Di awal musim, nama Michael Carrick hampir dilupakan sebilangan besar penyokong Manchester United akibat penampilan hebat Tom Cleverley dan Anderson menjana bahagian tengah. Ramai juga yang beranggapan masa depan Carrick bersama United semakin kelam selepas melihat kelibat bekas pemain Tottenham Hotspurs itu sering memanaskan bangku simpanan United. Walau bagaimanapun Carrick akhirnya membuktikan bahawa dia masih lagi pemain tengah terbaik dalam skuad Sir Alex Ferguson ketika ramai yang mungkin mula melupakan namanya. Nama Carrick tiba-tiba muncul semula menjadi sebutan bukan saja di kalangan penyokong setia United, malah pemerhati bolasepak kerana prestasi hebatnya sejak kebelakangan ini. Pemain berusia 30 tahun itu dikatakan menjadi kunci disebalik keupayaan United bangkit memberikan cabaran dalam saingan liga domestik selepas kejutan tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah. Carrick antara watak penting disebalik kemenangan besar 4-1 United ke atas Wolves dan kemudiannya menjaringkan gol hasil gerakan solo menarik ketika United menewaskan Queens Park Rangers 2-0. Carrick sekali lagi membuktikan kehebatannya menjana jentera tengah United ketika skuad The Red Devils itu merakamkan kemenangan besar 5-0 ke atas Fulham pertengahan minggu lalu. Ini diakui sendiri Phil Jones, yang juga merupakan gandingan `sementara' Carrick di bahagian tengah selepas United kehilangan khidmat Darren Fletcher, Anderson dan Tom Cleverley. Menurut Jones, Carrick adalah pemain yang cukup luar biasa walaupun sebelumnya kelibat pemain berpengalaman itu seolah-olah dipandang sepi dan kurang diberi perhatian. "Ramai yang tidak memberikan perhatian kepadanya tetapi ketika anda bermain bersamanya, anda akan merasainya. Dia seperti memiliki deria keenam dan tahu di mana dia perlu berada untuk menerima hantaran. Dia sering berada di tempat dan masa yang tepat sama ada ketika bertahan ataupun ketika merancang serangan", kata Jones. Aset paling berharga milik Carrick sebenarnya adalah kualiti hantaran-hantaran jauhnya kepada barisan serangan serta cukup berdisiplin ketika bertahan. Selepas agak lama diketepikan, Carrick seolah-olah ingin melontarkan amaran kepada pengkritiknya bahawa dia masih lagi yang terbaik di Old Trafford dan sentuhannya menjana bahagian tengah masih belum pudar. Lihat saja pada prestasinya ketika membantu United mencatat kemenangan ke atas Wolves, QPR dan Fulham, hakikatnya Carrick masih lagi yang terbaik buat The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan