Musim terakhir Sir Alex Ferguson sebagai pengurus di Old
Trafford diakhiri beliau dengan menghadiahkan kejuaraan liga buat kali ke-20
kepada kelab. Kita (penyokong-penyokong United) gembira kerana kejayaan
tersebut juga menandakan bahawa Manchester United adalah penguasa mutlak
bolasepak England selaku kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga,
meninggalkan pemegang rekod sebelumnya (Liverpool) dua anak tangga di belakang.
Kejayaan muncul sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga sudah
tentu cukup membanggakan dan sudah tentu juga kejayaan tersebut akan diingati
sampai bila-bila terutamanya apabila mengingatkan bahawa itu adalah kejuaraan
terakhir yang dibawa Sir Alex ke Old Trafford sebelum beliau mengosongkan
kerusi pengurus yang sudah beliau duduki selama 27 tahun. Seperti yang
dijangkakan ramai pihak, persaraan Sir Alex menyebabkan The Red Devils
yang beliau tinggalkan bergelut, tetapi saya tidak pernah menjangkakan bahawa
situasi akan seburuk itu hinggakan kelab sekadar menamatkan saingan musim lalu
di tangga ketujuh liga. David Moyes yang dilantik sebagai pengganti Sir Alex
mengatakan bahawa skuad 'usang' yang diwarisi beliau dari lagenda tersebut
menjadi penyebab utama mengapa United gagal bersaing. Alasan yang diberikan
Moyes mungkin ada sedikit kebenarannya kerana dalam kegembiraan meraikan
kejayaan menjulang trofi liga buat kali ke-20, kebanyakkan dari kita terlupa
bahawa barisan The Red Devils yang ditinggalkan Sir Alex sebenarnya
sudah mula hilang kepantasan dan kreativti ketika melakukan serangan dalam
tempoh beberapa tahun terakhir.
Faktor kurangnya kreativiti jugalah yang sering
dirungutkan Moyes ketika tempoh singkatnya sebagai pengurus United dan masalah
tersebut rupa-rupanya masih berlanjutan hingga ke musim ini. Meskipun kelab berjaya
menandatangani Juan Mata (Januari lalu) dan Ander Herrera bagi menambah sengat
di bahagian tengah, masalah yang dihadapi Moyes sebelum itu nampaknya diwarisi
pula oleh Louis Van Gaal. Perlawanan menentang Sunderland tempohari sekali lagi
mendedahkan kelemahan sebenar United iaitu kurangnya kreativiti dan kepantasan
ketika melakukan gerakan. United memerlukan seorang pemain yang bukan sahaja
boleh menggerakan bola dengan pantas ke atas tetapi juga mampu memecah kawalan
lawan sekaligus membuka ruang buat rakan-rakan sepasukan ketika melakukan
gerakan. Saya pernah menyaksikan pemain-pemain seperti Jesper Olsen, Lee
Sharpe, Andrei Kanchelskis, Ryan Giggs dan Cristiano Ronaldo melakukannya
tetapi semenjak dua atau tiga musim terakhir, kelab nampaknya terlalu
bergantung kepada kepantasan Antonio Valencia bagi melakukan tugas tersebut.
Kebergantungan kepada Valencia menyebabkan permainan United mudah dibaca lawan
dan meskipun kelab memiliki Ashley Young dan Nani (kini dipinjamkan ke Sporting
Lisbon) bagi memberikan lebih variasi, kedua-dua pemain ini sering mengecewakan
kita menerusi prestasi turun naik yang dipamerkan mereka. Perkhabaran bahawa
misi United bagi mendapatkan Angel Di Maria yang kini memasuki fasa akhir
adalah berita yang menggembirakan dan melegakan.
Melihat kepada persembahan United di Stadium of Light
tempohari, jelas Van Gaal memang memerlukan seorang pemain yang mampu
memberikan tenaga tambahan kepada permainan pasukannya dan dalam masa yang sama
membantu meringankan tugas yang dipikul Juan Mata di bahagian tengah sambil
memberikan lebih variasi menerusi gerakan-gerakan yang diatur menerusi bahagian
sayap. Kehadiran Di Maria yang mampu beraksi di bahagian sayap, tengah dan
boleh juga bertindak sebagai pemain tengah menyerang bakal menambah kualiti
skuad kendalian Van Gaal. Jika benar nilai sebanyak 60 juta (Pound) terpaksa
dilaburkan kelab bagi mendapatkan khidmat Di Maria, jumlah ini bakal memecahkan
rekod pembelian Mata (37 juta Pound) yang dilakukan pada Januari lalu. Dalam
keadaan Van Gaal begitu terdesak untuk cuba mendapatkan pemain berkualiti bagi
meningkatkan kekuatan skuadnya, nilai sebanyak itu terpaksalah dikorbankan jika
mahu melihat kelab mampu bersaing dengan pencabar-pencabar gelaran yang lain
seperti Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool. Seperti yang saya
sebutkan tadi, Di Maria adalah pemain yang versatile, boleh diletakkan
di belakang dua penyerang, di bahagian tengah atau berperanan sebagai wing
back jika Van Gaal mahu menggunakan tiga pemain pertahanan dalam formasi
3-5-2 yang beliau gemari. Paling penting ialah kemampuan Di Maria mencipta
peluang jaringan tidak kira di posisi mana beliau diletakkan dan faktor itulah
yang amat diperlukan United sekarang.
Di Maria antara pemain Real Madrid yang begitu menonjol sepanjang
musim lalu tetapi pembelian James Rodriguez dari AS Monaco menyebabkan beliau
terpaksa bersaing dengan pemain antarabangsa Colombia itu bagi merebut tempat
dalam kesebelasan utama Los Blancos. Minat United terhadap Di Maria
sebenarnya bukanlah baru kerana pemain ini pernah dikaitkan dengan perpindahan
ke Old Trafford pada 2010 namun Real Madrid ketika itu lebih bertuah kerana
berjaya mendapatkan tandatangan pemain ini selepas beliau memilih meninggalkan
Benfica. Kerana terhadnya pilihan pemain di bahagian sayap, beberapa bulan lalu
Van Gaal pernah mengisyaratkan minatnya terhadap pemain Argentina ini dan atas
alasan tersebut jugalah (kekurangan pemain sayap) mengapa beliau memilih
formasi 3-5-2 dalam satu temubual bersama Sky Sports. Jika diambilkira
apa yang dikatakan Van Gaal, kini timbul pula persoalan adakah beliau akan
mengubah sistem dan taktikal permainannya selepas Di Maria disahkan secara
rasmi menyarung jersi United nanti? Jika Van Gaal mahu mengubah sistem
permainan 3-5-2 yang sudah beliau praktikkan pada perlawanan-perlawanan pra
musim dan dua perlawanan awal United dalam saingan liga, formasi apakah agaknya
yang akan beliau gunakan untuk disesuaikan dengan peranan yang bakal dimainkan
Di Maria nanti? Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Bosnia
Herzegovina di Piala Dunia 2014, Di Maria diletakkan di sebelah kiri dalam
barisan tiga pemain tengah menerusi formasi 5-3-2 yang digunakan Alejandro
Sabella di mana beliau perlu bermain sedikit ke dalam.
Pada perlawanan menentang Iran pula, Sabella menggunakan
formasi 4-3-3 dan ketika Argentina mendominasi peratusan penguasaan bola, Di
Maria berpeluang mara lebih jauh ke hadapan untuk mencipta peluang. Aksi Di
Maria di Piala Dunia yang paling diingati sudah tentu ketika Argentina berdepan
Switzerland di peringkat kalah mati 16 pasukan. Switzerland jelas memberikan
masalah buat Argentina sepanjang perlawanan dan ketika jentera serangan Albiceleste
yang diketuai Leonel Messi pula seolah-olah tiada jawapan dalam usaha mereka
menembusi gawang Diego Benaglio, Sabella bertindak mengubah posisi Di Maria
dengan meletakkan pemain ini di sebelah kanan. Keputusan Sabella berbaloi dan
ketika pemenang perlawanan seolah-olah bakal ditentukan menerusi penentuan
sepakan penalti, Di Maria menjaringkan gol kemenangan yang menghantar Argentina
ke suku akhir ketika permainan berbaki dua minit untuk ditamatkan.
Kesimpulannya, Di Maria boleh berperanan dalam formasi 5-3-2 atau 4-3-3, boleh
bergerak bukan sahaja di sebelah kiri malah juga di sebelah kanan jika situasi
sesuatu perlawanan memerlukan perubahan taktikal segera dilakukan. Jika Van
Gaal bertegas untuk terus menggunakan sistem sekarang (3-5-2), Di Maria boleh
digunakan sebagai wing back di mana kepantasan dan skill menggelecek
yang dimiliki pemain ini boleh digunakan untuk membuka permainan dari sebelah
tepi ataupun ketika melakukan serang balas pantas.
Jika saya diberikan pilihan, saya lebih gemar menyaksikan
Di Maria digunakan dalam formasi 4-3-3 menerusi penggunaan dua pemain sayap di
mana kepantasan yang dimiliki beliau serta Antonio Valencia atau Adnan Januzaj
akan menjadi teras utama kepada sistem tersebut. Atau mungkin juga formasi
5-3-2 boleh digunakan Van Gaal bagi membolehkan Di Maria memainkan peranannya
dengan lebih bebas di belakang dua penyerang. Saya tidak nafikan bahawa
Cristiano Ronaldo adalah pemain paling penting buat Real Madrid musim lalu
tetapi saya juga tidak ragu-ragu untuk meletakkan Di Maria sebagai pemain kedua
terpenting di Santiago Bernabeu selepas pemenang Ballon d'Or itu. Ketika
melihat pemain-peman kelas dunia seperti Alexis Sanchez, Cecs Fabregas dan
Mario Balotelli menyertai Arsenal, Chelsea dan Liverpool, peluang
menandatangani Di Maria adalah kesempatan terbaik untuk kelab membuktikan
kepada penyokong-penyokong bahawa mereka serius meningkatkan kekuatan bagi
mengembalikan semula kelab ke landasan pemburuan trofi selepas kejatuhan
mendadak musim lalu. Kebolehan Di Maria sudah pun terbukti dan kemampuan beliau
bermain lebih daripada satu posisi menjadikan beliau pemain yang berbaloi untuk
ditandatangani. Ini bukan sekadar berita tentang perpindahan pemain kelas dunia
bernama Angel Di Maria, tetapi ini juga melibatkan sebuah kelab besar yang
sedang cuba membina semula kekuatan dan maruah mereka untuk kembali dihormati.
Semoga nilai 60 juta Pound yang dibelanjakan berbaloi dan saya teruja menanti
perpindahan ini segera direalisasikan. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
harap-harap lepas ni MU bangun ler dari tido.. dah tak tahan lagi kena bahan ni... huhuhu
BalasPadamSabar2...fan MU kena tebal telinga kena bahan. Kalau nak hidup tenteram kena sokong Burnley...heheheh
Padamokey2 sekarang hati dah cekal dah.... hahaha... selamanya MU GGMU!
Padam