakan sebagai pemain pertahanan sebelum beralih ke bahagian tengah sepenuhnya) dan beliau juga merupakan kapten United paling lama berkhidmat untuk kelab hingga diberikan gelaran Captain Marvel oleh penyokong-penyokong. Robson bukan sahaja bertindak sebagai ketua pasukan United tetapi beliau juga adalah 'suara' Sir Alex Ferguson di tengah padang.

Bryan Robson
Sepanjang 13 tahun menyarung jersi Unted, Robson berjaya membantu kelab memenangi 11 medal kejuaraan dalam pelbagai kejohanan dan momen paling diingati tentunya ketika beliau bersama-sama Steve Bruce menjulang trofi kejuaraan liga pada 1993. Kejayaan pada 1993 itu sangat manis bukan hanya disebabkan United muncul pemenang pertama Liga Perdana (menggantikan format Liga Divisyen 1), tetapi kejayaan tersebut juga menandakan bahawa kelab akhirnya berjaya menamatkan tempoh 26 tahun tanpa kejuaraan liga sejak kali terakhir barisan kendalian Sir Matt Busby melakukannya pada 1967. Selepas berakhirnya era Captain Marvel, kelab tidak perlu menunggu terlalu lama untuk memberikan jersi nombor 7 kepada pemain yang layak untuk mewarisinya. Eric Cantona bukan hanya dianggap sebagai pemain yang menjadi kunci kepada kejayaan-kejayaan United memenangi pelbagai trofi di awal dekad 90an, tetapi beliau juga adalah guru kepada pemain-pemain muda (terutamanya dari Class of 92) yang mula diketengahkan Sir Alex ke dalam skuad utama. King Eric bukan sekadar bijak merangka gerakkan bagi memecah benteng pertahanan lawan, tetapi kelibatnya juga sering kelihatan di bawah dalam membantu benteng pertahanan ketika diasak. Beliau adalah 'raja' sebenar ketika di atas padang, ditakuti lawan tetapi dihormati rakan-rakan sepasukan sebagai pemimpin dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk kelab dalam bentuk apa sekalipun. Jadi tidak hairanlah mengapa Sir Alex menyerahkan jersi nombor 7 kepada beliau sebagai pewaris seterusnya dari Bryan Robson biarpun Cantona cukup dikenali sebagai pemain yang penuh kontroversi.

Eric Cantona
Cantona dibenci penyokong lawan bukan hanya disebabkan sikap panas barannya tetapi juga kerana kepintarannya ketika di atas padang. Lupakan sahaja insiden tendangan kung fu yang dilakukan beliau terhadap Matthew Simmons pada 25 Januari 1995 hingga menyebabkan Cantona digantung selama sembilan bulan, kerana saya lebih gemar melihat sumbangan besar yang dimainkannya sepanjang lima musim beliau bergelar pemain United. Ketika saya belum lagi puas menyaksikan kelibat pemain 'kepala angin' tapi genius ini di atas padang, Cantona yang sudah bermain sebanyak 185 perlawanan, menjaringkan 82 gol dan mengetuai kelab memenangi empat kejuaraan liga, dua Piala FA dan tiga Perisai Komuniti akhirnya mengumumkan persaraan dari dunia bolasepak pada usia yang masih muda (30 tahun). Ketika Cantona melangkah masuk ke gerbang persaraan, pemain-pemain muda United dari Class of 92 pula nampaknya sudah bersedia mengambilalih tempat senior-senior mereka dalam skuad utama. Kita mula melihat kemunculan nama-nama pemain muda United seperti Paul Scholes, David Beckham, Nicky Butt, adik beradik Neville dan Ryan Giggs membarisi kesebelasan utama Sir Alex dan jersi nombor 7 yang dikosongkan King Eric kemudiannya diwarisi Beckham. Beckham tidak memiliki skill kawalan bola yang menarik tetapi beliau dianugerahkan dengan kelebihan hantaran bola menerusi kaki kanan yang tepat ke sasaran ibarat seorang penembak hendap.

David Beckham
Sepertimana Best, Beckham juga boleh dianggap 'bintang pop' dalam dunia bolasepak kerana ketampanannya, gaya rambutnya yang sering bertukar-tukar menjadi ikutan, kelibatnya sering menjadi sasaran lensa kamera paparazzi ketika di luar padang manakala wajahnya pula sering menghiasi billboard di seluruh dunia. Segala tumpuan yang diberikan dunia terhadap Beckham tidak menjejaskan ketajaman kaki kanannya dalam situasi bola mati atau ketika membekalkan hantaran-hantaran berkualiti untuk disudahkan Dwight Yorke, Andy Cole atau Ruud Van Nistelrooy. Tidak syak lagi bahawa golden boy ini antara penyarung jersi nombor 7 United paling popular dan kerana populariti berlebihan serta hidup bak selebriti jugalah menyebabkan hubungan Beckham dan Sir Alex mula retak hingga kemuncaknya berlaku insiden layangan but di bilik persalinan. Selepas sebelas tahun menyarung jersi kelab, bermain 364 perlawanan dan menjaringkan 85 gol, ikatan antara Beckham dan United akhirnya terputus apabila beliau dilepaskan ke Real Madrid pada musim panas 2003. Di mana pun Beckham bermain dan jersi kelab mana yang disarungnya, beliau selalu mengatakan bahawa United adalah kelab yang istimewa dan sentiasa berada di hatinya, samalah juga dengan kedudukan Beckham di hati penyokong-penyokong United. Penghijrahan Beckham ke Real Madrid satu kejutan tetapi Sir Alex tidak membiarkan penyokong-penyokong United terus menangisi kehilangan pemain bolasepak paling popular itu dengan menandatangani Cristiano Ronaldo dari Sporting Lisbon.

Cristiano Ronaldo
Berbekalkan kelicikan kaki kanan dan kirinya memperdaya lawan, kepantasan larian membelah pertahanan lawan dari sebelah tepi dan ketepatan rembatan padu  kaki kanannya, kehadiran CR7 pantas membuatkan penyokong-penyokong United berhenti menangisi pemergian Beckham. Saya tidak pasti adakah keputusan Sir Alex memberikan jersi nombor 7  kepada Ronaldo yang ketika itu baru berusia 18 tahun satu bentuk sindiran kepada Beckham ataupun tidak, tetapi remaja dari Madeira itu berjaya membuktikan bahawa jersi nombor 7 yang pernah digunakan lagenda-lagenda hebat United sebelum ini bukanlah satu tekanan atau beban berat untuk beliau pikul. Masih ingatkah lagi bagaimana liciknya remaja kurus kering ini menghuru-harakan pertahanan Bolton Wanderers pada penampilan pertamanya untuk United dalam saingan liga kira-kira 11 tahun yang lalu? Meskipun banyak momen yang ditinggalkan CR7 sepanjang enam tahun beliau berkhidmat untuk kelab, aksi pertama beliau pada 16 Ogos 2003 adalah momen paling istimewa untuk saya mengenang beliau sebagai antara pemain terbaik yang pernah menggunakan jersi nombor 7 United.  Best, Robson, Cantona, Beckham dan Ronaldo akan sentiasa diingati dan akan terus diingati sebagai pemain lagenda yang pernah menggunakan jersi nombor 7 United. Bagaimanapun tidak semua pemain yang pernah diberikan peluang menyarung jersi ikon milik kelab itu berjaya meletakkan diri mereka setaraf dengan kedudukan Best, Robson, Cantona, Beckham ataupun Ronaldo.

Ralph Milne
Ketika peraturan pendaftaran nombor jersi pemain (hanya boleh digunakan seorang pemain dalam semusim) mula dikuatkuasakan oleh FA pada musim 1992-93, Ralph Milne umpamanya pernah berkongsi jersi nombor 7 dengan Bryan Robson selama tiga tahun dari 1988 hingga 1991. Tidak ramai yang mengenali Milne terutamanya penyokong-penyokong United dari generasi muda dan fakta bahawa beliau pernah mengenakan jersi ikon tersebut pastinya agak memeranjatkan. Selama tempoh tiga tahun bersama kelab, Milne hanya bermain sebanyak 23 perlawanan liga dan menjaringkan tiga gol, jadi tidak hairanlah mengapa beliau tidak diingati kebanyakkan penyokong-penyokong United biarpun pernah menyarung jersi nombor 7. Milne hanyalah salah satu contoh kerana selain beliau ada beberapa pemain yang gagal mencapai standard diharapkan sebagai penyarung jersi nombor 7 dan salah seorang daripadanya ialah Keith Gillespie. Ketika mewakili skuad remaja United, Gillespie pernah memenangi FA Youth Cup bersama anggota-anggota Class of 92 pada musim 1991-92. Bagaimanapun nasib Gillespie tidak sebaik rakan-rakan Class of 92 yang lain di mana kehadiran Andrei Kanchelskis dari Shakhtar Donetsk pada 1991 menyukarkan peluang beliau untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama United. Kanchelskis ketika itu adalah pilihan automatik mengisi posisi sayap kanan manakala Beckham pula adalah pilihan kedua sekaligus menyebabkan peluang Gillespie bermain semakin terhad. Gillespie akhirnya dilepaskan ke Newcastle United pada Januari 1995 sebagai sebahagian dari kesepakatan untuk kelab mendapatkan khidmat Andy Cole. Gillespie dan Milne mungkin tidak dikenali langsung oleh penyokong-penyokong generasi muda United, tetapi bagaimana pula dengan Michael Owen dan Antonio Valencia?

Michael Owen
Keputusan Sir Alex menandatangani Owen pada musim panas 2009 agak mengejutkan memandangkan bekas pemain Liverpool itu dibelenggu dengan masalah kecederaan lutut berulang dan dikatakan sudah melepasi zaman kemuncaknya. Lebih mengejutkan apabila Sir Alex menyerahkan jersi nombor 7 yang 'ditanggalkan' Cristiano Ronaldo kepada Owen sebagai pewaris seterusnya nombor ikon tersebut. Meskipun berjaya memenangi tiga medal kejuaraan (Liga Perdana, Piala Liga dan Perisai Komuniti) sepanjang tempoh tiga musim di Old Trafford, Owen lebih banyak digunakan sebagai supersub berbanding beraksi dalam kesebelasan permulaan United. Dalam tempoh tersebut juga Owen menjaringkan 17 gol untuk United, dan gol dari beliau yang paling diingati sudah tentulah jaringan kemenangan yang dihasilkannya dimasa kecederaan dalam perlawanan derby Manchester di Old Trafford pada 20 September 2009. Selepas Owen menyertai Stoke City pada 2012, jersi nombor 7 kemudiannya diserahkan kepada Antonio Valencia yang pada musim sebelumnya (2011-12) antara pemain United paling cemerlang. Jersi nombor 7 yang pernah digunakan lagenda-lagenda hebat United nampaknya satu beban yang terlalu berat untuk dipikul Valencia hingga menjejaskan prestasinya di tengah padang. Walaupun berjaya membantu kelab menjulang kejuaraan liga ke-20, prestasi Valencia jauh merosot di mana beliau sendiri percaya bahawa tekanan sebagai pewaris nombor ikon tersebut menyumbang kepada kemerosotan prestasinya.

Angel di Maria
Musim lalu, nombor 7 tidak digunakan oleh mana-mana pemain selepas Valencia memilih untuk kembali menggunakan nombor 25, sekaligus memberi ruang buat penyokong-penyokong United berteka-teki siapakah pemain seterusnya yang layak diberikan tanggungjawab menyarung jersi keramat tersebut. Teka teki tersebut akhirnya terjawab apabila Angel Di Maria secara rasmi beraksi dengan jersi nombor 7 pada penampilan pertamanya untuk United ketika berdepan Burnley. Berdasarkan kemampuan dan reputasi dimiliki Di Maria sebelum ini, saya percaya Louis Van Gaal memilih pemain yang tepat untuk menggalas tanggungjawab sebagai pewaris jersi nombor 7 seterusnya. Adakah Di Maria mampu meletakkan dirinya sebaris dengan Best, Robson, Cantona, Beckham dan Ronaldo sebagai pemain United paling berjaya yang pernah menyarung jersi nombor 7? Atau adakah tekanan menyarung jersi ikon milik kelab itu akan menyebabkan Di Maria berada dalam kelompok yang sama dengan Milne, Gillespie, Owen dan Valencia sebagai pemain yang gagal mencapai standard sepatutnya sebagai salah seorang Magnificent 7? Ketika masih di Madrid, Ronaldo adalah individu yang menyarankan kepada Di Maria agar memilih United sebagai kelab baharunya jika beliau mahu meninggalkan Santiago Bernabeu. Semoga Ronaldo juga tidak terlupa untuk mengingatkan Di Maria betapa istimewanya jersi nombor 7 itu, bukan hanya kepada pemakainya tetapi juga kepada sejarah dan tradisi United serta penyokong-penyokongnya. Di Manchester United, jersi nombor 7 adalah ikon dan istimewa berbanding nombor-nombor lain, semoga Di Maria juga akan diiktiraf sebagai ikon dan lagenda kelab suatu hari nanti, seiring dengan nombor keramat (7) yang tertera di belakang jersinya...Glory Glory Manchester United!!! - A.J

02 September 2014

MENANTI NGAUMAN EL TIGRE

Berita gempar dan mengejutkan, itu sahaja yang saya mampu katakan selepas membaca berita tentang perpindahan Radamel Falcao ke Old Trafford petang semalam. Hanya beberapa jam sebelum itu saya ada bersembang dengan seorang rakan penyokong United di media sosial tentang kemungkinan kelab mendapatkan khidmat Falcao, tetapi diakhir perbualan saya katakan kepada rakan saya itu bahawa saya tidak yakin bahawa United akan mendapatkan khidmat El Tigre (Harimau). Saya pada awalnya lebih yakin Falcao akan menyertai Real Madrid atau Manchester City yang turut digambar-gemburkan berminat menandatangani beliau. Bagaiamanpun lewat petang semalam, rakan saya itu menyampaikan perkhabaran gembira tentang kejayaan kelab membawa Falcao beraksi di Old Trafford biarpun atas status pemain pinjaman selama semusim dengan opsyen perpindahan tetap di akhir musim jika United berminat mendapatkan khidmat pemain ini dari AS Monaco. Falcao adalah antara penyerang terbaik dunia ketika ini dan sudah tentulah kejayaan kelab memujuk beliau menyarung jersi merah The Red Devils satu kejayaan yang fantastik. Anda mungkin boleh menyebut bahawa faktor wang menyebabkan Falcao memilih Old Trafford sebagai destinasinya musim ini berbanding Santiago Bernabeu atau Stadium Etihad, tetapi saya juga ingin mengingatkan bahawa mana-mana kelab pun tidak sepatutnya berkira soal wang jika berhajat meletakkan penyerang kelas dunia seperti Falcao membarisi jentera serangan mereka.

Saya tidak nafikan, Falcao memilih United kerana wang dan kedudukan sebagai pemain yang menerima gaji tertinggi di Old Trafford satu godaan yang tidak mungkin mampu ditolak oleh mana-mana pemain termasuk Falcao. Walau bagaimanapun jangan lupakan juga 155 gol yang sudah beliau jaringan selama enam musim beraksi di Eropah sejak beliau meninggalkan River Plate pada 2009, membantu Porto menjulang Primera Liga dan Liga Europa pada musim keduanya di Portugal. Selepas meninggalkan FC Porto, kejayaan terus mengiringi Falcao apabila beliau sekal lagi memenangi kejuaraan Liga Europa, kali ini bersama-sama Atletico Madrid pula selain kejayaan menundukkan Real Madrid di final Copa del Rey dan kemenangan sensasi 4-1 ke atas Chelsea di UEFA Super Cup 2012. Dalam laluan beliau merintis kejayaan di Eropah bersama FC Porto dan Atletico Madrid, Falcao pernah muncul penjaring terbanyak Liga Europa dua musim berturut-turut (2010-11 dan 2011-12), dipilih pemain terbaik perlawanan akhir Liga Europa dua musim berturut-turut (2010-11 dan 2011-12) dan pemain terbaik UEFA Super Cup (2012). Kesempatan mendapatkan Falcao dalam pasaran perpindahan pemain kali ini selepas AS Monaco secara terbuka mengumumkan kesediaan mereka berpisah dengan penyerang Colombia itu digunakan sepenuhnya oleh Van Gaal. Vadim Vasilyev yang mewakili presiden kelab mengakui bahawa mereka kesal membiarkan Falcao pergi namun dalam masa yang sama keinginan pemain ini untuk menyertai United perlu juga mereka hormati.

Ketumpulan jentera serangan United dalam tiga perlawanan awal liga meskipun Van Gaal memiliki gandingan kelas dunia yang dibarisi Wayne Rooney dan Robin Van Persie di posisi tersebut menyebabkan pengendali berpengalaman itu mengintai sebarang kemungkinan menandatangani Falcao sebelum pintu perpindahan pemain ditutup. "Saya sangat gembira Radamel akhirnya menyertai kami sebagai pemain pinjaman musim ini. Beliau merupakan salah seorang penyerang paling tajam menerusi purata jaringan yang dihasilkannya dalam setiap perlawanan. Ketika pemain seperti beliau sudah tersedia di pasaran, maka itu adalah peluang yang sama sekali tidak boleh kami lepaskan", kata Van Gaal. Kita sudah melihat ketajaman Falcao terutamanya ketika bersama FC Porto dan Atletico Madrid, jadi kita juga sepatutnya faham mengapa Van Gaal begitu gembira melihat pemain ini bakal membarisi jentera penggempurnya. Kehadiran Falcao bakal menawarkan lebih pilihan ketika The Red Devils melakukan serangan dan sudah tentu juga penyerang setajam beliau adalah ancaman kepada mana-mana benteng pertahanan. Saya menghargai apa yang sudah disumbangkan Javier Hernandez dan Danny Welbeck kepada kelab selama ini tetapi Falcao adalah penyerang yang berbeza dan bakal memberikan lebih dari apa yang mampu diberikan Hernandez dan Welbeck di bahagian hadapan.

Berbekalkan kekuatan fizikal dan teknik yang dimilikinya, Falcao saya yakini akan membekalkan lebih banyak 'peluru' kepada jentera serangan United ketika menggempur kubu pertahanan lawanan. Ketika Rooney dan Van Persie masih tercari-cari sentuhan mereka di hadapan gawang lawan manakala ketumpulan jentera serangan ketika aksi di Turf Moor mula meresahkan kita, Falcao tiba pada waktu yang tepat. Saya pernah memasang impian mahu melihat Falcao menyarung jersi kelab selepas prestasi hebat yang dipamerkan beliau bersama-sama FC Porto (musim 2010-11), tetapi tandaharga lebih 30 juta (Pound) yang diletakkan kelab Portugal itu menyebabkan Sir Alex keberatan membawa El Tigre beraksi di Liga Perdana. Kini selepas tiga tahun, impian saya menjadi kenyataan apabila Van Gaal berjaya 'memerangkap' harimau ini dan membawanya ke Old Trafford. Dalam kegembiraan menyambut ketibaan Falcao, timbul persoalan bagaimanakah agaknya kedudukan Rooney dan Van Persie dalam skuad Van Gaal selepas ini, atau mungkin akan ada pemain yang terpaksa memberikan laluan kepada Falcao jika Van Gaal mahu menurunkan tiga pemain ini (Rooney, Van Persie dan Falcao) serentak. Dengan tanggungjawab yang dipikul Rooney selaku ketua pasukan disamping fakta bahawa beliau antara nama yang wajib ada dalam kesebelasan utama United sepanjang tempoh sepuluh tahun terakhir, saya fikir Rooney sukar untuk diketepikan. Begitu juga dengan Van Persie, kapten dan pemain yang menjadi kegemaran Van Gaal ketika kedua-dua individu ini bekerjasama dalam skuad kebangsaan Belanda. Jika kelibat Rooney dan Van Persie sukar diketepikan, siapakah pemain yang bakal dikorbankan bagi memberi laluan kepada Falcao beraksi?

Dalam hal ini, ada kemungkinan Rooney akan diminta memainkan peranan di belakang dua penyerang (peranan nombor 10) dan tugas tersebut sebenarnya bukan terlalu asing buat beliau. Di era Sir Alex, peranan nombor 10 pernah dimainkan Rooney yang ditugaskan mencipta ruang dan peluang buat Van Persie selepas ketibaan penyerang Belanda itu dari Arsenal dua tahun lalu. Jika ini berlaku, kedudukan Juan Mata saya anggap berada dalam bahaya. Kini dengan kehadiran Falcao, Rooney perlu bersedia untuk sekali lagi memainkan peranan nombor 10 dalam pasukan dan sebagai profesional, Rooney juga perlu bersedia pada bila-bila masa memikul tanggungjawab yang bukan asing lagi buat dirinya. Maaf jika saya katakan bahawa ketajaman Rooney sebagai penyerang semakin tumpul sedikit demi sedikit tetapi beliau masih memiliki visi dalam permainan yang cukup diperlukan untuk memikul peranan sebagai pemain nombor 10. Dengan adanya Angel di Maria di sebelah kiri dalam barisan tiga pemain tengah, Rooney saya percaya boleh memainkan peranan nombor 10 dengan berkesan jika Van Gaal mahu mengubah sistem permainan dari 3-5-2 kepada 4-3-1-2. Kedatangan Falcao juga menandakan bahawa Van Gaal kini memiliki begitu banyak bakat menyerang dalam skuadnya dan selepas ini beliau perlu memikirkan sistem mana paling sesuai untuk menampung Rooney, Van Persie, Falcao dan juga Di Maria dalam kesebelasan utamanya. Tiadanya perlawanan liga minggu ini bagi memberikan laluan kepada perlawanan antarabangsa membolehkan Van Gaal memiliki waktu yang mencukupi dalam merancang strategi bagi mencari kemenangan pertamanya musim ini

Dalam tiga perlawanan liga United sebelum ini, Van Gaal menggunakan formasi 3-5-2 sebagai pilihan tetapi pemain-pemain nampaknya masih bergelut untuk cuba menyesuaikan diri dengan sistem yang cuba diperkenalkan beliau. Jika Van Gaal mahu memasangkan Falcao dan Van Persie sebagai penggempur manakala Rooney pula bertindak di belakang, formasi 4-3-1-2 mungkin menjadi pilihan beliau ketika berdepan Queens Park Rangers 14 September ini. Langkah menandatangani Falcao menambahkan lagi kualiti yang ada dalam skuad Van Gaal, tetapi dalam masa yang sama limpahan kualiti juga tentunya akan membuatkan beliau berdepan masalah dalam memilih kesebelasan terbaiknya. 14 September ini saya nantikan dengan penuh teruja bukan hanya disebabkan faktor Falcao, tetapi saya juga ingin melihat akan adakah perubahan yang bakal dilakukan Van Gaal dalam formasi permainannya nanti. Selepas pintu perpindahan pemain ditutup, Van Gaal sudah menghabiskan 152 juta (Pound) bagi meningkatkan kekuatan United dengan mendapatkan Ander Herrera, Luke Shaw, Marcos Rojo, Angel di Maria, Daley Blind dan yang terakhir Radamel Falcao. Jumlah sebanyak itu adalah perbelanjaan paling besar serta rekod baharu dalam sejarah kelab, jadi sudah semestinya selepas ini, penyokong-penyokong mahu melihat perubahan besar juga berlaku di atas padang. Van Gaal sudahpun mendapatkan pemain-pemain yang beliau inginkan sepanjang pasaran perpindahan pemain kali ini, dan selepas ini perkara pertama yang perlu beliau fikirkan ialah bagaimana mahu mencari kemenangan pertama. Keputusan Van Gaal mendapatkan Falcao adalah keputusan yang fantastik, semoga kehadiran El Tigre mampu menjadikan barisan penggempur United kembali bertaring. Saya teruja menanti aksi sulung Falcao dan saya juga teruja menanti ngauman sulung El Tigre...Glory Glory Manchester United!!! - A.J 

29 Ogos 2014

SEBELUM PINTU DITUTUP.....SIAPA YANG BAKAL DATANG DAN SIAPA YANG BAKAL DIKORBANKAN?

Masih ada tempoh tidak sampai itga hari sebelum pintu perpindahan pemain ditutup dan itu bermakna Louis Van Gaal juga memiliki tempoh tidak sampai tiga hari untuk melakukan sebarang penambahbaikan dalam skuadnya. Sepanjang pasaran perpindahan pemain kali ini, United sudah membelanjakan hampir 140 juta (Pound) bagi mendapatkan Luke Shaw, Ander Herrera, Marcos Rojo dan paling sensasi tentunya pembelian membabitkan Angel Di Maria dari Real Madrid yang memecahkan rekod British. Kehadiran Di Maria dikatakan mampu menjadi penawar kepada kekurangan kreativiti di bahagian tengah tetapi bagaimana pula dengan kualiti benteng pertahanan yang mana prestasi mereka dalam tiga perlawanan menimbulkan banyak keraguan. Selepas Di Maria menandatangani kontrak secara rasmi, Van Gaal tanpa berselindung mengatakan bahawa kelab sedang berusaha membawa masuk beberapa lagi muka-muka baharu sebelum pintu perpindahan pemain ditutup 1 September ini dan dalam masa yang sama juga beberapa pemain yang tiada dalam perancangan beliau perlu bersedia untuk pergi. Spekulasi tentang Arturo Vidal masih belum padam biarpun Juventus nampaknya berusaha sedaya upaya mengekalkan tonggak mereka itu di Turin manakala Daley Blind terus dikaitkan dengan minat United biarpun Ajax Amsterdam menegaskan tiada sebarang tawaran yang dibuat United bagi mendapatkan pemain pertahanan mereka itu.

Selain daripada spekulasi pemain mana yang bakal ditandatangani selepas Herrera, Shaw, Rojo dan Di Maria, kelab juga diberitakan bakal melepaskan beberapa pemain mereka yang dilihat gagal memberikan sumbangan dan memainkan peranan dengan berkesan di atas padang. Wilfried Zaha sudahpun dihantar pulang semula ke kelab lamanya (Crystal Palace) sebagai pemain pinjaman manakala Anderson, Shinji Kagawa, Danny Welbeck, Tom Cleverley dan Javier Hernandez dijangka bakal menuju pintu keluar, sama ada dengan status pemain pinjaman ataupun perpindahan tetap. Ketika Arsenal dan Tottenham Hotspurs mengintai peluang mendapatkan tandatangan Welbeck, Cleverley diberitakan hanya beberapa langkah sahaja lagi menuju ke Villa Park manakala Jurgen Klopp pula sedia menyambut kepulangan semula Kagawa ke Signal Iduna Park sebagai pemain pinjaman. "Saya bercakap dengan pemain-pemain selepas makan tengahari dan mengatakan bahawa mungkin selepas hujung minggu ini akan ada 'kumpulan lain' menyertai kita. Saya tidak bolah berkata apa-apa mengenai itu (pemain baharu) kerana ia membabitkan perbelanjaan dan harga. Tiba masanya nanti kelab akan keluar dan mengumumkannya. Kita tidak boleh bertindakbalas dengan setiap khabar angin", kata Van Gaal.

Ketika saingan masih di peringkat awal (2 perlawanan), Van Gaal sudahpun melihat sepuluh pemainnya berada di bilik rawatan dengan Kagawa menjadi pemain terbaru menyertai kumpulan tersebut sekaligus menghadkan lagi pilihan pemain sebelum beliau membawa rombongan skuadnya ke Turf Moor bagi berdepan Burnley esok. Dengan begitu banyak pemain yang sedang menjalani rawatan, berita bahawa masalah permit kerja Marcos Rojo berjaya diselesaikan adalah perkhabaran menggembirakan menjelang pertembungan dengan Burnley esok. Meskipun Van Gaal dikritik kerana terus mempertahankan sistem tiga pemain pertahanan yang digunakan beliau, kehadiran Rojo saya harap bakal memberikan kekuatan tambahan kepada benteng pertahanan, tidak kiralah formasi apa yang bakal beliau gunakan di Turf Moor nanti. Misi di Turf Moor adalah sukar memandangkan United hanya meraih satu mata dari dua perlawanan awal mereka dan sudah tentu tekanan yang dipikul barisan The Red Devils cukup tinggi bagi mencari kemenangan pertama apatah lagi selepas penyingkiran dari saingan Piala Liga Rabu lalu. Disingkirkan (dari Piala Liga) oleh kelab Divisyen 3 dengan jaringan besar sudah tentu cukup mengaibkan tetapi saya berharap United tampil dengan wajah berbeza ketika berdepan Burnley nanti bagi mencari kemenangan pertama. Prestasi terkini United sedikit meresahkan kita tetapi Van Gaal masih ada waktu untuk memperbetulkan keadaan kerana jika beliau mahukan pemain baharu untuk menguatkan skuadnya, Van Gaal masih ada tempoh sehingga Isnin ini untuk melakukannya.

Kita tidak pasti tentang kebenaran dan kesudahan di sebalik spekulasi membabitkan Arturo Vidal, Daley Blind, William Carvalho, Kostas Manolas, Ron Vlaar, Lucas Silva atau mana-mana pemain, tetapi jika Van Gaal berjaya mendapatkan seorang atau dua daripada mereka bagi meningkatkan kekuatan skuadnya sebelum pintu perpindahan ditutup, itu adalah berita baik selain dari kemenangan pertama di Turf Moor esok. Selagi pintu masih terbuka, saya masih berharap akan ada 'ahli baharu' The Red Devils yang berjaya di bawa masuk untuk menampung apa yang kurang dalam skuad Van Gaal, tidak kiralah sama ada mereka itu Vidal, Blind, Carvalho, Vlaar, Manolas atau Silva. Sepertimana yang dijanjikan Van Gaal sebelum ini, kita sebenarnya sedang melihat revolusi sedang berlaku ke atas United. Berjaya atau tidak revolusi yang cuba dicetuskan Van Gaal bergantung kepada bagaimana beliau bijak menggunakan segala potensi dan bakat pemain-pemain yang dimilikinya, sambil berharap pembelian baharu seperti Herrera, Shaw, Rojo dan Di Maria membuktikan bahawa pelaburan besar yang dilakukan kelab ke atas mereka berbaloi. Revolusi juga menuntut pengorbanan, jika ada yang datang pastinya juga ada yang bakal dikorbankan dengan ditunjukkan pintu keluar. Siapakah pemain United yang bakal dikorbankan bagi memberikan laluan kepada pemain baharu menyertai The Red Devils? Adakah Cleverley, Kagawa, Hernandez, Welbeck atau Anderson bakal ditunjukkan jalan keluar? Selagi pintu perpindahan masih terbuka, segala kemungkinan yang mengejutkan juga boleh berlaku...Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Masuk:
Ander Herrera (dari Athletic Bilbao)
Luke Shaw (dari Southampton)
Marcos Rojo (dari Sporting Lisbon)
Angel Di Maria (dari Real Madrid)

Berpotensi Masuk:
Arturo Vidal (Juventus)
Daley Blind (Ajax Amsterdam)
Kostas Manolas (Olympiakos)
Ron Vlaar (Aston Villa)
William Carvalho (Sporting Lisbon)
Lucas Silva (Cruzeiro)

Keluar:
Nemanja Vidic (Inter Milan)
Rio Ferdinand (QPR)
Patrice Evra (Juventus)
Ryan Giggs (bersara)
Federico Macheda (Cardiff City, percuma)
Bebe (Benfica)
Alexander Buttner (Dynamo Moscow)
Angelo Henriquez (Dinamo Zagreb, percuma)
Nani (Sporting Lisbon, pinjaman)
Wilfried Zaha (Crystal Palace, pinjaman)

Berpotensi Keluar:
Tom Cleverley (Aston Villa/Hull City)
Shinji Kagawa (Borussia Dortmund)
Anderson (Sporting Lisbon)
Danny Welbeck (Arsenal/Tottenham Hotspurs)
Javier Hernandez (Juventus)

26 Ogos 2014

ANGEL DI MARIA...PERPINDAHAN BESAR UNTUK SEBUAH KELAB BESAR

Musim terakhir Sir Alex Ferguson sebagai pengurus di Old Trafford diakhiri beliau dengan menghadiahkan kejuaraan liga buat kali ke-20 kepada kelab. Kita (penyokong-penyokong United) gembira kerana kejayaan tersebut juga menandakan bahawa Manchester United adalah penguasa mutlak bolasepak England selaku kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga, meninggalkan pemegang rekod sebelumnya (Liverpool) dua anak tangga di belakang. Kejayaan muncul sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga sudah tentu cukup membanggakan dan sudah tentu juga kejayaan tersebut akan diingati sampai bila-bila terutamanya apabila mengingatkan bahawa itu adalah kejuaraan terakhir yang dibawa Sir Alex ke Old Trafford sebelum beliau mengosongkan kerusi pengurus yang sudah beliau duduki selama 27 tahun. Seperti yang dijangkakan ramai pihak, persaraan Sir Alex menyebabkan The Red Devils yang beliau tinggalkan bergelut, tetapi saya tidak pernah menjangkakan bahawa situasi akan seburuk itu hinggakan kelab sekadar menamatkan saingan musim lalu di tangga ketujuh liga. David Moyes yang dilantik sebagai pengganti Sir Alex mengatakan bahawa skuad 'usang' yang diwarisi beliau dari lagenda tersebut menjadi penyebab utama mengapa United gagal bersaing. Alasan yang diberikan Moyes mungkin ada sedikit kebenarannya kerana dalam kegembiraan meraikan kejayaan menjulang trofi liga buat kali ke-20, kebanyakkan dari kita terlupa bahawa barisan The Red Devils yang ditinggalkan Sir Alex sebenarnya sudah mula hilang kepantasan dan kreativti ketika melakukan serangan dalam tempoh beberapa tahun terakhir.

Faktor kurangnya kreativiti jugalah yang sering dirungutkan Moyes ketika tempoh singkatnya sebagai pengurus United dan masalah tersebut rupa-rupanya masih berlanjutan hingga ke musim ini. Meskipun kelab berjaya menandatangani Juan Mata (Januari lalu) dan Ander Herrera bagi menambah sengat di bahagian tengah, masalah yang dihadapi Moyes sebelum itu nampaknya diwarisi pula oleh Louis Van Gaal. Perlawanan menentang Sunderland tempohari sekali lagi mendedahkan kelemahan sebenar United iaitu kurangnya kreativiti dan kepantasan ketika melakukan gerakan. United memerlukan seorang pemain yang bukan sahaja boleh menggerakan bola dengan pantas ke atas tetapi juga mampu memecah kawalan lawan sekaligus membuka ruang buat rakan-rakan sepasukan ketika melakukan gerakan. Saya pernah menyaksikan pemain-pemain seperti Jesper Olsen, Lee Sharpe, Andrei Kanchelskis, Ryan Giggs dan Cristiano Ronaldo melakukannya tetapi semenjak dua atau tiga musim terakhir, kelab nampaknya terlalu bergantung kepada kepantasan Antonio Valencia bagi melakukan tugas tersebut. Kebergantungan kepada Valencia menyebabkan permainan United mudah dibaca lawan dan meskipun kelab memiliki Ashley Young dan Nani (kini dipinjamkan ke Sporting Lisbon) bagi memberikan lebih variasi, kedua-dua pemain ini sering mengecewakan kita menerusi prestasi turun naik yang dipamerkan mereka. Perkhabaran bahawa misi United bagi mendapatkan Angel Di Maria yang kini memasuki fasa akhir adalah berita yang menggembirakan dan melegakan.

Melihat kepada persembahan United di Stadium of Light tempohari, jelas Van Gaal memang memerlukan seorang pemain yang mampu memberikan tenaga tambahan kepada permainan pasukannya dan dalam masa yang sama membantu meringankan tugas yang dipikul Juan Mata di bahagian tengah sambil memberikan lebih variasi menerusi gerakan-gerakan yang diatur menerusi bahagian sayap. Kehadiran Di Maria yang mampu beraksi di bahagian sayap, tengah dan boleh juga bertindak sebagai pemain tengah menyerang bakal menambah kualiti skuad kendalian Van Gaal. Jika benar nilai sebanyak 60 juta (Pound) terpaksa dilaburkan kelab bagi mendapatkan khidmat Di Maria, jumlah ini bakal memecahkan rekod pembelian Mata (37 juta Pound) yang dilakukan pada Januari lalu. Dalam keadaan Van Gaal begitu terdesak untuk cuba mendapatkan pemain berkualiti bagi meningkatkan kekuatan skuadnya, nilai sebanyak itu terpaksalah dikorbankan jika mahu melihat kelab mampu bersaing dengan pencabar-pencabar gelaran yang lain seperti Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool. Seperti yang saya sebutkan tadi, Di Maria adalah pemain yang versatile, boleh diletakkan di belakang dua penyerang, di bahagian tengah atau berperanan sebagai wing back jika Van Gaal mahu menggunakan tiga pemain pertahanan dalam formasi 3-5-2 yang beliau gemari. Paling penting ialah kemampuan Di Maria mencipta peluang jaringan tidak kira di posisi mana beliau diletakkan dan faktor itulah yang amat diperlukan United sekarang.

Di Maria antara pemain Real Madrid yang begitu menonjol sepanjang musim lalu tetapi pembelian James Rodriguez dari AS Monaco menyebabkan beliau terpaksa bersaing dengan pemain antarabangsa Colombia itu bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama Los Blancos. Minat United terhadap Di Maria sebenarnya bukanlah baru kerana pemain ini pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford pada 2010 namun Real Madrid ketika itu lebih bertuah kerana berjaya mendapatkan tandatangan pemain ini selepas beliau memilih meninggalkan Benfica. Kerana terhadnya pilihan pemain di bahagian sayap, beberapa bulan lalu Van Gaal pernah mengisyaratkan minatnya terhadap pemain Argentina ini dan atas alasan tersebut jugalah (kekurangan pemain sayap) mengapa beliau memilih formasi 3-5-2 dalam satu temubual bersama Sky Sports. Jika diambilkira apa yang dikatakan Van Gaal, kini timbul pula persoalan adakah beliau akan mengubah sistem dan taktikal permainannya selepas Di Maria disahkan secara rasmi menyarung jersi United nanti? Jika Van Gaal mahu mengubah sistem permainan 3-5-2 yang sudah beliau praktikkan pada perlawanan-perlawanan pra musim dan dua perlawanan awal United dalam saingan liga, formasi apakah agaknya yang akan beliau gunakan untuk disesuaikan dengan peranan yang bakal dimainkan Di Maria nanti? Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Bosnia Herzegovina di Piala Dunia 2014, Di Maria diletakkan di sebelah kiri dalam barisan tiga pemain tengah menerusi formasi 5-3-2 yang digunakan Alejandro Sabella di mana beliau perlu bermain sedikit ke dalam.

Pada perlawanan menentang Iran pula, Sabella menggunakan formasi 4-3-3 dan ketika Argentina mendominasi peratusan penguasaan bola, Di Maria berpeluang mara lebih jauh ke hadapan untuk mencipta peluang. Aksi Di Maria di Piala Dunia yang paling diingati sudah tentu ketika Argentina berdepan Switzerland di peringkat kalah mati 16 pasukan. Switzerland jelas memberikan masalah buat Argentina sepanjang perlawanan dan ketika jentera serangan Albiceleste yang diketuai Leonel Messi pula seolah-olah tiada jawapan dalam usaha mereka menembusi gawang Diego Benaglio, Sabella bertindak mengubah posisi Di Maria dengan meletakkan pemain ini di sebelah kanan. Keputusan Sabella berbaloi dan ketika pemenang perlawanan seolah-olah bakal ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, Di Maria menjaringkan gol kemenangan yang menghantar Argentina ke suku akhir ketika permainan berbaki dua minit untuk ditamatkan. Kesimpulannya, Di Maria boleh berperanan dalam formasi 5-3-2 atau 4-3-3, boleh bergerak bukan sahaja di sebelah kiri malah juga di sebelah kanan jika situasi sesuatu perlawanan memerlukan perubahan taktikal segera dilakukan. Jika Van Gaal bertegas untuk terus menggunakan sistem sekarang (3-5-2), Di Maria boleh digunakan sebagai wing back di mana kepantasan dan skill menggelecek yang dimiliki pemain ini boleh digunakan untuk membuka permainan dari sebelah tepi ataupun ketika melakukan serang balas pantas.

Jika saya diberikan pilihan, saya lebih gemar menyaksikan Di Maria digunakan dalam formasi 4-3-3 menerusi penggunaan dua pemain sayap di mana kepantasan yang dimiliki beliau serta Antonio Valencia atau Adnan Januzaj akan menjadi teras utama kepada sistem tersebut. Atau mungkin juga formasi 5-3-2 boleh digunakan Van Gaal bagi membolehkan Di Maria memainkan peranannya dengan lebih bebas di belakang dua penyerang. Saya tidak nafikan bahawa Cristiano Ronaldo adalah pemain paling penting buat Real Madrid musim lalu tetapi saya juga tidak ragu-ragu untuk meletakkan Di Maria sebagai pemain kedua terpenting di Santiago Bernabeu selepas pemenang Ballon d'Or itu. Ketika melihat pemain-peman kelas dunia seperti Alexis Sanchez, Cecs Fabregas dan Mario Balotelli menyertai Arsenal, Chelsea dan Liverpool, peluang menandatangani Di Maria adalah kesempatan terbaik untuk kelab membuktikan kepada penyokong-penyokong bahawa mereka serius meningkatkan kekuatan bagi mengembalikan semula kelab ke landasan pemburuan trofi selepas kejatuhan mendadak musim lalu. Kebolehan Di Maria sudah pun terbukti dan kemampuan beliau bermain lebih daripada satu posisi menjadikan beliau pemain yang berbaloi untuk ditandatangani. Ini bukan sekadar berita tentang perpindahan pemain kelas dunia bernama Angel Di Maria, tetapi ini juga melibatkan sebuah kelab besar yang sedang cuba membina semula kekuatan dan maruah mereka untuk kembali dihormati. Semoga nilai 60 juta Pound yang dibelanjakan berbaloi dan saya teruja menanti perpindahan ini segera direalisasikan. Glory Glory Manchester United!!! - A.J