20 Februari 2010

ROONEY SEDIA BERHADAPAN PENYOKONG EVERTON

http://d.yimg.com/a/p/afp/20100216/capt.photo_1266359164260-1-0.jpg
Wayne Rooney bukan hanya bakal berhadapan dengan pertahanan Everton malah penyokong-penyokong The Tofees menjelang kunjungan Manchester United ke Goodison Park malam ini. Rooney yang merupakan ikon di Everton suatu ketika dahulu kini dibenci dan dituduh sebagai pengkhianat oleh penyokong-penyokong Everton kerana berhijrah ke Old Trafford pada tahun 2004. Tambah melukakan hati penyokong-penyokong Everton, Rooney pernah mengucup lencana United dan meraikan gol jaringannya dengan cara yang keterlaluan di Goodison Park. Walau bagaimanapun, penyerang yang sedang menikmati prestasi terbaiknya itu sudah bersedia berhadapan sebarang kemungkinan yang bakal dicetuskan oleh penyokong lawan. Misinya hanya satu, iaitu membantu United memintas kedudukan Chelsea di tangga teratas liga. Selepas menyaksikan Rooney dua kali membolosi gawang AC Milan di San Siro, Rabu lalu, Everton sepatutnya gelisah dan pastinya anak-anak buah David Moyes akan melakukan apa yang terdaya untuk menghalang bekas `anak emas' di Goodison Park itu dari menggegar gawang mereka. Persembahan hebat Rooney musim ini mendapat pujian melambung dari Sir Alex Ferguson yang melabelkan penyerangnya itu sebaris dengan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Everton yang kini menduduki tangga kesembilan liga secara realistiknya sudah terkeluar dari saingan merebut kejuaraan tetapi apa yang telah mereka lakukan ke atas Chelsea minggu lalu sepatutnya membuatkan United lebih berhati-hati. Selepas menewaskan Chelsea, Everton tampak akan cuba memainkan peranan sekali lagi dalam penentuan kejuaraan liga. Walau bagaimanapun Everton turun tanpa kelibat Maroune Fellaini yang mengalami kecederaan pergelangan kaki manakala kecergasan tonggak tengah mereka yang berasal dari Australia, Tim Cahill masih diragui akibat kecederaan betis. Sementara itu, benteng pertahanan United juga mesti mengelak dari bermain di bawah keupayaan sebenar sepertimana yang mereka pamerkan diawal separuh masa pertama ketika di San Siro kelmarin. Dengan bekas penyerang yang pernah mencipta nama di Old Trafford, Louis Saha dua kali membolosi gawang Chelsea minggu lalu, benteng United sepatutnya lebih berhati-hati menangani gempuran penyerang Perancis itu. Ferguson sepertimana biasa akan menggunakan formasi 4-5-1, formasi yang sering digunakannya ketika berkunjung ke gelanggang lawan yang berada di kelompok sepuluh teratas liga.

Barisan Kemungkinan:

Edwin Van Der Sar, Wes Brown, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Michael Carrick, Darren Fletcher, Luis Antonio Valencia, Park Ji Sung, Anderson dan Wayne Rooney

Tiada ulasan:

Catat Ulasan