24 Januari 2010

ROONEY 4, HULL CITY 0

Wayne Rooney celebrates scoring his goal for Manchester United
Wayne Rooney muncul wira Manchester United selepas berjaya meledak empat gol ke gawang Hull City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris malam tadi. Kemenangan 4-0 itu turut melonjakkan United ketangga teratas liga dan muncul pasukan pertama meraih 50 mata musim ini. Dengan Chelsea dan Arsenal yang tidak beraksi kerana terlibat dalam kempen Piala FA, United menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk merampas kedudukan teratas dari skuad The Gunners. Sejak wisel permulaan ditiup Steve Bennet, United melancarkan serangan bertali arus kekubu pelawat, dan United tidak perlu menunggu lama apabila berjaya merobek gawang lawan diminit ke 8 melalui Wayne Rooney. Gol berpunca dari rembatan Paul Scholes yang gagal ditangkap kemas Boaz Myhill, bola lantunan itu berjaya disudahkan Rooney di depan gawang terbuka. Selang lima minit kemudian, giliran Park Ji Sung pula mencemaskan benteng pelawat namun rembatannya tidak menemui sasaran. Rio Ferdinand yang diturunkan buat kali pertama selepas berehat panjang akibat kecederaan belakang turut mencipta peluang tetapi kuisannya hasil sepakan sudut Nani sedikit tersasar kesebelah kanan pintu gol. Selepas mendahului, United dilihat menghadapi kesukaran menembusi kubu lawan dengan Rooney dan Michael Owen gagal menemui sasaran biarpun dihidangkan dengan peluang terbuka.

Wayne Rooney of Manchester United scores the first goal
Bersambung dibabak kedua, United terus menguasai perlawanan dengan pelawat dilihat sekali-sekala cuba melancarkan serangan balas pantas. Ji Sung hampir menggandakan kelebihan United diminit ke 67, tetapi dia yang menerima umpanan Nani sekadar melihat rembatannya dari jarak 20 meter berjaya diselamatkan Myhill. Melihat pasukannya buntu menambah gol, Ferguson memasukkan Dimitar Berbatov dan Darron Gibson bagi menggantikan Paul Scholes dan Michael Owen. Perubahan taktikal yang dilakukan Ferguson akhirnya membuahkan hasil apabila Rooney berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya diminit ke 82. Lorongan bijak Gibson berjaya disudahkan Rooney melalui rembatan deras dari sebelah kanan yang gagal diselamatkan sama sekali oleh Myhill. Empat minit kemudian, Rooney merakamkan hatriknya selepas berjaya menanduk masuk hantaran lintang Nani dari sebelah kanan dan penyerang antarabangsa England itu menutup pesta jaringan United melalui gol keempat diminit ke 90. Empat gol yang dihasilkan Rooney meletakkannya selaku penjaring terbanyak setakat ini dengan 20 gol. Prestasi hebat Rooney turut mengundang pujian dari Ferguson dan pengurus berbangsa Scotland itu yakin Rooney akan memecahkan rekod peribadi 23 gol semusimnya sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan