28 Januari 2010

UNITED RAJA MANCHESTER

http://d.yimg.com/a/p/rids/20100127/i/r465199691.jpg
Jaringan Wayne Rooney dimasa kecederaan membawa Manchester United ke perlawanan akhir Piala Carling selepas membenam cabaran jiran setempat Manchester City dengan keputusan 3-1. Kemenangan itu juga menyaksikan United memadamkan kelebihan satu gol milik pelawat selepas mereka tewas 1-2 kepada skuad The Citizens di Eastlands pada 19 Januari lalu. United berjaya melangkah ke Stadium Wembley untuk bertemu Aston Villa dan berpeluang mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi tahun lalu menerusi kemenangan dengan agregat 4-3. Memulakan aksi dengan misi mencari gol awal, United sebaliknya terpaksa bergelut menembusi benteng pelawat. Walaupun mempunyai beberapa peluang terbaik, United gagal menembusi gawang City yang dikawal Shay Given. Peluang terbaik United hadir diminit ke 30 melalui percubaan Ryan Giggs tetapi berjaya ditampan Given. Formasi permainan yang digunakan pelawat dengan meletakkan lima pemain di benteng pertahanan juga menjadi faktor mengapa United begitu sukar mencipta peluang sepanjang separuh masa pertama. Nigel de Jong, Pablo Zabaleta, Micah Richards, Jose Garrido dan Dedryck Boyata beraksi cemerlang sepanjang tempoh 45 minit pertama apabila berjaya menangkis setiap gerakan yang diatur United dan kedudukan kekal terikat 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100127/capt.83bb22b588584cee8b3f21a98997d964.britain_soccer_league_cup_nsh111.jpg
Memasuki babak kedua, United terus mendominasi perlawanan dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan melalui jaringan Paul Scholes diminit ke 52. Gol berpunca dari serang balas pantas dan umpanan Michael Carrick berjaya disudahkan pemain veteran itu untuk United mengikat agregat kepada 2-2. Gol itu seolah-olah menyentap semangat pelawat dan United mengambil kesempatan itu dengan melancarkan asakan bertali arus ke kubu mereka. Akhirnya diminit ke 71, Michael Carrick mengukuhkan kedudukan United apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah. Pemain tengah England itu yang menerima hantaran Darren Fletcher mudah menolak masuk menewaskan Given. Bagaimanapun selang lima minit selepas itu, harapan City untuk terus bersaing kembali menyala apabila Carlos Tevez yang menerima hantaran Craig Bellamy berjaya menanduk masuk untuk kembali mengikat agregat kepada 3-3. Tempo permainan kembali seimbang selepas itu dan perlawanan seolah-olah akan dilanjutkan kemasa tambahan sehinggalah Rooney muncul wira selepas menjaringkan gol ketiga United dimasa kecederaan. Hantaran lambung Ryan Giggs akhirnya berjaya ditanduk masuk penyerang England itu untuk meletakkan United keperlawanan akhir Piala Carling buat musim kedua berturut-turut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan