21 Februari 2010

TERSUNGKUR DI GOODISON PARK

Dimitar Berbatov of Manchester scores the opening goal
Manchester United gagal meraih sebarang mata selepas tewas 1-3 kepada Everton di Goodison Park dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam. Seperti yang telah mereka lakukan ke atas Chelsea minggu lalu, Everton memberikan laluan sukar kepada United sejak awal permainan lagi. Walaupun mendahului tuan rumah melalui jaringan Dimitar Berbatov diminit ke 16, skuad The Tofees hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi pemain antarabangsa Rusia, Diniyar Bilyaletdinov. Selepas berjaya menyamakan kedudukan, tuan rumah seolah-olah mendapat nafas baru dengan sering melancarkan serangan dan mula memberikan tekanan kepada benteng United yang diterajui Wes Borwn dan Jonny Evans. Walau bagaimanapun kedudukan kekal terikat 1-1 sehingga babak separuh masa pertama berakhir. Bersambung di babak kedua, United kembali mengawal permainan tetapi kelekaan benteng pertahanan sekali lagi dihukum lawan menerusi jaringan pemain gantian Dan Gosling diminit ke 76. Selepas ketinggalan, Ferguson mengeluarkan Antonio Valencia dan memasukkan Michael Owen untuk memburu gol penyamaan. Dalam keghairahan menyerang, benteng United bocor lagi melalui serangan balas pantas lawan. Kali ini giliran Jack Rodwell pula menewaskan Edwin Van Der Sar buat kali ketiga dan gol itu menutup terus peluang United untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata di Goodison Park.
Leon Osman of Everton celebrates with goal scorer Diniyar Bilyaletdinov after his equaliser
Walaupun agak kecewa dengan kekalahan itu, Sir Alex Ferguson tetap memberikan pujian kepada anak-anak buahnya. "Kami mengawal permainan dengan baik dan sepatutnya menjaringkan dua atau tiga gol pada separuh masa pertama. Walaupun berjaya mendahului, gol penyamaan lawan hadir begitu pantas. Anda pastinya tidak gemar melihat lawan menutup kelebihan anda dengan begitu cepat. Selepas gol itu, lawan mula memperolehi keyakinan mereka semula", kata Ferguson. "Saya tahu pemain merasa kecewa. Mereka bermain untuk Manchester United dan mereka tidak suka dengan kekalahan. Ini merupakan keputusan yang buruk dan musim ini keputusan seperti ini sering berlaku kepada mana-mana pasukan. Ia sebenarnya musim yang aneh", tambah Ferguson. Menurut Ferguson dia tidak perlu panik dengan apa yang dialami United di Goodison Park dan berharap pencabar mereka seperti Chelsea dan Arsenal akan turut kehilangan mata selepas ini. Rabu ini United akan melayan kunjungan West Ham dan Ferguson mahu pasukannya lebih berhati-hati melayan kunjungan skuad The Hammers itu yang bergelut mengelak dari zon penyingkiran. Baginya situasi yang dialami oleh West Ham ketika ini boleh mengundang bahaya kepada United. Kekalahan ini juga menyaksikan United kini ketinggalan empat mata di belakang Chelsea selepas skuad The Blues berjaya meraih tiga mata ke atas Wolverhampton Wanderers, manakala pasukan tangga ketiga, Arsenal pula semakin menghampiri selepas mencatat kemenangan ke atas Sunderland.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan