Sir Alex Ferguson mengakui dia merasa kecewa dengan keputusan pengadil, Mike Dean yang memberikan sepakan penalti kepada Manchester City ketika pertemuan separuh akhir peringkat pertama Piala Carling awal pagi tadi. Namun Ferguson menegaskan nasib tidak akan menyebelahi City lagi apabila mereka bertandang ke Old Trafford untuk perlawanan peringkat kedua pada 29 Januari ini. Pada perlawanan pagi tadi, United terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ryan Giggs diminit ke 17 tetapi penalti kontroversi yang dihadiahkan Dean disempurnakan Carlos Tevez buat mengikat kedudukan diminit ke 42. Tevez kemudiannya menjaringkan gol kemenangan tuan rumah melalui tandukan diminit ke 65 untuk memastikan City memiliki kelebihan satu gol untuk dibawa ke Old Trafford nanti. Dean menghadiahkan sepakan penalti kepada City kerana mendakwa Rafael da Silva melakukan kekasaran ke atas Craig Bellamy. Rakaman kemudiannya menunjukkan kekasaran sebenarnya berlaku diluar kotak penalti sebelum Bellamy terjatuh. "Saya tidak akan mengulas mengenai penalti itu. Setiap orang di sini melihat insiden itu dan keputusan sebenarnya tidak memihak kepada kami malam ini", kata Ferguson.
Selain itu, Ferguson menganggap gol yang dihasilkan Tevez adalah perkara biasa dalam bolasepak dan dia tidak menyesal kerana melepaskan penyerang Argentina itu berhijrah ke Eastlands. "Bolasepak memang seperti itu. Kami memiliki ramai pemain yang meninggalkan kelab dan kemudiannya menjaringkan gol ke gawang kami, jadi itu bukanlah masalah. Saya gembira dengan pemain yang saya miliki sekarang", tambah Ferguson lagi. Ferguson yakin pasukannya mampu memadamkan kelebihan satu gol lawan apabila mereka melayani kunjungan City untuk perlawanan peringkat kedua nanti. Keyakinan Ferguson berasaskan kepada persembahan pasukannya pagi tadi. United ternyata menguasai permainan dan memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol namun nasib sebenarnya tidak menyebelahi mereka. Ferguson berkata, "Saya fikir kami menguasai sebahagian besar permainan. Dalam tempoh 30 minit pertama kami benar-benar menguasai mereka dan itu tidak perlu diragui. Tetapi kegilaan beberapa minit sebelum waktu rehat meletakkan semula City kedalam saingan". Menjelang perlawanan peringkat kedua nanti United hanya memerlukan kemenangan 1-0 untuk layak ke perlawanan akhir melalui peraturan gol di tempat lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan