12 Disember 2019

DIMITAR BERBATOV: GENIUS, SENIMAN ATAU SI PEMALAS?



Jika bercakap tentang Dimitar Berbatov, apakah perkara pertama yang akan terbayang dalam fikiran anda? Saya yakin lebih 90% daripada anda akan mengatakan bahawa Berba ialah seorang pemain yang `pemalas’. Aksi Berba di atas padang memang tampak begitu, tambahan pula Brede Hangeland yang juga bekas rakan sepasukan Berba di Fulham pernah melabelkan beliau sebagai `pemain yang pemalas’. Dalam wawancara bersama ESPN FC, Hangeland mengatakan bahawa Berba lebih kerap menghabiskan masanya bersama fisioterapi pasukan berbanding mengikuti sesi latihan bersama rakan-rakan sepasukan yang lain.

“Saya tidak pernah melihat seorang pemain yang lebih banyak menghabiskan masanya untuk sesi mengurut seperti Berbatov. Dia lebih banyak menjalani sesi urutan berbanding berlatih. Setiap kali pemain lain sibuk berlatih, Berbatov pula sibuk meminta untuk diurut. Perkara ini sebenarnya menjadi rahsia kerana diakhir musim dia biasanya akan memberikan hadiah kepada fisioterapi kelab”, kata Hangeland. Berba ialah seorang penyerang, tetapi bukan tipikal seperti penyerang yang sering anda lihat. Pergerakannya tidaklah seagresif Ruud Van Nistelrooy, Andy Cole atau Wayne Rooney kerana di atas padang beliau lebih banyak dilihat berjalan dari berlari.

Sukar sebenarnya untuk meletakan Berba dalam kategori yang mana satu. Adakah beliau memang pemain yang malas, artistik bolasepak atau si genius. Di sebalik sisi `pemalas’ yang sudah melekat kuat dalam diri Berba, tidak adil juga sekiranya kita menidakkan hakikat bahawa beliau antara pemain yang memiliki skill memukau pernah disaksikan bermain untuk United. Gol jaringan beliau ketika berdepan Nice dalam derbi Cote D’Azur pada 20 April 2014 adalah antara contoh `karya’ agung yang dihasilkan dari kaki Berba. Selepas menerima hantaran dari Joao Moutinho, Berba tenang mengawal bola sebelum melepaskan satu tendangan lob yang melepasi jangkauan David Ospina.

Gol seperti itu sebenarnya adalah identiti kepada gaya permainan Berba. Lambungan bola yang dilakukan beliau kelihatan sangat santai, tetapi tidak banyak yang mampu dilakukan Ospina untuk menyelamatkannya. Atau lebih tepat peluang untuk penjaga gol Nice itu menafikan jaringan tersebut adalah 0%. Ya itulah Berba, pemain yang kelihatan `malas’ sepanjang permainan, tetapi sering menterjemahkan peluang kepada jaringan gol yang kadangkala sangat artistik dari sepasang kakinya. Anda boleh berdebat tentang gaya permainan Berba, tetapi di atas padang beliau sering sahaja berjaya memadam percanggahan itu menerusi kualiti yang ada dalam permainannya.

Dari Sofia Ke England

Ketika kecil, Berba menjadikan Marco Van Basten sebagai idolanya, tetapi ketika usianya menginjak keangka 15, Berba memiliki idola baharu iaitu bekas penyerang antarabangsa England, Alan Shearer. “Van Basten dan Shearer hingga sekarang. Shearer adalah wira saya. Dia mampu menjaringkan gol dari sudut manapun. Tidak pernah ragu-ragu menyiku lawan demi memenangi perebutan bola. Paling saya suka ketika dia meraikan jaringan gol dengan mengangkat tangannya. Itu memang hebat”, kata Berba.

Potensi besar yang dimiliki Berba rupa-rupanya diperhatikan penuh teliti oleh Dimitar Penev, jurulatih legenda yang berjaya mengemudi Bulgaria mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 1994. Pada 1998 ketika usia Berba genap 17 tahun, beliau direkrut Penev yang ketika mengendalikan salah satu kelab terbesar di Bulgaria iaitu CSKA Sofia. Penampilan cemerlang beliau bersama CSKA Sofia menarik perhatian kelab-kelab Eropah dan beliau akhirnya menyertai Bayern Leverkusen pada 2000 meskipun pada awalnya hampir menyertai Lecce.

Meskipun pada awalnya beliau berdepan kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan corak permainan di Bundesliga, Berba secara perlahan-lahan mula menembusi senarai kesebelasan utama Leverkusen. Pada musim 2004/05, penampilan cemerlang beliau di Bundesliga dan Liga Juara-Juara menarik minat Tottenham Hotspurs untuk membawa Berba beraksi di England. Pada 2006, Berba akhirnya berpindah ke White Hart Lane menerusi yuran perpindahan sebanyak £10.9 juta yang dibayar Spurs kepada Leverkusen.

Tempo permainan di Liga Perdana tentu sahaja sangat berbeza dengan Bundesliga. Untuk itu Berba sekali lagi terpaksa beradaptasi dengan corak permainan di kelab baharu khususnya bolasepak Inggeris yang lebih pantas dan fizikal. Gaya bolasepak Inggeris yang agak keras dan pantas sebenarnya sangat kontra dengan corak permainan Berba. Bagaimanapun Berba pantas menyesuaikan diri, bukan sahaja dengan kehidupan baharu di London tetapi juga bolasepak Inggeris. 12 gol dari 33 penampilan liga pada musim pertamanya di White Hart Lane bukanlah statistik yang terlalu buruk.

Lamaran Fergie

Secara keseluruhan Berba menjaringkan 23 gol dari 49 penampilan untuk Spurs dalam semua kejohanan pada musim pertamanya di England. Sepanjang dua musim menyarung jersi Spurs, Berba menjaringkan 27 gol dari 70 penampilan (dalam semua kejohanan). Tawaran United terhadap Berba datang pada 2008, dan sudah tentu peluang bermain di bawah arahan Sir Alex Ferguson tidak mampu ditolak beliau. Berba akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai pemain United pada 1 September 2008.

£30.75 juta, itulah nilai yang terpaksa dibayar United demi memujuk Daniel Levy supaya melepaskan Berba meninggalkan White Hart Lane. Empat musim di Old Trafford, Berba menunjukkan kepada penyokong-penyokong United ertikata sebenar nilai estetika jaringan-jaringan gol yang dihasilkannya. Secara keseluruhannya sepanjang empat musim beliau memperagakan bakatnya di Old Trafford, Berba menjaringkan 48 gol dari 108 penampilan liga.

Sudah tentu momen paling diingati jika anda bercakap tentang jaringan indah yang terhasil dari kaki Berba ialah ketika beliau menyempurnakan hatriknya ke gawang Liverpool menerusi teknik sepakan bicycle kick ketika kedua-dua pasukan bertemu di Old Trafford pada September 2010. Dua bulan selepas itu, Berba sekali lagi memukau para pemuja dan pengkritiknya apabila beliau meledak lima gol ke gawang Blackburn Rovers. United menewaskan Rovers (7-1) dalam perlawanan itu dengan dua lagi jaringan disumbangkan Park Ji-Sung dan Nani.

Kehadiran Berba di Old Trafford sebenarnya melengkapkan kuartet barisan hadapan paling menggerunkan pernah disaksikan penyokong-penyokong United. Ketika itu, United sendiri sudahpun memiliki trio Wayne Rooney-Carlos Tevez-Cristiano Ronaldo di barisan hadapan mereka. Mungkin juga tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kuartet Berba-Rooney-Ronaldo-Tevez merupakan rangkaian  barisan hadapan paling sempurna pernah anda disaksikan di Old Trafford. Dan sudah tentu juga mereka merupakan mimpi ngeri buat mana-mana pertahanan lawan.

Penutup

Hubungan yang kurang harmonis antara beliau dan Fergie akhirnya memaksa Berba meninggalkan Old Trafford pada musim panas 2012. Destinasi seterusnya yang beliau tuju ialah Craven Cottage. Selepas semusim setengah beliau menyarung jersi Fulham, Berba kemudiannya memutuskan meninggalkan England dengan menyertai AS Monaco pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan musim sejuk 2014 ditutup. Keputusan Berba berhijrah ke Perancis itu turut menandakan berakhirnya kerjaya beliau selama hampir sembilan tahun di England.

Sepanjang kariernya selama empat musim di Old Trafford pula, Berba berjaya memenangi dua kejuaraan Liga Perdana, satu Piala Liga, satu Perisai Komuniti dan satu Kejuaraan Kelab Dunia. Pada musim 2010/11 pula, 20 gol yang dijaringkannya meletakkan Berba selaku pemenang golden boot (berkongsi kedudukan dengan Carlos Tevez). Apa yang menariknya ialah United juga merupakan satu-satunya kelab yang memberikan Berba medal kejuaraan liga sepanjang 23 tahun karier profesionalnya.

Apa yang membuat Berba istimewa bukan sahaja kerana `kemalasannya’, tetapi Berba penyerang yang istimewa kerana ketajaman beliau turut diiringi dengan kemampuan mencipta peluang, melakukan build up,  teknik kawalan bola yang sangat...sangat...sangat bagus dan kemampuannya melakukan umpanan-umpanan berkualiti. Sangat tidak adil untuk menghakimi kesuksesan seorang pemain hanya berdasarkan kepada jumlah medal kejuaraan yang dimiliki sepanjang karier mereka sebagai pemain, begitulah juga dengan Berba.

Sepanjang kariernya, Berba cuma mampu mengumpul tujuh medal kejuaraan ketika beliau mewakili CSKA Sofia, Tottenham Hotspurs dan Manchester United. Untuk seorang pemain yang memiliki kualiti sebagus Berba, tujuh medal kejuaraan sepanjang 23 tahun karier profesionalnya tentulah bukan sesuatu yang adil untuk beliau. Bagaimanapun Berba tetap akan dikenang bukan kerana jumlah medal kejuaraan yang berjaya beliau kumpul, tetapi kerana beliau antara penyerang paling mempersona pernah disaksikan aksinya.

Jika bercakap tentang Dimitar Berbatov, ada tiga sisi yang dapat anda lihat dalam diri beliau ketika eranya sebagai pemain. Anda boleh letakkan beliau dalam kategori pemain yang `pemalas’, tetapi dalam masa yang sama jangan nafikan bahawa Berba juga seorang pemain yang genius kerana visi tinggi yang dimiliki beliau dalam permainannya. Juga seorang seniman kerana Berba tidak pernah berhenti memikirkan bagaimana mahu menghasilkan gol-gol indah dari sepasang kaki miliknya.

Dunia tidak pernah menghargai Berba meskipun beliau tergolong dalam `spesis’ pemain genius yang semakin pupus. Jika bilangan trofi pula dijadikan ukuran, Berba bukanlah tergolong dalam kelompok pemain paling sukses di muka bumi. Dunia akan hanya mengingati Berba sebagai pemain yang `pemalas’, tetapi saya akan mengenang Berba sebagai `si genius’, `si licik’ dan `seniman’ dalam dunia bolasepak kerana gol-gol artistik yang pernah dihasilkannya. Bagi Berba, menjaringkan gol adalah kewajipan beliau sebagai penyerang, tetapi menjaringkan gol yang indah adalah hal yang selalu ingin beliau lakukan ketika bermain. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan