31 Disember 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn BLACKBURN ROVERS



Kemenangan ke atas Blackburn Rovers dan kejayaan merampas semula kedudukan sebagai pendahulu takhta Liga Perdana pastinya merupakan hadiah terbaik sempena ulang tahun ke-70 Sir Alex Ferguson minggu ini.  Di atas kertas, United dilihat tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri tatkala berdepan Rovers yang kini menghuni dasar liga.  Statistik empat perlawanan teakhir United juga cukup menggerunkan apabila skuad The Red Devils itu berjaya menghasilkan 16 gol dengan sepuluh daripadanya dicipta pada dua perlawanan terakhir mereka.  Berita gembira turut di terima Ferguson menjelang kunjungan Rovers nanti apabila Rio Ferdinand dan Phil Jones bakal kembali memperkuatkan pasukan selepas pulih dari kecederaan.  Kehadiran kedua-dua pemain pertahanan tengah ini pastinya amat ditagih Ferguson yang sudahpun kehilangan kapten pasukan, Nemanja Vidic sepanjang baki saingan musim ini, Jonny Evans perlu direhatkan selama dua minggu manakala Chris Smalling pula hanya akan kembali minggu hadapan.  Ketika krisis kecederaan melanda pasukan, Ferguson perlu berterima kasih kepada jadual perlawanan yang tampak memihak kepada pasukannya apabila United hanya perlu berdepan kelab-kelab bawahan sepanjang jadual padat musim cuti Krismas.   Untuk rekod, sepanjang era Liga Perdana, Rovers hanya sekali berjaya menewaskan United di Old Trafford iaitu pada 24 September 2005 (2-1) hasil jaringan kemenangan Morten Gamst Pedersen manakala sepuluh pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di dominasi United (menang 7 dan seri 3).  Barisan penggempur United nyata berada pada prestasi terbaik mereka terutama selepas menyaksikan Dimitar Berbatov mula menemui keyakinan diri ketika merakam hatrik saat berdepan Wigan Athletic Isnin lalu.  Javier Hernandez, Wayne Rooney dan Danny Welbeck dalam keadaan cergas manakala prestasi mantap yang dipamerkan Luis Antonio Valencia dan Michael Carrick  pastinya menambah keresahan buat Steve Kean yang berdepan desakan dari penyokong-penyokong Rovers supaya beliau meletak jawatan. Walau bagaimanapun, United tidak seharusnya memandang rendah keupayaan anak-anak buah Kean dalam perlawanan ini jika mengambilkira semangat juang mereka ketika berjaya mengikat Liverpool di Anfield tempohari.  Apapun pastinya, Rovers akan cuba sedaya upaya mengelak aib tewas 1-7 di gelanggang yang sama musim lalu dari berulang.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Luis Antonio Valencia, Phil Jones, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Nani, Michael Carrick, Ryan Giggs, Park Ji-Sung, Wayne Rooney & Dimitar Berbatov

27 Disember 2011

UNITED IKAT CITY DI PUNCAK LIGA


Manchester United meneruskan momentum kemenangan besar mereka menjelang permulaan tahun baru apabila berjaya menewaskan Wigan Athletic 5-0. Dimitar Berbatov muncul wira apabila hatriknya memastikan United terus memberi tekanan kepada pendahulu ketika ini, Manchester City yang sekadar mencatat keputusan seri 0-0 dengan West Bromwich Albion di The Hawthorns.  Park Ji-Sung menjaringkan gol pendahuluan buat United seawal minit ke-8 apabila bijak menyudahkan hantaran Patrice Evra di dalam petak penalti.  Tugas pelawat untuk mencari gol penyamaan semakin sukar apabila penyerang mereka Connor Sammon dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Phil Dowd kerana menyiku Michael Carrick diminit ke-40.  Selang seminit selepas itu,  Bebatov menjaringkan gol kedua United hasil gerakan Darron Gibson.  Bersambung di babak kedua, United semakin selesa di depan apabila Berbatov menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini di minit ke-58 dan selepas itu giliran Luis Antonio Valencia pula memaksa Ali Al-Habsi mengutip bola di gawang sendiri buat kali keempat.  Diminit ke-78, Berbatov melengkapkan hatriknya dalam perlawanan ini hasil sepakan penalti selepas Ji-Sung dikasari Antolin Alcaraz. Kemenangan bergaya ini juga menyaksikan barisan The Red Devils berjaya membolosi gawang lawan sebanyak 16 kali dari empat perlawanan terakhir mereka sekaligus berkongsi mata dengan Manchester City di tangga teratas.  United dan City terikat 45 mata tetapi skuad bimbingan Roberto Mancini itu yang sekadar mengutip satu mata di The Hawthorns kekal sebagai pendahulu liga dengan perbezaan jaringan.  Kekalahan ini juga menyaksikan rekod buruk Wigan ketika berdepan United berpanjangan kepada 14 perlawanan dan mereka juga gagal menjaringkan sebarang gol di Old Trafford sejak kali terakhir Leighton Baines melakukannya lima tahun lalu.  Glory Glory Manchester United!!!

26 Disember 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn WIGAN ATHLETIC



Manchester United menanti kunjungan Wigan Athletic di Old Trafford malam nanti dengan misi meneruskan rekod cemerlang 13 perlawanan tanpa kalah mereka ke atas skuad bimbingan Roberto Martinez itu.  Di samping perlu berdepan hakikat kebangkitan United sejak tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah, skuad The Latics itu juga perlu mengakui hakikat bahawa mereka berdepan kesukaran menembusi benteng United di Old Trafford sejak kali terakhir Leighton Baines melakukannya pada 2006 melalui sepakan penalti.  Walau bagaimanapun, Wigan tewas 1-3 dalam perlawanan itu. Ketika United dilihat tidak berdepan kesukaran mendapatkan tiga mata penuh dalam perlawanan ini, misi sebenar skuad The Red Devils ialah terus memberi tekanan kepada jiran mereka yang juga pendahulu takhta liga ketika ini, Manchester City.  United hanya ketinggalan dua mata dari jiran mereka itu dan perlawanan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan Sir Alex Ferguson sambil berharap ada kejutan besar berlaku di The Hawthorns.  United bagaimanapun tidak seharusnya dibuai keyakinan tinggi selepas mencatat kemenangan besar ke atas Fulham pertengahan minggu lalu, sebaliknya perlu berhati-hati terutamanya melalui ancaman pemain tengah lawan Jordi Gomez.  Pemain tengah berasal dari Sepanyol itu sudah menjaringkan empat gol dari lima perlawanan terakhir mereka dan prestasi baik Gomez pastinya ditagih Martinez untuk membantu Wigan terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada enam perlawanan.  Selepas mencatat kemenangan ke atas West Bromwich di gelanggang lawan serta berjaya mengikat Chelsea dan Liverpool di gelanggang sendiri, Martinez berharap anak-anak buahnya meneruskan momentum mereka di Old Trafford.  Sementara itu, ada berita gembira menyelubungi kem United apabila Phil Jones yang terpaksa dikeluarkan di Craven Cottage bakal disenaraikan Ferguson dalam perlawanan malam nanti.  Jones disahkan cergas dan bakal bergandingan semula dengan Michael Carrick menjana jentera tengah United manakala Rio Ferdinand dan Javier Hernandez bakal memperkuatkan kembali pasukan selepas direhatkan ketika United berdepan Fulham tempohari. Glory Glory Manchester United!!!  

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling, Nani, Phil Jones, Michael Carrick, Luis Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez.

25 Disember 2011

CARRICK ANTARA WATAK UTAMA KEBANGKITAN UNITED


Di awal musim, nama Michael Carrick hampir dilupakan sebilangan besar penyokong Manchester United akibat penampilan hebat Tom Cleverley dan Anderson menjana bahagian tengah.  Ramai juga yang beranggapan masa depan Carrick bersama United semakin kelam selepas melihat kelibat bekas pemain Tottenham Hotspurs itu sering memanaskan bangku simpanan United.  Walau bagaimanapun Carrick akhirnya membuktikan bahawa dia masih lagi pemain tengah terbaik dalam skuad Sir Alex Ferguson ketika ramai yang mungkin mula melupakan namanya.  Nama Carrick tiba-tiba muncul semula menjadi sebutan bukan saja di kalangan penyokong setia United, malah pemerhati bolasepak kerana prestasi hebatnya sejak kebelakangan ini.  Pemain berusia 30 tahun itu dikatakan menjadi kunci disebalik keupayaan United bangkit memberikan cabaran dalam saingan liga domestik selepas kejutan tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah.  Carrick antara watak penting disebalik kemenangan besar 4-1 United ke atas Wolves dan kemudiannya menjaringkan gol hasil gerakan solo menarik ketika United menewaskan Queens Park Rangers 2-0.  Carrick sekali lagi membuktikan kehebatannya menjana jentera tengah United ketika skuad The Red Devils itu merakamkan kemenangan besar 5-0 ke atas Fulham pertengahan minggu lalu.  Ini diakui sendiri Phil Jones, yang juga merupakan gandingan `sementara' Carrick di bahagian tengah selepas United kehilangan khidmat Darren Fletcher, Anderson dan Tom Cleverley.  Menurut Jones, Carrick adalah pemain yang cukup luar biasa walaupun sebelumnya kelibat pemain berpengalaman itu seolah-olah dipandang sepi dan kurang diberi perhatian.  "Ramai yang tidak memberikan perhatian kepadanya tetapi ketika anda bermain bersamanya, anda akan merasainya.  Dia seperti memiliki deria keenam dan tahu di mana dia perlu berada untuk menerima hantaran.  Dia sering berada di tempat dan masa yang tepat sama ada ketika bertahan ataupun ketika merancang serangan", kata Jones.  Aset paling berharga milik Carrick sebenarnya adalah kualiti hantaran-hantaran jauhnya kepada barisan serangan serta cukup berdisiplin ketika bertahan.  Selepas agak lama diketepikan, Carrick seolah-olah ingin melontarkan amaran kepada pengkritiknya bahawa dia masih lagi yang terbaik di Old Trafford dan sentuhannya menjana bahagian tengah masih belum pudar.  Lihat saja pada prestasinya ketika membantu United mencatat kemenangan ke atas Wolves, QPR dan Fulham, hakikatnya Carrick masih lagi yang terbaik buat The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!!

16 Disember 2011

ROONEY INGINKAN KEJUARAAN LIGA EUROPA


Andai ada yang mengatakan bahawa Manchester United sudah hilang selera memburu gelaran di Eropah selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah, mereka sebenarnya silap.  Wayne Rooney sebaliknya menegaskan Kejuaraan Liga Europa adalah kejohanan yang mereka perlu menangi musim ini dan berazam membantu United membawa pulang trofi itu ke Old Trafford.  Walaupun mengakui taraf Liga Europa tidaklah sehebat Liga Juara-Juara, Rooney berjanji pasukannya tidak akan memandang ringan kempen mereka di kejohanan tersebut tambahan pula jiran mereka, Manchester City turut sama bersaing.  "Memang merugikan apabila kami tersingkir dari Liga Juara-Juara kerana kami sentiasa ingin bersaing dalam kejohanan itu.  Namun kami harus melupakan kegagalan tersebut dan kembali menumpukan perhatian kepada kejohanan yang bakal kami sertai.  Pengurus (Sir Alex Ferguson) belum pernah memenangi trofi ini jadi saya yakin dia juga pasti ingin memenanginya", kata Rooney.  Menurut Rooney lagi, dalam setiap kejohanan yang mereka sertai, Manchester United pastinya ingin memenangi sesuatu dan berharap kempen mereka di Liga Europa akan berjalan dengan lancar. Glory Glory Manchester United!!!

15 Disember 2011

AGEN NAFIKAN RUMOUR VALENCIA KE JUVENTUS


Menjelang jendela perpindahan musim sejuk Januari ini, nama Luis Antonio Valencia tidak terlepas dari spekulasi bakal berhijrah keluar dari Old Trafford.  Pendahulu Serie A ketika ini, Juventus dikatakan menunjukkan minat yang cukup tinggi mendapatkan khidmat Valencia malah sanggup  menjadikan Milos Krasic sebagai pertukaran.  Walau bagaimanapun, spekulasi perpindahan Valencia ke Juventus Arena segera dinafikan Diego Herrera  Larrea, agen pemain antarabangsa Ecuador itu.  Menurut Herrera, sekalipun terdapat khabar angin mengaitkan minat yang ditunjukkan Juventus terhadap Valencia, namun tiada sebarang perbincangan rasmi antara pihak pengurusan kedua-dua pasukan.  "Saya ada mendengar khabar tentang minat yang ditunjukkan Juventus, tapi bagi pihak kami itu hanyalah sekadar spekulasi.  Tiada perbincangan rasmi antara kedua-dua pasukan tentang hal ini, jadi saya berani mengatakan ianya hanya sekadar spekulasi", kata Herrera.  Menurut Herrera lagi, kemungkinan untuk Valencia meninggalkan Old Trafford terlalu kecil memandangkan dia baru saja menyambung kontrak selama empat tahun bersama United, selain faktor keluarganya yang cukup gembira di Manchester.  Bagaimanapun Herrera menegaskan, dalam bolasepak segala kemungkinan bakal berlaku. Glory Glory Manchester United!!!

13 Disember 2011

JETRO WILLEMS PELAPIS PATRICE EVRA?


Sir Alex Ferguson memulakan rancangan membentuk skuad masa depannya apabila diberitakan  meletakkan sasaran untuk mendapatkan pemain muda Belanda dan juga PSV Eindhoven, Jetro Willems.  Ferguson bercadang membentuk Willems yang baru berusia 17 tahun sebagai pelapis dan pengganti kepada Patrice Evra yang kini sudahpun menjangkau usia 30 tahun.  Willems sebenarnya baru menyertai Eindhoven dari Sparta Rotterdam Ogos lalu namun Ferguson sudah pun menetapkan sasaran inilah masa terbaik untuknya mendapatkan khidmat pemain muda tersebut.  Selain minat yang ditunjukkan Ferguson, beberapa kelab pesaing United di Liga Perdana dikhabarkan turut berjaya menghidu potensi besar yang ada pada diri Willems.  Ferguson dikatakan telahpun menghantar seorang pencari bakat ke Belanda untuk memantau prestasi Willems bersama Eindhoven di Eredivisie.  Menyedari beliau (Ferguson) mempunyai pemain pelapis yang agak terhad untuk menggantikan Evra satu hari nanti, kemungkinan untuk Willems menjejakkan kakinya ke Old Trafford dilihat agak besar.  Selain faktor harga yang masih rendah, Willems juga boleh digunakan United untuk menghadapi saingan di Liga Europa.  Glory Glory Manchester United!!!