28 Januari 2010

UNITED RAJA MANCHESTER

http://d.yimg.com/a/p/rids/20100127/i/r465199691.jpg
Jaringan Wayne Rooney dimasa kecederaan membawa Manchester United ke perlawanan akhir Piala Carling selepas membenam cabaran jiran setempat Manchester City dengan keputusan 3-1. Kemenangan itu juga menyaksikan United memadamkan kelebihan satu gol milik pelawat selepas mereka tewas 1-2 kepada skuad The Citizens di Eastlands pada 19 Januari lalu. United berjaya melangkah ke Stadium Wembley untuk bertemu Aston Villa dan berpeluang mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi tahun lalu menerusi kemenangan dengan agregat 4-3. Memulakan aksi dengan misi mencari gol awal, United sebaliknya terpaksa bergelut menembusi benteng pelawat. Walaupun mempunyai beberapa peluang terbaik, United gagal menembusi gawang City yang dikawal Shay Given. Peluang terbaik United hadir diminit ke 30 melalui percubaan Ryan Giggs tetapi berjaya ditampan Given. Formasi permainan yang digunakan pelawat dengan meletakkan lima pemain di benteng pertahanan juga menjadi faktor mengapa United begitu sukar mencipta peluang sepanjang separuh masa pertama. Nigel de Jong, Pablo Zabaleta, Micah Richards, Jose Garrido dan Dedryck Boyata beraksi cemerlang sepanjang tempoh 45 minit pertama apabila berjaya menangkis setiap gerakan yang diatur United dan kedudukan kekal terikat 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100127/capt.83bb22b588584cee8b3f21a98997d964.britain_soccer_league_cup_nsh111.jpg
Memasuki babak kedua, United terus mendominasi perlawanan dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan melalui jaringan Paul Scholes diminit ke 52. Gol berpunca dari serang balas pantas dan umpanan Michael Carrick berjaya disudahkan pemain veteran itu untuk United mengikat agregat kepada 2-2. Gol itu seolah-olah menyentap semangat pelawat dan United mengambil kesempatan itu dengan melancarkan asakan bertali arus ke kubu mereka. Akhirnya diminit ke 71, Michael Carrick mengukuhkan kedudukan United apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah. Pemain tengah England itu yang menerima hantaran Darren Fletcher mudah menolak masuk menewaskan Given. Bagaimanapun selang lima minit selepas itu, harapan City untuk terus bersaing kembali menyala apabila Carlos Tevez yang menerima hantaran Craig Bellamy berjaya menanduk masuk untuk kembali mengikat agregat kepada 3-3. Tempo permainan kembali seimbang selepas itu dan perlawanan seolah-olah akan dilanjutkan kemasa tambahan sehinggalah Rooney muncul wira selepas menjaringkan gol ketiga United dimasa kecederaan. Hantaran lambung Ryan Giggs akhirnya berjaya ditanduk masuk penyerang England itu untuk meletakkan United keperlawanan akhir Piala Carling buat musim kedua berturut-turut.

25 Januari 2010

CHIELLINI GANTI VIDIC?

http://www.calciopro.com/wp-content/uploads/2008/12/chiellini.jpg
Giorgio Chiellini

Manchester United diberitakan bersedia melepaskan pemain pertahanan mereka dari Serbia, Nemanja Vidic berhijrah ke Barcelona dan sebagai ganti United akan mendapatkan khidmat Giorgio Chiellini dari kelab Serie A Itali, Juventus. Khabar angin tentang perpindahan Vidic bertiup kencang sejak kebelakangan ini dan menurut News of The World, Sir Alex Ferguson bersedia melepaskan tonggak pertahananannya itu berhijrah ke La Liga dengan yuran perpindahan sebanyak 25 juta Euro. Ferguson akan menggunakan setengah dari hasil yuran perpindahan itu untuk membeli Chiellini yang dilabel Ferguson sebagai pengganti paling ideal buat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Vidic. News of the World juga melaporkan bahawa Chellini telah bersedia untuk keluar dari Juventus yang sedang mengalami prestasi tidak menentu dalam saingan Serie A. Vidic merupakan aset berharga di Old Trafford dan United sebenarnya keberatan melepaskan tonggak pertahanan mereka itu pergi. Namun, disebabkan krisis kewangan yang dihadapi United memaksa kelab berpangkalan di Old Trafford itu menjual beberapa pemain tonggak utamanya.

24 Januari 2010

ROONEY 4, HULL CITY 0

Wayne Rooney celebrates scoring his goal for Manchester United
Wayne Rooney muncul wira Manchester United selepas berjaya meledak empat gol ke gawang Hull City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris malam tadi. Kemenangan 4-0 itu turut melonjakkan United ketangga teratas liga dan muncul pasukan pertama meraih 50 mata musim ini. Dengan Chelsea dan Arsenal yang tidak beraksi kerana terlibat dalam kempen Piala FA, United menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk merampas kedudukan teratas dari skuad The Gunners. Sejak wisel permulaan ditiup Steve Bennet, United melancarkan serangan bertali arus kekubu pelawat, dan United tidak perlu menunggu lama apabila berjaya merobek gawang lawan diminit ke 8 melalui Wayne Rooney. Gol berpunca dari rembatan Paul Scholes yang gagal ditangkap kemas Boaz Myhill, bola lantunan itu berjaya disudahkan Rooney di depan gawang terbuka. Selang lima minit kemudian, giliran Park Ji Sung pula mencemaskan benteng pelawat namun rembatannya tidak menemui sasaran. Rio Ferdinand yang diturunkan buat kali pertama selepas berehat panjang akibat kecederaan belakang turut mencipta peluang tetapi kuisannya hasil sepakan sudut Nani sedikit tersasar kesebelah kanan pintu gol. Selepas mendahului, United dilihat menghadapi kesukaran menembusi kubu lawan dengan Rooney dan Michael Owen gagal menemui sasaran biarpun dihidangkan dengan peluang terbuka.

Wayne Rooney of Manchester United scores the first goal
Bersambung dibabak kedua, United terus menguasai perlawanan dengan pelawat dilihat sekali-sekala cuba melancarkan serangan balas pantas. Ji Sung hampir menggandakan kelebihan United diminit ke 67, tetapi dia yang menerima umpanan Nani sekadar melihat rembatannya dari jarak 20 meter berjaya diselamatkan Myhill. Melihat pasukannya buntu menambah gol, Ferguson memasukkan Dimitar Berbatov dan Darron Gibson bagi menggantikan Paul Scholes dan Michael Owen. Perubahan taktikal yang dilakukan Ferguson akhirnya membuahkan hasil apabila Rooney berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya diminit ke 82. Lorongan bijak Gibson berjaya disudahkan Rooney melalui rembatan deras dari sebelah kanan yang gagal diselamatkan sama sekali oleh Myhill. Empat minit kemudian, Rooney merakamkan hatriknya selepas berjaya menanduk masuk hantaran lintang Nani dari sebelah kanan dan penyerang antarabangsa England itu menutup pesta jaringan United melalui gol keempat diminit ke 90. Empat gol yang dihasilkan Rooney meletakkannya selaku penjaring terbanyak setakat ini dengan 20 gol. Prestasi hebat Rooney turut mengundang pujian dari Ferguson dan pengurus berbangsa Scotland itu yakin Rooney akan memecahkan rekod peribadi 23 gol semusimnya sebelum ini.

23 Januari 2010

UNITED KEMBALI DAPATKAN KHIDMAT FERDINAND

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00469/Rio_Ferdinand_469821a.jpg
Sir Alex Ferguson mengatakan tonggak pertahanan tengahnya, Rio Ferdinand sudah pulih sepenuh dari kecederaan belakang dan sedia diturunkan ketika United menanti kunjungan Hull City di Old Trafford malam ini. Kemenangan ke atas skuad Phil Brown akan meletakkan United di kedudukan teratas liga memintas pesaing mereka, Chelsea dan Arsenal. Dengan kembalinya Ferdinand ke dalam pasukan, United dilihat beransur-ansur keluar dari krisis kecederaan benteng pertahanan biarpun Nemanja Vidic dan John O'Shea masih belum mampu beraksi. Kali terakhir Ferdinand beraksi ialah ketika United tewas kepada Liverpool di Anfield, 25 Oktober lalu. Kunjungan Hull City ke Old Trafford malam ini dilihat medan terbaik buat Ferdinand kembali mengetuai benteng pertahanan United dan Ferguson pastinya individu paling lega dengan perkembangan terbaru ini. "Ini adalah dorongan besar kerana posisi pertahanan telah menjadi bahagian paling lemah kami musim ini. Kami kehilangan Ferdinand, Vidic, Brown, Evans, O'Shea, Neville dan Van Der Sar, ia merupakan tempoh yang sukar buat kami. Jadi dengan kembalinya semula mereka ia perkara yang bagus buat pasukan", kata Ferguson.

Dengan Arsenal dan Chelsea beraksi dalam saingan Piala FA minggu ini, anak-anak buah Ferguson perlu mengambil kesempatan untuk meraih tiga mata penuh sekaligus menduduki tangga teratas biarpun buat sementara waktu. Ferguson juga punya pilihan sama ada mahu menurunkan skuad utamanya malam ini atau memberi peluang buat pemain muda memperagakan aksi kerana tiga hari selepas itu mereka akan melayan kunjungan Manchester City dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Carling. Kecergasan Dimitar Berbatov masih menjadi tanda tanya ketika ini akibat kecederaan lutut dan jika bintang Bulgaria itu tidak dapat diturunkan, Ferguson mungkin memberi peluang kepada Michael Owen beraksi bersama Wayne Rooney sebagai penggempur. Ataupun jika Ferguson mahu merehatkan Rooney bagi menghadapi Manchester City pertengahan minggu hadapan, beliau boleh mencuba ketajaman Mame Biram Diouf yang menjaringkan gol pertamanya buat United ketika menentang Burnley minggu lalu. Ferguson dijangka merehatkan Ryan Giggs, Michael Carrick serta Darren Fletcher dan menggunakan Anderson, Paul Scholes, Antonio Valencia dan Park Ji Sung/Gabriel Obertan di bahagian tengah untuk perlawanan ini.

20 Januari 2010

UNITED BELUM MENYERAH

http://i.dailymail.co.uk/i/pix/2009/02/28/article-1158068-01AE331500000578-828_468x492.jpg
Sir Alex Ferguson mengakui dia merasa kecewa dengan keputusan pengadil, Mike Dean yang memberikan sepakan penalti kepada Manchester City ketika pertemuan separuh akhir peringkat pertama Piala Carling awal pagi tadi. Namun Ferguson menegaskan nasib tidak akan menyebelahi City lagi apabila mereka bertandang ke Old Trafford untuk perlawanan peringkat kedua pada 29 Januari ini. Pada perlawanan pagi tadi, United terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ryan Giggs diminit ke 17 tetapi penalti kontroversi yang dihadiahkan Dean disempurnakan Carlos Tevez buat mengikat kedudukan diminit ke 42. Tevez kemudiannya menjaringkan gol kemenangan tuan rumah melalui tandukan diminit ke 65 untuk memastikan City memiliki kelebihan satu gol untuk dibawa ke Old Trafford nanti. Dean menghadiahkan sepakan penalti kepada City kerana mendakwa Rafael da Silva melakukan kekasaran ke atas Craig Bellamy. Rakaman kemudiannya menunjukkan kekasaran sebenarnya berlaku diluar kotak penalti sebelum Bellamy terjatuh. "Saya tidak akan mengulas mengenai penalti itu. Setiap orang di sini melihat insiden itu dan keputusan sebenarnya tidak memihak kepada kami malam ini", kata Ferguson.

Selain itu, Ferguson menganggap gol yang dihasilkan Tevez adalah perkara biasa dalam bolasepak dan dia tidak menyesal kerana melepaskan penyerang Argentina itu berhijrah ke Eastlands. "Bolasepak memang seperti itu. Kami memiliki ramai pemain yang meninggalkan kelab dan kemudiannya menjaringkan gol ke gawang kami, jadi itu bukanlah masalah. Saya gembira dengan pemain yang saya miliki sekarang", tambah Ferguson lagi. Ferguson yakin pasukannya mampu memadamkan kelebihan satu gol lawan apabila mereka melayani kunjungan City untuk perlawanan peringkat kedua nanti. Keyakinan Ferguson berasaskan kepada persembahan pasukannya pagi tadi. United ternyata menguasai permainan dan memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol namun nasib sebenarnya tidak menyebelahi mereka. Ferguson berkata, "Saya fikir kami menguasai sebahagian besar permainan. Dalam tempoh 30 minit pertama kami benar-benar menguasai mereka dan itu tidak perlu diragui. Tetapi kegilaan beberapa minit sebelum waktu rehat meletakkan semula City kedalam saingan". Menjelang perlawanan peringkat kedua nanti United hanya memerlukan kemenangan 1-0 untuk layak ke perlawanan akhir melalui peraturan gol di tempat lawan.

19 Januari 2010

GIGGS DAN BERBATOV BELUM PASTI DITURUNKAN

http://itn.co.uk/story019535f033eddfa925e48541629539a5.jpg
Sir Alex Ferguson masih belum pasti sama ada dapat menggunakan khidmat Ryan Giggs dan Dimitar Berbatov menjelang pertembungan separuh akhir pertama Piala Carling menentang jiran setempat mereka, Manchester City di Eastlands awal pagi esok. Berbatov yang menjaringkan gol pembukaan ketika United mencatat kemenangan ke atas Burnley dalam kempen liga Sabtu lalu mengalami kecederaan lutut dan terpaksa dikeluarkan dipenghujung separuh masa kedua. "Berbatov mengalami kecederaan dilututnya dan kami masih memantau perkembangannya. Saya berharap kecederaannya tidak serius", kata Ferguson. Sementara itu kecergasan bintang veteran United, Ryan Giggs juga masih diragui. Giggs tidak diturunkan ketika menentang Burnley Sabtu lalu dan Ferguson berharap ia akan memberikan ruang buat Giggs memulihkan kecergasannya. Sentuhan pemain veteran itu amat diharapkan Ferguson dalam perlawanan ini dan kehadiran Giggs pastinya akan memberikan lebih variasi buat United ketika melancarkan gerakan ke kubu lawan.

Sementara itu, Ferguson mengakui Manchester City muncul antara pencabar utama United ketika ini. Dengan limpahan kemewahan yang diberikan oleh pemilik mereka, Abu Dhabi United Group, City muncul pasukan yang berbelanja paling mewah musim ini dan mereka berjaya mendapatkan beberapa bintang terkemuka untuk memperkuatkan pasukan. "Anda harus menyedari mereka adalah antara pencabar utama sekarang. Mereka menunggu sejak sekian lama untuk muncul antara kelab terbesar dan kini mereka jauh lebih baik dari sebelumnya", kata Ferguson. "Anda tidak boleh membandingkan United dan City sepertimana Rangers dan Celtic di Scotland tetapi dengan adanya pencabar utama dalam kota yang sama, ia pastinya mencetuskan banyak emosi", tambah Ferguson lagi. Pertembungan separuh akhir Piala Carling antara jiran setempat ini dijangka sengit dengan City pastinya mahu menebus kehampaan mereka selepas tewas hasil jaringan lewat Michael Owen dalam kempen liga di Old Trafford, September lalu.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van Der Sar, Jonny Evans, Wes Brown, Patrice Evra, Rafael da Silva, Ryan Giggs, Luis Antonio Valencia, Anderson, Michael Carrick, Darron Gibson dan Wayne Rooney.

18 Januari 2010

PENYOKONG UNITED DAN LIVERPOOL BERSATU

http://redlog.pl/wp-content/gallery/2009-cl-rome-final-fc-barcelona-manchester-united/cl-final-rome-fc-barcelona-manchester-united-22.jpg
Penyokong Manchester United dan Liverpool memang terkenal saling bermusuhan sejak sekian lama tetapi tidak ketika ini. Kehadiran keluarga Glazer di Old Trafford dan Tom Hicks serta George Gillete di Anfield membuatkan penyokong dari kedua-dua kelab bersatu menentang ahli perniagaan dari Amerika Syarikat itu. Ternyata keluarga Glazer serta gabungan Hicks dan Gillete datang bukan hanya sekadar mahu menaikkan harga tiket malah membuatkan situasi kedua-dua kelab tidak menentu ketika ini. United dan Liverpool dibelenggu krisis kewangan yang serius sejak diambilalih oleh ahli perniagaan Amerika Syarikat itu. United misalnya mengalami beban hutang sekitar 700 juta Pound selepas keluarga Glazer membuat pinjaman kewangan untuk mengambilalih kelab berpangkalan di Old Trafford itu pada tahun 2005. Diberitakan bahawa padang latihan United di Carrington mungkin akan dijual untuk membolehkan Glazer melunaskan hutangnya, malah apa yang lebih memeranjatkan lagi ialah kemungkinan Stadium Old Trafford juga akan mengalami nasib yang sama. Menurut Anti Glazer United Fans, mereka telah bersatu dengan seteru mereka di Anfield menentang ahli perniagaan Amerika Syarikat yang memiliki kedua-dua kelab tersebut.

Penyokong-penyokong United telah menyaksikan bagaimana Liverpool terjerumus ke dalam bencana kewangan setelah beberapa tahun dikuasai oleh Hicks dan Gillete dan perkara yang sama akhirnya berlaku di Old Trafford. Akhirnya penyokong dari kedua-dua kelab yang dulunya bermusuhan kini disatukan oleh keadaan. "Kami ingin meraih gelaran ke 19 dan mengatasi pencapaian Liverpool", kata Mark Longden, Pengerusi Independent Manchester United Supporter Association. "Kini kami tertanya-tanya adakah United punya kesempatan untuk meraih gelaran ke 20 liga disebabkan beban hutang yang terpaksa ditanggung kelab dan kesukaran untuk membeli pemain baru", tambah Longden lagi. United dan Liverpool adalah kelab paling berjaya di England tetapi kedua-duanya kini berhadapan dengan masalah kewangan serius dan apa yang menghairankan pihak kerajaan seolah-olah membiarkan perkara ini terus berlaku. "Semua ini berlaku di depan mata mereka. Kita tahu bagaimana Menteri Sukan, Richard Carbon menerima keluarga Glazer di pejabatnya. Mereka datang bukan sekadar mahu menaikkan harga tiket tetapi turut membawa kelab ke arah kemusnahan", ujar Longden.