30 April 2020

KISAH BERMULANYA FERGIE TIME DAN KETAKUTAN YANG MENGHANTUI LAWAN DI PENGHUJUNG PERMAINAN



Apakah yang dimaksudkan dengan Fergie Time? Benarkah `mitos’ yang mengatakan bahawa Sir Alex Ferguson sering beroleh keuntungan dari Fergie Time ini kerana pengadil memberikan tambahan waktu yang lebih panjang di masa kecederaan tatkala United sedang ketinggalan atau perlukan satu gol untuk meraih kemenangan? Ya…memang pada awalnya ia merupakan mitos kerana ketika itu timbul khabar angin yang mengatakan bahawa pengadil sengaja memanjangkan tempoh masa permainan di waktu kecederaan ketika United sedang ketinggalan.

Penyebab utamanya bagi mereka yang mencipta `mitos’ ini mengatakan bahawa Fergie sering membuatkan pengadil tertekan menerusi jeritan-jeritan beliau dari tepi padang sambil menunjukkan jam ditangannya ketika kesebelasan pemainnya sedang berdepan detik kritikal. Ketika tempoh tambahan masa di waktu kecederaan inilah biasanya keajaiban hadir membantu United. Tatkala lawan sedang menghitung detik-detik akhir permainan untuk keluar sebagai pemenang atau mencuri satu mata, ketika inilah gol penting diminit-minit terakhir itu hadir.

Gol penting minit-minit akhir perlawanan adalah sesuatu yang sangat kejam, jadi sudah tentu tiada mana-mana penyokong lawan yang suka dengan perkara ini. Jadi di sinilah bermulanya `mitos’ Fergie Time. Namun begitu, bilakah bermulanya `mitos’ Fergie Time ini yang sehingga sekarang masih kekal menjadi legenda dan sering menghantui pasukan lawan biarpun sudah tujuh tahun Fergie bersara? Semuanya bermula kira-kira 27 tahun lalu, atau lebih tepatnya ia berlaku pada 10 April 1993 dalam aksi ke-37 United disaingan liga.

Kisah Bermula

Manchester United memerlukan tempoh selama 26 tahun untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga mereka sejak kali terakhir barisan kendalian Sir Matt Busby melakukannya pada 1967. Kisah Fergie Time ini bermula pada musim 1992/93, musim di mana United melakar sejarah selaku kesebelasan pertama menjulang trofi liga selepas kasta liga tertinggi bolasepak Inggeris itu dijenamakan semula dari Liga Divisyen 1 kepada Liga Perdana. Aksi menentang Blackburn Rovers pada 3 Mei 1993, United akhirnya berjaya mengesahkan kejuaraan liga milik mereka, yang juga merupakan kejuaraan liga kelapan dalam sejarah kelab serta yang pertama di era Liga Perdana.

Tetapi 23 hari sebelum itu, ada perlawanan penting yang akan sentiasa dikenang oleh para penyokong United, iaitu ketika mereka menewaskan Sheffield Wednesday secara dramatik di Old Trafford. Aksi ke-37 liga antara United dan Sheffield Wednesday itu adalah perlawanan yang sangat penting kepada survival Fergie dalam usahanya mengemudi United menjulang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun. Ketika itu United, Aston Villa dan Norwich City adalah pasukan yang sedang bersaing hebat di kelompok tiga teratas dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga.

Sebelum aksi menentang Sheffield Wednesday itu berlangsung, Villa berada di kedudukan pertama carta liga selepas mereka mengumpul 67 mata, manakala United di kedudukan kedua dengan 66 mata manakala Norwich pula di tangga ketiga dengan 65 mata. Berbanding Villa dan United, Norwich bagaimanapun sudah bermain lebih satu perlawanan. Perlawanan menentang Sheffield Wednesday itu bukan sahaja sengit tetapi turut diwarnai dengan kecederaan (achilles) dialami Michael Peck yang juga merupakan pengadil perlawanan selepas 15 minit aksi babak kedua berlangsung. 

Hanya lima minit selepas masuk mengambilalih tugas Peck, John Hilditch kemudiannya menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat yang berjaya disempurnakan John Sheridan (di minit ke-65). Tiga mata adalah misi yang wajib disempurnakan barisan The Red Devils dalam perlawanan itu jika mereka mahu terus memberikan tekanan kepada Villa selaku pendahulu liga. Jadi ketinggalan 0-1 kepada lawan ketika tempoh permainan sebenar cuma berbaki 25 minit sebelum ditamatkan bukanlah sesuatu yang ingin dilihat oleh penyokong-penyokong United.

Gol penyamaan akhirnya hadir di minit ke-86 menerusi tandukan Steve Bruce hasil dari sepakan sudut Paul Ince, namun ianya dilihat agak terlewat bagi menyelamatkan misi tiga mata United dalam perlawanan itu. Satu mata tidak memadai dan ketakutan musim sebelumnya ketika mereka dikecewakan Leeds United dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga kini kembali menghantui penyokong-penyokong United. Keajaiban akhirnya datang di minit-minit akhir perlawanan apabila kepala Steve Bruce sekali lagi menemui sasaran.

Umpanan silang Gary Pallister berjaya disempurnakan Bruce apabila tandukan beliau menewaskan Chris Woods buat kali kedua diminit ke-96 masa kecederaan sekaligus menghadiahkan tiga mata yang sangat dimahukan Fergie. Seluruh Theatre of Dreams bergema, Bruce berlari merayakan gol jaringannya, Fergie melompat kegirangan manakala Brian Kidd berlari masuk ke dalam padang sambil berlutut dan mengenggam kedua tangannya di udara. Gol kemenangan jaringan Bruce bukan sahaja penting kepada misi United, tetapi juga akan sentiasa dikenang sebagai salah satu perayaan jaringan gol paling ikonik dalam sejarah kelab.

Tambah manis, kemenangan dramatik yang dilakar United ke atas Sheffield Wednesday ini akhirnya meletakkan mereka di tangga teratas liga selepas Villa sekadar mengutip satu mata ketika mereka berdepan Coventry City. Fergie Time umpama satu anugerah untuk United, tetapi bagi lawan pula ia adalah musibah. Inilah yang berlaku kepada Sheffield Wednesday, kesebelasan pertama yang menjadi korban kepada Fergie Time. Trevor Francis yang juga merupakan pengurus mereka ketika itu jelas berang dengan keputusan Hilditch memberikan tambahan masa sehingga enam minit.

Tambahan masa yang diberikan Hilditch ketika itu memang agak panjang iaitu selama enam minit, jadi tidak hairanlah mengapa keputusan beliau menimbulkan sedikit kontroversi. Mengambil kira kecederaan dialami pengadil utama perlawanan (Michael Peck), kekasaran demi kekasaran yang dilakukan pemain kedua-dua pasukan serta beberapa siri kecederaan yang dialami pemain hingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan menjadi asas pertimbangan Hilditch untuk melanjutkan tempoh permainan sehingga enam minit.

6 Atau 12 Minit?

Momen tersebut diakui merupakan kali pertama United meraih keuntungan hasil dari gol lewat permainan yang dijaringkan mereka di era Liga Perdana. Dan sebagai individu yang bertanggungjawab sehingga berlakunya Fergie Time pertama di dunia, Hilditch berkata, “Dahulu tiada pegawai keempat yang bertugas menjaga tempoh masa permainan. Jadi tanpa pegawai keempat, Sir Alex Ferguson dilihat mampu memanipulasi pengadil. Setidaknya itulah tanggapan umum kepada beliau selama ini”.

“Ketika itu Mike memberikan jamnya kepada saya, tetapi saya menolaknya kerana saya memiliki jam sendiri. Biar saya sendiri yang menentukan baki permainan yang perlu diharungi menerusi jam yang ada di tangan saya”, kata Hilditch lagi. Hilditch turut mengakui meskipun teknologi dalam dunia bolasepak semakin berkembang, namun ianya tetap tidak banyak mempengaruhi perjalanan sesebuah perlawanan dengan terlalu signifikan. Mungkin atas sebab itulah beliau berpendapat mengapa `mitos’ Fergie Time mampu bertahan sehingga sekarang.

Berbanding Trevor Francis, Fergie pula berpendapat enam minit tambahan masa yang diberikan Hilditch itu masih kurang berbanding kiraan yang dilakukan beliau. “Tambahan masa yang diberikan itu adalah sah. Pada malam hari selepas perlawanan, saya menonton kembali rakaman video perlawanan itu dengan stopwatch. Saya menghitung setiap masa permainan yang terhenti kerana kecederaan atau penggantian pemain. Cuba teka berapa lama masa tambahan yang sepatutnya mereka berikan? 12 minit!”, kata Fergie dalam bukunya berjudul Managing My Life.

Bukan Sekadar Mitos

Keberadaan Fergie di tepi padang memang mempersonakan serta penambah rencah kepada sebuah perlawanan bolasepak. Kadangkala beliau kelihatan sangat santai dan kadangkala emosinya sangat meluap-luap. Keberhasilan beliau mengemudi kesebelasan pemainnya menjulang banyak kejuaraan besar meletakkan Fergie antara pengurus terbaik pernah dilahirkan dalam dunia bolasepak. Selain deretan trofi kejuaraan, Fergie juga sangat terkenal dengan istilah Fergie Time yang menjadi momokan kepada mana-mana pasukan lawan.

Seperti sudah menjadi kelaziman buat barisan The Red Devils kendalian beliau menjaringkan gol di minit-minit akhir permainan menerusi Fergie Time dan kemudiannya menjadi identiti kelab ketika era pengurusan Fergie. “Itu adalah falsafah yang ditanamkan Fergie kepada setiap pemainnya. Fergie akan membuatkan setiap pemainnya selesa bila bola berada di kaki mereka. Semua orang bercakap tentang kemenangan kami ke atas Sheffield seolah-olah kami sudah menang kejuaraan sedangkan ia cumalah perlawanan yang dramatik”, imbas Steve Bruce.

Hasil dari kemenangan ke atas Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 itu, United berjaya memintas kedudukan Villa selaku pendahulu liga dan mereka akhirnya mengesahkan kejuaraan liga sebelum aksi menentang Blackburn Rovers, 23 hari selepas itu. Sejak itu juga kecurigaan lawan terhadap barisan Fergie mula merebak dan pertanyaan mula timbul sama ada benarkah United sering diberikan tambahan masa lebih panjang oleh pengadil perlawanan ketika mereka sedang ketinggalan berbanding seteru-seteru domestik mereka yang lain?

Untuk itu, Graham Poll yang juga merupakan bekas pengadil di Liga Perdana dalam kolumnya di Daily Mail mengatakan bahawa memang sentiasa wujud tekanan kepada mana-mana pengadil untuk mengelakkan kelab-kelab besar dari tewas dalam satu-satu perlawanan apatah lagi jika ianya berlangsung di gelanggang mereka sendiri. Statistik tiga musim terakhir Fergie di Old Trafford juga menunjukkan bahawa United bermain 79 saat lebih lama ketika mereka tewas berbanding perlawanan-perlawanan yang dimenangi mereka.

Bagaimanapun Fergie Time bukan sekadar `mitos’ kerana salah satu keajaiban paling indah dari kisah Fergie Time ini ialah ketika United menewaskan Bayern Munich di pentas final Liga Juara-Juara edisi 1999. Gol jaringan Mario Basler kekal menjadi pemisah sehingga perlawanan memasuki minit ke-90. Ketika penyokong-penyokong United mengharapkan adanya keajaiban pada baki masa permainan yang tinggal, para penyokong Bayern pula sudah bersedia meraikan kejuaraan Eropah keempat buat gergasi Bundesliga itu.

Akhirnya keajaiban yang ditunggu penyokong-penyokong United tiba jua. Ketika Fergie tidak jemu-jemu memotivasikan para pemainnya sambil sesekali melihat jam ditangan, Teddy Sheringham menjaringkan gol penyamaan. Tidak lama selepas itu, giliran Ole Gunnar Solskjaer pula menemui sasaran menerusi sentuhan jarak dekatnya yang menewaskan Oliver Kahn. Dua gol dari dua pemain gantian ini yang merentap ego Bayern berlaku dalam tempoh tiga minit tambahan masa di waktu kecederaan. Atau lebih tepatnya ia berlaku di waktu Fergie Time.

Kisah Manchester Derby pada tahun 2009 juga tidak kurang menariknya. Tatkala keputusan di scoreboard menunjukkan kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 3-3 hingga permainan memasuki minit ke-90, pengawai keempat pula memberikan tambahan masa selama empat minit sahaja. Ketika permainan sudah melepasi tempoh empat minit tambahan masa, pegadil perlawanan ketika itu (Martin Atkinson) bertindak meneruskan permainan. Akibatnya Michael Owen menjaringkan gol kemenangan yang menyebabkan Mark Hughes hampir `histeria’ di tepi padang.

Pengakuan Fergie

Fergie mengakui bahawa sepanjang kariernya sebagai pengurus, beliau memang sentiasa berusaha memberikan tekanan kepada pegawai perlawanan. Bertekak dengan pegawai di tepi padang atau di terowong pemain ketika berjalan menuju ke bilik persalinan, melontar komen-komen pedas tentang mutu pengadilan di sidang media, atau apa sahaja akan cuba dilakukan Fergie demi membolehkan pasukannya beroleh keuntungan. Menjelang perlawanan terakhir sebagai pengurus United, Fergie mendedahkan apa yang beliau lakukan pada perlawanan sebelumnya ketika pasukannya berdepan Swansea City.

“Pada hari minggu 12 Mei 2013 ketika kami menentang Swansea, pegawai keempat memberikan tambahan masa selama lapan minit. Kemudian saya beritahu dia, “fikirkan lagi”. Tetapi apa yang saya lakukan itu sebenarnya sebahagian dari permainan, iaitu tekanan yang cuba saya berikan kepada pengadil. Tetapi saya juga bermain permainan psikologi dengan pasukan lawan agar mereka tertekan”, kata Fergie kepada ESPN. Akhirnya Fergie mengakui bahawa taktiknya berdiri di tepi garisan padang sambil menunjukkan jamnya adalah bertujuan mempengaruhi pengadil.

Fergie Time adalah helah Fergie untuk cuba memanipulasi pegawai perlawanan, setidak-tidaknya itulah yang pernah beliau dedahkan pada 2014. “Saya bukanlah mahu melihat waktu di jam tangan saya sangat. Saya melakukannya agar pengadil dan lawan tertekan. Saya tidak pernah tahu berapa baki masa permainan yang tinggal. Pada 10 hingga 15 minit terakhir perlawanan terutama di Old Trafford, anda perlu gembirakan 65 ribu orang di sana. Jika anda berada di bilik persalinan selepas perlawanan dan menjaringkan gol di minit akhir, suasananya sangat luar biasa”.

"Hal yang paling penting ialah memastikan penyokong kami gembira ketika mereka berjalan keluar dari stadium menuju ke pub sambil bercakap tentang apa yang baharu sahaja mereka saksikan tadi. Kemudian mereka akan pulang ke rumah dan bercerita pula dengan isteri serta anak-anak mereka tentang apa yang terjadi di Old Trafford pada minit-minit akhir permainan. Itulah antara tugas yang saya perlu lakukan, iaitu memastikan mereka pulang dari stadium dengan gembira”, sambung Fergie lagi dalam temubual beliau bersama BT Sport bersama Clare Balding.

Penutup

Aksi final Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada 1999 dan Manchester Derby pada 2009 antara contoh terbaik bila anda bercakap tentang keajaiban Fergie Time. Sangat mendebarkan bila melihat United sedang ketinggalan, Fergie akan segera turun dari tempat duduknya, dan berlari ke tepi padang sambil melakukan gerakan yang sangat sinonim dengan beliau, iaitu menunjukkan jamnya kepada pengadil perlawanan. Semuanya dilakukan Fergie sebagai isyarat kepada pengadil perlawanan bahawa kesebelasannya tidak dilayan dengan adil, dan sebagai gantinya waktu kecederaan perlu dipanjangkan.

Fergie Time bukan sekadar cerita kebangkitan United menerusi jaringan-jaringan gol penting diminit akhir permainan, tetapi Fergie Time umpama hantu yang sentiasa menakutkan pasukan lawan. Lima minit diwaktu kecederaan adalah detik paling menakutkan, dan tambah menakutkan apabila mereka melihat Fergie mula berdiri di tepi padang sambil menunjukkan jam di tangannya. Ketika itu apa yang mampu dilakukan lawan? Tidak banyak sebenarnya yang mampu dilakukan mereka, kecuali berdoa agar mereka tidak menjadi satu lagi korban keajaiban Fergie Time. Glory Glory Manchester United!!!

#StopCovid-19
#StayAtHome

20 April 2020

CERITA TENTANG KEBANGKITAN FRED



Kleberson, Rodrigo Possebon, Anderson, kembar Da Silva antara pemain kelahiran Brazil yang pernah menyarung jersi Manchester United. Di antara mereka, tiada seorang pun (pada pandangan saya) berjaya meninggalkan impak besar sepanjang karier mereka di Old Trafford. Di antara mereka juga, sudah tentu Kleberson akan sentiasa dikenang sebagai kegagalan paling besar warga Brazil dengan jersi merah United, manakala potensi besar milik Possebon pula akhirnya malap apabila beliau sekadar melakukan tiga penampilan liga sepanjang tempoh hampir dua tahun berada di Old Trafford.

Berbanding Kleberson yang cuma mampu melakukan 20 penampilan liga sepanjang dua musim beliau di Old Trafford, Anderson pula lebih berjaya. Dari 2007 hingga 2015, Anderson berjaya memenangi empat medal kejuaraan Liga Perdana untuk United selain satu kejuaraan Piala Liga, Liga Juara-Juara, Kejuaraan Kelab Dunia dan dua Perisai Komuniti meskipun beliau bukanlah pemain regular dalam kesebelasan utama Sir Alex Ferguson. Bagi kembar Da Silva pula, kehadiran Louis Van Gaal pada 2014 meranapkan terus prospek mereka selaku pengganti kepada Gary dan Phil Neville disisi kanan dan kiri pertahanan United.

Dalam kem United ketika ini pula ada dua pemain Brazil yang anda sering lihat tampil dalam kesebelasan kendalian Ole Gunnar Solskjaer. Mereka yang saya maksudkan sudah tentu Fred dan Andreas Pereira. Pereira sudah berada di Old Trafford agak lama (sejak 2011), iaitu ketika zaman remajanya lagi menerusi program pembangunan bakat muda di akademi United. Manakala Fred pula dibeli Jose Mourinho dari Shakhtar Donetsk pada 2018 dengan harapan pemain itu mampu membentuk gandingan ampuh bersama Paul Pogba di bahagian tengah.

Legasi Dan Bahan Jenaka

Fred dan Pereira meneruskan jejak yang pernah ditinggalkan Kleberson, Anderson, Possebon dan kembar Da Silva selaku pemain Brazil yang berkelana di Old Trafford. Bagaimanapun perjalanan mereka sebagai pemain United bukanlah mudah sebagaimana yang pernah dilalui senior-senior mereka dari Brazil sebelum ini. The Sun umpamanya pada tahun lalu menyenaraikan Fred dalam senarai kesebelasan terburuk Liga Perdana bagi musim 2018/19 bersama-sama tiga lagi pemain United iaitu Alexis Sanchez, David de Gea dan Ashley Young.

Tidak cukup dengan `pengiktirafan’ yang diberikan oleh The Sun, prestasi Fred turut dijadikan sasaran kritikan oleh dua bekas pemain yang kini bertugas sebagai pundit, iaitu Gary Neville dan Martin Keown. “United sangat tidak kompeten dalam penguasaan bola. Fred pula adalah bahan jenaka ketika dia menguasai bola”, kata Keown ketika United tewas kepada Newcastle United musim lalu. Manakala kritikan dari Gary pula agak keras apabila beliau melabelkan Fred sebagai tidak layak beraksi untuk mana-mana kelab pertengahan liga sekalipun.

Musim pertamanya di Old Trafford, Fred terpaksa bergelut dalam usaha beliau menampilkan prestasi terbaiknya. Malahan penyokong-penyokong United sendiri agak lantang mengkritik penampilan beliau setiap kali diberikan peluang beraksi di atas padang. Melihat apa yang dilalui Fred, mungkin tiada siapa menyangka bahawa inilah pemain yang pernah mencetuskan minat kelab-kelab liga utama Eropah menerusi kualiti yang dipamerkannya di pentas Liga Juara-Juara selaku penggerak jentera tengah Shakhtar Donetsk.

Di sanalah (Liga Juara-Juara musim 2017/18) Fred mempamerkan bakatnya sebagai seorang anak kelahiran Belo Horizonte yang dikurniakan dengan DNA Jogo Bonito dalam skill permainannya. Lapan penampilan beliau dalam saingan Liga Juara-Juara musim tersebut, Fred melakukan 23 dribble sukses atau purata 2.88 per perlawanan. Jumlah tersebut mengatasi statistik yang dilakukan pemain-pemain yang beraksi di Liga Perdana seperti Paul Pogba (2.27), Ilkay Gundogan (1.97), Nemanja Matic (1.27) dan Kevin De Bruyne (2.44).

Selain daripada kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran berkualiti kepada rakan di barisan hadapan, Fred juga berjaya mencipta purata 1.13 peluang jaringan gol per perlawanan. Hanya Kevin de Bruyne sahaja satu-satunya pemain dari Liga Perdana yang memiliki statistik lebih baik daripada beliau dalam hal mencipta peluang jaringan gol. Jadi tidak hairanlah mengapa United meletakkan radar buruan mereka ke Ukraine dengan menjadikan Fred sebagai sasaran untuk di bawa masuk ke Old Trafford pada musim panas 2018.

Bukan Pilihan Mourinho?

Bagaimanapun ada laporan mengatakan bahawa Fred bukanlah pemain yang dimahukan Jose Mourinho kerana ketika itu beliau sebenarnya lebih kerap dikaitkan dengan kemungkinan mendapatkan khidmat Antoine Griezmann bagi memperkuatkan skuadnya. Mungkin atas sebab itulah mengapa Fred kerap dipinggirkan Mourinho di bangku simpanan, atau jika diturunkan sekalipun beliau diberikan peranan sebagai pemain tengah bertahan berbanding posisi terbaiknya selaku box to box midfielder sepertimana ketika eranya bersama Shakhtar Donetsk.

Jadi apa yang berlaku? Seperti yang dikatakan Keown dan Gary, Fred akhirnya kelihatan seperti bahan jenaka di atas padang. Bebanding aksinya ketika menyarung jersi Shakhtar Donetsk, Fred tidak lagi kelihatan dinamik sebagai seorang pemain tengah. Beliau hanya berlari ke segenap penjuru padang tanpa arah dan visi permainan. Sentuhan beliau sebagai seorang box to box midfielder yang dahulunya digunakan bagi merosakkan tempo permainan lawan ketika bertahan dan kreatif merancang serangan secara tiba-tiba hilang dengan sekelip mata.

Akibatnya sepanjang sebelas penampilan beliau di bawah kendalian Mourinho, Fred hilang penguasaan bola sebanyak 18 kali, 17 kali melakukan kekasaran, 13 kali melepaskan percubaan dan cuma empat kali sukses melakukan dribble. Takat kesabaran Mourinho terhadap Fred sampai ke kemuncaknya ketika United tewas kepada Valencia di peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara musim 2018/19. Selepas tamat perlawanan Mourinho mengeluarkan kenyataan secara terbuka bahawa tempoh Fred di Old Trafford sudah berakhir.

Mourinho Pergi

Bagaimanapun takdir Tuhan berkata sebaliknya kerana pada akhirnya Mourinho terpaksa berdepan kenyataan bahawa tempohnya di Old Trafford berakhir lebih awal berbanding Fred. Kehadiran Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengganti seolah-olah memberi sinar baharu kepada karier Fred. `Malam menakjubkan di Kota Paris’ boleh dianggap sebagai turning point kepada kebangkitan semula Fred, manakala kecederaan yang dialami Pogba rupa-rupanya satu rahmat yang tersembunyi buat beliau.

Ketinggalan 0-2 pada aksi pertama pusingan kalah mati 16 pasukan kepada Paris St Germain, tiada siapa pun ketika itu yang sanggup bertaruh bahawa United mampu memadam kelebihan dua gol dimiliki lawan. Kota Paris menjadi saksi dan meskipun nama Romelu Lukaku serta Marcus Rashford dijadikan headline akhbar kerana gol jaringan mereka, Fred adalah wira tidak didendang di malam penuh `romantisme’ itu.

Sepanjang aksi di Parc des Princes itu, peratusan hantaran tepat yang dilakukannya mencapai 90%, melakukan tujuh ball recoveries, melakukan tiga tackle bersih, dua kali memenangi perebutan bola manakala hantaran-hantaran jauh yang dilakukannya tidak pernah tersasar kepada rakan. Malah ketika United disingkir Barcelona pun, Fred masih mampu tampil impresif dalam kedua-dua aksi timbal balik itu apabila catatan statistiknya menunjukkan beliau melakukan 90 sentuhan, 74 hantaran tepat dan 15 ball recoveries.

Fred akhirnya membuktikan kebenaran, jika beliau diletakkan diposisi idealnya, maka beliau mampu memberikan prestasi terbaiknya. Terlihat sekarang bagaimana Fred sangat optimal menerusi peranan yang dimainkannya sebagai seorang box to box midfielder, dimana beliau banyak terlibat dalam setiap gerakan-gerakan di zon pertahanan lawan. Akhirnya fakta sekali lagi berbicara apabila dalam tempoh lima bulan terakhir, Fred muncul pemain United paling banyak mencipta peluang dalam saingan liga.

Penutup

£52 juta yang dibelanjakan United bagi mendapatkan khidmatnya kelihatan kini sudah mula membuahkan hasil. Berbanding musim pertamanya di Old Trafford, Fred kini adalah antara key player dalam barisan kendalian Solskjaer. Beliau menjadi antara pemain penting di bahagian tengah kerana kemampuan yang dimilikinya untuk merebut bola, melakukan tekanan, visi permainan, bekalan hantaran-hantaran berkualiti dari sepasang kakinya terus kepada rakan di barisan hadapan, juga kerana kebolehannya melakukan dribble.

Peningkatan Fred musim ini bukan sahaja dapat anda saksikan menerusi penampilannya di atas padang tetapi juga statistik permainannya. Musim ini Fred mencipta purata 1.3 peluang jaringan gol (berbanding 0.9 musim lalu). Peratus ketepatan hantarannya meningkat dari 85.3% kepada 91.4% dan purata dribble yang dilakukannya dalam setiap perlawanan bertambah dari 0.9 kepada 1.7. Dalam hal defensif pula, Fred melakukan purata 1.7 intercept setiap perlawanan berbanding 1.4, serta 1.3 clearance berbanding 0.7 yang dilakukannya musim lalu.

Apakah rahsia sebenar Fred mampu bertahan di sebalik hujan kritikan yang diterimanya ketika fasa awal kedatangan beliau di Old Trafford? Bagi mana-mana insan, kekuatan mental adalah aspek paling penting jika mereka mahu keluar dari tekanan dan Fred juga tidak terkecuali. Kerana kekuatan mentalnya jugalah Fred sering muncul antara pemain paling menonjol dalam mana-mana perlawanan besar sepertimana saat United menyingkirkan PSG atau ketika beliau mempamerkan prestasi luar biasanya dalam tiga aksi Manchester Derby musim ini.

Jadi tidak hairanlah mengapa Pep Guardiola melabelkan beliau sebagai pemain yang `luar biasa’. Ramai yang bertanya apakah nasib Fred jika Paul Pogba kembali beraksi nanti? Jawapannya mudah, kerana melihat kepada prestasi United dan keserasian yang berjaya mereka bentuk terutamanya di bahagian tengah, anda sepatutnya sudah boleh berlapang dada dan mengakui hakikat bahawa The Red Devils kini sebenarnya beraksi lebih baik tanpa Pogba. Kehadiran Bruno Fernandes menerusi kreativitinya, kebangkitan Fred, konsistensi Scott McTominay dan kekuatan seorang Nemanja Matic menunjukkan bahawa United boleh hidup dan berdiri tanpa Pogba jika beliau mahu pergi.

Fred kini sudah berjaya mengenggam satu posisi di bahagian tengah United, jadi tugas seterusnya yang perlu dilakukan beliau ialah merebut pula tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan Brazil. Melihat kepada prestasi semasa yang dipamerkan Fernandinho atau Casemiro, percayalah waktu itu sudah semakin hampir untuk beliau. Semoga `cuti panjang’ kerana penularan wabak Covid-19 tidak menghentikan kebangkitan seorang pemain bernama Frederico Rodrigues de Paula Santos ini. Dahulunya beliau seperti tidak diperlukan, kini aksinya sering dinantikan, semuanya kerana kemampuan beliau mengubah cacian menjadi pujian. Glory Glory Manchester United!!!

#Covid-19
#StayatHome

08 April 2020

NORMAN WHITESIDE DAN BERMULANYA KISAH CINTA SAYA TERHADAP MANCHESTER UNITED




Aksi final Piala FA edisi 1985 antara Manchester United dan Everton akan sentiasa terpahat selamanya dalam ingatan saya. Perlawanan akhir ini sangat istimewa bagi saya bukan kerana United berjaya menjulang trofi ini buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun. Bukan juga kerana barisan The Red Devils berjaya menundukkan Everton selaku pasukan pilihan dalam perlawanan ini. Tetapi pertembungan final inilah sebenarnya yang mencetuskan kepada minat saya terhadap Manchester United.

Semuanya gara-gara seorang sosok pemain muda ketika itu yang bernama Norman Whiteside. Pada final Piala FA edisi 1983, Whiteside turut mencetuskan sensasi apabila beliau berjaya membantu United menjulang kejuaraan Piala FA selepas barisan bimbingan Ron Atkinson itu menewaskan Brighton (4-0) menerusi dua gol sumbangan Bryan Robson, dan satu gol masing-masing menerusi Whiteside dan Arnold Muhren. Ini merupakan trofi pertama Atkinson selaku pengurus United selepas beliau menggantikan posisi Dave Sexton dua tahun sebelumnya.

Pada usia 18 tahun 18 hari, gol Whiteside ke gawang Brighton itu meletakkan beliau selaku penjaring gol termuda di final Piala FA. Ini bukanlah sensasi pertama yang dicetuskan Whiteside, kerana dua bulan sebelum itu beliau turut melakukan hal yang sama. Meskipun United tewas dalam aksi final Piala Liga kepada Livepool, namun rembatannya yang menewaskan Bruce Grobbelaar meletakkan Whiteside selaku penjaring termuda di pentas final kejohanan kalah mati tersebut pada usia 17 tahun 323 hari.

Situasi Whiteside ketika itu sebenarnya mirip apa yang dinikmati Marcus Rashford tiga musim lalu atau Mason Greenwood ketika ini. Selaku pemain muda, Whiteside menjadi tumpuan penyokong-penyokong United yang berharap agar beliau mampu muncul bintang besar di Old Trafford suatu hari nanti. Sejak usianya 14 tahun lagi, Whiteside sudah dibandingkan dengan George Best yang juga merupakan legenda United. Sepertimana Best, Whiteside juga berperanan sebagai pemain sayap, lincah dan mereka juga berasal dari bandar yang sama iaitu Belfast.

Tambah menarik, bakat dan potensi besar yang dimiliki Whiteside berjaya dihidu Bob Bishop, individu sama yang berjaya mengetengahkan Best hinggakan warga Ireland Utara itu muncul bintang paling sensasi di Old Trafford ketika era kegemilangannya sebagai pemain. Melihat kepada berbagai persamaan yang dimiliki Whiteside dan legenda `nombor 7’ United itu, maka tidak hairanlah mengapa para Stretford Enders menaruh harapan tinggi agar beliau mampu mengikut jejak Best suatu hari nanti.

Kontrak Dari United

Sebelum menyertai United, bakat Whiteside sebenarnya pernah menarik perhatian Jim Rodgers yang juga merupakan pencari bakat bagi Ipswich Town. Bagaimanapun cadangan Rodgers agar Whiteside diberikan peluang untuk melakukan sesi trial bersama Ipswich ditolak Bobby Robson (pengurus Ipswich ketika itu) kerana usianya yang baru mencecah 13 tahun.

Ditolak Bobby Robson bukanlah pengakhiran kepada cita-cita Whiteside untuk menjadi pemain bolasepak profesional kerana peluang ini kemudiannya dimanfaatkan oleh Bishop yang menawarkan kepada beliau satu sesi trial bersama United. “Saya berusia 13 tahun ketika itu dan bergegas ke Old Trafford untuk menemui Sir Matt Busby dan Jimmy Murphy”, imbas Whiteside.

“Sir Matt kemudiannya datang memeluk saya dan berkata, kami akan menjaga kamu, nikmati sahaja waktu-waktu kamu di Manchester United” kata Whiteside lagi. Menyedari potensi besar dimiliki anak muda ini, pihak pengurusan United kemudiannya menawarkan kontrak selama setahun sebagai pemain remaja dan tiga tahun sebagai pemain profesional kepada beliau.

Dari seorang pemain muda yang cuma beraksi untuk skuad remaja United, beliau kemudiannya diberikan peluang `melompat’ ke skuad utama pada usia hanya 17 tahun tanpa perlu beraksi bersama skuad simpanan terlebih dahulu. “Norman luar biasa. Orang mengatakan dia sangat kompetitif tapi saya inginkan katakan kepada anda bahawa dia memiliki `otak bolasepak’ yang fenomenal”, kata Atkinson.

Sensasi Baharu

Perjalanan karier Whiteside di peringkat awal bersama United memang sensasi, tetapi beliau bagaimanapun terpaksa berdepan isu yang boleh membunuh karier mana-mana pemain muda sepertinya iaitu masalah kecederaan. Pada Julai 1981, beliau terpaksa menjalani pembedahan lutut yang memaksanya berehat selama enam bulan. Selepas pulih sepenuhnya, kesempatan untuk beraksi bersama skuad utama hadir pada April 1982 apabila beliau diturunkan selama 12 minit ketika aksi liga menentang Brighton.

Meskipun cuma beraksi selama 12 minit, perlawanan ini sangat istimewa buat Whiteside kerana beliau muncul pemain termuda United yang melakukan debut selepas Duncan Edward pada 1953. Mengimbas akan momen tersebut, beliau berkata. “Sebuah momen hebat bagi budak berusia 16 tahun. Saya tahu itu adalah pencapaian yang istimewa kerana tidak banyak peman berusia 16 tahun yang berpeluang bermain untuk United”. Akhirnya pada usia 17 tahun, barulah beliau menandatangani kontrak profesionalnya bersama United.

Pada minggu terakhir kempen Liga Inggeris musim 1981/82, atau lebih tepatnya selepas lapan hari Whiteside merayakan ulang tahun ke17-nya, beliau diturunkan dalam kesebelasan utama United ketika mereka berdepan Stoke City. United menewaskan Stoke (2-0) dalam perlawanan itu, dan beliau pula menjaringkan satu gol pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama The Red Devils. Dua penampilan liga, 102 minit permainan dan satu gol yang dijaringkannya adalah isyarat jelas daripada beliau bahawa penyokong-penyokong United bakal menyaksikan kelahiran bintang baharu di Old Trafford.

Sensasi yang dicetuskan Whiteside di Old Trafford menarik minat Billy Bingham yang juga merupakan pengendali skuad kebangsaan Ireland Utara untuk menyenaraikan namanya bersama 21 lagi pemain ke kempen pusingan akhir Piala Dunia 1982. Sebagai pemain yang masih mentah, keputusan Bingham membawa Whiteside ke Sepanyol mengejutkan ramai pihak. Dan tambah mengejutkan apabila Bingham turut menurunkan Whiteside dalam kesebelasan utama skuadnya pada semua aksi Ireland Utara dalam kempen Piala Dunia mereka ketika itu.

Whiteside tidak menjaringkan sebarang gol dalam kempen Piala Dunia bersama skuad kebangsaan, tetapi peluang beraksi menentang pemain-pemain hebat seperti Michel Platini, Jean Tigana dan Juanito adalah pengalaman paling berharga buat pemain muda sepertinya. Di bumi Sepanyol, beliau gagal membantu Ireland Utara mara ke pusingan kalah mati, tetapi pada usia 17 tahun dan 41 hari, Whiteside meninggalkan tanah matador itu dengan rekod selaku pemain termuda pernah beraksi di pusingan akhir Piala Dunia.

Kembali Ke Old Trafford

Piala Dunia 1982 sebenarnya memberikan kesan yang sangat signifikan kepada perkembangan karier Whiteside. Selepas kembali semula ke Old Trafford, beliau berjaya meletakkan namanya selaku antara pemain utama dalam skuad Atkinson. Bersama Frank Stapleton, Whiteside berjaya membentuk gandingan digeruni di barisan hadapan United. Sepanjang musim, beliau berjaya menjaringkan 14 gol dalam semua peringkat kejohanan dan cuma terlepas tiga aksi dari 60 keseluruhan perlawanan membabitkan United.

Penampilan cemerlang Whiteside sepanjang musim 1982/83 antara faktor mengapa United mampu mara di dua pentas final (Piala Liga dan Piala FA) musim tersebut. Walaupun tewas kepada Liverpool di final Piala Liga, United menamatkan musim 1982/83 menerusi kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA dengan Whiteside pula muncul pemain termuda yang menjaringkan gol di pentas final dua kejohanan tersebut. Prestasi terpuji yang ditampilkan Whiteside akhirnya menarik minat AC Milan untuk membawa beliau beraksi di Itali.

Laporan ketika itu menyebut bahawa gergasi Itali itu menawarkan wang sebanyak £1.5 juta kepada United bagi mendapatkan tandatangan Whiteside. Bagaimanapun tawaran tersebut ditolak United selain Whiteside sendiri memilih untuk terus kekal beraksi di Old Trafford. Musim 1983/84 menyaksikan perubahan besar dalam karier beliau apabila posisinya sebagai penyerang dipindahkan ke bahagian sayap oleh Atkinson. Kehadiran Garth Crook dan Mark Hughes menyebabkan Atkinson tiada pilihan lain selain menolak posisi Whiteside ke sebelah sisi.

Meskipun tindakan itu dikritik ramai pihak, namun Atkinson bertegas dengan keputusan yang diambil beliau. Walaupun posisinya sudah dialih dari penyerang ke sebelah sisi, produktiviti Whiteside dalam menghasilkan gol tidak terjejas. Musim 1983/84, beliau berada di kedudukan ketiga selaku penjaring terbanyak untuk United menerusi 12 gol yang dihasilkannya di belakang Frank Stapleton dan Bryan Robson. United bagaimanapun menamatkan musim tersebut tanpa sebarang kejuaraan.

Musim 1984/85

Musim 1984/85 adalah musim yang sukar dalam karier Whiteside. Sehingga bulan Februari 1985, Atkinson hanya menurunkan beliau dalam kesebelasan utamanya sebanyak lapan kali. Kesukaran Whiteside merebut tempat dalam kesebelasan utama United sebenarnya berpunca dari keputusan kelab mendapatkan khidmat Alan Brazil serta konsistensi yang dipamerkan Mark Hughes di barisan hadapan.

Bagaimanapun peluang akhirnya datang juga apabila Remi Moses mengalami kecederaan dan Whiteside kembali mendapat tempatnya dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap. Kali ini bukan Frank Stapleton atau Mark Hughes yang dijadikan rakan gandingannya, sebaliknya Atkinson mengarah Whiteside bermain bersama Bryan Robson di bahagian tengah.

Gandingan beliau bersama Robson menjadikan bahagian tengah United semakin solid. Akhirnya selepas berdepan detik sukar hampir separuh musim, musim 1984/85 pastinya akan dikenang Whiteside sepanjang hidupnya. Hatrik yang diledak beliau ke gawang West Ham merupakan satu-satunya hatrik dari beliau sepanjang kariernya sebagai pemain, juga jaringan beliau ke gawang Everton yang memberikan United kejuaraan Piala FA kedua dalam tempoh tiga tahun.

Final Piala FA

United berjaya melangkah ke pentas final buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun. Jika pada edisi 1983, United tampak mudah menakluk pentas final, tetapi kali ini kesebelasan yang mereka hadapi bukanlah calang-calang pasukan. Yang menanti mereka pada pertarungan akhir di Wembley nanti ialah Everton, kesebelasan hampir sempurna yang baru sahaja dinobatkan selaku juara liga dan Cup Winners Cup. Secara tepatnya berbekalkan prestasi semasa dan pemain yang mereka miliki, Everton adalah pasukan yang jauh lebih unggul di pentas final berbanding United.

Howard Kendall ketika itu memiliki skuad yang seimbang hampir disemua posisi. Di barisan hadapan beliau memiliki Andy Gray yang sangat prolifik bersama Graeme Sharp yang merupakan rakan gandingannya. Di bahagian tengah, Everton sangat solid menerusi kombinasi Peter Reid, Trevor Steven, Paul Bracewell dan Kevin Sheedy. Manakala ketenangan Kevin Ratcliffe mengawal benteng tengah sambil dibantu Pat Van Den Hauwe, Gary Stevens dan Derek Mountfield menjadikan gawang Neville Souhtall sukar ditembusi.

Secara peribadi ketika itu, saya bukanlah penyokong mana-mana kelab Inggeris kerana pada usia yang terlalu mentah (kanak-kanak), saya agak naif tentang bolasepak. Untuk aksi final itu pula, saya memilih United atas kapasiti mereka sebagai pasukan underdog. Memang ketika itu saya sebenarnya agak cenderung memilih pasukan underdog (hingga sekarang pun masih begitu kecuali perlawanan membabitkan United) setiap kali menonton perlawanan-perlawanan bolasepak di kaca televisyen.

Selepas terikat 0-0 sepanjang tempoh 90 minit permainan, perlawanan akhir itu dilanjutkan hingga kemasa tambahan. Akhirnya diminit ke-110 berlakulah keajaiban yang ditunggu-tunggu. Masih jelas diingatan bagaimana Whiteside yang menerima hantaran dari Mark Hughes di sebelah kanan, melakukan sedikit step over sebelum melepaskan rembatan lencong dari kaki kiri yang menewaskan Neville Southall. Gol itu juga diletakkan dalam senarai antara gol tercantik yang pernah dijaringkan dalam final Piala FA.

Gol itu bukan sahaja istimewa buat Whiteside, tetapi juga sangat istimewa buat diri saya. Gol itu memberikan Whiteside medal kejuaraan keduanya bersama United, tetapi bagi saya pula gol itulah yang mencetuskan minat saya kepada Manchester United. Satu kegembiraan yang tidak terhingga bagi seorang kanak-kanak melihat pasukan yang disokongnya menang. Bermula dari detik itulah saya secara perlahan-lahan mula meminati United walaupun akses untuk menonton aksi-aksi mereka secara langsung ketika itu tidaklah seluas sekarang.

Penutup

Selepas itu, Whiteside semakin matang sebagai pemain seiring peningkatan usianya. Beberapa kali juga di era pengurusan Atkinson beliau diamanahkan memakai armband ketua pasukan sekaligus meletakkan namanya selaku kapten termuda United sejak Duncan Edwards pada 1958. Selain itu, beliau juga berjaya melakukan 200 penampilan untuk United lantas meletakkan dirinya dalam senarai pemain termuda yang pernah melakukan 200 penampilan dengan jersi merah United.

Dua kejuaraan Piala FA sebenarnya bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan bagi kelab seperti United. Atas sebab itulah mengapa pihak pengurusan akhirnya memecat Atkinson dan menggantikan beliau dengan Alex Ferguson pada 1986. Yang didambakan penyokong-penyokong United ialah kejuaraan liga yang kali terakhir mereka menangi pada 1967. Di era Fergie, Whiteside kembali bermain sebagai penyerang tetapi prestasinya tidak lagi seperti dulu akibat dari kecederaan lutut yang dialaminya.

Ketika Fergie berusaha membina semula skuad United mengikut acuannya sendiri, beberapa pemain utama seperti Gordon Strachan, Paul McGarth dan Whiteside merasakan saatnya sudah tiba untuk mereka berpindah. Kecederaan adalah faktor utama penurunan prestasi Whiteside, tambahan pula United ketika itu membawa masuk pemain yang lebih segar seperti Brian McClair dan Peter Davenport hingga menyebabkan beliau terpaksa beraksi semula di bahagian tengah selain pernah `hilang’ selama setahun akibat kecederaan.

Pada musim panas 1988, Whiteside nyaris menyertai Portland Timbers yang berpangkalan di Amerika Syarikat, namun malangnya perpindahan beliau tertunda kerana masalah kecederaan yang dialaminya. Beliau kekal di Old Trafford tetapi sepanjang musim 1988/89, Whiteside hanya tampil enam perlawanan untuk United. Kembalinya Mark Hughes dari Barcelona menutup sama sekali peluangnya untuk bermain di barisan hadapan, manakala kehadiran Neil Webb dan Paul Ince menjadikan zon tengah skuad Fergie semakin sesak.

Whiteside akhirnya menyertai Everton pada musim panas 1989 menerusi nilai perpindahan sebanyak £600 ribu. Di Goodison Park, situasinya masih tetap tidak berubah kerana masalah kecederaan masih menghantui Whiteside. Tiada pilihan lain kerana beliau nampaknya terpaksa kembali ke meja pembedahan. Bagaimanapun selepas itu beliau tidak lagi mampu merebut tempatnya dalam skuad utama Everton dan selepas musim 1990/91 berakhir, Whiteside mengumumkan persaraannya pada usia 26 tahun.

Apa yang berlaku kepada Whiteside sebenarnya mirip kepada perjalanan karier George Best. Kedua-duanya terpaksa bersara pada usia yang masih muda, cuma yang membezakan ialah karier Best hancur disebabkan ketagihan beliau kepada alkohol. Whiteside mungkin bukan pemain yang hebat untuk diingati berbanding legenda-legenda United yang lain seperti Sir Bobby Charlton, George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham, Roy Keane, Wayne Rooney atau Ryan Giggs. Tetapi nama Norman Whiteside tetap istimewa dan akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya sebagai penyokong United.

Kerana jaringan cantiknya ke gawang Everton itulah saya mula mengenali dan meminati United. Dan kerana jaringan itu jugalah impian Everton (yang sebelumnya sudahpun menjulang kejuaraan liga dan Cup Winners Cup) menamatkan musim 1984/85 dengan kejuaraan treble musnah. Sejak itu juga pemain-pemain handalan silih berganti datang dan pergi meninggalkan kelab, tetapi tetap ada satu nama yang kekal istimewa di dalam ingatan saya. Beliau tentunya Norman Whiteside, pencetus kepada cinta saya terhadap Manchester United dari zaman kanak-kanak hinggalah sekarang. Glory Glory Manchester United!!!

#covid19
#stayathome

15 Mac 2020

IMPAK FERNANDES KEPADA PENINGKATAN PRESTASI UNITED



Manchester United membayar secara tunai wang sebanyak £47 juta kepada Sporting Lisbon ketika mereka menandatangani Bruno Fernandes pada Januari lalu. Ditambah dengan beberapa klausa dan terma dalam kontrak beliau, nilai Fernandes boleh mencecah hingga £67 juta, lantas mencetuskan sedikit polemik kerana harga yang dibayar United itu dilihat agak tinggi bagi seorang pemain yang baru menyinar untuk sebuah kelab seperti Sporting Lisbon.

Di pihak Fernandes sendiri, beban yang cukup berat terpikul di bahu beliau kerana tanda harga yang diletakkan bekas kelabnya selain tekanan tinggi beraksi untuk kesebelasan seperti Manchester United. Ketika kreativiti dibahagian tengah sering dijadikan sasaran kritikan, United terpaksa melakukan maneuver dalam bursa perpindahan pemain pertengahan musim dengan menandatangani Fernandes sebagai jalan penyelesaian kepada masalah mereka.

Di Primeira Liga, Fernandes memang superior menerusi kemampuan beliau mencipta peluang kepada rakan sepasukan dan menjaringkan gol. Tetapi di Liga Perdana, adakah beliau mampu melakukan hal serupa sepertimana beliau lakukan ketika menyarung jersi Sporting Lisbon? Itulah kebimbangan awal yang berlegar di fikiran saya sebaik sahaja United memuktamadkan perjanjian dengan Sporting Lisbon bagi mendapatkan khidmat pemain tengah antarabangsa Portugal itu.

Bagaimanapun kebimbangan saya tentang kemampuan Fernandes beradaptasi dalam budaya bolasepak Inggeris atau lebih tepatnya gaya permainan United akhir reda selepas melihat enam aksi liga beliau setakat ini. Penampilan pertamanya untuk United ketika berdepan Wolverhampton merupakan proses adaptasi, dan selepas itu Fernandes membuktikan kepada kita mengapa kelab sanggup melaburkan sehingga £67 juta bagi mendapatkan tandatangannya.

Jangan ditanya soal kualiti kerana sejak kedatangannya, Fernandes sudah terlibat dalam penghasilan lima dari 13 gol yang dijaringkan United dalam semua peringkat kejohanan. Kemampuan beliau untuk beradaptasi dengan cepat bersama kelab baharu juga menunjukkan kekuatan mental Fernandes. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada corak serangan United yang lebih fluid terutamanya di zon final third lawan sejak ketibaan beliau di Old Trafford.

Menyentuh tentang hal tersebut, Solskjaer berkata,”Dia memberikan kesan sejak hari pertama dan minit pertama kehadirannya. Pada sesi latihan pertama, dia sering meminta bola. Ada beberapa pemain baharu yang perlukan sesi pemanasan, tetapi keyakinan diri Bruno cukup tinggi. Dia adalah pemain tengah box to box, mirip Veron dan Scholes. Sekarang kami sudah mendapatkan pemain nombor 10. Semoga dia terus bermain dengan baik dan kekal cergas”.

Perbandingan yang dilakukan Solskjaer memang ada asasnya kerana Scholes dan Veron memiliki gaya permainan hampir sama. Mereka berdua bijak menguasai bahagian tengah selain berkemampuan bergerak di barisan hadapan. Paling penting kedua-duanya juga memiliki sentuhan magis yang mampu mengubah tempo permainan ketika bola berada di kaki mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa Veron pernah diberikan gelaran `La Brujita’ (Si Penyihir Kecil) ketika zaman kemuncaknya sebagai pemain.

Bagaimanapun jika diberikan pilihan, saya lebih memilih agar Fernandes mampu mengikut jejak Scholes berbanding Veron. Berbanding Veron, Scholes memberikan impak yang bukan sedikit kepada United sepanjang penglibatan beliau dalam jersi merah The Red Devils. Veron bukanlah pemain yang teruk, cuma nasib beliau tidak begitu baik ketika bersama United terutamanya melibatkan perancangan taktikal dan peranan beliau dalam kesebelasan Fergie.

Berbanding Veron, nasib Fernandes mungkin tidak akan seburuk bekas bintang antarabangsa Argentina itu. Jika Fergie kebingungan untuk memilih posisi dan peranan terbaik yang boleh dimainkan Veron, Solskjaer pula tidak sebegitu kerana beliau tahu bahawa Fernandes adalah pusat kepada gerakan-gerakan serangan United ketika ini. Berbanding Veron yang bermain ketika era United memiliki ramai pemain tengah kreatif, Fernandes pula adalah playmaker kepada kesebelasan Solskjaer.

Selain itu, salah satu punca utama kegagalan Veron di Old Trafford ialah masalah bahasa. Gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik menyebabkan Veron sukar berkomunikasi dengan rakan sepasukan sama ada di atas padang mahupun ketika di bilik persalinan. Berbanding wataknya ketika bersama skuad kebangsaan, di bilik persalinan United pula Veron dilihat agak pendiam hinggakan beliau pernah dilabel sebagai seorang individu yang anti sosial.

Bagaimana pula dengan Fernandes? Berbanding Veron, Fernandes pula seorang pemain yang vokal. Pengalaman serta karakter beliau sebagai kapten Sporting Lisbon dibawanya ke Old Trafford. Pada penampilan pertama beliau untuk United, Fernandes sudah menunjukkan ciri-ciri tersebut. Meskipun merupakan pemain baharu, Fernandes tidak kekok untuk memberikan arahan atau menegur kesilapan yang dilakukan oleh rakan-rakan sepasukannya ketika di atas padang.

Apa yang paling penting ialah sejak ketibaannya di Old Trafford, bahagian tengah United sudah `kembali berfungsi’. Gandingan beliau bersama Fred menjadikan jentera tengah lebih kompak menerusi chemistry yang berjaya dibentuk oleh dua midfielder ini. Sejak kehadirannya juga, United tidak pernah kalah, jadi tidak hairanlah mengapa ramai pihak mengatakan bahawa Fernandes sudah memberikan impak yang sangat besar kepada kesebelasan The Red Devils.

Kehadiran Fernandes bukan sahaja berjaya memberikan impak kepada jentera tengah United tetapi Anthony Martial turut menerima tempiasnya. Kehadiran seorang pemain tengah kreatif yang mampu memberikan hantaran-hantaran berkualiti menjadikan Martial lebih tajam dalam menyudahkan peluang. Permainan Martial kini tampak lebih `hidup’ terutamanya dalam mengeksploitasi ruang di belakang pertahanan lawan.

Sejak kehadiran Fernandes, Martial sudah menjaringkan empat gol dari tujuh perlawanan, jadi buat masa ini Solskjaer tidak perlu gusar menanti bilakah agaknya Marcus Rashford akan kembali dalam kesebelasan utama beliau. Apa yang menakjubkan tentang Fernandes bukan sekadar impak yang beliau berikan kepada corak permainan United, tetapi turut membabitkan pemain-pemain disekelilingnya kerana anda boleh melihat bagaimana United bermain ketika ini.

Martial adalah contoh terbaik, bagaimana beliau mampu bangkit selepas berdepan kritikan demi kritikan berkaitan isu ketajaman penyudahnya sepanjang tempoh ketiadaan Marcus Rashford. Bukan hanya Martial, malah Nemanja Matic yang sebelumnya seperti sudah tiada masa depan bersama kelab secara tiba-tiba kini kelihatan pemain yang sangat berbeza. Fred pula bertambah bagus dari satu perlawanan ke satu perlawanan, malah gandingan beliau bersama Fernandes tampak begitu solid selaku penggerak jentera tengah United.

Pembelian Fernandes satu langkah yang cukup tepat dilakukan United tatkala kreativiti mereka ketika melakukan gerakan sering dijadikan sasaran kritikan. Kadangkala sesebuah pasukan perlukan hanya seorang pemain untuk mengubah cara permainan mereka. Mungkin satu-satunya kekesalan ialah apabila memikirkan mengapa Fernandes tidak ditandatangani lebih awal ketika pemain itu sudah berada dalam radar buruan United sepanjang bursa perpindahan pemain musim panas tahun lalu? Glory Glory Manchester United!!!

09 Mac 2020

BILA MANCHESTER BERWARNA MERAH



Sejak kekalahan mengaibkan kepada Burnley pada 23 Januari lalu, Manchester United sudah mengharungi sepuluh perlawanan dalam semua peringkat kejohanan tanpa kalah. Dari jumlah tersebut, mereka mencatatkan tujuh kemenangan dan tiga keputusan seri. Sudah tentu kemenangan paling indah dari sepuluh aksi terakhir United ini ialah saat mereka membenam `jiran yang bising’ di Old Trafford awal pagi tadi. Kemenangan 2-0 yang dilakarkan United ke atas skuad kendalian Pep Guardiola ini melengkapkan kemenangan back to back pertama mereka ke atas City dalam tempoh sepuluh tahun.

Untuk rekod, kemenangan back to back terakhir yang dilakukan United ke atas City ialah pada musim 2009/10. Kemenangan yang di lakar United ke atas City ini juga merupakan kemenangan pertama mereka ke atas skuad The Citizens di Old Trafford sejak 2015. Tiga mata penuh ini saya anggap sangat penting dalam misi United menyalakan hasrat mereka untuk kembali bersaing di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Selepas mengharungi 28 perlawanan, United cuma ketinggalan tiga mata di belakang Chelsea selaku pasukan yang berada di tangga keempat liga.

Mungkin belajar dari kesilapan yang berlaku di Goodison Park minggu lalu, Ole Gunnar Solskjaer kembali menggunakan formasi 3-4-1-2 dengan meletakkan Luke Shaw di sebelah kiri dalam barisan tiga pemain pertahanannya. Jika anda lihat dari sudut keputusan akhir perlawanan di scoreboard serta peluang-peluang yang berjaya dicipta United, anda boleh labelkan ia sebagai antara aksi terbaik barisan The Red Devils musim ini. Bagaimanapun jika dilihat dari skop yang lebih luas, ini bukanlah aksi derby yang terlalu sengit.

Keputusan meletakkan tiga pemain pertahanan di belakang menyebabkan United berdepan kesukaran melakukan build up. Jadi tidak hairanlah mengapa kebanyakkan gerakan-gerakan yang cuba dilakukan mereka berjaya dipatahkan lawan. Di sisi berlawanan, City pula tampil lebih dominan apabila pada babak pertama mereka menguasai 69% penguasaan bola. Di babak kedua, peratus penguasaan bola yang dilakukan City meningkat kepada 71%, sekaligus menunjukkan betapa dominannya penampilan mereka sepanjang 90 minit perlawanan.

Bagaimanapun menguasai peratus penguasaan bola tidak bermakna bahawa City mampu menebus semula kekalahan (1-2) mereka kepada United di Etihad pada 8 Disember tahun lalu. Peratus penguasaan bola yang begitu tinggi gagal diterjemahkan kepada jaringan gol kerana transisi mereka dari bertahan kepada menyerang yang tidak begitu lancar. Mereka kelihatan agak buntu setiap kali berjaya memasuki zon final third United. Untuk itu kredit wajar diberikan kepada Solskjaer kerana keputusan beliau meletakkan tiga pemain pertahanan (yang boleh berubah kepada lima) dalam situasi bertahan.

Koordinasi barisan pertahanan United menyukarkan City ketika mereka cuba menyerang, mungkin juga faktor ini turut dibantu ketiadaan Kevin de Bruyne selaku arkitek kepada setiap gerakan mereka selama ini. Meskipun Guardiola memiliki sosok pemain seperti Bernardo Silva, tetapi perlu diakui bahawa de Bruyne lebih unggul dalam tugasnya mencipta peluang kepada rakan-rakan di barisan hadapan. Kebergantungan City kepada Raheem Sterling juga menyaksikan gerakan-gerakan mereka lebih banyak tertumpu di sisi kiri.

Kurangnya bantuan dari Oleksandr Zinchenko, manakala setiap pergerakannya pula sentiasa dibayangi Aaron Wan-Bissaka, jadi tidak banyak ancaman yang mampu diberikan Sterling kepada benteng pertahanan United. Menyedari tumpulnya kreativiti skuadnya ketika melakukan gerakan, Guardiola melakukan perubahan dengan memasukkan Riyadh Mahrez diminit ke-59. Tujuan Guardiola hanya satu, iaitu mengubah kecenderungan City melakukan gerakan dari sisi kiri kepada sisi kanan.

Bagaimanapun perubahan yang cuba dilakukan Guardiola dengan memasukkan Mahrez tetap gagal memberikan impak yang signifikan dalam perlawanan ini. Sehingga minit ke-68, City cuma mampu melepaskan dua percubaan kearah gawang United. Untuk itu, sekali lagi kredit wajar diberikan kepada benteng pertahanan United yang sangat berdisiplin ketika mereka menyerap setiap gerakan yang cuba dilakukan lawan terutamanya menerusi Raheem Sterling dan Sergio Aguero. Hasilnya David de Gea menamatkan aksi Manchester Derby ini dengan catatan clean sheet.

City memang tampil dominan, terutamanya dari segi penguasaan bola sepanjang perlawanan. Bagaimanapun mereka buntu untuk menterjemahkan peratusan penguasaan bola yang sangat tinggi itu kepada jaringan gol. Barisan hadapan hilang kreativiti manakala benteng pertahanan pula gagal menghalang United dari membocori pintu gol mereka. Mujurlah Daniel James agak gopoh beberapa kali ketika peluang terhidang, kerana jika tidak keputusan di scoreboard mungkin akan menunjukkan angka berbeza.

Agak mengejutkan melihat penampilan Ederson sepanjang perlawanan ini. Kesilapan mudah yang dilakukannya di babak kedua hampir sahaja menyebabkan Anthony Martial mampu menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini. Begitu juga kesilapan yang dilakukannya di penghujung perlawanan hingga membolehkan Scott McTominay menjaringkan gol kedua United. Akhirnya kekalahan ini menyaksikan City sudah tewas tujuh kali dalam saingan liga, juga jumlah kekalahan terbesar yang dialami Guardiola di peringkat liga dalam karier pengurusan beliau.

Musim ini saya boleh menganggap merupakan musim terburuk Guardiola sejak beliau mengendalikan City.  Selaku juara bertahan, tujuh kekalahan yang dialami mereka setakat ini satu isyarat bahawa prestasi mereka menurun secara drastik berbanding dua musim terakhir. Meskipun baru sahaja dinobatkan selaku juara Piala Liga, Guardiola wajib mengemudi barisan pemainnya mara ke Istanbul dan menjulang trofi Liga Juara-Juara di sana buat pertama kali dalam sejarah kelab bagi menyelamatkan musim mereka.

Kemenangan ke atas `jiran yang bising’ ini bukan sahaja menggembirakan penyokong-penyokong United, tetapi turut membuka ruang yang sangat luas kepada Liverpool mengesahkan kejuaraan liga mereka lebih awal. Hanya dua kemenangan diperlukan Liverpool untuk membolehkan mereka menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun. Saya sudah tidak peduli bilakah agaknya Jordan Henderson akan menjulang trofi Liga Perdana, kerana buat masa ini saya hanya mahu bergembira meraikan kota Manchester kini kembali berwarna merah. Glory Glory Manchester United!!!