22 Disember 2019

RUUD VAN NISTELROOY: MESIN GOL YANG TIADA GALANG GANTINYA



Rutgerus Johannes Martinus Van Nistelrooy atau lebih dikenali sebagai Ruud Van Nistelrooy. Memang tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan penyokong Manchester United kerana beliau merupakan antara penggempur terbaik pernah disaksikan aksinya di Old Trafford. Meskipun beliau akhirnya menamatkan kariernya bersama United dengan cara yang sedikit `tragis’, tetapi satu perkara yang tidak boleh anda nafikan ialah betapa beliau antara pembelian terbaik yang pernah dilakukan oleh Sir Alex Ferguson.

Secara keseluruhannya Van Nistelrooy menjaringkan 150 gol dari 219 penampilan untuk United dalam semua kejohanan sepanjang lima musim beliau menyarung jersi merah The Red Devils. Dari jumlah tersebut, beliau meledak 95 gol dari 150 penampilan liga, lantas meletakkan Van Nistelrooy antara penyerang prolifik di Liga Perdana selepas beliau menyertai United dari PSV Eindhoven pada musim panas 2001 hingga 2006. Untuk itu terima kasih kepada Darren Ferguson yang menyarankan agar ayahnya merekrut Nistelrooy pada 2000.

Latar Belakang

Melihat kepada penampilan Van Nistelrooy terutama ketika beliau menyarung jersi United, siapa pernah menyangka bahawa beliau sebenarnya memulakan karier zaman remajanya sebagai pemain tengah bertahan. Perubahan berlaku dalam karier Van Nistelrooy selepas beliau menyertai FC Den Bosch pada 1993 apabila Hans Van der Pluijm mengubah posisi beliau dari pemain tengah bertahan kepada pemain tengah menyerang.

Pada musim 1996/97, Van Nistelrooy menjaringkan 13 gol dari 31 penampilan untuk Den Bosch di Eerste Divisie, sekaligus menarik minat Heerenveen untuk membawa beliau beraksi di kancah Eredivisie. €360,000, itulah nilai yang dibayar Heerenveen untuk membawa pemain yang dilahirkan pada 1 Julai 1976 di Oss, North Brabant, Belanda ini berpindah ke Abe Lenstra Stadium. Di Heerenveen, potensi besar Van Nistelrooy sebagai penyerang akhirnya berjaya dihidu Foppe de Haan

Sekali lagi perubahan posisi berlaku dalam karier Van Nistelrooy dan kali ini potensi besar beliau sebagai penyerang diterjemahkannya menerusi 13 gol dari 31 penampilan pada musim perdananya di Eredivisie. Hanya semusim bersama Heerenveen, PSV Eindhoven kemudiannya mengorak langkah dengan menandatangani Van Nistelrooy pada musim panas 1998 menerusi nilai perpindahan sebanyak € 6.3 juta. Jumlah ini juga merupakan rekod perpindahan di Belanda membabitkan dua kelab Eredivisie ketika itu.

Potensi besar Van Nistelrooy selaku penggempur sedang meningkat naik di Eropah semakin terserlah apabila beliau meledak 31 gol dari 34 penampilan pada musim pertamanya untuk PSV di Eredivisie. Secara keseluruhannya sepanjang tiga musim di Phillips Stadion, Van Nistelrooy berjaya meledak 62 gol dari 67 penampilan di peringkat liga. Kecederaan lutut yang dialami beliau pada 2000 akhirnya membataskan penampilan Van Nistelrooy dan menghalang beliau dari menjaringkan lebih banyak gol untuk skuad Boeren itu.

Perpindahan Yang Tertangguh

Pada bulan April 2000, BBC telah melaporkan bahawa United memecahkan rekod perpindahan Britain apabila mereka bersetuju membayar £18.5 juta kepada PSV bagi mendapatkan khidmat Van Nistelrooy. Nilai perpindahan Van Nistelrooy itu juga turut memecah rekod perpindahan kelab ketika United menandatangani Dwight Yorke dari Aston Villa pada 1998 (£12.6 juta).

“Saya sangat gembira kerana berada pada posisi bermain untuk Manchester United. Adalah satu kebanggaan kepada mana-mana pemain bermain untuk mereka”, kata Van Nistelrooy ketika itu. Bagaimanapun harapan penyokong-penyokong United untuk melihat kelibat The Flying Dutshman menjejakkan kakinya ke Old Trafford tidak kesampaian kerana masalah kecederaan lutut yang dialami Van Nistelrooy.

Perpindahan Van Nistelrooy ke Old Trafford tertunda, dimana beliau akhirnya terpaksa masuk ke bilik pembedahan dan kemudiannya menjalani sesi rawatan. Bercakap tentang hal tersebut, Van Nistelrooy mengakui bahawa kecederaan lutut yang dialaminya hampir sahaja meranapkan impiannya untuk menyertai United. “Saya tidak dapat membayangkan masa depan saya kerana saya perlu menjalani pembedahan dan kemudiannya mengikuti sesi pemulihan”, kata Van Nistelrooy.

Ketibaan `The Flying Dutchman’

Setahun selepas itu, Van Nistelrooy akhirnya menyertai United secara rasmi menerusi ikatan kontrak selama lima tahun. £18.5 juta bukan sahaja merupakan nilai yang cukup besar ketika itu, tetapi pelaburan besar yang dilakukan United itu turut menandakan keyakinan mereka terhadap kemampuan Van Nistelrooy meskipun beliau sebenarnya baru pulih dari kecederaan lutut.

Akhirnya kelibat Van Nistelrooy dengan jersi merah United dapat disaksikan apabila beliau diturunkan Fergie ketika skuadnya berdepan Liverpool dalam aksi merebut Perisai Komuniti pada Ogos 2001. Pada musim tersebut (2001/02), Van Nistelrooy meledak 23 gol dalam saingan liga selain mencatat rekod selaku penjaring gol dalam lapan perlawanan berturut-turut.

Meskipun perjalanan United dalam saingan Liga Juara-Juara terhenti di peringkat separuh akhir, sepuluh gol sumbangan Van Nistelrooy meletakkan namanya selaku penjaring terbanyak di pentas Eropah.  United gagal memenangi sebarang kejuaraan pada musim pertama beliau di Old Trafford tetapi penampilan cemerlang Van Nistelrooy sepanjang musim membolehkan beliau dinobatkan selaku sebagai pemain terbaik tahunan Liga Perdana.

Gol Demi Gol

Musim berikutnya (2002/03), jumlah gol yang diledak dari sepasang kaki Nistelrooy terus meningkat. Dalam saingan liga, beliau menjaringkan 25 gol, sekaligus membolehkan Van Nistelrooy dianugerahkan selaku penjaring terbanyak. Di pentas Eropah pula, beliau mengekalkan statusnya selaku penjaring terbanyak saingan Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut menerusi 12 gol yang dijaringkannya.

Melengkapkan lagi pencapaian gemilangnya bersama United, Van Nistelrooy dinamakan sebagai penyerang terbaik tahunan oleh UEFA. Turut sepentas bersama-sama beliau ialah Gianluigi Buffon (penjaga gol terbaik), Pavel Nedved (pemain tengah terbaik) dan Roberto Carlos (pertahanan terbaik). Selain itu UEFA juga memberikan penghargaan khas kepada Paolo Maldini atas pengabdiannya selama 17 tahun dalam dunia bolasepak.

Kejayaan membantu United merampas kembali trofi Liga Perdana dari tangan Arsenal selaku penjaring terbanyak liga, dua musim berturut-turut muncul penjaring terbanyak di Liga Juara-Juara dan kemudiannya dinamakan pula selaku penyerang terbaik tahunan oleh UEFA merupakan pengakhiran paling sempurna buat Van Nistelrooy pada musim keduanya di Old Trafford.

Graf Yang Semakin Menurun

Pada musim 2003/04, prestasi beliau boleh dianggap stabil meskipun United gagal mempertahankan kejuaraan liga mereka. 20 gol dari 32 penampilan liga bukanlah statistik yang buruk, tambahan pula beliau berjaya membantu United menjulang kejuaraan Perisai Komuniti dan Piala FA. Musim tersebut juga, Van Nistelrooy berjaya menjaringkan golnya yang ke-100 untuk United dalam aksi dramatik menentang Everton pada 7 Februari 2004.

Akibat dari kecederaan lutut yang dialami beliau pada musim 2004/05, produktiviti Van Nistelrooy dalam menghasilkan gol turut menurun secara drastik. Musim tersebut, beliau hanya tampil dalam 17 perlawanan liga untuk United dan menjaringkan 6 gol. Sekali lagi United gagal memenangi sebarang trofi, manakala impian mereka untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA dinafikan Arsenal selepas The Gunners menang menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final.

Musim 2005/06 merupakan musim terakhir beliau di Old Trafford. Selepas pulih dari kecederaan lutut, Van Nistelrooy kembali menikmati musim penuhnya bersama United. Sepertimana biasa ketika beliau cergas, Van Nistelrooy adalah mesin gol untuk barisan The Red Devils. Status selaku penggempur digeruni sekali lagi dibuktikan beliau menerusi 24 gol yang dijaringkannya dari 47 penampilan dalam semua peringkat kejohanan.

Terbilang Yang Terbuang

Semua orang tahu perpindahan Van Nistelrooy dari Old Trafford ke Santiago Bernabeu pada 2006 bukanlah perpindahan biasa. Dikala Fergie terpaksa menangani Arsene Wenger sebagai pesaingnya, selain kemunculan Chelsea selaku pencabar baharu di bawah regim Jose Mourinho, apakah yang merasuk Fergie hingga beliau sanggup `menyingkirkan’ Van Nistelrooy, pemain paling konsisten dan penggempur paling tajam yang pernah beliau miliki?

Cristiano Ronaldo adalah penyebab utama mengapa Fergie terpaksa melepaskan Van Nistelrooy ke Real Madrid dengan harga yang agak murah. Kehadiran Ronaldo pada 2003 selaku sensasi baharu di Old Trafford menimbulkan rasa kurang senang Van Nistelrooy. Kemuncak rasa kurang senang beliau akhirnya diluahkannya menerusi satu kenyataan yang dilakukan pada 2006. “Saya tidak boleh bermain dengan budak ini. Bagaimana saya mahu menunjukkan kualiti saya jika dia tidak mampu memberikan umpanan silang”, kata Van Nistelrooy.

Rungutan Van Nistelrooy ada sebabnya kerana berbanding David Beckham, Ronaldo pula merupakan pemain yang lebih individualistik. Van Nistelrooy lebih sukakan pemain sayap seperti Beckham, yang sering memberikan umpanan-umpanan silang berkualiti untuk disudahkannya ke gawang lawan. Dengan Ronaldo yang bergerak di sektor sayap, Van Nistelrooy tidak lagi menikmati keistimewaan yang pernah Beckham berikan kepada beliau, iaitu umpanan-umpanan silang terus dari sebelah sisi.

Akhirnya pertelagahan di padang latihan membabitkan dua pemain ini menyebabkan Fergie memutuskan menjual Van Nistelrooy kepada Real Madrid bagi mengekalkan suasana harmoni di bilik persalinan pasukannya. £12 juta untuk seorang mesin gol yang sedang berada di kemucak prestasi tentunya peluang yang tidak mahu dilepaskan Ramon Calderon, dan akhirnya perpindahan Van Nistelrooy ke kota Madrid direalisasikan pada Julai 2006.

Perpindahan Van Nistelrooy ke Santiago Bernabeu bukanlah sesuatu yang terlalu mengejutkan. Bagi penyokong-penyokong United ketika itu, rumours tentang masa depan beliau sudah bertiup sejak awal tahun 2005 lagi. Disebabkan ketidak yakinan beliau dengan kemampuan United bersaing di pentas Liga Juara-Juara bersandarkan pemain muda seperti Ronaldo dan Wayne Rooney, Van Nistelrooy pernah menyatakan keinginan beliau untuk berpindah menerusi agennya, Rodger Linse.

Penutup

Van Nistelrooy antara baka poacher terunggul generasinya selain Fillipo Inzaghi, Raul Gonzalez dan Davor Suker. Bagaimanapun jaringan solo yang dilakukan beliau ketika berdepan Fulham pada 26 Mac 2003 menunjukkan bahawa Van Nistelrooy bukanlah tipikal poacher yang selalu anda lihat dalam diri Inzaghi, Raul ataupun Suker. Sangat indah ketika itu menyaksikan bagaimana Van Nistelrooy melakukan larian solo dari tengah padang meninggalkan Martin Djetou, Abdesalam Ouaddou, Andy Melville dan kemudiannya menolak bola masuk menewaskan Maik Taylor di gawang.

Sepertimana tipikal seorang poacher, reaksi beliau saat menerima bola terutamanya ketika berada dalam petak penalti lawan sangat-sangat mengagumkan. Naluri pembunuh yang dimiliki beliau sentiasa membolehkan Van Nistelrooy meletakkan dirinya di posisi dan masa yang tepat untuk menghasilkan gol-gol yang klinikal. Spesis poacher klasik seperti Van Nistelrooy mungkin sudah pupus dalam dunia bolasepak moden, tetapi hal tersebut tetap tidak memadam fakta bahawa beliau antara mesin gol paling menakutkan pernah disaksikan khususnya di Old Trafford.

Van Nistelrooy adalah pemburu gol sejati dengan nombor 10 dibelakangnya. Kelicikan pergerakkan beliau ketika berada di dalam petak penalti lawan sering memperdayakan `pengawalnya’. Tiada mana-mana penjaga gol lawan yang mahu melihat Van Nistelrooy berada di dalam petak penalti mereka, kerana mereka sedar peluang untuk mereka mengutip bola di gawang sendiri cukup besar. Masih memegang status selaku penjaring terbanyak sepanjang masa United di Liga Juara-Juara serta menjaringkan 150 gol dari 219 penampilan sekadar mengesahkan bahawa Ruud Van Nistelrooy memang dilahirkan untuk menjaringkan gol. Glory Glory Manchester United!!!

17 Disember 2019

MASIH LAGI DENGAN KISAH YANG SAMA



Masalah sama berulang lagi. Mereka bermain dengan baik ketika menewaskan Tottenham Hotspurs, Manchester City dan kemudiannya membelasah AZ Alkmaar pula dalam saingan Liga Europa, tetapi anehnya United gagal mengulangi pencapaian sama saat mereka diikat Everton dalam aksi liga yang berlangsung kelmarin. Kebimbangan penyokong-penyokong United terhadap kecenderungan barisan kendalian Old Gunnar Solskjaer untuk keciciran mata ketika berdepan kelab bawahan liga sekali lagi menjadi kenyataan.

Umpama kisah mitos Robin Hood yang merompak golongan kaya dan kemudiannya membahagikan hasil rompakan itu kepada golongan miskin, itulah candaan yang sering digunakan baik oleh penyokong United sendiri mahupun penyokong lawan terhadap situasi yang dialami skuad The Red Devils sejak kebelakangan ini. Berdepan Everton, kesebelasan yang sedang bergelut dalam usaha mereka menjarakkan diri dari zon penyingkiran, United sepatutnya tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata penuh.

Bagaimanapun, United melepaskan satu lagi peluang keemasan untuk mereka merapatkan kedudukan di kelompok empat teratas apabila sekadar terikat 1-1 dalam aksi menentang skuad dari Merseyside itu yang dilangsungkan di Old Trafford. Keputusan ini bukan sahaja merencatkan usaha United untuk cuba mengejar kedudukan empat teratas, tetapi satu mata yang dikutip tempohari juga menyaksikan kedudukan mereka dalam carta liga tergelincir dari tangga kelima ke tangga keenam.

Mudah Dibaca

United mencatatkan 67% penguasaan bola dalam perlawanan ini, tetapi statistik tersebut langsung tidak memberikan kesan yang besar kepada keputusan perlawanan di scoreboard. Kombinasi hantaran-hantaran pantas saat mereka melakukan transisi dari bertahan kepada menyerang tidak berjalan dengan lancar seperti yang dipamerkan dalam aksi menentang Spurs, City dan Alkmaar. Sekali lagi isu kreativiti ketika berdepan kelab-kelab pertengahan/bawahan liga masih gagal diatasi oleh Solskjaer, atau lebih tepatnya United tiada alternatif tambahan bagaimana mahu mengatasi strategi lawan yang bertahan secara rapat.

United lebih cenderung melakukan serangan dari sisi kiri berbanding kanan menerusi hantaran-hantaran yang dilakukan terus kepada Marcus Rashford ataupun Anthony Martial. Strategi ini sangat mudah dibaca Duncan Ferguson yang meletakkan trio Mason Holgate, Alex Iwobi dan Tom Davies untuk mematahkan setiap pergerakan yang cuba diatur oleh Fred atau Jesse Lingard. Kecenderungan United untuk lebih banyak melakukan gerakan-gerakan dari sisi kiri mungkin disebabkan faktor kurangnya keberkesanan Aaron Wan Bissaka dalam melakukan hantaran-hantaran silang.

Meskipun Wan-Bissaka mencatatkan tujuh tackle bersih dalam perlawanan ini, namun empat umpanan silang yang dilakukan beliau tidak menepati sasaran. Ketepatan hantaran yang dilakukan ke bahagian hadapan juga tidak begitu bagus, lantas turut menyumbang kepada tumpulnya kreativiti United ketika mereka berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan blok pertahanan rendah seperti Everton. Dalam situasi ini, apa lagi yang mampu dilakukan Rashford ataupun Luke Shaw selain melepaskan percubaan demi percubaan dari half space. Untuk itu terima kasih atas jaringan penyamaan Mason Greenwood yang menyelamatkan maruah United.

Masih Tidak Berubah

Ramai penyokong gembira selepas United berjaya menewaskan Spurs, City dan Alkmaar. Bagaimanapun hakikatnya United sebenarnya masih tidak berubah. Mereka tampak `bergaya’ ketika berdepan pasukan-pasukan yang bermain secara terbuka, tetapi buntu dalam menghadapi kesebelasan yang bermain secara defensif. Mengingatkan bahawa aksi Liga Pedana sudah memasuki minggu ke-17, penyokong-penyokong pula nampaknya terpaksa menyaksikan United mengulangi kesilapan yang sama, iaitu sering keciciran mata ketika mereka berdepan lawan dari kelompok pertengahan/bawahan liga.

Melihat kepada stok pemain tengah yang dimiliki Solskjaer, agak menghairankan mengapa United sering berdepan kebuntuan dalam usaha mereka memecah strategi lawan yang bermain dalam blok pertahanan rendah. Juan Mata, Fred, Paul Pogba dan Andreas Perreira antara pemain tengah yang saya maksudkan. Sementara menunggu jendela perpindahan pertengahan musim dibuka, saya berharap agar Solskjaer mampu mengatasi isu ketumpulan kreativiti ini dengan segera kerana United bakal berdepan Watford, Newcastle dan Burnley pada baki tiga perlawanan liga di bulan Disember.

Penutup

Aksi menentang Everton ini sebenarnya perlawanan yang istimewa untuk United kerana ia merupakan perlawanan ke 4,000 berturut-turut mereka menurunkan pemain akademi dalam sesebuah perlawanan. Tambah menarik lagi, Mason Greenwood yang bakatnya digilap dari akademi United berjaya mencatatkan namanya sebagai penjaring gol. Sayangnya gol Greenwood itu tidak mampu mencetuskan kebangkitan United untuk menamatkan perlawanan ini dengan tiga mata penuh. Ya...United nampaknya sekali lagi keciciran mata dalam perlawanan yang sepatutnya mereka menangi.

Setakat ini, United berjaya menewaskan empat pasukan (Chelsea, Leicester City, Tottenham Hotspurs dan Manchester City) yang posisinya dalam carta liga berada di atas mereka. Dalam aksi menentang Arsenal dan Liverpool pula, United berjaya mengutip satu mata. Dari jumlah 17 perlawanan liga yang sudah mereka harungi setakat ini, United cuma mampu menang dua dari 11 perlawanan yang sepatutnya mereka boleh menangi iaitu ketika mereka berdepan Norwich City dan Brighton.

Dalam sembilan perlawanan lain pula, mereka mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Wolverhampton, Southampton, Sheffield United, Aston Villa dan Everton serta tewas kepada Crystal Palace, West Ham, Newcastle United dan Bournemouth. Bayangkan di manakah posisi United dalam carta liga sekiranya mereka berjaya menukar keputusan seri kepada kemenangan saat berdepan kelab-kelab kelompok pertengahan/bawahan liga seperti Wolverhampton, Southampton, Sheffield United, Aston Villa dan Everton?

Aksi menentang Everton adalah contoh terbaharu bagaimana terbatasnya kemampuan United untuk `membongkar’ strategi lawan yang mengamalkan pendekatan blok pertahanan rendah. Melihatkan bagaimana sukarnya United untuk menembusi pintu gol lawan ketika berdepan kelab seperti Everton pastinya membuatkan kita merindui kelibat Romelu Lukaku, seorang specialist yang sering sahaja mampu menghadirkan mimpi buruk kepada kelab-kelab pertengahan/bawahan liga ketika beliau berada dalam petak penalti lawan.

Kualiti pemain seperti Lukaku inilah sebenarnya yang hilang dalam kesebelasan Solskjaer musim ini, jadi tidak hairanlah mengapa United terus dikaitkan dengan seorang lagi penggempur tegap bernama Erling Braut Haaland ketika jendela perpindahan pertengahan musim bakal dibuka Januari nanti. Selain Erling sebagai solusi di bahagian hadapan, adakah sektor tengah juga sepatutnya diberikan perhatian oleh Solskjaer, atau prestasi Victor Lindelof dibenteng pertahanan juga wajar diperhatikan dengan penuh teliti? Glory Glory Manchester United!!!

15 Disember 2019

`SI GERGASI' DALAM PERLAWANAN BESAR, TETAPI `MALU-MALU' KETIKA BERDEPAN KELAB KERDIL



Marcus Rashford memulakan kempen saingan liga musim ini dengan sangat cemerlang menerusi dua gol yang diledak beliau ke gawang Chelsea. Meskipun garang pada perlawanan pertama, Rashford bagaimanapun seperti hilang selera ketika berada di hadapan gawang lawan selepas itu apabila beliau kemarau jaringan dalam tiga perlawanan berturut-turut ketika berdepan Wolverhampton, Crystal Palace dan Southampton.

Nama Rashford kembali berada dalam senarai penjaring United ketika barisan The Red Devils menewaskan Leicester City (1-0) dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford pada 14 September lalu. Bagaimanapun jaringan yang dihasilkan Rashford itu bukanlah jaringan padang, tetapi sebaliknya dilakukan beliau menerusi sepakan penalti. Selepas membantu United menewaskan Leicester, Rashford sekali lagi berdepan kesukaran menembusi pintu gol lawan dalam tiga aksi menentang West Ham, Arsenal dan Newcastle United.

Hanya tiga gol dari lapan penampilan pertama liga musim ini menyaksikan Rashford antara pemain yang paling teruk dijadikan sasaran kritikan, lantas mencetuskan tandatanya tentang kemampuan beliau untuk menggalas tugas selaku penggempur utama United selepas pemergian Romelu Lukaku ke Inter Milan. Bagaimanapun Rashford menjawab segala keraguan terhadap kemampuannya menerusi jaringan yang dilakukan beliau ke gawang Liverpool dalam aksi yang berlangsung di Old Trafford pada 20 Oktober lalu.

Aksi North West Derby itu bagaimanapun berakhir dengan keputusan seri (1-1), sekaligus menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp keciciran mata buat pertama kali dari sembilan aksi awal liga mereka musim ini. Paling penting keayaan Rashford menewaskan Alisson Becker itu saya anggap satu isyarat jelas yang beliau berikan kepada pengkritiknya bahawa Ole Gunnar Solskjaer boleh mengharapkan sentuhan tajamnya selaku pemburu gol utama untuk United musim ini.

Bermula dari aksi menentang Liverpool itulah, Rashford kini sudah meledak tujuh gol dari lapan penampilan terakhirnya untuk United dalam saingan liga. Paling menarik apabila menyaksikan beliau menjaringkan dua gol ketika United membenam Tottenham Hotspurs di Old Trafford dan satu gol ketika The Red Devils menjadikan bandaraya Manchester berwarna merah ketika mereka menewaskan Manchester City di gelanggang lawan minggu lalu.

Setakat ini Rashford sudah meledak 13 gol dari 21 penampilan yang dilakukan beliau dalam semua kejohanan. Catatan ini sebenarnya sudah menyamai pencapaian yang dilakukan beliau pada musim 2017/18 dan 2018/19. Memandangkan saingan musim ini masih lagi panjang, ramai penyokong-penyokong United mula meletakkan sasaran agar Rashford mampu melepasi angka 20 jaringan peribadi semusim buat pertama kali sejak musim 2015/16.   

Sepertimana yang anda tahu, 10 dari 13 jaringan yang dihasilkan Rashford setakat ini diledak beliau dalam aksi liga. Catatan ini juga turut menyamai jumlah jaringan yang dilakukan beliau sepanjang musim lalu. Untuk rekod, Robin Van Persie muncul pemain terakhir United yang menjaringkan lebih 20 gol semusim dalam kempen Liga Perdana sepanjang tempoh enam musim terakhir. Van Persie melakukannya pada musim pertama beliau di Old Trafford menerusi 26 gol yang diledak beliau ke gawang lawan.

Mengingatkan bahawa United masih memiliki baki 22 aksi liga musim ini, peluang untuk Rashford muncul pemain pertama selepas Van Persie yang berjaya menjaringkan lebih 20 gol semusim di Liga Perdana sebenarnya terbuka luas. Melihat kepada jumlah gol yang sudah dihasilkannya setakat ini, musim ini mungkin boleh menjadi musim terbaik untuk Rashford sejak beliau melakukan penampilan pertama bersama skuad senior United pada 2016. Itu pun jika beliau tidak diganggu dengan kecederaan panjang atau penurunan prestasi secara mendadak.

Big Game Player

Apa yang menariknya, sembilan dari 13 gol yang sudah dijaringkan Rashford setakat ini terhasil ketika United berdepan pasukan-pasukan dari kelompok pencabar kejuaraan liga. Empat gol berjaya diledak Rashford ke gawang Chelsea, dua gol ke gawang Spurs dan satu gol ketika United berdepan Leicester City, Liverpool dan Manchester City. Secara keseluruhannya juga, Rashford sudah menjaringkan 16 gol ketika United berdepan kelab-kelab top six sejak 2016 atau hampir 1/4 dari jumlah keseluruhan gol yang sudah dihasilkannya setakat ini.

Untuk seorang pemain yang baru berusia 22 tahun, penampilan yang dilakukan Rashford ketika berdepan kelab-kelab besar ini sebenarnya sangat mengagumkan. Kekuatan mentalnya antara faktor terpenting mengapa Rashford jarang menghampakan kita ketika beliau diturunkan dalam perlawanan-perlawanan besar. Jadi tidak hairanlah mengapa label sebagai big game player sangat dekat dengan diri anak muda bernama Marcus Rashford ini.

Mengulas tentang hal tersebut, Solskjaer berkata, “Rashford sangat matang ketika berdepan pemain-pemain dari kelab besar Liga Perdana. Ada ketikanya kami sangat bergantung kepadanya kerana konsistensi yang ditunjukkannya dalam perlawanan-perlawanan besar”. Ya...Rashford memang diakui memiliki mentaliti `besar’ ketika berdepan perlawanan-perlawanan besar kerana keberadaannya di atas padang biasanya memberikan perbezaan yang signifikan kepada penampilan United.

Corak permainannya sentiasa mampu memancing mana-mana pertahanan lawan untuk melakukan kesilapan-kesilapan mudah. Lihat sahaja dua sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil ketika United berdepan Spurs dan Manchester City berpunca dari kegopohan pertahanan lawan dalam usaha mereka menghentikan pergerakannya. Rashford memang `jaguh’ ketika berdepan kelab-kelab pencabar kejuaraan, tetapi bagaimana pula pencapaiannya saat United berdepan kelab-kelab pertengahan/bawahan liga?

Perbezaan Gaya

Dari 16 perlawanan liga yang sudah diharungi United setakat ini, mereka tidak tewas ketika mereka berdepan Chelsea, Arsenal, Leicester City, Liverpool, Spurs dan (Manchester) City. Kecuali Leicester yang mana prestasi mereka musim ini agak mengejutkan kita, Chelsea, Arsenal, Liverpool, Spurs dan City  pula saban musim sentiasa diletakkan dalam kelompok pencabar kejuaraan liga.

Walaupun pada awalnya timbul keraguan tentang kemampuan United untuk berdepan Liverpool, Spurs, Chelsea, City dan Arsenal, hal sebaliknya pula berjaya dibuktikan mereka di atas padang. Begitu juga dengan kemampuan Rashford yang menepati label beliau sebagai big game player menerusi ketajamannya ketika menembusi pintu gol Chelsea, Leicester, Liverpool, Spurs dan City.

Walaupun masih mampu menjaringkan gol ketika berdepan Norwich, Brighton dan Sheffield United, Rashford bagaimanapun dilihat berdepan masalah besar dalam aksi menentang Wolves, Palace, Southampton, West Ham, Newcastle, Bournemouth dan Aston Villa. Apa yang menyebabkan Rashford berdepan kesukaran ketika berdepan lawan dari kelompok pertengahan/bawahan liga berbanding aksinya ketika menentang barisan pencabar kejuaraan seperti Chelsea, Leicester, Liverpool, Spurs ataupun City?

Gaya permainan berbeza yang ditampilkan pasukan kelompok teratas antara penyebab utama mengapa Rashford kurang produktif ketika United berdepan lawan dari kelompok pertengahan/bawahan liga. Aksi menentang lawan seperti Chelsea, Spurs, Liverpool, Arsenal, Leicester atau City biasanya menyaksikan corak permainan yang lebih terbuka, lantas membuka banyak ruang kosong untuk dimanfaatkan Rashford menerusi kepantasan larian yang dimilikinya.

Kerana kelajuan sambil dibantu ketajaman yang dimiliki Rashford inilah mengapa strategi counter attack yang digunakan Solskjaer sangat berhasil ketika United berdepan lawan-lawan dari kelompok atasan liga. Bagaimanapun ketika berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan garis pertahanan rendah seperti Aston Villa, Bournemouth atau West Ham, strategi counter attack United tidak lagi berkesan sekaligus turut menyumbang kepada penurunan produktiviti Rashford dalam menghasilkan gol.

Posisi Terbaik

Di manakah sebenarnya posisi terbaik untuk Rashford diletakkan dalam skema formasi yang digunakan Solskjaer? Ketika menentang Liverpool, Rashford digandingkan bersama Daniel James selaku penggempur dalam formasi 3-4-1-2. Sepanjang perlawanan itu, Rashford sebenarnya lebih banyak bertindak selaku `pemain nombor 9’. Meskipun berjaya menjaringkan gol, manakala gandingan beliau bersama James memaksa Virgil Van Dijk bekerja keras, peranan sebagai `pemain nombor 9’ bagaimanapun bukanlah tugas yang sesuai dilaksanakan oleh Rashford dari kacamata Jose Mourinho.

“Ketika kami mengalahkan Liverpool tahun lalu, saya menggandingkan Rashford bersama Romelu Lukaku. Dia bukan target man. Dia tipikal pemain yang suka bergerak. Saya tidak fikir dia `pemain nombor 9’ tulen. Tetapi jika Ole terus meletakkan dia dengan peranan seperti ini pada perlawanan-perlawanan akan datang, maka saya fikir Rashford boleh melaksanakan tugasnya dengan baik. Bagi saya, dia berpotensi untuk menjadi pemain yang sangat baik. Mungkin dia akan memainkan beberapa peranan dalam beberapa posisi”, kata Mourinho.

Bagaimanapun menurut Mourinho lagi, sebagai target man, beliau percaya Rashford tidak akan mampu menjaringkan lebih 20 gol semusim. “Dia boleh menjadi pemain yang lebih baik jika dia diberikan kebebasan untuk bergerak. Tipikal pemain seperti dia sangat sukar untuk dibentuk menjadi pemain nombor 9”, sambung Mourinho lagi. Pandangan Mourinho ini ada benarnya kerana secara peribadi saya berpendapat Rashford lebih berkesan jika beliau diberikan kebebasan untuk bergerak dari sebelah sisi.

Sesuai dengan strategi counter attack versi Solskjaer, Rashford biasanya akan mendominasi penguasaan bola dari sebelah sisi untuk beliau bawa ke tengah. Rashford adalah pemain hadapan yang suka bergerak, bukan jenis pemain yang hanya menunggu umpanan rakan di hadapan pintu gol lawan. Jadi permainan terbaik Rashford biasanya datang dari sisi, terutamanya di sebelah kiri. Bagaimanapun aksi menentang Liverpool juga sebenarnya menunjukkan bahawa Rashford mampu bertindak selaku `pemain nombor 9’ dengan baik, sepertimana kata Mourinho.

Penutup

Untuk memaksima potensi sebenar Rashford, beliau sepatutnya diletakkan di posisi di mana beliau selesa bermain. Meskipun penampilan beliau sebagai `pemain nombor 9’ ketika berdepan Liverpool dilabel Solskjaer sebagai `penampilan terbaik Rashford dalam tempoh 10 bulan’, satu hakikat yang terpaksa kita akui ialah beliau tidak sekuat Harry Kane atau Romelu Lukaku untuk bertindak sebagai seorang target man.

Gaya permainan Rashford ialah gaya permainan penyerang moden sepertimana Cristiano Ronaldo, Lionel Messi atau Mo Salah yang memiliki kelajuan dan kawalan bola yang bagus untuk melepasi mana-mana pertahanan lawan dari sebelah sisi. Dari sebelah sisilah beliau memiliki lebih banyak ruang untuk mencipta peluang jaringan gol. Bagaimanapun masih banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam permainan Rashford sebelum beliau muncul selaku finisher hebat suatu hari nanti.

Mentaliti Rashford ketika berdepan perlawanan-perlawanan besar memang tidak perlu diragui. Buktinya, hampir 1/4 dari keseluruhan jaringan beliau untuk United terhasil ketika Rashford diturunkan menentang kelab-kelab pencabar kejuaraan liga. Tetapi harus diingat bahawa setiap musim aksi menentang kelab-kelab pencabar kejuaraan liga biasanya hanya membabitkan sepuluh perlawanan sahaja. Selebihnya United perlu bertarung dalam 28 perlawanan menentang kelab-kelab pertengahan/bawahan liga.

Untuk itu, jika Rashford berhasrat mahu melepasi angka 20 jaringan setiap musim secara konsisten, beliau tidak boleh `malu-malu’ lagi ketika berdepan kelab-kelab seperti Bournemouth, Aston Villa, West Ham ataupun Watford. Berbeza dengan Romelu Lukaku yang dahulunya dikritik kerana sering `hilang’ dalam perlawanan-perlawanan besar, Rashford pula nampaknya dituntut untuk lebih aktif dan tajam ketika berdepan pertahanan lawan seperti Tyrone Mings, Phil Jagielka, Steve Cook atau Angelo Ogbonna. Glory Glory Manchester United!!!

12 Disember 2019

DIMITAR BERBATOV: GENIUS, SENIMAN ATAU SI PEMALAS?



Jika bercakap tentang Dimitar Berbatov, apakah perkara pertama yang akan terbayang dalam fikiran anda? Saya yakin lebih 90% daripada anda akan mengatakan bahawa Berba ialah seorang pemain yang `pemalas’. Aksi Berba di atas padang memang tampak begitu, tambahan pula Brede Hangeland yang juga bekas rakan sepasukan Berba di Fulham pernah melabelkan beliau sebagai `pemain yang pemalas’. Dalam wawancara bersama ESPN FC, Hangeland mengatakan bahawa Berba lebih kerap menghabiskan masanya bersama fisioterapi pasukan berbanding mengikuti sesi latihan bersama rakan-rakan sepasukan yang lain.

“Saya tidak pernah melihat seorang pemain yang lebih banyak menghabiskan masanya untuk sesi mengurut seperti Berbatov. Dia lebih banyak menjalani sesi urutan berbanding berlatih. Setiap kali pemain lain sibuk berlatih, Berbatov pula sibuk meminta untuk diurut. Perkara ini sebenarnya menjadi rahsia kerana diakhir musim dia biasanya akan memberikan hadiah kepada fisioterapi kelab”, kata Hangeland. Berba ialah seorang penyerang, tetapi bukan tipikal seperti penyerang yang sering anda lihat. Pergerakannya tidaklah seagresif Ruud Van Nistelrooy, Andy Cole atau Wayne Rooney kerana di atas padang beliau lebih banyak dilihat berjalan dari berlari.

Sukar sebenarnya untuk meletakan Berba dalam kategori yang mana satu. Adakah beliau memang pemain yang malas, artistik bolasepak atau si genius. Di sebalik sisi `pemalas’ yang sudah melekat kuat dalam diri Berba, tidak adil juga sekiranya kita menidakkan hakikat bahawa beliau antara pemain yang memiliki skill memukau pernah disaksikan bermain untuk United. Gol jaringan beliau ketika berdepan Nice dalam derbi Cote D’Azur pada 20 April 2014 adalah antara contoh `karya’ agung yang dihasilkan dari kaki Berba. Selepas menerima hantaran dari Joao Moutinho, Berba tenang mengawal bola sebelum melepaskan satu tendangan lob yang melepasi jangkauan David Ospina.

Gol seperti itu sebenarnya adalah identiti kepada gaya permainan Berba. Lambungan bola yang dilakukan beliau kelihatan sangat santai, tetapi tidak banyak yang mampu dilakukan Ospina untuk menyelamatkannya. Atau lebih tepat peluang untuk penjaga gol Nice itu menafikan jaringan tersebut adalah 0%. Ya itulah Berba, pemain yang kelihatan `malas’ sepanjang permainan, tetapi sering menterjemahkan peluang kepada jaringan gol yang kadangkala sangat artistik dari sepasang kakinya. Anda boleh berdebat tentang gaya permainan Berba, tetapi di atas padang beliau sering sahaja berjaya memadam percanggahan itu menerusi kualiti yang ada dalam permainannya.

Dari Sofia Ke England

Ketika kecil, Berba menjadikan Marco Van Basten sebagai idolanya, tetapi ketika usianya menginjak keangka 15, Berba memiliki idola baharu iaitu bekas penyerang antarabangsa England, Alan Shearer. “Van Basten dan Shearer hingga sekarang. Shearer adalah wira saya. Dia mampu menjaringkan gol dari sudut manapun. Tidak pernah ragu-ragu menyiku lawan demi memenangi perebutan bola. Paling saya suka ketika dia meraikan jaringan gol dengan mengangkat tangannya. Itu memang hebat”, kata Berba.

Potensi besar yang dimiliki Berba rupa-rupanya diperhatikan penuh teliti oleh Dimitar Penev, jurulatih legenda yang berjaya mengemudi Bulgaria mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 1994. Pada 1998 ketika usia Berba genap 17 tahun, beliau direkrut Penev yang ketika mengendalikan salah satu kelab terbesar di Bulgaria iaitu CSKA Sofia. Penampilan cemerlang beliau bersama CSKA Sofia menarik perhatian kelab-kelab Eropah dan beliau akhirnya menyertai Bayern Leverkusen pada 2000 meskipun pada awalnya hampir menyertai Lecce.

Meskipun pada awalnya beliau berdepan kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan corak permainan di Bundesliga, Berba secara perlahan-lahan mula menembusi senarai kesebelasan utama Leverkusen. Pada musim 2004/05, penampilan cemerlang beliau di Bundesliga dan Liga Juara-Juara menarik minat Tottenham Hotspurs untuk membawa Berba beraksi di England. Pada 2006, Berba akhirnya berpindah ke White Hart Lane menerusi yuran perpindahan sebanyak £10.9 juta yang dibayar Spurs kepada Leverkusen.

Tempo permainan di Liga Perdana tentu sahaja sangat berbeza dengan Bundesliga. Untuk itu Berba sekali lagi terpaksa beradaptasi dengan corak permainan di kelab baharu khususnya bolasepak Inggeris yang lebih pantas dan fizikal. Gaya bolasepak Inggeris yang agak keras dan pantas sebenarnya sangat kontra dengan corak permainan Berba. Bagaimanapun Berba pantas menyesuaikan diri, bukan sahaja dengan kehidupan baharu di London tetapi juga bolasepak Inggeris. 12 gol dari 33 penampilan liga pada musim pertamanya di White Hart Lane bukanlah statistik yang terlalu buruk.

Lamaran Fergie

Secara keseluruhan Berba menjaringkan 23 gol dari 49 penampilan untuk Spurs dalam semua kejohanan pada musim pertamanya di England. Sepanjang dua musim menyarung jersi Spurs, Berba menjaringkan 27 gol dari 70 penampilan (dalam semua kejohanan). Tawaran United terhadap Berba datang pada 2008, dan sudah tentu peluang bermain di bawah arahan Sir Alex Ferguson tidak mampu ditolak beliau. Berba akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai pemain United pada 1 September 2008.

£30.75 juta, itulah nilai yang terpaksa dibayar United demi memujuk Daniel Levy supaya melepaskan Berba meninggalkan White Hart Lane. Empat musim di Old Trafford, Berba menunjukkan kepada penyokong-penyokong United ertikata sebenar nilai estetika jaringan-jaringan gol yang dihasilkannya. Secara keseluruhannya sepanjang empat musim beliau memperagakan bakatnya di Old Trafford, Berba menjaringkan 48 gol dari 108 penampilan liga.

Sudah tentu momen paling diingati jika anda bercakap tentang jaringan indah yang terhasil dari kaki Berba ialah ketika beliau menyempurnakan hatriknya ke gawang Liverpool menerusi teknik sepakan bicycle kick ketika kedua-dua pasukan bertemu di Old Trafford pada September 2010. Dua bulan selepas itu, Berba sekali lagi memukau para pemuja dan pengkritiknya apabila beliau meledak lima gol ke gawang Blackburn Rovers. United menewaskan Rovers (7-1) dalam perlawanan itu dengan dua lagi jaringan disumbangkan Park Ji-Sung dan Nani.

Kehadiran Berba di Old Trafford sebenarnya melengkapkan kuartet barisan hadapan paling menggerunkan pernah disaksikan penyokong-penyokong United. Ketika itu, United sendiri sudahpun memiliki trio Wayne Rooney-Carlos Tevez-Cristiano Ronaldo di barisan hadapan mereka. Mungkin juga tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kuartet Berba-Rooney-Ronaldo-Tevez merupakan rangkaian  barisan hadapan paling sempurna pernah anda disaksikan di Old Trafford. Dan sudah tentu juga mereka merupakan mimpi ngeri buat mana-mana pertahanan lawan.

Penutup

Hubungan yang kurang harmonis antara beliau dan Fergie akhirnya memaksa Berba meninggalkan Old Trafford pada musim panas 2012. Destinasi seterusnya yang beliau tuju ialah Craven Cottage. Selepas semusim setengah beliau menyarung jersi Fulham, Berba kemudiannya memutuskan meninggalkan England dengan menyertai AS Monaco pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan musim sejuk 2014 ditutup. Keputusan Berba berhijrah ke Perancis itu turut menandakan berakhirnya kerjaya beliau selama hampir sembilan tahun di England.

Sepanjang kariernya selama empat musim di Old Trafford pula, Berba berjaya memenangi dua kejuaraan Liga Perdana, satu Piala Liga, satu Perisai Komuniti dan satu Kejuaraan Kelab Dunia. Pada musim 2010/11 pula, 20 gol yang dijaringkannya meletakkan Berba selaku pemenang golden boot (berkongsi kedudukan dengan Carlos Tevez). Apa yang menariknya ialah United juga merupakan satu-satunya kelab yang memberikan Berba medal kejuaraan liga sepanjang 23 tahun karier profesionalnya.

Apa yang membuat Berba istimewa bukan sahaja kerana `kemalasannya’, tetapi Berba penyerang yang istimewa kerana ketajaman beliau turut diiringi dengan kemampuan mencipta peluang, melakukan build up,  teknik kawalan bola yang sangat...sangat...sangat bagus dan kemampuannya melakukan umpanan-umpanan berkualiti. Sangat tidak adil untuk menghakimi kesuksesan seorang pemain hanya berdasarkan kepada jumlah medal kejuaraan yang dimiliki sepanjang karier mereka sebagai pemain, begitulah juga dengan Berba.

Sepanjang kariernya, Berba cuma mampu mengumpul tujuh medal kejuaraan ketika beliau mewakili CSKA Sofia, Tottenham Hotspurs dan Manchester United. Untuk seorang pemain yang memiliki kualiti sebagus Berba, tujuh medal kejuaraan sepanjang 23 tahun karier profesionalnya tentulah bukan sesuatu yang adil untuk beliau. Bagaimanapun Berba tetap akan dikenang bukan kerana jumlah medal kejuaraan yang berjaya beliau kumpul, tetapi kerana beliau antara penyerang paling mempersona pernah disaksikan aksinya.

Jika bercakap tentang Dimitar Berbatov, ada tiga sisi yang dapat anda lihat dalam diri beliau ketika eranya sebagai pemain. Anda boleh letakkan beliau dalam kategori pemain yang `pemalas’, tetapi dalam masa yang sama jangan nafikan bahawa Berba juga seorang pemain yang genius kerana visi tinggi yang dimiliki beliau dalam permainannya. Juga seorang seniman kerana Berba tidak pernah berhenti memikirkan bagaimana mahu menghasilkan gol-gol indah dari sepasang kaki miliknya.

Dunia tidak pernah menghargai Berba meskipun beliau tergolong dalam `spesis’ pemain genius yang semakin pupus. Jika bilangan trofi pula dijadikan ukuran, Berba bukanlah tergolong dalam kelompok pemain paling sukses di muka bumi. Dunia akan hanya mengingati Berba sebagai pemain yang `pemalas’, tetapi saya akan mengenang Berba sebagai `si genius’, `si licik’ dan `seniman’ dalam dunia bolasepak kerana gol-gol artistik yang pernah dihasilkannya. Bagi Berba, menjaringkan gol adalah kewajipan beliau sebagai penyerang, tetapi menjaringkan gol yang indah adalah hal yang selalu ingin beliau lakukan ketika bermain. Glory Glory Manchester United!!!

26 November 2019

YANG MANA DULU...SOLSKJAER ATAU EMERY?



Ole Gunnar Solskjaer gembira meskipun skuad kendaliannya beraksi hambar  dan pulang dari Bramall Lane dengan satu mata. Ya...memang benar kata Solskjaer, tetap ada sisi positif yang dipamerkan barisan pemain-pemainnya meskipun pada satu ketika mereka ketinggalan dua gol sebelum bangkit dalam tempoh tujuh minit untuk memadam kelebihan lawan menerusi tiga gol yang dihasilkan Brandon Williams, Mason Greenwood dan Marcus Rashford.

Malangnya impian untuk kita melihat United pulang ke Old Trafford dengan tiga mata tidak kesampaian selepas Oliver McBurnie menjaringkan gol penyamaan dramatik di penghujung perlawanan. Satu mata yang dikutip dari aksi menentang Sheffield United itu meletakkan United di tangga ke-9 liga. Jika Solskjaer gembira dengan keputusan seri di Bramall Lane itu, saya percaya tidak ramai penyokong United yang senada dengan beliau.

Sebagai penyokong, posisi ke-10 dalam carta liga bukanlah `panorama’ yang ingin anda lihat terutamanya bila bercakap tentang sebuah kelab besar seperti Manchester United. Bukan hanya United malah penyokong-penyokong Arsenal juga nampaknya senasib dengan kita. Keputusan seri yang dilakar mereka ketika berdepan Southampton di gelanggang sendiri menyaksikan kedudukan mereka dalam carta liga menjunam ke tangga ke-8.

Sangat janggal menyaksikan kedudukan United dan Arsenal ketika ini, apatah lagi suatu ketika dahulu mereka pernah bersaing hebat bagi membuktikan siapa sebenarnya raja bolasepak Inggeris. Kegelisahan penyokong United dan Arsenal ketika melihat prestasi terkini kelab masing-masing memang ada asasnya. United dan Arsenal adalah kelab besar, tetapi identiti itu nampaknya semakin hilang berikutan prestasi ibarat roller coaster yang dipamerkan kesebelasan kedua-dua pasukan dalam beberapa musim terakhir.

Jika ketika era permusuhan Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger sedang memuncak, satu fenomena biasa untuk anda melihat United dan Arsenal silih berganti berada di posisi pertama dan kedua carta liga. Tetapi situasi terkini pula sangat menyedihkan apabila dua kelab yang pernah bermusuhan ini terperosok ditangga ke-8 dan ke-9. Selepas mengharungi 13 perlawanan liga, Arsenal mengumpul 18 mata, hanya satu mata di hadapan United.

Aksi Buruk

Sepertimana aksi United di Bramall Lane, Arsenal juga bermain buruk ketika mereka menerima kunjungan Southampton di Stadium Emirates. Dalam perlawanan itu Arsenal terpaksa bangkit dua kali sebelum berjaya memaksa skuad The Saints berkongsi mata. Sepanjang 90 minit, Arsenal hanya mampu melepaskan 12 percubaan ke arah gawang lawan, tetapi mujurlah ketajaman Alexander Lacazette berjaya menyelamatkan mereka dari menerima aib.

Keputusan seri yang dilakar Arsenal itu turut menyaksikan mereka tidak pernah menang dalam enam aksi terakhir dalam semua kejohanan. 18 mata yang berjaya dikumpul dari 13 perlawanan liga pula merupakan rekod pungutan mata paling rendah pernah dicatatkan Arsenal dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Perdana. Di kem United juga situasi nampaknya tidak pernah berubah akibat dari prestasi tidak konsisten yang dipamerkan barisan kendalian Solskjaer.

Ketika harapan penyokong yang mahu melihat United menang di Bramall Lane sekaligus melonjak ke tangga kelima, barisan The Red Devils pula sekali lagi mengecewakan kita apabila sekadar mengutip satu mata di sana. Selepas melakukan kebangkitan hebat dalam tempoh tujuh minit, satu kesilapan kecil ketika bertahan di kotak penalti akhirnya menyaksikan mereka terlepas tiga mata berharga menerusi gol penyamaan lawan di penghujung permainan.

United bermain tanpa kreativiti manakala pemain-pemain pula seperti kebingungan ketika menguasai bola. Hanya satu percubaan ke arah gawang lawan mampu dilakukan di babak pertama, lantas melenyap segala pujian tatkala mereka bermain baik ketika membenam Brighton pada perlawanan sebelumnya. Kegagalan mengutip tiga mata di Bramall Lane ini juga nampaknya meneruskan trend United yang cuma menang sekali setiap bulan dalam saingan liga.

Jika 18 mata yang dikutip Arsenal dari 13 perlawanan liga merupakan jumlah terendah dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Perdana, 17 mata yang dikumpul United pula menyaksikan ini merupakan pencapaian terburuk yang dilakar mereka sejak musim 1988/89. Ketika itu skuad kendalian Fergie sekadar menamatkan saingan Liga Divisyen 1 di tangga kesebelas.

Ancaman Pemecatan

Pencapain buruk ini nampaknya semakin mendedahkan Solskjaer dan Unai Emery kepada ancaman pemecatan. Suara-suara dari kedua-dua kem yang meminta agar Solskjaer dan Emery dipecat kian kuat kedengaran. Di Stadium Emirates, Emery dilabel oleh penyokong Arsenal sebagai pengurus yang tidak memiliki visi, manakala perbalahan beliau dengan pemain senior seperti Mesut Ozil sekadar memburukan lagi keadaan.

Begitu juga dengan Solskjaer yang nasibnya masih lagi tidak ketentuan berikutan prestasi turun naik dipamerkan barisan pemainnya. Solskjaer berharap beliau mampu menjadikan United bermain sepertimana ketika era Fergie, iaitu menyerang menerusi gerakan-gerakan serang balas pantas. Malangnya beliau terlalu bergantung kepada kelajuan yang dimiliki Anthony Martial, Marcus Rashford dan Daniel James untuk melaksanakan plan taktikal tersebut hinggakan permainan United sangat mudah dibaca lawan.

Sepertimana yang saya sebutkan dalam artikel sebelum ini, tempoh hingga penghujung Disember bakal menjadi ujian getir buat Solskjaer dalam survival beliau untuk terus kekal selaku pengendali di Old Trafford. Di Stadium Emirates pula, Emery semakin hari semakin tidak disukai oleh para Gooners yang saban waktu berdoa agar warga Sepanyol itu segera ditendang keluar. Bagaimanapun sejauh ini Solskjaer mahupun Emery masih mampu menarik nafas lega kerana mereka masih diberikan sokongan oleh pihak pengurusan kelab.

Penutup

Jika dahulunya kehadiran Fergie dan Wenger menjadikan United serta Arsenal kesebelasan paling dominan di Liga Perdana, kita situasi itu sudah berputar 360º. United masih bergelut selepas persaraan Fergie, manakala Arsenal pula hilang identiti bolasepak menyerang mereka sebaik Wenger memutuskan ikatan selama 22 tahun beliau dengan The Gunners. Apa yang anda lihat sekarang bukan lagi persaingan merebut kejuaraan liga membabitkan United dan Arsenal, tetapi anda bakal melihat kelab mana yang terlebih dahulu memecat pengurus mereka. Glory Glory Manchester United!!!

23 November 2019

PEMECATAN POCHETTINO...SATU MIMPI BURUK BUAT SOLSKJAER



48 hari selepas Niko Kovac dipecat oleh Bayern Munich, kini tiba pula giliran Mauricio Pochettino menjadi penganggur. Pada 20 November lalu, berakhirlah ikatan hampir lima tahun antara Pochettino dan Tottenham Hotspurs selepas kelab dari London itu mengumumkan secara rasmi pemecatan beliau berikutan prestasi buruk yang dipamerkan skuad kendaliannya dalam saingan liga musim ini. Sepanjang mengharungi 12 aksi liga musim ini di bawah kendalian Pochettino, Spurs cuma mampu mengumpul 14 mata dan terperosok di tangga ke-14 carta liga.

Apa yang berlaku kepada warga Argentina itu sebenarnya mirip kepada situasi yang menimpa Jose Mourinho di Old Trafford. Sekali lagi kuasa pemain dikatakan menjadi penyebab Pochettino hilang pekerjaannya. Meskipun lima bulan lalu beliau berjaya mengemudi Spurs mara ke pentas final Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab, serta muncul watak penting di sebalik kebangkitan Spurs selaku pencabar domestik dan Eropah, prestasi buruk dalam saingan liga musim ini akhirnya menjadi indikator utama kepada Daniel Levy untuk menamatkan kontrak Pochettino lebih awal.

Sepanjang hampir lima musim Spurs di bawah kendalian Pochettino, mereka secara rutin menamatkan saingan liga di posisi empat teratas. Pencapaian terbaik yang diraih Spurs dalam saingan liga sepanjang tempoh lima musim terakhir ialah menduduki tangga kedua pada musim 2016/17. Selain sukses mengangkat martabat Spurs sebagai pesaing merebut kejuaraan liga, Pochettino juga berjaya menggilap bakat Harry Kane hingga muncul antara penggempur ulung untuk Spurs dan skuad kebangsaan. Jangan lupakan juga pembelian bijak yang dilakukan beliau ke atas Dele Alli dan Son Heung Min.

Levy tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mencari pengganti Pochettino atau meletakkan seorang interim, kerana beliau sudahpun menamakan Jose Mourinho selaku pengendali baharu Spurs. Ramai pihak mengatakan sepertimana United dahulu, Spurs juga menjual `jiwa’ mereka dengan melantik Mourinho. Bagaimanapun Levy berpandangan sebaliknya dengan mengatakan, “Bersama Jose, kami memiliki salah seorang jurulatih hebat dalam sejarah bolasepak. Dia memiliki pengalaman luas, mampu memberikan inspirasi kepada pasukan dan punya taktikal permainan yang bagus. Kami percaya dia dapat memberikan energy di bilik persalinan”, kata Levy.

Hati-hati Solskjaer

Walaupun baru bergelar penganggur, kelibat Pochettino nampaknya sudah mula diintai Bayern Munich untuk mereka letakkan selaku pengganti Kovac di Allianz Arena. Saya percaya Pochettino tidak akan menganggur terlalu lama kerana pada bila-bila masa sahaja lelaki berusia 47 tahun ini akan kembali kedunia kejurulatihan berdasarkan kredibiliti yang beliau miliki. Cuma persoalan paling besar ialah kelab mana yang terlebih dahulu melamar beliau untuk ditugaskan sebagai jurutaktik mereka.

Bersama Spurs, Pochettino sudah melakukan kerja-kerja yang sangat luarbiasa meskipun beliau tidak diberikan dana besar untuk berbelanja setiap kali musim perpindahan pemain dibuka. Keberhasilan beliau menjadikan Spurs kesebelasan yang menarik untuk disaksikan aksinya, kemampuan beliau mengubah mentaliti pasukan dan ketajaman nalurinya dalam mengetengahkan bakat-bakat muda menjadikan Pochettino pengurus yang sangat ideal untuk dilantik sebagai pengendali di Old Trafford.

Hal ini pernah disuarakan Gary Neville sejurus Jose Mourinho berjaya mengemudi United menamatkan saingan liga di tangga kedua (musim 2017/18). “Pochettino melakukan tugasnya dengan sangat luarbiasa. Jika diberikan dana yang besar, dia mampu membawa Spurs menang kejuaraan liga. Satu perkara yang ingin saya katakan, jika Mourinho meninggalkan kelab suatu hari nanti, Pochettino adalah orang yang tepat untuk menggantikan tempatnya”, kata Neville.

Di Old Trafford pula, bagi kelompok penyokong United yang tidak betah dengan pendekatan dan taktik yang digunakan Ole Gunnar Solskjaer, mereka mula memasang impian untuk melihat sebarang kemungkinan Pochettino dilantik selaku pengendali ke-24 dalam sejarah kelab. Rumours tentang Pochettino dan United sudah lama bertiup, malah namanya pernah dikaitkan sebagai pengganti Mourinho ketika warga Portugal itu dipecat pada Disember 2018.

Bagaimanapun usaha United untuk mendapatkan khidmat Pochettino selaku pengganti Mourinho ketika itu sukar direalisasikan memandangkan saingan liga sudah berjalan setengah musim. Berita tentang usaha United mendapatkan khidmat Pochettino pada Disember tahun lalu turut disahkan Harry Redknapp dalam satu wawancaranya bersama Manchester Evening News. “Penasihatnya sudah mengadakan perbincangan dengan kelab lain tetapi nampaknya kesepakatan itu tidak berlaku”, kata Redknapp.

Ketika ditanya wartawan adakah Manchester United kelab yang dimaksudkan beliau, Redknapp cuma tersenyum. Status Pochettino selaku penganggur nampaknya kembali membuatkan namanya dikaitkan dengan tugas di Old Trafford. Menganggurnya Pochettino kali ini juga bakal memberikan tekanan kepada Solskjaer kerana prestasi skuad kendaliannya setakat ini tidak menggembirakan kebanyakkan penyokong-penyokong United.

Sekiranya Pochettino tidak menyertai mana-mana kelab hingga penghujung musim nanti, manakala prestasi United terus-terusan tidak konsisten, saya percaya peluang untuk Pochettino dinamakan sebagai pengurus Manchester United seterusnya sangat cerah. Persoalannya sekarang adakah United sanggup memberikan peluang kepada Solskjaer membuktikan kemampuan beliau hingga ke penghujung musim, atau mereka melakukan tindakan drastik dengan memecat beliau di pertengahan musim?

Apakah Tindakan Woodward?

Dalam hal ini saya menanti apakah tindakan yang bakal dilakukan Ed Woodward. Pada 2016, ketika laungan penyokong yang meminta supaya Louis Van Gaal dipecat kuat kedengaran, Woodward secara senyap-senyap melakukan rundingan dengan Jose Mourinho yang ketika itu juga sedang menganggur. Van Gaal kemudiannya berjaya mengemudi United muncul juara Piala FA, tetapi kejayaan tersebut tetap gagal menyelamatkan karier beliau di Old Trafford.

“Tindakan Woodward ini sangat mengecewakan saya. Dia melakukan rundingan dengan Mourinho secara senyap-senyap dan tutup mulut selama enam bulan”, luah Van Gaal selepas mengetahui kontraknya ditamatkan United lebih awal. Sekali lagi situasi yang berlaku sekarang akan menguji sejauh manakah kebenaran kata-kata Woodward bahawa Solskjaer akan diberikan peluang mengemudi United buat jangkamasa yang panjang.

Musim ini Woodward sudah berjanji untuk bekerjasama sebaik mungkin dengan Solskjaer dan menyokong apa sahaja yang diperlukan oleh warga Norway itu. Bagaimanapun selepas melihat nasib yang menimpa David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho, tiada jaminan Woodward akan setia memberikan sokongannya kepada  Solskjaer jika prestasi United terus menjunam, tambahan pula apabila penyokong sudah mula bangkit memberikan tekanan. 

Penutup

Hanya satu perkara yang mampu dilakukan Solskjaer jika beliau bercita-cita mahu terus mengekalkan tempatnya di Old Trafford, iaitu membawa United meraih kemenangan demi kemenangan. Ya...hanya dengan kemenangan sahaja mampu membuatkan tidur malam Solskjaer nyenyak tanpa dihantui bayang-bayang Pochettino.

Bermula aksi menentang Sheffield United, kemampuan Solskjaer selaku pengendali akan teruji sepenuhnya ketika barisan kendalian beliau terpaksa mengharungi 11 perlawanan dalam tempoh 33 hari hingga ke penghujung Disember. Adakah Solskjaer mampu mengharunginya atau pada Disember nanti kita akan mendengar United mengumumkan pengurus baharu mereka sepertimana yang berlaku setahun yang lalu? Glory Glory Manchester United!!!