23 Januari 2010

UNITED KEMBALI DAPATKAN KHIDMAT FERDINAND

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00469/Rio_Ferdinand_469821a.jpg
Sir Alex Ferguson mengatakan tonggak pertahanan tengahnya, Rio Ferdinand sudah pulih sepenuh dari kecederaan belakang dan sedia diturunkan ketika United menanti kunjungan Hull City di Old Trafford malam ini. Kemenangan ke atas skuad Phil Brown akan meletakkan United di kedudukan teratas liga memintas pesaing mereka, Chelsea dan Arsenal. Dengan kembalinya Ferdinand ke dalam pasukan, United dilihat beransur-ansur keluar dari krisis kecederaan benteng pertahanan biarpun Nemanja Vidic dan John O'Shea masih belum mampu beraksi. Kali terakhir Ferdinand beraksi ialah ketika United tewas kepada Liverpool di Anfield, 25 Oktober lalu. Kunjungan Hull City ke Old Trafford malam ini dilihat medan terbaik buat Ferdinand kembali mengetuai benteng pertahanan United dan Ferguson pastinya individu paling lega dengan perkembangan terbaru ini. "Ini adalah dorongan besar kerana posisi pertahanan telah menjadi bahagian paling lemah kami musim ini. Kami kehilangan Ferdinand, Vidic, Brown, Evans, O'Shea, Neville dan Van Der Sar, ia merupakan tempoh yang sukar buat kami. Jadi dengan kembalinya semula mereka ia perkara yang bagus buat pasukan", kata Ferguson.

Dengan Arsenal dan Chelsea beraksi dalam saingan Piala FA minggu ini, anak-anak buah Ferguson perlu mengambil kesempatan untuk meraih tiga mata penuh sekaligus menduduki tangga teratas biarpun buat sementara waktu. Ferguson juga punya pilihan sama ada mahu menurunkan skuad utamanya malam ini atau memberi peluang buat pemain muda memperagakan aksi kerana tiga hari selepas itu mereka akan melayan kunjungan Manchester City dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Carling. Kecergasan Dimitar Berbatov masih menjadi tanda tanya ketika ini akibat kecederaan lutut dan jika bintang Bulgaria itu tidak dapat diturunkan, Ferguson mungkin memberi peluang kepada Michael Owen beraksi bersama Wayne Rooney sebagai penggempur. Ataupun jika Ferguson mahu merehatkan Rooney bagi menghadapi Manchester City pertengahan minggu hadapan, beliau boleh mencuba ketajaman Mame Biram Diouf yang menjaringkan gol pertamanya buat United ketika menentang Burnley minggu lalu. Ferguson dijangka merehatkan Ryan Giggs, Michael Carrick serta Darren Fletcher dan menggunakan Anderson, Paul Scholes, Antonio Valencia dan Park Ji Sung/Gabriel Obertan di bahagian tengah untuk perlawanan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan