Wayne Rooney menjaringkan dua gol ketika mengemudikan kemenangan 3-2 Manchester United ke atas AC Milan di San Siro awal pagi tadi dalam perlawanan peringkat pertama 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara. Kemenangan ini juga menyaksikan United memiliki kelebihan besar ke atas juara enam kali itu menjelang perlawanan peringkat kedua di Old Trafford nanti. Kekalahan ini tentunya amat mengecewakan gergasi Itali itu yang dilihat lebih menguasai perlawanan di sepanjang separuh masa pertama malah hanya memerlukan tiga minit untuk menembusi gawang United menerusi perancang mereka, Ronaldinho. Sepanjang permulaan babak pertama, United dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan dan lawan sering memberikan tekanan terutamanya melalui gerakan-gerakan dari Ronaldinho. Gandingan dua pemain Brazil, Ronaldinho dan Alexandre Pato dilihat sering menghadirkan ancaman kepada benteng United yang dikemudi kapten baru England, Rio Ferdinand malah beberapa gerakan sayap Brazil itu hampir memberikan kelebihan selesa buat tuan rumah. Pada minit ke 18, gerakan bahaya Ronaldinho ke arah pintu gol United berjaya dihalang Ferdinand dan beberapa minit selepas itu giliran Klaas Jan Huntelaar pula mencemaskan gawang United namun tendangannya sedikit tersasar dari pintu gol. Walaupun tekanan demi tekanan dijelmakan tuan rumah, United akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Paul Scholes diminit ke 36. Pemain veteran itu berjaya menyambut hantaran silang Darren Fletcher untuk menewaskan Dida.
Memasuki babak kedua perlawanan, United kembali memperbaiki corak permainan dengan tampil lebih agresif menekan kubu tuan rumah menyebabkan Milan mula kehilangan tempo permainan. Akhirnya diminit ke 66, benteng Milan yang diterajui Alesandro Nesta bocor lagi, kali ini melalui tandukan Wayne Rooney. Rooney yang berada dalam prestasi terbaiknya ketika ini bijak menyudahkan hantaran Luis Antonio Valencia apabila tandukan lambungnya ke sebelah kiri pintu gol gagal diselamatkan Dida. Selepas gol itu, tuan rumah semakin hilang konsentrasi dan selang lapan minit kemudian, Rooney sekali lagi menghukum kealpaan benteng lawan. Hantaran Darren Fletcher dari sebelah kiri berjaya ditanduk masuk Rooney untuk meletakkan United semakin selesa di hadapan. Selepas ketinggalan dengan dua gol, jurulatih Milan, Leonardo memasukkan Clarence Seedorf untuk menghidupkan kembali bahagian tengah yang semakin hilang punca. Hasilnya bekas pemain antarabangsa Belanda itu berjaya merapatkan jurang apabila berjaya menjaringkan gol kedua tuan rumah diminit ke 85. Dalam usaha mengekalkan kelebihan yang dimiliki, United menerima tamparan apabila Michael Carrick dilayangkan kad merah dimasa kecederaan selepas menerima dua kad kuning. Walau bagaimanapun semuanya sudah terlambat buat Milan untuk menyamakan kedudukan dan dengan kemenangan ini, United membawa bekalan selesa menjelang pertembungan peringkat kedua di Old Trafford nanti. Satu lagi perlawanan menyaksikan juara Perancis Olympique Lyon berjaya menewaskan pasukan yang berbelanja besar musim ini, Real Madrid dengan 1-0.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan