13 Mac 2017

MAMPUKAH UNITED `HIDUP’ TANPA IBRA?...

Tiga perlawanan domestik tanpa kelibat Zlatan Ibrahimovic dan tiga perlawanan juga kita terpaksa belajar menyaksikan Manchester United bermain tanpa sentuhan penggempur berbisa itu.

Selepas menyaksikan betapa pentingnya peranan Ibra sebelum ini dan betapa pentingnya gol-gol yang dijaringkan beliau untuk United, tentu timbul keraguan dan pertanyaan mampukah barisan Jose Mourinho `hidup’ tanpa sentuhan Ibra?

Sepertimana yang anda tahu, Ibra digantung tiga perlawanan kerana tindakan beliau menyiku pertahanan Bournemouth, Tyrone Mings ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan liga Sabtu lalu.

Bermula dengan aksi menentang Chelsea dalam saingan suku akhir Piala FA dan dua perlawanan liga menentang Middlesbrough dan West Bromwich, Mourinho perlu memikirkan siapakah pengganti paling sesuai mengisi kekosongan Ibra selaku penggempur utama.

Peluang Buat Pemain Lain Membuktikan Kemampuan...

Ketiadaan Ibra dalam tiga aksi domestik itu memang satu kehilangan yang besar buat United tetapi dalam masa yang sama juga bakal membuka peluang kepada pemain-pemain lain membuktikan keupayaan diri.

Inilah masanya untuk Anthony Martial, Marcus Rashford atau Wayne Rooney membuktikan bahawa tanpa Ibra jentera serangan United masih wajar digeruni pertahanan lawan.

Siapa yang bakal dipilih Mourinho untuk mengetuai jentera serangan United ketika aksi menentang Chelsea di Stamford Bridge nanti masih menjadi tanda tanya, namun secara peribadi saya lebih memilih Rashford sebagai pengganti Ibra.

Martial boleh terus memainkan peranannya di sisi kiri sayap United, manakala kelajuan Rashford selain kawalan bola bagus yang dimiliki pemain muda ini saya kira bakal menguji kekentalan Gary Cahill dan David Luiz di benteng pertahanan Chelsea.

Jika Rashford gagal memikul beban ditinggalkan Ibra sekalipun, Mourinho masih memiliki opsyen lain dengan meletakkan Rooney yang lebih berpengalaman selaku penyerang tengah atau mungkin juga beliau boleh melakukan kejutan dengan menggunakan Henrikh Mkhitaryan di posisi tersebut.

Ibra Akan Lebih Bagus Selepas Ini?...

Ibra merupakan pemain yang sangat berpengalaman, sentiasa tahu bagaimana caranya untuk kembali bangkit selepas berdepan detik sukar. Sebelum ini beliau pernah mengalami kemarau gol selama sebulan tetapi kemudiannya muncul selaku mesin gol United menerusi ketajaman penyudahnya di hadapan gawang lawan.

Sebagai pejuang tulen, beliau sentiasa ingin bermain, sentiasa merindui aksi di tengah padang dan sentiasa laparkan kejayaan. Jadi saya berharap tempoh tiga perlawanan di mana beliau `direhatkan’ akan menjadikan Ibra pemain yang lebih `lapar’ bila beliau kembali beraksi di atas padang nanti.

Siapa Bakal Menggantikan Posisi Ibra?...

Tanpa Ibra, Mourinho pasti akan terus menggunakan sistem seorang penyerang sebagai `target man’. Siapa yang bakal dipilih Mourinho sebagai pengganti Ibra akan terjawab ketika United berkunjung ke Stamford Bridge nanti.

Seperti yang saya katakan tadi, saya lebih memilih Rashford sebagai penggempur utama berbanding Martial atau Rooney kerana kepantasan yang dimilikinya selain kawalan bola menarik dari sepasang kaki kiri dan kanannya.

Martial lebih sesuai bermain di sebelah kiri manakala Rooney menerusi pengalaman yang dimilikinya boleh berperanan sebagai watak pengganti sama ada di posisi penyerang atau berperanan selaku pemain nombor 10.

Kepulangan semula Mikhi dari bilik rawatan juga berlaku tepat pada masanya. Gol Mikhi ke gawang Rostov dalam aksi Liga Europa membuktikan mengapa ketiadaan beliau begitu dirasai ketika United diikat 1-1 oleh Bournemouth dalam aksi liga Sabtu lalu.

Kehadiran Mikhi memberikan lebih variasi kepada United ketika menyerang kerana kemampuan beliau bermain lebih dari satu posisi dan kreativiti yang dimilikinya. Jika beliau cergas, saya percaya Mikhi akan menjadi watak penting sepanjang ketiadaan Ibra.

Tumpuan Kini Terarah Kepada Rashford dan Martial...

Chelsea akan menjadi ujian pertama, terberat dan paling tempat untuk mengukur sejauh mana kemampuan United bermain tanpa Ibra di atas padang. Dan Chelsea juga akan menjadi lawan terbaik untuk tiga individu yang musim ini jarang diberikan kesempatan bermain membuktikan kemampuan masing-masing.

Kedatangan Ibra menyebabkan Rooney, Rashford serta Martial sering tersisih dari senarai kesebelasan utama Mourinho dan kini mereka berpeluang membuktikan bahawa tanpa penyerang berusia 35 tahun itu dalam tiga aksi domestik bukanlah sesuatu yang perlu ditangisi oleh penyokong.

Rashford dan Martial punya kelajuan sama ada mereka bergerak dengan atau tanpa bola selain kedua-duanya juga memiliki skill kawalan bola yang bagus. Jika mereka  berjaya mengembalikan semula prestasi musim lalu dan lebih konsisten, saya percaya dua pemain muda ini akan menjadi aset di barisan hadapan United.

Penting untuk melihat pemain muda seperti Rashford dan Martial membuktikan bahawa mereka adalah prospek jangka panjang kelab. Musim lalu mereka antara pemain United paling mempesonakan dan saya tidak terkejut sekiranya dua pemain ini boleh menjadi faktor penentu kepada keputusan-keputusan perlawanan United sepanjang ketiadaan Ibra...Glory Glory Manchester United!!!

07 Mac 2017

MENCARI `SUCCESSOR' MICHAEL CARRICK

Ketika karier Michael Carrick di Old Trafford kian hampir di penghujung jalan, kita juga nampaknya sudah mula berteka-teki siapa yang bakal mengisi kekosongan pemain berusia 35 tahun itu di bahagian tengah jika beliau bersara atau mencari haluan lain musim depan.

Sejak 2006 hingga sekarang, Carrick diakui sudah memainkan peranan cukup penting di bahagian tengah United dan tentu jugalah mencari pengganti pemain sekaliber beliau bukan satu tugas yang mudah.

Kontrak Carrick di Old Trafford hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi, namun hingga kini tiada tanda-tanda bahawa kelab mahu mengekalkan beliau sekurang-kurangnya buat tempoh semusim lagi.

Beliau sudah membayangkan akan mengumumkan persaraan jika kontraknya tidak di sambung dan jika perkara itu berlaku siapakah pemain yang difikirkan sesuai dan mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Carrick nanti?

Toni Kroos...

Buat masa ni nama Toni Kroos paling disebut-sebut bakal diletakkan dalam radar buruan kelab sebagai `successor’ Carrick kerana pemain tengah antarabangsa Jerman itu memiliki ketenangan dan corak permainan mirip beliau.

Kroos bukan nama asing buat kita kerana beliau pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford pada 2014. Ketika itu Kroos diberitakan sudah bersetuju secara lisan mahu menyertai skuad Louis Van Gaal namun akhirnya memilih Bernabeu sebagai destinasinya.

Dianggap antara pemain tengah terbaik dunia kerana kemampuan beliau mengawal tempo permainan dan kebolehan melakukan hantaran-hantaran tempat jarak jauh atau dekatnya, Kroos saya anggap opsyen terbaik sebagai pengganti Carrick.

Kenapa saya memilih Kroos sebagai pilihan nombor satu dan kenapa beliau pemain paling sesuai mengisi posisi Carrick akan saya jelaskan pada artikel akan datang. Bagaimanapun perlu diingat bahawa misi membawa Kroos keluar dari Bernabeu bukanlah mudah dan tanda harga yang bakal diletakkan Real juga pastinya bukanlah murah.

Peratus Kemungkinan United Boleh Mendapatkan Khidmatnya: 35%

Danny Drinkwater...

Musim lalu ketika Leicester City mengejutkan ramai pihak menerusi kejayaan mereka menjulang trofi Liga Perdana, Drinkwater muncul antara pemain yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan epik skuad The Foxes itu.

Gandingan beliau bersama N’Golo Kante di bahagian tengah barisan kendalian Claudio Ranieri musim lalu antara gandingan paling menarik dapat kita saksikan.

Ketika Kante lebih menumpukan kerja-kerja bertahan, Drinkwater pula akan bergerak lebih jauh ke hadapan membekalkan hantaran-hantarannya kepada Jamie Vardy atau Shinji Okazaki untuk disudahkan.

Statistik sepanjang musim lalu menyaksikan Drinkwater melakukan 2,012 hantaran dengan peratus ketepatan hantarannya mencapai 78%. Dari jumlah tersebut, beliau berjaya mencipta 37 peluang jaringan gol dengan 7 daripadanya merupakan assist.

Kemampuan beliau dalam memenangi perebutan bola di bahagian tengah, melakukan larian dari kawasan `deep’ ke petak penalti lawan dan menyusun gerakan akan menjadi aset penting kepada mana-mana pasukan.

Jika United serius mahu mendapatkan khidmatnya, saya percaya kelab tidak berdepan masalah melakukannya kerana selain dari harga beliau yang jauh lebih murah berbanding Kroos, fakta bahawa Drinkwater pernah mengasah bakatnya di Akademi United mampu menarik kembali beliau pulang semula ke Old Trafford.

Peratus Kemungkinan United Boleh Mendapatkan Khidmatnya: 70%

Franck Kessie...

Beliau dilabelkan sebagai `Next Yaya Toure’ kerana bakat besar yang dimilikinya dan potensi untuk muncul pemain ternama dunia suatu hari nanti. Pertahanan United, Eric Bailly pernah mendesak kelab supaya bergerak cepat dalam usaha mereka menandatangani rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Ivory Coast itu musim panas nanti.

Meskipun pernah dikaitkan dengan perpindahan ke AS Roma Januari lalu, Kessie sebaliknya meletakkan fokus beliau membantu Atalanta merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Bulan lalu Kessie secara mengejut mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ingin bermain di Liga Perdana dan United merupakan kelab impiannya.

Musim ini di Serie A, Kessie sudah menjaringkan enam gol dari 21 penampilan untuk Atalanta dan menyumbang satu assist dari 12 peluang jaringan gol yang beliau cipta. Tawaran dari Paris St Germain dan AS Roma ditolak Atalanta manakala Chelsea pula memantau kelibat Kessie sebagai pengganti Cecs Fabregas yang dijangka meninggalkan Stamford Bridge musim panas nanti.

Peratus Kemungkinan United Boleh Mendapatkan Khidmatnya: 60%

Siapa `Successor’ Carrick?...

Secara peribadi saya mahukan Kroos tetapi dalam masa yang sama perlu diakui bahawa  beliau masih memiliki baki kontrak yang panjang bersama Real. Kroos mungkin sasaran yang sukar dicapai jika United mahu mendapatkan khidmatnya sebagai pengganti Carrick kecuali Ed Woodward meletakkan cek yang nilainya boleh membuatkan Florentino Perez tergiur.

Selain jumlah gaji yang besar, tiket beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan juga saya kira mampu membuatkan Kroos berfikir untuk keluar dari Bernabeu selepas tiga musim berada di sana. Drinkwater dan Kessie pula sebenarnya sasaran yang lebih mudah dijangkau jika United serius mahu mendapatkan khidmat mereka sepertimana yang digembar-gemburkan media sejak kebelakangan ini.

Jika Juventus pernah memiliki Andrea Pirlo selaku `maestro’ mereka, anda pula sepatutnya rasa beruntung kerana pernah menyaksikan Michael Carrick bermain untuk United. Bukan mudah mencari pengganti `Mr Indispensable’ ini...pemain yang jarang diberikan sorotan oleh penyokong-penyokong sendiri tetapi sentiasa menjadi `petualang’ kepada pasukan lawan menerusi peranan `senyap tapi berkesannya’ di bahagian tengah United. Glory Glory Manchester United!!!

05 Mac 2017

PELUANG YANG DIPERSIAKAN....

Ketika kesempatan terhidang, ketika peluang untuk menang terbuka luas dan ketika lawan kekurangan seorang pemain lebih separuh tempoh perlawanan, United akhirnya cuma menamatkan aksi di gelanggang sendiri dengan satu lagi keputusan seri. Memang menghampakan tetapi itulah hakikat yang terpaksa anda terima kerana ini adalah Liga Perdana, liga yang dianggap paling sukar di dunia.

Keputusan seri kesepuluh musim ini menyaksikan kedudukan United di tangga keenam liga masih tidak berganjak dan keputusan seri kali ini juga menyaksikan barisan Jose Mourinho menepati reputasi mereka sebagai pakar seri. Satu-satunya pasukan yang mencatatkan keputusan seri terbanyak (10 kali) selain United ialah Middlesbrough, kelab yang menghuni tangga ke-18 liga.

Anda boleh katakan apa sahaja tentang aksi menentang Bournemouth ini, tetapi satu hal yang nyata ialah pemain perlu menyalahkan diri mereka sendiri kerana kegagalan meraih tiga mata penuh dalam perlawanan yang didominasi oleh mereka. Hilang kreativiti, hilang ketajaman dan kegagalan Ibra menyempurnakan sepakan penalti melengkapkan cerita kegagalan United di Old Trafford.

Statistik Perlawanan...

Sepanjang perlawanan, United mencatatkan 68% penguasaan bola berbanding lawan, melepaskan 20 percubaan tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi Marcos Rojo yang juga merupakan gol pertama beliau dari 54 penampilan di Liga Perdana.

Wira sebenar dalam perlawanan ini tentunya penjaga gol lawan, Arthur Boruc. Sepertimana Eldin Jakupovic, Lee Grant, Daren Rando dan Tom Heaton yang menampil aksi bagus di Old Trafford sebelum ini, Boruc juga begitu menerusi penyelamatan-penyelamatan hebat yang dilakukannya sepanjang perlawanan.

Sepanjang aksi 90 minit, Boruc menghampakan kita apabila beliau berkali-kali menafikan peluang-peluang yang dicipta terutamanya menerusi Wayne Rooney, Anthony Martial dan Zlatan Ibrahimovic selain melakukan 6 penyelamatan yang berpotensi menghasilkan gol termasuk menafikan sepakan penalti Ibra.

Ini Adalah Liga Perdana...

Satu perkara yang tidak pernah berubah sejak dahulu hingga kini ialah persaingan di Liga Perdana sentiasa sahaja menghadirkan kejutan setiap minggu. Ini adalah Liga Perdana, bukan Bundesliga atau La Liga, tempat di mana Bayern Munich, Real Madrid atau Barcelona menang hampir setiap minggu.

Di Liga Perdana, kelab besar seperti United boleh sahaja tewas atau seri ketika menentang kelab-kelab pertengahan/bawahan liga tanpa mengira tempat dan tanpa mengira masa.

Watford pernah mengejutkan Arsenal di Emirates, Leicester City berjaya mencuri mata di White Hart Lane dan Middlesbrough juga melakukan hal yang sama di Etihad. Jadi apa yang berjaya dilakukan Bournemouth bukanlah sesuatu yang terlalu mengejutkan.

Terlalu Bergantung Kepada Ibra...

Musim ini United memang terlalu bergantung kepada ketajaman Ibra dalam menyudahkan peluang hinggakan bintang Sweden itu sering sahaja dilihat penyelamat setiap kali mereka berdepan kebuntuan. Bagaimanapun jika Ibra dikawal ketat, United akan berdepan masalah.

Sebelum ini pun pemain-pemain seperti Rashford, Pogba, Mata, Mkhitaryan dan Valencia kerap menujukan umpanan-umpanan mereka ke arah Ibra sebagai `taget man’ hingga menjejaskan kreativiti permainan United. Sekali lagi hal yang sama berlaku semalam.

Pogba Perlu Lebih Kreatif...

Selaku pemain termahal dunia tentulah harapan tinggi diletakkan penyokong-penyokong di bahu Pogba, dan tentu jugalah kelibatnya serta prestasinya di atas padang sentiasa menjadi sorotan setiap minggu.

Memang diakui bahawa kebanyakkan gol-gol yang dijaringkan Ibra sebelum ini terhasil menerusi umpanan-umpanan bijak yang dilakukan Pogba. Bagaimana pula jika Ibra di kawal ketat?

Jawapannya Pogba perlu bijak memvariasikan hantaran-hantarannya tanpa terlalu fokus kepada Ibra kerana hal itu kadangkala menyaksikan beliau agak terlambat dalam memberikan umpanan kepada rakan-rakan lain yang memiliki ruang dan peluang lebih besar untuk menjaringkan gol.

Penjaga Gol Lawan Selalu Bermain Baik Di Old Trafford...

Inilah yang sering berlaku musim ini setiap kali pasukan lawan berkunjung ke Old Trafford. Entah faktor apa yang memotivasikan Jakupovic, Heaton, Rando, Grant dan semalam giliran Boruc pula mempamerkan prestasi `luar biasa’ mereka.

Mungkin juga prestasi `luar biasa’ yang ditunjukkan Jakupovic, Heaton, Rando, Grant dan Boruc berpunca dari taktik bertahan yang diterapkan lawan ketika mereka berkunjung ke Old Trafford.

Taktik meletakkan ramai pemain di dalam petak penalti sendiri ketika bertahan membuka ruang buat penjaga gol lawan melakukan banyak penyelamatan sama ada ketika pemain-pemain United melakukan percubaan jarak dekat atau jauh. Dan semalam giliran Boruc pula diangkat sebagai wira.

Bagaimana Mahu Mengatasi Taktik `Parkir Bas’ Lawan...

Tiada cara terbaik selain menjaringkan gol secepat mungkin kerana dengan cara itu lawan akan bermain dengan lebih terbuka. Jika anda memiliki Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo sekalipun sukar untuk menembusi pintu gol lawan yang meletakkan lapan atau sembilan pemain di dalam petak penalti mereka.

Lebih sukar bila mereka kelihatan semakin selesa dari minit ke minit bermain dengan taktik bertahan seperti itu, sedangkan kita semakin terdesak untuk memburu gol hingga berlakulah kesilapan-kesilapan mudah ketika melakukan gerakan-gerakan di hadapan pintu gol lawan.

Ketika berdepan Bournemouth, United sebenarnya sudah melakukan perkara yang betul apabila mereka berjaya menjaringkan gol pembukaan di minit ke-23. Bagaimanapun ketika lawan berjaya menyamakan kedudukan dan selepas itu mereka bermain dengan sepuluh pemain, barisan Mourinho gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.

Boruc menampilkan aksi terpuji tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa ketumpulan jentera serangan yang diterajui Ibra menyaksikan United sekali lagi dipaksa berkongsi mata oleh lawan dari kelab bawahan liga. Atau mungkin juga semalam tuah sekali lagi menjauhi United di Old Trafford buat kesekian kalinya....Glory Glory Manchester United!!!

01 Mac 2017

IBRA...ANTARA USIA, GOL, REKOD DAN TROFI


Menyertai kelab besar seperti Manchester United dan bermain pula di Liga Perdana pada usia 35 tahun? Pada awalnya idea ini mungkin kedengaran agak gila, manakala pemain yang melakukan hal ini boleh ditakrifkan sebagai meletakkan diri mereka dalam situasi `misi bunuh diri’.

Ketika pemain-pemain seusia beliau lebih memilih berpindah ke Major League Soccer (MLS) atau cuba `cari duit lebih’ sebelum bersara dengan menyertai kelab-kelab di Liga Super China, Zlatan Ibrahimovic pula melakukan hal yang bertentangan dan keluar dari kebiasaan tersebut.

Siapa sangka pada usia 35 tahun, Ibra masih mampu meletakkan dirinya sebagai mesin gol untuk Manchester United. Dan pada usia yang sudah dianggap terlalu `tua’ bagi seorang penyerang seperti beliau, koleksi 26 gol yang sudah dikumpul Ibra setakat ini nampaknya akan terus berganjak jika diambilkira prestasi semasa dan keazaman yang dipamerkannya setiap kali beraksi di atas padang.

Rekod dan Sasaran Ibra...

Gol jaringannya ke gawang Leicester City, 5 Februari lalu menyaksikan Ibra muncul pemain tertua (35 tahun, 125 hari) yang berjaya menjaringkan 15 gol dalam semusim di Liga Perdana. Meskipun begitu, Ibra nampaknya masih belum puas kerana beliau sebenarnya meletakkan sasaran lebih tinggi yang perlu dicapainya bersama United musim ini.

Ketika ditanya apa sasaran beliau, Ibra hanya menjawab...“Saya mempunyai sasaran, tetapi saya tidak akan memberitahu anda. Saya masih belum mencapainya, tetapi saya sudah menetapkan sasaran. Ini bukanlah perkara baharu kerana saya melakukannya setiap tahun”.

Apa sasaran Ibra atau apa yang ingin beliau capai bersama kelab akan hanya terjawab sebaik musim ini berakhir. Tetapi satu perkara yang Ibra sudah buktikan kepada kita sejak beliau menjejakkan kakinya di Old Trafford ialah betapa besar peranan yang dimainkannya untuk kesebelasan United...kerana itu adalah fakta.

Dilahirkan Sebagai Penjaring Gol Ulung...

Sebelum kedatangannya ke Old Trafford pun Ibra sudah membuktikan bahawa beliau memang penjaring gol yang ulung. Sejak musim 2007-08 (ketika masih bersama Inter Milan) hinggalah yang terakhir musim lalu saat beliau menyarung jersi Paris St Germain, Ibra tidak pernah gagal menjaringkan kurang dari 20 gol semusim (dalam semua kejohanan) untuk mana-mana kelab yang diwakilinya.

Usia yang kian meningkat nampaknya tidak pernah menurunkan `darjat’ Ibra sebagai penggempur kelas dunia menerusi 26 gol dan enam assist yang sudah diciptanya setakat ini. Berbaki 13 aksi dalam saingan liga dan mengambilkira United juga masih bersaing di Liga Europa dan Piala FA, pasti akan ada lagi gol-gol yang dihasilkan Ibra selepas ini.

Tidak keterlaluan jika saya katakan angka 30 gol semusim untuk United nampaknya sudah pasti berada dalam jangkauan Ibra, kecualilah beliau mengalami penurunan prestasi secara drastik atau mengalami kecederaan serius yang menyebabkan Ibra terpaksa diketepikan. Saya harap perkara itu tidak berlaku kerana sukar membayangkan bagaimana United mampu `hidup’  tanpa gol-gol dari Ibra pada baki saingan musim ini.

Ibra Menutup Mulut Pengkritiknya...

Ramai yang memandang sinis ketika beliau bersetuju menyertai Manchester United musim panas lalu selepas menamatkan ikatan empat tahunnya bersama Paris St Germain, kerana pada usia 35 tahun tidak ramai menyakini kemampuan Ibra dalam menangani kerasnya corak permainan di Liga Perdana.

Bagaimanapun kini Ibra sudah berjaya menutup mulut para pengkritiknya serta pandangan sinis yang dilemparkan kepadanya lapan bulan lalu, kerana United musim ini dilihat sangat-sangat bergantung kepada ketajaman beliau dalam memburu jaringan.

Isnin lalu di Wembley, Ibra sekali lagi membuktikan mengapa beliau selayaknya diberikan gelaran sebagai `Raja Old Trafford’ yang baharu selepas dua gol jaringannya membantu United menjulang kejuaraan major pertama di era Mourinho.

Beliau melangkah masuk ke arena pertarungan di Wembley tanpa lilitan ketua pasukan di lengan, tetapi United bukan sahaja bergantung kepada naluri pembunuhnya ketika berada di hadapan gawang lawan tetapi juga daya kepimpinan serta semangat juangnya di atas padang.

Selepas kejayaan menundukkan Southampton di final Piala Liga, Ibra tanpa berselindung meletakkan sasaran mengejar kedudukan Chelsea selaku pendahulu liga serta bercakap tentang kemungkinan untuk United menamatkan musim ini dengan empat kejuaraan. Berjaya atau tidak itu soal kedua kerana sikap optimis yang ada dalam diri seorang pejuang dan pemenang seperti beliau wajar dikagumi.

Bila Ibra Akan Bersara...

Tahun ini usia Ibra akan berganjak dari angka 35 kepada angka 36 dan melihat kepada usia beliau yang semakin menua, ramai di luar sana tertanya-tanya bila agaknya beliau akan bersara. Jika dilihat kepada prestasi semasa, keinginan, nafsu dan mental beliau setiap kali beraksi di atas padang, Ibra tidak menunjukkan tanda-tanda akan bersara dalam tempoh setahun atau dua lagi.

Buat seorang pemain yang masih mampu menjaringkan lebih 20 gol di pentas tertinggi seperti Liga Perdana dan bermain untuk kelab besar seperti Manchester United, sukar untuk kita meneka tarikh sebenar Ibra bakal menggantung boot-nya.

Selama ini pun kita sudah melihat pemain-pemain seperti Pavel Nedved, Andrea Pirlo, Ze Roberto, Francesco Totti atau Ryan Giggs bemain pada usia mencecah 37 tahun (malah Ze Roberto dan Totti masih lagi bermain pada usia 41 tahun). Jadi untuk Ibra ini bukan lagi berkisar tentang fizikal tetapi lebih kepada mental beliau dan tidak mustahil Ibra juga bakal melakukan hal yang sama.

Ibra Dan Trofi...

Akrabnya Ibra dan trofi umpama magnet dengan besi, kerana sepertimana kata Ibra, di mana-mana pun beliau pergi trofi sentiasa mengekorinya. Letaklah beliau di manapun...sama ada di Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, AC Milan atau Paris St Germain, Ibra tidak pernah gagal memenangi medal kejuaraan dan kini di Old Trafford beliau sekali lagi membuktikan kebenaran kata-katanya.

Kejayaan menjulang Piala Liga tidak akan sesekali menghentikan Ibra atau membuatkan beliau berasa puas. Sebagaimana sikap optimis yang menebal dalam dirinya, saya juga yakin akan ada lagi trofi yang bakal dimenangi Ibra bersama United musim ini. Persoalan sama ada Ibra mampu menjulang satu...dua...atau tiga trofi lagi akan hanya terjawab sebaik musim ini berakhir.

Berharaplah Musim Depan Ibra Masih Di Sini...

Ibra sudah menegaskan sama ada lolos atau tidak United ke Liga Juara-Juara musim depan, faktor tersebut tidak akan mempengaruhi keputusan beliau dalam menentukan masa depannya bersama kelab. Semuanya kini bergantung kepada apa yang beliau rasa sepanjang berada di Old Trafford dan bagaimana perasaannya bermain untuk United.

Beliau mengikat kontrak bersama United selama semusim dan dengan tempoh saingan musim ini cuma berbaki tidak sampai tiga bulan untuk ditamatkan, saya yakin ramai penyokong-penyokong United mula gelisah dan tertanya-tanya adakah Ibra bakal mengetuai jentera serangan United lagi musim depan.

Selepas aksi menentang Southampton di Wembley Isnin lalu, Mourinho secara bercanda mencadangkan supaya penyokong-penyokong United `berkampung’ di hadapan rumah Ibra bagi memujuk pemain ini untuk terus kekal bersama kelab, sekurang-kurangnya buat tempoh semusim lagi.

Kejayaan menjulang kejuaraan major seperti Piala Liga di era Mourinho memang cukup istimewa tetapi peluang menyaksikan pemain hebat seperti Zlatan Ibrahimovic bermain untuk Manchester United bagi saya sebenarnya jauh lebih istimewa. Berharaplah agar musim depan beliau masih lagi di sini...masih lagi mengetuai jentera serangan United dan masih lagi menjaringkan gol-gol indahnya untuk United. Glory Glory Manchester United!!!

27 Februari 2017

PIALA LIGA...PERMULAAN KEPADA PEMBURUAN KEJUARAAN YANG LEBIH BESAR

Kejayaan menghadiahkan trofi kejuaraan kompetitif pertama sangat penting pada musim pertama untuk seorang pengurus di kelab baharu. Dan kejayaan menjulang trofi Piala Liga di Wembley saya harap hanyalah satu permulaan kepada lebih banyak kejuaraan yang bakal dihadiahkan Jose Mourinho selaku pengurus ketiga Manchester United pasca persaraan Sir Alex Ferguson hampir empat tahun lalu.

Sepertimana yang anda tahu, ini merupakan kali keempat Mourinho memenangi medal kejuaraan Piala Liga (tiga kali ketika bersama Chelsea), sekaligus membolehkan beliau meletakkan dirinya sebaris dengan Brian Clough dan Sir Alex Ferguson selaku pengurus paling banyak memenangi trofi tersebut.

Mengingatkan bahawa United masih dalam persaingan merebut baki tiga lagi kejuaraan yang ditawarkan musim ini (Piala FA, Liga Perdana dan Liga Europa), kejayaan menjulang trofi Piala Liga di pertengahan musim diharap mampu menjadi pencetus kepada api perjuangan dalam diri pemain-pemain untuk memburu kejuaraan yang lebih besar pada baki saingan selepas ini.

Southampton Tetap Lawan Yang Sukar...

Status sebagai pasukan pilihan bukanlah tiket untuk United menjulang trofi ini dengan mudah. Southampton membuktikan bahawa di pentas akhir, kejutan boleh sahaja berlaku dan mereka hampir sahaja melakukannya. United mengatasi The Saints kerana mereka menjaringkan lebih banyak gol tetapi dalam masa yang sama kita perlu mengakui bahawa anak-anak buah Claude Puel adalah pasukan yang lebih baik di Wembley.

Statistik sepanjang aksi 90 minit menunjukkan The Saints menguasai 55% penguasaan bola selain melakukan lebih banyak percubaan tepat (enam shot on target) berbanding tiga yang dilakukan United. Hal ini juga diakui Jose Mourinho yang mengatakan bahawa lawan bermain lebih bagus berbanding skuadnya dan layak mengheret United bermain di masa tambahan jika tidak kerana jaringan Ibra.

Memainkan Lingard Satu Keputusan Tepat...

Percaturan Mourinho yang menurunkan Jesse Lingard sejak minit pertama di Wembley membuahkan hasil apabila pemain itu menyumbang gol kedua United di minit ke-38. Kecederaan yang dialami Henrikh Mkhitaryan memaksa Mourinho memilih pemain yang beliau rasakan punya karakter permainan hampir sama dengan pemain antarabangsa Armenia itu dan Lingard ialah pengganti yang sesuai.

Mourinho memerlukan seorang pemain yang boleh berdepan satu lawan satu dengan mana-mana pemain lawan, mampu membawa bola jauh ke dalam kawasan lawan selain punya pergerakan bagus dan aspek itulah yang mampu ditawarkan Lingard. Akhirnya kepercayaan yang diberikan Mourinho dibayar Lingard menerusi prestasi terpuji yang dipamerkan beliau sepanjang 77 minit aksinya di atas padang selain satu gol yang berjaya disumbangkannya.

Amaran Keown Menjadi Kenyataan...

Menjelang final, legenda Arsenal, Martin Keown sudah melontarkan amaran kepada benteng pertahanan United supaya mengawasi pergerakan penyerang baharu The Saints, Manolo Gabbiadini. Gabbiadini yang ditandatangani Puel dari Napoli Januari lalu sudah menunjukkan petanda bahawa kelibatnya perlu diawasi oleh mana-mana benteng pertahanan lawan menerusi gol pertama pada penampilan pertamanya untuk The Saints ketika berdepan West Ham 4 Februari lalu.

Seminggu kemudian, penyerang berusia 25 tahun itu kembali meletakkan namanya dalam senarai penjaring Southampton menerusi dua gol yang dihasilkannya ketika mereka menundukkan Sunderland (4-0) dalam saingan liga. Tiga gol dalam dua penampilan merupakan satu catatan yang cukup fantastis buat seorang pemain di kelab baharu, dan di Wembley Gabbadiani sekali lagi membuktikan betapa bagusnya penyudah beliau ketika berada di dalam petak penalti lawan.

Sama ada bergerak dengan bola atau tanpa bola, Gabbiadini sentiasa sahaja mampu menghadirkan masalah kepada Chris Smalling dan Eric Bailly, jadi tidak hairanlah mengapa Keown melabelkan pemain ini sebagai `pemain istimewa’ untuk Southampton. Smalling dan Bailly sudah melakukan apa yang terdaya tetapi mereka tetap gagal menghalang Gabbiadini dari menembusi pintu gol David De Gea, bukan sekali tetapi dua kali.

Zlatan Time...

Entah berapa kali musim ini Ibra muncul penyelamat United, dan di Wembley beliau sekali lagi melakukannya. Ibra bertanggungjawab membuatkan The Saints gigit jari meskipun mereka bermain lebih baik berbanding barisan Mourinho sepanjang 90 minit aksi final itu. Gol kemenangan Ibra ke gawang Southampton, hanya tiga minit sebelum masa sebenar permainan tamat membuktikan sekali lagi kebergantungan United kepada penyudah tajam beliau.

Buat masa ini ketepikan sementara spekulasi masa depan beliau di Old Trafford kerana sebagai pemain, Ibra tahu kejayaan menjulang trofi Piala Liga hanyalah permulaan kepada misi memenangi kejuaraan lebih besar selepas ini. Dua gol yang dijaringkan Ibra di Wembley menyaksikan Ibra sudah menjaringkan 26 gol untuk United dalam semua peringkat kejohanan setakat ini...satu catatan mengagumkan buat seorang penyerang yang sudah berusia 35 tahun seperti beliau.

Jika Puel memiliki `pemain istimewa’ seperti Gabbiadini, Mourinho pula lebih beruntung kerana beliau ada Ibra...pemain yang memberikan perbezaan antara juara dan yang kecundang di pentas final. Ketika kedudukan terikat 2-2, ketika The Saints sentiasa memberikan tekanan demi tekanan, Ibra akhirnya sekali lagi memilih waktu dan posisi yang tepat untuk menghukum lawan. Kali ini gol kemenangan yang dijaringkan Ibra memberikan United trofi kompetitif pertama mereka di era Mourinho.

Amat indah bila menyaksikan bagaimana gol itu dijaringkan, bagaimana jaringan itu diraikan terutamanya bila ia dihasilkan di penghujung perlawanan dan ketika kita mendapati lawan bermain lebih baik. Gol di minit ke-87 itu memang gol yang istimewa kerana ia dijaringkan oleh pemain yang istimewa dan lebih istimewa Ibra memilih waktu yang sangat tepat untuk menyakiti lawan....kesakitan yang bakal mereka ingati buat tempoh yang panjang. Glory Glory Manchester United!!!

24 Februari 2017

FAKTA MENJELANG FINAL PIALA LIGA


1. Ini merupakan penampilan kedua Southampton di final Piala Liga sejak mereka tewas (2-3) kepada Nottingham Forest pada edisi 1979.

2. Bagi Manchester United pula, ini merupakan final ke sembilan mereka dalam saingan Piala Liga. Dari lapan penampilan di final sebelumnya United menjuarai trofi ini sebanyak empat kali di mana tiga kejuaraan diraih dari tiga final terakhir (2006, 2009 dan 2010).

3. Liverpool merupakan kelab yang paling banyak bermain di pentas final Piala Liga (12 penampilan), manakala United di tangga kedua (9 penampilan) dan Arsenal di tanggan ketiga (5 penampilan).

4. Menyingkirkan Liverpool di separuh akhir menerusi aggregat 2-0 menyaksikan Southampton muncul pasukan kedua selepas Tottenham Hotspurs (1982) yang berjaya mara ke perlawanan akhir tanpa dibolosi.

5. Perlawanan akhir kali ini merupakan final kedua membabitkan United dan Southampton dalam kejohanan domestik. Kali pertama kedua-dua kelab bertemu di final ialah pada 1976 dalam kejohanan Piala FA. Southampton yang ketika itu berada di Divisyen 2 menewaskan United (1-0) menerusi jaringan Bobby Stokes.

6. Ketika mengendalikan Chelsea, Jose Mourinho tiga kali membawa The Blues muncul juara Piala Liga (2005, 2007 dan 2015).

7. Jika berjaya membawa United muncul juara kali ini, Mourinho akan menyamai pencapaian Brian Clough dan Sir Alex Ferguson selaku pengurus paling banyak memenangi medal kejuaraan Piala Liga (4 kali).

8. Sepanjang karier beliau sebagai pemain, Claude Puel hanya sekali berjaya ke perlawanan akhir kejohanan domestik iaitu pada 2001 di kejohanan Coupe de France. Bagaimanapun AS Monaco yang diwakili beliau ketika itu tewas kepada Olympique Lyon (1-2) selepas masa tambahan.

9. Ini merupakan penampilan pertama Southampton di Wembley sejak mereka menewaskan Carlisle United (4-1) di kejohanan Football League Trophy pada 2010.

10. Southampton merupakan kelab ketiga yang pernah dihadapi United di final Piala FA dan Piala Liga selepas Aston Villa dan Liverpool.

11. Henrikh Mkhitaryan muncul penyumbang assist terbanyak dalam kejohanan Piala Liga musim ini (3 assist).

12. Di Perancis, Zlatan Ibrahimovic menjaringkan empat gol pada empat penampilan di final kejohanan domestik. Ibra menjaringkan dua gol di final Coupe de la Ligue 2015 menentang Bastia dan dua gol di final Coupe de France 2016 menentang Marseille.

22 Februari 2017

ANTARA ROONEY DAN RONALDO...ANTARA LEGENDA DAN YANG TERBAIK DI DUNIA

Beliau sudah memecah rekod jaringan Sir Bobby Charlton, baik di peringkat kelab mahupun untuk skuad kebangsaan England, jadi tidak salah untuk kita mengatakan bahawa Wayne Rooney antara pemain terhebat pernah disaksikan dalam sejarah Manchester United.

Menurut Sir Alex Ferguson, rekod jaringan Rooney untuk kelab `mustahil’ mampu dipecahkan oleh mana-mana pemain United selepas ini. Mengambilkira faktor bahawa dalam era bolasepak moden amat jarang ada pemain yang mampu bertahan dalam sesebuah kelab buat tempoh yang panjang, apa yang dikatakan Fergie itu memang ada kebenarannya.

Rooney sudah memenangi kesemua kejohanan utama di peringkat domestik selama 13 musim beliau menyarung jersi United, Liga Juara-Juara, Kejuaraan Kelab Dunia juga beberapa anugerah individu sebagai pelengkap kepada karier gemilang pemain yang akrab dengan panggilan Wazza ini.

Sepanjang karier Rooney di Old Trafford saya tidak akan pernah melupakan gandingan `mematikan’ beliau bersama Cristiano Ronaldo. Gandingan penggempur yang saling melengkapi antara satu sama lain. Dan tidak salah jika saya katakan merekalah gandingan terbaik pernah disaksikan di Old Trafford selepas era Andy Cole dan Dwight Yorke berakhir.

Seorang memiliki kelajuan dan kelincahan kaki yang memukau selain penyudah tajam, manakala seorang lagi umpama `generator’ yang seperti tidak pernah kekeringan bahan bakar dalam menghidupkan permainan United. `Generator’ yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Wayne Rooney.

Jika saya terpaksa memilih satu di antara mereka siapa pemain terhebat United sepanjang tempoh 17 tahun terakhir, tanpa ragu saya akan meletakkan Rooney di tempat teratas berbanding Ronaldo. Saya memlih Rooney bukan hanya kerana tempoh beliau bersama kelab tetapi juga sumbangan dan peranan yang dimainkannya selama ini.

Ya, Ronaldo memang antara pemain hebat pernah dimiliki United terutamanya sepanjang enam musim beliau bersama kelab tetapi legenda sebenar di Old Trafford ialah Rooney (maaf jika ada di antara anda yang kurang bersetuju dengan pandangan saya).

Ronaldo akan sentiasa diingati kerana kelincahannya yang memukau dan 118 gol yang dijaringkannya dari 292 penampilan untuk United dalam semua kejohanan, tetapi tanpa Rooney mampukan beliau menjaringkan gol sebanyak itu? Saya fikir tidak.

Pada 2015, Zlatan Ibrahimovic pernah menyindir kesuksesan Ronaldo sepanjang bintang Portugal itu menyarung jersi United dalam satu temubual untuk sebuah rancangan dokumentari yang diterbitkan BBC mengenai kehidupan Rooney selepas beliau muncul penjaring terbanyak sepanjang masa skuad kebangsaan England.

“Ketika Cristiano Ronaldo bersama United, semua kerja dilakukan Rooney, tetapi akhirnya Cristiano yang mendapat nama. Dia seorang sahaja yang menjaringkan gol, manakala Rooney berlari, berjuang dan banyak melakukan pengorbanan untuk pasukan berbanding pemain dari Madeira itu”, kata Ibra.

Beberapa minggu lalu hal yang sama juga dibangkitkan Rio Ferdinand, pertahanan legenda United yang selama bertahun-tahun pernah bermain bersama Rooney dan Ronaldo. Menurut Ferdinand, Rooney tidak mampu meletakkan dirinya sebaris dengan Ronaldo kerana beliau meletakkan kerjasama berpasukan sebagai kepentingan utama berbanding Ronaldo yang lebih individualis.

Benarkah begitu? Jika diamati dalam tempoh tiga musim terakhir Ronaldo di Old Trafford, sorotan lebih banyak diberikan kepada pemain terbaik dunia itu berbanding Rooney, semuanya kerana gol-gol yang dihasilkan Ronaldo untuk United. Ronaldo dikagumi penyokong-penyokong United kerana gol-golnya tetapi Rooney sebenarnya pemain yang jauh lebih fleksibel.

Pada musim-musim terakhir Ronaldo di Old Trafford, Rooney kerap digunakan Sir Alex untuk berperanan sebagai sayap kiri, malah beliau juga sering ditugaskan melindungi posisi tersebut dari sebarang kemungkinan serang balas lawan ketika Patrice Evra naik jauh ke hadapan.

Hebatnya, pemain berprofil tinggi seperti Rooney melakukan kerja-kerja yang `di luar bidang tugasnya’ tanpa sebarang bantahan, tanpa sebarang rungutan dan sentiasa sahaja cuba memberikan segala yang mampu beliau lakukan ketika di atas padang. Kerana apa? Kerana Rooney meletakkan kepentingan pasukan melebihi sasaran peribadi.

Rooney ialah jenis pemain yang tidak suka digantikan dan tidak suka menjadi pengganti kerana bagi beliau bermain selama 90 minit dan membantu pasukan menang adalah misi yang beliau letakkan di tempat teratas. Jadi tidak hairanlah mengapa dahulunya Rooney sering kelihatan emosional setiap kali beliau dikeluarkan ataupun ketika berada di bangku simpanan.

Sikap Rooney dapat anda saksikan saat beliau menjaringkan gol ke 250-nya untuk United ke gawang Stoke City 21 Januari lalu, sekaligus memecah rekod Sir Bobby Charlton selaku penjaring terbanyak sepanjang masa United. Bagi mana-mana pemain, kejayaan memecah rekod sepanjang zaman kelab sewajarnya akan diraikan tetapi tidak bagi Rooney.

Tiada perayaan berlebih-lebihan yang dilakukan Rooney selepas gol tersebut dijaringkan sebaliknya beliau menunjukkan ke arah bola dan mengarahkan rakan-rakan sepasukan supaya menyegerakan permainan.

Berbanding Rooney, Ronaldo pula memang sudah mengimpikan mahu dinobatkan pemain terbaik dunia suatu hari nanti sejak beliau menjejakkan kakinya di Old Trafford buat pertama kali. Menyarung jersi United adalah momen indah bagi Ronaldo tetapi beliau sebenarnya tidak mendapat kepuasan sepanjang berada di Old Trafford. Walaupun dinobatkan selaku pemain terbaik dunia ketika beliau menyarung jersi United, tetap tidak mampu menahan Ronaldo dari pergi.

Bagi pemain yang meletakkan sasaran peribadi tinggi seperti Ronaldo, Old Trafford bukanlah tempat yang menjanjikan baginya. Perlu bagi beliau bermain setiap musim di Liga Juara-Juara dan cuba memenangi trofi itu sekerap yang mungkin serta menjaringkan banyak gol di pentas domestik kerana itulah kriteria utama untuk dinobatkan selaku pemain terbaik dunia.

Jadi pentas terbaik untuk beliau menggapai impiannya ialah Santiago Bernabeu. Dengan persaingan di La Liga yang saban musim dikuasai Real dan Barcelona sambil sekali sekala muncul pasukan yang mampu `kacau daun’ seperti Atletico Madrid contohnya, Ronaldo melihat inilah pasukan yang mampu memberikan beliau lebih banyak trofi kejuaraan sama ada di pentas domestik mahupun Eropah.

Akhirnya Ronaldo berjaya menggapai impiannya untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia, bukan sekali tetapi sudah empat kali sambil membantu Real menang pelbagai kejuaraan di Sepanyol dan Eropah. Rooney pula? Beliau masih kekal di Old Trafford dan kekal sebagai pemain terbaik United meskipun selepas pemergian Ronaldo ke Santiago Bernabeu.

Kini berbanding Ronaldo yang terus sukses di Bernabeu, Rooney pula mendapati dirinya terpaksa bergelut merebut tempat dalam kesebelasan utama United. Musim ini Rooney hanya bermain penuh 90 minit dalam dua perlawanan dari 17 penampilan liga manakala selebihnya beliau digunakan Mourinho sebagai pemain gantian (sembilan perlawanan) atau pemain yang digantikan (enam perlawanan).

Saya tidak pernah menafikan kehebatan Ronaldo sejak kali pertama beliau menyarung jersi United hinggalah sekarang dengan jersi putih Real Madrid-nya, apatah lagi beliau juga sudah diiktiraf selaku pemain terbaik dunia sebanyak empat kali.  

Bagaimanapun seperti yang saya katakan tadi, jika saya terpaksa memilih salah seorang di antara mereka sebagai pemain terbaik pernah dimiliki kelab, tanpa ragu saya akan memilih Rooney. Ronaldo memang seorang pemain yang mempesonakan tetapi jika mahu bercakap tentang legenda sebenar di Old Trafford, Rooney adalah orangnya.

Ini bukan sekadar tentang berapa banyak gol yang dijaringkan Rooney, bukan tentang berapa banyak kejuaraan yang sudah dimenanginya dan bukan juga tentang berapa ratus penampilan yang sudah dilakukannya, tetapi saya bercakap tentang soal kesetiaan, soal pengorbanan dan peranan besar yang sudah dimainkan beliau selama ini.

Dan pengorbanan Rooney selama ini tetap berbayar kerana meskipun beliau tidak pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia, Wazza amat dicintai penyokong-penyokong United. Semuanya kerana penyokong begitu menghargai kesetiaan, pengorbanan dan komitmen yang diberikan sang kapten ini selama 13 musim beliau menabur bakti di Old Trafford.

Melihat apa yang sedang berlaku sejak akhir-akhir ini, keyakinan saya untuk menyaksikan Rooney terus menyarung jersi United musim depan semakin menipis, senipis peluang beliau tampil dalam kesebelasan utama United di era Mourinho. Selepas 13 musim, memecah rekod jaringan sepanjang masa kelab dan memenangi pelbagai kejuaraan, adakah musim panas ini waktu terbaik untuk beliau pergi? Glory Glory Manchester United!!!