27 Februari 2010

FINAL PIALA CARLING: ROONEY JADI PENENTU


Manchester United dan Aston Villa akan turun ke Stadium Wembley malam ini untuk membuat perhitungan terakhir bagi menentukan siapakah yang layak menjulang Piala Carling musim ini. United merupakan juara bertahan selepas menewaskan Tottenham Hotspurs musim lalu dan menurut Sir Alex Ferguson, mempertahankan trofi ini merupakan antara sasaran utama United musim ini. Bagi Villa pula, mereka pastinya mahu menamatkan penantian 25 tahun tanpa sebarang kejuaraan selepas kali terakhir menjulang Piala Eropah pada tahun 1985. Perlawanan akhir malam ini dilihat medan terbaik buat anak-anak buah Martin O'Neill menamatkan kemarau itu namun berdepan United di perlawanan akhir bukanlah sesuatu yang mudah buat mereka. Tumpuan utama perlawanan malam ini pastinya terarah kepada penyerang yang sedang `panas', Wayne Rooney. Rooney dilihat individu yang akan menentukan halatuju perlawanan malam ini namun bagi Ferguson, dia sebolehnya mahu merehatkan ayam tambatannya itu memandangkan United akan mengharungi banyak lagi perlawanan penting selepas ini.

Mengakui hakikat itu, Ferguson secara berseloroh berkata, "Kami harus memberi pertimbangan (untuk menurunkan Rooney) kerana kami mempunyai banyak lagi perlawanan-perlawanan penting selepas ini. Masalah utama ialah Rooney mempunyai keinginan cukup tinggi untuk bermain dalam perlawanan ini. Mungkin inilah masa terbaik untuk saya menggunakannya di barisan belakang sebagai pertahanan kanan ataupun tengah. Selepas ini Rooney boleh mengatakan kepada semua orang bahawa dia merupakan pemain pertahanan yang hebat". Walaupun meletakkan kejohanan ini sebagai antara sasaran utamanya, Ferguson juga mahu menjadikan perlawanan akhir ini sebagai medan buat pemain-pemain mudanya memperagakan aksi mereka. Jika Ferguson mengambil keputusan tidak menurunkan Rooney, beliau mungkin akan menggandingkan Michael Owen dan Mame Biram Diouf di bahagian serangan. Di bahagian tengah pula Ferguson dijangka menggunakan kombinasi Darron Gibson dan Paul Scholes serta Park Ji Sung dan Luis Antonio Valencia di sayap kiri dan kanan. Dengan ketiadaan Rio Ferdinand yang mengalami kecederaan, benteng tengah United akan diisi oleh Nemanja Vidic dan Wes Brown manakala Patrice Evra di sebelah kiri dan Rafael da Silva di sebelah kanan.

Barisan kemungkinan United:

Edwin Van Der Sar, Wes Brown, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Patrice Evra, Park Ji Sung, Luis Antonio Valencia, Darron Gibson, Paul Scholes, Mame Biram Diouf dan Michael Owen.

25 Februari 2010

UNITED MULA RAPATI VILLA

http://d.yimg.com/a/p/rids/20100218/i/r2830216488.jpg
Sir Alex Ferguson diberitakan telah menyediakan tawaran buat Valencia bagi mendapatkan khidmat penggempur handalan mereka David Villa. Ferguson telah menghantar staf kejurulatihan United untuk memantau aksi Villa bersama Valencia di Stadium Mestalla kelmarin. Red Devils dikatakan sudah bersedia mengeluarkan belanja sebanyak 45 juta Euro bagi mendapatkan Villa yang juga merupakan penyerang antarabangsa Sepanyol. Dengan prestasi mengecewakan yang dipamerkan Dimitar Berbatov, Ferguson memang memerlukan penyerang seperti Villa bagi meringankan beban yang dipikul Wayne Rooney ketika ini. Untuk rekod, Berbatov baru menjaringkan sembilan gol di peringkat liga berbanding Rooney yang telah menjaringkan 23 gol setakat ini. Ferguson sedar tekanan yang dipikul Rooney cukup berat musim ini selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo dan penyerang England itu dilihat sering bersendirian di barisan hadapan United. Ketika ini Villa dikatakan pemain yang menjadi tumpuan utama Ferguson untuk dibawa ke Old Trafford dan United dilihat tidak menghadapi masalah mengeluarkan belanja yang besar hasil keuntungan yang diperolehi ketika menjual Ronaldo kepada Real Madrid musim panas lalu. Villa sendiri sudah bersedia untuk meninggalkan Stadium Mestalla jika Valencia gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan. Penyerang prolifik itu dikatakan lebih berminat mengikut jejak Fernando Torres dengan beraksi di Liga Inggeris berbanding menyertai dua lagi kelab gergasi Sepanyol, Bercelona dan Real Madrid.

24 Februari 2010

ROONEY BERI KELEGAAN KEPADA UNITED

Antonio Valencia of Manchester United tangles with Jonathan Spector of West Ham United
Dua gol jaringan Wayne Rooney dan satu lagi daripada Michael Owen berjaya memberi kelegaan kepada Manchester United dalam usaha mereka memberi tekanan kepada pendahulu, Chelsea. United berjaya menewaskan West Ham 3-0, di Old Trafford awal pagi tadi dan kemenangan ini membolehkan United meraih 60 mata, ketinggalan satu mata di belakang skuad The Blues. Dua jaringan yang dihasilkan Rooney menyaksikan penyerang England itu mengukuhkan kedudukannya selaku penjaring terbanyak liga dengan 23 gol. Sir Alex Ferguson tidak menurunkan skuad terbaiknya dalam perlawanan ini apabila merehatkan Edwin Van Der Sar, Rio Ferdinand dan Darren Fletcher bagi memberikan mereka rehat mencukupi sebelum menghadapi Aston Villa dalam perlawanan akhir Piala Carling Ahad ini. Tempo permainan agak perlahan terutamanya di separuh masa pertama menyaksikan Darron Gibson dan Paul Scholes kurang berjaya menguasai bahagian tengah manakala lawan pula lebih banyak bertahan. Peluang terbaik berjaya dijelmakan pelawat melalui gerakan Guillermo Franco tetapi gagal disudahkan Valon Behrami.
Wayne Rooney of Manchester United scores the second goal
United hanya memperolehi peluang terbaik diminit ke 34 melalui rembatan jarak jauh Gibson tetapi berjaya ditepis Robert Green. United akhirnya berjaya memecah kebuntuan diminit ke 38 melalui tandukan Rooney yang menerima hantaran Luis Antonio Valencia dari sebelah kanan. Valencia merupakan pemain paling cemerlang untuk United dalam perlawanan ini apabila gerakan dan larian-larian pantasnya sering memberikan masalah kepada benteng lawan. Diminit ke 55, Rooney sekali lagi memanfaatkan hantaran Valencia untuk meletakkan United selesa di hadapan. United akhirnya menutup tirai jaringan melalui pemain gantian, Michael Owen diminit ke 79. Sepanjang separuh masa kedua, United menguasai sepenuhnya perlawanan dengan pelawat terpaksa berkumpul di kawasan sendiri. Usaha Gianfranco Zola memasukkan Mido bagi menambah sengat di barisan serangan juga tidak berhasil. Kemenangan ini diharap mampu menyuntik kembali semangat barisan Red Devils dalam usaha mereka memburu gelaran liga buat kali keempat berturut-turut selepas diaibkan Everton minggu lalu.

21 Februari 2010

TERSUNGKUR DI GOODISON PARK

Dimitar Berbatov of Manchester scores the opening goal
Manchester United gagal meraih sebarang mata selepas tewas 1-3 kepada Everton di Goodison Park dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam. Seperti yang telah mereka lakukan ke atas Chelsea minggu lalu, Everton memberikan laluan sukar kepada United sejak awal permainan lagi. Walaupun mendahului tuan rumah melalui jaringan Dimitar Berbatov diminit ke 16, skuad The Tofees hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi pemain antarabangsa Rusia, Diniyar Bilyaletdinov. Selepas berjaya menyamakan kedudukan, tuan rumah seolah-olah mendapat nafas baru dengan sering melancarkan serangan dan mula memberikan tekanan kepada benteng United yang diterajui Wes Borwn dan Jonny Evans. Walau bagaimanapun kedudukan kekal terikat 1-1 sehingga babak separuh masa pertama berakhir. Bersambung di babak kedua, United kembali mengawal permainan tetapi kelekaan benteng pertahanan sekali lagi dihukum lawan menerusi jaringan pemain gantian Dan Gosling diminit ke 76. Selepas ketinggalan, Ferguson mengeluarkan Antonio Valencia dan memasukkan Michael Owen untuk memburu gol penyamaan. Dalam keghairahan menyerang, benteng United bocor lagi melalui serangan balas pantas lawan. Kali ini giliran Jack Rodwell pula menewaskan Edwin Van Der Sar buat kali ketiga dan gol itu menutup terus peluang United untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata di Goodison Park.
Leon Osman of Everton celebrates with goal scorer Diniyar Bilyaletdinov after his equaliser
Walaupun agak kecewa dengan kekalahan itu, Sir Alex Ferguson tetap memberikan pujian kepada anak-anak buahnya. "Kami mengawal permainan dengan baik dan sepatutnya menjaringkan dua atau tiga gol pada separuh masa pertama. Walaupun berjaya mendahului, gol penyamaan lawan hadir begitu pantas. Anda pastinya tidak gemar melihat lawan menutup kelebihan anda dengan begitu cepat. Selepas gol itu, lawan mula memperolehi keyakinan mereka semula", kata Ferguson. "Saya tahu pemain merasa kecewa. Mereka bermain untuk Manchester United dan mereka tidak suka dengan kekalahan. Ini merupakan keputusan yang buruk dan musim ini keputusan seperti ini sering berlaku kepada mana-mana pasukan. Ia sebenarnya musim yang aneh", tambah Ferguson. Menurut Ferguson dia tidak perlu panik dengan apa yang dialami United di Goodison Park dan berharap pencabar mereka seperti Chelsea dan Arsenal akan turut kehilangan mata selepas ini. Rabu ini United akan melayan kunjungan West Ham dan Ferguson mahu pasukannya lebih berhati-hati melayan kunjungan skuad The Hammers itu yang bergelut mengelak dari zon penyingkiran. Baginya situasi yang dialami oleh West Ham ketika ini boleh mengundang bahaya kepada United. Kekalahan ini juga menyaksikan United kini ketinggalan empat mata di belakang Chelsea selepas skuad The Blues berjaya meraih tiga mata ke atas Wolverhampton Wanderers, manakala pasukan tangga ketiga, Arsenal pula semakin menghampiri selepas mencatat kemenangan ke atas Sunderland.

20 Februari 2010

ROONEY SEDIA BERHADAPAN PENYOKONG EVERTON

http://d.yimg.com/a/p/afp/20100216/capt.photo_1266359164260-1-0.jpg
Wayne Rooney bukan hanya bakal berhadapan dengan pertahanan Everton malah penyokong-penyokong The Tofees menjelang kunjungan Manchester United ke Goodison Park malam ini. Rooney yang merupakan ikon di Everton suatu ketika dahulu kini dibenci dan dituduh sebagai pengkhianat oleh penyokong-penyokong Everton kerana berhijrah ke Old Trafford pada tahun 2004. Tambah melukakan hati penyokong-penyokong Everton, Rooney pernah mengucup lencana United dan meraikan gol jaringannya dengan cara yang keterlaluan di Goodison Park. Walau bagaimanapun, penyerang yang sedang menikmati prestasi terbaiknya itu sudah bersedia berhadapan sebarang kemungkinan yang bakal dicetuskan oleh penyokong lawan. Misinya hanya satu, iaitu membantu United memintas kedudukan Chelsea di tangga teratas liga. Selepas menyaksikan Rooney dua kali membolosi gawang AC Milan di San Siro, Rabu lalu, Everton sepatutnya gelisah dan pastinya anak-anak buah David Moyes akan melakukan apa yang terdaya untuk menghalang bekas `anak emas' di Goodison Park itu dari menggegar gawang mereka. Persembahan hebat Rooney musim ini mendapat pujian melambung dari Sir Alex Ferguson yang melabelkan penyerangnya itu sebaris dengan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Everton yang kini menduduki tangga kesembilan liga secara realistiknya sudah terkeluar dari saingan merebut kejuaraan tetapi apa yang telah mereka lakukan ke atas Chelsea minggu lalu sepatutnya membuatkan United lebih berhati-hati. Selepas menewaskan Chelsea, Everton tampak akan cuba memainkan peranan sekali lagi dalam penentuan kejuaraan liga. Walau bagaimanapun Everton turun tanpa kelibat Maroune Fellaini yang mengalami kecederaan pergelangan kaki manakala kecergasan tonggak tengah mereka yang berasal dari Australia, Tim Cahill masih diragui akibat kecederaan betis. Sementara itu, benteng pertahanan United juga mesti mengelak dari bermain di bawah keupayaan sebenar sepertimana yang mereka pamerkan diawal separuh masa pertama ketika di San Siro kelmarin. Dengan bekas penyerang yang pernah mencipta nama di Old Trafford, Louis Saha dua kali membolosi gawang Chelsea minggu lalu, benteng United sepatutnya lebih berhati-hati menangani gempuran penyerang Perancis itu. Ferguson sepertimana biasa akan menggunakan formasi 4-5-1, formasi yang sering digunakannya ketika berkunjung ke gelanggang lawan yang berada di kelompok sepuluh teratas liga.

Barisan Kemungkinan:

Edwin Van Der Sar, Wes Brown, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Michael Carrick, Darren Fletcher, Luis Antonio Valencia, Park Ji Sung, Anderson dan Wayne Rooney

17 Februari 2010

ROONEY BENAM MILAN DI SAN SIRO

http://d.yimg.com/a/p/ap/20100216/capt.42ccdf34b6dc492f9ce8992978e42a47.italy_soccer_champions_league_xap122.jpg
Wayne Rooney menjaringkan dua gol ketika mengemudikan kemenangan 3-2 Manchester United ke atas AC Milan di San Siro awal pagi tadi dalam perlawanan peringkat pertama 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara. Kemenangan ini juga menyaksikan United memiliki kelebihan besar ke atas juara enam kali itu menjelang perlawanan peringkat kedua di Old Trafford nanti. Kekalahan ini tentunya amat mengecewakan gergasi Itali itu yang dilihat lebih menguasai perlawanan di sepanjang separuh masa pertama malah hanya memerlukan tiga minit untuk menembusi gawang United menerusi perancang mereka, Ronaldinho. Sepanjang permulaan babak pertama, United dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan dan lawan sering memberikan tekanan terutamanya melalui gerakan-gerakan dari Ronaldinho. Gandingan dua pemain Brazil, Ronaldinho dan Alexandre Pato dilihat sering menghadirkan ancaman kepada benteng United yang dikemudi kapten baru England, Rio Ferdinand malah beberapa gerakan sayap Brazil itu hampir memberikan kelebihan selesa buat tuan rumah. Pada minit ke 18, gerakan bahaya Ronaldinho ke arah pintu gol United berjaya dihalang Ferdinand dan beberapa minit selepas itu giliran Klaas Jan Huntelaar pula mencemaskan gawang United namun tendangannya sedikit tersasar dari pintu gol. Walaupun tekanan demi tekanan dijelmakan tuan rumah, United akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Paul Scholes diminit ke 36. Pemain veteran itu berjaya menyambut hantaran silang Darren Fletcher untuk menewaskan Dida.
http://d.yimg.com/a/p/rids/20100216/i/r4213945395.jpg
Memasuki babak kedua perlawanan, United kembali memperbaiki corak permainan dengan tampil lebih agresif menekan kubu tuan rumah menyebabkan Milan mula kehilangan tempo permainan. Akhirnya diminit ke 66, benteng Milan yang diterajui Alesandro Nesta bocor lagi, kali ini melalui tandukan Wayne Rooney. Rooney yang berada dalam prestasi terbaiknya ketika ini bijak menyudahkan hantaran Luis Antonio Valencia apabila tandukan lambungnya ke sebelah kiri pintu gol gagal diselamatkan Dida. Selepas gol itu, tuan rumah semakin hilang konsentrasi dan selang lapan minit kemudian, Rooney sekali lagi menghukum kealpaan benteng lawan. Hantaran Darren Fletcher dari sebelah kiri berjaya ditanduk masuk Rooney untuk meletakkan United semakin selesa di hadapan. Selepas ketinggalan dengan dua gol, jurulatih Milan, Leonardo memasukkan Clarence Seedorf untuk menghidupkan kembali bahagian tengah yang semakin hilang punca. Hasilnya bekas pemain antarabangsa Belanda itu berjaya merapatkan jurang apabila berjaya menjaringkan gol kedua tuan rumah diminit ke 85. Dalam usaha mengekalkan kelebihan yang dimiliki, United menerima tamparan apabila Michael Carrick dilayangkan kad merah dimasa kecederaan selepas menerima dua kad kuning. Walau bagaimanapun semuanya sudah terlambat buat Milan untuk menyamakan kedudukan dan dengan kemenangan ini, United membawa bekalan selesa menjelang pertembungan peringkat kedua di Old Trafford nanti. Satu lagi perlawanan menyaksikan juara Perancis Olympique Lyon berjaya menewaskan pasukan yang berbelanja besar musim ini, Real Madrid dengan 1-0.

15 Februari 2010

DETIK TERBAIK UNITED HADAPI MILAN

PERLAWANAN PERINGKAT PERTAMA KALAH MATI
LIGA JUARA-JUARA EROPAH


AC MILAN lwn MANCHESTER UNITED
(SAN SIRO, MILAN, 17 FEBRUARI 2010)


http://image.24ur.com/media/images/600xX/Jul2008/60165445.jpg
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson yakin pasukannya berada dalam prestasi terbaik menjelang kunjungan mereka ke San Siro bagi menghadapi AC Milan dalam perlawanan peringkat pertama kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi esok. Menurut Ferguson terdapat beberapa faktor dalam skuad Rossoneri yang membuatkannya yakin bahawa Milan tidak lagi segagah dahulu. Sejak skuad bimbingan Leonardo itu kehilangan tonggak utama mereka Kaka yang berhijrah ke Real Madrid, Milan dilihat semakin hilang sengat dan cengkaman mereka dalam Serie A juga semakin longgar. United tewas 0-3 pada pertemuan terakhir mereka di San Siro dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara edisi tahun 2007. Ketika itu Kaka merupakan pemain yang menjadi inspirasi kepada kehebatan Milan dan pemain antarabangsa Brazil itu berjaya menjaringkan gol pertama dalam perlawanan itu. Ferguson bagaimanapun melihat situasi ketika ini sudah banyak berubah dan keyakinan pengendali dari Scotland itu semakin bertambah selepas melihat Milan terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan Udinese dalam perlawanan Serie A kelmarin. "Ini adalah waktu yang bagus sebelum kami berangkat ke Milan. Mereka beraksi hujung minggu lalu dan kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan. Kami pula punya tempoh rehat yang cukup panjang kerana tidak beraksi dalam perlawanan liga", kata Ferguson.

"Milan berubah semenjak mereka kehilangan Kaka. Dahulu mereka menggunakan Kaka di bahagian serangan dengan formasi 4-4-2. Namun, ketika ini mereka telah berubah apabila menggunakan formasi 4-3-3 dengan dua penyerang di bahagian sayap dan tiga pemain di bahagian tengah. Mereka sebenarnya tidak kehilangan kekuatan dan pengalaman. Ronaldinho, Alexandre Pato, Alesandro Pirlo dan Clarence Seedorf merupakan pemain yang berkualiti tetapi kami juga memiliki pemain yang boleh membawa pasukan memenangi perlawanan ini. Setelah melalui pengalaman di San Siro tiga tahun lalu di mana mereka mendominasi permainan, saya pasti perkara itu tidak akan berlaku lagi", tambah Ferguson lagi. Ferguson menilai Pato sebagai pemain yang bakal memberikan ancaman serius terhadap gawang United yang akan dikawal Edwin Van Der Sar. Memandangkan Pato baru pulih dari kecederaan, Ferguson berharap Milan tidak akan menurunkan pemain itu esok sebaliknya memberikan penampilan kepada bekas bintang di Old Trafford, David Beckham. Menilai keadaan itu Ferguson berkata, "Mereka memang berharap agar Pato akan dapat diturunkan. Jika keadaan berlaku sebaliknya, pastinya David Beckham akan diturunkan sebagai penyerang di sebelah sayap kanan. Kami tahu segalanya tentang Beckham. Dia merupakan pemain yang mampu melakukan hantaran silang yang hebat dan pastinya dia akan berusaha melakukan perkara itu ke atas kami".

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van Der Sar, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Rafael da Silva, Michael Carrick, Darren Fletcher, Paul Scholes, Nani, Luis Antonio Valencia dan Wayne Rooney.