19 November 2019

MENANTI BILAKAH MASANYA POGBA, FRED DAN McTOMINAY DITURUNKAN SERENTAK



Sudah hampir dua bulan Paul Pogba tidak turun beraksi kerana kecederaan pergelangan kaki yang dialaminya. Kali terakhir kita melihat penampilan Pogba di atas padang ialah ketika aksi menentang Arsenal dalam saingan liga pada 30 September lalu. Beberapa hari lalu Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan bahawa Pogba akan kembali bermain pada bulan Disember. Tiada tarikh tepat bilakah Pogba akan kembali membarisi jentera tengah United. Mungkin pada awal, mungkin pertengahan atau juga mungkin pada penghujung Disember nanti.

Tidak dinafikan bahawa United memang memerlukan tipikal seorang pemain seperti Pogba untuk menggerakkan jentera tengah mereka. Tidak terbantahkan juga bahawa Pogba tergolong antara box to box midfielder terbaik dunia ketika ini menerusi kemampuan beliau mencipta peluang dan menguasai bola dari pelbagai sudut padang. Selain itu Pogba juga sering dikerah untuk melakukan kerja-kerja bertahan, jadi tidak hairanlah mengapa beliau sering dilabel sebagai pemain tengah serba lengkap dalam dunia bolasepak moden.

Bagaimanapun selama hampir dua bulan tanpa Pogba, United tidak banyak berubah. Prestasi mereka tetap sama seperti sebelum Pogba mengalami kecederaan. Ada ketika mereka bermain dengan sangat bagus, dan ada kalanya mereka bermain seperti sebuah kesebelasan bawahan liga. Kini sudah timbul perkhabaran bahawa Pogba akan kembali bermain dalam masa terdekat. Berita ini bukan sahaja satu perkhabaran yang menggembirakan, tetapi timbul juga persoalan apakah perubahan yang bakal dilakukan Solskjaer dalam formasi atau taktikal permainannya bila Pogba kembali nanti.

Tepat Pada Masanya

United dijangka tidak akan dapat menurunkan Scott McTominay ketika mereka berdepan Sheffield United, Astana, Aston Villa, Tottenham Hotspurs dan Manchester City. Jadi jika Pogba kembali beraksi dalam tempoh terdekat, ini merupakan satu kepulangan yang tepat pada masanya. Selain Daniel James, McTominay antara pemain United paling menyerlah musim ini menerusi peranan yang dimainkannya di bahagian tengah menggantikan tempat Ander Herrera.

Meskipun begitu Pogba dan McTominay adalah type pemain yang berbeza. Pogba tidak sepantas McTominay, tetapi beliau memiliki visi yang cukup tinggi dalam permainannya, manakala kualiti jangkauan ketepatan hantaran-hantaran yang dilakukannya tidak perlu dipertikaikan lagi. Sudah tentu kita sangat menantikan dan ingin melihat impak yang mampu ditawarkan duet antara Pogba dan Fred jika mereka bermain bersama-sama nanti.   

Andreas Perreira Bakal Terancam

Buat sementara waktu ketika McTominay menjalani sesi rawatan, kita mungkin akan melihat Solskjaer menggunakan Pogba dan Fred sebagai dua pemain tengah bertahan manakala Andreas Perreira pula berperanan sebagai pemain tengah menyerang dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakannya. Tetapi bagaimana pula situasinya jika McTominay cergas dan kembali bermain nanti?

Meskipun prestasi beliau di atas padang sering dikritik, Perreira nampaknya masih antara pemain kepercayaan Solskjaer untuk membarisi kesebelasan skuadnya. Musim ini Perreira melakukan sebelas penampilan untuk United dalam saingan liga. Satu-satunya aksi yang beliau terlepas ialah ketika United tewas (1-2) kepada Crystal Palace di Old Trafford pada 24 Ogos lalu.

Ketika berdepan Brighton, Perreira muncul antara penyumbang gol untuk United, tetapi hal itu tetap tidak mampu meletakkan beliau dalam kesebelasan terbaik United jika Solskjaer mendapati semua pemainnya fit dan mampu bermain. Bagaimanakah pula nanti jika McTominay keluar dari bilik rawatan, Pogba sudah sedia bermain, manakala Fred kekal dengan prestasi terbaiknya seperti sekarang?

Sebelum ini Soskjaer lebih gemar meletakkan posisi Pogba sedikit ke belakang, tetapi sepertimana yang selalu kita lihat penampilan terbaik pemain tengah Perancis ini selalunya muncul ketika beliau diberikan peranan untuk bermain lebih kehadapan. Ya, saya lebih suka melihat Pogba diberikan kebebasan untuk merancang gerakan dan mencipta peluang di hadapan berbanding melakukan kerja-kerja bertahan di bawah.

Untuk itu, dalam formasi 4-2-3-1 atau 4-3-3, Pogba adalah pilihan yang lebih ideal untuk bertindak selaku pemain tengah menyerang berbanding Perreira, manakala di belakang beliau saya lebih memilih gandingan McTominay dan Fred berdasarkan kepada prestasi semasa mereka. Jadi kembalinya Pogba nanti bukan sahaja bakal menyaksikan perubahan kepada struktur permainan United tetapi Perreira juga mendapati posisinya bakal terancam.

Bagaimanapun satu fakta yang perlu diakui ialah Solskjaer tidak pernah menurunkan Pogba, McTominay dan Fred secara serentak dalam kesebelasan pilihan beliau. Pada kebiasaannya ketika Pogba dan McTominay digandingkan bersama, Solskjaer akan menggunakan Jesse Lingard, Perreira atau Juan Mata untuk memikul peranan sebagai `pemain nombor 10’. Ketika Fred sudah berada pada sisi permainan terbaiknya, satu keinginan yang besar untuk saya melihat Solskjaer menggunakan kombinasi Pogba, Fred dan McTominay pula.

Skema 4-2-3-1 atau 4-3-3

Dalam skema 4-2-3-1, dua pemain tengah bertahan adalah kunci kepada permainan United. Ketika mereka menewaskan Norwich City, FK Partizan dan Brighton & Hove Albion, Solskjaer menggunakan formasi ini dengan meletakkan Fred serta McTominay selaku double pivot. Fred merupakan pemain yang lebih mobile menerusi peranan yang dimainkan beliau untuk merosakkan tempo permainan lawan, manakala McTominay pula lebih kepada ball winning midfielder.

Selama ketiadaan Pogba, peranan (selaku double pivot) ini dikuasai Fred dan McTominay dengan cukup baik. McTominay sangat berdisiplin dalam situasi defensif manakala Fred pula sering menjadi tumpuan saat United melakukan transisi dari bertahan kepada menyerang kerana kualiti kawalan bola yang dimilikinya serta kemampuan beliau ketika melakukan hantaran-hantaran tepat terus kepada rakan di barisan hadapan.

Saya tidak pasti apa yang bakal berlaku jika Pogba kembali beraksi di atas padang nanti. Jika melihat kepada kecenderungan Solskjaer dalam memilih kesebelasan utamanya ketika Pogba cergas, sangat malang untuk kita melihat Fred kembali memanaskan bangku simpanan tatkala beliau sudah mula menemui prestasi terbaiknya. Untuk itu, saya berharap Solskjaer sudah memiliki solusi skema permainan yang tepat untuk beliau menyenaraikan Pogba, McTominay dan Fred secara serentak buat pertama kali musim ini.

Mungkin dalam hal ini Solskjaer boleh memilih formasi 4-3-3 untuk membolehkan beliau menurukan Pogba, McTominay dan Fred secara serentak di bahagian tengah. Sistemnya ialah meletakkan McTominay sebagai pemain tengah bertahan, Fred berperanan sebagai box to box midfielder manakala Pogba pula akan lebih bebas ketika menyerang. Dengan kepantasan yang dimiliki Marcus Rashford, Anthony Martial dan Daniel James di barisan hadapan, 4-3-3 boleh menjadi sistem yang ideal untuk United.

Penutup

Ketika Pogba semakin hampir kembali beraksi di atas padang, kita terpaksa melihat McTominay pula menjalani sesi terapi di bilik rawatan. Tiada sosok defensive midfielder terbaik dalam skuad United ketika ini kecuali McTominay, seorang perampas bola yang bagus, pelindung kepada empat rakan dibenteng pertahanan dan pemain yang penuh kesungguhan ketika beraksi di atas padang.

United masih memiliki opsyen sepanjang ketiadaan McTominay, iaitu kembali menurunkan Nemanja Matic di posisi defensive midfielder meskipun pemain Serbia itu dikhabarkan bakal meninggalkan Old Trafford pada Januari ini. Selain itu Solskjaer juga memiliki James Garner, tetapi `penyakit’ utama yang biasanya dihadapi pemain muda seperti beliau ialah kemampuan untuk berdepan tekanan dan mengekalkan konsistensi setiap minggu.

Kecederaan McTominay nampaknya menangguhkan buat sementara hasrat saya untuk melihat kombinasi Pogba-Fred-McTominay diturunkan secara serentak buat pertama kali oleh Solskjaer. United akan berdepan Sheffield United di gelanggang lawan hujung minggu ini, jadi tanpa McTominay dan Pogba, saya ingin melihat apakah solusi Solskjaer bagi menampung ketiadaan dua pemain tengah ini dan siapakah yang bakal beliau gandingkan bersama Fred? Glory Glory Manchester United!!!

15 November 2019

FRED...YANG MEMBUATKAN KITA TIDAK MERATAPI KETIADAAN POGBA



Paul Pogba dijangka akan hanya kembali beraksi pada bulan Disember nanti akibat dari kecederaan pergelangan kaki yang dialaminya ketika berdepan Arsenal pada 30 September lalu. Ramai pihak meramalkan tanpa Pogba di bahagian tengah, United akan berdepan masalah besar tetapi hal sebaliknya pula berlaku kerana secara peribadi saya berpendapat skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer tampil lebih baik sejak ketiadaan pemain antarabangsa Perancis itu.

Sejak ketiadaan Pogba, United sudah mengharungi sembilan perlawanan dalam semua peringkat kejohanan. Dari jumlah tersebut, mereka menang lima perlawanan, seri dua kali dan kalah dua kali. Di pentas Liga Europa, United mengesahkan status mereka selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan L apabila layak ke pusingan kalah mati meskipun masih memiliki baki dua perlawanan peringkat kumpulan.

Dalam saingan domestik pula, United layak ke peringkat suku akhir saingan Piala Liga (Carabao Cup) selepas mereka menewaskan Chelsea di Stamford Bridge selain berada dikedudukan ketujuh dalam carta liga. Kecederaan Pogba umpama satu `rahmat’ buat United, kerana kini mereka berjaya membuktikan tanpa kelibat pemain tengah itu di atas padang, mereka tetap `mampu hidup’. Untuk itu terima kasih atas prestasi cemerlang yang dipamerkan Fred dan Scott McTominay.

Keberadaan Fred

Pemain yang sepatutnya paling bersyukur sepanjang ketiadaan Pogba ialah Fred. Menerusi skema permainan 4-2-3-1 yang digunakan Solskjaer, Fred akhirnya menemui potensi sebenar beliau di sektor tengah United. Potensi inilah sebenarnya yang memaksa United membayar sehingga £52 juta kepada Shakhtar Donetsk demi membawa Fred beraksi di Liga Perdana. Bersama Scott McTominay, Fred berjaya membentuk keserasian selaku dua pemain tengah bertahan yang memberikan kestabilan kepada permainan United terutamanya dalam situasi defensif.

Musim ini Fred melakukan lapan penampilan liga untuk United tetapi titik sebenar kebangkitan Fred ialah ketika beliau diturunkan selama 90 minit dalam aksi North West Derby pada 20 Oktober lalu. Selaku pemain tengah bertahan, tugas utama Fred ialah menghentikan aliran bola dari masuk ke zon bahaya atau sebagai perosak kepada tempo gerakan-gerakan serangan lawan. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau mengumpul 27 kad kuning dan satu kad merah ketika menyarung jersi Shakhtar Donetsk.

Suka Duka Di Kharkiv

Shakhtar Donetsk menandatangani Fred pada 2013 bagi menggantikan posisi Fernandinho yang berhijrah ke Manchester City. Nilai €15 juta yang dibayar Shakhtar kepada Internacional untuk seorang pemain yang baru berusia 20 tahun ketika itu sebenarnya satu perjudian yang besar memandangkan kemampuan Fred yang masih belum teruji, terutamanya dalam kancah bolasepak Eropah. Bagaimanapun jika diteliti perjalanan karier Fred di peringkat remaja, memang wajar Shakhtar merekrut beliau selaku successor Fernandinho.

Pada usia 18 tahun, Fred sudahpun melakukan penampilan profesionalnya bersama Internacional. Dua musim di Porto Alegre, Fred berjaya membantu skuad `Colorado’ itu menjulang trofi Campeonato Gaucho dua musim berturut-turut sebelum berhijrah ke Ukraine. Di Donetsk, Fred menjadi pilihan utama Mircea Lucescu untuk membentuk trio bersama Fernando Martins dan Taras Stepanenko di bahagian tengah, manakala Alex Texeira pula berperanan selaku pemain tengah menyerang.

Titik hitam menyelubungi karier Fred apabila beliau digantung selama 16 bulan kerana gagal ujian doping dalam kejohanan Copa America 2015. Kes tersebut merencatkan minat beberapa kelab Eropah untuk mendapatkan khidmatnya manakala Shakhtar yang menyedari potensi besar dimiliki Fred cuba untuk terus mengekalkan pemain itu di Kharkiv. Tidak beraksi di peringkat tinggi dalam tempoh lebih setahun rupa-rupanya tidak langsung melunturkan kualiti beliau sebagai pemain.

Musim 2017/18, Fred kembali ke dalam kesebelasan utama Shakhtar untuk bergandingan semula bersama Stepanenko. Dalam kempen Liga Juara-Juara pula, Fred bermain semua enam perlawanan peringkat kumpulan untuk Shakhtar. Shakhtar layak ke pusingan kalah mati selepas mereka muncul naib juara di peringkat kumpulan, tetapi paling menarik ialah kemampuan gergasi Ukraine itu memaksa Manchester City pulang dengan tangan kosong dalam kunjungan mereka ke Kharkiv pada 13 September 2017.

Selepas perlawanan muncul perkhabaran tentang minat Pep Guardiola untuk membawa Fred beraksi di Stadium Etihad. Hal tersebut turut disahkan oleh Tite yang juga merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Brazil. Tite mengakui bahawa Guardiola menghubungi beliau untuk bertanyakan kualiti Fred. Desas desus tentang kemungkinan beliau berhijrah ke England mula tersebar luas selepas Gilberto Silva yang juga merupakan bekas pemain Arsenal mengesahkan bahawa ada kelab Inggeris yang berminat mendapatkan khidmat Fred.

“Sangat menyenangkan kerana menjadi mentornya di luar padang. Saya bukan agen, tetapi saya memiliki pengalaman bekerjasama dengan pemain. Jadi saya lebih mirip kepada mentor bukan sebagai agennya. Ia seperti lebih kepada melakukan analisis dan kemudian berkata kepadanya apa yang harus dia lakukan untuk memperbaiki permainannya. Ada beberapa tawaran untuk Fred dari England pada Januari tetapi perpindahan nampaknya tidak berlaku”, kata Gilberto kepada Sky Sports pada Mac 2018.

Terbang Ke England

Apa yang keluar dari mulut Gilberto bukanlah cakap-cakap kosong kerana empat bulan selepas itu ada kelab England yang melakukan tawaran kepada Shakhtar untuk mendapatkan khidmat Fred. Bukan Manchester City sepertimana yang digembar-gemburkan pada awalnya tetapi tawaran terhadap Fred datang dari United yang ketika itu dibawah kendalian Jose Mourinho.

Tanda harga sebanyak £52 juta yang diletakkan Shakhtar menjadi penyebab utama mengapa City menarik diri meskipun mereka pernah berurusan dengan kelab Ukraine itu ketika menandatangani Fernandinho dan Elano. Kini Fred meninggalkan Shakhtar dengan sepuluh medal kejuaraan dimana tiga daripadanya adalah medal kejuaraan Liga Perdana Ukraine.

Catatan itu sebenarnya hampir menyamai pencapaian Fernandinho yang berjaya memenangi 13 medal kejuaraan dalam tempoh lapan musim beliau menyarung jersi Shakhtar. Selaku successor Fernandinho di Kharkiv, sudah tentu Mircea Lucescu ketika itu mahukan seorang pemain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pemain Manchester City itu di bahagian tengah skuadnya.

Jadi tidak hairanlah juga mengapa corak permainan Fred seringkali dibandingkan dengan Fernandinho. Bagaimanapun Lucescu sendiri berpendapat bahawa Fred merupakan pemain tengah yang lebih complete berbanding Fernandinho kerana kebolehannya dalam melepasi kekangan lawan atau ketika melakukan key passes terus kepada rakan di bahagian hadapan.

Dari lapan penampilannya di Liga Juara-Juara musim 2017/18, Fred berhasil melakukan purata 2.9 gelecekan per perlawanan berbanding Fernandinho (yang melakukan 0.9 per perlawanan). Catatan ini juga meletakkan Fred di tangga ke-18 dalam senarai pemain yang paling kerap melakukan dribble dalam saingan Liga Juara-Juara musim tersebut.

Penutup

Kehadiran Fred musim lalu pada mulanya diharap mampu menjadikan sektor tengah United lebik kompak. Fred adalah tipikal pemain tengah yang diperlukan United tetapi malangnya beliau bergelut dalam usahanya menyesuaikan diri dengan pasukan baharu dan corak permainan bolasepak di England. Gambaran awal bagaimanapun tidak menjadi kenyataan kerana potensi sebenar Fred terus tenggelam di sebalik kemelut yang melanda Mourinho di penghujung era beliau selaku pengendali di Old Trafford.

Kedatangan Solskjaer selepas itu turut tidak banyak membantu perkembangan karier Fred bersama United hinggalah malang menimpa Pogba yang menyaksikan beliau tersisih selama dua bulan akibat kecederaan pergelangan kaki. Kehilangan Pogba pada mulanya sangat dibimbangi tetapi mujurlah Fred mula menemui sisi terbaik dalam permainannya. Apa yang anda lihat sekarang ialah Fred yang sangat berbeza berbanding fasa awal kehadirannya di Old Trafford.

Tatkala tahap keyakinan dalam diri Fred mula meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan, penyokong-penyokong United pula akhirnya dapat melihat prestasi seorang pemain tengah yang selayaknya United tandatangani. Sangat menyenangkan bila melihat seorang pemain yang pada awalnya berdepan kesukaran kini sibuk menikmati minit permainan di atas padang. Semoga Fred akan terus menemui sisi terbaik dalam permainannya dan semoga peningkatan prestasi beliau akan membuatkan kita terlupa bahawa United kini bermain tanpa Paul Pogba. Glory Glory Manchester United!!!

12 November 2019

HARAPAN TINGGI TERHADAP BRANDON WILLIAMS



Selepas tewas kepada Bournemouth minggu lalu, Manchester United kembali meraih kemenangan sekaligus memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga. Kemenangan (3-1) yang dilakar mereka ke atas Brighton & Hove Albion ini sangat penting dalam memastikan United tidak terus ketinggalan terlalu jauh dari kelompok empat teratas liga. Selepas mengesahkan kemaraan mereka di pusingan kalah mati Liga Europa ketika membenam Partizan Belgrade dua hari sebelumnya, kemenangan ke atas Brighton pula melonjakkan kembali kedudukan United di tangga ketujuh carta liga.

Apa yang menariknya ialah, aksi menentang Brighton juga menjadi pentas buat beberapa pemain muda memperagakan aksi mereka dan paling mencuri tumpuan ialah kelibat Brandon Williams di posisi bek kiri. Ketiadaan Ashley Young yang menjalani penggantungan kerana memungut mata mandatori akibat  layangan kad kuning membolehkan Williams melakukan penampilan ketiganya untuk United dalam saingan liga musim ini selepas kali pertama diturunkan Solskjaer ketika berdepan Liverpool dan kedua ketika berdepan Bournemouth.   

Penampilan Pertama

Williams melakukan penampilan pertama untuk kesebelasan United ketika berdepan Rochdale dalam kempen Piala Liga (Carabao Cup) dan sejak itu beliau kekal dalam skuad senior meskipun rakan seangkatannya seperti Tahith Chong dan Angel Gomes dihantar kembali ke skuad remaja. Peningkatan prestasi yang ditunjukkan Williams ini sebenarnya sangat drastik memandangkan beliau sebenarnya tidak tersenarai dalam skuad yang dibawa Solskjaer ketika kempen pra musim United.

Williams tidak perlu menunggu lama untuk mencuri perhatian Solskjaer dan peluang beraksi menentang Rochdale digunakan beliau untuk memperagakan bakatnya. Dalam perlawanan itu, beliau diturunkan di separuh masa kedua menggantikan Phil Jones, satu perubahan taktikal yang cuba dilakukan Solskjaer dalam perlawanan itu bagi membolehkan Andreas Perreira bergerak ketengah dan jauh ke atas dalam misi menekan benteng pertahanan lawan.

Aksi menentang Rochdale merupakan penampilan pertama Williams untuk skuad senior tetapi kesan sebenar yang beliau berikan menerusi penampilannya di atas padang ialah ketika United berdepan AZ Alkmaar dalam saingan Liga Europa. Secara keseluruhannya, United memang tidak beraksi dengan baik ketika berdepan Alkmaar, malah penampilan mereka di padang sintetik Cars Jeans Stadium boleh dilabel sebagai antara penampilan terburuk mereka musim ini meskipun United pulang ke England dengan satu mata.

Namun begitu tatkala rakan-rakan sepasukan yang lain beraksi di bawah par, Williams pula `mungkin’ satu-satunya pemain United paling cemerlang di Cars Jeans Stadium. Sepanjang perlawanan, beliau tampil dengan begitu tenang mengawal sektor kiri pertahanan United meskipun itu merupakan aksi pertamanya di pentas Eropah. Menurut catatan WhoScored, sepanjang perlawanan beliau melakukan tiga tackle bersih, satu intercept, menang dua perebutan bola tinggi dan melakukan dua clearance, manakala peratusan ketepatan hantaran yang dilakukannya pula mencapai angka 82%.

Ketenangan beliau di benteng pertahanan khususnya dalam mengawal sektor kiri pertahanan United ketika berdepan AZ Alkmaar menyaksikan Williams terus diberikan kepercayaan oleh Solskjaer untuk diturunkan selama 90 minit ketika United berdepan FK Partizan di Belgrade. Kepercayaan terhadap potensi beliau sekali lagi diterjemahkan Solskjaer apabila pengendali itu menurunkan Williams selama 90 minit ketika United menyingkirkan Chelsea dari saingan Piala Liga di Stamford Bridge pada 31 Oktober lalu.

Kelebihan

Faktor utama yang menjadi nilai tambah kepada corak permainan Williams ialah kemampuan beliau ketika melakukan gerakan-gerakan ke kubu lawan dalam situasi offensive. Ketika Luke Shaw sering dikritik kerana kemampuan offensive beliau yang dikatakan agak kurang bagus, Williams pula lebih berani untuk tampil menyerang dan melakukan gerakan-gerakan overlap. Atas sebab itulah mengapa Samuel Luckhurst (yang juga merupakan jurnalis dari Manchester Evening News) melabelkan Williams sebagai bek kiri yang lebih complete berbanding Shaw ataupun Young.

Selain itu kelebihan yang dimiliki Williams ialah kemampuan beliau bermain di dua posisi berbeza, iaitu sebagai bek kiri dan juga kanan. Apa yang menariknya, bek kanan merupakan posisi asal Williams, dan di Stamford Bridge beliau menghabiskan baki 10 minit aksi Piala Liga menentang Chelsea di posisi bek kanan selepas Young di bawa masuk menggantikan Marcus Rashford. Fleksibiliti Williams yang boleh bermain lebih dari satu posisi merupakan bonus tambahan untuk Solskjaer, terutamanya ketika beliau mahu melakukan pertukaran taktikal dalam satu-satu perlawanan. 

Harapan

Menoleh ke belakang dan melihat deretan pemain-pemain hebat yang pernah menguasai sektor kiri pertahanan United seperti Roger Byrne, Tony Dunne, Arthur Albiston, Denis Irwin dan Patrice Evra, harapan sememangnya cukup tinggi untuk kita melihat seorang lagi sensasi baharu dilahirkan bagi mengisi posisi tersebut. Kecederaan demi kecederaan yang dialami Luke Shaw nampaknya menganggu penampilan beliau di Old Trafford meskipun pada mulanya bekas pemain Southampton ini digembar-gemburkan sebagai penerusi legasi Evra.

Sejak persaraan Evra, Marcos Rojo, Daley Blind, Ashley Young dan Luke Shaw antara pemain yang silih berganti mengisi posisi selaku bek kiri.  Selain itu Tyler Blackett, Cameron Bothwick-Jackson dan Joe Riley pula antara bakat dari akademi yang pernah dicuba untuk mengisi posisi tersebut namun semuanya gagal memenuhi jangkaan. Kini di bawah regim Solskjaer, muncul pula nama Brandon Williams ditengah-tengah keobsesan beliau dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dalam skuad kendaliannya.

Segunung harapan untuk kita melihat Williams mampu mengikut jejak Scott McTominay selaku antara pemain sandaran utama United ketika ini. Sejak melakukan debut untuk United dalam saingan liga pada 7 Mei 2017, McTominay tidak lagi menoleh kebelakang dan kini antara tulang belakang di sektor tengah barisan The Red Devils. Pada 25 Oktober lalu, Williams diberikan pujian melambung oleh Solskjaer menerusi `keberanian’ yang ditunjukkan beliau di Beograd selepas United meraih tiga mata ketika berdepan FK Partizan dalam kempen Liga Europa.

Di sebalik kritikan Solskjaer terhadap penampilan keseluruhan skuadnya di Beograd, tetap ada pengecualian untuk anak muda bernama Brandon Williams ini. “Sikapnya fantastis. Dia hebat ketika bertahan dan kuat ketika di udara. Dia membolehkan kami mendapatkan penalti menerusi keberaniannya membawa bola kedepan. Budak ini tiada rasa takut dan membuatkan kami memenangi perlawanan ini. Dia adalah man of the match dan saya fikir dia sungguh hebat”, kata Solskjaer selepas tamat perlawanan.

Penutup

Kemunculan beberapa pemain muda seperti Mason Greenwood, James Garner dan Brandon Williams antara sisi positif yang diberikan Solskjaer meskipun prestasi United setakat ini tidak menggembirakan majoriti penyokong-penyokong mereka. Dengan penampilan kian menyakinkan Scott McTominay serta pembelian bijak yang dilakukan Solskjaer ke atas pemain-pemain muda seperti Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James, beliau nampaknya memberikan isyarat jelas bahawa United sedang dibina berteraskan potensi bakat-bakat muda.

Kecenderungan Solskjaer terhadap bakat-bakat muda sekali lagi dipamerkan beliau ketika berdepan Brighton kelmarin. Purata umur skuad yang diturunkan Solskjaer ketika berdepan Brighton ialah 23 tahun dan 350 hari, sekaligus membolehkan mereka muncul skuad termuda di Liga Perdana musim ini. Melihat kepada pendekatan yang dilakukan Solskjaer, saya percaya pemain-pemain muda seperti Williams, McTominay, Wan-Bissaka, James, Greenwood dan Rashford bakal memainkan peranan yang sangat penting untuk United buat tempoh yang panjang. Glory Glory Manchester United!!!

08 November 2019

WAJARKAH UNITED MENIRU PENDEKATAN BAYERN MUNICH?



Kesabaran pihak pengurusan Bayern Munich terhadap Niko Kovac akhirnya sampai kekemuncak. Sehari selepas diaibkan Eintracht Frankfurt, Kovac akhirnya ditunjukkan pintu keluar meskipun musim lalu beliau berjaya mengemudi Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga, DFB Pokal dan DFL Supercup. Kekalahan (1-5) di tangan Frankfurt itu juga merupakan kekalahan terbesar yang dialami Bayern di Bundesliga dalam tempoh sedekad lantas memaksa satu keputusan drastik diambil.

Bayern muncul kelab besar Eropah pertama yang memecat pengurus mereka musim ini berikutan prestasi hambar meskipun musim 2019/20 belum lagi memasuki fasa pertengahan. Prestasi hambar yang dipamerkan Bayern selain hubungan buruknya dengan beberapa pemain senior menjadi penyebab utama mengapa Kovac dipecat, dan saya yakin beliau tidak akan bersendirian kerana akan ada beberapa lagi rakan sejawat beliau di sekitar Eropah yang bakal menerima nasib sama.

Kedudukan Ernesto Valverde di Nou Camp juga diberitakan sedang goyah kerana ramai pihak yang kurang senang dengan taktikal permainan diterapkan beliau meskipun Barca adalah peneraju carta La Liga. Suasana di kota Paris juga nampaknya kurang harmoni kerana Thomas Tuchel sudah merasakan bahangnya selepas PSG tewas mengejut (1-2) kepada Dijon. Kini sudah terdengar cerita-cerita kurang senang tentang penampilan gergasi Perancis itu sejak kehadiran Tuchel di Parc des Princes musim lalu.

Di Sepanyol, Real Madrid masih memberikan tekanan kepada Barcelona selaku pendahulu liga tetapi saya tidak pasti adakah Florentino Perez mampu bersabar jika Real di bawah kendalian Zinedine Zidane tersingkir awal dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini? Nasib Unai Emery dan Mauricio Pochettino di England juga sedang hangat dibahaskan berikutan prestasi hambar yang dipamerkan barisan Arsenal dan Spurs dalam saingan liga.

Senasib Dengan Mourinho

Berbanding situasi Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford, prestasi Kovac di Allianz Arena sebenarnya tidaklah begitu buruk.  Musim lalu tiga kejuaraan domestik berjaya beliau berikan untuk Bayern manakala kedudukan mereka dalam carta liga musim ini masih dalam kelompok empat teratas. Di Bundesliga, Bayern berada dikedudukan keempat selepas mereka memungut 18 mata dari 10 perlawanan, hanya empat mata di belakang Borussia Monchengladbach selaku pendahulu liga.

Tiga kejuaraan domestik yang berjaya dimenangi Bayern musim lalu nampaknya tetap gagal menyelamatkan kerjaya Kovac di Allianz Arena, kerana Ulli Hoeness (presiden), Karl Heinz Rummenigge (pengerusi) dan Hassan Salihamidzic (pengarah sukan) lebih melihat konsistensi dan gaya permainan Bayern yang dianggap tidak sesuai dengan falsafah bolasepak kelab sebagai penyebab utama mengapa mereka menamatkan kontrak pengendali warga Croatia itu lebih awal.

Apa yang berlaku kepada Kovac ini sebenarnya hampir sama dengan situasi dialami Jose Mourinho sebelum beliau dipecat pada Disember tahun lalu. Isu pemecatan Kovac bukan sahaja berkisar tentang konsistensi dan falsafah bolsepak, tetapi pemecatan beliau turut disumbang faktor hubungan buruknya dengan beberapa pemain senior Bayern. Musim lalu Franck Ribery, Arjen Robben dan Matt Hummels antara pemain senior yang diberitakan sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan Kovac `ditendang keluar’.

Mentaliti Kelab Besar

Siapalah Ed Woodward jika mahu dibandingkan dengan Ulli Hoeness dan Karl Heinz-Rummenigge. Berbanding Woodward yang dilabel sebagai `tidak tahu apa-apa tentang bolasepak’, Bayern pula dipimpin oleh dua sosok legenda bolasepak Jerman. Hoeness dan Rummenigge ketika era mereka sebagai pemain adalah pemenang medal kejuaraan Piala Dunia dan juga Piala Eropah untuk Jerman Barat. Di peringkat kelab, mereka juga sudah memenangi kesemua kejohanan utama domestik dan juga Eropah bersama Bayern.

Selaku bekas pemain yang sudah memenangi segala-galanya untuk negara dan juga kelab, maka tidak hairanlah mengapa Hoeness serta Rummenigge sangat taksub dengan kesuksesan. Tanpa kompromi, mereka akan mengambil tindakan drastik dengan memecat pengurus jika mereka mendapati penampilan pasukan berada di bawah standard yang ditetapkan. Louis Van Gaal, Jurgen Klinsmann, Carlo Ancelotti dan Kovac antara yang menjadi mangsa kerana mereka gagal memuaskan hati dua legenda bolasepak Jerman ini.

Mungkin ada di kalangan anda berpendapat bahawa tindakan Bayern memecat Kovac dilakukan secara terburu-buru memandangkan musim saingan kompetitif 2019/20 masih lagi panjang. Bagaimanapun tindakan ini sebenarnya lebih cenderung kepada usaha mereka memelihara kestabilan kelab serta mengekalkan identiti Bayern selaku antara kuasa besar di Eropah. Selaku kelab besar, Bayern perlu mengekalkan sejarah gemilang mereka dan itu antara tugas Hoeness serta Rummenigge memastikan agar The Hollywood tidak merosot terlalu jauh.

Tiru Cara Bayern?

Pendekatan yang sering digunakan oleh kelab-kelab besar Eropah seperti Bayern, Real Madrid, Paris St Germain atau Barcelona ketika kesebelasan mereka berdepan prestasi buruk ialah dengan melakukan penggantian pengurus. Cara ini merupakan cara paling cepat dan praktikal dalam usaha mereka mengembalikan semula prestasi pasukan ke tahap lebih baik, atau menyuntik idea lebih segar dalam corak permainan kesebelasan mereka menerusi kehadiran pengganti yang difikirkan lebih kredibel dari pengendali sebelumnya.

Melihat kepada prestasi semasa di Old Trafford pula, saya percaya ramai penyokong-penyokong Manchester United mahukan kelab melakukan perubahan segera bagi menyelamatkan The Red Devils dari terus terjerumus ke posisi lebih bawah dalam carta liga. Melihat United berada dalam zon penyingkiran adalah situasai paling teruk yang tidak pernah dibayangkan, jadi cara paling tepat dan mudah dari pandangan penyokong adalah menggantikan Solskjaer dengan pengurus baharu sepertimana dilakukan Bayern keatas Kovac.

Meskipun United menang tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan ketika mereka berdepan FK Partizan, Norwich City dan Chelsea, tetapi kekalahan kepada Bournemouth di Dean Court akhirnya meletakkan kembali barisan kendalian Solskjaer kepada realiti sebenar. Barisan Solskjaer `miskin’ kreativiti dalam usaha mereka memecah blok pertahanan rendah lawan, isu terbesar yang masih belum mampu diselesaikan Solskjaer di sebalik tindakan beliau melepaskan Romelu Lukaku ke Inter Milan.

Musim lalu, ketika fasa awal kedatangan Solskjaer di Old Trafford, beliau berjaya menjadikan permainan United menarik untuk ditonton menerusi pendekatan penguasaan bola dan build up play dari bahagian tengah tanpa terlalu bergantung kepada serang balas pantas. Kemenangan demi kemenangan yang diraih United ketika itu selain kecenderungan beliau mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi menyebabkan nama Solskjaer mula didendangkan sebagai `Jelmaan Fergie’.

Musim ini Solskjaer bermula dengan baik selepas United menang besar pada perlawanan pertama liga ketika berdepan Chelsea, tetapi selepas itu segalanya tampak seperti tidak lagi menyebelahi warga Norway itu. 13 mata dari 11 perlawanan adalah satu permulaan terburuk yang dilakukan United dalam tempoh 33 tahun. Bagi golongan penyokong yang mahu melihat perubahan segera, pemecatan Solskjaer adalah berita yang sememangnya mereka nanti-nantikan.

Bagaimanapun hasrat mereka yang mahu agar Solskjaer dipecat mungkin tidak akan kesampaian, sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat. Berbanding David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho, Solskjaer nampaknya masih lagi menerima sokongan dari pihak pengurusan United meskipun prestasi kesebelasan kendalian beliau di atas padang mengundang kritikan dari pelbagai sudut. Malah beliau juga sudah dijanjikan dengan dana tambahan untuk mendapatkan pemain-pemain baharu pada bursa perpindahan musim sejuk nanti.

Penutup

Selepas persaraan Fergie, Old Trafford sudah menyaksikan era empat pengendali berbeza dan itu bermakna, anda juga sudah melihat empat falsafah bolasepak berbeza diperagakan di Theatre of Dreams. Bukan itu sahaja dalam tempoh enam tahun sejak persaraan Fergie, kelab juga sudah membelanjakan lebih £600 juta untuk membeli pemain-pemain baharu tetapi sehingga kini tetap gagal mengubah United kepada kesebelasan yang digeruni baik di peringkat domestik mahupun Eropah sepertimana ketika era Fergie.

Kita tidak pasti apa yang akan berlaku jika United tewas lagi dalam dua atau tiga perlawanan liga mereka selepas ini. Buat masa ini nasib Solskjaer akan ditentukan oleh masa dan keadaan kerana kesabaran pihak pengurusan mungkin akan tiba kekemuncaknya jika prestasi kesebelasan kendalian beliau masih sama sepertimana ketika mereka tewas kepada Bournemouth, Newcastle United, West Ham dan Crystal Palace. Atau adakah Woodward akan menunggu hingga United terjerumus ke zon penyingkiran sebelum satu langkah lebih drastik diambil? Glory Glory Manchester United!!!

05 November 2019

ERLING HAALAND...OPSYEN YANG LEBIH MENARIK BERBANDING MANDZUKIC



Masih ingatkah anda dengan sosok pemain bernama Alf Inge-Haaland? Bagi penyokong-penyokong Manchester United, nama Inge-Haaland tentunya masih segar diingatan meskipun beliau tidak pernah menyarung jersi merah The Red Devils. Inge-Haaland akan tetap kekal dalam memori penyokong-penyokong United gara-gara terjahan brutal yang dilakukan Roy Keane ke atasnya dalam aksi Manchester Derby pada 2001 yang akhirnya memaksa bekas pemain antarabangsa Norway itu bersara dua tahun selepas itu.

Inge-Haaland antara mangsa kegilaan Keano di atas padang dan meskipun beliau berusaha keras untuk pulih dari kecederaan teruk yang dialaminya akibat terjahan itu, Inge-Haaland akhirnya tewas dan akur bahawa karier profesionalnya sudah berakhir. Itu cerita 18 tahun lalu kerana kini tumpuan penyokong-penyokong United beralih arah pula kepada Erling Braut Haaland, anak lelaki Inge-Haaland yang sedang mencetuskan sensasi bersama Red Bull Salzburg selepas beliau meledak 12 gol dari 10 penampilan liga musim ini.

Cerita tentang minat United terhadap pemain berusia 19 tahun ini bukanlah cerita baharu, kerana The Red Devils sudah memantau perkembangan Erling sejak beliau masih bersama FK Molde lagi. Dua gol yang dijaringkan beliau ketika berdepan Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara pada 24 Oktober lalu bakal menjadi penyebab yang lebih kuat untuk United memulakan pemburuan lebih serius bagi mendapatkan tandatangannya. Red Bull Salzburg tewas dalam perlawanan itu menerusi gol kemenangan Lorenzo Insigne tetapi penampilan Erling benar-benar mencuri tumpuan.

Dua gol yang diledak Erling ke gawang Napoli itu meletakkan beliau sebagai pemain pertama yang menjaringkan enam gol dari tiga penampilan pertama di Liga Juara-Juara. Erling menjaringkan hatrik ketika Salzburg menewaskan Genk (6-2) pada perlawanan pertama, dan kemudiannya menyumbang satu gol ketika tewas (3-4) kepada Liverpool pada perlawanan kedua. Lebih sensasi, Erling sudah menjaringkan 22 gol dari 19 penampilan untuk Salzburg (disemua peringkat kejohanan) musim ini.

Prospek Panas

Sembilan gol yang diledak Erling ke gawang Honduras dalam aksi peringkat kumpulan Piala Dunia U-20 (yang dilangsungkan pada 23 Mei-15 Jun) tahun ini sudah cukup untuk menobatkan beliau selaku pemenang kasut emas kejohanan. Sayangnya Norway gagal lolos ke pusingan kalah mati, lantas menamatkan sebarang harapan Erling untuk memadam rekod Javier Saviola selaku penjaring terbanyak sepanjang masa kejohanan peringkat umur itu yang sudah bertahan selama 18 tahun menerusi 11 gol yang diledak beliau di Argentina.

Dengan ketinggian 1.94m serta berat badan 84kg, Erling dianugerahkan kekuatan fizikal yang bagus untuk berdepan sebarang duel dengan pemain lawan. Sebagai penyerang, sangat sukar untuk mana-mana pemain pertahanan lawan menjatuhkan atau merebut penguasaan bola dari kakinya. Selain itu Erling juga memiliki instinct yang cukup bagus ketika berada dalam petak penalti lawan atau meletakkan dirinya dalam posisi yang tepat untuk menerima hantaran dari rakan sepasukan.

Jerman hampir menjadi destinasi Erling selepas beliau tampil cemerlang dengan meledak 18 gol dari 14 penampilan untuk skuad B FK Bryne. Bagaimanapun beliau kembali semula ke Norway untuk menyertai FK Molde pada Februari 2017 selepas menjalani sesi trial bersama Hoffenheim. Di Molde yang ketika itu dibawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, Erling meledak 20 gol dari 50 penampilan dimana 16 daripadanya dijaringkan beliau pada musim 2018. Selain dari itu, beliau juga menjaringkan empat gol dalam tempoh hanya 21 minit ketika Molde mengatasi Brann pada Ogos 2018.

“Haaland boleh menjadi penyerang kelas dunia suatu hari nanti. Dia kuat seperti beruang dan pantas seperti kuda. Dia pembunuh dan mesin gol. Menyertai Salzburg adalah keputusan yang tepat kerana di sana dia akan menjadi pemain utama pada usianya. Penting untuk pemain muda sepertinya bermain sekerap mungkin”, kata Oyvind Gondo yang juga merupakan jurnalis Daglabet. Pada awal tahun ini, Erling akhirnya menyertai Salzburg, kesebelasan yang pernah dibarisi Sadio Mane dari 2012 hingga 2014.

Dalam Radar Solskjaer?

Solskjaer pernah bekerjasama dengan Erling ketika beliau melatih Molde, jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan jika United dikaitkan dengan prospek panas dari Norway ini. Selaku pemain yang pernah bermain di bawah arahan beliau, Solskjaer tentunya sangat faham kemampuan sebenar yang dimiliki Erling sebagai penggempur. Melihat kepada ketumpulan jentera serangan United musim ini, adakah Erling pemain yang diperlukan Solskjaer untuk meningkatkan lagi daya ketajaman jentera penggempurnya?

Meskipun begitu bukan mudah sebenarnya untuk United `memikat’ Erling kerana selain sejarah hitam membabitkan terjahan keras Keano yang menyebabkan bapanya terpaksa bersara awal, Erling juga sebenarnya dilahirkan di Leeds, 19 tahun yang lalu. Seperti yang anda tahu, Leeds United merupakan kelab yang pernah dibarisi ayahnya dan juga musuh abadi United yang pernah mencetuskan panik di England setiap kali berlangsungnya pertembungan Roses Derby terutamanya di sekitar era 70an hingga 80an ketika semangat hooliganisme dalam bolasepak Inggeris sedang memuncak.

Inge-Haaland pernah mewakili Leeds United selama tiga musim dari 1997 hingga 2000 dan Erling lahir ketika bapanya masih menyarung jersi skuad The Whites itu. Atas sebab itulah mengapa sentimen terhadap Leeds sememangnya masih kuat dalam diri Erling dan beliau juga pernah secara terbuka menyuarakan hasrat untuk kembali ke England dan bermain untuk Leeds. “Salah satu impian saya ialah bermain untuk Leeds dan memenangi Liga Perdana bersama mereka. Selain itu saya juga ingin bermain lebih lama berbanding ayah saya”, kata Erling.

Faktor Solskjaer

Sembilan gol yang diledak beliau ke gawang Honduras pada aksi peringkat kumpulan Piala Dunia U-20 menyaksikan Erling berjaya meleburkan rekod 22 tahun milik Adailton Martins selaku penjaring terbanyak dalam satu perlawanan. Untuk rekod, Martins menjaringkan enam gol ketika Brazil membelasah Korea Selatan (10-3) dalam kejohanan yang dilangsungkan di Malaysia pada 1997. Enam gol yang sudah dijaringkan beliau dalam saingan Liga Juara-Juara setakat ini meletakkan Erling sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak.

Enam gol dari tiga penampilan pertama di Liga Juara-Juara merupakan statistik yang menakjubkan untuk seorang pemain yang baru berusia 19 tahun, satu pencapaian yang gagal dilakukan pemain sehebat Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo sekalipun. Jadi tidak hairanlah mengapa Erling muncul prospek paling panas yang diburu kelab-kelab besar Eropah. Meskipun Solskjaer masih berdiam diri tentang khabar angin yang mengaitkan minat United terhadap pemain muda ini, saya percaya nama Erling memang sedang berlegar dalam fikiran beliau.

Leeds memang kuat melekat dalam tubuh Erling, tetapi mampukah beliau menolak jika rombongan United datang `mengetuk pintu rumahnya’ dan membuat tawaran? Ketika masih melatih Molde, Solskjaer mendedahkan ada tawaran dari `bekas juara Eropah’ yang ditolak kelabnya. “Kami pernah menerima tawaran dari `bekas juara Eropah’, tetapi kami menolaknya. Berkenaan United pula, Erling bukanlah penyokong Manchester United. Tetapi jika mereka datang tentulah bukan sesuatu yang mudah untuk dia menolaknya”, kata Solskjaer.

Faktor Solskjaer selaku individu yang pernah bekerjasama dengan Erling mungkin sedikit sebanyak boleh membantu merealisasikan perpindahan pemain muda ini ke Old Trafford jika menang benar United mahukan tandatangannya. Peluang bermain di liga paling kompetitif di dunia, dan menyertai United mungkin peluang yang sukar untuk ditolak Erling meskipun sejarah hitam masa lalu membabitkan ayahnya dan Keano, serta perseteruan silam antara United dan Leeds boleh menjadi faktor `penganggu’.

Berbanding Mario Mandzukic, saya lebih gemar melihat seorang prospek jangka panjang mengetuai jentera serangan United. Apatah lagi Solskjaer juga kini sangat cenderung mengetengahkan bakat-bakat muda dalam kesebelasan skuadnya. Melihat kepada situasi sekarang, United memang sangat memerlukan tenaga tambahan di barisan hadapan selepas pemergian Romelu Lukaku ke Inter Milan. Mandzukic paling kerap dikaitkan dengan United tetapi Erling adalah opsyen yang lebih menarik untuk menyertai revolusi Solskjaer di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

02 November 2019

ASHLEY YOUNG: MENUKAR KEJIAN DAN CACIAN KEPADA MOTIVASI DI PADANG LATIHAN




Ada momen yang sangat menarik dalam aksi antara Arsenal dan Crystal Palace di Stadium Emirates pada 28 Oktober lalu. Dua keputusan VAR yang menyaksikan layangan kad kuning kepada Wilfried Zaha ditarik balik dan Palace kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti. Manakala `gol’ penghujung perlawanan Sokratis Papastathopoulos yang dibatalkan pengadil (selepas merujuk kepada VAR) antara elemen dramatik yang menghiasi aksi tersebut.

Selepas mendahului lawan 2-0 dalam tempoh hanya sepuluh minit pertama permainan, keputusan seri itu tentunya bukanlah keputusan yang dibayangkan oleh para penyokong The Gunners. Apatah lagi seminggu sebelumnya Arsenal tewas kepada Sheffield United dalam aksi yang dilangsungkan di gelanggang lawan. Kekecewaan para Gooners itu kemudiannya dilampiaskan mereka kepada Granit Xhaka, saat kapten Arsenal itu dikeluarkan diminit ke-61.

Ketika Xhaka berjalan keluar padang, beliau di-boo penyokong-penyokong Arsenal lantas memancing emosi pemain antarabangsa Switzerland itu. Respon marah dan memperolok penyokong-penyokong yang dilakukan Xhaka itu akhirnya mendapat teguran dari Unai Emery selepas tamat perlawanan. Ejekan di Stadium Emirates itu bukanlah yang pertama di terima Xhaka kerana ketika berdepan Aston Villa sebulan sebelum itu, Emery juga terpaksa bertindak mempertahankan kaptennya itu dari serangan penyokong sendiri.

Di Arsenal, Xhaka antara pemain yang sering dijadikan sasaran cemuhan penyokong-penyokong mereka sendiri, tetapi di Old Trafford juga apa kurangnya. Jika penyokong-penyokong Arsenal tidak gembira dengan prestasi kapten mereka, Ashley Young juga turut menerima nasib yang sama di Old Trafford. Cacian dan makian adalah resam yang terpaksa dihadapi pemain-pemain bolasepak, jadi penting untuk mereka mengawal emosi agar tidak terjebak dengan provokasi yang dilakukan oleh penyokong sendiri mahupun penyokong lawan.

Xhaka dan Young adalah kapten pasukan masing-masing, cuma bezanya pemilihan bekas pemain Aston Villa untuk memakain armband ketua pasukan dilakukan menerusi undian. Jika anda mahu belajar bagaimana caranya `menikmati’ segala cacian dan kejian, Young mungkin boleh dijadikan sebagai mentor terbaik. Ketika tindakan Xhaka mengundang kritikan keras dari Nigel Winterburn dan Ian Wright yang juga merupakan legenda Arsenal, Young pula melayan setiap cacian dan kejian dengan cara yang cukup santai.

Keberadaan Young di bilik persalinan dikatakan sangat menghiburkan kerana sisi humorist yang ada dalam diri beliau. Untuk seorang kapten yang dijadikan `objek kebencian’ oleh penyokong-penyokong sendiri, keupayaan beliau untuk kekal fokus, santai dan memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukan yang lain sama ada di atas padang mahupun ketika di bilik persalinan sebenarnya sesuatu yang sangat mengagumkan. Untuk itu sebagai seorang kapten, Young berjaya melakukan tugasnya dengan baik.

Rahsia Young

Sebagai pemain yang pernah berperanan selaku seorang winger, Young tidaklah sehebat David Beckham, Ryan Giggs atau Cristiano Ronaldo. Selepas bertukar di posisi fullback pula, kemampuannya masih jauh jika mahu dibandingkan dengan Dennis Irwin, Patrice Evra atau Gary Neville sekalipun. Manakala kekerapan beliau melakukan hantaran-hantaran jauh pula dikatakan tidak lagi sesuai dengan tuntutan bolasepak moden.

Atas semua itu, sangat menghairankan apabila memikirkan kemampuan beliau untuk terus bertahan di Old Trafford tatkala pemain-pemain kesayangan penyokong seperti Ander Herrera, Zlatan Ibrahimovic,  Daley Blind, Shinji Kagawa dan Henrikh Mkhitaryan terpaksa angkat kaki lebih awal. Mungkin kata-kata yang pernah keluar dari mulut Louis Van Gaal tatkalah beliau diwawancara Inside Football pada 2015 boleh meredakan sedikit kehairanan anda.

“Saya fikir Young sangat sesuai dengan saya. Dia antara pemain yang mampu melaksanakan segala arahan saya dengan baik”, kata Van Gaal. Nada hampir sama juga pernah diutarakan Gary Neville ketika beliau ditanya mengapa kelibat Young begitu penting di mata Solskjaer. “Ketika ramai yang mahu Young berhenti dari bermain, dia sebaliknya sering sahaja diturunkan bermain. Sama ada sebagai bek kiri, bek kanan, bek kiri lagi dan bek kanan lagi. Young akan memberikan segalanya bila diberikan peluang”, kata Gary.

Unsung Hero

Masih ingatkah anda dengan aksi Manchester Derby pada 8 April 2018 yang dilangsungkan di Stadium Etihad? Sebelum aksi Manchester Derby itu berlangsung, skuad The Citizen pada mulanya sudah berkira-kira mahu mengesahkan kejuaraan liga mereka di hadapan penyokong-penyokong sendiri. Tiada tempat dan lawan paling ideal untuk melakukannya, selain menewaskan United yang juga merupakan seteru setempat di hadapan penyokong mereka sendiri.

Apa yang berlaku kemudian adalah sebaliknya, kerana barisan kendalian Jose Mourinho berjaya melaksanakan misi mustahil mereka di Stadium Etihad dengan cemerlang. Dalam perlawanan itu, United ketinggalan dua gol dalam tempoh lima minit menerusi jaringan yang dihasilkan oleh Vincent Kompany (minit ke-25) dan Ilkay Gundogan (minit ke-30). Di separuh masa kedua keajaiban kemudiannya datang apabila United bangkit memadam segala kemustahilan dan berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh 16 minit.

Gol jaringan Paul Pogba (minit ke-53 dan 55) serta Chris Smalling (minit ke-69) akhir memberikan United tiga mata di Etihad sekaligus menunda pesta kejuaraan liga kelima City buat sementara waktu. Selepas tamat perlawanan, Pogba muncul pemain United paling dominan menerusi dua gol yang dihasilkannya, selain prestasi terpuji yang dipamerkan beliau di bahagian tengah.

Dari segi taktikal pula, kredit juga wajar diberikan kepada Mourinho, kerana strategi permainan beliau akhirnya berjaya memerangkap City meskipun segala statistik memihak kepada skuad bimbingan Pep Guardiola itu (kecuali jumlah jaringan gol). Bagaimanapun ada nama yang tidak didendang di sebalik kejayaan United di Etihad. Penampilannya tidaklah sehebat Pogba, tetapi peranan dimainkan beliau sebenarnya sangat signifikan dalam perlawanan itu.

Wira tidak didendang dalam perlawanan itu adalah Ashley Young, pemain paling tua dalam kesebelasan United di Etihad selain Antonio Valencia. Rahsia sebenar bagaimana United mampu mengubah defisit dua gol yang dimiliki mereka kepada kemenangan di Etihad adalah kata-kata motivasi Young kepada rakan-rakan sepasukan di bilik persalinan yang akhirnya mencetuskan kebangkitan The Red Devils di separuh masa kedua.

Inilah antara kata-kata keramat Young yang dipetik dari laporan The Times, “Tunjukkanlah kebanggaan kamu di atas padang kerana kamu bermain untuk Manchester United. Sebagai pemain kamu juga bertanggungjawab kepada penyokong dan juga kelab. Adakah kamu sanggup membiarkan penyokong-penyokong lawan memalukan kamu selepas perlawanan? Jangan biarkan itu berlaku kerana kamu adalah Manchester United”.

Kata-kata itu mungkin agak ringkas dan sederhana, tetapi kata-kata itulah yang memotivasikan rakan-rakan sepasukan, lantas membolehkan United bangkit mengejar dari belakang di babak kedua. Paling menarik dalam sebuah wawancara dengan media, Ander Herrera mengatakan bahawa taktikal adalah aspek yang paling kurang disentuh selepas tamat perlawanan, tetapi kebangkitan United pada baki 45 minit selepas itu sebenarnya tercetus dari bilik persalinan.

Belajarlah Dari Young

Young sudah bersama kelab sejak era Sir Alex Ferguson, David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan kini Ole Gunnar Solskjaer. Dalam tempoh tersebut bukan sedkit pemain berbakat yang datang dan kemudiannya pergi, tetapi selepas lapan tahun nama Ashley Young masih kekal dalam skuad utama United. Anda boleh katakan apa sahaja tentang beliau, tetapi akhirnya anda juga terpaksa mengakui bahawa kuasa untuk menentukan siapa yang patut tersenarai dalam kesebelasan utama United berada di tangan pengurus.

Bakat beliau tidaklah setanding legenda-legenda United yang lain tetapi sebagai insan, saya akui bahawa Young adalah seorang individu yang hebat. Di sebalik segala kejian dan cacian yang diterimanya, Young memilih untuk tidak bertindak balas. Tetapi beliau membalas segala cercaan tersebut dengan kesungguhan di padang latihan. Dan kerana kesungguhan beliaulah, Young masih menjadi pilihan dalam kesebelasan United sejak era Fergie hinggalah ke era Solskjaer.

Sebagai kapten, Young perlu menunjukkan contoh terbaik meskipun dirinya dihujani tekanan demi tekanan oleh penyokong, aspek yang masih kekurangan dalam diri Granit Xhaka. Tidak salah juga sekiranya kapten Arsenal itu membuat satu panggilan kepada Young untuk bertanyakan apakah rahsia sebenar rakan sejawatnya itu kekal tenang dan menjadikan segala cercaan sebagai satu perkara yang perlu `dinikmati’ oleh seorang pemain profesional. Glory Glory Manchester United!!!