15 Februari 2010

DETIK TERBAIK UNITED HADAPI MILAN

PERLAWANAN PERINGKAT PERTAMA KALAH MATI
LIGA JUARA-JUARA EROPAH


AC MILAN lwn MANCHESTER UNITED
(SAN SIRO, MILAN, 17 FEBRUARI 2010)


http://image.24ur.com/media/images/600xX/Jul2008/60165445.jpg
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson yakin pasukannya berada dalam prestasi terbaik menjelang kunjungan mereka ke San Siro bagi menghadapi AC Milan dalam perlawanan peringkat pertama kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi esok. Menurut Ferguson terdapat beberapa faktor dalam skuad Rossoneri yang membuatkannya yakin bahawa Milan tidak lagi segagah dahulu. Sejak skuad bimbingan Leonardo itu kehilangan tonggak utama mereka Kaka yang berhijrah ke Real Madrid, Milan dilihat semakin hilang sengat dan cengkaman mereka dalam Serie A juga semakin longgar. United tewas 0-3 pada pertemuan terakhir mereka di San Siro dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara edisi tahun 2007. Ketika itu Kaka merupakan pemain yang menjadi inspirasi kepada kehebatan Milan dan pemain antarabangsa Brazil itu berjaya menjaringkan gol pertama dalam perlawanan itu. Ferguson bagaimanapun melihat situasi ketika ini sudah banyak berubah dan keyakinan pengendali dari Scotland itu semakin bertambah selepas melihat Milan terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan Udinese dalam perlawanan Serie A kelmarin. "Ini adalah waktu yang bagus sebelum kami berangkat ke Milan. Mereka beraksi hujung minggu lalu dan kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan. Kami pula punya tempoh rehat yang cukup panjang kerana tidak beraksi dalam perlawanan liga", kata Ferguson.

"Milan berubah semenjak mereka kehilangan Kaka. Dahulu mereka menggunakan Kaka di bahagian serangan dengan formasi 4-4-2. Namun, ketika ini mereka telah berubah apabila menggunakan formasi 4-3-3 dengan dua penyerang di bahagian sayap dan tiga pemain di bahagian tengah. Mereka sebenarnya tidak kehilangan kekuatan dan pengalaman. Ronaldinho, Alexandre Pato, Alesandro Pirlo dan Clarence Seedorf merupakan pemain yang berkualiti tetapi kami juga memiliki pemain yang boleh membawa pasukan memenangi perlawanan ini. Setelah melalui pengalaman di San Siro tiga tahun lalu di mana mereka mendominasi permainan, saya pasti perkara itu tidak akan berlaku lagi", tambah Ferguson lagi. Ferguson menilai Pato sebagai pemain yang bakal memberikan ancaman serius terhadap gawang United yang akan dikawal Edwin Van Der Sar. Memandangkan Pato baru pulih dari kecederaan, Ferguson berharap Milan tidak akan menurunkan pemain itu esok sebaliknya memberikan penampilan kepada bekas bintang di Old Trafford, David Beckham. Menilai keadaan itu Ferguson berkata, "Mereka memang berharap agar Pato akan dapat diturunkan. Jika keadaan berlaku sebaliknya, pastinya David Beckham akan diturunkan sebagai penyerang di sebelah sayap kanan. Kami tahu segalanya tentang Beckham. Dia merupakan pemain yang mampu melakukan hantaran silang yang hebat dan pastinya dia akan berusaha melakukan perkara itu ke atas kami".

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van Der Sar, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Rafael da Silva, Michael Carrick, Darren Fletcher, Paul Scholes, Nani, Luis Antonio Valencia dan Wayne Rooney.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan