01 Oktober 2015

API SENGKETA YANG KIAN MALAP

Bercakap tentang pertembungan Manchester United dan Arsenal tidak akan lengkap sekiranya anda tidak menyebut perseteruan epik antara Roy Keane dan Patrick Vieira dalam topik perbualan anda. Sebaik berakhirnya era penguasaan Liverpool sebagai kuasa dominan di England, United dan Arsenal muncul memberikan warna kepada bolasepak Inggeris menerusi perseteruan hebat mereka bermula di penghujung era 90’an hinggalah awal dekad millennium.

Sebelum Chelsea datang `kacau daun’ menerusi pelaburan besar yang dilakukan Roman Abramovich pada 2003, saban musim pertembungan United dan Arsenal merupakan acara blockbuster yang dinantikan penuh teruja oleh penyokong kedua-dua kelab. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan pertembungan United/Arsenal ketika itu akan hilang serinya tanpa kelibat Keano dan Vieira di atas padang, dua individu yang memainkan pengaruh besar sepanjang karier mereka di Old Trafford dan Highbury.

Walaupun di awal era 90’an, Leeds United, Blackburn Rovers dan kemudiannya Newcastle United silih berganti memberikan cabaran kepada United dalam perebutan kejuaraan liga, Arsenal akhirnya muncul kelab yang memberikan makna sebenar `permusuhan abadi’ kepada barisan Sir Alex Ferguson. Semuanya bermula selepas kehadiran Arsene Wenger dari Nagoya Grampus Eight pada 1996 yang mengubah keseluruhan lanskap di Highbury.

Prestasi Arsenal sedikit demi sedikit mula meledak di bawah kendalian Wenger namun The Gunners perlu berdepan United yang sedang mengharungi tempoh cemerlang mereka dalam saingan domestik. Meskipun dekad-dekad sebelum itu sudah ada beberapa insiden yang membabitkan perseteruan United dan Arsenal, namun tidaklah sehebat ketika era di mana Keano dan Viera mengetuai sepuluh lagi rakan mereka di atas padang.

Daripada percakaran antara Keano dan Vieira hinggalah kepada insiden pizza gate, kesemuanya masih meninggalkan bekas mendalam yang diingati hingga kini setiap kali United dan Arsenal bertemu. Menjelang pertembungan antara kedua-dua pasukan Ahad ini, apa kata kita imbas kembali insiden-insiden paling terkenal yang membabitkan United dan Arsenal sepanjang era kemuncak perseteruan mereka.

Kening Berdarah Beckham

Permusuhan antara Roy Keane dan Ptrick Vieira sebenarnya turut membuatkan api perseteruan antara United dan Arsenal semakin marak. Entah buat keberapa kalinya Keano dan Vieira sekali lagi bertembung di atas padang apabila kedua-dua kelab bertemu di pusingan keempat Piala FA pada 15 Februari 2003. `Panasnya’ perlawanan ini mula dirasakan apabila seawal minit ketujuh permainan lagi, pemain kedua-dua pasukan sudah terlibat dengan pertelingkahan di atas padang.

Suasana `panas’ di atas padang turut terbawa-bawa hingga ke bilik persalinan dan ketika inilah tercetusnya insiden `boot melayang’ yang menyebabkan kening David Beckham berdarah. Kemarahan yang meluap-luap menyaksikan barisan hadapannya gagal menyudahkan banyak peluang terhidang dihamburkan Sir Alex terhadap pemain-pemainnya di bilik persalinan. Si `Hairdryer Treatment’ ini tanpa sengaja melepaskan rembatan padu pada boot pemain yang kemudiannya melayang mengenai Beckham.

Keesokan harinya imej Beckham dengan kening bertampal mendapat liputan utama akhbar berbanding kekalahan 0-2 United kepada seteru domestik mereka itu. Insiden ini juga rupa-rupanya petanda bahawa karier Beckham sebagai `budak emas’ di Old Trafford bakal menuju penamatnya. Diakhir musim Arsenal muncul juara Piala FA selepas mereka menewaskan Southampton di final manakala Beckham pula menamatkan kariernya bersama United dengan menyertai Real Madrid.

Battle of Old Trafford

Satu lagi perlawanan `panas’ membabitkan United dan Arsenal berlaku pada 21 September 2003. Sejak dari awal hinggalah ketiupan wisel terakhir, aksi selama 90 minit di Old Trafford ini berlangsung dengan cukup tegang. Malanglah buat Steve Bennet yang ditugaskan mengadili perlawanan itu kerana beliau terpaksa bekerja keras mengawal permainan agar berjalan lancar sejak dari minit pertama lagi.

Bintang yang menjadi sorotan dalam perlawanan ini siapa lagi jika bukan Ruud Van Nistelrooy dan Martin Keown. `Drama’ sebenarnya bermula diminit ke-80, apabila berlakunya insiden antara Patrick Vieira dan Van Nistelrooy yang hampir mencetuskan pergaduhan  hingga mengundang layangkan kad kuning kedua buat kapten Arsenal itu. Sepuluh minit kemudian kekasaran yang dilakukan Keown ke atas Diego Forlan pula menyebabkan Bennet menghadiahkan sepakan penalti kepada United.

Disinilah kemuncaknya `drama’ perlawanan ini terjadi. Ketika United sudah berkira-kira meraih tiga mata penuh jika Van Nistelrooy berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sepakan penalti yang diambil Van Nistelrooy mengenai palang gol dan sebaik Bennet meniup wisel penamat, Keown dan beberapa pemain Arsenal mengerumuni penyerang Belanda itu dan mula melakukan provokasi berlebihan.

Akibatnya berlaku sekali lagi kekecohan di atas padang hingga menyebabkan FA kemudiannya mengenakan hukuman denda sebanyak £175 ribu (yang tertinggi dalam sejarah hukuman FA) kepada semua pemain yang terlibat. Sepanjang 90 minit perlawanan, Bennet terpaksa melayangkan lapan kad kuning dan satu kad merah hasil dari 31 kekasaran yang dilakukan oleh pemain kedua-dua pasukan. Di akhir musim, Arsenal menjulang kejuaraan Liga Perdana sebagai skuad The Invincibles dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim.

Battle of the Buffet

Ada yang menamakan insiden ini sebagai Battle of the Buffet dan ada juga yang menamakan ia sebagai Pizzagate. Berikan apa sahaja nama yang anda fikirkan sesuai tetapi satu perkara yang tidak akan berubah sampai bila-bila ialah betapa insiden yang berlaku pada 24 Oktober 2004 itu merupakan momen paling terkenal membabitkan perseteruan antara dua kelab bolasepak.

Insiden ini sebenarnya cukup signifikan kerana pada tarikh inilah rekod invincibles 49 perlawanan tanpa kalah milik Arsenal berakhir. Jadi sudah tentu ada ketegangan serta kekecewaan semasa dan selepas perlawanan terutamanya di kalangan pemain-pemain The Gunners apabila perjalanan epik yang dimulakan mereka sejak 7 Mei 2003 berakhir di tangan musuh domestik seperti United.

Menurut Ashley Cole dalam autobiografinya, insiden tersebut bukanlah berpunca dari pemain Arsenal tetapi sebaliknya dimulakan oleh seorang penonton hingga akhirnya mencetuskan suasana kelam kabut dikalangan pemain kedua-dua pasukan. Selepas sebelas tahun dan pada dekad-dekad seterusnya, saya yakin Pizzagate akan sentiasa diingati sebagai simbol perseteruan paling mencuri tumpuan dalam sejarah bolasepak Inggeris khasnya dan dunia amnya.

Permusuhan Keano dan Vieira

Tidak dapat dinafikan bahawa Roy Keane merupakan kapten United paling kontroversi pernah kita saksikan. Ketepikan segala kontroversi yang pernah beliau cetuskan kerana sebagai pemain, Keano memang benar-benar mengagumkan. Kerja kerasnya, semangat meluap-luapnya dan keinginan cukup tinggi untuk menang setiap kali mengetuai rakan-rakan sepasukan, faktor mengapa beliau begitu digeruni kawan dan lawan.

Insiden paling terkenal sepanjang permusuhan Keano dan Vieira berlaku pada 2005 di Highbury. Percakaran lisan antara dua kapten berpengaruh itu dalam terowong pemain yang dirakamkan kamera kekal sebagai momen paling diingati jika kita bercakap tentang perseteruan United dan Arsenal. Semuanya bermula dari `perang kecil’ yang berlaku antara Vieira dan Gary Neville kemudiannya merebak sebaik Keano turut campur tangan.

Akhirnya insiden di terowong itu memancing emosi pemain dari kedua-dua pasukan hingga mencetuskan beberapa ketegangan sepanjang aksi 90 minit di atas padang. Bagaimanapun di sebalik ketegangan yang beliau cetuskan, Keano tetap mampu tersenyum sinis sambil memandang Vieira selepas tamat perlawanan apabila United (menang 4-2) hasil dua jaringan Cristiano Ronaldo, Ryan Giggs dan John O’Shea.

Walaupun selepas bersara sebagai pemain, Keano dan Vieira nampaknya masih sukar bertentang mata hinggalah satu pertemuan diatur sebuah saluran televisyen pada Disember 2013. Bagaimanapun, tempoh dua bulan diperlukan penerbit bagi menyakinkan Keano untuk bertemu Vieira buat pertama kali selepas masing-masing menamatkan kerjaya mereka di Old Trafford dan Highbury pada 2005. Bezanya kali ini pertembungan antara dua lagenda itu bukan berlaku di atas padang tetapi dihadapan kamera.

Berakhirnya Era Keano dan Vieira

Selepas berakhirnya era Keano dan Vieira di Old Trafford dan Highbury, ketegangan antara dua kelab ini juga nampaknya sedikit demi sedkit semakin kendur. Ketika posisi pemain-pemain seperti Keano, Rio Ferdinand, Ruud Van Nistelrooy, Gary Neville, Ryan Giggs, Paul Scholes, Ray Parlour, Thierry Henry, Lauren, Patrick Vieira, Ashley Cole, Martin Keown dan Dennis Bergkamp digantikan dengan generasi pemain baharu, api dendam dan kemarahan yang menghangatkan pertembungan United/Arsenal pada penghujung dekad 90’an dan awal era millennium turut semakin malap.

Adakalanya saya merindui kelibat pemain-pemain `rebel’ seperti Keano, Ferdinand, Vieira dan Keown kerana merekalah sebenarnya yang menyebabkan pertembungan United/Arsenal 10 atau 15 tahun dahulu begitu ditunggu-tunggu. Sejak berakhirnya era Keano dan Vieira juga, Arsenal nampaknya masih bergelut mencari kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 11 tahun. Kemunculan Chelsea dan kemudiannya Manchester City sebagai kuasa baharu bolasepak Inggeris disamping polisi pembelian pemain yang diamalkan Arsene Wenger penyumbang utama mengapa Arsenal kian terpinggir walaupun saban musim mereka konsisten menempatkan diri di kedudukan empat teratas.

Berbanding 10 atau 15 tahun yang lalu, pertembungan United/Arsenal kini bukan lagi dianggap sebagai perlawanan blockbuster Liga Perdana. Di sebalik segala api kemarahan, dendam dan permusuhan yang kian malap, aksi menentang Arsenal tetap satu perlawanan penting yang perlu dimenangi United. Meskipun aksi di Stadium Emirates Ahad ini tidak sepanas ketika era Keano dan Vieira sebagai pemain, saya masih percaya bahawa pertembungan kali ini tetap ada daya penariknya. Perlawanan yang saya percaya mampu memaksa saya terpaku di hadapan televisyen selama dua jam…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

19 September 2015

KALAULAH ADA ROBIN...

“Pahit”…hanya itulah perkataan yang mampu diberikan selepas menyaksikan kekalahan Manchester United pada perlawanan pertama mereka di pentas Liga Juara-Juara musim ini. Menguasai segenap pelusuk padang tidak bermakna anda akan keluar sebagai pemenang selepas 90 minit permainan dan itulah yang berlaku tempohari. Dari segi statistik, United memang jauh berada di hadapan berbanding Eindhoven, tetapi dua jaringan lawan yang dihasilkan menerusi Hector Moreno dan Luciano Narsingh menyebabkan rekod buruk Van Gaal setiap kali bertandang ke Phillips Stadion terus berpanjangan.

Untuk rekod, sepanjang karier kejurulatihannya, Van Gaal hanya mampu menang dua kali di Phillips Stadion. Kemenangan pertama Van Gaal di gelanggang Eindhoven itu berlaku pada aksi saingan Eredivisie 1994/95 ketika beliau membawa barisan Ajax Amsterdam menang 4-1 di sana. Kemenangan kedua pula hadir ketika beliau mengendalikan AZ Alkmaar, manakala sepanjang 26 perlawanan menentang Eindhoven, Van Gaal hanya mampu membawa pasukannya menang lapan kali, enam perlawanan berakhir dengan keputusan seri dan 13 kekalahan.

Awal pagi Rabu lalu, sumpahan Phillips Stadion nampaknya masih menghantui karier kejurulatihan Van Gaal apabila kali ini United di bawah kendalian beliau pula menjadi mangsa. Saya akui track record Van Gaal setiap kali pasukannya berdepan Eindhoven memang buruk, tetapi dalam masa yang sama saya juga perlu mengakui bahawa United masih lagi belum menunjukkan kemampuan sebenar sesuai dengan nilai yang telah dibelanjakan Van Gaal sejak beliau dilantik selaku pengurus di Old Trafford.

Aksi di Phillips Stadion tempohari sekali lagi mendedahkan kekurangan sebenar United, iaitu ketumpulan di jentera serangan. Ketika penguasaan bola menjadi milik mutlak mereka, barisan serangan pula seperti tiada ilham dalam usaha mereka membocori gawang lawan. Melihat kepada situasi terkini, saya mula terfikir apa rasionalnya Van Gaal dengan mudah melepaskan Robin Van Persie ke Fenerbahce sedangkan dalam masa yang sama beliau tidak membawa pengganti setaraf untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penggempur handalan dari Belanda itu.

Melihat `stok’ penyerang yang dimiliki kelab semakin berkurangan selepas penghijrahan Van Persie dan Radamel Falcao, Van Gaal membuatkan kita sekali lagi bingung apabila bertindak menjual Javier Hernandez kepada Bayern Levekusen dan meletakkan Adnan Januzaj di Signal Iduna Park sebagai pemain pinjaman. Kurangnya pilihan pemain di jentera serangan menyebabkan Van Gaal pernah melakukan percubaan dengan meletakkan Memphis Depay sebagai penyerang tengah di belakang Wayne Rooney tetapi tidak berhasil.

Ketika perlawanan menentang Liverpool Sabtu lalu, Van Gaal menggunakan Marouane Fellaini sebagai `targetman’ berikutan ketiadaan Rooney yang mengalami kecederaan. Walaupun berjaya menewaskan musuh tradisi mereka itu, Fellaini bukanlah pilihan yang tepat untuk diletakkan sebagai `pemburu gol’. Sepanjang separuh masa pertama, pergerakkan Fellaini mudah dibaca pertahanan Liverpool tetapi perubahan taktikal di babak kedua apabila Van Gaal memasukkan Ashley Young dan Anthony Martial berjaya mengubah situasi.

Apa yang sedang dihadapi United ketika ini membuatkan saya mula terfikir alangkah baiknya jika kelibat Robin Van Persie masih ada dalam pasukan. Saya akui Van Persie tidak sepantas dua atau tiga tahun yang lalu tetapi ketajaman naluri pembunuhnya serta pengalaman luas yang dimiliki bekas kapten skuad kebangsaan Belanda itu tidak dimiliki Anthony Martial ataupun James Wilson. Saya akui Martial merupakan satu pembelian yang bagus untuk jangkamasa panjang tetapi dengan usia yang masih muda dan cetek pengalaman, beliau perlukan beberapa tahun lagi sebelum muncul pemain yang lebih bagus.

Akhirnya suka atau tidak, kita terpaksa mengakui bahawa keputusan Van Gaal melepaskan Robin Van Persie bukanlah satu keputusan yang bijak. Saya masih mengingati gol menakjubkan yang dihasilkannya ke gawang Aston Villa dalam aksi liga yang dilangsungkan di Old Trafford pada 23 April 2013. Gol sehebat itu perlukan kemahiran teknikal yang hebat dari seorang pemain yang hebat dan itulah kualiti yang sering diperagakan Van Persie kepada kita selama bertahun-tahun beliau mengerah keringatnya di Liga Perdana.

Selepas berakhir perlawanan tersebut, Van Persie ketika ditanya wartawan mengatakan bahawa gol seperti itu memang sukar dihasilkan. “Jika anda lihat situasinya dan betapa pentingnya gol tersebut, maka itu adalah salah satu gol terbaik pernah saya jaringkan. Umpanan Wayne Rooney sungguh luarbiasa. Dia perlu membaca pergerakkan saya kerana ketika itu saya berlari melepasi Ron Vlaar. Bola betul-betul jatuh dihadapan saya dan anda perlukan sedikit tuah kerana tendangan seperti itu boleh sahaja melambung tinggi atau tersasar”, kata Van Persie.

Gol jaringan Van Persie itu diiktiraf sebagai antara `goal of the decade’ dan di akhir musim dicalonkan untuk Puskas Award 2013 serta penghargaan tahunan untuk kategori gol terbaik. Sebelum meninggalkan Stadium Emirates pun, Van Persie masih sempat meninggalkan momen untuk dikenang penyokong-penyokong Arsenal menerusi gol cantiknya ke gawang Everton. Memang Van Persie sudah sinonim dengan gol-gol indahnya baik ketika bersama Arsenal mahupun skuad kebangsaan Belanda terutamanya menerusi sepakan-sepakan kencang serta voli dari kaki kirinya.

Jika anda masih ingat, kemenangan ke atas Aston Villa pada 23 April 2013 itu juga sebenarnya mengesahkan kedudukan United selaku juara liga musim 2012/13. Selepas tewas dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim sebelumnya kepada Manchester Cty menerusi perbezaan gol, musim 2012/13 dianggap musim paling penting buat United untuk bangkit kembali. Bagi seluruh pasukan, terlepas kejuaraan liga pada perlawanan terakhir hanya menerusi perbezaan jaringan selepas seluruh musim berhempas pulas merupakan satu pukulan psikologi yang bukan sedikit kesannya.

Untuk menewaskan City, Sir Alex Ferguson sedar bahawa beliau perlu mendapatkan `senjata baharu’ untuk diletakkan dalam skuadnya. Beliau beruntung ketika itu kerana di Stadium Emirates ada seorang pemain yang tidak gembira kerana misi peribadinya mahu memenangi medal kejuaraan sulung Liga Perdana sebelum bersara masih tidak kesampaian walaupun sudah lapan musim di England.

Berbekalkan kebolehan teknikal yang cukup bagus sebagai seorang penyerang dan keinginan meluap-luap untuk menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali dalam kariernya, Robin Van Persie adalah `faktor penentu’ yang dicari-cari Sir Alex untuk memberikan kelebihan kepada pasukannya. Musim panas 2012, Van Persie akhirnya menamatkan ikatannya bersama Arsenal selepas lapan musim memperagakan ketajamannya selaku `penembak tepat’ The Gunners.

Tawaran United untuk mendapatkan penyerang handalannya tidak dapat ditolak Arsene Wenger, manakala Van Persie pula percaya dengan menyertai United medal kejuaraan Liga Perdana akan dikalungkan di lehernya di akhir musim nanti. Akhirnya berbekalkan ketajaman Van Persie di jentera serangan di samping bantuan yang diberikan Wayne Rooney dari belakang, kejuaraan Liga Perdana berjaya dirampas dari Stadium Etihad.

Sepanjang musim 2012/13, jentera serangan United menghasilkan 86 gol di mana 41 daripadanya adalah dari sumbangan Van Persie menerusi 26 gol yang dijaringkannya dan 15 assist yang diciptanya. Atau lebih tepatnya 47.67% dari gol yang dihasilkan United sepanjang musim tersebut adalah menerusi penglibatan Van Persie. Kejuaraan liga musim tersebut merupakan kejuaraan liga ke-20 buat United tetapi yang terakhir untuk Van Persie dan Sir Alex.

Pengumuman pengunduran Sir Alex dari kerusi pengurus rupa-rupanya memberikan kesan bukan sedikit kepada Van Persie. Beliau pemain United paling kecewa sebaik mendengar pengumuman itu dan apa yang beliau rasakan sebenarnya cukup mudah difahami. Selain mahu memburu kejuaraan sulung Liga Perdana, faktor Sir Alex juga antara penyebab yang mempengaruhi keputusan beliau memilih Old Trafford sebagai destinasinya selepas meninggalkan Stadium Emirates. Bukan hanya medal kejuaraan Liga Perdana jadi buruan, tetapi Van Persie sebenarnya memasang impian mahu bermain di bawah kendalian Sir Alex untuk beberapa musim lagi.

Musim 2013/14 di bawah kendalian David Moyes merupakan musim paling mengerikan terutamanya buat generasi baharu penyokong United yang sudah terbiasa dengan kejuaraan demi kejuaraan yang dihadiahkan Sir Alex sepanjang eranya. Bukan hanya United yang menerima kesannya malah Van Persie juga begitu. Sepanjang musim tersebut Van Persie hanya mampu menyumbangkan 12 gol dari 21 penampilan. Kecederaan yang membataskan penampilan beliau juga antara penyebab mengapa statistik jaringannya jatuh mendadak.

Kedatangan Van Gaal sebagai pengganti Moyes pada mulanya dilihat ramai pihak mampu melonjakkan semula prestasi Van Persie, namun hal itu tidak berlaku. Statistik jaringan Van Pesie terus menjunam di mana beliau hanya mampu menjaringkan 10 gol dari 27 penampilan liga. Beberapa siri kecederaan sekali lagi menganggu penampilannya di atas padang selain aksi di Piala Dunia turut memberikan kesan kepada kudrat pemain yang sudah berusia seperti beliau.

Akhirnya karier Van Persie di Old Trafford hanya bertahan selama tiga musim sebelum beliau akhirnya di lepaskan ke Fenerbahce. Musim pertama dilalui beliau dengan penuh gemilang dan dua musim selepas itu dipenuhi dengan ketidaktentuan. Apapun yang berlaku disebalik penghijrahan Van Persie, saya hingga sekarang masih menganggap keputusan Van Gaal menjual pemain ini adalah satu kesilapan yang besar.

Ketumpulan jentera serangan di Phillips Stadion tempohari bukanlah yang pertama berlaku ke atas United setakat ini. Tiga aksi awal liga menyaksikan United hanya mampu menjaringkan dua gol dan melepaskan tiga percubaan tepat ke arah gawang lawan walaupun menang dua dari tiga perlawanan mereka. Dua dari tiga gol yang dijaringkan United ketika berdepan Liverpool pula dijaringkan oleh pemain tengah (Ander Herrera menerusi sepakan penalti) dan pertahanan (Daley Blind).

Saya sedikit resah menyaksikan statistik jaringan United setakat ini terutamanya dalam saingan liga apabila mereka hanya mampu menghasilkan enam gol dari lima perlawanan. Itu pun tiga daripadanya disumbangkan pemain tengah manakala satu gol sendiri dari pemain lawan (Kyle Walker). Menyaksikan apa yang sudah berlaku di Phillips Stadion tempohari, saya hanya mampu berharap Wayne Rooney segera kembali beraksi untuk memberikan sedikit nafas kepada jentera serangan United.

Buat masa sekarang pemain paling sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai penyerang tengah ialah Anthony Martial. Martial memiliki kekuatan dan kepantasan, cuma tekniknya perlu dipertajamkan sebelum beliau boleh menghadirkan gentar kepada barisan pertahanan lawan. Dengan sokongan Rooney di belakangnya, saya yakin kombinasi Rooney/Martial boleh diharap untuk memburu gol. Inilah sahaja pilihan yang Van Gaal ada selain percubaan meletakkan Ashley Young selaku penyerang tengah seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

Jika prestasi sama ketika berdepan Liverpool mampu diulangi Martial, saya percaya anak muda ini boleh diharap untuk bertindak selaku penggempur, cuma masalahnya pemain muda seperti beliau sering berdepan masalah konsistensi. Kini saya ingin melihat apa percaturan seterusnya yang bakal dilakukan Van Gaal selepas skuadnya ditewaskan Eindhoven. Akan berlaku lagikah perubahan kepada barisan serangan United pada aksi di Stadium St Mary nanti? Jika itu berlaku, giliran pemain manakah kali ini yang bakal digunakan Van Gaal selaku penggempur?

Melihat kepada situasi terkini, tidakkah anda pernah terfikir alangkah baiknya jika penyerang berpengalaman dan sebagus Van Persie masih ada dalam pasukan? Walaupun beliau sudah berusia, saya masih merasakan penyerang berpengalaman serta punya ketajaman seperti Van Persie masih mampu memberikan sumbangan besar dan menghadirkan `fear factor’ kepada mana-mana pertahanan lawan. Menyaksikan aksi United di Phillips Stadion tempohari, hati saya tiba-tiba terdetik dan berkata…”Ohhh alangkah bagusnya jika ketika ini ada Robin”.. Glory Glory Manchester United!!! - AJ 

15 September 2015

`THIERRY HENRY BAHARU' ATAU `JELMAAN PAOLO ROSSI' YANG GAGAL

Sama seperti penyokong Manchester United yang lain, saya juga nampaknya tidak dapat menahan diri dari bercakap tentang pemuda bernama Anthony Martial ini. Ketika keputusan United membayar £36 juta dipersoalkan Arsene Wenger, Martial pula tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan betapa beliau memang layak memegang status sebagai pemain remaja termahal dunia. Gol jaringan Martial ke gawang Liverpool pada pertemuan North West Derby kelmarin dianggap ramai pihak persis apa yang pernah dilakukan Thierry Henry semasa zaman gemilangnya di Highbury.

Dimasukkan Van Gaal sebagai pengganti Juan Mata ketika masa sebenar permainan masih berbaki 25 minit untuk ditamatkan, Martial hanya memerlukan 20 minit untuk merakamkan gol sulungnya pada penampilan pertama dengan jersi merah United. Ini bukan tentang gol pertama dari seorang anak muda yang hanya berusia 19 tahun pada saingan tertinggi bolasepak Inggeris, tetapi bagaimana cara gol itu dihasilkan. Menerima hantaran Ashley Young, Martial melarikan bola dari sebelah kiri, membelah tiga pertahanan Liverpool dan kemudiannya mudah menolak bola masuk dengan kaki kanan ke gawang Simon Mignolet.

Cara Martial menjaringkan gol tersebut langsung tidak menggambarkan bahawa inilah aksi pertamanya dalam saingan bolasepak Inggeris, liga yang digambarkan paling sukar di dunia oleh kebanyakkan warga bolasepak. Masih sukar untuk saya percaya bagaimana mudahnya Martial melepasi kekangan Martin Skrtel, seorang defender yang memang kita kenal memiliki reputasi tidak punya belas ikhsan kepada mana-mana penyerang lawan di Liga Perdana. Gol itu juga menyebabkan Christian Benteke `tidak diingati’, walaupun bekas penyerang Aston Villa itu menjaringkan gol tercantik dalam saingan liga setakat ini, dua minit sebelum Martial meledak gol sulungnya untuk United.

Saya yakin sebelum ini tidak ramai penyokong-penyokong United ambil tahu siapa sebenarnya sosok anak muda yang dilahirkan pada 5 Disember 1995 ini, walaupun di negara asalnya beliau diletakkan sebagai antara bintang masa depan bolasepak Perancis. Bagaimanapun segalanya berubah dengan begitu pantas, apabila timbulnya laporan bahawa United sudah pun membentangkan tawaran kepada AS Monaco untuk membawa beliau keluar dari Stade Louis II. Belumpun kejutan kegagalan kelab mendapatkan Pedro Rodriguez reda, kita disentak pula dengan perkhabaran bahawa kelab terpaksa membayar sebanyak £36 untuk khidmat seorang pemain yang masih belum terbukti kemampuannya.

Siapakah sebenarnya anak muda bernama Anthony Martial ini dan apa keistimewaan yang beliau miliki sebagai pemain bolasepak hingga memaksa United menobatkan beliau sebagai pemain remaja termahal dunia? Seperti yang saya sebutkan tadi, Martial dilahirkan pada 5 Disember 1995, sebelas bulan selepas Eric Cantona melepaskan tendangan kung fu tepat ke arah Matthew Simmons. Ketika zaman remajanya, Martial memulakan karier bolasepak bersama kelab CO Les Ulis yang beraksi di Division Superieure Regionale (divisyen ketujuh bolasepak Perancis), kelab sama yang pernah disertai Thierry Henry dan Patrice Evra.

Bakat dan potensi Martial berjaya dikesan pencari bakat Olympique Lyon pada 2009 dan beliau kemudiannya menyertai akademi Les Gones pada usia 14 tahun. Keputusan Martial berpindah ke Stade de Gerland mendatangkan hasil apabila beliau mula mencipta nama bersama skuad remaja Lyon. Pada musim keduanya bersama Lyon, Martial menjaringkan 32 gol dari 21 penampilan di peringkat junior sekaligus membolehkan beliau dipanggil menyertai skuad U-17 Perancis kekejohanan Piala Eropah 2012.

Walaupun gagal membantu Les Blues mara lebih jauh pada kejohanan yang dilangsungkan di Slovenia itu, potensi yang dimiliki Martial membolehkan beliau diberikan peluang tampil dalam skuad kedua Lyon. Musim 2012/13, Martial meledak lima gol dari sebelas penampilan bersama skuad kedua Lyon hingga menarik minat Remi Garde untuk diserapkan ke dalam barisan senior pimpinannya. Bersama skuad senior Lyon, Martial hanya sempat beraksi selama 57 minit di pentas Ligue 1 sebelum AS Monaco hadir dengan tawaran €5 juta untuk membawanya ke Stade Louis II pada musim panas 2013.

Di Monaco, meskipun Martial terpaksa bersaing dengan penyerang lebih senior dan punya nama besar seperti Dimitar Berbatov, Radamel Falcao dan Valerie Germain, beliau masih mampu melakukan 15 penampilan di pentas Ligue 1 dan menjaringkan dua gol. Claudio Ranieri ketika itu yakin, Martial punya potensi besar untuk muncul pemain disegani suatu hari nanti tetapi perlu bekerja keras untuk lebih konsisten dan mengasah ketajaman penyudahnya. Peluang berlatih dan bermain bersama-sama bintang besar seperti Falcao dan Berbatov digunakan sepenuhnya oleh Martial untuk belajar dan memperbaiki kemahirannya di atas padang.

Penghijrahan Radamel Falcao dan James Rodriguez pada musim panas 2014 menyebabkan Leonardo Jardim mengubah pendekatan dengan mengetengahkan pemain-pemain muda dalam pasukannya. Sepanjang musim lalu, Martial melakukan 35 penampilan liga di mana 19 daripadanya bermula dalam kesebelasan utama. Sembilan gol yang dihasilkannya sepanjang musim lalu juga menyaksikan Martial muncul pemain remaja yang mencatatkan jaringan tertinggi berbanding rakan-rakan seangkatannya yang beraksi di lima liga utama Eropah.

Melihat kepada statistik dan perjalanan karier `setahun jagungnya’, Martial mungkin bukanlah `pemain idaman’ penyokong-penyokong United untuk ditandatangani sepanjang jendela perpindahan musim panas dibuka. Saya yakin ada sebabnya mengapa United sanggup membayar harga yang begitu tinggi kepada AS Monaco hanya semata-mata mahu mendapatkan seorang pemain mentah seperti Martial ketika kelab sendiri berpeluang mendapatkan pemain yang jauh lebih berpengalaman dan punya nama besar.

Louis Van Gaal menegaskan kelibat Martial sudah dipantau selama berbulan-bulan oleh pasukan pencari bakat United, maka atas sebab itulah mengapa beliau begitu yakin dengan potensi milik pemain muda ini dan sanggup melabur besar untuk seorang pemain yang masih mentah serba serbi. Jika apa yang dipamerkan Martial pada aksi North West Derby tempohari, saya yakin sedikit sebanyak anda tentu faham mengapa Van Gaal tiba-tiba mengalihkan tumpuannya dari pemain yang lebih berpengalaman di Nou Camp kepada seorang pemain mentah di Stade Louis II.

Martial masih muda, ada jalan yang masih panjang perlu diharunginya dan sehingga aksi di Old Trafford tempohari, beliau baru bermain sebanyak 53 perlawanan dalam liga kompetitif di peringkat senior. Dengan hanya 53 perlawanan yang sudah diharunginya, Martial tidak akan menjadi pemain yang bagus tetapi saya percaya anak muda ini akan muncul pemain yang jauh lebih bagus berbanding sekarang selepas 100 atau 150 perlawanan.

Bukan tugas mudah buat Martial menyamai rekod Thierry Henry yang menjaringkan 226 gol dari 369 penampilan bersama Arsenal dari 1999 hingga 2007 tetapi saya yakin beliau ada kebolehan untuk melakukannya. Bukan sahaja memiliki teknik permainan yang hampir sama dengan lagenda Arsenal itu, Martial juga boleh berfungsi sebagai penyerang tengah dan juga sayap. Jenis pemain seperti ini memang sukar dikawal pertahanan lawan kerana kelibat mereka boleh `hilang’ secara tiba-tiba dari posisi asal.

Mungkinkah tiga atau empat tahun dari sekarang kita berpeluang menyaksikan kelibat seorang lagi `Thierry Henry’ tetapi dengan jersi merah United memporak-perandakan pertahanan lawan di Liga Perdana? Berharaplah semoga ianya menjadi kenyataan kerana kita tidak mahu menyaksikan seorang `Thierry Henry Baharu’ gagal mencapai potensi sebagaimana gagalnya Federico Macheda yang pernah dilabel sebagai `Jelmaan Paolo Rossi’. Pentas sudah tersedia dan bola kini berada dikakinya, terpulang kepada Martial untuk memilih sama ada mahu menjadi `Thierry Henry’ atau `Jelmaan Paolo Rossi’ yang gagal sepertimana Macheda…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

10 September 2015

NORTH WEST DERBY...SENGKETA YANG TIDAK AKAN ADA PENAMATNYA


Apabila kita bercakap tentang Liga Perdana atau lebih tepatnya bolasepak England, tidak lengkap rasanya jika tidak menyebut tentang perseteruan panjang yang membabitkan Manchester United dan Liverpool. Saya akui, Liverpool sekarang bukanlah Liverpool yang begitu gah ketika mereka di bawah era kendalian Bill Shankly, Bob Paisley, Joe Fagan ataupun Kenny Dalglish, tetapi itu tidak bermakna bahawa North West Derby juga sudah hilang serinya.

Meskipun Shankly boleh dianggap sebagai `Bapa Bolasepak’ Liverpool, pengunduran beliau dari kerusi pengurus pada musim panas 1974 langsung tidak menjejaskan empayar yang beliau bina di Anfield selepas meninggalkan Huddersfield Town pada 1959. Di bawah era Paisley, Fagan dan Dalglish, Liverpool mendominasi pentas bolasepak Inggeris dan Eropah selama 15 tahun (1975 hingga 1990).

Ketika Liverpool sukses menakluk pentas domestik dan Eropah, United pula masih tercari-cari sosok pengurus yang mampu meletakkan kembali The Red Devils di tempat sepatutnya sejak kali terakhir Sir Matt Busby dan skuadnya membawa pulang trofi liga pada musim 1966/67. Paling malang, saat Liverpool menikmati kegemilangan mereka dengan muncul kelab Inggeris paling di cemburui ketika itu, United pula sekadar beraksi di Divisyen 2 liga England sepanjang musim 1974/75.

Itu cerita dulu kerana keadaan kini sudah berputar 360° darjah. Di mana pun kedudukan United dan Liverpool dalam carta liga, satu hakikat yang anda tidak boleh nafikan ialah betapa dua kelab ini merupakan ikon bolasepak England, meskipun Chelsea serta Manchester City tiba-tiba muncul sebagai pencabar kejuaraan liga dalam tempoh sepuluh tahun terakhir menerusi pelaburan besar yang dilakukan Roman Abramovich dan Sheikh Mansour Al-Nahyan.

Dan tidak boleh dinafikan juga bahawa saban tahun penyokong-penyokong United serta Liverpool menjadikan pertembungan dua musuh tradisi ini sebagai `acara tahunan’ paling dinanti-nanti berbanding jika United atau Liverpool bertemu pencabar domestik yang lain. Hujung minggu ini, kedua-dua kelab sekali lagi bakal berdepan buat kali ke-166 dalam sejarah pertembungan mereka (dalam saingan liga).

Sepertimana pertembungan yang membabitkan United dan Liverpool sebelum ini sejak kali pertama mereka bertemu pada 28 April 1894, saya yakin atmosphere North West Derby kali ini akan tetap panas. Tidak dapat dipastikan secara tepat sejak bila kedua-dua kelab ini saling bemusuhan, namun ada pendapat yang mengatakan bahawa bibit-bibit kebencian mula timbul selepas terbinanya sebuah terusan yang dinamakan Manchester Ship Canal pada 1 Januari 1894.

Dengan terbinanya terusan sepanjang 58 km ini, kebergantungan kepada Pelabuhan Liverpool untuk membawa masuk bahan mentah kepada industri kapas di Manchester (ketika kemuncak zaman revolusi perindustrian) turut berakhir, sekaligus menjejaskan mata pencarian ribuan warga Liverpool yang menjadikan pekerjaan di pelabuhan sebagai sumber mata pencarian. Jadi memang ada logiknya bahawa perseteruan dua kota ini sudah bermula sebaik terusan Manchester ini memulakan operasinya secara rasmi kira-kira 121 tahun yang lalu.

Setahun selepas siapnya Terusan Manchester, Newton Heath (nama asal United) dan Liverpool akhirnya bertembung sesama sendiri pada aksi yang diadakan di Anfield pada 12 Oktober 1895. Kemenangan 7-1 yang dilakar Liverpool dalam perlawanan itu kekal sebagai rekod jaringan terbesar membabitkan perseteruan 117 tahun antara kedua-dua kelab.

Jika kewujudan Terusan Manchester menyebabkan bibit kebencian mula timbul antara dua kota yang dipisahkan dengan jarak tidak sampai 50 km ini, kehadiran Bill Shankly sebagai pengurus di Anfield pula adalah permulaan kepada maraknya permusuhan antara United dan Liverpool. Shankly sendiri sebenarnya mengagumi pencapaian skuad kendalian Sir Matt Busby tetapi dalam masa yang sama beliau meletakkan misi besar mahu menyingkirkan United sebagai penguasa bolasepak Inggeris ketika itu.

Situasi Shankly ketika peringkat awal karier pengurusannya di Anfield sebenarnya mirip dengan apa yang dihadapi Sir Alex Ferguson di Old Trafford selepas beliau dilantik menggantikan Ron Atkinson. Hanya dalam tempoh lima tahun, Shankly berjaya mengangkat Liverpool dari kelab yang pernah beraksi di Divisyen 2 kepada juara Divisyen 1 (musim 1963-64), sekaligus memecah dominasi United dan Everton yang berada pada puncak prestasi mereka ketika itu.

Dua tahun kemudian (musim 1965-66), Shankly sekali lagi berjaya mengemudi Liverpool menjulang trofi liga selain kejayaan memenangi kejuaraan Piala FA buat pertama kalinya dalam sejarah kelab Merseyside itu. Bermula pertengahan era 60’an pula, persaingan antara United dan Liverpool bertambah sengit dimana pertembungan antara kedua-dua kelab ini dianggap sebagai `acara tahunan’ terbesar dalam kalendar bolasepak Inggeris.

Selepas kejayaan berganda musim 1965-66, Shankly gagal menghadiahkan sebarang trofi dalam kabinet kejuaraan di Anfield. Bagaimanapun sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya menanamkan kepercayaan bukan sahaja dalam diri pemain-pemainnya tetapi juga penyokong-penyokong The Reds bahawa mereka adalah kelab terbesar di England.

Lebih daripada itu, Shankly meletakkan United yang sedang merajai bolasepak Inggeris ketika itu sebagai sasaran yang harus mereka atasi. Sebagai kota paling hampir dan dengan sejarah permusuhan sebelum ini, mengalahkan United di atas padang merupakan motivasi paling utama yang ditanamkan Shankly dalam diri barisan pemain-pemainnya.

Jika era sebelumnya United begitu sukses mendominasi bolasepak Inggeris, dekad 70’an pula menyaksikan tampuk penguasaan bertukar tangan. Apa yang paling dibimbangi penyokong-penyokong United akhirnya menjadi kenyataan apabila kelab tersingkir ke Divisyen 2 pada musim 1974-75, sambil kuasa dominan kini berada ditangan Liverpool pula yang menang lima kejuaraan liga sepanjang dekad tersebut.

Kejayaan United pimpinan Tommy Docherty mengatasi Liverpool di pentas final Piala FA 1977 sedikit sebanyak mencetus sedikit sinar ketika gemilang ciptaan The Busby Babes hanya tinggal sejarah untuk dikenang. Walaupun kemenangan 2-1 yang dilakar United ke atas skuad bimbingan Bob Paisley menerusi jaringan Stuart Pearson dan Jimmy Greenhoff tidak mampu menamatkan dominasi Liverpool, kejayaan itu tetap satu kemenangan psikologi ke atas The Reds ketika mereka mula meniti zaman keemasan mereka.

Dekad 80’an pula menyaksikan tidak banyak perubahan besar berlaku dengan Liverpool terus menguasai pentas bolasepak England apabila mereka menang enam kejuaraan liga sepanjang tempoh sepuluh tahun. Berbanding United yang ditinggalkan Sir Matt Busby, Liverpool pula masih mampu mengekalkan penguasaan mereka meskipun diterajui oleh tiga individu berbeza (Bob Paisley, Joe Fagan dan Kenny Dalglish) selepas berakhirnya era Bill Shankly di Anfield.

Ketika kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Liverpool terus dicemburui, United di bawah kendalian Ron Atkinson pula berjaya memenangi kejuaraan Piala FA sebanyak dua kali (musim 1982-83 dan 1984-85). Sir Alex Ferguson yang dibawa masuk pihak pengurusan United bagi menggantikan tempat Atkinson pula muncul arkitek di sebalik kejayaan kelab menjulang kejuaraan Piala FA (musim 1989-90).

Siapa sangka kejayaan Sir Alex menghadiahkan trofi sulungnya (Piala FA) sebagai pengurus di Old Trafford rupa-rupanya petanda bahawa era keemasan Liverpool selama dua dekad sebagai penguasa bolasepak Inggeris bakal berakhir. Resah penyokong-penyokong United menanti bilakah tamatnya kemarau 26 tahun kejuaraan liga menemui titik nokhtah apabila Steve Bruce dan Bryan Robson menjulang trofi tersebut di penghujung musim 1992-93.

Lebih manis kejayaan itu juga menandakan bahawa United merupakan kelab pertama yang menjulang kejuaraan Liga Perdana selepas format baharu saingan liga diperkenalkan oleh FA England. Tiga tahun selepas kejayaan United merangkul kejuaraan liga, dua musuh tradisi ini kembali dipertemukan di pentas final Piala FA buat kali kedua sejak kejayaan anak-anak buah Tommy Docherty ke atas The Reds pada edisi 1976-77.

Sepertimana pertembungan pertama di Wembley 19 tahun yang lalu, United sekali lagi muncul pemenang menerusi jaringan tunggal Eric Cantona. Hingga sekarang saya masih tidak dapat melupakan detik dimana maestro dari Perancis ini melepaskan voli menarik yang melepasi celah-celah pertahanan Liverpool sebelum menerjah gawang David James ketika masa sebenar permainan berbaki lima minit untuk ditamatkan.

Hingga sekarang rakan-rakan saya dari kalangan penyokong Liverpool masih bercakap tentang perlawanan ini jika sesekali kami bertemu. Jadi fahamlah saya betapa dalamnya luka yang masih berbekas akibat dari kekalahan ini walaupun sepuluh tahun selepas itu Liverpool berjaya menewaskan United di pentas final Piala Worthington (Piala Liga) menerusi jaringan Steven Gerrard dan Michael Owen.

Sejak kali terakhir The Reds menjulang kejuaraan liga pada musim 1989-90, kini tiba pula giliran mereka menyaksikan kembalinya United sebagai raja bolasepak England. Sepertimana yang pernah beliau janjikan, bahawa kehadirannya di Old Trafford berbekalkan misi mahu menamatkan dominasi Liverpool, Sir Alex memacu kejayaan United dengan memenangi kejuaraan demi kejuaraan sepanjang dekad 90’an.

Dalam tempoh sepuluh tahun, Sir Alex memacu kejayaan United di peringkat domestik menerusi enam kejuaraan liga, tiga kejuaraan Piala FA, satu kejuaraan Piala Liga dan lima kejuaraan Perisai Komuniti. Gemilang paling besar ciptaan Sir Alex sepanjang dekad tersebut (90’an) pastinya saat United menundukkan Bayern Munich secara dramatik di pentas final Liga Juara-Juara `99 menerusi dua gol lewat permainan sumbangan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer.

Kejayaan gemilang di Nou Camp itu melengkapkan kejuaraan treble The Red Devils sekaligus menandakan musim paling gemilang sepanjang karier pengurusan Sir Alex di Old Trafford. Hingga kini tiada mana-mana kelab Inggeris yang mampu menyamai pencapaian United dengan memenangi tiga kejuaraan sekaligus (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara) dalam semusim. Dengan begitu ketatnya persaingan di Liga Perdana, saya yakin pencapaian yang dilakar skuad Treble `99 United sukar dihampiri apatah lagi diatasi oleh mana-mana kelab Inggeris.

Selepas dekad 90’an yang penuh gemilang ditinggalkan, United nampaknya masih lagi kekal sebagai barisan paling dicemburui di Liga Perdana. Meskipun Chelsea tiba-tiba muncul sebagai kelab besar bolasepak Inggeris diikuti Manchester City menerusi kuasa wang yang dicurahkan pemilik kelab, United masih mampu menambah lima lagi koleksi kejuaraan liga dalam kabinet trofi mereka.

Sepanjang sepuluh tahun dekad millennium, United, Chelsea dan Arsenal silih berganti menjulang trofi Liga Perdana, manakala Liverpool pula terus memerhati dari jauh. Paling hampir The Reds mendekati United ialah pada musim 2008-09, tetapi kegagalan mengekalkan momentum di penghujung musim menyebabkan barisan kendalian Rafa Benitez terpaksa berputih mata.

Musim 2008-09 saya anggap antara musim paling sengit membabitkan perlumbaan mengejar kejuaraan liga, apatah lagi ia melibatkan dua kelab yang saling bermusuhan seperti United dan Liverpool. Kecundangnya Liverpool dalam perebutan kejuaraan liga ketika itu bukan hanya disebabkan faktor konsistensi tetapi juga kegagalan Rafa Benitez mengawal emosi hasil dari beberapa siri perang psikologi yang dilancarkan Sir Alex.

Ternyata, Sir Alex memang seorang pakar strategi bukan sahaja di dalam tetapi juga diluar padang. Siri-siri perang psikologi yang lancarkan Sir Alex terhadap Benitez berhasil menyentap emosi warga Sepanyol itu. Benitez ketika itu lebih sibuk menangkis serangan-serangan yang dilancarkan Sir Alex di hadapan media berbanding memikirkan strategi paling sesuai untuk diterapkan kepada barisan pemainnya. Hasilnya di akhir musim, United menang kejuaraan liga buat kali ke-18 sekaligus menyamai pencapaian sepanjang zaman Liverpool sebelum ini.

Satu-satunya faktor yang boleh membuatkan penyokong-penyokong Liverpool tersenyum di sebalik kegagalan kelab kesayangan mereka mengekang United dari menjulang kejuaraan Liga Perdana ialah kemenangan 4-1 yang dilakar The Reds pada aksi liga yang berlangsung di Old Trafford pada Mac 2009. Kekalahan itu merupakan kekalahan terbesar Sir Alex di gelanggang sendiri sepanjang kariernya sebagai pengurus United.

Menyaksikan rekod 18 kejuaraan liga mereka disamakan United bukanlah sesuatu yang ingin dilihat penyokong-penyokong Liverpool, apatah lagi generasi sebelumnya pernah mempersendakan kemampuan United menyamai catatan tersebut. Kini segalanya sudah berubah, selepas kejayaan pada musim 2008-09, United di bawah kendalian Sir Alex menambah dua lagi koleksi kejuaraan liga sekaligus muncul kelab paling berjaya di England.

Suksesnya United ketika di bawah era Sir Alex menyebabkan mereka semakin dicemburui dan mungkin juga punca mengapa api perseteruan antara kedua-dua kelab bertambah marak hinggakan kita yang berada jauh di sini turut terbawa-bawa dengan sentimen yang berlaku di sana. Dalam beberapa tahun terakhir, beberapa insiden tercetus di atas padang, sekaligus menggambarkan tahap sebenar kebencian yang ada dalam diri pemain dari kedua-dua pasukan.

Pada 2006, tindakan Gary Neville yang berlari dihadapan penyokong-penyokong Liverpool kerana merayakan kemenangan United ke atas seteru tradisi mereka itu menyebabkan beliau didenda FA England. Insiden itu rupa-rupanya meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada Neville kerana kelibatnya terus dijadikan sasaran kemarahan penyokong-penyokong Liverpool walaupun ketika beliau menyarung jersi kebangsaan England. Hingga ke hari ini pun, nama Gary Neville masih kekal sebagai nama yang paling dibenci oleh penyokong-penyokong Liverpool.

Insiden paling terkenal sudah tentu membabitkan Patrice Evra dan Luis Suarez pada Oktober 2011 hingga mengakibatkan penyerang Uruguay itu digantung lapan perlawanan kerana didapati bersalah atas tuduhan menghamburkan kata-kata berbaur perkauman. Empat bulan selepas itu, Suarez melanjutkan persengketaannya dengan Evra apabila enggan berjabat tangan ketika kedua-dua kelab bertembung dalam aksi liga yang dilangsungkan di Old Trafford.

Reaksi yang ditunjukkan pemain seperti Gary Neville, Wayne Rooney, Jamie Carragher, Patrice Evra, Steven Gerrard atau Luis Suarez memang mudah difahami kerana pertembungan United dan Liverpool bukan sekadar aksi bolasepak di atas padang. Di hadapan kaca televisyen pun anda boleh rasakan semangat bolasepak sejati, kebanggaan dan keghairahan yang dipamerkan pemain kedua-dua pasukan ketika di atas padang.

Atas sebab itulah mengapa perlawanan United/Liverpool sentiasa dianggap sebagai `acara tahunan terbesar’ oleh penyokong kedua-dua kelab. Bagaimanapun di sebalik semua kebencian, permusuhan dan persaingan yang membabitkan kedua-dua kelab ini, tetap ada rasa hormat yang tinggi ditunjukkan dari kem kedua-dua belah pihak. Ikon di Anfield, Jamie Carragher pernah menegaskan bahawa perseteruan di antara kedua-dua kelab sepatutnya tidak memudarkan rasa dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Saya selalu menghormati mereka. Mereka kelab yang besar, sama seperti kami dan mereka juga menghormati kami. Di United tidak ada pemain yang patut anda benci”, kata Carra. Senada dengan Carra, Ryan Giggs turut menegaskan bahawa beliau sentiasa menghormati Liverpool kerana sejarah yang dimiliki kelab berkenaan. “Saya amat menghormati Liverpool kerana sejarahnya. Bagaimanapun saya juga terpaksa mengakui bahawa pasukan inilah yang membuatkan saya gembira jika berjaya mengalahkan mereka”, kata Giggsy.

Tidak kira di pihak mana pun anda berada, selepas melihat sejarah panjang perseteruan membabitkan kedua-dua kelab ini, anda akhirnya terpaksa mengakui bahawa United dan Liverpool merupakan kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak Inggeris. Dengan himpunan 121 kejuaraan berprestij dalam kabinet trofi masing-masing, tidak sukar untuk memahami mengapa dua kelab dengan jersi merah ini tidak pernah berhenti dari bermusuhan.

“Clash of the Titans”, “The Battle of Reds”, “Battle of the North West Derby” antara gelaran yang diberikan warga bolasepak bagi menggambarkan betapa penting dan besarnya setiap perlawanan yang membabitkan United dan Liverpool. Ketika generasi pengurus, pemain dan penyokong kedua-dua pasukan silih berganti, hanya satu perkara yang tidak akan berubah sampai bila-bila…iaitu permusuhan antara United dan Liverpool tidak akan pernah ada nokhtahnya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J