15 Disember 2019

`SI GERGASI' DALAM PERLAWANAN BESAR, TETAPI `MALU-MALU' KETIKA BERDEPAN KELAB KERDIL



Marcus Rashford memulakan kempen saingan liga musim ini dengan sangat cemerlang menerusi dua gol yang diledak beliau ke gawang Chelsea. Meskipun garang pada perlawanan pertama, Rashford bagaimanapun seperti hilang selera ketika berada di hadapan gawang lawan selepas itu apabila beliau kemarau jaringan dalam tiga perlawanan berturut-turut ketika berdepan Wolverhampton, Crystal Palace dan Southampton.

Nama Rashford kembali berada dalam senarai penjaring United ketika barisan The Red Devils menewaskan Leicester City (1-0) dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford pada 14 September lalu. Bagaimanapun jaringan yang dihasilkan Rashford itu bukanlah jaringan padang, tetapi sebaliknya dilakukan beliau menerusi sepakan penalti. Selepas membantu United menewaskan Leicester, Rashford sekali lagi berdepan kesukaran menembusi pintu gol lawan dalam tiga aksi menentang West Ham, Arsenal dan Newcastle United.

Hanya tiga gol dari lapan penampilan pertama liga musim ini menyaksikan Rashford antara pemain yang paling teruk dijadikan sasaran kritikan, lantas mencetuskan tandatanya tentang kemampuan beliau untuk menggalas tugas selaku penggempur utama United selepas pemergian Romelu Lukaku ke Inter Milan. Bagaimanapun Rashford menjawab segala keraguan terhadap kemampuannya menerusi jaringan yang dilakukan beliau ke gawang Liverpool dalam aksi yang berlangsung di Old Trafford pada 20 Oktober lalu.

Aksi North West Derby itu bagaimanapun berakhir dengan keputusan seri (1-1), sekaligus menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp keciciran mata buat pertama kali dari sembilan aksi awal liga mereka musim ini. Paling penting keayaan Rashford menewaskan Alisson Becker itu saya anggap satu isyarat jelas yang beliau berikan kepada pengkritiknya bahawa Ole Gunnar Solskjaer boleh mengharapkan sentuhan tajamnya selaku pemburu gol utama untuk United musim ini.

Bermula dari aksi menentang Liverpool itulah, Rashford kini sudah meledak tujuh gol dari lapan penampilan terakhirnya untuk United dalam saingan liga. Paling menarik apabila menyaksikan beliau menjaringkan dua gol ketika United membenam Tottenham Hotspurs di Old Trafford dan satu gol ketika The Red Devils menjadikan bandaraya Manchester berwarna merah ketika mereka menewaskan Manchester City di gelanggang lawan minggu lalu.

Setakat ini Rashford sudah meledak 13 gol dari 21 penampilan yang dilakukan beliau dalam semua kejohanan. Catatan ini sebenarnya sudah menyamai pencapaian yang dilakukan beliau pada musim 2017/18 dan 2018/19. Memandangkan saingan musim ini masih lagi panjang, ramai penyokong-penyokong United mula meletakkan sasaran agar Rashford mampu melepasi angka 20 jaringan peribadi semusim buat pertama kali sejak musim 2015/16.   

Sepertimana yang anda tahu, 10 dari 13 jaringan yang dihasilkan Rashford setakat ini diledak beliau dalam aksi liga. Catatan ini juga turut menyamai jumlah jaringan yang dilakukan beliau sepanjang musim lalu. Untuk rekod, Robin Van Persie muncul pemain terakhir United yang menjaringkan lebih 20 gol semusim dalam kempen Liga Perdana sepanjang tempoh enam musim terakhir. Van Persie melakukannya pada musim pertama beliau di Old Trafford menerusi 26 gol yang diledak beliau ke gawang lawan.

Mengingatkan bahawa United masih memiliki baki 22 aksi liga musim ini, peluang untuk Rashford muncul pemain pertama selepas Van Persie yang berjaya menjaringkan lebih 20 gol semusim di Liga Perdana sebenarnya terbuka luas. Melihat kepada jumlah gol yang sudah dihasilkannya setakat ini, musim ini mungkin boleh menjadi musim terbaik untuk Rashford sejak beliau melakukan penampilan pertama bersama skuad senior United pada 2016. Itu pun jika beliau tidak diganggu dengan kecederaan panjang atau penurunan prestasi secara mendadak.

Big Game Player

Apa yang menariknya, sembilan dari 13 gol yang sudah dijaringkan Rashford setakat ini terhasil ketika United berdepan pasukan-pasukan dari kelompok pencabar kejuaraan liga. Empat gol berjaya diledak Rashford ke gawang Chelsea, dua gol ke gawang Spurs dan satu gol ketika United berdepan Leicester City, Liverpool dan Manchester City. Secara keseluruhannya juga, Rashford sudah menjaringkan 16 gol ketika United berdepan kelab-kelab top six sejak 2016 atau hampir 1/4 dari jumlah keseluruhan gol yang sudah dihasilkannya setakat ini.

Untuk seorang pemain yang baru berusia 22 tahun, penampilan yang dilakukan Rashford ketika berdepan kelab-kelab besar ini sebenarnya sangat mengagumkan. Kekuatan mentalnya antara faktor terpenting mengapa Rashford jarang menghampakan kita ketika beliau diturunkan dalam perlawanan-perlawanan besar. Jadi tidak hairanlah mengapa label sebagai big game player sangat dekat dengan diri anak muda bernama Marcus Rashford ini.

Mengulas tentang hal tersebut, Solskjaer berkata, “Rashford sangat matang ketika berdepan pemain-pemain dari kelab besar Liga Perdana. Ada ketikanya kami sangat bergantung kepadanya kerana konsistensi yang ditunjukkannya dalam perlawanan-perlawanan besar”. Ya...Rashford memang diakui memiliki mentaliti `besar’ ketika berdepan perlawanan-perlawanan besar kerana keberadaannya di atas padang biasanya memberikan perbezaan yang signifikan kepada penampilan United.

Corak permainannya sentiasa mampu memancing mana-mana pertahanan lawan untuk melakukan kesilapan-kesilapan mudah. Lihat sahaja dua sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil ketika United berdepan Spurs dan Manchester City berpunca dari kegopohan pertahanan lawan dalam usaha mereka menghentikan pergerakannya. Rashford memang `jaguh’ ketika berdepan kelab-kelab pencabar kejuaraan, tetapi bagaimana pula pencapaiannya saat United berdepan kelab-kelab pertengahan/bawahan liga?

Perbezaan Gaya

Dari 16 perlawanan liga yang sudah diharungi United setakat ini, mereka tidak tewas ketika mereka berdepan Chelsea, Arsenal, Leicester City, Liverpool, Spurs dan (Manchester) City. Kecuali Leicester yang mana prestasi mereka musim ini agak mengejutkan kita, Chelsea, Arsenal, Liverpool, Spurs dan City  pula saban musim sentiasa diletakkan dalam kelompok pencabar kejuaraan liga.

Walaupun pada awalnya timbul keraguan tentang kemampuan United untuk berdepan Liverpool, Spurs, Chelsea, City dan Arsenal, hal sebaliknya pula berjaya dibuktikan mereka di atas padang. Begitu juga dengan kemampuan Rashford yang menepati label beliau sebagai big game player menerusi ketajamannya ketika menembusi pintu gol Chelsea, Leicester, Liverpool, Spurs dan City.

Walaupun masih mampu menjaringkan gol ketika berdepan Norwich, Brighton dan Sheffield United, Rashford bagaimanapun dilihat berdepan masalah besar dalam aksi menentang Wolves, Palace, Southampton, West Ham, Newcastle, Bournemouth dan Aston Villa. Apa yang menyebabkan Rashford berdepan kesukaran ketika berdepan lawan dari kelompok pertengahan/bawahan liga berbanding aksinya ketika menentang barisan pencabar kejuaraan seperti Chelsea, Leicester, Liverpool, Spurs ataupun City?

Gaya permainan berbeza yang ditampilkan pasukan kelompok teratas antara penyebab utama mengapa Rashford kurang produktif ketika United berdepan lawan dari kelompok pertengahan/bawahan liga. Aksi menentang lawan seperti Chelsea, Spurs, Liverpool, Arsenal, Leicester atau City biasanya menyaksikan corak permainan yang lebih terbuka, lantas membuka banyak ruang kosong untuk dimanfaatkan Rashford menerusi kepantasan larian yang dimilikinya.

Kerana kelajuan sambil dibantu ketajaman yang dimiliki Rashford inilah mengapa strategi counter attack yang digunakan Solskjaer sangat berhasil ketika United berdepan lawan-lawan dari kelompok atasan liga. Bagaimanapun ketika berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan garis pertahanan rendah seperti Aston Villa, Bournemouth atau West Ham, strategi counter attack United tidak lagi berkesan sekaligus turut menyumbang kepada penurunan produktiviti Rashford dalam menghasilkan gol.

Posisi Terbaik

Di manakah sebenarnya posisi terbaik untuk Rashford diletakkan dalam skema formasi yang digunakan Solskjaer? Ketika menentang Liverpool, Rashford digandingkan bersama Daniel James selaku penggempur dalam formasi 3-4-1-2. Sepanjang perlawanan itu, Rashford sebenarnya lebih banyak bertindak selaku `pemain nombor 9’. Meskipun berjaya menjaringkan gol, manakala gandingan beliau bersama James memaksa Virgil Van Dijk bekerja keras, peranan sebagai `pemain nombor 9’ bagaimanapun bukanlah tugas yang sesuai dilaksanakan oleh Rashford dari kacamata Jose Mourinho.

“Ketika kami mengalahkan Liverpool tahun lalu, saya menggandingkan Rashford bersama Romelu Lukaku. Dia bukan target man. Dia tipikal pemain yang suka bergerak. Saya tidak fikir dia `pemain nombor 9’ tulen. Tetapi jika Ole terus meletakkan dia dengan peranan seperti ini pada perlawanan-perlawanan akan datang, maka saya fikir Rashford boleh melaksanakan tugasnya dengan baik. Bagi saya, dia berpotensi untuk menjadi pemain yang sangat baik. Mungkin dia akan memainkan beberapa peranan dalam beberapa posisi”, kata Mourinho.

Bagaimanapun menurut Mourinho lagi, sebagai target man, beliau percaya Rashford tidak akan mampu menjaringkan lebih 20 gol semusim. “Dia boleh menjadi pemain yang lebih baik jika dia diberikan kebebasan untuk bergerak. Tipikal pemain seperti dia sangat sukar untuk dibentuk menjadi pemain nombor 9”, sambung Mourinho lagi. Pandangan Mourinho ini ada benarnya kerana secara peribadi saya berpendapat Rashford lebih berkesan jika beliau diberikan kebebasan untuk bergerak dari sebelah sisi.

Sesuai dengan strategi counter attack versi Solskjaer, Rashford biasanya akan mendominasi penguasaan bola dari sebelah sisi untuk beliau bawa ke tengah. Rashford adalah pemain hadapan yang suka bergerak, bukan jenis pemain yang hanya menunggu umpanan rakan di hadapan pintu gol lawan. Jadi permainan terbaik Rashford biasanya datang dari sisi, terutamanya di sebelah kiri. Bagaimanapun aksi menentang Liverpool juga sebenarnya menunjukkan bahawa Rashford mampu bertindak selaku `pemain nombor 9’ dengan baik, sepertimana kata Mourinho.

Penutup

Untuk memaksima potensi sebenar Rashford, beliau sepatutnya diletakkan di posisi di mana beliau selesa bermain. Meskipun penampilan beliau sebagai `pemain nombor 9’ ketika berdepan Liverpool dilabel Solskjaer sebagai `penampilan terbaik Rashford dalam tempoh 10 bulan’, satu hakikat yang terpaksa kita akui ialah beliau tidak sekuat Harry Kane atau Romelu Lukaku untuk bertindak sebagai seorang target man.

Gaya permainan Rashford ialah gaya permainan penyerang moden sepertimana Cristiano Ronaldo, Lionel Messi atau Mo Salah yang memiliki kelajuan dan kawalan bola yang bagus untuk melepasi mana-mana pertahanan lawan dari sebelah sisi. Dari sebelah sisilah beliau memiliki lebih banyak ruang untuk mencipta peluang jaringan gol. Bagaimanapun masih banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam permainan Rashford sebelum beliau muncul selaku finisher hebat suatu hari nanti.

Mentaliti Rashford ketika berdepan perlawanan-perlawanan besar memang tidak perlu diragui. Buktinya, hampir 1/4 dari keseluruhan jaringan beliau untuk United terhasil ketika Rashford diturunkan menentang kelab-kelab pencabar kejuaraan liga. Tetapi harus diingat bahawa setiap musim aksi menentang kelab-kelab pencabar kejuaraan liga biasanya hanya membabitkan sepuluh perlawanan sahaja. Selebihnya United perlu bertarung dalam 28 perlawanan menentang kelab-kelab pertengahan/bawahan liga.

Untuk itu, jika Rashford berhasrat mahu melepasi angka 20 jaringan setiap musim secara konsisten, beliau tidak boleh `malu-malu’ lagi ketika berdepan kelab-kelab seperti Bournemouth, Aston Villa, West Ham ataupun Watford. Berbeza dengan Romelu Lukaku yang dahulunya dikritik kerana sering `hilang’ dalam perlawanan-perlawanan besar, Rashford pula nampaknya dituntut untuk lebih aktif dan tajam ketika berdepan pertahanan lawan seperti Tyrone Mings, Phil Jagielka, Steve Cook atau Angelo Ogbonna. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan