16 Februari 2012

PREVIEW: AJAX AMSTERDAM lwn MANCHESTER UNITED


Pertembungan Ajax Amsterdam dan Manchester United pada perlawanan pertama pusingan 32 pasukan Liga Europa awal pagi esok dijangka bakal menaikkan rating siaran televisyen. Perlawanan `heavyweight'  dua kuasa besar dari dua negara itu pastinya mengangkat martabat pertandingan Liga Europa itu sendiri selepas kedua-dua kelab tersingkir dari saingan elit Liga Juara-Juara musim ini. Ajax  mempamerkan aksi terpuji dalam saingan Liga Juara-Juara apabila mereka hanya tewas kepada Real Madrid dalam kumpulan D, namun gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya menerusi perbezaan jaringan dengan Olympique Lyon.  Walau bagaimanapun, prestasi semasa skuad kendalian Frank de Boer itu dalam saingan Eredivisie agak membimbangkan apabila mereka hanya menduduki tangga keenam liga ketika ini, selain berdepan krisis kecederaan yang melibatkan tujuh tonggak utama mereka.  Di sebalik prestasi tidak menentu mereka ketika ini, kapten pasukan, Jan Vertonghen melaungkan amaran bahawa pasukannya memiliki motivasi lebih tinggi berbanding United dalam perlawanan ini.  "Posisi kami dalam liga domestik ketika ini sedikit mengecewakan.  Hanya kemenangan dalam perlawanan ini dapat menaikkan kembali moral kami sedangkan Manchester United masih mempunyai banyak pilihan menentukan haluan mereka musim ini", kata pemain yang dikatakan menjadi sasaran Liverpool dan Arsenal itu.  Bagi perancang Ajax, Christian Eriksen yang dikatakan menjadi sasaran utama United musim panas nanti, perlawanan ini pastinya menjadi pentas terbaik untuknya membuktikan bahawa dia memang layak menyertai skuad The Red Devils musim depan.  Bagi de Boer sendiri, perlawanan awal pagi esok bakal menawarkan peluang terbaik buat Eriksen yang baru menyambut ulang tahun ke-20 baru-baru memperagakan aksi terbaiknya bagi menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah.

Bagi pengurus Manchester United pula, beliau tidak mahu memandang rendah saingan Liga Europa meskipun pasukannya tersingkir dari saingan elit Liga Juara-Juara musim ini.  Ferguson harus menelan hakikat yang pasukannya bakal beraksi dalam saingan `kelas dua' itu selepas mereka mempamerkan aksi kurang konsisten di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara hingga menyaksikan mereka gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati buat pertama kali sejak 1995.  Ferguson yang masih belum memenangi trofi (Liga Europa) ini dalam kariernya sebagai pengurus United mampu melakukannya musim ini, tetapi harus melepasi halangan Ajax terlebih dahulu.  Untuk itu, Ferguson sendiri telah membawa skuad terkuatnya ke Amsterdam Arena bagi pertembungan ini.  "Saya menganggapnya serius.  Perkara terbaik mengenai perlawanan Khamis ini ialah, tiada perlawanan liga pada hari Sabtu nanti dan saya berpeluang menurunkan skuad terkuat.  Pertandingan ini adalah di peringkat Eropah dan tahapnya tetap bagus", kata Ferguson. Ferguson juga dilihat cukup teruja menjelang pertembungan ini memandangkan ini juga adalah perlawanan pertama membabitkan kedua-dua pasukan dalam tempoh 35 tahun di peringkat Eropah.  Kali terakhir pertembungan kedua-dua pasukan ialah ketika saingan Piala UEFA musim 1976/77 di mana United berjaya menyingkirkan Ajax dengan aggregat 2-1 di pusingan pertama.  "Saya rasa cukup menakjubkan apabila memikirkan selama 55 tahun kami bersaing di Piala Eropah (Liga Juara-Juara), kami tidak pernah menghadapi Ajax.  Jika anda imbas kembali keputusan undian yang lalu, kami tidak pernah bertemu mereka.  Stadium akan penuh dan kami akan bermain di hadapan ribuan penyokong.  Prestasi mereka tidak begitu baik ketika ini tetapi apabila berdepan United, mereka pastinya mempunyai motivasi untuk bermain dengan baik" kata Ferguson.  Kunjungan United ke Amsterdam Arena tanpa kelibat Ryan Giggs dan Patrice Evra yang direhatkan manakala Chris Smalling, Ashley Young, Tom Cleverley, Nani dan Phil Jones yang baru pulih dari kecederaan disenaraikan dalam skuad.  Turut serta ialah dua pemain muda Ezekiel Fryers dan Paul Pogba.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea,  Rafael da Silva, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Chris Smalling, Paul Scholes, Park Ji-Sung, Michael Carrick, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Danny Welbeck

15 Februari 2012

DARREN BENT: ENGLAND AMAT PERLUKAN ROONEY


Kelibat Wayne Rooney amat diperlukan barisan depan England di pusingan akhir Euro 2012 nanti dan hal itu telah disuarakan oleh penyerang Aston Villa, Darren Bent.  Menurut Bent, England berdepan situasi sukar selepas perletakan jawatan Fabio Capello dan penggantungan dua perlawanan yang dikenakan ke atas Rooney.  Rooney bakal terlepas dua aksi awal menentang Perancis dan Sweden dalam saingan peringkat kumpulan Euro 2012 nanti, selepas mengutip kad merah dipusingan kelayakan menentang Montenegro.  "Anda tentu berharap pemain terbaik bermain untuk pasukan anda, dan Wayne Rooney ketika ini adalah pemain terbaik kami.  Sukar untuk tampil tanpa pemain terbaik kerana pada pendapat saya dia adalah pemain yang fantastik", kata Bent.  Bent berharap sesiapapun yang akan menggantikan tempat Capello nanti mampu mencari jalan penyelesaian ketiadaan Rooney dalam dua perlawanan awal.  Bent ternyata agak risau apabila memikirkan situasi pasukan kebangsaan di Euro 2012 nanti tanpa kehadiran Rooney.  Untuk rekod, England berjaya menewaskan Sepanyol 1-0 dalam perlawanan antarabangsa 14 November lalu biarpun  tanpa kelibat Rooney, namun situasi pasti berbeza Jun nanti.  Euro 2012 dilihat menjadi medan terbaik England menebus semula prestasi buruk mereka semasa pusingan akhir  Piala Dunia 2010, yang menyaksikan mereka tewas 1-4 kepada Jerman di pusingan kedua.  Pencapaian terbaik England di kejohanan negara-negara Eropah itu ialah menduduki tempat ketiga edisi 1968 dan mara ke separuh akhir edisi 1996 di gelanggang sendiri. Sepertimana pentingnya Rooney untuk United begitulah juga pentingnya Rooney untuk The Three Lions, Glory Glory Manchester United!!!

KENALI LAGENDA: GEORGE BEST


George Best dianggap pemain sayap paling berbakat pernah dilahirkan dalam saingan bolasepak Inggeris hingga kehari ini.  Dilahirkan pada 22 Mei 1946 di Belfast, Ireland Utara, Best memiliki raut wajah umpama bintang rock n roll di zamannya.  Tidak hairanlah, Best bukan saja menjadi perhatian di dalam padang kerana bakat besarnya dalam bolasepak, tetapi juga di luar padang kerana ketampanannya. Memiliki kepantasan, keseimbangan, visi dalam permainan, kawalan bola yang cukup mengagumkan, kemampuan mencipta peluang dan mampu menjaringkan gol dalam situasi sukar adalah antara cerita di sebalik kerjaya gemilang Best bersama Manchester United.  Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa Best adalah pelopor kepada lagenda nombor 7, angka keramat pada jersi merah Manchester United yang hanya digunakan oleh pemain yang dianugerahkan bakat luarbiasa di Old Trafford.  

Bakat Best berjaya dikesan oleh pencari bakat terkenal ketika itu, Bob Bishop yang kemudian membawanya bertemu Sir Matt Busby.  Dalam telegram yang diutuskan kepada Busby, Bishop mengatakan bahawa dia telah menemui seorang yang `genius'. Best yang ditolak oleh kelab-kelab di Ireland Utara kerana susuk tubuhnya yang kurus menjadi pemain profesional pada 17 Mei 1963, membuat penampilan sulung pada 14 September 1963 menentang West Bromwich Albion di Old Trafford. Best  menjaringkan gol pada penampian kedua menentang Burnley pada 28 Disember dan beliau kemudiannya sering digunakan Busby menjelang awal tahun baru hingga ke akhir musim.  Best bermain sebanyak 26 perlawanan dan menjaringkan enam gol pada musim pertamanya bersama United, lantas berjaya mengetuk pintu skuad kebangsaan dan memperolehi caps pertamanya bersama skuad  Ireland Utara.  Pada musim 1964/65, bersama-sama Denis Law, Bobby Charlton dan David Herd, mereka muncul watak utama di sebalik gelaran liga pertama United selepas era `tragedi Munich'.  Musim berikutnya, Best dilihat seperti `berseorangan' ketika United menyingkirkan Benfica dengan agregat 8-3 di peringkat suku akhir Piala Eropah.  Best menjaringkan dua gol di sebalik kemenangan 5-1 United pada perlawanan kedua di gelanggang lawan sehingga digelar `El Beatles' oleh media-media Portugal.  

Setahun selepas itu (musim 1967/68), Best sekali lagi bertindak cemerlang mengecewakan Benfica, kali ini di perlawanan akhir Piala Eropah, sekaligus menghadiahkan kejuaraan sulung United dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.  Best menjaringkan satu gol pada pertemuan yang dilangsungkan di Stadium Wembley itu.  Prestasi gemilang Best yang muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 28 gol pada musim tersebut (1967/68), diiktiraf apabila beliau  dianugerahkan pemain terbaik PFA dan Eropah.  Best juga mencatat rekod kelab dengan muncul sebagai penjaring terbanyak United selama enam musim berturut-turut.  Sebaik era Busby Babes berakhir, karier El Beatles bersama United pula semakin berada di penghujung. Best meninggalkan United 'buat sementara' pada 1972 sebelum kembali semula namun jodohnya bersama The Red Devils berakhir pada usia terlalu muda iaitu 27 tahun. Sepanjang karier 11 tahunnya di Old Trafford (1963-74), Best telah bermain sebanyak 470 perlawanan dan menjaringkan 179 gol untuk United dalam pelbagai kejohanan.  Antara yang paling diingati adalah sumbangan enam golnya ketika United menewaskan Northampton Town (8-2) di pusingan kelima Piala FA pada 1970.  Gol terakhir jaringan Best buat United ialah pada 15 Disember 1973, ketika mereka menewaskan Coventry City 3-2 di gelanggang sendiri, manakala perlawanan kompetitif terakhirnya bersama United ialah pada 1 Januari 1974 menentang Queens Park Rangers di Loftus Road, di mana United tewas 0-3 dalam perlawanan tersebut. Tahun berikutnya Best menyertai kelab-kelab kecil serata dunia terutamanya di Afrika Selatan, Ireland Utara, Amerika Syarikat, Scotland dan Australia. Best bersara sepenuhnya dari arena bolasepak pada 1984 bersama kelab Ireland Utara, Tobermore United dan kemudiannya bergelut dengan berbagai masalah peribadi serta ketagihan alkohol yang serius sehingga kematiannya pada bulan November 2005.  

GIGGS ELAKKAN KESILAPAN SCHOLES


Tindakan Paul Scholes yang kembali dari persaraan bulan lalu nyata menjadi panduan berharga buat Ryan Giggs. Scholes yang mengumumkan persaraan Mei tahun lalu melakukan pusingan `U' apabila dia kembali semula menyarung jersi Manchester United sebaik pintu perpindahan Januari dibuka.  Menurut Giggs, bersara dari dunia bolasepak yang telah menaikkan namanya adalah satu keputusan yang paling sukar untuk dibuat.  Untuk itu, Giggs tidak mahu terlalu terburu-buru mengambil keputusan bersara biarpun usianya kini sudah mencecah 38 tahun. "Bersara dari bolasepak adalah satu perkara yang sukar.  Keputusan itu harus dibuat pada saat yang tepat apabila saya mulai merasa perbezaan dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain", kata Giggs.  Minggu lalu Giggs bersetuju menyambung kontrak bersama United untuk tempoh semusim lagi yang akan menyaksikan beliau bakal beraksi untuk musim ke-22 dalam saingan Liga Perdana Inggeris.  Secara peribadi, Giggs berpendapat keputusan Scholes menggantung but akhir musim lalu merupakan satu kesilapan yang besar.  Walau bagaimanapun kepulangan semula Scholes ke pangkuan pasukan nyata melegakan Giggs.  "Scholes perlu melupakan perkara itu.  Saya, Gary Neville dan yang lain merasakan dia terburu-buru mengumumkan persaraannya.  Kami mahu dia mempertimbangkan semula keputusannya dan akhirnya Scholes menerimanya".  Scholes yang bersara sebaik musim lalu berakhir mengejutkan rakan-rakan sepasukan dan penyokong-penyokong United apabila dia mengambil keputusan untuk kembali bermain semula.  Penampilan semula Scholes bersama United ialah ketika pertembungan pusingan ketiga Piala FA menentang Manchester City di Stadium Etihad.  Glory Glory Manchester United!!!

14 Februari 2012

KENALI LAGENDA: SIR BOBBY CHARLTON


Sir Bobby Charlton hanya berusia 20 tahun ketika beliau terbabit dengan nahas udara Munich pada 6 Februari 1958 yang mengorbankan lapan pemain dan 15 penumpang lain.  Selepas pulih dari kecederaan dan trauma akibat tragedi tersebut, Charlton bangkit dan dalam perlawanan-perlawanan yang disertainya selepas itu, beliau seolah-olah bermain untuk rakan-rakannya yang terkorban.  Dalam tempoh 17 tahun kariernya bersama United, Charlton tampil sebanyak 754 perlawanan dan menjaringkan 247 gol.  Pada usia 16 tahun, Charlton sudah mula menarik perhatian kelab-kelab utama di England namun memilih menyertai United sebagai pemain profesional pada bulan Oktober 1954.  Charlton berjaya membantu United memenangi Piala FA Remaja untuk tiga tahun berturut-turut iaitu pada 1954, 1955 dan 1956.  Penampilan pertamanya bersama skuad utama United hadir pada 6 Oktober 1956 ketika menentang Charlton Athletic di Old Trafford.  Charlton memberikan impak besar pada penampilan pertamanya dalam skuad utama dengan menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.  Demi memenuhi impiannya bermain untuk skuad utama United, Charlton menyembunyikan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika itu dari pengetahuan Sir Matt Busby.  

Charlton menjaringkan 10 gol pada musim 1956/57 sekaligus membantu United memenangi gelaran liga ketika itu.  Persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama ketika itu begitu sengit, namun hatrik yang dirakam Charlton pada Januari 1958 ketika menentang Bolton Wanderers akhirnya membuka membuka mata Busby untuk menyenaraikan Charlton dalam skuad utamanya.  Sebulan kemudian, Charlton menyinar apabila beliau menjaringkan dua gol untuk mengikat Partizan Belgrade 3-3 di gelanggang lawan pada saingan peringkat Eropah.  Tragedi yang meragut nyawa lapan pemain United berlaku dalam penerbangan pulang mereka dari Belgrade tetapi Charlton hanya mengalami kecederaan kecil dan kembali bermain dalam tempoh sebulan.  Charlton muncul pemain penting dalam pembentukan semula pasukan selepas tragedi Munich dan berjaya membantu United meraih kejuaraan liga pada tahun 1965 dan 1967.  Bukan setakat di peringkat kelab, Charlton juga merupakan pemain yang ada dalam skuad England yang  memenangi Piala Dunia 1966.  Karier Charlton terus gemilang apabila dia dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan di England dan Pemain Terbaik Eropah.  Untuk skuad kebangsaan England, Charlton telah bermain sebanyak 106 perlawanan dan menjaringkan 49 gol serta tiga kali dilantik sebagai kapten pasukan. 

Walaupun sudah memenangi Piala Dunia bersama England, kemuncak kegemilangan Charlton sebagai pemain muncul apabila beliau mengetuai United meraih Piala Eropah buat pertama kalinya pada Mei 1968.  Selepas hampir sepuluh tahun membina semula pasukan selepas tragedi nahas udara Munich, Sir Matt Busby akhirnya berjaya membawa United meraih trofi sulung mereka di peringkat Eropah melalui skuad yang terkenal dengan gelaran The Busby Babes itu. Charlton menjaringkan dua gol disebalik kemenangan 4-1 United ke atas Benfica pada perlawanan akhir yang diadakan di Wembley.  Charlton akhirnya bersara pada tahun 1973 dan beliau menghabiskan tempoh dua tahun sebagai pengurus untuk Preston North End sebelum meletak jawatan pada Ogos 1975.  Beliau kembali bermain untuk Waterford di Ireland pada 1976 sebelum menjawat jawatan dalam lembaga pengarah Wigan Athletic dan dilantik sebagai pengurus pada musim 1982/83.  Pada Jun 1984, Charlton dilantik sebagai pengarah di Manchester United, jawatan yang masih beliau pegang sehingga kehari ini.  Dianugerahkan pingat OBE dan CBE yang membawa gelaran Sir pada bulan Jun 1994.  Bukan saja lagenda dan duta kelab, Charlton juga adalah lambang kepada kegemilangan United untuk masa lalu, masa kini dan masa depan kelab.

13 Februari 2012

REDKNAPP MAHUKAN SCHOLES


Teka teki siapa pengganti kepada Fabio Capello sebagai pengurus England masih belum terjawab selepas warga Itali itu meletakkan jawatan secara mengejut minggu lalu.  Individu paling hangat diperkatakan sebagai calon sesuai memimpin skuad The Three Lions itu di pusingan akhir Euro 2012, Jun ini ialah pengurus Tottenham Hotspurs, Harry Redknapp.  Walaupun FA England masih belum mengumumkan siapa yang bakal mengisi kerusi panas itu, ramai pemerhati meletakkan pertaruhan seratus peratus bahawa Redknapp bakal dipilih menerajui England.  Meskipun Redknapp sendiri masih belum mengesahkan dia bakal mengisi kekosongan jawatan pengurus England menggantikan Capello, warga England berusia 64 tahun sudahpun memberikan bayangan pemain yang mahu dibawanya ke Ukraine nanti.  Paul Scholes muncul pemain paling dikehendaki Redknapp untuk memperkuatkan barisan tengah England jika dia dipilih memegang jawatan tersebut.  "Mari kita bercakap secara jujur.  Anda pasti senang jika Paul Scholes tampil di Euro tahun ini.  Dia akan berada dalam pasukan  kerana dia pemain yang hebat", kata Redknapp.  Tanpa berselindung, Redknapp melabelkan lagenda Manchester United yang kembali dari persaraan bulan lalu itu setaraf perancang Barcelona, Xavi Hernandez.  "Scholes bermain seperti pemain Sepanyol, mirip seperti Xavi dan Andres Iniesta".  Selain Scholes, Redknapp turut memuji penampilan perancang Chelsea, Frank Lampard.  Selepas FA England melucutkan jawatan ketua pasukan dari John Terry yang bakal disiasat kerana isu perkauman ke atas pertahanan Queens Park Rangers, Anton Ferdinand, Redknapp menyebut beberapa pemain yang layak menggantikan Terry.  Antaranya ialah kapten Liverpool, Steven Gerrard serta Scott Parker, pemain tengah Tottenham Hotspurs.  Glory Glory Manchester United!!!

SUAREZ AKHIRNYA MOHON MAAF


Selepas berhadapan dengan berbagai tekanan, Luis Suarez akhirnya memohon maaf atas keengganannya bersalaman dengan Patrice Evra semasa pertemuan liga antara Manchester United dan Liverpool, Sabtu lalu.  Suarez mengeluarkan kenyataan permohonan maafnya dengan berkata, "Saya bercakap dengan pengurus selepas perlawanan di Old Trafford dan saya sedar saya telah melakukan kesilapan.  Saya bukan saja telah mengecewakannya tapi juga kepada seluruh kelab.  Saya telah melakukan kesilapan dan saya sangat menyesalinya".  Menurut Suarez lagi dia sepatutnya bersalaman dengan Evra tetapi tidak melakukannya dan berharap dengan permohonan maafnya ini, kekeruhan yang terjadi antara kedua-dua kelab dapat diatasi dan dia berharap dapat menumpukan semula fokusnya kepada bolasepak.  Pengarah Urusan Liverpool, Ian Ayre turut mengeluarkan kenyataan berkaitan insiden yang berlaku Sabtu lalu.  "Kami sangat kecewa Luis Suarez tidak bersalaman dengan Patrice Evra sebelum perlawanan.  Suarez mengatakan pada kami sebelumnya bahawa dia akan bersalaman dengan Evra tetapi ternyata dia memilih untuk tidak melakukannya.  Dia bukan hanya mengecewakan dirinya sendiri, tapi juga Kenny Dalglish, rakan-rakan serta kelab.  Tindakan Suarez sungguh tidak boleh diterima", kata Ayre.

Sementara itu ada perkhabaran mengatakan kontrak penyerang antarabangsa Uruguay itu akan dikaji semula oleh pihak pengurusan The Reds. Media di England mengatakan tempat Suarez bersama Liverpool terancam berikutan insiden yang dicetuskannya Sabtu lalu memalukan tradisi kelab.  Suarez dianggap tidak menghormati kelab apabila sebelum perlawanan telah berjanji akan bersalaman dengan Evra tetapi dia tidak melakukannya.  Sekalipun Suarez sudah memohon maaf, pihak pengurusan Liverpool setidak-tidaknya dijangka akan mengenakan tindakan disiplin ke atas Suarez.  Dalglish yang sebelumnya begitu lantang mempertahankan Suarez selepas dia didapati bersalah dan digantung lapan perlawanan oleh FA England kerana menghamburkan kata-kata berbaur perkauman kepada Evra, turut tidak senang dengan ketegangan terbaru yang dicetuskan Suarez. Menurut The Mirror, Dalglish yang cukup terkenal sebagai `warga The Reds sejati' menganggap tindakan yang dilakukan Suarez sebagai memalukan kelab.  Menurut Mirror lagi, ada kemungkinan pemilik kelab akan melepaskan Suarez pada musim panas ini sebagai langkah mempertahankan nama baik kelab.  Glory Glory Manchester United!!!