Di AC Milan, jersi nombor 3 yang pernah disarung Paolo
Maldini dianggap sebagai ikon dan sehingga kini pihak pengurusan Milan tidak
lagi memberikan nombor tersebut kepada mana-mana pemain selepas lagenda itu
mengumumkan persaraannya pada 2009. Jersi ikon (nombor 3) milik Maldini akan
hanya dikeluarkan semula oleh pihak pengurusan Milan untuk diwarisi anak beliau
(Christian) yang kini sedang mengasah bakat bolasepaknya bersama akademi kelab
tersebut. Di Argentina dan Brazil pula, nombor 10 sudah sinonim dengan Maradona
dan Pele, hinggakan penyokong-penyokong Albiceleste pernah mencadangkan
kepada Asociacion del Futbol Argentino (AFA) agar nombor 10 'dibekukan'
terus dari skuad kebangsaan bagi mengiktiraf sumbangan besar Maradona terhadap
bolasepak Argentina. Malaysia juga tidak terkecuali kerana nombor 10 turut
memiliki keistimewaan tersendiri dalam sejarah bolasepak negara kerana jersi
nombor 10 pernah digunakan Allahyarham Mokhtar Dahari ketika zaman kegemilangan
Harimau Malaya. Nombor 3 dan 10 hanyalah sebahagian dari contoh bagaimana
begitu istimewanya nombor tersebut kepada kelab atau skuad kebangsaan, hanya
kerana nombor itu pernah digunakan oleh lagenda-lagenda hebat sebelumnya atau
mungkin (jika ada) atas sebab-sebab lain. Di Manchester United, nombor 7 adalah
paling ikonik dan terkenal berbanding nombor-nombor lain.
Jimmy Delaney |
George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham
dan Cristiano Ronaldo adalah penyarung jersi nombor 7 paling terkenal di
kalangan penyokong-penyokong United kerana kesuksesan pencapaian mereka bersama
kelab sepanjang menyarung jersi tersebut. Best mungkin dianggap pelopor dan
pemain yang menyebabkan nombor 7 begitu terkenal hingga ke hari ini tetapi
beliau sebenarnya bukanlah pemain United pertama yang menggunakan jersi nombor
7. 22 tahun sebelum Best menjulang Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara)
dengan jersi nombor 7, Jimmy Delaney sudah pun menggunakan nombor tersebut
selepas Sir Matt Busby menandatangani beliau dari Celtic pada 1946. Dua tahun
kemudian Delaney berjaya membantu United menjulang Piala FA buat pertama kali
dalam tempoh 40 tahun. Sepanjang empat tahun karier beliau bersama United, Delaney
bermain sebanyak 164 perlawanan dan menjaringkan 25 gol sebelum pulang semula
ke Scotland menyertai Aberdeen pada 1950. Delaney MUNGKIN pemain United pertama
menggunakan jersi nombor 7 kerana sebelum beliau tiada rekod mencatatkan
mana-mana pemain pernah menggunakan nombor tersebut pada jersi mereka. Selepas
Delaney, Johnny Berry juga pernah menggunakan nombor 7 tetapi kecederaan akibat
dari Tragedi Munich menyebabkan beliau terpaksa menamatkan karier bolasepaknya
lebih awal pada usia 31 tahun. Bagaimanapun sepanjang lapan tahun beliau
bersama kelab, Berry berjaya memenangi tiga kejuaraan liga dan pernah dianggap
antara pemain muda terbaik di Britain ketika itu.
George Best |
Seperti yang saya sebutkan tadi, Best adalah pemain yang
bertanggungjawab menyebabkan nombor 7 begitu terkenal terutamanya selepas
beliau bersama-sama Bobby Charlton, Brian Kidd, Pat Crerand, Nobby Stiles, Alex
Stepney dan lain-lain membantu kelab menjulang trofi Eropah buat pertama kali
pada 1968. Meskipun Best juga pernah menggunakan jersi nombor 8, 10 dan 11
sepanjang kariernya bersama kelab, nombor 7 paling diingati serta sinonim
dengan beliau hingga meletakkan beliau antara Magnificent 7 paling
berjaya. Best meninggalkan United enam tahun selepas kejayaan menundukkan
Benfica (final Piala Eropah) di Wembley dan selepas itu jersi nombor 7 disarung
Steve Coppel. Bagaimanapun Coppel gagal meneruskan kegemilangan nombor 7
sepertimana penyandang sebelumnya, seiring dengan kejatuhan United selaku kuasa
bolasepak England. Selepas bertahun-tahun, jersi nombor 7 akhirnya kembali
disarung oleh pemain yang selayaknya menggunakan nombor tersebut dan pemain
yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Bryan Robson. Robson satu-satunya
pemain pertahanan United yang menggunakan nombor 7 (di peringkat awal kariernya bersama United, Robbo juga sering digunakan sebagai pemain pertahanan sebelum beralih ke bahagian tengah sepenuhnya) dan beliau juga merupakan
kapten United paling lama berkhidmat untuk kelab hingga diberikan gelaran Captain
Marvel oleh penyokong-penyokong. Robson bukan sahaja bertindak sebagai
ketua pasukan United tetapi beliau juga adalah 'suara' Sir Alex Ferguson di
tengah padang.
Bryan Robson |
Sepanjang 13 tahun menyarung jersi Unted, Robson berjaya
membantu kelab memenangi 11 medal kejuaraan dalam pelbagai kejohanan dan momen
paling diingati tentunya ketika beliau bersama-sama Steve Bruce menjulang trofi
kejuaraan liga pada 1993. Kejayaan pada 1993 itu sangat manis bukan hanya
disebabkan United muncul pemenang pertama Liga Perdana (menggantikan format
Liga Divisyen 1), tetapi kejayaan tersebut juga menandakan bahawa kelab
akhirnya berjaya menamatkan tempoh 26 tahun tanpa kejuaraan liga sejak kali terakhir
barisan kendalian Sir Matt Busby melakukannya pada 1967. Selepas berakhirnya
era Captain Marvel, kelab tidak perlu menunggu terlalu lama untuk
memberikan jersi nombor 7 kepada pemain yang layak untuk mewarisinya. Eric
Cantona bukan hanya dianggap sebagai pemain yang menjadi kunci kepada
kejayaan-kejayaan United memenangi pelbagai trofi di awal dekad 90an, tetapi
beliau juga adalah guru kepada pemain-pemain muda (terutamanya dari Class of
92) yang mula diketengahkan Sir Alex ke dalam skuad utama. King Eric
bukan sekadar bijak merangka gerakkan bagi memecah benteng pertahanan lawan,
tetapi kelibatnya juga sering kelihatan di bawah dalam membantu benteng
pertahanan ketika diasak. Beliau adalah 'raja' sebenar ketika di atas padang,
ditakuti lawan tetapi dihormati rakan-rakan sepasukan sebagai pemimpin dan
sentiasa memberikan yang terbaik untuk kelab dalam bentuk apa sekalipun. Jadi
tidak hairanlah mengapa Sir Alex menyerahkan jersi nombor 7 kepada beliau
sebagai pewaris seterusnya dari Bryan Robson biarpun Cantona cukup dikenali
sebagai pemain yang penuh kontroversi.
Eric Cantona |
Cantona dibenci penyokong lawan bukan hanya disebabkan
sikap panas barannya tetapi juga kerana kepintarannya ketika di atas padang.
Lupakan sahaja insiden tendangan kung fu yang dilakukan beliau terhadap Matthew
Simmons pada 25 Januari 1995 hingga menyebabkan Cantona digantung selama
sembilan bulan, kerana saya lebih gemar melihat sumbangan besar yang
dimainkannya sepanjang lima musim beliau bergelar pemain United. Ketika saya
belum lagi puas menyaksikan kelibat pemain 'kepala angin' tapi genius ini di
atas padang, Cantona yang sudah bermain sebanyak 185 perlawanan, menjaringkan
82 gol dan mengetuai kelab memenangi empat kejuaraan liga, dua Piala FA dan
tiga Perisai Komuniti akhirnya mengumumkan persaraan dari dunia bolasepak pada
usia yang masih muda (30 tahun). Ketika Cantona melangkah masuk ke gerbang
persaraan, pemain-pemain muda United dari Class of 92 pula nampaknya
sudah bersedia mengambilalih tempat senior-senior mereka dalam skuad utama. Kita
mula melihat kemunculan nama-nama pemain muda United seperti Paul Scholes,
David Beckham, Nicky Butt, adik beradik Neville dan Ryan Giggs membarisi
kesebelasan utama Sir Alex dan jersi nombor 7 yang dikosongkan King Eric
kemudiannya diwarisi Beckham. Beckham tidak memiliki skill kawalan bola
yang menarik tetapi beliau dianugerahkan dengan kelebihan hantaran bola
menerusi kaki kanan yang tepat ke sasaran ibarat seorang penembak hendap.
David Beckham |
Sepertimana Best, Beckham juga boleh dianggap 'bintang
pop' dalam dunia bolasepak kerana ketampanannya, gaya rambutnya yang sering
bertukar-tukar menjadi ikutan, kelibatnya sering menjadi sasaran lensa kamera paparazzi
ketika di luar padang manakala wajahnya pula sering menghiasi billboard
di seluruh dunia. Segala tumpuan yang diberikan dunia terhadap Beckham tidak
menjejaskan ketajaman kaki kanannya dalam situasi bola mati atau ketika
membekalkan hantaran-hantaran berkualiti untuk disudahkan Dwight Yorke, Andy
Cole atau Ruud Van Nistelrooy. Tidak syak lagi bahawa golden boy ini
antara penyarung jersi nombor 7 United paling popular dan kerana populariti
berlebihan serta hidup bak selebriti jugalah menyebabkan hubungan Beckham dan
Sir Alex mula retak hingga kemuncaknya berlaku insiden layangan but di bilik
persalinan. Selepas sebelas tahun menyarung jersi kelab, bermain 364 perlawanan
dan menjaringkan 85 gol, ikatan antara Beckham dan United akhirnya terputus
apabila beliau dilepaskan ke Real Madrid pada musim panas 2003. Di mana pun
Beckham bermain dan jersi kelab mana yang disarungnya, beliau selalu mengatakan
bahawa United adalah kelab yang istimewa dan sentiasa berada di hatinya,
samalah juga dengan kedudukan Beckham di hati penyokong-penyokong United.
Penghijrahan Beckham ke Real Madrid satu kejutan tetapi Sir Alex tidak
membiarkan penyokong-penyokong United terus menangisi kehilangan pemain
bolasepak paling popular itu dengan menandatangani Cristiano Ronaldo dari
Sporting Lisbon.
Cristiano Ronaldo |
Berbekalkan kelicikan kaki kanan dan kirinya memperdaya
lawan, kepantasan larian membelah pertahanan lawan dari sebelah tepi dan
ketepatan rembatan padu kaki kanannya,
kehadiran CR7 pantas membuatkan penyokong-penyokong United berhenti menangisi
pemergian Beckham. Saya tidak pasti adakah keputusan Sir Alex memberikan jersi
nombor 7 kepada Ronaldo yang ketika itu
baru berusia 18 tahun satu bentuk sindiran kepada Beckham ataupun tidak, tetapi
remaja dari Madeira itu berjaya membuktikan bahawa jersi nombor 7 yang pernah
digunakan lagenda-lagenda hebat United sebelum ini bukanlah satu tekanan atau
beban berat untuk beliau pikul. Masih ingatkah lagi bagaimana liciknya remaja
kurus kering ini menghuru-harakan pertahanan Bolton Wanderers pada penampilan
pertamanya untuk United dalam saingan liga kira-kira 11 tahun yang lalu?
Meskipun banyak momen yang ditinggalkan CR7 sepanjang enam tahun beliau
berkhidmat untuk kelab, aksi pertama beliau pada 16 Ogos 2003 adalah momen
paling istimewa untuk saya mengenang beliau sebagai antara pemain terbaik yang
pernah menggunakan jersi nombor 7 United.
Best, Robson, Cantona, Beckham dan Ronaldo akan sentiasa diingati dan
akan terus diingati sebagai pemain lagenda yang pernah menggunakan jersi nombor
7 United. Bagaimanapun tidak semua pemain yang pernah diberikan peluang
menyarung jersi ikon milik kelab itu berjaya meletakkan diri mereka setaraf
dengan kedudukan Best, Robson, Cantona, Beckham ataupun Ronaldo.
Ralph Milne |
Ketika peraturan pendaftaran nombor jersi pemain (hanya
boleh digunakan seorang pemain dalam semusim) mula dikuatkuasakan oleh FA pada
musim 1992-93, Ralph Milne umpamanya pernah berkongsi jersi nombor 7 dengan
Bryan Robson selama tiga tahun dari 1988 hingga 1991. Tidak ramai yang
mengenali Milne terutamanya penyokong-penyokong United dari generasi muda dan
fakta bahawa beliau pernah mengenakan jersi ikon tersebut pastinya agak
memeranjatkan. Selama tempoh tiga tahun bersama kelab, Milne hanya bermain
sebanyak 23 perlawanan liga dan menjaringkan tiga gol, jadi tidak hairanlah
mengapa beliau tidak diingati kebanyakkan penyokong-penyokong United biarpun
pernah menyarung jersi nombor 7. Milne hanyalah salah satu contoh kerana selain
beliau ada beberapa pemain yang gagal mencapai standard diharapkan
sebagai penyarung jersi nombor 7 dan salah seorang daripadanya ialah Keith
Gillespie. Ketika mewakili skuad remaja United, Gillespie pernah memenangi FA Youth
Cup bersama anggota-anggota Class of 92 pada musim 1991-92.
Bagaimanapun nasib Gillespie tidak sebaik rakan-rakan Class of 92 yang
lain di mana kehadiran Andrei Kanchelskis dari Shakhtar Donetsk pada 1991
menyukarkan peluang beliau untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan
utama United. Kanchelskis ketika itu adalah pilihan automatik mengisi posisi
sayap kanan manakala Beckham pula adalah pilihan kedua sekaligus menyebabkan
peluang Gillespie bermain semakin terhad. Gillespie akhirnya dilepaskan ke
Newcastle United pada Januari 1995 sebagai sebahagian dari kesepakatan untuk
kelab mendapatkan khidmat Andy Cole. Gillespie dan Milne mungkin tidak dikenali
langsung oleh penyokong-penyokong generasi muda United, tetapi bagaimana pula
dengan Michael Owen dan Antonio Valencia?
Michael Owen |
Keputusan Sir Alex menandatangani Owen pada musim panas
2009 agak mengejutkan memandangkan bekas pemain Liverpool itu dibelenggu dengan
masalah kecederaan lutut berulang dan dikatakan sudah melepasi zaman
kemuncaknya. Lebih mengejutkan apabila Sir Alex menyerahkan jersi nombor 7 yang
'ditanggalkan' Cristiano Ronaldo kepada Owen sebagai pewaris seterusnya nombor
ikon tersebut. Meskipun berjaya memenangi tiga medal kejuaraan (Liga Perdana,
Piala Liga dan Perisai Komuniti) sepanjang tempoh tiga musim di Old Trafford,
Owen lebih banyak digunakan sebagai supersub berbanding beraksi dalam
kesebelasan permulaan United. Dalam tempoh tersebut juga Owen menjaringkan 17
gol untuk United, dan gol dari beliau yang paling diingati sudah tentulah
jaringan kemenangan yang dihasilkannya dimasa kecederaan dalam perlawanan derby
Manchester di Old Trafford pada 20 September 2009. Selepas Owen menyertai
Stoke City pada 2012, jersi nombor 7 kemudiannya diserahkan kepada Antonio
Valencia yang pada musim sebelumnya (2011-12) antara pemain United paling
cemerlang. Jersi nombor 7 yang pernah digunakan lagenda-lagenda hebat United
nampaknya satu beban yang terlalu berat untuk dipikul Valencia hingga
menjejaskan prestasinya di tengah padang. Walaupun berjaya membantu kelab
menjulang kejuaraan liga ke-20, prestasi Valencia jauh merosot di mana beliau
sendiri percaya bahawa tekanan sebagai pewaris nombor ikon tersebut menyumbang
kepada kemerosotan prestasinya.
Angel di Maria |
Musim lalu, nombor 7 tidak digunakan oleh mana-mana
pemain selepas Valencia memilih untuk kembali menggunakan nombor 25, sekaligus
memberi ruang buat penyokong-penyokong United berteka-teki siapakah pemain
seterusnya yang layak diberikan tanggungjawab menyarung jersi keramat tersebut.
Teka teki tersebut akhirnya terjawab apabila Angel Di Maria secara rasmi
beraksi dengan jersi nombor 7 pada penampilan pertamanya untuk United ketika
berdepan Burnley. Berdasarkan kemampuan dan reputasi dimiliki Di Maria sebelum
ini, saya percaya Louis Van Gaal memilih pemain yang tepat untuk menggalas
tanggungjawab sebagai pewaris jersi nombor 7 seterusnya. Adakah Di Maria mampu
meletakkan dirinya sebaris dengan Best, Robson, Cantona, Beckham dan Ronaldo
sebagai pemain United paling berjaya yang pernah menyarung jersi nombor 7? Atau
adakah tekanan menyarung jersi ikon milik kelab itu akan menyebabkan Di Maria
berada dalam kelompok yang sama dengan Milne, Gillespie, Owen dan Valencia
sebagai pemain yang gagal mencapai standard sepatutnya sebagai salah seorang Magnificent
7? Ketika masih di Madrid, Ronaldo adalah individu yang menyarankan kepada
Di Maria agar memilih United sebagai kelab baharunya jika beliau mahu
meninggalkan Santiago Bernabeu. Semoga Ronaldo juga tidak terlupa untuk
mengingatkan Di Maria betapa istimewanya jersi nombor 7 itu, bukan hanya kepada
pemakainya tetapi juga kepada sejarah dan tradisi United serta
penyokong-penyokongnya. Di Manchester United, jersi nombor 7 adalah ikon dan
istimewa berbanding nombor-nombor lain, semoga Di Maria juga akan diiktiraf
sebagai ikon dan lagenda kelab suatu hari nanti, seiring dengan nombor keramat
(7) yang tertera di belakang jersinya...Glory Glory Manchester United!!! - A.J
nombor 7 ni bukan orang biasa-biasa jer boleh pakai.... tak gitu bro aj? psttt dengar cerita ronaldo nak buat come back bulan januari ni ada betul ka?
BalasPadamBulan Januari rasanya mungkin tidak Ruz. Lagipun masa tu Real tengah rancak bersaing di UCL. Paling realistik transfer musim panas tahun depan. Kalau dia memang betul nak balik...perghhh memang kebabooommmmmmm la. Hahaha
Padamterbaik artikel ni bro
BalasPadamTerima kasih
Padam