Menyertai kelab besar seperti Manchester
United dan bermain pula di Liga Perdana pada usia 35 tahun? Pada awalnya idea
ini mungkin kedengaran agak gila, manakala pemain yang melakukan hal ini boleh
ditakrifkan sebagai meletakkan diri mereka dalam situasi `misi bunuh diri’.
Ketika pemain-pemain seusia beliau lebih
memilih berpindah ke Major League Soccer (MLS) atau cuba `cari duit lebih’
sebelum bersara dengan menyertai kelab-kelab di Liga Super China, Zlatan Ibrahimovic
pula melakukan hal yang bertentangan dan keluar dari kebiasaan tersebut.
Siapa sangka pada usia 35 tahun, Ibra masih
mampu meletakkan dirinya sebagai mesin gol untuk Manchester United. Dan pada
usia yang sudah dianggap terlalu `tua’ bagi seorang penyerang seperti beliau, koleksi
26 gol yang sudah dikumpul Ibra setakat ini nampaknya akan terus berganjak jika
diambilkira prestasi semasa dan keazaman yang dipamerkannya setiap kali beraksi
di atas padang.
Rekod
dan Sasaran Ibra...
Gol jaringannya ke gawang Leicester City, 5
Februari lalu menyaksikan Ibra muncul pemain tertua (35 tahun, 125 hari) yang
berjaya menjaringkan 15 gol dalam semusim di Liga Perdana. Meskipun begitu,
Ibra nampaknya masih belum puas kerana beliau sebenarnya meletakkan sasaran lebih
tinggi yang perlu dicapainya bersama United musim ini.
Ketika ditanya apa sasaran beliau, Ibra hanya
menjawab...“Saya mempunyai sasaran, tetapi saya tidak akan memberitahu anda.
Saya masih belum mencapainya, tetapi saya sudah menetapkan sasaran. Ini
bukanlah perkara baharu kerana saya melakukannya setiap tahun”.
Apa sasaran Ibra atau apa yang ingin beliau
capai bersama kelab akan hanya terjawab sebaik musim ini berakhir. Tetapi satu
perkara yang Ibra sudah buktikan kepada kita sejak beliau menjejakkan kakinya
di Old Trafford ialah betapa besar peranan yang dimainkannya untuk kesebelasan
United...kerana itu adalah fakta.
Dilahirkan
Sebagai Penjaring Gol Ulung...
Sebelum kedatangannya ke Old Trafford pun
Ibra sudah membuktikan bahawa beliau memang penjaring gol yang ulung. Sejak
musim 2007-08 (ketika masih bersama Inter Milan) hinggalah yang terakhir musim
lalu saat beliau menyarung jersi Paris St Germain, Ibra tidak pernah gagal
menjaringkan kurang dari 20 gol semusim (dalam semua kejohanan) untuk mana-mana
kelab yang diwakilinya.
Usia yang kian meningkat nampaknya tidak
pernah menurunkan `darjat’ Ibra sebagai penggempur kelas dunia menerusi 26 gol
dan enam assist yang sudah diciptanya setakat ini. Berbaki 13 aksi dalam
saingan liga dan mengambilkira United juga masih bersaing di Liga Europa dan
Piala FA, pasti akan ada lagi gol-gol yang dihasilkan Ibra selepas ini.
Tidak keterlaluan jika saya katakan angka 30
gol semusim untuk United nampaknya sudah pasti berada dalam jangkauan Ibra,
kecualilah beliau mengalami penurunan prestasi secara drastik atau mengalami
kecederaan serius yang menyebabkan Ibra terpaksa diketepikan. Saya harap
perkara itu tidak berlaku kerana sukar membayangkan bagaimana United mampu
`hidup’ tanpa gol-gol dari Ibra pada
baki saingan musim ini.
Ibra
Menutup Mulut Pengkritiknya...
Ramai yang memandang sinis ketika beliau bersetuju
menyertai Manchester United musim panas lalu selepas menamatkan ikatan empat
tahunnya bersama Paris St Germain, kerana pada usia 35 tahun tidak ramai
menyakini kemampuan Ibra dalam menangani kerasnya corak permainan di Liga
Perdana.
Bagaimanapun kini Ibra sudah berjaya menutup
mulut para pengkritiknya serta pandangan sinis yang dilemparkan kepadanya lapan
bulan lalu, kerana United musim ini dilihat sangat-sangat bergantung kepada
ketajaman beliau dalam memburu jaringan.
Isnin lalu di Wembley, Ibra sekali lagi
membuktikan mengapa beliau selayaknya diberikan gelaran sebagai `Raja Old
Trafford’ yang baharu selepas dua gol jaringannya membantu United menjulang
kejuaraan major pertama di era
Mourinho.
Beliau melangkah masuk ke arena pertarungan
di Wembley tanpa lilitan ketua pasukan di lengan, tetapi United bukan sahaja
bergantung kepada naluri pembunuhnya ketika berada di hadapan gawang lawan
tetapi juga daya kepimpinan serta semangat juangnya di atas padang.
Selepas kejayaan menundukkan Southampton di
final Piala Liga, Ibra tanpa berselindung meletakkan sasaran mengejar kedudukan
Chelsea selaku pendahulu liga serta bercakap tentang kemungkinan untuk United
menamatkan musim ini dengan empat kejuaraan. Berjaya atau tidak itu soal kedua
kerana sikap optimis yang ada dalam diri seorang pejuang dan pemenang seperti
beliau wajar dikagumi.
Bila
Ibra Akan Bersara...
Tahun ini usia Ibra akan berganjak dari angka
35 kepada angka 36 dan melihat kepada usia beliau yang semakin menua, ramai di
luar sana tertanya-tanya bila agaknya beliau akan bersara. Jika dilihat kepada
prestasi semasa, keinginan, nafsu dan mental beliau setiap kali beraksi di atas
padang, Ibra tidak menunjukkan tanda-tanda akan bersara dalam tempoh setahun
atau dua lagi.
Buat seorang pemain yang masih mampu
menjaringkan lebih 20 gol di pentas tertinggi seperti Liga Perdana dan bermain
untuk kelab besar seperti Manchester United, sukar untuk kita meneka tarikh
sebenar Ibra bakal menggantung boot-nya.
Selama ini pun kita sudah melihat
pemain-pemain seperti Pavel Nedved, Andrea Pirlo, Ze Roberto, Francesco Totti
atau Ryan Giggs bemain pada usia mencecah 37 tahun (malah Ze Roberto dan Totti
masih lagi bermain pada usia 41 tahun). Jadi untuk Ibra ini bukan lagi berkisar
tentang fizikal tetapi lebih kepada mental beliau dan tidak mustahil Ibra juga
bakal melakukan hal yang sama.
Ibra
Dan Trofi...
Akrabnya Ibra dan trofi umpama magnet dengan
besi, kerana sepertimana kata Ibra, di mana-mana pun beliau pergi trofi
sentiasa mengekorinya. Letaklah beliau di manapun...sama ada di Ajax, Juventus,
Inter Milan, Barcelona, AC Milan atau Paris St Germain, Ibra tidak pernah gagal
memenangi medal kejuaraan dan kini di Old Trafford beliau sekali lagi
membuktikan kebenaran kata-katanya.
Kejayaan menjulang Piala Liga tidak akan
sesekali menghentikan Ibra atau membuatkan beliau berasa puas. Sebagaimana
sikap optimis yang menebal dalam dirinya, saya juga yakin akan ada lagi trofi
yang bakal dimenangi Ibra bersama United musim ini. Persoalan sama ada Ibra
mampu menjulang satu...dua...atau tiga trofi lagi akan hanya terjawab sebaik
musim ini berakhir.
Berharaplah
Musim Depan Ibra Masih Di Sini...
Ibra sudah menegaskan sama ada lolos atau
tidak United ke Liga Juara-Juara musim depan, faktor tersebut tidak akan
mempengaruhi keputusan beliau dalam menentukan masa depannya bersama kelab.
Semuanya kini bergantung kepada apa yang beliau rasa sepanjang berada di Old
Trafford dan bagaimana perasaannya bermain untuk United.
Beliau mengikat kontrak bersama United selama
semusim dan dengan tempoh saingan musim ini cuma berbaki tidak sampai tiga
bulan untuk ditamatkan, saya yakin ramai penyokong-penyokong United mula gelisah
dan tertanya-tanya adakah Ibra bakal mengetuai jentera serangan United lagi
musim depan.
Selepas aksi menentang Southampton di Wembley
Isnin lalu, Mourinho secara bercanda mencadangkan supaya penyokong-penyokong
United `berkampung’ di hadapan rumah Ibra bagi memujuk pemain ini untuk terus
kekal bersama kelab, sekurang-kurangnya buat tempoh semusim lagi.
Kejayaan menjulang kejuaraan major seperti
Piala Liga di era Mourinho memang cukup istimewa tetapi peluang menyaksikan
pemain hebat seperti Zlatan Ibrahimovic bermain untuk Manchester United bagi
saya sebenarnya jauh lebih istimewa. Berharaplah agar musim depan beliau masih
lagi di sini...masih lagi mengetuai jentera serangan United dan masih lagi
menjaringkan gol-gol indahnya untuk United. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan